Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 54 – 56 (Mencari wasilah)

JEMPUTAN KEPADA ORANG KAFIR

Isra’ Ayat 54: Ayat ini menjelaskan kenapa kaum Muslimin diperintahkan untuk berucap baik terhadap golongan penentang dan musyrik itu.

رَّبُّكُم أَعلَمُ بِكُم إِن يَشَأ يَرحَمكُم أَو إِن يَشَأ يُعَذِّبكُم وَمَآ أَرسَلنَـٰكَ عَلَيہِم وَڪِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your Lord is most knowing of you. If He wills, He will have mercy upon you; or if He wills, He will punish you. And We have not sent you, [O Muḥammad], over them as a manager.

(MELAYU)

Tuhanmu lebih mengetahui tentang kamu. Dia akan memberi rahmat kepadamu jika Dia menghendaki dan Dia akan mengazabmu, jika Dia menghendaki. Dan, Kami tidaklah mengutusmu untuk menjadi penjaga bagi mereka.

 

رَّبُّكُم أَعلَمُ بِكُم

Tuhanmu lebih mengetahui tentang kamu.

Allah ﷻ kenal kita lebih daripada kita kenal diri kita sendiri. Tidak ada perkara yang kita boleh tipu Allah ﷻ. Oleh kerana Allah ﷻ kenal kita, maka Allah ﷻ layak untuk menentukan siapakah yang layak dapat hidayah dan siapakah yang tidak. Ada orang yang telah ditakdirkan mendapat hidayah dan ada yang ditakdirkan kekal sebagai kafir. Kita tidak boleh mengubah mereka walaupun kita berkasar terhadap mereka.

Kita juga tidak boleh kata orang itu dan orang ini sebagai ahli neraka, kerana kita tidak tahu nasib mereka. Allah ﷻ lebih tahu iman mereka. Allah ﷻ lebih tahu keupayaan mereka. Entah mereka itu nanti jadi beriman lebih lagi daripada kita.

Kenapa disebut dhomir كم di dalam ayat ini sedangkan ayat sebelumnya tentang dakwah kepada orang kafir? Ini kerana dalam kita dakwah kepada orang lain, kita sebenarnya dakwah kepada diri kita sendiri sebenarnya. Dalam kita menghalang orang lain daripada kemungkaran, kita sebenarnya menasihati diri kita supaya tidak melakukan kemungkaran juga.

Maka ini mengajar kita supaya dalam kita berdakwah kepada orang lain, jangan rasa diri itu suci. Jangan rasa kita lebih baik, lebih banyak pahala daripada orang lain. Jangan membiasakan diri suka menerakakan orang lain tetapi mensyurgakan diri sendiri pula.

 

إِن يَشَأ يَرحَمكُم

Dia akan memberi rahmat kepadamu jika Dia menghendaki 

Maka terpulang kepada Allah ﷻ untuk beri apa yang ingin diberikan-Nya kepada kita. Mungkin Dia pilih untuk beri taufik kepada kita dan orang yang kita dakwahkan itu. Sesungguhnya inilah yang kita harapkan.

 

أَو إِن يَشَأ يُعَذِّبكُم

dan Dia akan mengazabmu, jika Dia menghendaki.

Atau Allah ﷻ boleh buat keputusan untuk menarik taufik daripada kita atau tidak beri kepada orang yang kita dakwahkan itu. Kita berkasar bagaimana sekalipun, mereka tetap begitu. Apabila tiada taufik, maka balasannya adalah neraka! Ini adalah hak Allah ﷻ dan kita tidak boleh persoalkan.

Pengulangan kata إِن يَشَأ di sini (kalau tidak letak pun ayatnya masih memberi maksud yang sama) mengisyaratkan bahawa kehendak yang berbeza itu – merahmati dan menyeksa – bukannya bersumber daripada kehendak Allah ﷻ semata, tanpa memperhatikan dan berkaitan keadaan manusia. Kehendak merahmati berkaitan dengan sikap dan perbuatan yang taat, dan seksa-Nya pun berkaitan dengan sikap kederhakaan. Maknanya bukanlah Allah ﷻ yang tetapkan mereka itu pasti beriman atau pasti kufur, akan tetapi ia bergantung kepada orang itu sendiri.

 

وَمَآ أَرسَلنَـٰكَ عَلَيہِم وَڪِيلاً

Dan, Kami tidaklah mengutusmu untuk menjadi penjaga bagi mereka.

Bukan tugas Nabi untuk menjaga amalan umat baginda. Nabi juga tidak boleh memaksa sesiapa beriman. Baginda hanya boleh sampaikan sahaja. Begitu jugalah dengan kita. Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk ikut apa yang kita hendak. Kita tidak boleh paksa orang untuk amalkan sunnah. Kita hanya boleh ajak mereka sahaja dan sampaikan ilmu kepada mereka. Sama ada mereka mahu terima atau tidak, itu adalah keputusan yang mereka kena buat sendiri.

Sesiapa yang ikut kepada dakwah Rasulullah ﷺ, maka mereka akan masuk ke dalam syurga dan sesiapa yang tidak taat, maka mereka akan masuk ke dalam neraka. Itulah sahaja formulanya.

Maka bukanlah salah kita apabila ada orang yang menolak dakwah kita. Kita telah lakukan sebaik mungkin, maka kita telah terlepas daripada tanggungjawab kita untuk menyampaikan kepada mereka. Kalau kita sudah lakukan perkara itu, maka kita tidak dipersalahkan lagi.


 

Isra’ Ayat 55: Bukan hanya keadaan manusia yang diliputi oleh ilmu Allah ﷻ tetapi seluruh jagat raya.

وَرَبُّكَ أَعلَمُ بِمَن فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ‌ۗ وَلَقَد فَضَّلنَا بَعضَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ عَلَىٰ بَعض وَءَاتَينَا دَاوُ ۥدَ زَبُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord is most knowing of whoever is in the heavens and the earth. And We have made some of the prophets exceed others [in various ways], and to David We gave the book [of Psalms].

(MELAYU)

Dan Tuhan-mu lebih mengetahui siapa yang di langit dan di bumi. Dan sesungguhnya telah Kami lebihkan sebahagian nabi-nabi itu atas sebahagian (yang lain), dan Kami berikan Zabur kepada Daud.

 

وَرَبُّكَ أَعلَمُ بِمَن فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ‌ۗ

Dan Tuhan-mu lebih mengetahui siapa yang di langit dan di bumi.

Dalam ayat 54 Tuhan telah menyatakan bahawa Dia mengetahui apa saja yang ada pada manusia sebagai hamba-Nya, maka Dia pun mengetahui pula segala apa yang terkandung di semua langit, iaitu langit yang tujuh tingkat itu, kerana Dia yang menjadikan. Oleh kerana yang demikian itu selalu Tuhan menganjurkan manusia menuntut ilmu, dengan segala macam cabang dan ranting ilmu itu, supaya dia mengetahui bagaimana ilmu Allah ﷻ itu meliputi segala yang ada di permukaan bumi besar dan kecil, dan yang ada di lingkungan cakrawala langit.

Maka berusahalah manusia zaman sekarang mempelajari ruang angkasa dan banyaklah keajaiban ilmu itu diperoleh, sehingga sudah sampai manusia ke bulan (sejak bulan Julai 1960) dan bermulalah penyelidikan pula keadaan bulan itu, sampai dibawa pasir di bulan kembali ke bumi untuk diselidiki persamaan dan perbezaannya dengan keadaan di bumi, sampai kepada telah berapa juta tahunkah usia bulan itu.

Selain daripada itu, yang ada di bumi adalah manusia dan para Nabi mereka. Seperti yang kita tahu, Surah al-Isra’ ini berkenaan Bani Israil atau golongan Yahudi. Golongan Yahudi itu sudah ada kitab dan mereka sudah semestinya telah dengar kisah tentang para Nabi dalam Al-Qur’an. Siapakah yang paling kenal dengan para Rasul itu? Tentulah Allah ﷻ!

Akan tetapi lain dengan bangsa Yahudi itu. Apabila mereka dengar tentang para Nabi mereka disebut dalam Al-Qur’an, maka mereka mahu membandingkan antara Nabi-nabi itu. Itulah perangai mereka dan ini tidak baik. Kerana Nabi ﷺ sendiri pernah melarang baginda dibandingkan dengan Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kerana ada sahabat yang hendak mengatakan Nabi Muhammad ﷺ lebih mulia daripada Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini dilarang kerana ini tidak baik. Kerana kalau dibanding-bandingkan, nanti akan jadi pertandingan dan perbalahan pula (Nabi aku lebih hebat daripada Nabi kamu dan macam-macam lagi).

Kita jangan buat begitu kerana kita tidak kenal kedudukan para Nabi itu. Kerana itulah Allah ﷻ berfirman dalam ayat ini yang Dia lebih kenal tentang makhluk-Nya. Termasuk dalam kalangan makhluk itu adalah para Nabi. Siapa kita hendak bandingkan para Nabi itu?

 

وَلَقَد فَضَّلنا بَعضَ النَّبِيّينَ عَلىٰ بَعضٍ

Dan sesungguhnya telah Kami lebihkan sebahagian nabi-nabi itu atas sebahagian (yang lain),

Allah ﷻ yang layak untuk beri kelebihan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dalam ramai-ramai manusia, ada yang Dia pilih untuk diberikan kurnia sebagai Nabi. Kemudian dalam ramai-ramai Nabi itu, ada yang mendapat kelebihan dan kedudukan yang lebih daripada Nabi yang lain. Ini seperti Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dapat berbicara terus dengan Allah ﷻ; Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula diberi gelaran Khalilullah (Kekasih Allah) dan lain-lain kelebihan lagi yang kita pun mungkin tidak tahu. Allah ﷻ beri kedudukan yang berbeza-beza itu di atas kebijaksanaan Allah ﷻ yang tiada hadnya.

Sedangkan kita tidak tahu. Maknanya Allah ﷻ sahaja yang tahu kedudukan dan keistimewaan para Nabi itu. Ini bukan kerja kita, maka pulangkan kepada Allah ﷻ. Dalam ayat yang lain disebutkan melalui firman-Nya:

تِلْكَ الرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ مِنْهُمْ مَنْ كَلَّمَ اللهُ وَرَفَعَ بَعْضَهُمْ دَرَجَاتٍ
Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain. Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (langsung dengan dia) dan sebahagiannya Allah meninggikannya beberapa darjat.
(Al-Baqarah: 253)

Hal ini tidaklah bertentangan dengan apa yang disebutkan di dalam kitab Sahihain, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ بَيْنَمَا يَهُودِيٌّ يَعْرِضُ سِلْعَةً لَهُ أُعْطِيَ بِهَا شَيْئًا كَرِهَهُ أَوْ لَمْ يَرْضَهُ شَكَّ عَبْدُ الْعَزِيزِ قَالَ لَا وَالَّذِي اصْطَفَى مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى الْبَشَرِ قَالَ فَسَمِعَهُ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَلَطَمَ وَجْهَهُ قَالَ تَقُولُ وَالَّذِي اصْطَفَى مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى الْبَشَرِ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَظْهُرِنَا قَالَ فَذَهَبَ الْيَهُودِيُّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا أَبَا الْقَاسِمِ إِنَّ لِي ذِمَّةً وَعَهْدًا وَقَالَ فُلَانٌ لَطَمَ وَجْهِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَ لَطَمْتَ وَجْهَهُ قَالَ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَالَّذِي اصْطَفَى مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَام عَلَى الْبَشَرِ وَأَنْتَ بَيْنَ أَظْهُرِنَا قَالَ فَغَضِبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى عُرِفَ الْغَضَبُ فِي وَجْهِهِ ثُمَّ قَالَ لَا تُفَضِّلُوا بَيْنَ أَنْبِيَاءِ اللَّهِ فَإِنَّهُ يُنْفَخُ فِي الصُّورِ فَيَصْعَقُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ قَالَ ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ أُخْرَى فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ بُعِثَ أَوْ فِي أَوَّلِ مَنْ بُعِثَ فَإِذَا مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَام آخِذٌ بِالْعَرْشِ فَلَا أَدْرِي أَحُوسِبَ بِصَعْقَتِهِ يَوْمَ الطُّورِ أَوْ بُعِثَ قَبْلِي وَلَا أَقُولُ إِنَّ أَحَدًا أَفْضَلُ مِنْ يُونُسَ بْنِ مَتَّى عَلَيْهِ السَّلَام
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; “Pada suatu ketika ada seorang Yahudi yang menawarkan barang dagangannya, tetapi dia mendapat penawaran yang tidak disepakatinya (‘Abdul ‘Aziz merasa ragu; atau ada yang tidak disukainya), hingga dia berkata; ‘Demi Dzat yang telah mengutamakan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada semua manusia, tidak boleh kalau penawarannya seperti itu.’ Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Ternyata ucapan orang Yahudi itu didengar oleh seorang sahabat Ansar. Maka tanpa banyak komentar, ditamparnya muka orang Yahudi tersebut.’ ‘Mengapa kamu berani berkata, ‘Hujah sahabat Ansar itu. ‘Demi Dzat yang telah mengutamakan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada semua manusia, sementara Rasulullah ﷺ masih berada di antara kami? ‘Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Akhirnya orang Yahudi itu datang menemui Rasulullah ﷺ dan berkata; ‘Wahai Abu Qasim, saya ini adalah orang kafir dzimmi yang dilindungi dan mempunyai hak, sebagaimana kaum muslimin lainnya. Ketahuilah bahawasanya si fulan telah menampar muka saya.’ Lalu Rasulullah ﷺ memanggil sahabat Ansar itu dan bertanya; ‘Hai sahabat Ansar, mengapa kamu tampar muka orang Yahudi ini? ‘ Sahabat Ansar pun menjawab; ‘Ya, Rasulullah, saya menampar muka orang Yahudi ini lantaran dia berkata; ‘Demi Dzat yang telah mengutamakan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada semua manusia.’ Mendengar penjelasan sahabat Ansar itu, maka marahlah Rasulullah ﷺ dan kemarahannya itu tampak raut muka hingga baginda bersabda: ‘Janganlah kamu mengutamakan seorang Nabi daripada Nabi yang lain. Sesungguhnya, ketika sangkakala mulai ditiup, maka pada saat itu pula semua makhluk yang ada di langit dan di muka bumi akan mati, terlebih dahulu. Setelah itu, sangkakala pun ditiup kembali. Maka aku adalah orang yang pertama kali dibangkitkan atau: aku termasuk salah seorang makhluk Allah yang pertama kali dibangkitkan dan ternyata Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah tiba di ‘Arasy. Sebenarnya aku juga tidak tahu apakah pengsannya Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada peristiwa Thur itu sudah dianggap sebagai kematiannya ataukah (Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا tidak pasti) dibangkitkan lebih daripadaku. Aku sendiri tidak berani mengatakan bahawa ada seorang manusia yang lebih utama dan mulia daripada Yunus bin Matta عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
(Sahih Muslim No. 4376)

Ini kerana Allah ﷻ sahaja yang layak untuk membandingkan para Nabi itu, dan kita sendiri tidak layak. Tidak ada perselisihan dalam kalangan ulama bahawa para rasul itu lebih utama daripada para nabi, dan bahawa ulul ‘azmi dalam kalangan para rasul adalah yang paling utama di antara mereka. Mereka yang termasuk ke dalam golongan ulul ‘azmi ada lima orang, sebagaimana yang disebutkan dalam dua ayat Al-Qur’an; iaitu yang pertama terdapat dalam surat Al-Ahzab melalui firman-Nya:

وَإِذْ أَخَذْنَا مِنَ النَّبِيِّينَ مِيثَاقَهُمْ وَمِنْكَ وَمِنْ نُوحٍ وَإِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ
Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian ‘daripada nabi-nabi dan daripada kamu (sendiri), daripada Nuh, Ibrahim, Musa, dan Isa putera Maryam.
(Ahzab: 7)

Tidak ada yang memperselisihkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah yang paling utama di antara mereka, sesudah itu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, lalu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, selanjutnya Nabi Isa putra Maryam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, menurut pendapat yang terkenal. Penetapan ini terdapat dalam dalil-dalil yang sahih. Kita menerimanya kerana ia ditentukan sendiri oleh Allah ﷻ dan diberitahu kepada kita melalui Rasul-Nya Muhammad ﷺ.

 

وَءَاتَينَا دَاوُ ۥدَ زَبُورًا

dan Kami berikan Zabur kepada Daud.

Apabila Allah ﷻ lantik Nabi Muhammad ﷺ melebihi para Rasul yang lain, bukanlah Allah ﷻ hendak rendahkan para Nabi dalam kalangan Bani Israil. Sebagai contoh, sekarang Allah ﷻ sebut tentang Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ iaitu Nabi Bani Israil, yang telah diberikan dengan kelebihan mendapat Kitab Zabur. Disebut di dalam hadith bagaimana sukanya Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membaca Zabur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خُفِّفَ عَلَى دَاوُدَ الْقِرَاءَةُ فَكَانَ يَأْمُرُ بِدَابَّتِهِ لِتُسْرَجَ فَكَانَ يَقْرَأُ قَبْلَ أَنْ يَفْرُغَ يَعْنِي الْقُرْآنَ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ bersabda: “Dawud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimudahkan untuk membaca, dia pernah menyuruh orang untuk memasangkan pelana pada tunggangannya, dan dia membaca Al Qur`an (Zabur) terlebih dahulu sebelum pelananya selesai dipasangkan pada tunggangannya.”
(Sahih Bukhari No. 4344)

Maka kita jangan susun kedudukan sesiapa pun dalam kalangan Nabi itu kerana tidak perlu dan tidak mampu kita lakukan. Kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu kedudukan mereka itu.

Ayat ini secara khusus menyebut Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mungkin juga disebabkan kerana orang-orang Yahudi mengira bahawa tidak ada lagi Nabi sesudah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Penyebutan Kitab Zabur juga memberi isyarat tentang kedudukan Nabi Muhammad ﷺ sebagai Pemerintah selain daripada Nabi dan Rasul. Ini kerana telah disebut di dalam ayat yang lain iaitu di dalam Anbiya’: 105. Bukan semua para Rasul menjadi pemerintah, melainkan beberapa orang sahaja, maka ini adalah kelebihan tambahan.

وَلَقَد كَتَبنا فِي الزَّبورِ مِن بَعدِ الذِّكرِ أَنَّ الأَرضَ يَرِثُها عِبادِيَ الصّٰلِحونَ
Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) al-Kitab, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh.

Dari segi bahasa Zabur ertinya sama dengan kitab. Kata banyaknya (jamaknya) ialah Zubur. Dalam hal syariat, Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah penerus dan penegak daripada syariat yang diturunkan Allah ﷻ kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang diturunkan kepadanya Kitab Taurat. Lantaran itu maka Zabur ini tidaklah mengandungi perintah syariat. Isinya yang terutama ialah doa dan pujian kepada Allah ﷻ, nyanyian dan munajat dan penuh berisi kata-kata hikmat yang mendalam. Tidak kurang daripada 150 puji-pujian kepada Ilahi, yang turun kepada diri baginda sebagai wahyu yang lalu baginda nyanyikan di dalam memuja Tuhan.

Tercatatlah di dalam sejarah hidup Nabi yang seorang ini, bahawa selain menjadi Nabi dan Rasul, baginda juga adalah Raja daripada Bani Israil. Al-Qur’an mengatakan bahawa kelebihan Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu ialah kerana kepandaiannya membuat baju besi untuk berperang, pandai pula membuat senjata yang lain-lain. Di waktu senggang baginda petiklah kecapinya yang merdu suaranya itu dan baginda bernyanyi memuja Allah ﷻ. Apabila suara yang merdu itu telah mendengung dibawa angin di udara, sehingga burung-burung yang sedang terbang pun dengan sendirinya berkumpul hinggap kepada ranting-ranting dan dahan-dahan kayu yang ada di keliling Raja/Nabi itu bernyanyi. Cuma bukanlah baginda menyanyi seperti kita sekarang ini. Baginda membaca kitab dengan suara yang merdu seperti juga kita dianjurkan untuk mencantikkan bacaan Al-Qur’an.

Di sisi lain juga untuk mengisyaratkan bahawa keutamaan Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan kerana kedudukannya sebagai raja, tetapi kerana anugerah kenabian dan kitab suci. Dengan demikian, Nabi Muhammad ﷺ dan para pengikut baginda boleh memperoleh keutamaan yang lebih besar dengan turunnya Al-Qur’an, walau Nabi Muhammad ﷺ bukan raja (ketika itu Rasulullah ﷺ di Mekah dan tidak ada kedudukan langsung di mata masyarakat).

Ada juga yang berpendapat bahawa penyebutan Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Zabur di sini berkaitan dengan perintah mengucapkan perkataan yang terbaik (di dalam ayat 53), kerana Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terkenal sebagai seorang yang sangat pandai dan bijaksana dalam memilih kata-kata, dan juga kerana kitab Zabur mengandungi tuntunan dan nasihat-nasihat yang sangat indah.


 

ADAKAH ILAH SELAIN ALLAH?

Isra’ Ayat 56: Selepas sebut tentang para Nabi sebelum ini, Allah ﷻ terangkan kepada kita tentang mereka. Ini kerana ada yang menjadikan para Nabi itu sebagai wasilah, atau tempat istighatsah (tempat minta doa). Maka ini adalah ayat Dalil Tauhid yang kita mesti beri perhatian.

قُلِ ٱدعُواْ ٱلَّذِينَ زَعَمتُم مِّن دُونِهِۦ فَلَا يَملِكُونَ كَشفَ ٱلضُّرِّ عَنكُم وَلَا تَحوِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Invoke those you have claimed [as gods] besides Him, for they do not possess the [ability for] removal of adversity from you or [for its] transfer [to someone else].”

(MELAYU)

Katakanlah: “Panggillah mereka yang kamu anggap (tuhan) selain Allah, maka mereka tidak akan mempunyai kekuasaan untuk menghilangkan bahaya daripadamu dan tidak pula memindahkannya”.

 

قُلِ ٱدعُواْ ٱلَّذِينَ زَعَمتُم مِّن دُونِهِۦ

Katakanlah: “Panggillah mereka yang kamu anggap (ilah) selain Allah,

Allah ﷻ bawa kembali kepada fokus utama Al-Qur’an iaitu tentang tauhid. Allah ﷻ cabar mereka untuk seru sembahan selain Allah ﷻ yang mereka anggap (زعم) sebagai ilah itu. Termasuk dalam maksud ayat ini adalah orang musyrik dan juga golongan ahli kitab, kerana mereka pun menyebut dan menyeru Rasul-rasul mereka. Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengatakan kalimah زعم bermaksud dusta kerana ia adalah anggapan tanpa dalil, agak-agak sahaja.

Oleh itu, ilah selain Allah ﷻ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah para Nabi dan malaikat. Kerana salah satu daripada ilah yang dijadikan manusia adalah roh Nabi dan malaikat. Ini adalah kerana kefahaman syirik yang ada dalam hati manusia. Termasuk dalam kalangan orang Islam yang jahil wahyu juga. Ramai daripada mereka yang seru roh Nabi, wali dan malaikat.

 

فَلا يَملِكونَ كَشفَ الضُّرِّ عَنكُم

mereka tidak akan mempunyai kekuasaan untuk menghilangkan bahaya daripadamu

Allah ﷻ hendak memberitahu mereka yang roh-roh yang mereka seru itu, tidak memiliki kuasa untuk buang kesusahan mereka pun. Serulah banyak mana pun, para Nabi dan malaikat itu tidak ada kuasa. Ini kerana mereka itu adalah makhluk juga.

 

وَلا تَحويلًا

dan tidak pula memindahkannya”.

Iaitu para Nabi, wali dan malaikat itu tidak dapat pindahkan mudarat yang dikenakan kepada penyembah mereka kepada orang lain. Sudahlah mereka tidak dapat menghilangkan mudarat daripada penyeru mereka, roh Nabi dan malaikat itu tidak ada kuasa untuk ubah apa-apa pun keadaan kerana mereka itu adalah makhluk yang tidak berkuasa.

Kenapa Allah ﷻ sebut tentang perkara ini selepas sebut tentang kedudukan dan kelebihan para Nabi itu? Allah ﷻ hendak beritahu yang masalah mereka bukan mereka meninggikan dan merendahkan kedudukan para Nabi itu, tetapi masalah mereka yang lebih besar adalah mereka seru para Nabi itu dalam ibadah mereka. Inilah bahayanya apabila terlalu meninggikan kedudukan para Nabi hingga ke tahap tuhan. Itulah yang paling salah kerana itu adalah syirik.

Amalan menyeru Nabi dan malaikat itu membuang masa sahaja kerana memang yang diseru itu tidak dapat membantu apa-apa pun. Mereka sekarang di alam barzakh dan tidak mendengar apa-apa pun seruan dan panggilan daripada kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 54 – 56 (Mencari wasilah)”

Leave a comment