Tafsir Surah Yusuf Ayat 108 (3) (Ikut Rasul tinggal Syirik)

أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى‌

aku dan orang-orang yang mengikutiku

Frasa ini yang membawa implikasi yang luar biasa. Ayat itu boleh difahami sebegini: “Aku menyeru kepada Allah. (Dan) di atas wawasan aku (berdiri) dan sesiapa yang mengikutiku.” (أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي عَلَىٰ بَصِيرَةٍ). Implikasinya sangat mendalam: Basirah bukan sahaja asas untuk berdakwah, tetapi ia adalah asas kepada keseluruhan identiti seorang Muslim. “Berdiri di atas wawasan” adalah definisi sebenar seorang pengikut Nabi Muhammad. Al-Qur’an sering mencela mereka yang tidak mempunyai asas, dengan menyatakan mereka “tidak berdiri di atas apa-apa pun” (لَيْسُوا عَلَىٰ شَيْءٍ). Bagi seorang Muslim, Basirah adalah asas yang sah bagi kewujudannya.

Siapakah وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى itu? Yang pertama tentunya para sahabat yang mula-mula beriman dan berjuang menegakkan agama Islam dengan Rasulullah. Allah memilih para sahabat untuk mendampingi Nabi ﷺ, menegakkan agama, dan menyebarkan risalah. Mereka adalah orang-orang yang paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, paling sedikit berpura-pura, paling lurus petunjuknya, dan paling baik keadaannya. Mereka dipilih Allah untuk menjadi penolong agama-Nya dan pendamping Nabi-Nya. Para sahabat memiliki derajat yang tinggi di sisi Allah dan Rasul-Nya. Mereka adalah orang-orang yang paling dekat dengan Nabi ﷺ, paling mirip dengan baginda dalam perilaku, akhlak, dan keutamaan. Para sahabat berjuang dengan harta dan jiwa mereka untuk menegakkan Islam, menasihati umat, dan menyebarkan agama hingga Islam tersebar luas dan syirik serta kebatilan dihancurkan. Apa pentingnya bagi kita? Kita hendaklah belajar dari mereka, buat apa yang mereka buat dan tinggalkan perkara yang mereka tidak buat dalam hal agama. Kalau mereka tidak sambut Maulidur Rasul, sudah kenapa kita memandai hendak sambut? Kalau mereka buat tidak tahu tentang Nisfu Sya’ban, maka kenapa kita pula terkinja-kinja?

Kemudian kalimah وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى menghubungkan kita zaman sekarang secara langsung dengan Rasulullah pada tahap yang lebih intim. Mengikut baginda bukan sekadar meniru perbuatan luaran (sunnah), tetapi juga berkongsi asas dalaman yang sama. Apabila kita berusaha membina wawasan kita sendiri tentang agama ini, kita sebenarnya sedang berusaha untuk memiliki setitis dari lautan Basirah yang dimiliki oleh baginda. Oleh itu wawasan ini adalah satu cabaran dan seruan. Untuk benar-benar menjadi pengikut sejati, seseorang mesti berusaha untuk membangunkan pemahaman yang mendalam tentang agamanya, bukan hanya mengamalkannya secara ritual atau tradisi.

Frasa ini mengajak kita untuk mengikut Sunnah Rasulullah. Jarak masa kita dengan baginda beribu tahun, akan tetapi ayat ini menghubungkan kita dengan baginda. Kalau kita makan dengan tangan kanan, kita berhubung dengan baginda; begitu juga kalau kita masuk tandas dengan kaki kiri dan keluar dengan kaki kanan, itu juga menghubungkan kita dengan baginda. Ketika melakukannya kita ingat yang aku buat begini kerana Rasulullah yang suruh, Rasulullah buat begini dan aku hendak ikut cara baginda. Dan ada banyak lagi Sunnah-sunnah baginda yang kita boleh pelajari. Semua itu menghubungkan kita dengan baginda tidakkah kita mahu berhubung dengan baginda? Baginda sudah ada baseerah, takkan kita tidak mahu ada sedikit dari baseerah yang baginda ada itu?

Perhatikan frasa dalam ayat ini: “Aku dan sesiapa yang mengikutiku”. Dari sudut retorik, pengulangan perkataan ana (aku) memberi penekanan yang sangat kuat. Ia seperti berkata, “Sayalah yang mengajar bahasa Arab, dan pembantu saya juga.” Ini berbeza daripada sekadar berkata, “Saya dan pembantu saya mengajar bahasa Arab.” Pengulangan “saya” itu menegaskan peranan utama dan kemudiannya menyertakan orang yang lain ke dalam misi yang sama.

Apakah maksudnya? Maksudnya orang yang bersama dengan baginda itu bukan sahaja bersama baginda di atas jalan itu, tapi mereka juga bersama-sama baginda mengajak orang lain ke atas jalan itu. Ia bermaksud sesiapa yang benar-benar memilih untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW secara automatik telah mendaftar untuk satu misi: misi menyeru manusia kepada Allah. Ia bukan satu pilihan tambahan; ia adalah komitmen yang tersirat dan aktif. Menjadi pengikut bukan sekadar amalan peribadi yang pasif. Ia adalah satu pengisytiharan bahawa anda kini membawa obor yang sama yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Anda juga adalah seorang penyeru, pendakwah kepada Allah.

 

وَسُبحـٰنَ ٱللَّهِ

dan Maha Suci Allah, 

Ada muqaddar (penambahan perkataan) di dalam ayat ini: “Aku akan sentiasa kata Allah ‎ﷻ yang maha suci.” Ertinya, ini adalah kalimah pernyataan yang menyucikan Allah ‎ﷻ, mengagungkan-Nya, dan membesarkan-­Nya daripada semua kemusyrikan, tandingan, persamaan, anak, ibubapa, isteri, pembantu atau penasihat. Mahasuci dan Mahatinggi Allah ‎ﷻ daripada memiliki kesemuanya itu dengan ketinggian yang sebesar-besarnya. Mensucikan Allah dari segala sifat yang lemah.

 

Maksud Tasbih

Kita sering mengulang-ulang zikir, doa, dan ayat-ayat suci. Kalimah seperti “Subhanallah” meluncur laju di bibir, tetapi pernahkah kita berhenti seketika dan bertanya: “Apakah sebenarnya yang saya lafazkan?” Kadang-kadang, makna yang paling mendalam tersembunyi di sebalik frasa yang paling biasa kita gunakan. Maka di dalam kalimah tasbih ini terkandung kebijaksanaan yang luar biasa. 

“Subhanallah” sering diterjemahkan sebagai “Maha Suci Allah”, tetapi makna sebenarnya jauh lebih mendalam. Kata akarnya س ب ح bermaksud berenang atau terapung. Bayangkan sebuah objek yang terapung di atas air, tidak tenggelam. Inilah konsep Subhanallah  yang kita boleh bayangkan. Ia bukan sekadar pengakuan pasif tentang kesempurnaan Allah. Sebaliknya, ia adalah satu penegasan aktif untuk menolak sebarang sifat kekurangan atau ketidaksempurnaan daripada dikaitkan dengan-Nya. Ia adalah satu ikrar untuk secara proaktif melindungi konsep ketuhanan daripada sebarang pencemaran.

Apabila kita menyebut “Subhanallah”, kita sebenarnya sedang membuat satu pengisytiharan yang menyeluruh: “Aku berikrar bahawa aku tidak akan sekali-kali mengatakan atau membayangkan apa-apa sahaja tentang Allah yang kurang daripada sempurna. Rahmat-Nya sempurna, perancangan-Nya sempurna, apa sahaja… kalau berkenaan DiriNya…. adalah sempurna. Petunjuk-Nya sempurna malah apa sahaja, jika ia dinisbahkan kepada-Nya, pasti sempurna. Jika ia datang daripada-Nya, ia semestinya sempurna…” Ia adalah satu komitmen untuk melihat segala yang datang daripada Allah sebagai sesuatu yang sempurna, dan kita secara aktif menolak untuk mengaitkan sebarang kecacatan kepada-Nya.

Jadi, ia bukan sekadar zikir kosong yang dilakukan kebanyakan orang, subhanallah…. subhanallah…. subhanallah…. subhanallah…. tapi tidak faham pun yang disebutnya. Hanya sebutan di mulut dan bibir sahaja, dengan nada yang lemah longlai rasa sekejap lagi hendak tidur sahaja. Malah ada yang melanggar kalimah itu kerana melakukan syirik terhadap Allah! Kerana kalau kita melakukan syirik, maka kita telah merendahkan kedudukan Allah sama seperti makhluk! Subhanallah maksudnya berlawanan dengan syirik, tapi mereka buat pula syirik! 

 

Merendahkan diri

Ayat 108 ini bermula dengan banyak penekanan pada diri: “Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku“, “aku menyeru”, “aku dan sesiapa yang mengikutiku“. Penekanan pada peranan “aku” ini sangat kuat. Namun, sejurus selepas penekanan ini, Al-Qur’an meletakkan kalimah Subhanallah. Mengapa? Ia berfungsi sebagai pengimbang yang amat penting. Ia adalah peringatan segera bahawa walaupun peranan si penyeru itu besar, kesempurnaan mutlak hanya milik Allah.

Al-Qur’an secara konsisten meletakkan Rasulullah SAW pada kedudukan manusia yang paling mulia, tetapi pada masa yang sama, sentiasa menegaskan bahawa Allah jauh lebih tinggi. Nabi Muhammad juga adalah manusia dan ada kesalahan yang baginda lakukan dan Allah akan terus menegur baginda. Jadi ini penting untuk difahami untuk mengelakkan bahaya pendewaan. Umat terdahulu, kerana cinta yang mendalam terhadap Nabi Isa (as), telah mengangkatnya ke taraf tuhan. Bayangkan betapa besar risiko itu bagi umat Islam, yang rasa cintanya kepada Nabi Muhammad SAW begitu meluap-ruap. Kerana tidak faham perkara inilah, memang sudah ramai umat Islam yang mendewakan Rasulullah, bukan? Malah ada ajaran sesat yang mengatakan Nabi Muhammad itu adalah Allah!

Pengajaran praktikalnya amat jelas: bagi sesiapa sahaja yang berkongsi ilmu agama hari ini, kalimah Subhanallah adalah benteng melawan ego. Ia menghalang diri dari perasan hebat sangat. Ia adalah peringatan untuk sentiasa merendah diri dan memastikan fokus sentiasa kembali kepada Allah, bukan kepada diri sendiri.

 

Sifat Allah

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, perkataan “Allah” bukanlah sesuatu yang asing. Penganut Kristian dan Yahudi di Semenanjung Arab juga menggunakannya. Malah di Malaysia juga ada golongan Kristian yang tanpa segan silu hendak menggunakan Nama Allah bagi tuhan mereka. Jadi, apabila Nabi berkata “aku menyeru kepada Allah,” apa yang membezakan seruan baginda? Allah yang mana yang dimaksudkan oleh Rasulullah di dalam ayat ini?

Jawabnya terletak pada kalimah Subhanallah. Seruan Islam bukan sekadar seruan kepada “Tuhan”, tetapi seruan kepada Tuhan yang Maha Sempurna (Subhan), yang bebas daripada sifat-sifat kemanusiaan (seperti berdendam, menyesal, atau berat sebelah) yang sering digambarkan dalam kepercayaan lain. Ia tidak sama dengan tuhan-tuhan mereka yang ada sifat-sifat manusia seperti cemburu, benci, takut, berdendam dan sebagainya. Itu bukan Allah yang sebenar.

Perbuatan Tasbih ini juga menghalang kita dari memandai mengatakan tentang Allah dari fikiran kita sendiri. Ini boleh terjadi kepada kita, yang tidak belajar tentang sifat-sifat Allah, kemudian kita sendiri buat pandai mengatakan Allah begitu dan begini. Ini amatlah salah kerana yang kita reka itu adalah fikiran kita tentang sifat-sifat manusia yang kita tempekkan kepada Allah, sedangkan Allah tidak begitu! Allah adalah Tuhan yang bukan makhluk. Jadi kita kena tahu sifat-sifat Allah dari apa yang Dia sendiri beritahu tentang DiriNya di dalam Al-Qur’an dan sifatNya yang Rasulullah terangkan kepada kita. Maknanya, kena ada sandaran kepada wahyu.

Frasa “menyeru kepada Allah” itu sendiri adalah satu istilah payung yang merangkumi segalanya. Ia bukan sekadar “menyeru kepada kepercayaan”, tetapi menyeru kepada Allah sebagai destinasi akhir yang nyata. Ia adalah seruan ke satu jalan yang memuncak dengan pertemuan literal bersama Allah, di mana wajah-wajah akan bercahaya melihat-Nya. Ia merangkumi seruan kepada hidayah, kedamaian, keselamatan, dan syurga, kerana semua jalan kebaikan ini akhirnya menuju kepada-Nya.

 

وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ

dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.

Lawan kepada Tasbih adalah syirik. Kerana fahaman dan perbuatan syirik itu telah merendahkan kedudukan Allah (sama ada meninggikan kedudukan makhluk ke tahap Allah…. atau merendahkan kedudukan Allah ke tahap makhluk). Maka untuk menguatkan lagi tasbih tadi, sekarang ditambah lagi dengan mengatakan baginda tidak akan melakukan syirik!

Ini adalah pernyataan yang agak kuat kerana ia disebut kepada golongan Musyrikin Mekah yang mengamalkan syirik. Jadi ia adalah satu penolakan kepada mereka dan ini adalah pernyataan yang berani sekali. Bayangkan ketika hampir semua orang di Mekah ketika itu mengamalkan syirik, kita kata kita tolak! Ini kerana agama syirik itu adalah seperti agama negeri itu dan kalau kita menolaknya, seumpama kita menolak kerakyatan tempat itulah, bukan? Tapi baginda sebut juga kerana itulah yang Allah suruh baginda lakukan. Maka bagi kita juga jangan takut menolak kesyirikan yang dilakukan oleh masyarakat kita. Mana yang salah kita sebut sahaja ia salah, jangan takut dengan penerimaan orang yang mendengarnya.

Inilah pegangan dan perjuangan Nabi Ibrahim. Kita telah sebutkan kaitan antara Nabi Muhammad dengan Nabi Yusuf dan dengan Nabi Ibrahim. Mengajak meninggalkan syirik adalah dakwah mereka zaman berzaman. Allah sebut di dalam An’am:79 kata-kata Nabi Ibrahim,

إِنّي وَجَّهتُ وَجهِيَ لِلَّذي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ حَنيفًا ۖ وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ
“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Dan bagaimana dengan Nabi Yusuf? Baginda sebut pula di dalam Yusuf:38 

وَٱتَّبَعتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقُوبَ‌ۚ مَا كَانَ لَنَآ أَن نُّشرِكَ بِٱللَّهِ مِن شَيءٍ
Dan aku pengikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishak dan Ya’qub. Tiadalah patut bagi kita mempersekutukan sesuatu apapun dengan Allah. 

Jadi menentang syirik dan mengajak manusia meninggalkan syirik adalah perbuatan para Rasul zaman berzaman. Maka amat menyedihkan apabila masyarakat Islam sekarang sudah berlembut dengan syirik. Ada yang melakukan ibadah kepada makhluk, ada yang berdoa kepada makhluk, ada yang mengatakan Allah ada pembantu dan sebagainya. Ini amatlah membimbangkan dan kita tahu kenapa ini terjadi? Kerana masyarakat Muslim sudah jauh dari wahyu…. ianya dianggap asing sama sekali. Yang dipegang sekarang adalah kata-kata manusia sahaja tanpa disandarkan kepada wahyu. Yang Al-Qur’an ini hanya dibaca-baca tanpa difahami apakah maksudnya. Jangan kata hendak belajar tafsirnya, tengok terjemahannya pun tidak dilakukan!

Ramai yang perasan mereka itu telah beriman, telah pakai nama Islam, pakai jubah, solat, puasa, pergi Umrah dan Haji dan lain-lain lagi. Tapi adakah mereka benar-benar tidak melakukan syirik? Ingat lagi Ayat 106?

وَما يُؤمِنُ أَكثَرُهُم بِاللهِ إِلّا وَهُم مُّشرِكونَ
Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah.

Maka sekali lagi Allah mengingatkan Rasulullah untuk menekankan tentang syirik ini dengan kalimah وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ supaya kita benar-benar meninggalkan syirik ini kerana ia amat buruk sekali! Tapi ramai tidak tahu apa itu syirik, bukan? Maka kenalah belajar bersungguh-sungguh sampai tahu mana Tauhid dan mana Syirik.

Di dalam ayat ini Nabi Muhammad ﷺ kata baginda tidak akan melakukan syirik. Dalam ayat ini, Nabi ﷺ tidak berkata ‘kami’ seperti dalam ayat yang lain. Walaupun tadi ada ayat وَمَنِ اتَّبَعَني (dan yang mengikutku) tetapi baginda tidak sebut tentang iman orang lain kerana akidah adalah perkara dalam hati. Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh mengiyakan akidah yang ada dalam diri para sahabat dan orang lain kerana akidah ini kena periksa sendiri dan pastikan tidak ada syirik sendiri. Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh berkata yang pengikut baginda tidak melakukan syirik kerana baginda tidak tahu apa yang dalam hati pengikut baginda, sahabat baginda.

Begitu juga dengan kita, kita kena belajar apakah tauhid dan syirik seperti yang disampaikan dalam Al-Qur’an, dan pastikan bahawa akidah kita dan akidah Al-Qur’an adalah sama. Kena sentiasa periksa akidah dan iman kita sama ada selari dengan Al-Qur’an ataupun tidak.

Hanya dari satu ayat, kita telah mengembara melalui lapisan-lapisan makna; daripada psikologi dakwah, komitmen seorang pengikut, falsafah ketuhanan, hinggalah kepada benteng melawan ego. Ia menunjukkan betapa kaya dan padatnya setiap kalimah dalam Al-Qur’an. Ia mengajar kita bahawa menjadi seorang Muslim yang berkesan bukan hanya tentang apa yang kita katakan, tetapi bagaimana kita memahaminya, menghayatinya, dan menyampaikannya dengan Basirah dan kerendahan hati.

Setelah melihat kedalaman makna ini, apakah kalimah biasa yang lain yang akan anda renungkan dengan pandangan yang baharu?

 

Kuiz Kefahaman (Soalan Jawapan Pendek)

Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber.

1. Apakah implikasi frasa “di atas wawasan (Basirah)” terhadap identiti seorang Muslim?

2. Siapakah golongan pertama yang dimaksudkan sebagai “orang-orang yang mengikutiku” dalam ayat ini?

3. Bagaimanakah seseorang Muslim pada zaman sekarang boleh menghubungkan diri secara intim dengan Rasulullah SAW menurut teks?

4. Apakah kesan retorik pengulangan perkataan “Ana” (Aku) dalam ayat ini?

5. Mengapakah menjadi pengikut Rasulullah SAW dianggap sebagai satu pendaftaran automatik untuk misi dakwah?

6. Secara etimologi, apakah makna akar kata “Subhanallah” dan bagaimanakah ia digambarkan secara visual?

7. Mengapakah kalimah “Subhanallah” diletakkan sejurus selepas penekanan terhadap peranan “Aku” (si penyeru)?

8. Apakah perbezaan antara konsep “Allah” dalam Islam dengan konsep tuhan dalam kepercayaan lain yang disebut dalam teks?

9. Mengapakah Nabi Muhammad SAW menggunakan pernyataan “Aku” dan bukannya “Kami” apabila merujuk kepada penolakan terhadap syirik?

10. Apakah kaitan antara dakwah Nabi Muhammad SAW dalam ayat ini dengan perjuangan Nabi Ibrahim dan Nabi Yusuf AS?

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
Basirah (Wawasan)
Pemahaman dan persepsi mendalam yang menjadi asas sah bagi kewujudan serta identiti seorang Muslim dan pendakwah.
Tasbih
Penegasan aktif (melalui kalimah Subhanallah) untuk menyucikan Allah daripada segala sifat kekurangan, kecacatan, atau keserupaan dengan makhluk.
Syirik
Perbuatan merendahkan kedudukan Allah dengan menyertakan tandingan, pembantu, atau menyifatkan Allah dengan sifat-sifat lemah makhluk.
Sunnah
Perbuatan atau cara hidup Rasulullah SAW yang menghubungkan para pengikut dengan baginda merentasi zaman.
Muqaddar
Penambahan perkataan yang tersirat dalam struktur ayat untuk melengkapkan kefahaman makna (contoh: “Aku akan sentiasa kata…”).
Musyrikin
Golongan yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, yang ditentang oleh para Rasul dari zaman Nabi Ibrahim hingga Nabi Muhammad SAW.
Dawah
Misi menyeru manusia kepada Allah yang menjadi komitmen tersirat bagi setiap pengikut Rasulullah SAW.
S-B-H (س ب ح)
Akar kata bagi tasbih yang membawa maksud asal berenang atau terapung, melambangkan pemeliharaan konsep ketuhanan agar tidak “tenggelam” dalam pencemaran sifat makhluk.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 Februari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 108 (3) (Ikut Rasul tinggal Syirik)”

  1. Skema Jawapan
    1. Basirah bukan sekadar asas untuk berdakwah, tetapi merupakan definisi sebenar identiti pengikut Nabi Muhammad SAW. Ia adalah asas yang sah bagi kewujudan seorang Muslim, di mana tanpa asas ini, seseorang itu dianggap “tidak berdiri di atas apa-apa pun.”
    2. Golongan pertama ialah para sahabat yang mula-mula beriman dan berjuang menegakkan Islam. Mereka dipilih Allah kerana kebaikan hati, kedalaman ilmu, dan kelurusan petunjuk mereka untuk menjadi penolong agama dan pendamping Nabi.
    3. Hubungan intim ini dibina melalui usaha membangunkan wawasan mendalam tentang agama, bukan sekadar mengamalkannya secara ritual. Selain itu, mengamalkan Sunnah dengan kesedaran bahawa ia adalah perintah dan cara hidup Rasulullah turut menghubungkan individu dengan baginda.
    4. Pengulangan perkataan “Aku” memberi penekanan kuat terhadap peranan utama baginda dalam misi tersebut. Ia bertujuan menegaskan kepimpinan baginda sebelum menyertakan para pengikut ke dalam misi dakwah yang sama.
    5. Menjadi pengikut bukan sekadar amalan peribadi yang pasif, tetapi satu komitmen aktif untuk membawa “obor” yang sama dengan Rasulullah. Setiap pengikut secara automatik memikul tanggungjawab sebagai penyeru dan pendakwah kepada Allah.
    6. Akar katanya ialah S-B-H (س ب ح) yang bermaksud berenang atau terapung. Ia digambarkan seperti objek yang terapung di atas air tanpa tenggelam, melambangkan penegasan aktif untuk menolak sebarang kekurangan daripada dikaitkan dengan Allah.
    7. Ia berfungsi sebagai pengimbang untuk melawan ego si penyeru ilmu agama. Kalimah ini menjadi peringatan bahawa walaupun peranan manusia itu besar, kesempurnaan mutlak hanya milik Allah, sekali gus mengelakkan bahaya pendewaan terhadap manusia.
    8. Konsep Allah dalam Islam merujuk kepada Tuhan yang Maha Sempurna dan bebas daripada sifat-sifat kemanusiaan seperti berdendam, menyesal, atau cemburu. Ini berbeza dengan kepercayaan lain yang sering menyertakan sifat lemah makhluk kepada tuhan mereka.
    9. Akidah adalah perkara dalam hati yang bersifat peribadi. Baginda tidak boleh mengiyakan atau menjamin akidah orang lain kerana setiap individu perlu memeriksa dan memastikan sendiri bahawa iman mereka benar-benar bersih daripada unsur syirik.
    10. Menentang dan mengajak manusia meninggalkan syirik adalah perjuangan para Rasul zaman-berzaman. Nabi Ibrahim dan Nabi Yusuf juga menggunakan ungkapan yang hampir serupa untuk menegaskan bahawa mereka hanya menghadapkan diri kepada Allah dan tidak termasuk dalam golongan musyrik.

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply