Yusuf Ayat 98: Jawapan dari Nabi Ya’qub عليه السلام.
قَالَ سَوفَ أَستَغفِرُ لَكُم رَبِّىٓۖ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلغَفُورُ ٱلرَّحِيم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He said, “I will ask forgiveness for you from my Lord. Indeed, it is He who is the Forgiving, the Merciful.”
(MALAY)
Ya’qub berkata: “Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
قَالَ سَوفَ أَستَغفِرُ لَكُم رَبِّىٓ
Ya’qub berkata: “Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Tuhanku.
Baginda beritahu yang baginda akan doakan pengampunan untuk mereka. Kalimah سَوفَ (akan) bermaksud sesuatu yang akan berlaku di masa hadapan. Maknanya baginda tidak terus istighfar bagi pihak mereka. Kenapa pula begitu? Kita telah bincangkan di dalam Ayat 92 sebelum ini perbezaan antara pengampunan Nabi Yusuf dan Nabi Ya’qub. Nabi Yusuf terus memaafkan, tapi nampaknya Nabi Ya’qub menunda permaafan baginda. Ada beberapa kemungkinan yang kita telah sebutkan di situ. Kemungkinan lain kenapa ia berlaku adalah:
1. Nanti baru Nabi Ya’qub akan istighfar untuk mereka, bukan waktu itu terus. Maknanya, baginda tidak buat terus kerana baginda sedang marah kepada mereka. Baginda mahu tunggu tenang dahulu dan sekarang baginda hendak menikmati kegembiraan mendapat tahu yang memang benar anaknya Yusuf عليه السلام itu masih hidup dan sekarang sedang hidup dengan baik.
2. Ada yang mengatakan baginda menunggu sampai nanti berjumpa dengan anaknya Nabi Yusuf di Mesir. Kerana ketika itulah baru hati baginda jadi tenang dan hilang rasa marah dan patah hati dengan anak-anaknya itu dan doa baginda baru ikhlas. Lagi pun dosa mereka itu terbabit juga dengan perbuatan salah mereka terhadap Nabi Yusuf.
3. Ada yang memang begitulah orang tua, lebih senang terasa dan lebih lama terasa. Jadi baginda hendak bagi tenang dulu hati baginda dan pujuk hati.
4. Ada yang kata baginda tunggu untuk istighfar kepada mereka kerana hendak tunggu waktu makbul, sama ada di malam (waktu sahur) atau hari Jumaat, atau ketika solat. Ini kerana kesalahan yang mereka lakukan itu besar dan makan tahun, jadi bukan boleh doa biasa sahaja. Ibnu Mas’ud, Ibrahim At-Taimi, Amr ibnu Qais, Ibnu Juraij, dan lain-lainnya mengatakan bahawa Nabi Ya’qub عليه السلام menangguhkan permohonan mereka sampai waktu sahur. Ini kita boleh rujuk kepada satu athar:
عَنْ إِبْرَاهِيمَ النَّخَعِيِّ، قَالَ: سَمِعَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، رَجُلًا يُنَاجِي اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ مِنَ اللَّيْلِ فِي بَيْتِهِ، وَهُوَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي بِحَقِّ هَذَا السَّحَرِ. فَاسْتَمَعَ لَهُ عُمَرُ، فَإِذَا هُوَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ، فَقَالَ عُمَرُ: مَا حَمَلَكَ عَلَى مَا سَمِعْتُكَ تَقُولُ؟ فَقَالَ ابْنُ مَسْعُودٍ: إِنَّ يَعْقُوبَ عَلَيْهِ السَّلَامُ قَالَ لِبَنِيهِ: [يوسف: 98] فَأَخَّرَهَا إِلَى السَّحَرِ
Dari Ibrahim An-Nakha’i, dia berkata: Umar bin Khattab radhiyallahu ‘anhu mendengar seseorang bermunajat kepada Allah ‘Azza wa Jalla di malam hari di rumahnya, dan dia berdoa: “Ya Allah, ampunilah aku dengan hak waktu sahur ini.” Maka Umar pun mencari siapa orang itu, ternyata dia adalah Abdullah bin Mas’ud. Lalu Umar bertanya: “Apa yang mendorongmu mengucapkan apa yang aku dengar darimu itu?” Maka Ibnu Mas’ud menjawab: “Sesungguhnya Ya’qub ‘alaihis salam berkata kepada anak-anaknya: ‘Kelak aku akan memohonkan ampun bagi kalian kepada Tuhanku’ [Yusuf: 98], lalu beliau menangguhkannya (istighfar itu) hingga waktu sahur.”
Syarah: Riwayat ini seringkali diulas oleh para ulama ketika membahas keutamaan berdoa di waktu sahur dan penafsiran ayat Al-Qur’an. Riwayat ini dicatat oleh Imam Ibnu Jarir Ath-Thabari dalam tafsirnya, Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an, ketika menafsirkan surah Yusuf ayat 98. Doa yang didengar Umar dari rumah Ibnu Mas’ud adalah permohonan ampunan, khususnya dengan menyebutkan waktu sahur: “Demi waktu sahur ini, berilah ampunan kepadaku.” Ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa beliau mengambil dalil (alasan) dari ucapan Nabi Ya’qub kepada anak-anaknya seperti di dalam ayat yang kita sedang bincangkan ini. Menurut Ibnu Mas’ud , penangguhan permintaan ampun (istighfar) oleh Nabi Ya’qub adalah hingga datangnya waktu sahur (penghujung malam).
Ini selari dengan pemberitahuan dari Rasulullah tentang mustajabnya doa di waktu Sahur yang kita sepatutnya kena ambil peluang.
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ؟ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ؟ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ؟
“Tuhan kita Tabaraka wa Ta’ala (Maha Suci dan Maha Tinggi) turun setiap malam ke langit dunia, iaitu ketika tersisa sepertiga malam yang terakhir. Dia berfirman: ‘Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku akan mengabulkannya?’ ‘Siapa yang memohon kepada-Ku, maka Aku akan memberinya?’ ‘Siapa yang memohon ampunan kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya?'”
Sahih Al-Bukhari (1145); Sahih Muslim (758)
Syarah: Kalimah ثُلُثُ اللَّيْلِ bermaksud waktu sahur. Maka ini mengajar kita untuk memilih waktu-waktu mustajab doa yang dibincangkan secara khusus di dalam bab doa. Kalaulah kita tahu di mana waktu mustajab doa itu, kita boleh ambil peluang dan tidaklah kita buat perkara mengarut seperti pergi ke busut, ke kubur, minta berkat wali, minta wali dalam kubur doakan, minta terus kepada malaikat, buat amalan-amalan yang tidak ada sumbernya, dan macam-macam lagi. Pilih sahaja waktu yang mustajab. Ia terlalu banyak untuk disenaraikan di sini, cuma sekarang kita sudah sebut beberapa masa yang mustajab.
Jawapan Nabi Ya’qub kepada anak-anaknya adalah sesuatu yang sangat mengejutkan dan penuh dengan lapisan makna. Perkataan سَوفَ yang bermaksud “kelak” atau “nanti” adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Mengapa seorang Nabi menangguhkan doa untuk anak-anaknya? Di sinilah dua bacaan yang berbeza muncul, masing-masing menawarkan hikmah yang luar biasa.
Bacaan Husnuzon (Memberi Sangka Baik)
Dari sudut pandang ini, penangguhan Nabi Ya’qub dilihat sebagai tanda kesungguhan dan kedalaman spiritualnya:
• Beratnya Dosa Itu: Baginda mungkin menangguhkannya untuk mencari waktu yang paling mustajab seperti yang kita telah sebutkan. Ini menunjukkan betapa beratnya dosa yang dilakukan oleh anak-anaknya sehingga ia memerlukan waktu dan suasana khas untuk memohon kepada Tuhan. Bukan senang-senang minta ampun/istighfar seperti biasa.
• Pengampunan Adalah Proses Berterusan: Satu lagi tafsiran yang indah ialah سَوفَ bermaksud baginda akan mendoakan mereka setiap kali kenangan pahit itu kembali. Ini mengajar kita bahawa kemaafan, terutamanya untuk luka yang dalam, bukanlah satu peristiwa sekali sahaja. Ia adalah satu proses yang perlu diulangi setiap kali kesakitan itu muncul semula. Kerana baginda boleh maafkan, akan tetapi baginda juga manusia. Mungkin sesekali baginda akan teringat balik peristiwa itu dan timbul perasaan tidak sedap hati dalam diri baginda. Maka baginda kata baginda akan terus meminta ampun bagi pihak mereka setiap kali ia berlaku. Malah ada riwayat yang mengatakan baginda berterusan meminta ampun bagi mereka selama 20 tahun!
Binaan Sebuah Permintaan Pengampunan
Mufassir moden ada membincangkan interaksi anak beranak ini dari sudut proses meminta ampun. Bahagian ini agak teknikal dan kita cuba mudahkan. Apabila seseorang meminta maaf, ada dua elemen penting yang perlu ada:
1. Minta maaf atas kesalahan apa?
2. Minta maaf kepada siapa?
Sebagai contoh, kalau kita makan kek seseorang kita minta maaf dengan berkata: Saya minta maaf kepada awak (kepada siapa) kerana saya makan kek awak tadi (kesalahan itu). Sekarang perhatikan, apabila anak-anak itu meminta maaf, kalimat yang mereka gunakan adalah: ٱستَغفِر لَنَا ذُنُوبَنَآ (mohonkanlah ampun bagi kami terhadap dosa-dosa kami). Jadi mereka sebut kesalahan mereka, tapi mereka tidak sebut kepada siapa mereka meminta ampun itu.
Kemudian apabila Nabi Ya’qub menjawab permintaan mereka itu, baginda sebut: أَستَغفِرُ لَكُم رَبِّىٓ (Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Tuhanku). Baginda sebut kepada siapa permohonan ampun itu ditujukan, tapi ia tidak ada satu lagi elemen: apakah sebab permintaan maaf itu.
Al-Alusi (Syihabuddin Abu al-Thana’ Mahmud bin Abdullah al-Husaini al-Alusi (1802M – 1854M) penulis kitab Ruh al-Ma’ani fi Tafsir al-Qur’an al-’Azim wa al-Sab’ al-Mathani membincangkan hal ini. Beliau mengatakan dari segi bahasa Arab, apabila tidak disebut kepada siapa permohonan maaf itu ditujukan, maka ia memberi isyarat yang bukan satu sahaja yang dimaksudkan. Maknanya, bukan minta kepada Allah sahaja, tapi mereka ada buat salah kepada ramai. Kepada Nabi Ya’qub, kepada Nabi Yusuf, kepada Bunyamin, setakat yang kita tahu. Jadi mereka minta Nabi Ya’qub bukan sahaja minta istighfar kepada Allah sahaja, tapi bolehkah tolong minta Nabi Yusuf dan Bunyamin pun maafkan mereka? Ini kerana Allah ada hak, tapi makhluk pun ada hak juga. Mereka minta kalau boleh Nabi Ya’qub boleh nasihat kepada Nabi Yusuf dan Bunyamin untuk maafkanlah abang-abang itu. Kalau seorang ayah cakap macam itu, mungkin mereka akan lembut hati. Jadi ada sebab mereka tidak menyebut meminta ampun kepada Allah di dalam permintaan maaf mereka.
Sekarang kita lihat pula jawapan Nabi Ya’qub yang tidak disebut apakah kesalahan mereka, tapi menyebut permohonan ampun adalah kepada Allah. Seolah-olah baginda hendak memberitahu, yang paling penting adalah pengampunan dari Allah. Tak perlu risau kesalahan banyak yang mereka telah lakukan itu terhadap ramai orang. Kalau Allah sudah maafkan, maka kira setellah. Rasulullah pernah bersabda,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا نَادَى جِبْرِيلَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّ فُلَانًا فَأَحِبَّهُ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ ثُمَّ يُنَادِي جِبْرِيلُ فِي السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ وَيُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي أَهْلِ الْأَرْضِ (رواه البخاري)
Dari Abu Hurairah ra berkata, “Bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala jika mencintai seseorang, maka Allah akan memanggil Jibril , ‘(wahai Jibril) Sesungguhnya Allah mencintai fulan maka cintailah dia, sehingga Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril memanggil seluruh penghuni langit seraya berseru, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan maka cintailah dia, maka penghuni langit pun mencintainya, sehingga orang tersebut diterima oleh penduduk bumi.”
(Sahih Bukhari no. 1502).
Maka Nabi Ya’qub fokus kepada Allah, tanpa menyebut pun tentang dosa mereka. Pertama, mereka telah sebut pun tentang dosa, maka ia tidak perlu disebut lagi. Kedua, Allah boleh sahaja ampunkan dosa mereka tidak kira sebanyak mana dosa mereka. Ingatlah kepada satu Hadis Qudsi yang terdapat di dalam Hadis 40 Imam Nawawi (hadis ke 42)
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُولُ: «قَالَ اللهُ تَعَالَى: يَا ابْنَ آدَمَ! إِنَّكَ مَا دَعَوتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ مِنْكَ وَلَا أُبَالِي. يَا ابْنَ آدَمَ! لَو بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ. يَا ابْنَ آدَمَ! إِنَّكَ لَو أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيْتَنِي لاَ تُشْرِكُ بِي شَيْئاً لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً» رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَقَالَ: حَدِيْثٌ حَسَنٌ.
Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Allah Ta’ala berfirman, ‘Hai anak Adam, sesungguhnya selagi engkau berdoa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku, Aku ampuni dosa yang ada padamu dan aku tidak peduli. Hai anak Adam, seandainya dosa-dosamu setinggi langit (begitu banyak), kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, pasti Aku ampuni. Hai anak Adam, seandainya engkau mendatangi-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan-Ku dengan apa pun, pasti Aku akan menemuimu dengan ampunan sepenuh bumi pula.”
[Jami’ Tirmidzi, no. 3540 dan Ahmad, 5:154, 176. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadits ini hasan].
Ini selari dengan Zumar:53 yang kita kena selalu ingat,
قُل يٰعِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَّحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللَهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيم
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan akhir sekali perhatikan Nabi Ya’qub menggunakan kalimah رَبِّىٓ (Tuhanku) dan bukannya menggunakan nama Allah. Ini hendak menekankan sifat Allah sebagai Tuhan. Tuhanlah yang menjadikan kita, mendidik kita, memberikan segala keperluan kepada kita. Maka hadapkanlah diri kepada Tuhan itu yang sayang kepada kita.
إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلغَفُورُ ٱلرَّحِيم
Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Baginda yakin yang Allah ﷻ akan mengampunkan dosa mereka kerana Allah ﷻ Maha Pengampun. Allah ﷻ Maha Pengampun kerana Dia Maha Penyayang. Penambahan kalimah هُوَ di dalam frasa ini adalah sebagai penguat kerana kalau ia tidak ada pun, terjemahan akan sama sahaja.
Memang manusia termasuk Nabi Ya’qub pun mungkin susah untuk memaafkan manusia yang banyak melakukan kesalahan kepadanya, akan tetapi Allah bukan manusia, Allah boleh memaafkan walaupun banyak dosa manusia itu. Maka selalulah minta ampun kepada Allah.
Nabi Ya’qub memberitahu mereka untuk berharap dan hadap kepada Allah kerana Allah ada dua sifat ini. Dua sifat ini amat penting bagi kita. Kita memang banyak dosa, maka kita memerlukan sifat Allah ﷻ yang غَفُورٌ kerana kalau tidak, kita pasti akan masuk ke dalam neraka untuk mencuci dosa kita. Kemudian kita tentu mahu masuk ke dalam syurga-Nya, maka ini memerlukan sifat Allah ﷻ yang رَحِيمٌ kerana kita tidak akan dapat masuk syurga melainkan dengan rahmat-Nya.
Selepas Allah ﷻ sebut sifatnya yang mengampunkan (غَفُورٌ) Allah ﷻ selalu sebut sifat رَحِيمٌ. Ini sebenarnya memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Apabila kita bertaubat, Allah ﷻ akan memasukkan kita ke dalam rahmah-Nya. Maka untuk segera dapat rahmah, maka bersegeralah meminta ampun. Perumpamaannya begini, katakanlah kita ada berbuat salah dengan seorang yang kaya. Kemudian dia kata kalau kita meminta maaf kepadanya, bukan sahaja dia akan maafkan kita, tetapi dia juga akan hadiahkan kita sebuah kereta BMW baru! Apa kita akan buat kalau begitu? Tentulah kita akan segera meminta maaf, bukan?
Lagi satu, Allah bersifat رَحِيمٌ. Kalau manusia, mungkin boleh memaafkan, tapi hubungan selepas itu tentu tidak sama. Kerana kita akan asyik teringat tentang perbuatan orang itu. Kita sudah tidak boleh lepak bersama lagi, sudah tidak percaya dalam perniagaan lagi, sudah susah melihat mukanya dengan tersenyum lagi. Kerana itu kita dengan pasangan kita hendaklah kita berjaga-jaga jangan hilangkan kepercayaan mereka kepada kita. Kerana kalau sekali mereka tidak percaya, entah sampai bila perasaan itu akan tersemat dalam hati pasangan kita. Kerana mereka tidak boleh baca hati kita dan tidak tahu kita ikhlas akan berubah atau tidak. Tapi Allah yang bersifat رَحِيمٌ boleh sahaja lupakan kesalahan manusia itu bersihkan dosa hambaNya. Allah tahu hati manusia itu ikhlas meminta ampun atau tidak. Kalau ikhlas, Allah ampunkan; kalau tidak ikhlas, Allah tidak ampunkan. Hanya Allah sahaja yang tahu hati manusia.
Bacaan Skeptikal / Kemanusiaan (Melihat dari Sisi Realiti Insan)
Kita telah lihat pandangan dari sudut husnuzon. Sekarang kita bincangkan pula dari wajah yang lain pula iaitu kita tidaklah pandang baik sangat terhadap abang-abang Nabi Yusuf itu. Dari sudut pandang ini, jawapan Nabi Ya’qub mencerminkan realiti emosi seorang insan, walaupun baginda seorang Nabi akan tetapi:
• Manusia Memerlukan Masa: Tafsiran yang paling menyentuh hati ialah, walaupun seorang Nabi, baginda tetap seorang manusia. Baginda mungkin memerlukan masa untuk memproses kesakitan dan trauma yang teramat sangat sebelum hatinya benar-benar tulus untuk mendoakan mereka yang telah melukakannya. Ini kerana sangat lama baginda ditipu oleh anak-anaknya itu. Mereka juga telah melakukan kesalahan yang besar-besar, termasuk mereka kurang ajar kepada baginda, maka tentulah baginda memerlukan masa. Begitulah realiti kehidupan. Seorang ayah yang baik, tidak semestinya mendapat anak yang baik. Itulah orang kata: kemenjadian anak pun adalah satu nikmat besar dan bukan semua ibubapa dapat anak-anak sebegitu.
• Pendekatan “Tunggu dan Lihat”: Boleh jadi سَوفَ membawa maksud, “Aku perlu lihat jika permohonan maaf kamu ini benar-benar ikhlas.” Setelah dikhianati begitu lama, adalah wajar bagi seorang bapa untuk tidak terus menerima kata-kata mereka tanpa bukti. Baginda pun kenal anak-anak baginda sendiri dan sudah banyak kali baginda terkena dengan mereka. Agak sukar untuk menerima yang mereka kali ini sudah benar-benar bertaubat. Entah-entah mereka ini hanya meminta maaf kerana telah kantoi, telah terdesak, takut dengan kekuasaan Nabi Yusuf pula. Ini sama seperti Firaun yang menentang Nabi Musa tapi hanya apabila hendak lemas, baru hendak mengaku beriman kepada Tuhan seperti disebut di dalam Yunus:90
حَتّىٰ إِذا أَدرَكَهُ الغَرَقُ قالَ ءآمَنتُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلَّا الَّذي ءآمَنَت بِهِ بَنو إِسرٰءيلَ وَأَناْ مِنَ المُسلِمينَ
sehingga apabila Firaun hampir tenggelam, berkatalah dia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (Islam)
Hati manusia siapalah yang tahu. Maknanya baginda akan berdoa untuk mereka apabila baginda sudah bersedia dan yakin dengan perubahan mereka. Baginda hendak lihat dahulu adakah sifat dan sikap mereka berubah selepas ini.
Tanggapan bahawa para Nabi tidak mempunyai emosi manusia biasa sebenarnya menjauhkan kita daripada mereka. Nanti kita ada satu tanggapan: “takpelah, dia tu Nabi…bolehlah buat macam itu…” Sebaliknya, Al-Qur’an menunjukkan sisi manusiawi mereka dengan begitu jujur. Kerana jika kita katakan para Nabi itu manusia super yang mampu memaafkan dalam keadaan paling mustahil sekalipun, ia seolah-olah bermakna mereka tidak perlu berusaha langsung. Pemikiran sebegini mewujudkan jurang antara kita dengan para Nabi Allah. Rasa sakit seorang bapa tetaplah rasa sakit seorang bapa, walaupun dia seorang nabi.
Kewaspadaan seorang bapa yang telah lama menderita inilah yang membawa kita kepada pengajaran terakhir dan paling realistik tentang sifat pengampunan. Inilah pengajaran yang paling penting dan mungkin paling mengejutkan. Al-Qur’an tidak pernah menyatakan secara jelas sama ada permohonan maaf anak-anak Nabi Ya’qub itu 100% ikhlas atau sekadar oportunistik (didorong oleh rasa takut terhadap kuasa baru Nabi Yusuf). Al-Qur’an juga tidak pernah menyatakan secara eksplisit bahawa Allah telah mengampunkan mereka. Di dalam Al-Qur’an ada sahaja ayat yang Allah beritahu Dia telah ampunkan, sebagai contoh Nabi Musa diampunkan oleh Allah secara eksplisit di dalam Qasas:16
قالَ رَبِّ إِنّي ظَلَمتُ نَفسي فَاغفِر لي فَغَفَرَ لَهُ ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ
Musa berdoa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri kerana itu ampunilah aku”. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Mengapa Al-Qur’an membiarkannya samar-samar? Kerana pengajaran terbesarnya adalah untuk kita: pengampunan perlu diimbangi dengan kewaspadaan (ihtiyat). Kisah ini mengajar kita bahawa kita boleh memaafkan seseorang, tetapi pada masa yang sama, kita perlu tetap berhati-hati. Memaafkan tidak bermakna menjadi naif atau memadam sepenuhnya memori tentang satu kesalahan yang besar. Anda boleh memaafkan rakan niaga yang pernah menipu anda, tetapi itu tidak bermakna anda wajib untuk berniaga dengannya sekali lagi. Itu sudah membuka peluang untuk orang ambil mudah dengan anda dan senang-senang sahaja menipu kita di lain kali. Ini adalah pendekatan yang realistik dan manusiawi terhadap perdamaian. Tidak salah untuk kita tidak pasti sepenuhnya tentang niat seseorang. Kita boleh memaafkan di dalam hati, tetapi dalam masa yang sama “tidur dengan sebelah mata terbuka” untuk melindungi diri kita.
Jadi ini adalah pandangan skeptikal. Mana satu yang lebih kuat? Allahu a’lam, kita sendiri tidak akan tahu. Tapi kalau kita lihat pengakhiran hidup Nabi Ya’qub dan baginda bertanya kepada anak-anaknya itu, semua mereka menjawab dengan baik dan Allah nukilkan jawapan mereka itu. Ini berkemungkinan memberi isyarat yang mereka itu ikhlas berubah. Perhatikan Baqarah:133
أَم كُنتُم شُهَداءَ إِذ حَضَرَ يَعقوبَ المَوتُ إِذ قالَ لِبَنيهِ ما تَعبُدونَ مِن بَعدي قالوا نَعبُدُ إِلٰهَكَ وَإِلٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ إِلٰهًا وٰحِدًا وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ
(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.
Sekian kisah pertikaian Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya. Yang akhirnya ditutup dengan permohonan maaf mereka. Sama ada ikhlas atau tidak. Kisah Nabi Ya’qub dan anak-anaknya mendedahkan bahawa pengampunan bukanlah satu tindakan magis yang mudah. Sebaliknya, ia adalah satu perjalanan yang penuh dengan dualiti: antara kedalaman sebuah taubat sejati dan sekadar ucapan maaf di bibir; antara kesabaran ilahiah seorang nabi dan keperluan manusiawinya untuk mengambil masa; dan yang terpenting, antara tuntutan untuk membuka hati memaafkan dan kebijaksanaan untuk tetap waspada. Ia adalah satu proses yang kompleks, penuh nuansa, dan sangat manusiawi. Ia dipenuhi dengan kesakitan, kewaspadaan, dan harapan. Setelah memahami sisi ini, bagaimanakah ia mengubah cara kita memandang kemaafan yang kita beri dan terima dalam hidup kita?
Beberapa Pengajaran Penting:
1. Memilih Waktu yang Mustajab untuk Berdoa
Nabi Ya’qub menggunakan perkataan saufa (akan) yang bermaksud baginda tidak terus memohon ampun pada waktu itu juga. Salah satu sebab utama adalah baginda menunggu waktu yang paling makbul, iaitu waktu sahur (sepertiga malam terakhir). Ini mengajar kita bahawa untuk dosa-dosa yang besar dan berat, kita perlu mencari waktu dan suasana khas agar permohonan kita lebih bersungguh-sungguh dan diterima oleh Allah.
2. Memaafkan adalah Satu Proses, Bukan Tindakan Sekali Sahaja
Penggunaan kata “akan” juga memberi isyarat bahawa kemaafan—terutamanya untuk luka yang sangat mendalam—adalah sebuah proses berterusan. Nabi Ya’qub mungkin mendoakan mereka setiap kali kenangan pahit itu muncul semula untuk memujuk hati sendiri dan memastikan doa tersebut benar-benar ikhlas. Ini menunjukkan bahawa adalah normal bagi manusia (malah seorang Nabi) untuk memerlukan masa bagi memproses trauma dan kesakitan sebelum benar-benar tulus mendoakan orang yang melukakannya.
3. Fokus kepada Pengampunan Allah sebagai Matlamat Utama
Nabi Ya’qub menekankan permohonan maaf kepada “Tuhanku” (Rabbi) tanpa menyebut secara terperinci dosa-dosa anak-anaknya. Ini mengajar kita bahawa jika Allah sudah mengampunkan seseorang, maka urusan itu dianggap selesai kerana Allah mampu memadamkan dosa hamba-Nya dan meletakkan penerimaan di hati makhluk-makhluk lain. Sifat Allah yang Al-Ghafur (Maha Pengampun) dan Ar-Rahim (Maha Penyayang) seharusnya menjadi motivasi untuk kita segera bertaubat tanpa berputus asa.
4. Perbezaan Kemaafan Manusia dan Kemaafan Tuhan
Kemaafan manusia selalunya meninggalkan kesan; walaupun sudah memaafkan, hubungan mungkin tidak lagi sama atau kepercayaan sukar dipulihkan. Sebaliknya, pengampunan Allah yang bersifat Rahim adalah sempurna dan mampu membersihkan dosa sepenuhnya. Oleh itu, kita diingatkan untuk sentiasa menjaga amanah dan kepercayaan orang lain kerana sekali ia hilang, ia sangat sukar untuk dikembalikan dalam hati manusia.
5. Memaafkan Tidak Bermakna Menjadi Naif (Ihtiyat)
Satu pengajaran realistik daripada ayat ini ialah kita boleh memaafkan seseorang dalam hati, namun tetap perlu berwaspada (ihtiyat). Memaafkan tidak mewajibkan kita untuk mempercayai mereka sepenuhnya semula dalam urusan penting (seperti perniagaan) jika mereka pernah mengkhianati kita. Kita boleh berdamai tanpa perlu menjadi naif, atau seperti ungkapan dalam sumber: “memaafkan di dalam hati, tetapi tetap tidur dengan sebelah mata terbuka” untuk melindungi diri.
6. Keberkatan Doa Ibu Bapa
Anak-anak Nabi Ya’qub meminta ayah mereka mendoakan mereka kerana mereka yakin dengan kemustajaban doa seorang ayah dan Nabi. Ini menekankan peranan ibu bapa sebagai pembimbing spiritual yang sangat penting dalam membantu anak-anak kembali ke jalan yang benar melalui doa dan sokongan.
Kuiz Kefahaman
Jawab soalan-soalan berikut dengan ringkas (2-3 ayat) berdasarkan konteks sumber yang diberikan.
1. Apakah maksud kalimah سَوفَ (saufa) dalam jawapan Nabi Ya’qub dan mengapa ia dianggap sesuatu yang di luar jangkaan?
2. Sebutkan dua sebab dari perspektif Husnuzon (sangka baik) mengapa Nabi Ya’qub menangguhkan permohonan ampun untuk anak-anaknya.
3. Menurut riwayat yang dipetik daripada Ibnu Mas’ud, bilakah waktu khusus yang ditunggu oleh Nabi Ya’qub untuk memohonkan keampunan, dan mengapa waktu itu istimewa?
4. Jelaskan perbezaan antara struktur permintaan maaf anak-anak Nabi Ya’qub dengan struktur jawapan baginda dari segi elemen “kesalahan apa” dan “kepada siapa”.
5. Apakah hikmah di sebalik tindakan Nabi Ya’qub yang hanya menyebut permohonan ampun ditujukan kepada Allah tanpa mengulangi dosa-dosa anak-anaknya?
6. Dari sudut pandang skeptikal atau kemanusiaan, apakah dua kemungkinan sebab Nabi Ya’qub menggunakan perkataan سَوفَ?
7. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep “pengampunan perlu diimbangi dengan kewaspadaan (ihtiyat)” seperti yang dibincangkan dalam teks? Berikan contoh yang dinyatakan.
8. Mengapakah Al-Qur’an tidak menyatakan secara jelas sama ada Allah telah mengampunkan anak-anak Nabi Ya’qub?
9. Jelaskan kepentingan dua sifat Allah, iaitu ٱلغَفُورُ (Al-Ghafur) dan ٱلرَّحِيم (Ar-Rahim), dalam konteks taubat dan pengampunan.
10. Mengapakah Nabi Ya’qub menggunakan kalimah رَبِّىٓ (Tuhanku) dan bukannya nama Allah apabila merujuk kepada Tuhan?
Glosari Istilah Utama
|
Istilah
|
Definisi Berdasarkan Konteks
|
|
سَوفَ (Saufa)
|
Kalimah Arab yang bermaksud “akan” atau “kelak”, menunjukkan satu tindakan yang akan berlaku pada masa hadapan dan bukan serta-merta.
|
|
ٱلغَفُورُ (Al-Ghafur)
|
Salah satu sifat Allah yang bermaksud “Yang Maha Pengampun”. Sifat ini penting bagi manusia yang banyak dosa untuk diampunkan.
|
|
ٱلرَّحِيم (Ar-Rahim)
|
Salah satu sifat Allah yang bermaksud “Yang Maha Penyayang”. Sifat ini diperlukan agar manusia dapat dimasukkan ke dalam syurga melalui rahmat-Nya.
|
|
رَبِّىٓ (Rabbi)
|
Kalimah Arab yang bermaksud “Tuhanku”. Penggunaannya menekankan sifat Allah sebagai Tuhan yang mencipta, mendidik, dan memberi keperluan.
|
|
Istighfar
|
Permohonan ampun kepada Allah. Dalam konteks ini, Nabi Ya’qub berjanji akan memohonkan istighfar bagi pihak anak-anaknya.
|
|
Waktu Sahur
|
Waktu di penghujung malam sebelum fajar. Ia disebut sebagai waktu yang mustajab untuk berdoa, seperti yang ditunggu oleh Nabi Ya’qub.
|
|
Husnuzon
|
Bersangka baik. Ia merujuk kepada tafsiran yang melihat tindakan Nabi Ya’qub menangguhkan doa sebagai satu tanda kesungguhan spiritual dan bukan kemarahan.
|
|
Ihtiyat
|
Kewaspadaan. Konsep yang mengajar bahawa permaafan perlu diimbangi dengan sikap berhati-hati untuk melindungi diri daripada dikhianati lagi.
|
|
Al-Alusi
|
Seorang mufassir (Syihabuddin Abu al-Thana’ Mahmud bin Abdullah al-Husaini al-Alusi) yang membincangkan analisis bahasa Arab dalam interaksi antara Nabi Ya’qub dan anak-anaknya.
|
|
Hadis Qudsi
|
Hadis yang merupakan firman Allah, tetapi disampaikan melalui lisan Nabi Muhammad SAW. Teks ini merujuk kepada hadis mengenai keluasan ampunan Allah.
|
|
Athar
|
Riwayat yang disandarkan kepada para sahabat Nabi atau generasi selepas mereka (tabi’in). Teks ini memetik athar daripada Ibnu Mas’ud.
|
|
Mufassir
|
Seorang ahli tafsir Al-Quran, iaitu orang yang menghuraikan dan menjelaskan makna ayat-ayat Al-Quran.
|
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 20 Disember 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)


Kunci Jawapan Kuiz
1. Kalimah سَوفَ bermaksud “akan” atau “kelak”, menandakan sesuatu yang akan berlaku pada masa hadapan. Ia dianggap di luar jangkaan kerana ia menunjukkan Nabi Ya’qub tidak terus memaafkan atau mendoakan mereka pada waktu itu juga, sebaliknya menangguhkan permohonan ampun tersebut.
2. Dua sebab dari perspektif Husnuzon ialah: pertama, baginda ingin mencari waktu yang paling mustajab untuk berdoa (seperti waktu sahur atau hari Jumaat) kerana dosa mereka amat berat. Kedua, ia boleh ditafsirkan sebagai satu proses pemaafan yang berterusan, di mana baginda akan sentiasa mendoakan mereka setiap kali teringat kembali peristiwa pahit tersebut.
3. Menurut riwayat Ibnu Mas’ud, Nabi Ya’qub menangguhkan istighfar sehingga waktu sahur (penghujung malam). Waktu ini istimewa kerana ia adalah waktu doa yang mustajab, di mana Allah turun ke langit dunia dan berfirman untuk mengabulkan doa, permintaan, serta keampunan hamba-Nya.
4. Anak-anak Nabi Ya’qub menyebut kesalahan mereka (ذُنُوبَنَآ – dosa-dosa kami) tetapi tidak menyatakan kepada siapa ampunan dipohon. Sebaliknya, Nabi Ya’qub menyatakan kepada siapa ampunan ditujukan (رَبِّىٓ – Tuhanku) tetapi tidak menyebut semula kesalahan spesifik mereka.
5. Hikmahnya adalah untuk menekankan bahawa pengampunan yang paling penting adalah daripada Allah. Apabila Allah sudah memaafkan, maka selesailah urusan tersebut, kerana jika Allah mencintai seseorang, maka seluruh penduduk langit dan bumi akan menerimanya.
6. Dari sudut pandang skeptikal, dua sebabnya ialah: pertama, sebagai seorang manusia, baginda memerlukan masa untuk memproses kesakitan dan trauma yang mendalam sebelum hatinya tulus mendoakan mereka. Kedua, ia mungkin satu pendekatan “tunggu dan lihat” untuk memastikan sama ada permohonan maaf mereka benar-benar ikhlas atau hanya kerana terdesak.
7. Konsep ini bermaksud memaafkan seseorang tidak semestinya bermakna kita perlu menjadi naif atau melupakan terus kesalahan besar yang telah dilakukan. Contohnya, kita boleh memaafkan rakan niaga yang pernah menipu, tetapi tidak wajib untuk berniaga dengannya sekali lagi bagi melindungi diri daripada ditipu pada masa akan datang.
8. Al-Quran membiarkannya samar-samar untuk memberi pengajaran terbesar kepada kita. Pengajarannya ialah pemaafan perlu diimbangi dengan kebijaksanaan untuk tetap waspada dan tidak membuka ruang untuk dimanipulasi semula.
9. Sifat ٱلغَفُورُ (Maha Pengampun) amat penting kerana manusia banyak melakukan dosa dan memerlukan pengampunan Allah untuk mengelak neraka. Sifat ٱلرَّحِيم (Maha Penyayang) pula diperlukan untuk memasuki syurga, kerana kemasukan ke syurga adalah dengan rahmat-Nya, bukan semata-mata amalan.
10. Nabi Ya’qub menggunakan kalimah رَبِّىٓ (Tuhanku) untuk menekankan sifat Allah sebagai Tuhan yang mencipta, mendidik, dan memberi segala keperluan. Ia bertujuan untuk mengajak anak-anaknya menghadap kepada Tuhan yang Maha Menyayangi hamba-Nya.
LikeLike