Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 85 – 86 (Tentang Roh)

SOALAN DARIPADA MUSYRIKIN

Isra’ Ayat 85: Di manakah personaliti kita itu berada kalau bukan di dalam roh kita? Maka sekarang Allah ﷻ menyentuh tentang roh pula.

Al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ menghubungkan ayat ini dengan ayat-ayat sebelumnya yang berbicara tentang pertanyaan kaum musyrikin menyangkut kebangkitan setelah manusia menjadi tulang belulang dan kepingan-kepingan kecil bagaikan debu, (iaitu ayat 49 surah ini dan seterusnya). Di sana dinyatakan bahawa manusia akan dihidupkan lagi yakni rohnya akan dikembalikan ke jasadnya. Maka di sini – tulis al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ – mereka bertanya tentang roh itu.

Musyrikin Mekah tanya kepada Rasulullah ﷺ tentang roh dan jawapannya diberikan di dalam ayat ini. Mereka tanya Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka dapat idea daripada puak Yahudi yang berada di Yathrib (nama lama Madinah) ketika itu. Setelah kalah berhujah dengan Rasulullah ﷺ, mereka pergi ke Yathrib untuk bertanya kepada pendeta-pendeta Yahudi itu untuk mendapatkan cara atau hujah untuk berdepan dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana mereka dengar orang Yahudi itu ada ilmu kitab.

Maka pendeta Yahudi suruh tanya tentang roh. Mereka kata kalau Nabi Muhammad ﷺ jawab dengan panjang lebar tentang roh, maknanya dia bukanlah seorang Nabi yang sah. Kerana kalau baginda buat begitu, baginda menipu sahaja kerana mereka tahu dalam ilmu mereka pun, tidak ada sesiapa pun yang tahu dengan mendalam tentang hal roh itu.

Oleh itu, apabila ditanya kepada Nabi ﷺ tentang roh, baginda tidak terus jawab kerana baginda tunggu wahyu. Kerana hal roh itu adalah perkara ghaib dan perkara ini bukan boleh direka. Maka ayat ini adalah jawapan kepada persoalan Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad ﷺ.

وَيَسـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ‌ۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِن أَمرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلعِلمِ إِلَّا قَلِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they ask you, [O Muhammad], about the soul. Say, “The soul is of the affair [i.e., concern] of my Lord. And you [i.e., mankind] have not been given of knowledge except a little.”

(MELAYU)

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”.

 

وَيَسـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ‌ۖ

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. 

Yang dimaksudkan ‘mereka’ itu adalah Musyrikin Mekah seperti yang telah disebut di atas. Mereka tanya itu bukannya kerana hendak tahu tetapi kerana hendak mengenakan Rasulullah ﷺ. Hal ini diriwayatkan dalam hadith,

عن ابن عباس قال : قالت قريش ليهود : أعطونا شيئا نسأل عنه هذا الرجل . فقالوا : سلوه عن الروح . فسألوه ، فنزلت : ( ويسألونك عن الروح قل الروح من أمر ربي وما أوتيتم من العلم إلا قليلا ) قالوا : أوتينا علما كثيرا ، أوتينا التوراة ، ومن أوتي التوراة فقد أوتي خيرا كثيرا . قال : وأنزل الله : ( قل لو كان البحر مدادا لكلمات ربي لنفد البحر قبل أن تنفد كلمات ربي ولو جئنا بمثله مددا ) [ الكهف : 109 ] .
Daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang mengatakan bahawa orang-orang Quraisy pernah mengatakan kepada orang-orang Yahudi, “Berikanlah kepada kami sesuatu pertanyaan yang akan kami ajukan kepada lelaki ini.” Orang-orang Yahudi menjawab, “Tanyailah dia tentang roh.” Lalu orang-orang Quraisy bertanya kepada Nabi ﷺ tentang masalah roh. Maka turunlah firman-Nya: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah, “Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kalian diberi pengetahuan, melainkan sedikit.” (Al-Isra: 85) Orang-orang Yahudi berkata, “Kami telah diberi pengetahuan yang banyak, kami telah diberi kitab Taurat; dan barang siapa yang diberi kitab Taurat, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak.” Maka Allah menurunkan firman-Nya: Katakanlah, “Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu. (Al-Kahfi: 109), hingga akhir ayat.
(Riwayat Tirmidzi (3140), Nasa’i (11314) dengan sanad yang sahih)

Ada satu lagi kisah tentang pertanyaan roh ini seperti disebut di dalam hadith yang lain,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَيْنَا أَنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَرْثٍ وَهُوَ مُتَّكِئٌ عَلَى عَسِيبٍ إِذْ مَرَّ الْيَهُودُ فَقَالَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ سَلُوهُ عَنْ الرُّوحِ فَقَالَ مَا رَأْيُكُمْ إِلَيْهِ وَقَالَ بَعْضُهُمْ لَا يَسْتَقْبِلُكُمْ بِشَيْءٍ تَكْرَهُونَهُ فَقَالُوا سَلُوهُ فَسَأَلُوهُ عَنْ الرُّوحِ فَأَمْسَكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِمْ شَيْئًا فَعَلِمْتُ أَنَّهُ يُوحَى إِلَيْهِ فَقُمْتُ مَقَامِي فَلَمَّا نَزَلَ الْوَحْيُ قَالَ { وَيَسْأَلُونَكَ عَنْ الرُّوحِ قُلْ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُمْ مِنْ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا }
Daripada [‘Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; “ketika aku bersama Nabi ﷺ di suatu ladang sementara baginda tengah bersandar, tiba-tiba beberapa orang Yahudi melalui, dan mereka saling berkata satu sama lain: ‘Tanyakan padanya tentang roh sehingga dia kembali bertanya ‘bagaimana pendapat kalian tentangnya! Namun sebahagian mengatakan “Jangan sampai dia meminta kalian mendatangkan sesuatu yang kalian sendiri tidak menyukainya.’ Mereka berkata, ‘Bertanyalah padanya.’ Kemudian sebahagian mereka menghampiri baginda, lalu bertanya tentang roh’.” Nabi ﷺ diam dan tidak menjawab apa pun. Aku tahu baginda tengah diberi wahyu. Aku berdiri dari tempatku. Saat wahyu turun, baginda bersabda: ‘Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: ‘Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (Al Israa`: 85).
(Sahih Bukhari (4352))

Soalan mereka itu secara spesifik tidak dinyatakan. Ia boleh jadi bermacam-macam. Misalnya apakah hakikat roh atau apakah ia kekal atau tidak? Atau apa makna kebahagiaan dan kesengsaraannya? Atau apakah roh bersifat ma¬terial atau bukan? Bagaimana ia berpisah dengan badan dan ke mana ia pergi setelah kematian?

Maka apakah roh di dalam ayat ini? Maksudnya adalah roh yang menyebabkan manusia hidup. Tubuh tanpa roh akan mati. Ia daripada katadasar ر و ح yang bermaksud nafas kehidupan; angin; kekuatan; semangat; jiwa; inspirasi; wahyu; intipati; pergi atau melakukan sesuatu pada waktu petang. Ia mempunyai banyak makna (boleh jadi jiwa, boleh jadi malaikat, boleh jadi wahyu) dan di dalam ayat ini ia bermaksud nafas kehidupan dan juga jiwa.

Mereka hendak menanyakan bagaimana keadaan roh itu di dalam tubuh manusia dan bagaimana hubungannya dan ke mana perginya Roh itu setelah ia bercerai daripada badan.

Misteri yang paling besar dalam bidang Psikologi adalah tentang personaliti seseorang itu. Kenapa seseorang itu berperangai begini dan begitu? Ilmu psikologi tidak dapat menjawab perkara ini kerana tidak ada cara untuk menjelaskan perkara ini dengan akal. Ini adalah kerana personaliti kita itu ada di dalam roh kita. Kita tidak ada cukup ilmu tentang roh. Maka walaupun persoalan ini selalu dibincangkan dan cuba diterokai oleh manusia, namun ia masih tidak dapat dijawab kerana ia berkenaan roh.

Memang ada ahli-ahli ilmu jiwa, baik yang dulu-dulu sebagai Imam Ghazali, Ibnu Taimiyah dan Ibnu Hazm رحمهم الله, dan ahli ilmu jiwa moden sebagai Sigmund Freud, Jung dan Adler. Mereka itu pun hanya sekadar mengetahui bekas perbuatan orang untuk mengetahui keadaan jiwanya. Namun jiwa itu sendiri tidaklah mereka ketahui dan tidaklah ada ilmu tentang itu. Pengetahuan yang diberikan Allah ﷻ kepada manusia tentang hakikat jiwa itu sendiri tidak ada. Itu adalah rahsia Tuhan!

Bukankah sukar mengetahui apakah hakikat Roh kita? Maka 1,000 kali lebih sukarlah mengetahui zat Tuhan. Kita mengakui roh kita ada, namun kita tidak dapat meraba dan mencari tempatnya dalam diri. Kita hanya dapat membuktikan bahاwa kita hidup كعرانا kita bernafas, dan apabila bernafas telah berhenti, berhentilah hidup. Padahal bukan nafas itu yang bernama hidup, akan tetapi kita hidup kerana adanya roh itu di dalam diri kita.

 

قُلِ ٱلرُّوحُ مِن أَمرِ رَبِّى

Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku,

Allah ﷻ tidak menjawab pertanyaan mereka itu, sebaliknya Nabi Muhammad ﷺ disuruh beritahu kepada mereka yang bertanya itu yang roh itu adalah dalam urusan Tuhan. Maknanya hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu dan kita tidak tahu apakah hakikatnya. Allah ﷻ tidak beritahu pun apakah roh itu, maka jangan tanya lagi kerana ia urusan Tuhan. Ia akan terus berada dalam hal misteri.

Ini adalah kerana otak kita tidak akan dapat memahaminya. Ia bukanlah perkara fizikal yang kita boleh lihat dan kaji. Roh ini dijadikan terus oleh Allah ﷻ. Bukannya barang macam kereta yang kita boleh fikirkan bagaimana ia dijadikan.

Boleh jadi juga pertanyaan itu tidak dijawab, kerana yang bertanya bermaksud mengejek atau menguji, sehingga bila salah satu daripada kemungkinan pertanyaan di atas dijawab, maka mereka akan mempersalahkan dan berkata: “Bukan itu yang kami maksud.”

Di sini juga ada pengajaran tentang soal jawab. Orang alim bukanlah kena jawab semua soalan yang diberikan. Ada soalan yang tidak perlu dijawab, dan ada yang tidak boleh dijawab pun kerana bukan semua perkara manusia tahu. Kalau kita tidak tahu, kata sahaja tidak tahu. Namun begitu memang masalah orang berilmu adalah segan untuk cakap dia ‘tidak tahu’. Maka selalunya orang yang ditanya akan cuba juga menjawab dengan beri pendapat sendiri dan goreng sana sini. Ini adalah penyakit dan orang berilmu perlu belajar hal ini.

Kadangkala kena perhatikan juga orang yang bertanya. Kadangkala kita boleh agak yang bertanya itu bukannya hendak tahu, tetapi hendak menguji sahaja, atau hendak mengejek dan mencari salah kita. Maka soalan sebegitu pun tidak perlu kita layan. Begitu juga ada soalan yang tidak penting pun untuk dijawab. Sebagai contoh, soalan bagaimana solat kalau di bulan? Suruh orang yang bertanya pergi ke bulan dahulu baru kita jawab.

Walaupun seorang alim tahu jawapan bagi sesuatu soalan, dia kena lihat kepada kedudukan penanya itu. Kalau dia boleh rasa yang jawapan kepada soalan itu boleh menyebabkan kekeliruan kepada penanya, maka dia tidak perlu jawab. Sebagai contoh, ada soalan: benarkah kalau tidak solat, puasa tidak bernilai? Ini soalan yang bahaya. Kerana bagi orang yang baik, dia akan jaga solat dan puasanya sekali. Akan tetapi bagi orang bodoh dan tidak solat, dia akan fikir: (kalau macam itu, baik aku tak payah puasa, sebab puasa pun tak laku juga….). Nampak bukan bagaimana jawapan kepada orang bodoh akan menyebabkan dia semakin teruk?

Kepada yang bertanya pun kenalah faham juga, bukan semua perkara dia kena tahu. Bukan semua perkara yang lalu di media sosial dia kena komen dan cari jawapan. Segala macam benda karut ada di media sosial, maka kalau kita layan semua, memang buang masa sahaja. Tidak perlulah buang masa ustaz anda untuk melayan soalan mengarut anda itu yang kadangkala anda dapat dari media sosial sahaja. Fahami hadith ini,

“عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ :”مِنْ حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ”
(حديث حسن رواه الترمذي وغيره هكذا)
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ katanya: Telah bersabda Rasulullah ﷺ: “Di antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya.
(Hadith hasan diriwayatkan oleh Tirmidzi (1402) dan yang lainnya)

Kalau kau tanya pasal solat di bulan hendak buat apa, bukannya esok hendak ke bulan, bukan? Kena sedar yang bukan semua orang tahu semua jawapan. Kalau tanya kepada ustaz dan dia jawab dia tidak tahu, hormatilah jawapan dia itu. Jangan pula cakap: “Hek eleh, ingat hebat sangat. Soalan macam ini pun tak boleh jawab?!”

Kerana itu salah satu doa yang diajar kepada kita adalah minta ilmu yang bermanfaat sahaja.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.
(Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602))

 

وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلعِلمِ إِلَّا قَلِيلاً

dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”.

Hal roh adalah hal misteri dan kita tidak diberikan dengan ilmu tentangnya melainkan sedikit sangat. Setakat mana yang kita tahu tentang roh, itu semua adalah daripada nas yang sampai kepada kita. Kerana kalau kita mahu buat kajian sendiri, memang tidak akan berupa untuk mencapai ilmu tentangnya.

Roh adalah suatu perkara yang besar, yang ilmu manusia tidaklah sampai kepadanya. Tegasnya tidaklah Tuhan memberikan ilmu yang sekelumit itu kepada manusia. Supaya manusia insaf bahawa tidaklah dia mempunyai upaya untuk mengetahui hakikat dirinya sendiri, usahkan mengetahui hakikat orang lain, apatah lagi hakikat Tuhan. Insaflah hendaknya insan bahawa hijab yang menutupi di antara dia dengan Tuhan ialah dirinya sendiri. Bukankah sukar mengetahui apakah hakikat Roh kita? Maka 1,000 kali lebih sukarlah mengetahui Dzat Tuhan. Kita mengakui roh kita ada, namun kita tidak dapat meraba dan mencari tempatnya dalam diri. Kita hanya dapat membuktikan bahawa kita hidup kerana kita bernafas, dan apabila bernafas telah berhenti, berhentilah hidup. Padahal bukan nafas itu yang bernama hidup.

Antara yang kita tahu, roh kita memerlukan Al-Qur’an ini. Ini adalah kerana fizikal tubuh manusia dijadikan daripada tanah dan kerana itu fizikal tubuh badan kita memerlukan makanan daripada tanah; tetapi roh tidak dijadikan daripada tanah seperti tubuh kita tetapi dijadikan daripada cahaya – maka ia memerlukan makanan daripada cahaya juga dan makanan itu ada dalam Al-Qur’an.

Maka kita kena selalu baca Al-Qur’an untuk memberi makanan kepada roh kita. Kalau kita menjauhkan diri daripada Al-Qur’an, maka roh kita akan lemah. Akhirnya akan jauh daripada agama dan daripada Allah ﷻ.

Ini juga menjadi peringatan kepada kita, ilmu yang kita ada ini semuanya daripada Allah ﷻ. Ilmu yang diberikan-Nya kepada kita adalah amat sedikit. Maka tidak perlu hendak berlagak mana sangatlah.

Dalam kisah Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr ada disebutkan bahawa Khadr memandang ke arah seekor burung pipit yang hinggap di pinggir perahu yang dinaiki keduanya, lalu burung pipit itu minum seteguk air dari sungai (laut) itu dengan paruhnya. Maka Khadr berkata, “Hai Musa, tiadalah pengetahuanku dan pengetahuanmu serta pengetahuan semua makhluk bila dibandingkan dengan pengetahuan Allah, melainkan sama halnya dengan apa yang diambil oleh burung pipit ini dari laut itu dengan laut itu sendiri.” Atau hal lainnya yang semakna. Kerana itulah disebutkan pada akhir ayat ini oleh firman-Nya: وَمَا أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلا قَلِيلا dan tidaklah kalian diberi pengetahuan melainkan sedikit. (Al-Isra: 85)

Apabila Allah ﷻ beritahu yang ada sedikit ilmu, maka kita boleh terima bahawa mungkin ada manusia yang diberikan lebih ilmu tentang roh. Mungkin ilmu itu daripada wahyu yang diberikan kepada para Nabi, atau ilham yang diberikan kepada para wali. Memang ada para ulama’ yang menulis buku tentang roh, setakat ilmu yang mereka tahu. Ini kerana ayat ini bukanlah menidakkan langsung pengetahuan tentang roh. Akan tetapi sedikit ilmu tentang roh itu hanya diberikan kepada orang tertentu sahaja agaknya.

Memang ada ahli-ahli ilmu jiwa, baik yang dulu-dulu sebagai Imam Ghazali, Ibnu Taimiyah dan Ibnu Hazm رحمهم الله, dan ahli ilmu jiwa moden seperti Sigmund Freud, Jung dan Adler. Mereka itu pun hanya sekadar mengetahui bekas perbuatan orang untuk mengetahui keadaan jiwanya. Namun jiwa itu sendiri tidaklah mereka ketahui dan tidaklah ada ilmu tentang itu. Pengetahuan yang diberikan Allah ﷻ kepada manusia tentang hakikat jiwa itu sendiri tidak ada. Itu adalah rahsia Tuhan!

Antara ilmu tentang roh yang disebut di dalam Al-Qur’an adalah ayat Hijr: 29. Di sini kita tahu yang roh itu ditiup masuk ke tubuh manusia, barulah dia hidup. Begitulah kejadian asal Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan begitu jugalah kita kerana kita pun anak-anak Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

فَإِذا سَوَّيتُهُ وَنَفَختُ فيهِ مِن رّوحي فَقَعوا لَهُ سٰجِدينَ
Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.

Ada yang kata kita langsung tidak boleh hendak mengkaji tentang roh kerana Nabi ﷺ pun tidak tahu. Akan tetapi ada yang tidak sependapat dengan mereka yang melarang kita membicarakannya lebih daripada pernyataan bahawa roh itu maujud. Yang tidak sependapat dengan pandangan ini, kerana majoriti pakar muslim dan pakar-pakar hukum Islam seperti Abu Bakar Ibn al-‘Arabi dalam bukunya al-Awashim, dan an-Nawawi dalam Syarh Muslim, menegaskan bahawa ayat ini tidak menghalang ulama’ untuk membahas tentang roh, kerana ia turun untuk sekelompok orang-orang tertentu daripada orang-orang Yahudi dan bukan ditujukan kepada kaum muslimin. Demikian antara lain pendapat Thahir Ibn ‘Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ.


 

AL-QUR’AN SEBAGAI RAHMAT

Isra’ Ayat 86: Anugerah Al-Qur’an adalah anugerah yang amat besar. Sebelum ini telah disebut ilmu tentang roh itu sedikit sahaja yang diberikan kepada manusia. Sekarang Allah ﷻ beritahu, segala apa ilmu yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita, Allah ﷻ boleh sahaja tarik balik kalau Dia mahu. Maka bersyukurlah dengan ilmu yang kita dapat dan janganlah sibuk bertanya tentang perkara yang kita tidak mungkin dapat tahu atau tidak penting bagi kita.

 

وَلَٮِٕن شِئنَا لَنَذهَبَنَّ بِٱلَّذِىٓ أَوحَينَآ إِلَيكَ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهِۦ عَلَينَا وَڪِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if We willed, We could surely do away with that which We revealed to you. Then you would not find for yourself concerning it an advocate against Us.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya jika Kami menghendaki, nescaya Kami lenyapkan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, dan dengan pelenyapan itu, kamu tidak akan mendapatkan seorang pembela pun terhadap Kami,

 

وَلَٮِٕن شِئنَا لَنَذهَبَنَّ بِٱلَّذِىٓ أَوحَينَآ إِلَيكَ

Dan sesungguhnya jika Kami menghendaki, nescaya Kami lenyapkan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu,

Allah ﷻ memberitahu yang kalau Allah ﷻ buat keputusan untuk tidak berikan Al-Qur’an kepada baginda, atau lenyapkan Al-Qur’an daripada hati baginda, Dia boleh buat begitu. Maksudnya, kalau bukan Allah ﷻ yang menjaga Al-Qur’an itu di dalam hati Nabi Muhammad ﷺ, ia tidak akan ada lagi. Namun Allah ﷻ yang telah menurunkan Al-Qur’an ke dalam hati Rasulullah ﷺ dan menetapkannya di dalam hati baginda, tentu Al-Qur’an itu tidak kekal sampai sekarang.

Ini mengajar kita tentang keterbegantungan kita terhadap ilmu Allah ﷻ. Ilmu yang Allah ﷻ berikan kepada kita, Allah ﷻ boleh sahaja tarik balik kalau Dia mahu. Maka bersyukurlah dengan apa sahaja ilmu yang Allah ﷻ berikan. Jangan berlebihan memikirkan tentang perkara yang kita layak memikirkannya, seperti contoh Roh di dalam ayat sebelum ini.

Ayat ini memberitahu juga jika Allah ﷻ menghendaki boleh saja kejadian wahyu yang telah diturunkannya kepada engkau itu dicabutnya kembali, sehingga hilang laksana diterbangkan angin. Ini pun sudah pernah berlaku. Banyak wahyu yang diturunkan Allah ﷻ kepada Nabi-nabi yang telah terdahulu tidak lengkap terkumpul lagi. Atau hilang terbakar aslinya dan dicatat kembali hafalan orang lain yang berbeza-beza. Sehingga kita dapati apa yang dinamakan oleh orang Kristian sekarang Kitab Injil, bukanlah Injil asli yang diturunkan kepada Isa Al-Masih n, melainkan catatan yang datang kemudian. Iaitu penulis yang dikenali sebagai Markus, Lukas, Matius dan Yohannes. Satu dan lainnya tidak sama. Malah keempat-empat mereka ini tidak diketahui pun siapa mereka walaupun oleh orang Kristian sendiri. Kalau hal yang seperti itu kejadian pada wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ adakah orang lain yang dapat menolong?

Namun begitu berkat Rahmat dan belas-kasihan Tuhan kepada ummat Muhammad ﷺ tidaklah berlaku sedemikian pada Al-Qur’an. Sejarah pemeliharaan Allah ﷻ atas Al-Qur’an itu jelas terbentang dan dapat kita menyelidikinya sampai ke pangkal. Boleh rujuk sejarah pengumpulan Al-Qur’an di zaman para sahabat.

Allah ﷻ juga telah menjaga Al-Qur’an itu di dalam hati Rasulullah ﷺ seperti disebut di dalam Qiyamah: 17

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ
Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);

Allah ﷻ telah berjanji untuk menjaga Al-Qur’an termasuklah bacaannya yang benar. Allah ﷻ sebut dalam Hijr: 9

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Maknanya Allah ﷻ jaga Al-Qur’an itu dalam semua bentuk, seperti tulisan, ayat-ayatnya, termasuklah cara sebutan. Maka sebutan tajwid yang kita belajar semenjak kecil itu juga adalah dalam penjagaan Allah ﷻ. Kita bukan sahaja mendapat teks Al-Qur’an yang terpelihara tetapi bacaannya juga sama dari dulu sampai sekarang.

Allah ﷻ juga telah berfirman dalam A’la: 6

سَنُقْرِئُكَ فَلَا تَنسَىٰ
Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Qur’an yang diturunkan kepadamu – dengan perantaraan Jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa,

ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهِۦ عَلَينَا وَڪِيلاً

kamu tidak akan mendapatkan seorang pembela pun terhadap Kami,

Allah ﷻ beritahu yang seandainya Allah ﷻ hilangkan, baginda tidak akan dapati Al-Qur’an ini sebagai pembantu dan penolong. Tidak mungkin akan boleh ada balik Al-Qur’an itu.

Mengulas ayat ini, al-Imam al-Tabari رَحِمَهُ اللَّهُ menukilkan kata-kata daripada Abdullah Ibn Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa beliau mentakwilkan ayat ini dengan katanya: Allah ﷻ menghilangkan apa-apa yang diwahyukan kepadanya itu adalah dengan cara mengangkatnya daripada dada-dada para qurra’ (pembaca Al-Qur’an).

Manakala al-Imam al-Qurthubi رَحِمَهُ اللَّهُ ketika menafsirkan ayat ini beliau berkata: Sebagaimana Kami mampu untuk menurunkan Al-Qur’an ini begitu juga Kami mampu untuk menghilangkannya iaitu ia dilupakan di sisi manusia.

Syeikh al-Sya’rawi رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: Siyaq ayat ini menunjukkan bahawa perkara ini tidak berlaku pun kerana Allah ﷻ berfirman: ‘وَلَئِن شِئْنَا’ iaitu ‘Kalaulah Kami berkehendak, maka Kami boleh melakukan perkara itu’. Ini menunjukkan perbuatan itu tidak berlaku. Makna yang dikehendaki daripada ayat ini adalah untuk menjelaskan bahawa perkara itu boleh berlaku. Tujuannya adalah untuk membersihkan kedudukan Nabi ﷺ, dan bahawasanya Baginda ﷺ tidak ada sebarang kaitan dengan Al-Qur’an (kerana Al-Qur’an semuanya datang daripada Allah ﷻ).

Akan tetapi ada dalil-dalil yang menyebut yang Al-Qur’an boleh diangkat iaitu dihilangkan daripada hati-hati manusia jikalau manusia tidak mengendahkannya.

Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:
لَيُسْرَيَنَّ عَلَى الْقُرْآنِ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَلا يُتْرَكُ آيَةٌ فِي مُصْحَفٍ وَلا فِي قَلْبِ أَحَدٍ إِلا رُفِعَتْ
“Akan ditinggalkan Al-Qur’an pada malam tersebut dan tidak akan kekal satu ayat di dalam mushaf (Al-Qur’an) dan juga di dalam hati seseorang melainkan ia (Al-Qur’an) telah diangkat.”
(Riwayat al-Darimi (3209) dengan sanad yang sahih)

Daripada Huzaifah bin al-Yaman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:
يدرُسُ الإسلامُ كما يدرُسُ وَشيُ الثَّوبِ حتَّى لا يُدرَى ما صيامٌ، ولا صلاةٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدَقةٌ، ولَيُسرى على كتابِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ في ليلَةٍ، فلا يبقى في الأرضِ منهُ آيةٌ، وتبقَى طوائفُ منَ النَّاسِ الشَّيخُ الكبيرُ والعجوزُ، يقولونَ: أدرَكْنا آباءَنا على هذِهِ الكلمةِ، لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، فنحنُ نقولُها فقالَ لَهُ صِلةُ: ما تُغني عنهم: لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وَهُم لا يَدرونَ ما صلاةٌ، ولا صيامٌ، ولا نسُكٌ، ولا صدقةٌ؟ فأعرضَ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ ردَّها علَيهِ ثلاثًا، كلَّ ذلِكَ يعرضُ عنهُ حُذَيْفةُ، ثمَّ أقبلَ علَيهِ في الثَّالثةِ، فقالَ: يا صِلةُ، تُنجيهِم منَ النَّار ثلاثًا.
“Ajaran Islam akan terhakis sebagaimana terhakisnya baju sehingga tidak diketahui apa itu puasa, apa itu solat, apa itu ibadat, apa itu sedekah dan akan ditinggalkan kitab Allah di malam hari sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun. Golongan yang tersisa itu ialah kelompok manusia yang lanjut usia dan lemah, lalu mereka berkata: Kami menemui bapa-bapa kami di atas kalimat “Tiada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah”, maka kami pun mengucapkannya. Shilah berkata kepadanya: kalimat “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah” tidak cukup bagi mereka. Ini kerana, mereka tidak tahu apa itu solat, apa itu puasa, apa itu ibadah dan apa itu sedekah. Maka Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berpaling daripadanya, namun dia menolaknya dan hal itu dilakukan sebanyak tiga kali dan pada kali ketiga, Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Wahai Shilah, kamu telah menyelamatkan mereka dari neraka”. Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengucapkannya sebanyak tiga kali.”
(Riwayat Ibn Majah No. 4039)
Al-Hafiz Ibn Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan sanad bagi hadith ini kuat

Hadith ini menunjukkan akan keadaan umat Islam di akhir zaman disebabkan kejahilan tetapi dalam masa yang sama masih berpegang dengan kalimah tauhid. Manakala makna matan ini ialah “akan ditinggalkan kitab Allah di malam hari sehingga tidak tersisa di muka bumi ini satu ayat pun” akan datang satu hari di mana kitab Allah akan dipadamkan dan dihilangkan daripada dada-dada manusia dan juga kertas sehingga tidak tinggal satu ayat pun, bahkan ia diangkat ke langit. Kesimpulannya Al-Qur’an ini akan diangkat kembali kepada-Nya.

Nas ini dengan jelas menunjukkan saat Al-Qur’an dihapuskan daripada mushaf, maka itu merupakan tanda-tanda kiamat. Hal ini terjadi kepada semua mushaf dan bukan sebuah atau dua buah sahaja. Inilah yang difahami.

Maka ini mengajar kita supaya kita bersyukur dengan Al-Qur’an ini dan jangan tinggalkan sama sekali. Kita kena sayang, kena kaji, kena belajar dan diajar kepada orang lain. Akan sampai masanya nanti ia akan hilang dari sisi manusia, semoga ia bukannya terjadi di zaman kita. Namun kalau sekarang pun sudah sangat ramai yang tidak mengendahkan Al-Qur’an, entah apalah yang akan terjadi masa-masa hadapan.

Pendapat Ulama berkaitan perkara ini juga sama, iaitu ia Al-Qur’an akan hilang.

Pertama: Amru Bin Dinar رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Aku mendapati ramai guru-guru kami sejak 70 tahun berkata: “Al-Quran adalah Kalam Allah datang daripada-Nya dan kepada-Nya akan kembali.”

Kedua: Ibn Rajab رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Perkara pertama yang diangkat daripada ilmu adalah ilmu bermanfaat…..sehingga tiada kekal kecuali Al-Quran dalam mushaf, dan kemudian diangkatnya pada akhir zaman.”

Ketiga: Syeikh al-Islam رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Al-Quran akan diangkat pada akhir zaman daripada mushaf dan dada sehingga tiada kekal pada dada manusia walau satu kalimah dan pada mushaf walau satu huruf.”

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, katanya:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَرْجِعَ الْقُرْآنُ حَيْثُ نَزَلَ، لَهُ دَوِيٌّ حَوْلَ الْعَرْشِ، كَدَوِيِّ النَّحْلِ، يَقُولُ الرَّبُّ: مَا لَكَ؟ فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، أُتْلَى، وَلا يُعْمَلُ بِي
“Tidak akan terjadi hari kiamat sampai al-Qur’an itu dikembalikan ke tempat asal turunnya, ia mempunyai dengungan di sekitar Arasy sebagaimana dengungan lebah. Allah ﷻ berfirman: ‘Ada apa denganmu?’ Ia (Al-Qur’an) menjawab, ‘Wahai Rabb-ku, aku ini dibaca namun tidak diamalkan.”
(Riwayat al-Darimi dalam al-Radd ‘ala al-Jahmiyyah (343) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (7513))
Al-Baghawi turut menukilkan dalam Syarh al-Sunnah

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 85 – 86 (Tentang Roh)”

Leave a comment