Tafsir Surah an-Nahl Ayat 18 – 22 (Takkan mampu kira semua nikmat Allah ﷻ)

Nahl Ayat 18: Banyak sekali nikmat Allah ﷻ kepada kita sampai tidak terkira.

وَإِن تَعُدّوا نِعمَةَ اللهِ لا تُحصوها ۗ إِنَّ اللهَ لَغَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you should count the favors of Allāh, you could not enumerate them. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

وَإِن تَعُدّوا نِعمَةَ اللهِ لا تُحصوها

Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya.

Banyak sudah disebut tentang nikmat-nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita. Kerana itulah surah ini juga dinamakan sebagai An-Ni’am. Tentunya ada banyak lagi yang tidak disebut. Kalau kita cuba hendak mengira nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita di bumi ini, ia teramat banyak hingga tidak terhitung oleh diri kita.

Bukan sahaja kita tidak dapat kira, cuba mahu faham keseluruhan nikmat itu pun kita tidak boleh. Katakanlah sebagai contoh, nikmat bercakap – nikmat ini amat banyak kalau mahu dibincangkan secara lebih mendalam. Memang kita boleh bercakap, tetapi bagaimana dengan nikmat orang boleh faham apa yang kita cakap?

Bagaimana kita boleh bercakap sedangkan bahasa itu sebenarnya amat susah untuk dikuasai? Malah macam-macam lagi yang boleh dibincangkan dengan panjang lebar, namun ia mengambil masa yang lama untuk diperbincangkan. Ini baru satu sahaja nikmat, bagaimana dengan nikmat-nikmat yang lain?

Bukan sahaja kita tidak dapat kira segala nikmat Allah ﷻ, kita tidak akan mampu mensyukuri segala nikmat Allah ﷻ itu. Seperti yang kita telah sebut, untuk bersyukur adalah dengan taat, melakukan ibadah kepada Allah ﷻ sebagai tanda syukur. Namun ini kita tidak akan mampu. Maknanya kita tidak dapat bayar pun segala nikmat yang Allah ﷻ telah berikan itu. Maka bagaimana makhluk boleh masuk syurga kalau begitu? Kerana rahmat daripada Allah ﷻ seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.
(Riwayat Muslim (5042))

 

إِنَّ اللهَ لَغَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Satu lagi nikmat yang amat besar adalah Allah ﷻ itu bersifat Maha Pengampun dengan kita. Betapa banyak dosa kita, namun Allah ﷻ sanggup mahu ampunkan kalau kita bertaubat. Kenapa Allah ﷻ Maha Pengampun? Kerana Sifat-Nya yang Maha Penyayang kepada hamba-Nya.

Allah ﷻ Maha Pemaaf – sekiranya kita dituntut untuk mensyukuri semua nikmat-Nya, tentulah kita tidak akan mampu melakukannya. Seandainya kita diperintahkan untuk melakukannya juga, pastilah kita lemah dan meninggalkannya (tidak dapat bersyukur secara semestinya). Maka Allah ﷻ ampunkan kita di atas kelemahan kita ini.

Seandainya Dia mengazab kita, tentulah Dia berhak mengazab kita tanpa berbuat aniaya terhadap kita. Akan tetapi, Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, Dia selalu mengampuni dosa-dosa yang banyak dan membalas pahala kebaikan sekecil apa pun. Malah Allah ﷻ memberikan pahala berganda-ganda kepada kita dengan amalan yang sedikit. Contohnya kita berpeluang untuk beribadat di Malam Qadr di Bulan Ramadhan dan balasan pahalanya digandakan lebih daripada sebulan bulan.

Ibnu Jarir mengatakan bahawa firman Allah ﷻ yang mengatakan: Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun. (An-Nahl: 18) Hal ini dinyatakan-Nya mengingat ada di antara kita yang lupa untuk bersyukur kepada-Nya atas sebahagian dari nikmat yang telah diberikan kepada kita.

Allah ﷻ Maha Pengampun bila kita bertaubat kepada-Nya dan kembali kepada-Nya dengan mengerjakan ketaatan kepada-Nya serta menempuh jalan yang diredhai-Nya, lagi Maha Penyayang. (An-Nahl: 18) Iaitu Maha Penyayang kepada kita, Dia tidak mengazab kita sesudah kita kembali dan bertaubat kepada-Nya.

Maka dua sifat ini amat penting bagi makhluk. Kalau kita ada dosa, maka kita memerlukan sifat Allah ﷻ yang غَفُورٌ kerana kalau tidak, kita pasti akan masuk ke dalam neraka untuk mencuci dosa kita. Kemudian kita tentu mahu masuk ke dalam syurga-Nya, maka ini memerlukan sifat Allah ﷻ yang رَحِيمٌ kerana kita tidak akan dapat masuk syurga melainkan dengan rahmat-Nya.

Selepas Allah ﷻ sebut sifatnya yang mengampunkan (غَفُورٌ) Allah ﷻ selalu sebut sifat رَحِيمٌ. Ini sebenarnya memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Kerana apabila kita bertaubat, Allah ﷻ akan memasukkan kita ke dalam rahmah-Nya. Maka untuk segera dapat rahmah, maka bersegeralah meminta ampun. Perumpamaannya begini, katakanlah kita ada buat salah dengan seorang yang kaya. Kemudian dia kata kalau kita meminta maaf kepadanya, bukan sahaja dia akan maafkan kita, malah dia juga akan hadiahkan kita sebuah kereta BMW baru! Apa kita akan buat kalau begitu? Tentulah kita akan segera minta maaf, bukan?


 

Nahl Ayat 19: Dalil aqli ketiga.

وَاللهُ يَعلَمُ ما تُسِرّونَ وَما تُعلِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh knows what you conceal and what you declare.

(MELAYU)

Dan Allah mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan.

 

Allah ﷻ tahu apa yang kita rahsiakan dan kita umumkan. Daripada yang kita rahsiakan dan umumkan itu, ada kesalahan yang kita lakukan – itu juga Allah ﷻ boleh ampunkan jika Allah ﷻ mahu.

Allah ﷻ beritahu tentang perkara rahsia dan perkara umum kerana kita ini semua ada personaliti rahsia dan personaliti umum. Ada yang kita mahu rahsiakan daripada diketahui oleh orang ramai. Depan orang kita perangai lain, di rumah perangai lain pula; Dengan orang ramai baik sahaja, tetapi dengan keluarga garang pula.

Allah ﷻ mahu beritahu kita yang Dia tahu semua itu. Memang itu kebiasaan kalau kita tahan diri kita daripada sifat yang keji di khalayak ramai. Tidak akan kita mahu menunjukkan perangai di rumah kepada khalayak ramai pula? Cuma, usahakanlah jangan sampai menyakitkan hati sesiapa.

Ayat ini adalah ancaman kepada orang kafir: Apa yang mereka cakap dan apa yang mereka simpan di dalam hati mereka, Allah ﷻ tahu semua. Jangan sangka yang mereka akan selamat kerana mereka tidak tunjukkan kebusukan hati mereka; Atau mereka membuat perancangan rahsia sesama mereka untuk memusnahkan Islam – mereka berbincang rahsia juga Allah ﷻ tahu.


 

Nahl Ayat 20: Allah bandingkan dengan selain dariNya.

وَالَّذينَ يَدعونَ مِن دونِ اللهِ لا يَخلُقونَ شَيئًا وَهُم يُخلَقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those they invoke other than Allāh create nothing, and they [themselves] are created.

(MELAYU)

Dan roh-roh yang mereka seru selain Allah, tidak dapat membuat sesuatu apapun, sedang mereka itu (sendiri) dibuat.

 

وَالَّذينَ يَدعونَ مِن دونِ اللهِ لا يَخلُقونَ شَيئًا

Dan roh-roh yang mereka seru selain Allah, tidak dapat membuat sesuatu apapun,

Allah ﷻ sudah beritahu yang semua di dalam alam ini, Dia yang menjadikannya. Tidak ada sesiapa pun selain Allah ﷻ yang boleh mencipta. Sekarang Allah ﷻ suruh mereka yang menyembah dan menyeru selain-Nya untuk menggunakan akal mereka. Roh-roh wali, Nabi dan malaikat yang diseru itu tidak ada kuasa mencipta. Allah ﷻ juga telah sebut tentang hal ini di dalam Luqman: 10-11

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ ۚ وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ كَريمٍ
Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.

هٰذا خَلقُ اللهِ فَأَروني ماذا خَلَقَ الَّذينَ مِن دونِهِ ۚ بَلِ الظّٰلِمونَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepada-Ku apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata.

Selepas disebut segala perkara hebat-hebat yang Dia cipta, Allah ﷻ tanya kembali: mana dia benda yang dicipta oleh ma’bud bathil kamu itu? Tentulah tidak ada. Maka, roh-roh itu tidak ada kuasa apa-apa walau sedikit pun. Maka, kalau mahu sembah dan seru, sudah tentu sembah dan seru kepada yang boleh mencipta. Allah ﷻ juga menyebut kelemahan mereka di dalam Hajj: 73

يا أَيُّهَا النّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاستَمِعوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللهِ لَن يَخلُقوا ذُبابًا وَلَوِ اجتَمَعوا لَهُ ۖ وَإِن يَسلُبهُمُ الذُّبابُ شَيئًا لّا يَستَنقِذوهُ مِنهُ ۚ ضَعُفَ الطّالِبُ وَالمَطلوبُ
Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.

Ayat ini selalu diterjemahkan sebagai ‘berhala-berhala’. Akan tetapi ini tidak tepat. Kerana kalau dikatakan berhala, itu hanya merujuk kepada golongan musyrik tertentu sahaja, seperti Musyrikin Mekah dan Hindu. Namun begitu ada banyak jenis lagi sembahan selain Allah ﷻ itu.

Maka kalau kita terjemah sebagai ‘berhala’ sahaja, tentu senang hati Musyrikin Malaysia, mereka tentu akan berkata bahawa mereka tidak menyembah berhala; tetapi sebenarnya mereka ada juga melakukan syirik sembahan kepada selain Allah ﷻ.

Kita harus faham, bukan berhala atau patung itu yang disembah. Namun, apa yang di sebaliknya. Iaitu berhala dan patung itu hanyalah sebagai ganti kepada Nabi, wali dan malaikat yang disembah. Mereka perlukan bentuk fizikal untuk mereka sembah. Kerana itu mereka jadikan sebagai bentuk patung. Walaupun asalnya mereka mahu seru dan sembah Nabi, wali dan malaikat itu sahaja. Maka, jangan kita sempitkan terjemahan ayat ini dengan menggunakan ‘berhala’ sahaja.

 

وَهُم يُخلَقونَ

sedang mereka itu (sendiri) diciptakan.

Bagaimana roh-roh itu boleh mencipta, sedangkan mereka sendiri pun dicipta? Bagaimana pula berhala-berhala dan patung-patung itu boleh disembah oleh manusia sedangkan manusia juga yang membuatnya? Adakah patut, sendiri buat dan sendiri sembah? Atau makhluk yang dicipta oleh Allah ﷻ tetapi kita sembah dia. Takkan naik tahap makhluk melebihi yang sepatutnya. Macam beruk, tetaplah kita panggil beruk walaupun duduk tinggi di atas pokok. Maka begitu jugalah manusia, tetap hanya sebagai hamba.

Dahulukala di Candi Borobudur diletakkan orang beratus-ratus berhala Budha. Berduyun-duyun orang datang memuja batu-batu yang dipahat oleh tukang patung itu. Kemudian beberapa di antara patung-patung itu diangkut orang ke dalam kota Yogyakarta, lalu dideretkan di tepi jalan untuk menjadi perhiasan jalan. Setelah berubah tempatnya, berubah pula waktu dan masanya, pendewaannya pun telah berubah pula. Dahulu dipuja, dan kemudian dijadikan perhiasan di tepi jalan. Barangnya itulah juga.

Serupa juga dengan lembu persembahan orang Hindu. Di beberapa kota besar di India, lembu-lembu itu berbuat sesuka hati menghadang jalan. Kalau ia membuang air kencingnya ada orang yang datang berkerumun memperebutkan kencing lembu itu dan membasuh mukanya dengan air kencing itu. Akan tetapi lembu yang dituhankan itu juga, kalau dipindahkan ke daerah Islam, tidak lagi dituhankan, melainkan disembelih dan dibuat gulai sahaja.


 

Nahl Ayat 21: Bukan sahaja mereka tidak boleh mencipta dan mereka sendiri dicipta. Namun mereka juga akan mati atau telah mati atau tidak pernah pun hidup.

أَموٰتٌ غَيرُ أَحياءٍ ۖ وَما يَشعُرونَ أَيّانَ يُبعَثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They are, [in fact], dead,¹ not alive, and they do not perceive when they will be resurrected.

  • i.e., inanimate or without understanding.

(MELAYU)

Mereka itu benda mati tidak hidup, dan mereka tidak mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan.

 

أَموٰتٌ غَيرُ أَحياءٍ

Mereka itu benda mati tidak hidup,

Malahan mereka yang disembah oleh golongan musyrik itu semuanya mati, atau tiada nyawa. Tidak hidup langsung. Ini tentang sembahan kepada benda tidak bernyawa seperti pokok, batu dan lain-lain.

Kalau yang disembah dan diseru itu pernah hidup, mereka sekarang sudah mati. Memang dahulu mereka hidup dan mungkin mereka itu orang beriman dan banyak ilmu. Ini seperti Nabi dan juga wali. Akan tetapi tidaklah mereka pernah menyuruh untuk menyembah mereka. Melainkan yang menyembah mereka itu keliru sama sekali. Ini adalah kerana mereka mendengar bisikan syaitan.

Jangan sangka ayat ini tentang orang bukan Islam sahaja. Orang Islam juga ramai yang melakukan penyembahan kepada makhluk yang telah mati. Lihatlah bagaimana puak-puak sesat seperti Tarekat dan golongan Habib itu yang pergi ke kubur-kubur orang yang telah mati (sama ada Nabi atau wali dakwaan mereka) dan mereka minta kepada orang dalam kubur itu.

Ada yang buat ibadah seperti tawaf, kucup, sembelih binatang korban; dan ada yang bercakap dengan orang yang sudah mati dalam kubur itu. Mereka bercakap macam orang dalam kubur itu seolah-olah masih hidup lagi. Tidakkah ini kerja yang sia-sia? Memang sia-sia dan kerja yang amat bodoh. Sedangkan Allah ﷻ itu ada dan Dia Maha Hidup! Kenapa meminta kepada yang tidak hidup atau yang akan mati atau telah mati? Adalah satu kebodohan menyembah dan menyeru mereka seperti dakwah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada ayahnya di dalam Maryam: 42

إِذ قالَ لِأَبيهِ يٰۤـاَبَتِ لِمَ تَعبُدُ ما لا يَسمَعُ وَلا يُبصِرُ وَلا يُغني عَنكَ شَيئًا
Ketika dia berkata kepada bapanya:” Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikit pun?

Kenapa selepas Allah ﷻ sebut أَموٰتٌ, Allah ﷻ sebut pula غَيرُ أَحياءٍ? Bukanlah yang mati memang tidak hidup? Ini kerana ada yang asalnya mati, tidak bernyawa tetapi kemudian hidup seperti kita ini. Seperti air mani yang asalnya mati, juga telur yang tidak hidup tetapi menetas menjadi binatang yang hidup. Di dalam Al-Qur’an juga Allah ﷻ ada menyebut tanah yang mati kemudian Allah ﷻ hidupkan, begitu juga hati yang mati yang Allah ﷻ hidupkan dengan ilmu wahyu.

 

وَما يَشعُرونَ أَيّانَ يُبعَثونَ

dan mereka tidak mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan.

Mereka yang telah mati itu tidak sedar sama sekali yang mereka itu diseru dan disembah, kerana mereka tidak ada deria rasa pun. Begitu juga kalau kita tampar orang yang sudah mati, mereka tidak ada rasa sakit, bukan?

Malah mereka sendiri tidak tahu bila mereka akan dibangkitkan. Mereka tidak tahu bilakah hari kiamat kerana mereka juga makhluk. Hari kiamat hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu.

Mereka tidak ada ilmu tentang perkara ini kerana mereka juga makhluk Allah ﷻ, sama seperti kita juga. Mereka tidak ada ilmu khas tentang perkara ini. Kalau ada, maka yang mendakwa begitu harus berikan dalil. Harus berikan dalil yang sahih, bukannya dalil buatan. (Contohnya mesti dalil daripada Imam Muslim, bukan dalil daripada seorang Muslim yang tidak bertanggungjawab).

Kenapa Allah ﷻ sebut tentang mereka tidak tahu bila mereka akan dibangkitkan? Kerana untuk membalas sembahan makhluk, tentulah yang disembah itu kena hidup. Akan tetapi mereka sendiri tidak tahu bila mereka akan dihidupkan semula, maka apakah pula yang membolehkan mereka membalas penyembah-penyembah mereka?

Sekian Ruku’ 2 daripada 16 ruku’ surah ini.


 

Nahl Ayat 22: Ini adalah khulasah (kesimpulan) dari dalil-dalil yang telah diberikan dalam ayat-ayat sebelum ini. Setelah diberi dengan segala hujah dan dalil sebelum ini, maka Allah ﷻ sampaikan pengajaran utamanya; atau kesimpulan daripada segala ayat-ayat itu. Ini adalah ulangan Dakwa Surah berserta Zajrun (teguran).

Mulai ayat ini sehingga ke ayat 34 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Ia berkenaan kesyirikan dan keburukan Arab Mekah. Perenggan ini terbahagi kepada 3 bahagian.

Bahagian pertama adalah sehingga ke ayat 29 berkenaan persendaan mereka terhadap Hari Akhirat. Orang kafir Mekah itu mengolok-olok wahyu yang disampaikan Rasulullah ﷺ sebagai dongengan orang dulu-dulu sahaja. Mereka tidak percaya kepada Hari Akhirat.

إِلٰهُكُم إِلٰهٌ وٰحِدٌ ۚ فَالَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ قُلوبُهُم مُّنكِرَةٌ وَهُم مُّستَكبِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your God is one God. But those who do not believe in the Hereafter – their hearts are disapproving, and they are arrogant.

(MELAYU)

Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Maka orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, hati mereka mengingkari (Keesaan Allah), sedangkan mereka sendiri adalah orang-orang yang sombong.

 

إِلٰهُكُم إِلٰهٌ وٰحِدٌ

Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa. 

Allah ﷻ mahu beritahu kepada kita bahawa hanya ada satu ilah sahaja iaitu Allah. Ayat ini amat penting kerana kita harus ingat yang Allah ﷻ sebut Dia ‘Wahid’ semasa ayat ini dibacakan di hadapan mereka yang percaya ada banyak ilah. Kita sekarang mungkin biasa sahaja baca ayat ini, tetapi bayangkan Musyrikin Mekah yang mula-mula dengar ayat ini dibacakan.

Mereka tentunya marah kepada Nabi Muhammad ﷺ yang membacakan ayat ini. Mereka susah untuk terima. Ini adalah kerana mereka faham makna dan implikasi lafaz kalimat ini. Malangnya orang Melayu kita selalu sahaja baca tahlil, malangnya kerana mereka tidak faham bahasa Arab dan maksud tahlil itu, mereka baca tetapi dalam masa yang sama, mereka langgar kalimah tahlil itu.

Islam menekankan bahawa hanya ada satu Tuhan sahaja, iaitu satu ilah sahaja. Ini tidak sama dengan agama lain yang ada banyak tuhan. Oleh kerana banyak tuhan, maka kita selalu baca bagaimana kisah tuhan-tuhan mereka berlawanan antara satu sama lain. Mereka mungkin tidak sedar yang itu bukan sifat tuhan, tetapi itu adalah sifat kartun.

 

فَالَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ قُلوبُهُم مُّنكِرَةٌ

Maka orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat, hati mereka mengingkari

Walaupun telah diberikan dengan berbagai-bagai hujah; Allah ﷻ juga telah menyenaraikan jasa-jasa-Nya yang banyak, sebaliknya mereka yang berhati ingkar tidak juga mahu percaya. Hati mereka masih mengingkari Tauhid. Mereka tetap juga mahu menolak ajaran Tauhid. Asalnya adalah kerana mereka tidak mempercayai adanya Hari Akhirat. Kepercayaan kepada Hari Akhirat amatlah penting bagi manusia kerana kalau kita tidak percaya adanya hari itu, maka kita tidak takut untuk berbuat apa-apa sahaja; tidak takut kerana tidak percaya yang dia kena mengadap Allah ﷻ dan kena jawab atas segala perbuatannya semasa di dunia.

Oleh kerana mereka tidak yakin dengan Hari Akhirat, maka mereka ada hujah mereka yang bermacam-macam untuk membolehkan dan menghalalkan amalan syirik mereka. Berkali-kali kita cuba memberitahu dalil dan hujah kepada mereka, hujah akal dan tok guru mereka juga yang mereka mahu gunakan untuk membenarkan perlakuan syirik mereka.

Allah ﷻ mahu beritahu kita di sini, jangan hairan jikalau ada manusia yang begitu. Memang akan ada manusia yang tidak mengenang jasa. Ini adalah kerana hati mereka yang ingkar. Ini mengajar kita yang penting adalah hati ini. Kita selalu dengar bukan tentang hati yang baik akan menjadikan orang itu baik.

Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi ﷺ bersabda:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
“Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”
(Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599))

 

وَهُم مُّستَكبِرونَ

dan mereka adalah orang-orang yang sombong.

Mereka tidak mahu menerima kerana mereka itu orang yang sombong. Iaitu sombong untuk menerima kebenaran. Mereka rasa mereka besar, kedudukan tinggi, sudah pandai kerana sudah lama belajar dengan guru mereka. Maka, mereka tidak mahu membuka pintu hati mereka kepada kebenaran Tauhid.

Kita selalu dengar sombong, sombong. Namun apakah ia? Sombong ada dua jenis. Satu jenis sombong seperti Kaum Tsamud adalah mereka yang berasa diri mereka sudah besar, lebih bijak pandai, lebih berilmu. Oleh sebab itu, apabila Para Nabi dan pendakwah menyampaikan dakwah kepada mereka, mereka tidak mahu dengar. Orang sombong jenis begini selalu sahaja kita jumpa. Terutama mereka yang sudah banyak belajar agama sekian lama, apabila kita sampaikan ajaran wahyu kepada mereka, mereka tidak mahu terima.

Satu lagi sombong adalah rasa diri lebih hebat daripada orang lain. Mereka berasa mereka lebih kaya, lebih kuat, lebih baik keturunan, bangsa dan lain-lain. Ini pun memang bahaya. Mereka memandang rendah kepada orang lain.

Begitu juga dengan kita yang sudah belajar ini mungkin ada sedikit sebanyak berasa lebih pandai daripada orang lain, bukan? Maka kenalah jaga hati. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan harus mempunyai rasa rendah diri. Jika ilmu kita banyak pun, ini kerana Allah ﷻ yang berikan kepada kita kerana kita dulu pun yang belajar daripada orang lain juga. Jangan sesekali memandang rendah terhadap orang lain yang belum pandai. Entah apabila dia terima agama dan dia belajar, mungkin dia lebih pandai daripada kita. Maka jangan sombong.

Orang sombong tidak akan dapat masuk syurga seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda,

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“
(Muslim No. 91)

Oleh kerana sifat sombong inilah yang menyebabkan ramai manusia masuk neraka. Kerana apa? Mereka degil untuk meninggalkan syirik. Oleh kerana tidak faham tentang syirik, maka mereka menyembah selain Allah ﷻ, mereka berdoa kepada selain Allah ﷻ. Apabila tidak berdoa terus kepada Allah ﷻ, maka ini digelar sebagai sombong seperti disebut di dalam Ghafir: 60

وَقالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتي سَيَدخُلونَ جَهَنَّمَ داخِرينَ
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

Maka kerana itu hendaklah kita berdoa terus kepada Allah ﷻ, minta terus kepada Allah ﷻ dalam apa sahaja keperluan kita. Jangan kita berdoa kepada Nabi, wali atau malaikat. Itu adalah perbuatan syirik yang hanya dilakukan oleh orang yang sombong untuk menerima kebenaran Tauhid.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Disember 2023

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment