Tafsir Surah an-Nahl Ayat 22 – 26 (Tanggung beban orang lain)

Ayat 22: Ini adalah khulasah dari dalil-dalil yang telah diberikan dalam ayat-ayat sebelum ini. Setelah diberi dengan segala hujah dan dalil sebelum ini, maka Allah sampaikan pengajaran utamanya; atau kesimpulan dari segala ayat-ayat itu. Ini adalah ulangan Dakwa Surah berserta Zajrun.

Dari ayat ini sehingga ke ayat 34 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Ianya berkenaan KESYIRIKIN DAN KEBURUKAN ARAB MEKAH. Tapi perenggan ini terbahagi kepada 3 bahagian.

Bahagian pertama adalah sehingga ke ayat 29 berkenaan Persendaan mereka terhadap Hari Akhirat. Orang kafir Makkah mengolok-olok wahyu yang disampaikan Rasulullah sebagai dongengan orang dulu-dulu sahaja. Mereka tidak percaya kepada Hari Akhirat.

إِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ ۚ فَالَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ قُلوبُهُم مُنكِرَةٌ وَهُم مُستَكبِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your God is one God. But those who do not believe in the Hereafter – their hearts are disapproving, and they are arrogant.

(MELAYU)

Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Maka orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, hati mereka mengingkari (Keesaan Allah), sedangkan mereka sendiri adalah orang-orang yang sombong.

 

إِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ

Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa. 

Allah mahu beritahu kepada kita bahawa hanya ada satu ilah sahaja iaitu Allah. Ayat ini amat penting kerana kita harus ingat yang Allah sebut Dia ‘Wahid’ semasa ayat ini dibacakan di hadapan mereka yang percaya ada banyak ilah. Kita sekarang mungkin biasa sahaja baca ayat ini, tapi bayangkan Musyrikin Mekah yang mula-mula dengar ayat ini dibacakan.

Mereka tentunya marah kepada Nabi Muhammad SAW yang membacakan ayat ini. Mereka susah untuk terima. Ini adalah kerana mereka faham makna dan implikasi lafaz kalimat ini. Malangnya orang Melayu kita selalu sahaja baca tahlil, tapi kerana mereka tidak faham bahasa Arab dan maksud tahlil itu, mereka baca tapi dalam masa yang sama, mereka langgar kalimah tahlil itu.

Islam menekankan bahawa hanya ada satu Tuhan sahaja, iaitu satu ilah sahaja. Ini tidak sama dengan agama lain yang ada banyak tuhan. Oleh kerana banyak tuhan, maka kita selalu baca bagaimana kisah tuhan-tuhan mereka berlawanan antara satu sama lain. Mereka mungkin tidak sedar yang itu bukan sifat tuhan, tetapi itu adalah sifat kartun.

 

فَالَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ قُلوبُهُم مُنكِرَةٌ

Maka orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat, hati mereka mengingkari

Walaupun telah diberikan dengan berbagai-bagai hujah; Allah juga telah menyenaraikan jasa-jasaNya yang banyak, mereka yang hatinya engkar tidak juga mahu percaya. Hati mereka masih mengingkari Tauhid. Mereka tetap juga mahu menolak ajaran Tauhid.

Mereka ada hujah mereka yang bermacam-macam untuk membolehkan dan menghalalkan amalan syirik mereka. Berkali-kali kita cuba memberitahu dalil dan hujah kepada mereka, hujah akal dan tok guru mereka juga yang mereka mahu gunakan untuk membenarkan perlakuan syirik mereka.

Allah mahu beritahu, jangan hairan jikalau ada manusia yang begitu. Memang akan ada manusia yang tidak mengenang jasa.

 

وَهُم مُستَكبِرونَ

dan mereka adalah orang-orang yang sombong.

Mereka tidak mahu menerima kerana mereka itu orang yang sombong. Iaitu sombong untuk menerima kebenaran. Mereka rasa mereka besar, kedudukan tinggi, sudah pandai kerana sudah lama belajar dengan guru mereka. Maka, mereka tidak mahu membuka pintu hati mereka kepada kebenaran Tauhid.


 

Ayat 23:

لا جَرَمَ أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُستَكبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Assuredly, Allāh knows what they conceal and what they declare. Indeed, He does not like the arrogant.

(MELAYU)

Tidak diragukan lagi bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong.

 

لا جَرَمَ

Tidak diragukan lagi 

Kalimat لا جَرَمَ adalah satu penekanan tambahan yang Allah gunakan dalam Qur’an. Ini adalah sebagai penekanan kepada perkara yang hendak disampaikan.

 

أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ

sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan.

Allah tahu segalanya termasuk yang berada dalam hati manusia. Jadi, Allah tahu apa yang manusia sebut dengan zahir dan apa yang mereka rahsiakan. Allah tahu akidah syirik yang ada dalam diri manusia walaupun mereka tidak zahirkan.

Oleh kerana itu, pentingnya belajar tafsir Qur’an supaya kita boleh periksa fahaman akidah kita dengan Qur’an. Kerana perkara dalam hati, orang lain tidak tahu dan tidak boleh hendak tegur. Kalau tentang amalan zahir (seperti solat), orang boleh nampak. Katakanlah ada seorang yang silap cara solat dia; bolehlah kalau kita mahu tegur kerana ia berlaku depan mata kita. Tetapi kalau perkara dalam hati, macam mana kita mahu tegur?

Oleh itu, setiap dari kita harus belajar tafsir Qur’an dan periksa fahaman kita sendiri. Tidak boleh mahu mengharap orang lain tegur kerana orang lain tidak nampak apa yang ada dalam fikiran kita.

 

إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُستَكبِرينَ

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong.

Allah tidak suka orang yang sombong. Iaitu mereka yang sombong untuk menerima Tauhid. Tidak layak bagi sesiapa pun untuk sombong. Kerana kita semua ini adalah hina di sisi Allah. Tidak ada apa yang boleh disombongkan. Janganlah kalau sudah lama belajar, mahu berlagak lebih tahu daripada semua orang. Kita kena buka pintu hati kita.


 

Ayat 24: Syikayah. Allah menceritakan sifat mereka yang menyesatkan.

وَإِذا قيلَ لَهُم ماذا أَنزَلَ رَبُّكُم ۙ قالوا أَساطيرُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when it is said to them, “What has your Lord sent down?” they say, “Legends of the former peoples,”

(MELAYU)

Dan apabila dikatakan kepada mereka “Apakah yang telah diturunkan Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Dongeng-dongengan orang-orang dahulu”,

 

وَإِذا قيلَ لَهُم ماذا أَنزَلَ رَبُّكُم

Dan apabila dikatakan kepada mereka “Apakah yang telah diturunkan Tuhanmu?”

Ini adalah sikap mereka apabila ditanya kepada mereka: apakah yang Tuhan kamu telah turunkan? Ini berkenaan dengan wahyu yang diturunkan. Ditanya kepada mereka, adakah wahyu itu betul atau salah?

 

قالوا أَساطيرُ الأَوَّلينَ

Mereka menjawab: “Dongeng-dongengan orang-orang dahulu”,

Mereka yang degil dan sombong itu berkata yang Qur’an itu hanyalah dongengan orang dahulu. Mereka tidak dapat menerima yang ianya adalah Kalam Allah yang disampaikan oleh Rasul. Ini sama sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Swt. tentang kata-kata mereka dalam ayat yang lain, iaitu:

{وَقَالُوا أَسَاطِيرُ الأوَّلِينَ اكْتَتَبَهَا فَهِيَ تُمْلَى عَلَيْهِ بُكْرَةً وَأَصِيلا}

Dan mereka berkata, “Dongengan-dongengan orang-orang dahulu, dimintanya supaya dituliskan, maka dibacakanlah dongengan itu kepadanya setiap pagi dan petang.” (Al-Furqan: 5)

Beginilah juga yang dikatakan oleh professor-professor yang mengajar agama Islam di universiti-universiti besar dunia. Mereka melakukan kajian tentang Qur’an dan walaupun mereka kagum dengannya, tetapi kerana mereka tidak buka hati mereka kepada iman, mereka mengatakan bahawa ianya adalah kisah dongeng sahaja. Iaitu tulisan manusia.

Jadi apa yang mereka katakan itu bukanlah fahaman baru. Dari dulu lagi sudah ada orang yang berfikiran begitu. Mereka tidak mahu menerima ajaran dalam Qur’an itu dan mereka menolak dengan merendahkan martabat Qur’an itu. Jadi, mereka kata ia tidak lain hanyalah kata-kata orang dahulu sahaja.

Orang Islam juga ada yang jadi begitu – mereka mengatakan bahawa undang-undang hudud dalam Qur’an itu tidak sesuai pada zaman sekarang – hanya sesuai zaman dahulu sahaja. Ini adalah kata-kata yang kufur kerana mereka menolak apa yang Allah sampaikan dalam Qur’an.


 

Ayat 25: Ini akibat dari kesombongan mereka. Takhwif ukhrawi. Mereka bukan sahaja akan pikul dosa mereka, tetapi mereka akan pikul dosa orang lain juga. Sudahlah kena tanggung dosa mereka sendiri tapi sekarang sudah ditambah dengan dosa orang lain.

لِيَحمِلوا أَوزارَهُم كامِلَةً يَومَ القِيامَةِ ۙ وَمِن أَوزارِ الَّذينَ يُضِلّونَهُم بِغَيرِ عِلمٍ ۗ أَلا ساءَ ما يَزِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That they may bear their own burdens [i.e., sins] in full on the Day of Resurrection and some of the burdens of those whom they misguide without [i.e., by lack of] knowledge. Unquestionably, evil is that which they bear.

(MELAYU)

(ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa-dosanya dengan sepenuh-penuhnya pada hari kiamat, dan sebahagian dosa-dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikit pun (bahawa mereka disesatkan). Ingatlah, amat buruklah dosa yang mereka pikul itu.

 

لِيَحمِلوا أَوزارَهُم كامِلَةً يَومَ القِيامَةِ

menyebabkan mereka memikul dosa-dosanya dengan sepenuh-penuhnya pada hari kiamat,

Oleh kerana perbuatan mereka yang menentang tauhid, mereka akan menanggung dosa-dosa mereka yang akan menjelma menjadi fizikal. Mereka akan menanggung kesemua dosa-dosa yang mereka telah lakukan dan yang tidak sedikit pun yang akan dikurangkan.

 

وَمِن أَوزارِ الَّذينَ يُضِلّونَهُم بِغَيرِ عِلمٍ

dan sebahagian dosa-dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikitpun

Dan mereka bukan sahaja harus menanggung dosa mereka sendiri, tetapi mereka juga harus menanggung ‘sebahagian’ dari dosa orang-orang yang mereka telah sesatkan. Kerana mereka bukan sahaja sesat tetapi mereka sesatkan orang lain dengan hujah-hujah bathil mereka. Di dalam ayat lain, Allah Swt. telah berfirman:

{وَلَيَحْمِلُنَّ أَثْقَالَهُمْ وَأَثْقَالا مَعَ أَثْقَالِهِمْ وَلَيُسْأَلُنَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَمَّا كَانُوا يَفْتَرُونَ}

Dan sesungguhnya mereka akan memikul beban (dosa) mereka, dan beban-beban (dosa yang lain) di samping beban-beban mereka sendiri, dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat tentang apa yang selalu mereka ada-adakan. (Al-‘Ankabut: 13)

Tetapi kita harus ingat yang mereka tidak sapu bersih dosa mereka yang disesatkan itu. Orang yang sesat itu tetap harus menanggung dosa mereka sendiri. Malah, mungkin mereka tidak ambil pun dosa orang yang disesatkan itu kerana di dalam sebuah hadith disebutkan:

“مَنْ دَعَا إِلَى هُدى كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنِ اتَّبَعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا، وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الْإِثْمِ مثلُ آثَامِ مَنِ اتَّبَعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ من آثامهم شيئًا”.

Barang siapa yang menyeru kepada hidayah (petunjuk), dia akan beroleh pahalanya semisal dengan pahala orang-orang yang mengikuti jejaknya, tanpa mengurangi pahala mereka barang sedikit pun. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan, dia akan mendapatkan dosanya semisal dengan dosa orang-orang yang mengikuti jejaknya, tanpa mengurangi dosa mereka barang sedikit pun.

 

أَلا ساءَ ما يَزِرونَ

Ingatlah, amat buruklah dosa yang mereka pikul itu.

Segala dosa itu tentu amat berat. Ini mengingatkan kita kepada beban. Kerana ada ayat sebelum ini tentang beratnya beban yang dibawa binatang tunggangan. Allah suruh kita bayangkan bagaimana pula kalau kita sendiri yang membawa beban itu?

Di akhirat nanti, penanggung dosa itu yang harus membawa sendiri beban dosa mereka. Mereka akan tanggung di belakang tubuh mereka dan tidak ada binatang tunggangan lagi pada waktu itu.


 

Ayat 26: Takhwif duniawi.

قَد مَكَرَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم فَأَتَى اللهُ بُنيانَهُم مِنَ القَواعِدِ فَخَرَّ عَلَيهِمُ السَّقفُ مِن فَوقِهِم وَأَتاهُمُ العَذابُ مِن حَيثُ لا يَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those before them had already plotted, but Allāh came at [i.e., uprooted] their building from the foundations, so the roof fell upon them from above them,¹ and the punishment came to them from where they did not perceive.

  • i.e., Allāh caused their plan to fail and exposed their plot.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mengadakan makar, maka Allah menghancurkan rumah-rumah mereka dari dasarnya, lalu atap (rumah itu) jatuh menimpa mereka dari atas, dan datanglah azab itu kepada mereka dari tempat yang tidak mereka sedari.

 

قَد مَكَرَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

Sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mengadakan rancangan,

Allah beritahu kepada Rasulullah dan kita: kalau sekarang ada rancangan untuk sekat dari wahyu disampaikan, dulu pun sudah ada yang buat rancangan begitu.

 

فَأَتَى اللهُ بُنيانَهُم مِنَ القَواعِدِ

maka Allah menghancurkan binaan mereka dari dasarnya, 

Tetapi Allah tidak benarkan wahyu ditahan, lalu Allah hancurkan rancangan mereka. Sia-sia sahaja rancangan jahat mereka itu. Allah umpamakan rancangan yang mereka bina itu seperti satu binaan bangunan. Allah serang rancangan mereka itu dari dasarnya terus. Apabila serang dari dasar, maka terus hancur binasalah sesuatu bangunan, bukan?

 

فَخَرَّ عَلَيهِمُ السَّقفُ مِن فَوقِهِم

lalu atap jatuh menimpa mereka dari atas,

Apabila Allah hancurkan rancangan mereka yang telah diumpamakan seperti bangunan itu, atap yang ada di atas mereka itu akan menimpa mereka dari atas. Kerana mereka ada di dalam bangunan itu.

 

وَأَتاهُمُ العَذابُ مِن حَيثُ لا يَشعُرونَ

dan datanglah azab itu kepada mereka dari tempat yang tidak mereka sedari.

Mereka tidak sangka yang rancangan mereka akan gagal dan akan menghancurkan mereka. Ini adalah kerana, mereka telah melakukan perancangan yang teliti. Tetapi, kuasa dan rancangan Allah mengatasi segala-galanya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s