Tafsir Surah Yusuf Ayat 108 (1) (Inilah jalanku, aku berpegang dengannya)

DAKWAH DENGAN ILMU DAN KEBIJAKSANAAN

Yusuf Ayat 108: Ayat ini adalah salah satu ayat yang mungkin ayat terpenting di dalam surah ini. Ia pendek, tapi mengandungi banyak pengajaran di dalamnya yang kita harap kita boleh telusuri. Kita takkan dapat memahami keseluruhan darinya kerana setiap ayat adalah seperti satu lautan yang dalam yang kita tidak akan dapat menggalinya. Kalau kita perhatikan ahli tafsir, atau para asatizah yang menyampaikan tafsir Al-Qur’an, kita boleh perhatikan mereka menyampaikan perkara yang berbeza-beza. Mereka tidak berselisih, tapi setiap dari mereka melihat satu-satu ayat itu dari perspektif yang berbeza. Kerana itu kalau kita dapat mengambil dari banyak kupasan, pemahaman kita akan lebih mendalam.

Ayat ini adalah targhib (ajakan) kepada tauhid. Kalau mereka leka dengan kehidupan mereka dan masih tidak mahu beriman sepenuhnya walaupun kita telah sampaikan kepada mereka, ajak mereka, jelaskan kepada mereka, maka beritahu ini kepada mereka:

قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ‌ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى‌ۖ وَسُبحـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “This is my way; I invite to Allāh with insight, I and those who follow me. And exalted is Allāh; and I am not of those who associate others with Him.”

(MALAY)

Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.

قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ

Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku,

Ini adalah arahan dari Allah. Banyak kali kita bertemu kalimah قُل (katakanlah) di dalam Al-Qur’an. Sebenarnya setiap ayat Nabi kena sampaikan, akan tetapi kenapa Allah suruh lagi baginda beritahu? Ini adalah kerana ia adalah sesuatu yang penting dan kalimah قُل memberitahu kita yang ia adalah amat penting. Jadi Nabi Muhammad disuruh oleh Allah untuk beritahu sahaja mereka yang degil itu: “Inilah jalan aku”. Kena cakap dengan yakin. Mudah sahaja kata-kata ini. Beritahu kepada mereka bahawa kita ada pendirian, sama ada mereka ikut atau tidak mahu ikut, kita sudah ada pendirian kita yang mantap.

Kadangkala, frasa yang paling ringkas dan pendek menyimpan makna yang paling mendalam. Dalam lautan hikmah Al-Quran, terdapat mutiara-mutiara yang tersembunyi di dalam beberapa patah perkataan sahaja, menanti untuk direnungi. Di sini, satu frasa pendek yang diucapkan oleh lidah Nabi Muhammad s.a.w. atas perintah Allah: قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي (Katakanlah, inilah jalanku.) Di atas kertas, ia kelihatan seperti satu kenyataan yang mudah. Namun, di sebalik tiga perkataan ini terkandung pengajaran yang sangat relevan tentang identiti, warisan, dan keyakinan diri yang amat diperlukan pada hari ini.

Ayat ini tidak dimulakan dengan “Inilah jalanku,” tetapi dengan satu perintah: “Katakanlah” (قُلْ). Perkataan ringkas ini mengubah segala-galanya. Dengan sifat rendah diri yang luar biasa, Nabi Muhammad pastinya lebih cenderung untuk berkata, “Inilah jalan Allah.” Menyandarkan jalan itu kepada dirinya sendiri (jalanku) adalah satu kenyataan yang sangat berani dan menonjolkan diri, sesuatu yang asing bagi keperibadian baginda. Malah banyak sahaja ayat di dalam Al-Qur’an yang menyebut (Jalan Allah). Tapi kali ini baginda disuruh untuk sebut: هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ. Maka, perintah قُلْ ini bukan sekadar kata pembuka. Ia adalah satu dorongan ilahi yang ‘memaksa’ Nabi s.a.w. untuk membuat pengisytiharan peribadi ini. Baginda tidak ada pilihan lain melainkan cakap seperti yang telah diarahkan itu. Ia memberikan dua perkara yang sangat penting:

1. Kewibawaan Ilahi: Ia menegaskan bahawa Nabi s.a.w. hanyalah penyampai. Apa yang bakal diucapkan bukanlah lahir daripada ego, tetapi satu kebenaran daripada Allah. Allah sendiri yang memberi baginda kuasa untuk berkata, “Ini adalah jalanku.”

2. Perlindungan Ilahi: Bayangkan seorang pengembara yang berjalan (سبيل) sendirian di padang pasir, pasti dia menjadi sasaran yang paling mudah. Apabila Nabi s.a.w. berkata, “Inilah jalanku,” baginda berdiri sendirian menentang arus masyarakatnya. Kalau seseorang hendak bercakap besar, maka dia kenalah ada sokongan, bukan? Tapi ketika Nabi cakap begini, baginda boleh dikatakan seorang diri sahaja kerana para sahabat pun lemah ketika itu. Namun, dengan adanya قُلْ, imej seorang yang terdedah berubah menjadi seseorang yang paling dilindungi di dunia, kerana Allah berada di belakangnya.

 

Perkataan “ini” (هَـٰذِهِۦ) dalam ayat ini boleh ditafsirkan sebagai rujukan kepada sesuatu yang telah berlalu. Memandangkan ayat ini berada di penghujung Surah Yusuf, “Ini” seolah-olah merujuk kepada keseluruhan kisah Nabi Yusuf a.s. yang baru sahaja diceritakan tidak lama sebelum ini. Apabila Nabi Muhammad s.a.w. berkata, “Inilah jalanku,” baginda seolah-olah menyatakan, “Kisah perjuangan Yusuf itu adalah jalanku juga.” Sebagaimana Nabi Yusuf diuji di dalam menegakkan agama Allah, Nabi Muhammad juga begitu. Kedua-dua mereka di dalam perjalanan menuju Allah. Walaupun kisah Nabi Yusuf itu berlaku ribuan tahun dahulu, tapi ia sama sahaja dari segi perjalanan mereka.

Namun, hubungannya jauh lebih mendalam. Ia adalah warisan perjuangan dalam keterasingan. Rangkaian keturunan ini bermula dari Nabi Ibrahim, kepada Nabi Ishaq, kepada Nabi Ya’qub, dan akhirnya kepada Nabi Yusuf (a.s.). Perhatikan sesuatu yang unik: moyangnya, Nabi Ibrahim a.s., berdiri seorang diri menentang kaumnya. Cicitnya, Yusuf juga terasing seorang diri di Mesir. Kedua-dua mereka menghadapi ujian keterasingan yang dahsyat, satu pengalaman yang tidak dilalui oleh Nabi Ishaq dan Nabi Ya’qub a.s. dengan cara yang sama. Nabi Ibrahim diuji dengan api untuk baginda meninggalkan agama baginda dan Nabi Yusuf diuji dengan ‘api’ nafsu ketika digoda oleh isteri Al-Aziz. Nabi Ibrahim seorang sahaja beriman ketika itu dan Nabi Yusuf juga seorang diri dikelilingi oleh orang kafir. Mereka tidak ada sokongan dari orang sekeliling. Ini tidak sama dengan Nabi Ishaq dan Nabi Ya’qub kerana mereka dikelilingi oleh orang-orang beriman.  Jadi kaitan antara Nabi Yusuf dan Nabi Ibrahim sangat rapat dan kerana itu apabila menyebut leluhur baginda di dalam Ayat 38, baginda tidak sebut nama bapanya Nabi Ya’qub, tapi memulakan dengan menyebut nama Nabi Ibrahim,

وَٱتَّبَعتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقُوبَ‌ۚ
Dan aku pengikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishak dan Ya’qub. 

Kini, Nabi Muhammad yang juga memulakan dakwahnya seorang diri di Mekah, sekarang diperintahkan untuk menyambung rantaian warisan spiritual ini. Dan kaitan dengan Nabi Yusuf dan Nabi Ibrahim pun kita boleh lihat sangat rapat. Baginda juga mula berdakwah seorang diri tanpa bantuan dari sesiapa yang beriman, baginda menentang penyembahan berhala seperti juga Nabi Ibrahim. Nabi Yusuf pun ada juga disebut riwayat mencuri berhala, bukan?

Maka Nabi Muhammad menjadikan kisah-kisah para Rasul sebelum baginda sebagai panduan bagi baginda. Dan terdapat banyak kisah para Nabi di dalam Al-Qur’an yang menceritakan perjalanan hidup mereka dan ujian yang mereka telah terima. Dan ia sama sahaja dengan apa yang Rasulullah hadapi. Kalau para Rasul itu dituduh menipu, dituduh sesat, dituduh ahli syair, baginda juga begitu juga. Baginda juga diingatkan yang baginda meneruskan urusan dakwah mereka. Baginda perlu ikut contoh mereka seperti disebut di dalam An’am:90

فَأُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۖ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِه
“Mereka (para nabi) itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka dengan petunjuk mereka itu, hendaklah engkau ikut…”

“Inilah jalanku” adalah satu pengakuan bahawa jalan baginda adalah kemuncak kepada legasi para Nabi terulung yang berdiri teguh walaupun bersendirian. Ia bukan jalan baru, tetapi jalan yang telah dilalui oleh jiwa-jiwa terhebat, kini disempurnakan dalam diri baginda. Rasulullah bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِنَّ مَثَلِي وَمَثَلَ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِي، كَمَثَلِ رَجُلٍ بَنَى بَيْتًا فَأَحْسَنَهُ وَأَجْمَلَهُ، إِلَّا مَوْضِعَ لَبِنَةٍ مِنْ زَاوِيَةٍ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَطُوفُونَ بِهِ، وَيَعْجَبُونَ لَهُ، وَيَقُولُونَ: هَلَّا وُضِعَتْ هَذِهِ اللَّبِنَةُ؟ قَالَ: فَأَنَا اللَّبِنَةُ وَأَنَا خَاتِمُ النَّبِيِّينَ»
“Perumpamaan aku dan Nabi-nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah bangunan, lalu dia mempercantik dan memperindahnya, kecuali satu tempat batu bata di salah satu sudutnya. Orang-orang pun mengelilingi bangunan tersebut dan merasa kagum, lalu mereka berkata: ‘Alangkah baiknya jika batu bata ini diletakkan?’ Baginda bersabda: ‘Akulah batu bata tersebut, dan akulah penutup para nabi.'”

Sahih al-Bukhari: (Hadis No. 3535); Sahih Muslim: (Hadis No. 2286).

Jadi apabila Nabi Muhammad merujuk kepada ‘jalan’ itu, ia merujuk kepada semua jalan para Nabi yang dikumpulkan dan sekarang ia disempurnakan dengan baginda.

Kalau baginda dan para Nabi dahulunya majoriti berseorangan, maka bagaimana dengan kita sekarang? Populasi Muslim di dunia sekarang agak banyak sekarang (25% dari populasi dunia, agama kedua teramai dalam dunia dan peratusan peningkatan yang paling banyak). Akan tetapi masih ramai lagi yang tinggal di negara orang kafir dan mereka rasa keseorangan, tanpa rakan-rakan penyokong, buat berbincangan dan beribadah bersama-sama. Jadi mereka yang berada dalam situasi ini dapatlah rasa sedikit sebanyak apa yang dirasai oleh Nabi Ibrahim, Nabi Yusuf dan Nabi-nabi yang lain.

Dan para Nabi itu hidup di zaman setiap suku itu menguasai keputusan setiap orang di dalam suku mereka. Segala keputusan dan pilihan semestinya kena ikut apa yang telah biasa dipegang oleh ahli suku itu. Jadi bukan senang hendak menerima Islam ya, kerana itu adalah satu keputusan yang besar sangat. Kalau sesiapa yang memilih Islam ketika itu, mereka itu dipandang serong dan boleh dipulau oleh suku mereka. Jangan sangka ia adalah pilihan mudah seperti memilih baju sahaja. Dan begitulah yang dihadapi oleh Rasulullah dan para sahabat ketika itu. Jadi keputusan memilih jalan wahyu itu adalah berat, akan tetapi Allah mengajar Rasululah untuk berkata: هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ (Inilah jalanku), yang tetap aku akan pilih walaupun suku aku, keluarga aku, kawan aku tak suka dengan pilihanku ini. Tapi tidak mengapa, kerana bukan aku seorang sahaja yang baru memilih jalan ini, tapi zaman berzaman orang sebelum aku telah memilih dan melalui jalan ini. Dan aku akan ikut mereka.

Dan bukan masuk Islam sahaja menjadi serong, kalau sudah Muslim pun, boleh menjadi serong juga, bukan? Iaitu kalau memilih manhaj Islam yang lain dari kebanyakan orang. Di waktu manusia biasa mengikut amalan dan fahaman tok nenek, kalau kita hendak memilih jalan yang selari dengan Sunnah, bukankah kita dituduh sebagai Wahabi, sesat, pemecah belah umat… dan sebagainya? Ramai bukan yang sedang melalui dilema ini. Ramai yang gagal dan takut dengan pandangan manusia dan takut untuk menyebarkan pandangan Sunnah ini. Kerana puak yang menentang Sunnah ini masih ramai lagi dan mereka amat jahat; mereka tidak berhujah dengan wahyu, hujah dan akal, tapi dengan emosi. Hujah mereka tidak ada, tapi maki harum dan sumpah seranah sahaja. Jadi ramai yang takut dengan ejekan mulut ini, macamlah ejekan itu boleh mencederakan mereka. Tapi begitulah, rasa keterasingan itu tetap ada walaupun sudah berada di dalam agama Islam!

Tafsiran kedua bagi perkataan “ini” (هَـٰذِهِۦ) ialah ia merujuk kepada masa kini. Dari sudut ini, mesejnya menjadi sangat relevan dalam konteks sosial. Nabi Muhammad s.a.w. hidup dalam kalangan kaum Quraisy. Baginda berkongsi segala-galanya dengan mereka: bahasa yang sama, makanan yang sama, pakaian yang sama. Jika ada gambar dari zaman itu, kita mungkin tidak dapat membezakan antara seorang mukmin dan seorang kafir dari segi penampilan. Kalau ada orang ambil gambar Abu Jahal, mungkin kita sangka dia adalah seorang Sheikh besar agaknya! Baginda berkongsi budaya, dan makanan yang sama. Namun, pengisytiharan “Inilah jalanku” menjadi satu garisan pemisah yang jelas. Ia menegaskan bahawa walaupun seribu satu perkara kelihatan sama, ada satu perkara asas yang membezakan baginda: jalannya.

Ini mengajar kita bahawa identiti seorang Muslim tidak ditentukan oleh penanda budaya luaran; bukan pakaian, bahasa, atau resepi makanan. Bukan juga bahasa yang dituturkan. Sebaliknya, ia ditentukan oleh keyakinan moral dan rohani yang membentuk prinsip dan haluan hidupnya.

Kita sebagai manusia yang hidup di dalam masyarakat, ada rasa kita terpaksa ikut cara pakaian, cara cakap, adat dan kebiasaan dalam sesuatu masyarakat itu. Kerana kita takut dipandang asing, bukan? Apabila menyedari bahawa jalan kita berbeza dengan orang lain, manusia sering terjerumus ke dalam salah satu daripada dua kesilapan ekstrem:

1. Mengasingkan Diri: Menolak sepenuhnya budaya sekeliling dan membina tembok, menganggap semua yang datang dari luar adalah haram.
2. Menggadaikan Prinsip: Terlalu ingin menyesuaikan diri sehingga sanggup berkompromi dengan prinsip-prinsip Islam yang asas.

Islam tidak mengajar kedua-duanya. Ia mengajar jalan tengah. Seorang Muslim boleh mengambil apa sahaja yang baik daripada mana-mana budaya sambil berpegang teguh pada nilai teras Islam tanpa rasa malu. Kita kena ada prinsip tanpa terikut-ikut dengan orang lain. Kenapa hendak kena ikut orang lain? Menjadi lebih Islamik bukan bermakna memakai jubah atau pakaian budaya tertentu. Prinsip berpakaian telah ditetapkan dalam Al-Qur’an, tetapi budaya itu sendiri tidak wajib diikuti. Islam tidak ada uniform ya, asalkan sopan dan menutup aurat, itu sudah OK. Tidak salah kalau pakai pakaian orang Barat, orang Cina, orang Arab. Jangan pula kata pakaian orang Barat itu pakaian kafir pula, itu sudah salah faham kalau begitu. Islam adalah agama yang paling boleh diadaptasi dengan mana-mana budaya kerana ia tidak ada uniform tertentu, bahasa tertentu dan budaya tertentu. Malah kalau budaya bangsa yang baru menerima Islam itu tidak berlawanan dengan Islam, ia masih boleh diamalkan, tidak ada masalah. Bukanlah orang yang masuk agama Islam kena cakap Arab, kena pakai pakaian Arab dan tukar nama Arab!

Kita tidak ada masalah hidup di dalam mana-mana masyarakat dan budaya (yang tidak bertentangan dengan Islam). Seperti Nabi Yusuf a.s. yang hidup di dalam istana Mesir. Baginda menjadi sebahagian daripada masyarakat itu tetapi tidak pernah menggadaikan prinsipnya. Dan prinsip itu di dalam minda dan hati kita, bukannya pada pakaian dan penampilan kita. Maka kita pula janganlah perasan yang kalau pakai jubah dan serban, automatik kita sudah dikira ikut agama yang benar. Belum tentu lagi, kerana kena rujuk juga dengan wahyu. Masalahnya ramai yang tertipu dengan pakaian seseorang, bukan? Sebab itu ramai orang kita tertipu dengan pakaian dan perawakan golongan Habib, yang pakai serban besar dan jubah sentiasa, tapi apa yang mereka bawa adalah sesat belaka. Ini kerana orang kita tidak pandai menilai. Dengan pakaian pun boleh tertipu!

Dan kena ada prinsip yang teguh di atas ajaran Islam. Jangan nampak Islamik, tapi sebenarnya tidak. Bayangkan di negara kita ini makanan halal senang dicari, masjid dan surau di mana-mana, azab berkumandang, senang sahaja memakai tudung dan menutup aurat tanpa pandangan jelik. Maknanya Islam senang sangat diamalkan di sini, bukan? Akan tetapi rasuah masih banyak, penipuan di serata tempat, dan malangnya ia dilakukan oleh orang Islam. Malah golongan agamawan pun banyak yang menipu, yang meliwat dan merogol pun ada sekarang. Jadi di mana Islamnya? Adakah setakat pandai baca Al-Qur’an dengan tajwid mendayu-dayu, tapi menipu menipu juga! Ini yang kita tidak mahu. Negara yang ramai orang Islam tidaklah semestinya Islamik. Lebih-lebih lagi kalau pemahaman Islam itu pakai tangkap muat sahaja.

Negara kita ini kita kata negara Islam, tapi kadangkala hendak mengamalkan Islam yang sebenar pun susah. Kalau kita orang yang pergi solat berjemaah setiap waktu, itu yang dipandang pelik, bukan? Kalau kita tidak mahu membazir di majlis perkahwinan, itu yang ditegur oleh makcik bawang; kalau kita menasihati kesalahan orang lain dalam agama, kita disindir: “eleh, macam ustaz pulak dia ni!”; kalau kita hendak kembali kepada ajaran Sunnah, kita dituduh Wahabi dan hendak memecah-belahkan masyarakat!

Apabila Nabi Muhammad menyebut سَبِيلِىٓ (jalanku), bukanlah bermaksud jalan itu jalan yang baginda buat. Ia tetap jalan Allah (سَبِيلِ اللَّهِ), tapi baginda berjalan di atas jalan itu. Macam kita kata “jalan aku ini ke rumah engkau lagi cepat…” bukanlah kita bermaksud jalan itu bapak kita yang buat. Maksudnya kita sedang melalui jalan itu. Jadi apabila Rasulullah sebut سَبِيلِىٓ kita boleh yakin yang itu adalah jalan Allah, yang Allah tetapkan untuk kita lalui. Baginda tidak mungkin akan reka jalan yang baru. Dan kita kena ikut jalan yang Nabi berada di atasnya. Jangan pula ikut ada orang kata: “Kalau Nabi ke kanan dan tok guru ke kiri…aku akan ikut ke kiri…” Ini mengarut sangat!

Mengisytiharkan dengan yakin, “Inilah jalanku,” selalunya datang dengan harga yang mahal. Cabaran terbesar sering kali tidak datang daripada orang asing, tetapi daripada mereka yang paling rapat seperti keluarga dan rakan-rakan yang mempunyai harapan berbeza untuk kita. Sebagai contoh perhatikan kisah Nabi Saleh memberi gambaran yang paling tajam. Baginda adalah seorang anak muda yang genius, seorang bintang harapan yang sedang digilap untuk menjadi pemimpin besar kaumnya. Mereka telah melaburkan segala harapan dan aspirasi kepadanya. Apabila baginda memilih jalan kenabian, menyampaikan wahyu, menegur kesalahan masyarakat, kaumnya meluahkan kekecewaan yang menusuk kalbu. Ini seperti disebut di dalam Hud:62

قالوا يٰصٰلِحُ قَد كُنتَ فينا مَرجُوًّا قَبلَ هٰذا ۖ أَتَنهٰنا أَن نَّعبُدَ ما يَعبُدُ ءآباؤُنا وَإِنَّنا لَفي شَكٍّ مِّمّا تَدعونا إِلَيهِ مُريبٍ
Kaum Tsamud berkata: “Hai Shaleh, sesungguhnya kamu sebelum ini adalah seorang di antara kami yang kami harapkan, apakah kamu melarang kami untuk menyembah apa yang disembah oleh bapak-bapak kami? Dan sesungguhnya kami betul-betul dalam keraguan terhadap agama yang kamu serukan kepada kami”.

Tapi apabila Nabi Hud menyampaikan wahyu kepada mereka dan menolak agama kebiasaan mereka, maka baginda telah ditolak. Ketika itu dunia mungkin melihatnya sebagai satu kekecewaan, tetapi di sisi Allah, ia adalah satu kemuliaan. Berdiri teguh di atas jalan kebenaran adakalanya bermakna kita terpaksa menghancurkan harapan manusia untuk memenuhi harapan Tuhan.

Jadi frasa “Inilah jalanku” bukan sekadar tiga patah perkataan biasa. Ia adalah satu pengisytiharan yang padat dengan keyakinan, sarat dengan warisan para anbiya’, dan merupakan satu panduan untuk membina identiti yang seimbang. Ia mengajar kita untuk berdiri dengan perlindungan Allah, menyedari bahawa jalan kita adalah kesinambungan legasi yang mulia, dan berani untuk menjadi berbeza secara berprinsip tanpa perlu mengasingkan diri daripada dunia. Dalam dunia yang sentiasa cuba menentukan siapa kita, bagaimanakah kita boleh berdiri teguh dan dengan yakin berkata, “Inilah jalanku?”

 

Kuiz Kefahaman (Soalan Jawapan Pendek)
Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan pemahaman anda terhadap teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.

1. Apakah kepentingan kalimah “Qul” (Katakanlah) yang memulakan ayat 108 ini?
2. Mengapakah penggunaan frasa “jalanku” (sabili) dianggap unik berbanding frasa “jalan Allah” yang lebih lazim digunakan?
3. Bagaimanakah perkataan “ini” (hadzihi) dikaitkan dengan keseluruhan Surah Yusuf?
4. Huraikan dua perkara penting yang diberikan oleh perintah “Qul” kepada Nabi Muhammad s.a.w.
5. Apakah persamaan ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Yusuf a.s. menurut teks tersebut?
6. Jelaskan perumpamaan “batu bata” dalam hadis yang dipetik berkaitan dengan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w.
7. Bagaimanakah identiti seorang Muslim ditentukan mengikut tafsiran ayat ini?
8. Apakah dua kesilapan ekstrem yang sering dilakukan oleh manusia apabila menyedari jalan hidup mereka berbeza dengan masyarakat sekeliling?
9. Mengapakah kisah Nabi Saleh a.s. dijadikan contoh tentang cabaran dalam berpegang kepada kebenaran?
10. Apakah maksud sebenar di sebalik pernyataan Nabi bahawa Islam itu “jalanku” (sabili)?

 

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
Targhib
Ajakan atau dorongan yang bertujuan untuk menarik minat seseorang ke arah tauhid dan keimanan.
Basirah
Hujjah yang nyata, ilmu yang mendalam, atau kebijaksanaan dalam menyampaikan dakwah kepada Allah.
Sabili
Bermaksud “jalanku”; merujuk kepada pegangan, agama, dan sistem hidup yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Tauhid
Konsep mengesakan Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain (lawan kepada syirik).
Mushrikin
Golongan orang yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dalam ibadah atau keyakinan.
Manhaj
Sistem, kaedah, atau jalan yang diikuti dalam memahami dan mengamalkan ajaran Islam.
Legasi/Warisan
Rangkaian perjuangan berterusan daripada para nabi terdahulu (Ibrahim, Ishaq, Ya’qub, Yusuf) yang disempurnakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Sunnah
Jalan atau amalan yang selari dengan ajaran dan cara hidup Nabi Muhammad s.a.w.
Keterasingan
Keadaan berdiri sendirian dalam mempertahankan kebenaran di tengah-tengah masyarakat yang menentang atau tidak memahami.
Wahyu
Petunjuk langsung daripada Allah (Al-Quran) yang menjadi sumber mutlak bagi jalan (sabil) para Nabi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian seterusnya

Kemaskini: 4 Februari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 108 (1) (Inilah jalanku, aku berpegang dengannya)”

  1. Skema Jawapan Kuiz
    No. Soalan
    Jawapan Cadangan
    1
    Kalimah “Qul” menunjukkan bahawa pesanan yang disampaikan adalah amat penting dan merupakan arahan terus daripada Allah. Ia menuntut Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyampaikan dakwah dengan penuh keyakinan dan pendirian yang mantap tanpa ragu-ragu.
    2
    Penggunaan “jalanku” menunjukkan keberanian luar biasa dan pengisytiharan peribadi yang diarahkan oleh Allah untuk menonjolkan kewibawaan baginda sebagai penyampai. Ia menegaskan bahawa jalan tersebut adalah identiti dan pegangan teguh baginda walaupun terpaksa berdiri sendirian menentang arus.
    3
    Perkataan “ini” merujuk kepada kisah perjuangan Nabi Yusuf a.s. yang diceritakan sebelumnya dalam surah tersebut. Ia menandakan bahawa jalan dakwah Nabi Muhammad s.a.w. adalah kesinambungan daripada perjuangan dan ujian yang telah dilalui oleh Nabi Yusuf a.s.
    4
    Pertama, ia memberikan kewibawaan Ilahi yang menegaskan Nabi hanyalah penyampai kebenaran daripada Allah, bukannya mengikut ego sendiri. Kedua, ia memberikan perlindungan Ilahi di mana Nabi yang asalnya kelihatan terdedah sendirian menjadi individu yang paling dilindungi oleh Allah.
    5
    Kedua-dua nabi tersebut menghadapi ujian “keterasingan” yang dahsyat di mana mereka berdiri seorang diri tanpa sokongan orang beriman di sekeliling. Nabi Ibrahim diuji dengan api fizikal daripada kaumnya, manakala Nabi Yusuf diuji dengan “api” nafsu semasa digoda oleh isteri Al-Aziz.
    6
    Perumpamaan tersebut menggambarkan agama Allah seperti sebuah bangunan indah yang hampir siap kecuali satu ruang batu bata di sudutnya. Nabi Muhammad s.a.w. adalah batu bata terakhir tersebut yang melengkapkan dan menyempurnakan seluruh binaan syariat para nabi terdahulu.
    7
    Identiti Muslim tidak ditentukan oleh penanda budaya luaran seperti pakaian, bahasa, atau jenis makanan. Sebaliknya, ia ditentukan oleh keyakinan moral dan rohani yang membentuk prinsip serta haluan hidup yang berteraskan wahyu.
    8
    Manusia cenderung untuk sama ada mengasingkan diri sepenuhnya dengan membina tembok terhadap budaya luar, atau menggadaikan prinsip asas Islam semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat. Islam sebaliknya mengajar jalan tengah iaitu mengambil kebaikan budaya sambil tetap berpegang teguh pada nilai teras.
    9
    Kisah Nabi Saleh menunjukkan bahawa cabaran terbesar sering datang daripada kekecewaan orang yang paling rapat, seperti keluarga dan masyarakat yang mempunyai harapan tinggi terhadap kita. Berdiri di atas kebenaran kadangkala memerlukan seseorang menghancurkan harapan manusia demi memenuhi tuntutan Allah.
    10
    Ia tidak bermaksud Nabi Muhammad s.a.w. merekacipta jalan tersebut, sebaliknya baginda sedang berjalan di atas jalan yang telah ditetapkan oleh Allah (Sabilillah). Penggunaan kata ganti nama “aku” menunjukkan komitmen peribadi baginda untuk kekal di atas jalan wahyu tersebut walau apa pun cabarannya.

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply