Tafsir Surah Yusuf Ayat 110 (Bantuan dari Allah setelah putus asa) Part 1

Yusuf Ayat 110: Ini adalah Dakwa Keempat: Allah ‎ﷻ hendak beritahu, seteruk mana pun ujian yang datang, akhirnya akan berjaya. Memang dalam menjalankan kerja dakwah, akan ada banyak ujian. Namun Allah ‎ﷻ hendak ingatkan bahawa seteruk mana pun ujian yang diterima di awal dakwah, kesudahannya adalah baik.

Ayat ini mengajar kita semua untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ dan kalaulah kita telah berdoa dan lambat dimakbulkan, jangan khuatir kerana ia akan tetap dimakbulkan – lambat atau cepat sahaja. Tidak semestinya terjadi terus apa yang kita hajati itu.

Mengkaji Ayat 110 daripada Surah Yusuf menuntut ketelitian intelektual yang luar biasa kerana ia mengandungi dimensi makna yang sangat kompleks dalam tradisi tafsir dan linguistik.

حَتَّىٰٓ إِذَا ٱستَيـَٔسَ ٱلرُّسُلُ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُم قَد ڪُذِبُواْ جَآءَهُم نَصرُنَا فَنُجِّىَ مَن نَّشَآءُ‌ۖ وَلَا يُرَدُّ بَأسُنَا عَنِ ٱلقومِ ٱلمُجرِمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They continued] until, when the messengers despaired and were certain that they had been denied, there came to them Our victory, and whoever We willed was saved. And Our punishment cannot be repelled from the people who are criminals.

(MALAY)

Sehingga apabila para rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan mereka) dan telah menyakini bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada para rasul itu pertolongan Kami, lalu diselamatkan orang-orang yang Kami kehendaki. Dan tidak dapat ditolak seksa Kami daripada orang-orang yang berdosa.

 

حَتّىٰ إِذَا استَيأَسَ الرُّسُلُ

Sehingga apabila para Rasul hampir putus asa

Kalimah حَتّىٰ jarang digunakan di permulaan ayat dan tidak sesuai selalunya dari kaedah bahasa. Akan tetapi Allah letakkan di sini memberi isyarat yang proses itu bukan tiba-tiba tapi mengambil masa yang lama. Lama sudah para Rasul itu berdakwah tapi kaum mereka tetap menentang. Bukan sehari dua mereka berusaha untuk menyampaikan kebenaran, tapi lamaaaa sungguh.

Ada muqaddar dalam ayat ini. (Dalam ilmu tafsir Al-Qur’an, istilah Muqaddar (المُقَدَّر) merujuk kepada perkataan atau ayat yang tidak tertulis secara zahir (tersurat) dalam teks ayat, tetapi difahami kewujudannya berdasarkan konteks (tersirat) untuk melengkapkan makna ayat tersebut.) Muqaddar dalam ayat ini adalah: Para Rasul mendapat dugaan yang berlarutan dan tidak sampai-sampai lagi bantuan Allah ‎ﷻ kepada mereka. Bantuan itu lambat sangat, sampai para Rasul hampir putus asa.

Dan kita boleh kaitkan dengan ayat sebelum ini, أَفَلَم يَسِيرُواْ فِى ٱلأَرضِ فَيَنظُرُواْ كَيفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبلِهِم (Maka tidakkah mereka berpergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul). Jadi ancaman telah diberikan bahawa para penentang akan dikenakan dengan azab yang besar. Tapi bila? Para penentang itu telah dijanjikan dengan azab tapi yang mereka lihat, tidak datang-datang pun azab itu? Mana azabnya? Bila tidak ada azab yang mendatang, lagilah mereka naik tocang! Mereka menjadi semakin berani dan semakin teruk mereka menentang para Rasul. Bayangkan Nabi Muhammad sudah hampir dibunuh (setelah pemuka Quraisy buat perancangan untuk bergabung semua kabilah kecuali kabilah Bani Hashim). Jadi ada persoalan di sini dan ia dijawab di dalam ayat ini yang dimulakan dengan kalimah حَتّىٰ ini. Sehinggalah apabila para Rasul telah hampir putus asa.

Kalimah ‘hampir’ ini kita kena tambah kerana tidak mungkin para Rasul akan putus asa dengan rahmat dan bantuan Allah. Inilah pendapat yang diketengahkan oleh Ibn Taimiyyah dengan memberikan hujah yang kuat. Kalau anda masih ingat, kalimah استَيأَسَ telah pernah digunakan di dalam Ayat 80,

فَلَمَّا ٱستَيـَٔسُواْ مِنهُ خَلَصُواْ نَجِيًّا‌
Maka tatkala mereka berputus asa dari pada (keputusan) Yusuf mereka menyendiri

Di dalam Ayat 80 itu juga ia bermaksud ‘hampir’ hilang segala harapan. Tidak hilang kesemuanya. Kerana apa? Perhatikan kata abang besar mereka: أَو يَحكُمَ ٱللَّهُ لِى‌ (atau Allah memberi keputusan terhadapku). Maknanya dia berharap walaupun Nabi Yusuf (Al-Aziz) tidak lepaskan adiknya Bunyamin ketika itu, dia tetap hendak tinggal di Mesir, kerana entah nanti Al-Aziz akan berubah fikiran ataupun Allah menentukan sesuatu yang lain. Itu tanda dia masih berharap lagi. Tidaklah putus semua harapan. Kerana hati manusia boleh sahaja berubah, bukan? Entah Al-Aziz bukan lagi pemerintah, entah penjara penuh, entah berbagai kemungkinan boleh berlaku, selagi Bunyamin tidak mati, bukan?

Dan kata dasar bagi kalimah استَيأَسَ ada juga digunakan di dalam Ayat 87, bukan?

إِنَّهُ ۥ لَا يَاْيـَٔسُ مِن رَّوحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلقَومُ ٱلكَـٰفِرُونَ
Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir

Perhatikan di dalam Ayat 87 ini, kalimah putus ada untuk orang kafir adalah يَاْيـَٔسُ sedangkan untuk para Rasul di dalam Ayat 110 ini adalah استَيأَسَ. Jadi ia tidak sama, bukan? Kalau orang kafir sahaja yang ada يَاْيـَٔسُ, maka tidak mungkin para Rasul ada يَاْيـَٔسُ pula. Mereka tidak akan ada putus asa sepenuhnya. Mereka (para Rasul) mungkin ada استَيأَسَ, tapi tidak mungkin ada يَاْيـَٔسُ. Ini kerana haram hukumnya berputus asa dengan Allah.

Kalau hendak pening lagi, kita boleh lihat kalimah استَيأَسَ ini di dalam bentuk Wazan استفعل. Ini adalah apabila ada penambahan است pada sesuatu kalimah asal. Berikut adalah penggunaan utama dan fungsi wazan ini:

1. Fungsi Utama: Menunjukkan Permintaan (الطَّلَبُ)

Ini adalah fungsi yang paling umum yang selalu digunakan dan kita selalu jumpa. Wazan ini digunakan untuk menunjukkan perbuatan meminta sesuatu daripada kata dasar tersebut.

Contoh:

Kata dasar: غَفَرَ (Ghafara) = Mengampuni.
Wazan استفعل: اسْتَغْفَرَ (Istaghfara) = Meminta ampun (Memohon ampun).

Kata dasar: جَابَ (Jaba) = Menjawab.
Wazan استفعل: اسْتَجَابَ (Istajaba) = Meminta jawapan (Mengabulkan/Memakbulkan).

2. Fungsi Kedua: Menunjukkan Perubahan Keadaan (الصَّيْرُورَةُ)

Wazan ini menunjukkan seseorang atau sesuatu itu menjadi atau berubah kepada suatu keadaan yang digambarkan oleh kata dasar.

Contoh:

Kata dasar: حَجَرَ (Hajara) = Batu.
Wazan استفعل: اسْتَحْجَرَ (Istahjara) = Menjadi keras seperti batu / Membatu.

Kata dasar: حَلَبَ (Halaba) = Memerah susu.
Wazan استفعل: اسْتَحْلَبَ (Istahlaba) = Menjadi seperti susu / Mengeluarkan susu.

3. Fungsi Ketiga: Menunjukkan Anggapan/Keyakinan (Al-I’tiqad)

Wazan ini menunjukkan bahawa subjek menganggap objek mempunyai sifat yang digambarkan oleh kata dasar.

Contoh:

Kata dasar: حَسُنَ (Hasuna) = Baik/Indah.
Wazan استفعل: اسْتَحْسَنَ (Istahsana) = Menganggap baik / Memandang elok / Menyetujui.

Kata dasar: عُظْمَ (Uzhma) = Besar/Agung.
Wazan استفعل: اسْتَعْظَمَ (Istazhama) = Menganggap besar / Mengagungkan.

Jadi kalau kita lihat contoh penggunaan yang pertama, ia merujuk kepada permintaan. Ia tidak sesuai bagi استَيأَسَ kerana takkan ada orang yang minta hendak jadi putus asa pula, bukan? Jadi penggunaan yang kedua itulah yang sesuai, iaitu merubah kepada sesuatu yang lain. Jadi kalimah استَيأَسَ bermaksud mereka menuju kepada putus asa, tapi belum lagi menjadi putus asa.

Kemudian, tidak disebut para Rasul itu hampir putus asa dalam hal apa? Ia tidak disebut secara jelas di dalam ayat ini, jadi ia membuka kepada beberapa tafsiran. Ada beberapa kemungkinan.

1. Para Rasul itu hampir putus asa dengan umat mereka. Nampaknya mereka tidak akan berubah, tipis sangat kebarangkalian mereka akan berubah dan beriman.

2. Kalau kita perhatikan sifat para Rasul itu, mereka selalunya rasa bersalah, seolah-olah mereka tidak cukup lagi berdakwah sampai kaum mereka beriman. Mereka meletakkan diri mereka yang bersalah kerana mereka itu orang yang amat halus dan amat prihatin. Dan mereka mula memikirkan, kalaulah mereka boleh berikan segala mukjizat sebagai bukti yang diminta oleh kaum mereka. Ini disebut banyak kali di dalam Al-Qur’an, antaranya An’am:35

وَإِن كانَ كَبُرَ عَلَيكَ إِعراضُهُم فَإِنِ استَطَعتَ أَن تَبتَغِيَ نَفَقًا فِي الأَرضِ أَو سُلَّمًا فِي السَّماءِ فَتَأتِيَهُم بِئآيَةٍ ۚ وَلَو شاءَ اللهُ لَجَمَعَهُم عَلَى الهُدىٰ ۚ فَلا تَكونَنَّ مِنَ الجٰهِلينَ
Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.

Allah tidak mahu ini terjadi kepada para Rasul. Allah mahu mereka terus berdakwah walaupun kepada orang yang tidak mahu terima pada mulanya. Kerana kalau sudah ada rasa hendak putus asa, apa yang akan berlaku dalam fikiran seseorang? Lemah semangat, tidak mahu lagi buat kerja, bukan? Kerana mereka rasa ia sudah sia-sia. Maka Allah tidak akan biarkan mereka berterusan di dalam keadaan itu. Kerana itulah nanti kita akan bertemu selepas ini di mana Allah akan beri bantuan kepada mereka. Allah tidak mahu mereka terus patah semangat. Allah tidak mahu para Rasul itu terus tinggalkan umat mereka.

Tapi bayangkan sejenak apa yang para Rasul terutama sekali Nabi Muhammad kena lalui. Surah ini diberikan ketika baginda kehilangan dua tonggak/tongkat baginda iaitu isterinya yang tersayang Khadijah dan bapa saudara baginda Abu Thalib. Kaum baginda telah menolak mereka, sedangkan mereka itu bukan orang lain, tapi orang yang sama yang menyanjung baginda dahulu tapi sekarang menentang baginda dengan keras sekali. Baginda dihina, dimalukan, dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan. Apa perasaan baginda ketika itu? Tentunya berbaur dengan berbagai perasaan. Dalam baginda hendak menyelamatkan mereka, baginda ditolak dengan keras! Tapi adakah mereka dibenarkan untuk berhenti berdakwah? Tidak! Allah suruh mereka pergi lagi dan lagi kepada kaum mereka, tidak ada hentinya. Dakwah tetap kena diteruskan walaupun kaum mereka telah menolak! Allahu Akbar! Begitulah kerja para pendakwah yang semestinya mengambil pengajaran dan semangat dari mereka.

Apabila kita mengenang perjuangan Rasulullah dan para sahabat, maka ia memberi pandangan yang berbeza tentang Al-Qur’an yang di tangan kita. Ia bukan datang dengan percuma, ia bukan datang dengan mudah. Ia dibayar dengan peluh dan air mata, malah dengan darah! Kita dapat percuma sahaja, itu pun kita buat tidak tahu sahaja, tidak mempelajarinya. Sedangkan para penerima pertama dahulu kena bermati-matian mempertahankannya. Sekarang bagaimana sikap kita terhadap Al-Qur’an yang agung ini?

Kaitan Ayat 110 dengan ayat sebelumnya: Di dalam ayat sebelum ini, kita telah baca: أَفَلَم يَسِيرُواْ فِى ٱلأَرضِ فَيَنظُرُواْ كَيفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبلِهِم (Maka tidakkah mereka berpergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul)). Jadi sekarang di dalam Ayat 110 ini kita sebenarnya baca apa terjadi sebelum itu iaitu bagaimana para Rasul itu telah ditolak. Jadi kisah di dalam Ayat 110 ini datang sebelum kisah di dalam Ayat 109. Allah menceritakan detik-detik yang terjadi sebelum puak penentang itu dimusnahkan. Ia mengajar kita yang Allah tidak membiarkan para Rasul dan orang beriman terkontang-kanting tanpa bantuan. Dan Allah tidak akan biarkan penentang Rasul itu selamat. Ya, bantuan mungkin lambat datang, tapi ia tetap akan datang. Apabila ia datang pada ketika yang kritikal, maka ia lebih bermakna; kalau datang dari awal lagi, kesannya tidak sama.

Allah ‎ﷻ menyebutkan bahawa pertolongan-Nya diturunkan atas rasul-rasul-Nya semuanya di saat mereka dalam kesempitan dan menunggu pertolongan dari Allah ‎ﷻ dalam waktu-waktu yang sangat genting. Ketika mereka hampir putus asa. Tapi kalimah استَيأَسَ ini perlu dibincangkan kerana di dalam ayat ini ia dinisbahkan kepada para Rasul, bukan?

Ibnu Taimiyyah mempunyai pandangan yang sangat mendalam mengenai kalimah استَيْأَسَ (istay’asa) dalam ayat ini. Beliau melihat ayat ini bukan sekadar cerita sejarah, tetapi sebagai sunnatullah (hukum alam) dalam perjuangan para Rasul dan orang beriman. Berikut adalah ringkasan tafsiran beliau yang dipetik daripada karya-karyanya seperti Majmu’ al-Fatawa:

1. Ada perbezaan antara “Putus Asa” Biasa dengan “استَيْأَسَ”

Ibnu Taimiyyah menjelaskan bahawa penambahan huruf س dan ت pada perkataan يَئِسَ menjadi استَيْأَسَ menunjukkan puncak atau kesudahan sesuatu keadaan. Ini kerana di dalam bahasa Arab, penambahan huruf membawa kepada penambahan makna. Menurut beliau, para Rasul tidak pernah putus asa terhadap rahmat Allah. Jadi menurut beliau, maksud استَيْأَسَ di sini ialah para Rasul telah sampai ke tahap “putus harap terhadap kaumnya”. Mereka sedar bahawa selepas segala usaha dakwah dilakukan, kaum yang ingkar itu memang tidak akan beriman lagi.

2. Hubungan dengan Ujian yang Memuncak

Ibnu Taimiyyah menekankan bahawa pertolongan Allah (نصرالله) hanya akan turun apabila keadaan sudah mencapai tahap paling kritikal. Beliau sering memetik ayat ini untuk menjelaskan bahawa:

    • Apabila bebanan ujian terasa sangat berat
    • Apabila musuh kelihatan sangat kuat
    • Apabila para Rasul merasa pengikut mereka mula goyah,

Pada saat itulah Allah mendatangkan pertolongan agar manusia sedar bahawa kemenangan itu murni datangnya daripada Allah, bukan atas kekuatan manusia semata-mata.

3. Tafsiran Mengenai Kebimbangan Rasul (ظَنّوا)

Ibnu Taimiyyah menegaskan bahawa para Rasul itu Ma’sum (terpelihara) daripada bersangka buruk kepada Allah. Nanti kita bawakan dalil dari riwayat A’isyah tentang hal ini sebentar lagi. Beliau menafsirkan استَيْأَسَ dan ظَنّ dalam ayat ini sebagai: “Ketakutan manusiawi para Rasul bahawa ujian yang terlalu lama akan menyebabkan fitnah (kerosakan iman) kepada pengikut mereka yang lemah.” Mereka juga manusia, jadi mereka pun ada perasaan emosi kemanusiaan seperti orang lain juga.

4. Kaedah “Kesusahan Membawa Kemudahan”

Ibnu Taimiyyah menggunakan Ayat 110 ini untuk membina kaedah dakwah: “Semakin gelap malam, semakin dekat waktu subuh.” Beliau berpendapat bahawa kemuncak keputusasaan para Rasul terhadap sokongan manusia adalah isyarat (tanda) bahawa pintu kemenangan daripada Tuhan akan segera terbuka.

Kesimpulan Ibnu Taimiyyah: Bagi Ibnu Taimiyyah, ayat ini adalah ubat bagi hati yang sedang diuji. Beliau mahu pembaca faham bahawa jika para Rasul yang paling mulia pun pernah melalui fasa “hampir hilang harapan terhadap manusia”, maka orang beriman biasa tidak seharusnya merasa pelik jika mereka juga diuji dengan perasaan yang sama sebelum datangnya kejayaan.

 

وَظَنّوا أَنَّهُم قَد كُذِبوا

dan mereka telah menyakini bahawa mereka telah didustakan,

Frasa ini antara yang paling sukar untuk ditafsirkan kerana ia banyak wajah/bentuk, jadi ia membawa beberapa kebarangkalian makna. Pertama kalimah ظَنّوا (kalau mufrad: ظَنّ). Kata ظنّ dalam bahasa Arab mempunyai beberapa makna yang berbeza, dan penggunaannya dalam Al‑Qur’an datang dalam beberapa bentuk bergantung kepada konteks ayat. Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ menegaskan dalam tafsirnya:

“Orang Arab kadang-kadang menamai yakin itu dengan ظَنَّ, sebagaimana juga mereka pernah menamai gelap dengan sadafah dan terang dinamainya juga sadafah. Orang yang menyeru meminta tolong mereka namai shaarikh, dan orang tempat memohonkan pertolongan itu kadang-kadang mereka namai shaarikh juga. Dan ada lagi beberapa perumpamaan pemakaian nama-nama yang lain, iaitu menamai sesuatu keadaan dengan lawannya.”

Para ahli bahasa menjelaskan bahawa ظنّ boleh merangkumi:

• keyakinan (yaqin)
• sangkaan kuat
• sangkaan lemah atau waham
• maksud mengira atau menganggap

Menurut al‑Rāghib al‑Aṣfahānī, “الظن اسم لما يحصل عن أمارة”, yakni ia merujuk kepada sesuatu kesimpulan yang terbina atas petunjuk atau tanda. Jika petunjuk itu kuat, ظنّ membawa makna ilmu atau keyakinan; jika lemah, ia tidak melepasi tahap tekaan. Di dalam Al‑Qur’an, ظنّ digunakan dalam beberapa makna utama:

A. Makna yakin. Contoh: ﴾الذين يظنون أنهم ملاقو ربهم﴿ Baqarah:46. Maksudnya “mereka yang yakin bahawa mereka akan bertemu Tuhan mereka”. Al‑Rāghib menyatakan bahawa ayat ini adalah “اليقين”, dan ia juga dihuraikan oleh para ulama lain sebagai ظنّ yang bermaksud ilmu dan yakin .

B. Makna sangkaan yang kuat tetapi tidak sampai yakin. Contoh: ﴾وظن أهلها أنهم قادرون عليها﴿ Yunus:24. Maksudnya “dan ahlinya pun menyangka bahawa mereka dapat menguasainya (mengambil hasilnya). Di sini ظنّ bermaksud sangkaan kuat yang masih boleh tersilap.

C. Makna sangkaan lemah / waham. Contoh: ﴾إن نظن إلا ظنا وما نحن بمستيقنين﴿ Jathiya:32.  Maksudnya “Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali menyakininya“. Di sini menunjukkan ظنّ sebagai tekaan tanpa kepastian.

D. Makna ‘mengira’ atau ‘menyangka’. Contoh: ﴾إنه ظن أن لن يحور﴿ Insyiqaq:14. Maksudnya “Sesungguhnya dia menyangka bahawa dia sekali-kali tidak akan kembali (kepada Tuhannya).” Ini adalah penggunaan yang paling lemah sekali.

Ringkasnya, ظنّ dalam Al‑Qur’an tidak selalu bererti ‘sangka’ semata‑mata, tetapi berubah mengikut kekuatan dalil dan konteks ayat. Ulama menjelaskan bahawa ia boleh bermakna keyakinan penuh, sangkaan kuat, atau sangkaan lemah — dan semua bentuk ini digunakan dalam Al‑Qur’an dengan kehalusan makna yang berbeza. Dan oleh kerana tafsir bagi ayat ini nanti mempunyai pelbagai makna, ia berubah-ubah mengikut konteks; ia salah satu dari tiga:

    • Sangkaan atau tekaan kerana tekanan ujian.
    • Keyakinan
    • sangkaan kaum bahawa rasul berdusta

Kemudian ada pula perbincangan tentang pelbagai makna bagi kalimah كُذِبوا. Ini pun perbincangan yang sukar kerana ia melibat bahasa juga. Ia pula ada dua qira’at yang sahih dan kerana itu ia boleh memberi berbagai makna dan kita cuba sebutkan di sini sebagai bandingan. Ada 4 perbezaan maksud:

1. Sampai mereka (Para Rasul) rasa yang didustakan oleh Allah ‎ﷻ kerana lambat sangat bantuan sampai kepada mereka. Ini adalah tafsiran pertama. Ini semua adalah sangkaan dalam hati mereka sahaja. Kita boleh katakan ia adalah ijtihad para Rasul itu dari pembacaan mereka. Dan ulama’ juga ada berijtihad, bukan? Akan tetapi ijtihad ulama’ dan ijtihad para Rasul tidak sama. Allah tidak akan biarkan mereka di dalam ijtihad yang salah. Kerana itu setelah mereka rasa putus asa, Allah akan selamatkan mereka.

Dan ada juga pendapat yang mengatakan tafsiran ini tidak sesuai disandarkan kepada para Rasul. Oleh itu, tafsir yang lebih baik, bukanlah mereka rasa didustakan oleh Allah ‎ﷻ, tetapi oleh pengikut-pengikut mereka. Ini kita akan bincangkan dalam tafsiran yang lain. Mereka takut kalau keadaan teruk sangat, maka mereka yang beriman itu pun meninggalkan mereka. Ini seperti disebut dalam satu riwayat:

عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، قَالَ أَخْبَرَنِي عُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ، عَنْ عَايِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، أَنَّهَا قَالَتْ لَهُ وَهُوَ يَسْأَلُهَا عَنْ قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى‏:‏ ‏{‏حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ‏}‏ حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا – أَوِ كُذِّبُوا؟ قَالَتْ عَايِشَةُ: كُذِّبُوا. قَالَ قُلْتُ: فَقَدِ اسْتَيْقَنُوا أَنَّ قَوْمَهُمْ كَذَّبُوهُمْ فَمَا هُوَ بِالظَّنِّ؟ قَالَتْ: أَجَلْ لَعَمْرِي لَقَدِ اسْتَيْقَنُوا بِذَلِكَ‏.‏ فَقُلْتُ لَهَا: {وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا}؟ قَالَتْ: مَعَاذَ اللَّهِ، لَمْ تَكُنِ الرُّسُلُ تَظُنُّ ذَلِكَ بِرَبِّهَا‏.‏ قُلْتُ: فَمَا هَذِهِ الآيَةُ؟ قَالَتْ: هُمْ أَتْبَاعُ الرُّسُلِ الَّذِينَ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَصَدَّقُوهُمْ، فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْبَلاَءُ، وَاسْتَأْخَرَ عَنْهُمُ النَّصْرُ، حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ مِمَّنْ كَذَّبَهُمْ مِنْ قَوْمِهِمْ، وَظَنَّتِ الرُّسُلُ أَنَّ مَنْ آمَنَ بِهِمْ قَدْ كَذَّبُوهُمْ، جَاءَهُمْ نَصْرُ اللَّهِ عِنْدَ ذَلِكَ‏.‏
Daripada Ibnu Syihab (al-Zuhri) yang berkata: Telah menceritakan kepadaku Urwah bin al-Zubair, daripada Aisyah R.A, bahawa beliau (Urwah) pernah bertanya kepada Aisyah tentang firman Allah SWT: “Sehingga apabila para Rasul tidak mempunyai harapan lagi (berputus asa)…” (Surah Yusuf: 110). Urwah bertanya: “Adakah ia dibaca كُذِبُوا [Kuzibu] (mereka didustai) atau كُذِّبُوا [Kuzzibu] (mereka berdusta)?” Aisyah menjawab: “Bahkan ia dibaca كُذِّبُوا [Kuzzibu] (mereka telah didustakan oleh kaumnya).” Urwah berkata: “Aku bertanya lagi: Bukankah para Rasul itu telah yakin bahawa kaum mereka mendustakan mereka? Jadi mengapa ia disebut sebagai Zan (dugaan/sangkaan)?” Aisyah menjawab: “Benar, demi umurku, mereka sememangnya telah yakin akan hal itu (bahawa kaum mereka mendustakan mereka).” Urwah berkata lagi: “Lalu bagaimana pula dengan (bacaan lain) Kuzibu (tanpa sabdu – yang bermaksud para Rasul menyangka mereka telah dibohongi oleh janji Allah)?” Aisyah menjawab: “Maha Suci Allah (Aku berlindung dengan Allah)! Tidak mungkin para Rasul mempunyai sangkaan sedemikian terhadap Tuhan mereka.” Urwah bertanya: “Jadi, apakah maksud ayat ini sebenarnya?” Aisyah menjelaskan: “Mereka (yang dimaksudkan dalam ayat itu) adalah para pengikut Rasul yang beriman kepada Tuhan mereka dan membenarkan (dakwah) Rasul mereka. Namun, ujian dan bencana menimpa mereka dalam tempoh yang sangat lama, manakala pertolongan Allah terasa lambat sampai kepada mereka.

Shahih al-Bukhari (No. 4695)

Tapi untuk menolak Qira’at كُذِبُوا pun agak tidak patut kerana ia juga adalah mutawatir dan ia dinisbahkan kepada Ibn Abbas. Jadi kita tidak boleh tolak begitu sahaja. Jadi kita kena tafsirkan dengan pemahaman yang sesuai bagi para Rasul. Para Rasul takkan putus asa dengan Allah kerana mereka percaya kepada janji kemenangan dari Allah. Tapi yang ‘menipu’ mereka akan kiraan mereka sendiri, iaitu ijtihad mereka. Kita ambil contoh kisah Perjanjian Hudaibiyah.

Para sahabat telah pergi ke Mekah untuk menunaikan Umrah pada Tahun 6 Hijrah. Ini tidak lama setelah Perang Ahzab berlaku. Jadi bayangkan baru sahaja bertemu musuh, sekarang pergi tempat musuh pula! Tapi kenapa mereka lakukan? Kerana Rasulullah telah bermimpi menunaikan ibadah Umrah. Tapi alangkah terkejutnya baginda dan para sahabat kerana apabila mereka hampir tiba, mereka telah dihalang. Dipendekkan cerita, terjadinya Perjanjian Hudaibiyah. Ketika akan termeterainya perjanjian itu, ramai sahabat tidak puas hati, termasuklah Saidina Umar, kerana bukankah Rasulullah telah mimpi dan mimpi itu benar? Kenapa kena tunduk kepada kehendak musuh pula?

Jadi memang benar Rasulullah telah bermimpi menunaikan Umrah dan pasti Allah akan menjadikan itu kepastian. Akan tetapi Allah tidak sebut pun bila. Jadi perkiraan Rasulullah yang tersilap. Maka Allah berfirman di dalam Fath:27

لَّقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا
“Demi sesungguhnya, Allah tetap membuktikan mimpi Rasul-Nya itu benar: Bahawa sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjidil Haram – insya-Allah – dalam keadaan aman (dengan mencukur kepala kamu, dan ada yang menggunting rambutnya), serta kamu tidak merasa takut (akan serangan musuh). Maka Allah mengetahui apa yang kamu tidak ketahui, lalu Dia menjadikan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (iaitu Perjanjian Hudaibiyah dan pembukaan Khaibar).”

Menelusuri tafsir ayat ini menjadi lebih kompleks kerana ada dua qira’at bagi kalimah كُذِبُوا. Kita telah kongsikan di atas hadis kata-kata A’isyah apabila ditanya oleh Urwah. Terdapat dua qira’at masyhur yang diriwayatkan dari para sahabat dan tabi‘in dan dua-dua qira’at ini mutawatir dan terpakai. Kalau kita perhatikan hadis perbincangan Urwah dan A’isyah di atas, terdapat dua bacaan itu. Perbezaan antara dua qira’ah itu:

• Qira’ah pertama: كُذِّبُوا. Dibaca بالتشديد (dengan tasydid) [kuzzibu], bermakna “para rasul didustakan oleh kaumnya”. Ibn ‘Abbas menafsirkannya bahawa para Rasul merasa putus asa dari keimanan kaumnya, dan kaumnya mendustakan mereka .

• Qira’ah kedua: كُذِبُوا. Dibaca بالتخفيف (tanpa tasydid) [kuzibu], bermakna “kaum menyangka bahawa para rasul berdusta”. Ini menunjukkan bahawa sangkaan itu datang dari kaum, bukan dari para Rasul. Bacaan ini yang banyak digunakan di dalam mushaf.

Kedua qira’at ini juga dijelaskan oleh al-Ṭabarsī sebagai dua bentuk makna:
• yang كُذِّبُوا menunjukkan “تلقوا بالتكذيب” (mereka mendustakan para rasul),
• yang كُذِبُوا menunjukkan “كذبتك الحديث أي لم أصدقك” (yakni kaum menyangka para rasul tidak benar).

Oleh kerana itulah terdapat banyak variasi bagi tafsiran ayat ini.

Satu perkara yang kita boleh belajar dari hadis Urwah dan A’isyah itu, bukan semua tahu tentang qira’at itu. Ini kerana bukan semua berada bersama Rasulullah ketika baginda memberikan kedua-dua qira’at itu. Ini adalah salah satu dari ilmu tentang Al-Qur’an yang luas. Kerana itu kita takkan habis belajar tentang Al-Qur’an ini. Kerana bidang ilmunya terlalu luas dan kita tidak mampu menggarap kesemuanya sekali. Ilmu Al-Qur’an selain dari memahami maksud ayat-ayatnya, ada juga ilmu tentang Al-Qur’an itu sendiri seperti sejarah, cara pengumpulan, qira’at, tajwid dan sebagainya.

2. Mereka (orang kafir) menganggap para Rasul itu menipu. Mereka telah menjadi semakin berani menentang para Rasul kerana ancaman azab yang dijanjikan oleh para Rasul itu tidak terjadi pun. Jadi mereka rasa selamat dan ancaman dari para Rasul itu kosong sahaja dan lebih kepada penipuan sahaja.

Jadi dua tafsiran ini adalah kalau kita mengambil bacaan كُذِبُوا.

 

Untuk lihat tafsiran lain, sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 6 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment