Nahl Ayat 67: Selepas sebut tentang minuman daripada binatang ternak, sekarang disebut minuman daripada jenis tumbuhan pula.
وَمِن ثَمَرٰتِ النَّخيلِ وَالأَعنٰبِ تَتَّخِذونَ مِنهُ سَكَرًا وَرِزقًا حَسَنًا ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّقَومٍ يَعقِلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And from the fruits of the palm trees and grapevines you take intoxicant and good provision.¹ Indeed in that is a sign for a people who reason.
- This verse was revealed before the prohibition of intoxicants. It alludes to the fact that there are both evil and good possibilities in certain things.
(MELAYU)
Dan dari buah kurma dan anggur, kamu buat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang memikirkan.
وَمِن ثَمَرٰتِ النَّخيلِ وَالأَعنٰبِ
Dan dari buah kurma dan anggur,
Minuman juga boleh datang daripada tamar dan anggur. Sehubungan dengan buah kurma dan anggur ini, Allah ﷻ menyebutkannya pula dalam ayat lain melalui firman-Nya:
وَجَعَلْنَا فِيهَا جَنَّاتٍ مِنْ نَخِيلٍ وَأَعْنَابٍ وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ الْعُيُونِ لِيَأْكُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ أَفَلا يَشْكُرُونَ سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الأزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الأرْضُ وَمِنْ أَنْفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ
Dan Kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air, supaya mereka dapat makan daripada buahnya, dan daripada apa yang diusahakan oleh tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur? Maha suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka mahu pun daripada apa yang tidak mereka ketahui.
(Yaasin: 34-36)
Kalimah النَّخيلَ adalah ‘pokok kurma’ kerana kalau buahnya adalah تمار. Namun untuk yang lain Allah ﷻ sebut buahnya seperti الزَّيتونَ dan الأَعنٰبَ. Ini adalah kerana ada kelebihan kurma dan pokoknya. Bukan buahnya sahaja boleh dimakan tetapi pelepah dan batangnya juga ada gunanya.
تَتَّخِذونَ مِنهُ سَكَرًا
kamu buat minuman yang memabukkan
Manusia jadikan arak daripada kurma dan anggur itu. Ia diperah dan diperam untuk sekian lama. Apabila sudah cukup masa dan ragi telah dicampur, lama kelamaan tamar dan anggur itu akan menjadi arak yang memabukkan. Allah ﷻ sebut arak dalam ayat ini kerana ini adalah Surah Makkiah dan arak tidak diharamkan lagi waktu itu.
Akan tetapi kita pun tahu sekarang bahawa arak itu tidak bagus. Ia tidak diharamkan di awal Islam kerana ramai yang meminumnya. Maka ada peringkat untuk mengharamkannya. Kerana kalau diharamkan terus, tentu ramai yang tidak boleh terima.
Ayat sebelum ini disebut tentang minuman susu. Susu itu kita perah dan terus minum sahaja dan ia halal dan baik. Ada pun minuman daripada kurma dan anggur ini diproses oleh manusia. Apabila ia diproses oleh manusia, hasilnya ia boleh menjadi baik, dan boleh juga menjadi buruk. Ini kerana Allah ﷻ beri pilihan kepada manusia.
Maka ayat ini tidaklah boleh dijadikan dalil boleh minum arak daripada kurma dan anggur pula. Kerana ada yang ada, ini disebut dalam Al-Qur’an ia dijadikan air minuman! Ya, ia ada dijadikan minuman, tetapi Allah ﷻ tidak redha. Namun Allah ﷻ beri pilihan kepada manusia untuk memilih jalan sendiri. Tersalah pilih, maka terimalah akibatnya nanti.
وَرِزقًا حَسَنًا
dan rezeki yang baik.
Di sini kita boleh lihat beza antara arak dan tidak. Kalau digunakan sebagai kebaikan, maka ditambah kalimah حَسَنًا di sini. Namun sebelum ini apabila Allah ﷻ sebut tentang arak, tidak ada kalimah حَسَنًا yang memberi isyarat bahawa ia adalah buruk. Walaupun arak belum lagi diharamkan semasa ayat ini diturunkan, akan tetapi telah ada indikasi keburukannya di dalam ayat ini.
Maka kurma dan anggur itu adalah rezeki yang baik, bukan setakat menjadi arak sahaja. Maknanya, ini memberi isyarat bahawa kalau dijadikan sebagai arak, ia adalah buruk dan kalau dijadikan perkara lain, ia tidaklah buruk. Begitulah daripada satu benda yang sama, boleh bertukar menjadi baik dan boleh menjadi buruk.
Daripada kurma boleh dijadikan tamar kering dan nabiz (air rendaman kurma) sebagai minuman, cuka dan sebagainya. Daripada anggur itu pula boleh jadi kismis dan minuman anggur yang sedap. Semuanya bergantung kepada kepandaian manusia untuk menggunakan apa yang ada.
Kalau kita lihat, kadang-kadang daripada benda yang sedikit sahaja kuantitinya, tetapi manusia gunakan daya kreativiti dan pengalaman untuk menjadikan bermacam-macam perkara yang hebat-hebat. Semua ini adalah daripada apa yang Allah ﷻ ajar kepada manusia. Ini kerana kalau ikut akal kita sendiri sahaja, tidak tercapai daya fikiran kita untuk buat perkara itu semua.
إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّقَومٍ يَعقِلونَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang menggunakan akal.
Itulah tanda Qudrat Allah ﷻ bagi mereka yang cuba memikirkan untuk memahami. Lihatlah betapa besarnya jasa Allah ﷻ kepada kita. Alangkah luasnya pengajaran yang dirangkum oleh ayat ini. Buah-buahan mentah yang ditimbulkan Allah ﷻ, seperti kurma dan anggur dapat menghasilkan rezeki berlipatganda, asal saja kita boleh mempergunakan akal. Jelas sekali ayat ini menyuruh memajukan pertanian dan memperlipat-gandakan hasil bumi, malahan mengirimkan segala hasil bumi itu ke daerah-daerah yang lain.
Allah ﷻ gunakan kalimah ‘akal’ dalam ayat ini, memberi isyarat yang kita kena menjaga akal kita. Sekiranya kita minum arak, kita tidak menjaga akal kita kerana akal akan hilang sementara kalau sudah mabuk dengan minum arak daripada kurma dan anggur itu. Maka orang yang menggunakan akal akan menjaga akal mereka dengan tidak minum minuman yang memabukkan.
Nahl Ayat 68: Sekarang disebut minuman jenis lain pula.
وَأَوحىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحلِ أَنِ اتَّخِذي مِنَ الجِبالِ بُيوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمّا يَعرِشونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And your Lord inspired to the bee, “Take for yourself among the mountains, houses [i.e., hives], and among the trees and [in] that which they construct.
(MELAYU)
Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia”,
وَأَوحىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحلِ
Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah:
Apabila Allah ﷻ gunakan kalimah أَوحىٰ, ia bukan bermaksud diberikan wahyu kepada lebah itu. Lebah tidak mendapat wahyu kerana lebah bukan Nabi. Maka yang dimaksudkan adalah ‘ilham’. Allah ﷻ beri ‘ilham’ kepada lebah. Ini kerana wahy dari segi bahasa mempunyai banyak maksud,
1. Memberitahu sesuatu dengan cara yang tidak jelas atau samar-samar dan segera.
2. Sesuatu yang ditulis atau al-risalah yang membawa maksud kerasulan.
3. Segala yang disampaikan secara rahsia kepada pihak lain supaya dapat diketahuinya.
4. Wahyu membawa maksud sesuatu yang ditulis atau al-Maktub.
5. Segala apa yang disampaikan oleh Allah ﷻ secara rahsia kepada makhluknya baik manusia dan binatang.
Nabi Zakariya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila tidak boleh bercakap dengan mulut selama tiga hari tiga malam juga telah berbicara dengan kaumnya menggunakan bahasa isyarat yang juga digunakan kalimah wahyu seperti disebut dalam Maryam: 11
فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ مِنَ المِحرابِ فَأَوحىٰ إِلَيهِم أَن سَبِّحوا بُكرَةً وَعَشِيًّا
Maka dia pun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu dia memberi isyarat kepada mereka: “Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah) pagi dan petang”.
Orang Arab sendiri sampai di zaman kita ini biasa sahaja menyebut ilham itu dengan ‘wahyu’. Musthafa Shadiq ar-Rafi’i, mempunyai buku karangan bernama “wahyul- Qalam” (Ilham Pena). Ahmad Hasan Zayyat mempunyai buku bernama “Wahyur-Risoloh” (Ilham majalah Ar-Risalah).
Maka Allah ﷻ mengajar kepada lebah cara hidup dengan cara ilham. Kerana kalau tidaklah Allah ajar, tentulah lebah pun tidak tahu hendak buat apa. Ini kerana Allah ﷻ telah berfirman di dalam Taha: 50
قالَ رَبُّنَا الَّذي أَعطىٰ كُلَّ شَيءٍ خَلقَهُ ثُمَّ هَدىٰ
Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya”.
Lebah adalah nama surah ini dan memang ada kehebatan lebah yang kita boleh pelajari. Kerana itu surah ini dinamakan Surah Lebah. Maklumat yang kita dapat di zaman moden ini membuktikan bahawa Al-Qur’an ini adalah mukjizat. Ternyata lebah bukan seperti binatang yang biasa.
Lebah adalah satu-satunya serangga yang menghasilkan makanan untuk manusia, yakni madu lebah. Madu lebah dihasilkan melalui pengumpulan nektar yang kemudiannya dikeringkan menggunakan kibasan sayap lebah. Madu mengandungi kira-kira 76% gula, 18% air dan 8% bahan lain.
Sistem kehidupan mereka pun hebat. Sebuah koloni terdiri daripada tiga jenis lebah, iaitu ratu lebah (queen bee), lebah pekerja (worker bee) dan lebah jantan (drones). Ratu lebah dianggap sebagai ketua bagi koloni lebah tertentu. Tugas ratu lebah adalah untuk mengawan dengan lebah jantan untuk menghasilkan telur lebah. Seekor ratu mampu menghasilkan sehingga 2,500 telur lebah sehari. Penggantian ratu lebah berlaku kira-kira setiap 2 hingga 3 tahun sekali setelah kematian ratu yang terdahulu.
Lebah pekerja (worker bees) adalah terdiri daripada lebah betina. Kesemua tugas melibatkan sarang lebah dikendalikan oleh lebah pekerja termasuk mencari nektar, mengukuhkan dan melindungi sarang serta memberi makanan kepada larva. Hanya lebah pekerja dan ratu sahaja yang mempunyai sengat, akan tetapi setiap lebah pekerja akan mati setelah menyengat sesuatu (kecuali ratu). Tempoh hayat lebah pekerja hanyalah sekitar 6 hingga 8 minggu.
Lebah jantan pula dikenali sebagai drone. Tugas drone adalah semata-mata unntuk mengawan dengan ratu lebah. Drone mengawan dengan ratu lebah menerusi upacara ‘mating flight’, di mana si ratu akan datang kepada sebilangan drone untuk mencari pasangan, manakala drone yang dipilih akan memasukkan ‘endophallus’ ke dalam ratu untuk memancutkan semen (sama seperti penis bagi manusia). Endophallus tersebut kemudiannya direntap daripada tubuh si drone selesai proses mengawan. Lazimnya drone akan mati sesudah mengawan dengan ratu. Seandainya ia masih hidup, ia akan diusir keluar kerana telah melaksanakan tugasnya dan sudah tidak diperlukan lagi.
Sarang lebah (honeycomb) terbentuk menggunakan sistem bentuk poligon hexagon sempurna (poligon bersisi enam). Susunan bentuk hexagon adalah bentuk pembinaan semulajadi yang paling luas (space efficient) dengan 0% pembaziran ruang serta menggunakan bahan yang paling minima (material efficiency). Ini membantu dalam memastikan penyimpanan madu yang banyak dalam setiap honeycomb tanpa perlu menggunakan banyak bahan (beeswax).
أَنِ اتَّخِذي مِنَ الجِبالِ بُيوتًا
“Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit,
Allah ﷻ ilhamkan kepada lebah untuk buat rumah mereka dari bukit. Ini kelebihan yang ada pada lebah kerana manusia juga susah untuk buat rumah di bukit bukau. Akan tetapi lebah boleh duduk di situ.

Ini adalah salah satu mukjizat Al-Qur’an. Oleh kerana Al-Qur’an adalah kalam Allah ﷻ, maka maklumat yang disampaikan adalah tepat. Zaman dahulu semasa Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ, bidang zoologi belum ada lagi. Maka tentu orang Arab tidak tahu bahawa ada jenis lebah yang boleh menggerudi bukit batu dan buat rumah di situ. Mana mungkin Nabi Muhammad ﷺ tahu perkara ini dan mana mungkin baginda yang tulis sendiri Al-Qur’an ini?
وَمِنَ الشَّجَرِ
dan di pohon-pohon kayu,
Selain daripada bukit, lebah boleh buat rumah (sarang) mereka di pokok-pokok. Ini adalah kerana ada spesis lebah yang boleh gerudi pokok-pokok dan buat rumah di situ.

وَمِمّا يَعرِشونَ
dan di tempat-tempat yang dibina manusia”,
Juga di tempat tinggi di rumah manusia. Ini juga banyak kita lihat di bangunan-bangunan yang ditinggalkan oleh manusia. Selalunya lebah akan buat sarangnya di tempat tinggi rumah iaitu di bahagian bawah bumbung. Memang rumah lebah itu Allah ﷻ tetapkan di tempat tinggi kerana kedudukan lebah itu hebat. Ia bukan seperti ular dan ayam yang rumahnya rendah sahaja.

Kalimah يَعرِشونَ daripada katadasar ع ر ش yang bermaksud membina; membuat para; bumbung; menaikkan (sebuah rumah); tetap; menaikkan (struktur); tahta; kekuasaan; kedaulatan; harta benda; kekayaan; kurniaan; sesuatu yang diingini. Selalunya katadasar ini digunakan untuk Arasy Allah ﷻ. Namun di sini ia bermaksud binaan yang dinaikkan oleh manusia.
Kesimpulannya, lebah boleh membuat sarang di tiga tempat itu (bukit, pokok dan rumah manusia). Dengan berkat adanya ilham dan tunjuk ajar daripada Allah ﷻ ini, lebah membangunkan rumah (sarang)nya dengan sangat rapi struktur dan susunannya, sehingga tidak ada cela padanya. Banyak kajian telah dilakukan saintis tentang sarang lebah ini dan semua pengkaji itu mengagumi kehebatan binaan struktur sarang lebah itu.
Cuma, segala jenis binatang memang akan buat rumah atau sarang mereka. Maka kenapa perlu disebut tentang rumah lebah, dan disebut satu persatu pula. Kalau dilihat kalimah yang digunakan adalah بُيوتًا yang selalunya digunakan untuk rumah manusia. Maka apakah kelebihan lebah ini?
Pertama, mereka ditugaskan untuk membuat madu untuk manusia, maka mereka memerlukan rumah yang teguh dan selamat. Sebab itu kedudukan rumah mereka ditempatkan Allah ﷻ di tempat yang tinggi supaya selamat. Keduanya, rumah mereka tidaklah sama dengan rumah yang lain. Lihatlah bentuk heksagon rumah mereka itu yang amat teratur dan tidak merugikan ruang. Mereka tidak akan buat bentuk rumah lain.

Nahl Ayat 69:
ثُمَّ كُلي مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ فَاسلُكي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا ۚ يَخرُجُ مِن بُطونِها شَرابٌ مُّختَلِفٌ أَلوٰنُهُ فيهِ شِفاءٌ لِّلنّاسِ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then eat from all the fruits¹ and follow the ways of your Lord laid down [for you].” There emerges from their bellies a drink, varying in colors, in which there is healing for people. Indeed in that is a sign for a people who give thought.
- i.e., delicious substances found by the bee.
(MELAYU)
kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.
ثُمَّ كُلي مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ
kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan
Allah ﷻ ilhamkan kepada lebah itu untuk makan, sedutlah daripada semua jenis buah-buahan dan juga daripada bunga-bungaan. Lebah akan mengambil makanan daripada buah dan bunga-bunga dan daripadanya dijadikan madu. Sama ada diambil dari hutan atau dari kebun-kebun tanaman manusia.
Semasa lebah bergerak daripada satu buah ke buah yang lain, ia memindahkan debunga daripada buah dan bunga ini dan bawa ke pokok dan bunga yang lain, dalam masa yang sama mencantumkan dua debunga itu dan menumbuhkan buah dan bunga yang lagi banyak.
Kalimah كُلي (makanlah) adalah fi’il amar (kata arahan) untuk jantina betina. Ini adalah satu ketepatan Al-Qur’an kerana penemuan moden baru tahu yang lebah yang bekerja mencari makanan dan membuat madu adalah semuanya betina (worker bee). Mungkin sangkaan umum, lebah pekerja itu semuanya jantan, bukan? Ini adalah penemuan baru tetapi Allah ﷻ sudah beri maklumat yang tepat 1,400 tahun dahulu! Ia membuktikan yang Al-Qur’an ini adalah mukjizat.
فَاسلُكي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا
dan tempuhlah jalan-jalan Tuhanmu dengan merendahkan diri
Allah ﷻ beri ilham kepada lebah untuk mencari jalan yang diajar oleh Tuhan, untuk mencari bunga-bunga itu. Mereka mempunyai sistem navigasi mereka tersendiri sehinggakan kalau mereka pergi berbatu-batu pun mereka akan dapat kembali ke sarang rumah mereka.
Sekali lagi kalimah فَاسلُكي digunakan sebagai arahan kepada jantina betina kerana seperti kita sebut tadi, lebah pekerja semuanya adalah betina.
Namun bergeraklah di alam ini dengan merendahkan diri. Kalimah ذُلُلًا daripada katadasar ذ ل ل yang bermaksud rendah, lembut, hina, patah. Jangan menyombongkan diri. Lebah diperintahkan untuk ikut sahaja ilham yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka dengan taat. Memang lebah ikut sahaja arahan dan ilham daripada Allah ﷻ itu. Maka setiap kali kita lihat lebah bergerak ke sana sini, kita tahu yang mereka taat dan ikut apa yang Allah ﷻ suruh. Iaitu tunduklah kepada peraturan Allah ﷻ yang telah ditentukan untuk alam lebah, yang kalau kita pelajari sangatlah ta’jub kita melihat betapa indahnya peraturan itu.
Kalimah ذُلُلًا juga boleh diterjemahkan sebagai ‘dipermudahkan’. Allah ﷻ telah tentukan jalan bagi mereka.
Allah ﷻ yang ajar mereka cara bergerak. Lebah-lebah itu menempuh jalan udara yang luas, padang pasir yang membentang luas, lembah-lembah, dan gunung-gunung yang tinggi menurut apa yang disukainya. Lalu masing-masing lebah dapat kembali ke sarangnya tanpa menyimpang ke arah kanan atau ke arah kiri, melainkan langsung menuju sarangnya, tempat ia meletakkan telur-telurnya dan madu yang dibuatnya.
Sekarang kajian sains telah dapat tahu bahawa ada sebab kenapa lebah bergerak dengan cara mereka bergerak itu – senang untuk mereka terbang. Akan tetapi indikasi bagaimana mereka bergerak telah disentuh oleh Allah ﷻ pada 1,400 tahun dahulu lagi.
Maka ini mengajar kita juga haruslah taat kepada Allah ﷻ seperti mana lebah itu. Binatang yang tidak sehebat manusia pun taat kepada Allah ﷻ, apatah lagi kita yang dapat lebih banyak nikmat berbanding mereka.
يَخرُجُ مِن بُطونِها شَرابٌ
Dari perut lebah itu ke luar minuman
Sekarang iltifat (perubahan) daripada bercakap kepada lebah terus (mukhattab) dan sekarang bercakap tentang mereka (gha’ibah). Allah ﷻ beritahu kita yang keluar minuman daripada perut lebah itu. Allah ﷻ sebut شَرابٌ (minuman) yang keluar, bukannya عسل (madu) kerana madu itu di dalam bentuk cairan. Tambahan pula apabila digunakan dengan kalimah شَرابٌ ia memberi indikasi banyak, kerana banyaknya kelebihan yang ada pada madu itu.
Penemuan sains moden baru dapati yang memang ada perut khas dalam tubuh lebah itu yang menempatkan madu. Ini penting kerana dalam perut lebah juga mengandungi racun. Namun ia tidak bercampur sepertimana juga susu di perut lembu dan kambing tidak bercampur dengan tahi dan darah di dalam perut.

Sekali lagi kita lihat dhomir ها digunakan dalam kalimah بُطونِها adalah dhomir kepada betina kerana lebah pekerja adalah betina belaka.
Namun kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah بطون (perut-perut) dan bukan بطن (satu perut) sedang dhomir ها itu merujuk kepada satu lebah sahaja. Ini satu lagi penemuan moden yang mendapati di dalam perut lebah bukan ada satu perut sahaja tetapi banyak. Tempat proses dan penyimpanan madu itu di dalam satu bahagian perut yang dinamakan ‘honey stomach’ (perut madu).
Lebah mempunyai dua perut, iaitu perut untuk menyimpan makanan (true stomach) dan perut untuk menyimpan nektar (crop/honey sack). Ia mampu menyimpan kandungan nektar sebanyak 80% daripada berat badannya sendiri.
Kita sekarang tahu yang keluar daripada perut lebah itu adalah madu lebah yang kita suka makan itu. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut keluar minuman daripada perut lembu, iaitu susu. Kemudian disebut minuman daripada kurma dan anggur. Sekarang disebut minuman lain pula yang sekarang daripada perut lebah, iaitu madu. Begitulah betapa banyak nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita.
Di dalam kitab Sahihain disebutkan sebuah hadith melalui Hisyam ibnu Urwah, daripada bapanya, daripada Siti Aisyah رضي الله عنها yang telah mengatakan:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُعْجِبُهُ الْحَلْوَاءُ وَالْعَسَلُ
Bahawa sesungguhnya Rasulullah ﷺ suka makanan yang manis dan madu.
مُّختَلِفٌ أَلوٰنُهُ
yang bermacam-macam warnanya,
Madu itu ada banyak jenis tekstur dan warnanya. Ada yang kuning, ada yang merah, hitam, keputihan dan lain-lain. Oleh itu, kita tahu yang ada banyak jenis madu. Kerana itu kalau kita pergi kedai yang menjual madu, kita akan lihat ada banyak jenis warna. Ia bergantung kepada jenis lebah dan jenis buah dan bunga yang mereka makan kerana buah dan bunga itu tidak sama sifatnya.

فيهِ شِفاءٌ لِّلنّاسِ
di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia.
Ini yang penting sekali yang disampaikan dalam ayat ini. Allah ﷻ beritahu yang di dalam madu itu ada penawar untuk manusia. Kerana itulah madu ini boleh dijadikan sebagai ubat untuk kesihatan. Sama ada diminum terus atau dicampur dengan bahan lain. Lain sakit, lainlah caranya dan lainlah jenis madu yang digunakan.
Ada banyak kajian yang telah dibuat oleh pakar tentang madu lebah ini dari sudut kesihatan dan kita boleh ambil manfaat daripadanya. Oleh itu, bukan sahaja susu elok diminum, tetapi madu juga. Antara kegunaan madu,
Menurunkan berat badan. …
Menguatkan sistem imun badan. …
Bagus untuk kulit muka dan badan. …
Menguatkan memori. …
Penawar semula jadi untuk batuk. …
Pemanis semulajadi & sumber tenaga segera. …
Menyihatkan usus, menguatkan otot & sendi. …
Penyembuh luka.
Dan banyak lagi
Dalil yang menunjukkan bahawa madu merupakan penyembuh adalah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahihnya masing-masing melalui riwayat Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ:
عَنْ أَبِي الْمُتَوَكِّلِ عَلِيِّ بْنِ دَاوُدَ النَّاجِيِّ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنَّ أَخِي استَطْلَق بطنُه. فَقَالَ: “اسْقِهِ عَسَلًا”. فَسَقَاهُ عَسَلًا ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، سَقَيْتُهُ عَسَلًا فَمَا زَادَهُ إِلَّا اسْتِطْلَاقًا! قَالَ: “اذْهَبْ فَاسْقِهِ عَسَلًا”. فَذَهَبَ فَسَقَاهُ، ثُمَّ جَاءَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا زَادَهُ إِلَّا اسْتِطْلَاقًا! فقال رسول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “صَدَقَ اللَّهُ، وَكَذَبَ بَطْنُ أَخِيكَ! اذْهَبْ فَاسْقِهِ عَسَلًا”. فَذَهَبَ فَسَقَاهُ فَبَرِئَ
Daripada Abul Mutawakkil Ali ibnu Daud An-Naji, daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ yang menceritakan bahawa pernah seorang lelaki datang kepada Rasulullah ﷺ, lalu berkata, “Sesungguhnya saudara laki-lakiku terkena penyakit buang air.” Maka Nabi ﷺ bersabda, “Berilah minum madu.” Lelaki itu pulang dan memberi minum madu kepada saudaranya. Kemudian dia kembali dan berkata, “Wahai Rasulullah, saya telah memberinya minum madu, tetapi tiada membawa kebaikan melainkan bertambah parah buang airnya.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Pergilah dan berilah dia minum madu.” Lelaki itu pulang dan memberi minum madu kepada saudaranya yang sakit itu. Tetapi dia kembali lagi dan berkata, “Wahai Rasulullah, tiada kemajuan, melainkan makin parah.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Maha benar Allah dan dustalah perut saudaramu itu. Pulanglah dan berilah dia minum madu lagi!” Maka lelaki itu pergi dan memberi minum madu saudaranya, maka sembuhlah saudaranya itu.
(Sunan Tirmidzi No. 2164)
Maksud hadith ini adalah memang madu itu berkesan. Akan tetapi kadang-kadang apabila kita makan ubat, seseorang yang sakit akan mengalami ‘healing crisis’ di mana ada kesan teruk sedikit sebelum ia sembuh. Maka kerana itu sebelum saudara lelaki itu sembuh, dia nampak semakin teruk sakitnya. Cuma kena bersabar sahaja sementara menghadapi ‘healing crisis ‘ itu. Atau, mungkin cara makan madu itu tidak kena caranya atau tidak kena jenisnya.
Panduan mudah adalah, pilih madu dari tempat tinggal kita kerana lebah itu mengalami iklim yang sama dengan tempat tinggal kita maka ia sesuai untuk kita. Namun ini semua memerlukan kajian lebih mendalam lagi.
Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan pula sebuah hadith melalui Salim Al-Aftas, daripada Sa’id ibnu Jubair, daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“الشِّفَاءُ فِي ثَلَاثَةٍ: فِي شَرْطةِ مِحْجَم، أَوْ شَرْبَةِ عَسَلٍ، أَوْ كيَّةٍ بِنَارٍ، وَأَنْهَى أُمَّتِي عَنِ الْكَيِّ”
Penyembuhan itu dengan tiga macam cara, iaitu melalui bekam, atau minuman madu, atau seterika dengan api; tetapi aku larang umatku berubat memakai cara seterika.
(Hadith Bukhari No. 1663)
Di sini juga mengandungi dalil bahawa kita boleh berubat. Tidaklah kita kena redha sahaja dengan sakit dan penyakit yang diberikan kepada kita. Ia adalah ujian dan kita boleh berusaha untuk menyembuhkan diri kita. Asalkan ia dengan cara yang halal. Jangan pula berubat dengan cara haram seperti makan najis dan jangan berubat dengan bomoh pawang pula.
Di dalam Al-Qur’an yang mulia ini, dua perkara sahaja yang Allah ﷻ sebut sebagai شِفاءٌ, iaitu madu lebah dan ayat-ayat Al-Qur’an seperti firman-Nya di dalam Yunus: 57
يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَّوعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَشِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Lihat juga di dalam Isra’: 82
وَنُنَزِّلُ مِنَ القُرآنِ ما هُوَ شِفاءٌ وَرَحمَةٌ لِلمُؤمِنينَ
Dan Kami turunkan daripada Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman
Cuma bezanya, tentang madu apabila menyebut tentang شِفاءٌ, Allah ﷻ tambah kalimah فيهِ (di dalamnya). Ini bermaksud Al-Qur’an itu sendiri adalah keseluruhannya adalah penawar sedangkan bagi madu, sebahagian sahaja. Ia memang mengandungi penawar, tetapi bukanlah keseluruhan madu itu. Sedangkan Al-Qur’an itu mana-mana ayat pun boleh menjadi penawar. Belum pasti lagi minum madu akan sembuh. Kadangkala kita makan madu bukannya sebagai ubat pun, tetapi untuk sarapan dengan roti sahaja.
Maka penawar di dalam Al-Qur’an itu lagi hebat, bukan? Akan tetapi manusia ramainya lebih mementingkan madu sahaja, tetapi abaikan penawar di dalam Al-Qur’an. Ada yang makan madu hari-hari kerana mahu sihat, tetapi tidak baca dan tadabbur Al-Qur’an setiap hari. Mereka lebih menghargai madu, sanggup keluarkan duit tetapi makan madu cicip-cicip sahaja kerana madu asli memang mahal. Namun Al-Qur’an yang takkan habis-habis kalau dibaca dan dikaji, mereka buat tidak kisah.
Madu itu hanya penawar bagi penyakit fizikal sahaja, sedangkan Al-Qur’an itu penawar bagi hati (شِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ). Mana yang lebih penting? Tentulah hati nurani kita ini lebih penting, bukan?
إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.
Ini semua adalah tanda bagi mereka yang mahu berfikir secara mendalam. Yang patut difikirkan ialah apabila kita lihat betapa teraturnya kehidupan lebah di dalam membuat sarangnya dan menghasilkan madu dan lilin itu. Madu adalah hasil yang dipelihara dan diambil manfaatnya oleh manusia, sedang lilin adalah sebagai alat penjaga jangan sampai madunya itu tumpah berselerakan.
Madu juga sangat hebat malah boleh menjadi bahan pengawet kerana ia tidak membusuk. Tidak perlu simpan di dalam peti ais pun. Menurut catatan beberapa laman sesawang, pakar arkeologi pernah menemui beberapa balang madu lebah di dalam sebuah makam Mesir yang sudah mencecah umur 3,000 tahun ketika mereka sedang menjalankan proses penggalian piramid. Ia dikhabarkan ditemui di makam Tutankhamun, manakala di tempat lain ia direkodkan ditemui di kawasan makam yang lain. Ada juga sebahagian berita tersebut tidak menceritakan ciri-ciri madu itu sendiri. Berita ini telah dilaporkan sendiri oleh badan berautoriti sahih seperti National Geographic dan Smithsonian akan tetapi masih diragukan.
Koloni lebah mempunyai ratu betina; ratunya itu hanya seekor. Yang lain adalah perajurit-perajurit yang mencari dan mengambil sari kembang ke sana dan ke mari, dan kelak pulang membawa hasil; semuanya mesti tunduk kepada perintah sang Ratu yang satu ekor itu. Tidak ada yang lain yang boleh melawan kehendak yang satu ekor itu, dan dia tidak terbang ke mana-mana, melainkan ia hanya menetap di dalam sarangnya menjadi pusat perhatian daripada seluruh lebah yang menjadi perajurit. Tidak boleh ada yang pemalas dan yang lari daripada tugasnya. Mana yang lalai akan dihabiskan umurnya oleh teman-temannya yang lain. Memang menakjubkan. Padahal lebah adalah makhluk yang tidak berakal. Ini menambah iman kita akan kekuasaan Allah ﷻ mengatur kehidupan makhluk-Nya di dalam alam ini.
Allah ﷻ gunakan kalimah يَتَفَكَّرونَ, dalam wazan yang lebih banyak hurufnya, menunjukkan lebih susah untuk mendapatkan madu daripada mendapatkan susu. Susu senang sahaja mahu diperah, tetapi kalau madu, susah sedikit, bukan? Susu senang dapat banyak, tetapi madu susah untuk dapat banyak. Mahu ambil juga susah, kerana kalau silap cara, boleh terkena sengat dengan lebah itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 16 Januari 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA



