Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 4 – 6 (Balasan kepada Bani Israil)

PERINGATAN KEPADA BANI ISRAIL

Isra’ Ayat 4: Ayat Takhwif duniawi (penakutan dengan azab di dunia). Setelah menyebut tentang kitab yang dianugerahkan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kini disebutkan sebahagian kandungan kitab tersebut, sekaligus memperingatkan bahawa siapa yang melanggar ketetapan dan tuntunan kitab suci, maka mereka terancam dengan seksa — walau setelah waktu yang lama.

Di sini kita akan belajar yang Bani Israil telah melakukan kerosakan yang besar di mukabumi. Maka Allah ﷻ hantar golongan yang kuat untuk musnahkan mereka. Hukuman yang dikenakan kepada mereka adalah kerana kezaliman mereka terhadap Allah ﷻ dan terhadap manusia lain.

وَقَضَينا إِلىٰ بَني إِسرٰءيلَ فِي الكِتٰبِ لَتُفسِدُنَّ فِي الأَرضِ مَرَّتَينِ وَلَتَعلُنَّ عُلُوًّا كَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We conveyed¹ to the Children of Israel in the Scripture that, “You will surely cause corruption on the earth twice, and you will surely reach [a degree of] great haughtiness.”

  • Foretold out of divine knowledge of what they would do.

(MELAYU)

Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar”.

 

وَقَضَينا إِلىٰ بَني إِسرٰءيلَ فِي الكِتٰبِ

Dan telah Kami tetapkan terhadap Bani Israil dalam Kitab itu: 

Telah ditakdirkan dalam kitab Taurat atau sebelumnya lagi iaitu dalam suhuf. Maksudnya Allah ﷻ telah beritahu mereka awal-awal lagi. Ada juga pendapat yang mengatakan ‘kitab’ yang dimaksudkan di sini adalah Lauh Mahfuz. Di situ tertulis segala perkara yang akan berlaku. Maknanya Allah ﷻ telah tahu apa yang mereka akan lakukan.

Di dalam Tafsir al-Kasysyaaf az-Zamakhsyari menyebutkan, bahawa harus juga dikatakan قَضَينا sebagai fi’il yang bertindak seperti fi’il qasam. لَتُفسِدُنَّ adalah jawabnya. Seolah-olahnya dikatakan, وأقسمنا لتفسدن (Kami telah bersumpah, bahawa sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan).

Di dalam ayat 2 sebelum ini telah disebut mereka telah diberikan dengan kitab wahyu dan sepatutnya mereka mengikut kitab wahyu itu. Akan tetapi kerana mereka meninggalkannya, maka mereka akan diberikan dengan balasan yang buruk.

 

لَتُفسِدُنَّ فِي الأَرضِ مَرَّتَينِ

“Sesungguhnya kamu pasti akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali

Allah ﷻ telah beritahu yang mereka pasti akan melakukan kerosakan di muka bumi sebanyak dua kali. Mereka pasti akan melakukan penderhakaan kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana mereka ada kuasa, bukan? Bumi yang dimaksudkan itu adalah Syria.

Bani Israil telah mendapat nikmat-nikmat yang berganda-ganda daripada Tuhan. Mereka telah pindah ke Mesir seketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkuasa di sana. Nabi Ya’kub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri, yang diberi gelaran Israil, dengan anak-anaknya dan cucu-cucunya telah pergi ke Mesir atas anjuran anaknya iaitu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Oleh itu mereka telah berdiam di Mesir turun temurun. Jumlah mereka sekeluarga yang pindah ke Mesir itu menurut satu riwayat daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ adalah seramai 93 orang, laki-laki, perempuan.

Kemudian mereka telah keluar dari Mesir dipimpin oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ 400 tahun kemudian mencapai ketika jumlah mereka mencapai 670,000 orang. Kisahnya kerana takut mereka akan kuat di sana, Fir’aun-fir’aun yang memerintah Mesir selalu menghinakan mereka seperti hamba. Maka kemudian Allah ﷻ telah mengutus Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk memimpin mereka, sampai mereka dibawa keluar dari Mesir menuju tanah yang dijanjikan Tuhan untuk mereka. Tanah yang subur, yang kaya dengan air susu dan madu iaitu Palestina. Demikianlah mulanya dengan pimpinan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kemudian dengan pimpinan Nabi Yusya’ عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dapatlah pula akhirnya mereka menjadi bangsa yang kukuh dan kuat di Jerusalem, Palestina itu. Puncak kemegahan mereka ialah di zaman Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; dua Nabi Bani Israil yang merangkap menjadi Raja.

Tetapi setelah kedua Nabi Raja itu mangkat, mulailah kucar-kacirnya Bani Israil, mulai mereka langgar hukum-hukum Taurat. Bermulalah negeri itu berpecah menjadi dua, menjadi negeri Yahudi dan Afraim. Lalu banyaklah maksiat terjadi, penzinaan, menjual orang merdeka, penganiayaan sehingga hancurlah kemegahan Bani Israil. Maka datanglah azab Tuhan. Didatangkan musuh-musuh mereka, pertama orang Mesir di bawah raja Fir’aun Nikho. Setelah itu Raja Nabukadnesar (Bukhti-nashar) dari Babil. Negeri Bani Israil dimusnahkan dan Baitul Maqdis yang didirikan Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu diratakan dengan bumi. Lebih 10,000 orang yang ditawan dan dibawa ke Babil dan dijadikan hamba abdi.

Setelah 100 tahun negeri itu hancur maka datanglah Korusy, raja Persia yang disebut juga sebagai Cyrus, dia memerangi Babil hingga kalah. Maka keturunan-keturunan Bani Israil yang tertawan di Babil itu seluruhnya pulang ke Jerusalem buat membangunkan kembali negeri mereka dan Baitul Maqdis itu. Di bawah pimpinan Nabi ‘Uzair عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (‘lzra) 5 abad sebelum Masehi mereka teguh kembali. Tetapi tidaklah semegah dahulu. Mereka hanya selalu di bawah lindungan kerajaan asing.

Mulanya lindungan kerajaan Persia. Kemudian takluk kepada Iskandar Macedonia (3 abad sebelum Masehi). Setelah itu takluk ke bawah hukum bangsa Romawi. Di zaman inilah Nabi Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutus Tuhan kepada mereka. Namun begitu Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu mereka lawan dengan keras, nyaris mereka bunuh.

Mereka telah diajar oleh Nabi-nabi tentang Tauhid. Mereka juga mengakui bahawa mereka menyembah Tuhan Yang Esa. Tuhan nenek moyang mereka lbrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Ya’kub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi pada satu waktu mereka setelah terpedaya menyembah “‘ljil”, iaitu patung anak lembu daripada emas yang dibina oleh Samiri, sehingga amat murkalah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada mereka. Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun pernah mengutuk mereka kerana telah banyak maksiat yang mereka lakukan. Bahkan Nabi llyas عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, memberi peringatan kepada mereka, kerana telah ada pula yang menyembah berhala Balal.

Agama mereka telah menjadi kaku, berpegang kepada yang tertulis, tetapi akhlak telah runtuh. Kedatangan Nabi Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun mengajak mereka kembali kepada hukum Taurat yang sebenarnya. Akan tetapi tidak mereka acuhkan. Di kala Nabi Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang ke Baitul Maqdis baginda sudah amat murka, kerana rumah suci itu telah mereka kotori menjadi pasar tempat berjual-beli.

Lantaran yang demikian tidaklah dapat lagi Bani Israil dibebani tugas. Mereka membunuh pula Nabi-nabi. Inilah ditegaskan Tuhan tentang akibat keingkaran-keingkaran Bani Israil itu. Oleh kerana mereka telah ingkar, maka Allah ‎ﷻ menghantar golongan kafir untuk memusnahkan mereka.

 

وَلَتَعلُنَّ عُلُوًّا كَبيرًا

dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar”.

Mereka akan membuat kerosakan itu sebanyak dua kali – maknanya mereka akan naik tinggi dua kali di mana mereka akan mendapat kuasa dalam dunia. Mereka sombong dengan golongan orang lain kerana bangga dengan keturunan mereka.

Atau maksud mereka sombong sangat itu adalah kerana mereka membunuh Nabi yang menjadi lambang Tauhid. Oleh itu, maksud meninggi itu adalah mereka angkat kepala kerana derhaka. Mereka menjadi sombong terhadap hamba Allah ﷻ yang lain, sampai mereka sanggup membunuh Nabi! Ini memang perbuatan yang amat teruk.


 

DUA KEROSAKAN

Isra’ Ayat 5: Ada dua kenaikan mereka dalam sejarah iaitu pada zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sekali lagi pada zaman Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

فَإِذا جاءَ وَعدُ أولٰهُما بَعَثنا عَلَيكُم عِبادًا لَّنا أُولي بَأسٍ شَديدٍ فَجاسوا خِلٰلَ الدِّيارِ ۚ وَكانَ وَعدًا مَّفعولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when the [time of] promise came for the first of them,¹ We sent against you servants of Ours – those of great military might, and they probed [even] into the homes,² and it was a promise fulfilled.

  • i.e., the promised punishment for the first of their two transgressions.
  • Violating their sanctity, to kill and plunder.

(MELAYU)

Maka apabila datang janji pertama dari kedua janji itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka bermaharajalela sampai ke dalam rumah, dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana.

 

فَإِذا جاءَ وَعدُ أولٰهُما

Maka apabila datang janji pertama dari kedua janji itu, 

Ini adalah janji daripada dua kemungkaran yang mereka lakukan yang telah disebut sebelum ini. Untuk tahu ayat ini, kena tahu sejarah Bani Israil:

Selepas Bani Israil diarahkan untuk masuk ke dalam Bandar Palestin di zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selepas mereka menyeberangi Laut Tih, mereka enggan untuk masuk ke dalam bandar. Kerana untuk masuk ke dalam bandar, mereka harus berperang dengan puak Amalikah yang sedang menghuni bandar itu dan puak Amalikah itu pula kuat. Maka, kerana keengganan mereka, Allah ﷻ telah takdirkan mereka terus sesat dalam padang pasir selama 40 tahun.

Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga telah wafat semasa puak Bani Israil itu sesat di dalam padang pasir itu. Maka, hanya di bawah pimpinan Nabi Yusha’ عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ barulah golongan yang baru (golongan tua telah mati semuanya) dalam kalangan mereka yang sanggup berperang dan kerana itu mereka telah menang. Sememangnya pada waktu itu mereka sudah kuat.

Pada masa itu, mereka ada 12 puak. Selepas itu, mereka berpecah sesudah menang. Sepatutnya mereka bersatu sahaja kerana mereka berjaya menang pun kerana mereka bersatu. Namun memang kebiasaan manusia, lama-lama akan terjadi perpecahan.

Maka, begitulah juga yang terjadi kepada kita sekarang. Kita semua beragama Islam, tetapi ada Muslim dari Sudan, dari Pakisan, dari Malaysia dan pelbagai negara lagi. Malangnya, kita masih tidak dapat bersatu walaupun kita semua beragama Islam. Kita juga yang buat begitu kerana masalah yang ada pada diri kita.

Apabila berpecah tentulah kekuatan berkurangan. Dari segi ketenteraan juga sudah tidak kuat kerana tidak bersatu. Ini menyebabkan mereka senang untuk diserang – walaupun mereka sudah menang sebelum itu, tetapi orang luar mudah menawan mereka.

Begitulah yang terjadi apabila Nebuchadnezzar menyerang dan menakluk Palestin pada tahun 587 SM. Akan tetapi pada tahun 538 SM, Bani Israil telah kembali dari Babylon dan menakluk kembali Palestin. Mereka telah memenangkan kembali kerajaan Bani Israil.

Kalau kita bandingkan dengan kerajaan Islam juga, kerajaan Islam kuat semasa zaman Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sampai ke zaman Uthman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Namun, pada zaman Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ umat Islam sudah mula berpecah menjadi dua kumpulan.

Semasa Bani Israil berpecah itu, waktu itulah mereka jauh daripada agama, rasuah semakin menjadi-jadi. Ini kerana mereka tidak melihat diri mereka dalam satu agama, tetapi mereka bezakan antara agama dan umat. Ini sama seperti kita juga. Kita bezakan diri kita antara agama dan bangsa.

Kita mesti belajar daripada apa yang telah terjadi kepada Bani Israil ini. Kerana apa yang Allah ﷻ ceritakan dalam Al-Qur’an ini bukanlah sebagai sejarah semata, tetapi kita hendaklah ambil pengajaran daripadanya. Kalau tahu sejarah sahaja, tetapi tidak diambil pengajaran daripadanya, maka rugilah kita. Ibarat bacaan kosong sahaja ayat-ayat ini.

 

بَعَثنا عَلَيكُم عِبادًا لَّنا أُولي بَأسٍ شَديدٍ

Kami bangkitkan ke atas kamu, hamba-hamba milik Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, 

Maka, janji yang pertama ini adalah kemusnahan pertama Bani Israil. Ada pendapat yang mengatakan kesalahan pertama mereka adalah kerana mereka membunuh Nabi Zakaria عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Oleh kerana itu seluruh Israil telah ditakluki. Ramai yang telah dibunuh dan ramai juga yang telah ditawan dan diambil sebagai tawanan.

Ini adalah kekalahan besar yang pertama bagi mereka. Ini terjadi 450 tahun sebelum lahirnya Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Waktu inilah juga dikatakan Nabi Uzair عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berjalan ke kota yang hancur dan baginda telah ditidurkan selama 100 tahun. Kemudian di bawah pemerintahan Nabi Uzair عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, golongan Yahudi telah naik kembali dan mereka dibenarkan untuk kembali ke tanah mereka.

Waktu itu, mereka telah membuka kerajaan yang baru. Namun seperti biasa, apabila sesuatu kerajaan itu telah sangat besar dan sangat mewah, lama kelamaan mereka kembali jatuh. Apabila mereka sudah lemah kembali, mereka diserang pula oleh Greek. Lalu, kemudian mereka di bawah pemerintahan Roman dan waktu inilah Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilahirkan. Kemudian, 70 tahun selepas Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tiada (diangkat ke langit), mereka telah diserang oleh Roman dan sekali lagi Masjidil Aqsa dihancurkan.

Namun begitu ini adalah satu pendapat. Memang sangat banyak pendapat yang diberikan tentang apakah sejarah yang dimaksudkan dan siapakah yang menghancurkan mereka kerana Allah ﷻ tidak sebut siapa. Sungguh tepat penegasan pakar tafsir ar-Razi yang menyatakan bahawa pengetahuan tentang siapa mereka tidaklah banyak gunanya, kerana tujuan pemaparan ayat-ayat ini adalah menyampaikan informasi bahwa orang-orang Yahudi itu telah melakukan banyak kederhakaan sehingga Allah ﷻ menyeksa mereka melalui penguasaan dan penindasan hamba-hamba Tuhan yang taat mahupun yang zalim.

Ulama’ berbeza pendapat siapakah عِبادًا لَّنا di dalam ayat ini. Golongan zalim itu hamba Allah ﷻ juga. Maksudnya, mereka adalah hamba milik Allah ﷻ kerana ada tambahan huruf ل di sini. Tidaklah ini bermaksud mereka itu orang baik-baik. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah عِبادًا لَّنا (hamba milik Kami) dan bukannya عِبادنا (hamba Kami). Allah ﷻ tidak mengaku mereka itu hamba-Nya seperti kalimah yang digunakan di dalam ayat pertama عَبدِهِ yang merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana memang Nabi Muhammad ﷺ menunjukkan ciri-ciri hamba Allah ﷻ yang baik. Kalimah عِبادًا لَّنا merujuk kepada orang kafir. Kerana walau jahat atau baik, semuanya adalah hamba Allah ﷻ juga, bukan? Namun mereka itu kuat kerana ada keberanian dalam peperangan yang sangat hebat. Allah ﷻ boleh sahaja hantar musuh-Nya untuk mengalahkan umat Islam yang telah lupa taat kepada Allah ﷻ.

Oleh sebab itu, sebagaimana Yahudi ada dua kali kenaikan dan dua kali kejatuhan, sejarah Islam juga mengalami dua kali naik dan dua kali jatuh. Kali pertama kita naik pada zaman Khalifah Rasyidin dan kemudian kita dijatuhkan oleh bangsa Tartar. Kemudian Islam naik kembali di bawah Turki dan akhirnya dijatuhkan oleh pengambilan bangsa Eropah.

Itu adalah sejarah ringkas secara keseluruhan, tetapi ayat ini menceritakan tentang kekalahan bangsa Yahudi di tangan Babylon.

 

فَجاسوا خِلٰلَ الدِّيارِ

lalu mereka merempuh sampai ke dalam rumah,

Kata جاسوا diambil daripada kataالجوس al-jaus iaitu mencari secara sungguh-sungguh dan menyeluruh, menelusuri kampung dan memasuki desa-desa untuk melaksanakan apa yang direncanakan terhadap yang dicari itu. Waktu musuh mereka menyerang itu, mereka memang menghancurkan semua sekali negeri Palestin itu dan sampai mereka masuk ke dalam rumah-rumah bangsa Yahudi itu. Cari sampai ke segala ceruk maknanya. Maksudnya mereka bunuh semua sekali orang Yahudi waktu itu.

Selalunya peperangan berlaku di luar kita sahaja tetapi apabila digunakan perkataan الدِّيارِ (rumah) di dalam ayat ini, ia menunjukkan bahawa kejadian itu amat besar sekali sampaikan tentera datang masuk ke dalam kota dan ke dalam rumah. Apabila diserang, musuh masuk dalam setiap pelosok negeri dan samun habis.

Allah ﷻ buat begitu kerana mereka telah derhaka kepada Allah ﷻ dan melanggar ajaran di dalam kitab Taurat. Maka kehancuran yang dikenakan kepada mereka amat hebat.

 

وَكانَ وَعدًا مَّفعولًا

dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana.

Itulah yang telah terjadi. Seandainya Allah ﷻ telah tetapkan, maka ia akan tetap terjadi. Mereka tidak boleh menghalangnya. Maka ini adalah ancaman daripada Allah ﷻ kepada kita juga. Allah ﷻ boleh hancurkan kita bila-bila masa dan kita tidak dapat melakukan apa-apa untuk menghalangnya.

Maka ini menjadi pengajaran kepada kita. Umat Islam pun boleh dikalahkan oleh orang kafir. Ini seperti terjadi di Syria di mana umat Islam dikalahkan oleh puak Syiah; juga di Iraq apabila Allah ﷻ hantar tentera US untuk mengalahkannya. Maka tidak mustahil ini juga boleh terjadi kepada kita kalau kita lupa menjaga agama.


 

Isra’ Ayat 6: Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia akan memberi kemenangan dan nikmat setelah mereka bertaubat.

ثُمَّ رَدَدنا لَكُمُ الكَرَّةَ عَلَيهِم وَأَمدَدنٰكُم بِأَموٰلٍ وَبَنينَ وَجَعَلنٰكُم أَكثَرَ نَفيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We gave back to you a return victory over them. And We reinforced you with wealth and sons and made you more numerous in manpower

(MELAYU)

Kemudian, Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar.

 

ثُمَّ رَدَدنا لَكُمُ الكَرَّةَ عَلَيهِم

Kemudian Kami kembalikan kepadamu giliran untuk mengalahkan ke atas mereka

Allah ﷻ benarkan Bani Israil untuk mendapat kemenangan dan merampas kerajaan mereka kembali. Selepas seratus tahun kekalahan mereka, Jalut dikalahkan dan Allah ﷻ berikan kejayaan ini kerana mereka telah bertaubat dan kembali menjaga agama. Begitulah Allah ﷻ akan memberi nikmat kepada orang yang meninggalkan dosa yang dilakukannya dan meminta ampun kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam Nuh: 10-12

فَقُلتُ استَغفِروا رَبَّكُم إِنَّهُ كانَ غَفّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

يُرسِلِ السَّماءَ عَلَيكُم مِدرارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

وَيُمدِدكُم بِأَموالٍ وَبَنينَ وَيَجعَل لَكُم جَنّاتٍ وَيَجعَل لَكُم أَنهارًا
“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

 

وَأَمدَدنٰكُم بِأَموٰلٍ وَبَنينَ

dan Kami membantumu dengan keluasan harta kekayaan dan anak-anak

Mereka diberikan dengan kekayaan dan keturunan yang baik-baik. Maka kerana itu mereka mendapat kekuatan dan kemenangan. Mereka mendapat harta yang banyak termasuk banyak pengikut dan anak-anak.

 

وَجَعَلنٰكُم أَكثَرَ نَفيرًا

dan Kami jadikan kamu kelompok yang besar.

Mereka diberikan dengan kekuatan ketenteraan. Jumlah mereka pun menjadi ramai dan kuat. Kerana ramainya penyokong mereka.

Demikianlah Allah ﷻ mengembalikan mereka ke negerinya lepas dari zaman kekuasaan bangsa Persia. Pimpinan seorang Nabi, iaitu ‘Uzair (khilaf beliau Nabi atau tidak) telah membangkitkan mereka kembali. Di zamannyalah kitab Taurat dikumpulkan dijadikan kitab, ditambah dengan sejarah nenek moyang mereka. Pada waktu itulah Allah ﷻ memberi peringatan kepada mereka, supaya pengalaman pahit yang telah lalu mereka jadikan pengajaran. Peringatan Tuhan itu dilukiskan, dan tersebut di dalam ayat selepas ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalyn

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 4 – 6 (Balasan kepada Bani Israil)”

  1. Assalamualaikum

    “Jadi, janji yang pertama ini adalah kemusnahan pertama Bani Israil. Kesalahan pertama mereka adalah kerana mereka bunuh Nabi Zakaria. Oleh kerana itu seluruh Israil telah ditakluki. Ramai yang telah dibunuh dan ramai juga yang telah ditawan dan diambil sebagai tawanan”

    “Kali ini mereka dikenakan lagi dengan serangan dari tentera yang kuat. Ada dikatakan yang kesalahan mereka kali ini adalah kerana mereka telah membunuh Nabi Yahya a.s. Allah balas dengan beri kekalahan kepada mereka menyebabkan muka mereka suram, iaitu bermaksud mereka dimalukan”

    Dua perenggan di atas agak kontradik

    1. Jarak dua kisah di atas 450 tahun
    2. Nabi Zakaria bapa nabi Yahya
    3. Nabi Yahya sezaman nabi Isa
    4. Bagaimana nabi Yahya boleh lahir setelah nabi Zakaria wafat 450 tahun.

    Mohon pencerahan ustaz…

    Like

Leave a reply to sktoksangkut Cancel reply