BERITA BURUK BUAT NABI YA’QUB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ SEKALI LAGI
Yusuf Ayat 80: Ini adalah Keadaan ke 12 apabila Bunyamin telah dibuat keputusan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk tinggal bersama baginda di Mesir.
فَلَمَّا ٱستَيـَٔسُواْ مِنهُ خَلَصُواْ نَجِيًّاۖ قَالَ ڪَبِيرُهُم أَلَم تَعلَمُوٓاْ أَنَّ أَبَاكُم قَد أَخَذَ عَلَيكُم مَّوثِقًا مِّنَ ٱللَّهِ وَمِن قَبلُ مَا فَرَّطتُّم فِى يُوسُفَۖ فَلَن أَبرَحَ ٱلأَرضَ حَتَّىٰ يَأذَنَ لِىٓ أَبِىٓ أَو يَحكُمَ ٱللَّهُ لِىۖ وَهُوَ خَيرُ ٱلحَـٰكِمِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So when they had despaired of him, they secluded themselves in private consultation. The eldest of them said, “Do you not know that your father has taken upon you an oath by Allāh and [that] before you failed in [your duty to] Joseph? So I will never leave [this] land until my father permits me or Allāh decides for me,¹ and He is the best of judges.
* i.e., in my favor by bringing about the release of Benjamin.
(MALAY)
Maka tatkala mereka berputus asa dari pada (keputusan) Yusuf mereka menyendiri sambil berunding dengan berbisik-bisik. Berkatalah yang tertua di antara mereka: “Tidakkah kamu ketahui bahawa sesungguhnya bapamu telah mengambil janji daripada kamu dengan nama Allah dan sebelum itu kamu telah menyia-nyiakan Yusuf. Sebab itu aku tidak akan meninggalkan negeri Mesir, sampai bapaku mengizinkan kepadaku (untuk kembali), atau Allah memberi keputusan terhadapku. Dan Dia adalah Hakim yang sebaik-baiknya”.
فَلَمَّا استَيأَسوا مِنهُ
Maka tatkala mereka berputus asa daripada (keputusan) Yusuf
Akhirnya mereka sedar yang mereka tidak akan berjaya untuk berhujah dengan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mengubah keputusan baginda. Kadangkala kalau orang berkata ‘tidak’ pada mulanya, kita masih lagi boleh pujuk dan berhujah lagi dengan orang itu. Akan tetapi kali ini mereka nampak mereka tidak akan berjaya. Malah tawaran mereka sebagai galang ganti kepada Bunyamin turut ditolak. Mereka akhirnya sudah berputus asa untuk mengambil jalan itu. Mereka telah sedar yang mereka tidak akan dapat mengubah pendirian dan keputusan Al-Aziz itu.
خَلَصوا نَجِيًّا
mereka menyendiri sambil berunding dengan berbisik-bisik.
Mereka mengasingkan diri daripada semua orang ramai supaya boleh boleh berbincang dengan rahsia sesama mereka. Kalimah خَلَصوا daripada kata dasar خ ل ص yang juga kata dasar bagi ikhlas. Ini kerana ikhlas itu suci murni tidak bercampur dengan perkara lain. Maka mereka mengasingkan diri daripada orang lain. Ini supaya mereka boleh berbincang sesama sendiri secara rahsia (نَجِيًّا).
Kenapakah mereka kena buat begitu? Sebelum ini mereka dipandang rapat dengan Menteri kerana mendapat layanan mesra. Namun kali ini sudah ada tuduhan buruk terhadap mereka dan mereka tahu orang ramai akan memandang serong dan akan berminat untuk tahu apa yang berlaku. Jadi untuk tidak didengari, mereka mengasingkan diri mereka.
Satu lagi maksud خَلَصوا adalah mereka mengosongkan fikiran mereka daripada apa sahaja hal lain, sama ada tentang bekalan makanan, kampung dan sebagainya; kerana mereka sedang fokus apakah tindakan mereka sekarang ini. Mereka memang dalam keadaan yang risau dan susah hati. Ini kerana mereka masih ingat janji dengan bapa mereka. Mereka susah hati kerana tidak dapat membawa pulang adik mereka itu seperti yang telah dijanjikan. Mereka sudah cuba berunding dengan Menteri (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) dan Menteri nampaknya amat tegas dalam hal ini.
Di dalam ayat ini dikatakan mereka hendak melakukan نَجِيًّا. Di dalam Al-Qur’an, Allah ﷻ memberi indikasi bahawa نَجِيًّا itu tidak elok kerana selalunya ia membawa kepada maksiat. Antaranya perhatikan Nisa’:114
لّا خَيرَ في كَثيرٍ مِّن نَّجوىٰهُم إِلّا مَن أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَو مَعروفٍ أَو إِصلٰحٍ بَينَ النّاسِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللهِ فَسَوفَ نُؤتيهِ أَجرًا عَظيمًا
Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.
Sementara itu, Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Mujaadilah:10,
إِنَّمَا النَّجوىٰ مِنَ الشَّيطٰنِ لِيَحزُنَ الَّذينَ ءآمَنوا
Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah daripada syaitan, supaya orang-orang yang beriman itu berduka cita
Kita pun tahu perbincangan rahsia mereka dahulu berkenaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menyebabkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibuang sehingga sampai menjadi hamba. Malah sebelum itu ada yang mencadangkan dibunuh sahaja Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ! Sekarang apabila mereka berbincang secara rahsia lagi tentulah kita tidak salah kalau ada kesangsian kerana mereka sudah mempunyai rekod buruk. Akan tetapi kita tidak tahu apakah kandungan kesemua perbincangan mereka kerana Allah ﷻ hanya menyebut kata-kata akhir salah seorang daripada mereka sahaja.
قالَ كَبيرُهُم
Berkatalah yang tertua di antara mereka:
Siapakah كَبيرُهُم itu? Ia boleh bermaksud yang paling tua antara mereka, atau yang paling dihormati di antara mereka walaupun bukan yang tertua. Dia telah mengambil keputusan dan berkata kepada adik-adiknya sebagai nasihat daripadanya. Dialah agaknya dahulu yang tidak bersetuju untuk membunuh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mencadangkan supaya dibuang sahaja ke dalam telaga. Dia tahu yang apabila mereka pulang kepada bapa mereka, dia yang akan ditanya kerana dia yang dipandang sebagai paling bertanggungjawab.
أَلَم تَعلَمُوٓاْ أَنَّ أَبَاكُم قَد أَخَذَ عَلَيكُم مَّوثِقًا مِّنَ ٱللَّهِ
“Tidakkah kamu sedia maklum bahawa sesungguhnya bapamu telah mengambil janji daripada kamu dengan nama Allah
Abang itu mengingatkan mereka dengan janji mereka dengan bapa mereka di mana mereka sudah bersumpah dengan nama Allah ﷻ dalam hal Bunyamin. Dia mengingatkan mereka yang mereka sudah berjanji kuat dengan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk membawa pulang Bunyamin. Janji itu pula adalah janji dengan bersaksikan Allah ﷻ. Maka ia bukan janji main-main yang kecil dan biasa tetapi kata-kata abang ini lebih berat lagi kepada mereka kerana dia bukan kata: “Kamu tak ingatkah?” sebaliknya dia kata: “Eh kamu tak tahukah?”. Ini mungkin kerana ada dalam kalangan adik beradik itu tidak kisah pun Bunyamin ditangkap. Mungkin mereka merasakan dahulu sudah dihalau seorang kesayangan bapa dari rumah, ini lagi seorang tidak ada, lagi lah bagus. Jadi abang yang tertua ini terpaksa mengingatkan mereka untuk faham. Tentu sebelum dia berkata ini, yang lain sudah berkata dan kalimatnya ini adalah tindakbalas darpada kata-kata mereka sahaja. Sebagai contoh kalau ada orang angkat telefon dan dia kata: “Ya, boleh” tentu kita tahu bukan dia yang mula-mula bercakap, bukan?
Maknanya abang yang ini seolah sudah ada kesedaran dan prihatin di dalam dirinya. Oleh kerana yang lain tidak sedar, maka abang ini kena ingatkan mereka dengan janji mereka dahulu seperti disebut di dalam ayat 66, di mana ada kalimah مَوثِقًا juga digunakan. Jadi di dalam mempelajari Surah Yusuf ini, ada banyak kali merujuk kepada ayat-ayat yang telah lalu.
قَالَ لَن أُرسِلَهُ ۥ مَعَڪُم حَتَّىٰ تُؤتُونِ مَوثِقًا مِّنَ ٱللَّهِ لَتَأتُنَّنِى بِهِۦۤ إِلَّآ أَن يُحَاطَ بِكُم ۖ فَلَمَّآ ءَاتَوهُ مَوثِقَهُم قَالَ ٱللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٌ
Ya’qub berkata: “Aku sekali-kali tidak akan melepaskannya (pergi) bersama-sama kamu, sebelum kamu memberikan kepadaku janji yang teguh atas nama Allah, bahawa kamu pasti akan membawanya kepadaku kembali, kecuali jika kamu dikepung musuh”. Tatkala mereka memberikan janji mereka, maka Ya’qub berkata: “Allah adalah saksi terhadap apa yang kita ucapkan (ini)”.
Maknanya abang yang ini masih terngiang-ngiang lagi janji mereka dahulu dan tentu sahaja adik-adik yang lain itu tahu, jadi kenapa dia kena tanya mereka: أَلَم تَعلَمُوٓاْ (tidakkah kalian tahu?). Kita kena ingat, ada dua jenis pengetahuan; pertama: tahu sahaja dan kedua: kesedaran. Kesedaran itulah yang kebanyakan orang tidak ada. Mereka setakat tahu sahaja tetapi ia tidak memberi kesan kepada mereka.
وَمِن قَبلُ مَا فَرَّطتُّم فِى يُوسُفَ
dan sebelum itu kamu telah gagal berkenaan Yusuf.
Dia ingatkan mereka tentang apa yang mereka lakukan terhadap adik mereka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu. Sekarang disebut nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan terang. Sebelum ini mereka tidak sebut pun nama baginda seperti di dalam ayat 77 mereka hanya beri isyarat sahaja فَقَد سَرَقَ أَخٌ لَّهُ ۥ مِن قَبلُ. Ini kerana nama baginda mungkin tidak disebut-sebut kerana kalau sebut akan mengingatkan mereka kepada dosa besar yang mereka telah lakukan. Namun kali ini abang mereka ini tidak tahan kerana dia sudah simpan terlalu lama dan sekarang dia kena luahkan. Apabila ada kalimah ما ditambah sebelum kalimah فَرَّطتُّم, ia memberi isyarat penekanan seperti dia menjerit kepada adik-adiknya itu. Dahulu mereka sudah berjanji juga untuk menjaga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan bapa mereka, tetapi akhirnya mereka telah tinggalkan adik mereka itu dalam telaga sampai diambil orang. Maka abang ini menyebut terus nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mengulang kata bapa mereka juga seperti disebut di dalam ayat 64,
قَالَ هَل ءَامَنُكُم عَلَيهِ إِلَّا ڪَمَآ أَمِنتُكُم عَلَىٰٓ أَخِيهِ مِن قَبلُ
Berkata Ya’qub: “Bagaimana aku akan mempercayakannya (Bunyamin) kepadamu, kecuali seperti aku telah mempercayakan saudaranya (Yusuf) kepada kamu dahulu?”
Amat menarik apabila dia kata فَرَّطتُم (kalian sia-siakan), bukannya ‘kita’. Adakah dia sendiri tidak terlibat? Allahu a’lam, kita tidak tahu.
Menarik juga apabila kalimah فرط digunakan dalam ayat ini. Maksudnya gagal, bertindak semberono, melampau batas, zalim. Dia mengatakan apa yang mereka lakukan terhadap Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu memang melampau. Maka ini memberi isyarat yang dia telah sedar tentang kesalahan yang dahulu itu. Begitulah manusia kadang-kadang setelah lama bergelumang dengan dosa, apabila sesuatu yang besar terjadi, ia akan menjadi peringatan kepada mereka.
Maka dari sini kita boleh kesan nada kekesalan daripada abang yang ini. Nampak dia sudah semakin sedar kesilapan mereka adik beradik telah lakukan. Dia dulu pun mungkin telah bersekongkol dengan adik-adik yang lain tetapi nampaknya dia sudah berubah. Begitulah jangan kita putus harapan dengan orang. Kadang kita lihat seseorang itu teruk sangat sampai kita tidak nampak dia akan berubah. Segala nasihat kita seolah-olah masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja. Adakah kita berhenti daripada menasihati dia? Tentu tidak. Dalam diri manusia itu ada fitrah yang Allah ﷻ telah masukkan yang kenal Tuhan dan tahu apa itu kebaikan dan apa itu keburukan. Dia mungkin sedang terpesong tetapi kita tidak tahu entah bila datang satu masa dia tersedar. Nasihat kita yang banyak nampak macam tidak diendahkan itulah yang akan berlegar dalam kepala otak dia nanti dan memandu perjalanannya hidupnya kemudian.
فَلَن أَبرَحَ ٱلأَرضَ حَتَّىٰ يَأذَنَ لِىٓ أَبِىٓ
Sebab itu aku tidak akan meninggalkan negeri Mesir ini, sampai bapaku mengizinkan kepadaku
Dia rasa malu terhadap bapa mereka seandainya kali ini pun gagal juga sampaikan dia tidak mahu pulang ke Kan’an lagi. Tidak sanggup dia hendak berjumpa bapa mereka tanpa Bunyamin kerana mungkin dalam ramai-ramai itu dia yang lebih dipercayai oleh bapanya. Biasalah dalam banyak anak-anak kita, ada yang kita lebih diharap, bukan? Jadi kalau rumah tidak kemas contohnya, dialah yang kita akan tuju dulu dengan soalan bertubi-tubi. Maka abang ini tahu yang dia yang akan disoal banyak oleh bapanya nanti sekiranya Bunyamin tidak ada. Maka abang yang paling tua itu telah membuat keputusan yang dia tidak akan pergi dari Mesir. Kalimah أَبرَحَ daripada kata dasar ب ر ح yang bermaksud meninggalkan sesuatu tempat.
Kecualilah kalau bapa mereka mengizinkannya untuk pulang. Ini kerana dia ingat perjanjian dengan bapanya itu dahulu seperti disebut di dalam ayat 66 مَوثِقًا مِّنَ ٱللَّهِ لَتَأتُنَّنِى بِهِۦۤ (janji yang teguh atas nama Allah, bahawa kamu pasti akan membawanya kepadaku kembali). Jadi dia tidak tahu sama ada kes sekarang ini termasuk di dalam hal yang telah diberi pengecualian oleh bapa mereka إِلَّآ أَن يُحَاطَ بِكُم (kecuali jika kamu dikepung). Jadi dia akan serahkan keputusan itu di tangan bapanya.
Sebenarnya dia boleh sahaja menceritakan kembali apa yang terjadi dan jelas nanti yang dia tidak bersalah pun dalam hal ini. Namun oleh kerana dia telah mula sedar dan mula prihatin, dia sangat berhati-hati. Ini sama seperti orang warak, apabila hendak buat sesuatu dia akan sangat berhati-hati sama ada perkara itu halal atau tidak, bagus atau tidak.
Dari segi balaghah, apabila kalimah لي itu ditaqdimkan (diawalkan letaknya) ia memberi isyarat eksklusif. Jadi dia mahu bapanya beritahu secara spesifik kepadanya yang dia boleh pulang, barulah dia pulang.
أَو يَحكُمَ اللهُ لي
atau Allah memberi keputusan terhadapku.
Dia tidak akan meninggalkan Mesir, kecuali sama ada bapa mereka benarkan dia pergi dari situ, atau Allah ﷻ buat keputusan tentang hal ini. Mungkin Allah ﷻ buat keputusan untuk melepaskan Bunyamin dan dapatlah dia membawa Bunyamin pulang. Atau, Allah ﷻ matikan sahaja dia di Mesir itu. Abang dia kata begitu kerana dia rasa bertanggungjawab sebagai abang yang paling tua.
وَهُوَ خَيرُ ٱلحَـٰكِمِينَ
Dan Dia adalah Hakim yang sebaik-baiknya”.
Dia serahkan kepada Allah ﷻ kerana dia sedar yang Allah ﷻ paling baik dalam membuat keputusan. Dia percaya, apa sahaja yang Allah ﷻ tentukan adalah yang terbaik. Jadi nampak sudah beriman benar dia ini. Dia juga teringat kata-kata bapanya di dalam ayat 67,
إِنِ ٱلحُكمُ إِلَّا لِلَّهِۖ عَلَيهِ تَوَكَّلتُۖ وَعَلَيهِ فلۡيَتَوَكَّلِ ٱلمُتَوَڪِّلُونَ
Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri
Begitulah kita dalam segala perkara serahkan kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ yang paling baik rancangannya. Kita kena sedar yang bukannya semua kita tahu jadi mungkin kita buat keputusan yang salah. Allah ﷻ telah beritahu kita di dalam Baqarah:216
وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Yusuf Ayat 81: Mungkin adik-adik yang lain bertanya, jadi kami bagaimana pula? Maka ini jawapan abang itu,
ٱرجِعُوٓاْ إِلَىٰٓ أَبِيكُم فَقُولُواْ يَـٰٓأَبَانَآ إِنَّ ٱبنَكَ سَرَقَ وَمَا شَهِدنَآ إِلَّا بِمَا عَلِمنَا وَمَا ڪُنَّا لِلغَيبِ حَـٰفِظِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Return to your father and say, ‘O our father, indeed your son has stolen, and we did not testify except to what we knew. And we were not witnesses of the unseen.¹
* i.e., We could not have known when we gave you the oath that he would steal and be apprehended.
(MALAY)
Kembalilah kepada bapamu dan katakanlah: “Wahai bapa kami! Sesungguhnya anakmu telah mencuri, dan kami hanya bersaksi melainkan apa yang kami ketahui, dan sekali-kali kami tidak dapat menjaga (mengetahui) barang yang ghaib.
ٱرجِعُوٓاْ إِلَىٰٓ أَبِيكُم
Kembalilah kepada bapamu
Masih lagi kata abang yang paling tua. Dia suruh adik-adiknya yang lain baliklah ke rumah. “Pergilah balik jumpa bapa, biarkan aku sahaja tunggu di sini.” Pulang itu pula hendaklah dengan berkata benar. Jangan balik seperti dahulu seperti disebut di dalam ayat 16-18,
وَجَآءُوٓ أَبَاهُمۡ عِشَآءً يَبۡكُونَ (١٦) قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَآ إِنَّا ذَهَبۡنَا نَسۡتَبِقُ وَتَرَڪۡنَا يُوسُفَ عِندَ مَتَـٰعِنَا فَأَڪَلَهُ ٱلذِّئۡبُۖ وَمَآ أَنتَ بِمُؤۡمِنٍ۬ لَّنَا وَلَوۡ ڪُنَّا صَـٰدِقِينَ (١٧) وَجَآءُو عَلَىٰ قَمِيصِهِۦ بِدَمٍ كَذِبٍ … (١٨)
Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (buat-buat) menangis. (16) Mereka berkata: “Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu dia dimakan oleh serigala; dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar”. (17) Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. (18)
فَقُولُواْ يَـٰٓأَبَانَآ إِنَّ ٱبنَكَ سَرَقَ
dan katakanlah: “Wahai bapa kami! Sesungguhnya anakmu telah mencuri,
Ini adalah pesanan dia kepada adik-adiknya itu: “Beritahulah yang anaknya Bunyamin itu telah mencuri dan ditahan di Mesir kerana kesalahannya itu.” Mereka gunakan kalimah ٱبنَكَ (anakmu) dan bukan أخانا (adik kami). Seolah mereka akan berkata: “Ingat lagi anakmu yang bapa sayang sangat itu? Ha dia sudah mencuri, bapa!”
وَمَا شَهِدنَآ إِلَّا بِمَا عَلِمنَا
dan tidaklah kami bersaksi melainkan apa yang kami ketahui,
“Dan cakaplah yang kamu tidak kata melainkan apa yang kamu tahu sahaja. Yakinkanlah bapa yang kamu tidak berbohong tetapi memang barang yang dicuri ada di dalam bekas karung Bunyamin dan kamu yang nampak sendiri kejadian itu.” Kata-kata ini ini benar kerana memang mereka tidak tahu melainkan apa yang mereka saksikan sahaja.
وَمَا ڪُنَّا لِلغَيبِ حَـٰفِظِينَ
dan sekali-kali kami tidak dapat menjaga perkara yang ghaib.
“Dan beritahu yang kamu tidak tahu tentang perkara ghaib”. Janji mereka sebelum ini untuk menjaga Bunyamin dan membawanya pulang tidak dapat ditunaikan apabila mengambil kira perkara yang di luar jangkaan mereka kerana itu adalah perkara ghaib. Ini mengajar kita yang janji melibatkan perkara yang di luar kawalan kita tidaklah termasuk janji yang dipegang. Perhatikan kalimah yang sama digunakan dengan janji mereka di dalam ayat 63,
فَأَرسِل مَعَنَآ أَخَانَا نَڪتَل وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ
biarkanlah saudara kami pergi bersama-sama kami supaya kami mendapat sukatan, dan sesungguhnya kami benar benar akan menjaganya
“Beritahulah yang kamu memang jaga dia, tetapi kamu tidak tahu yang dia akan mencuri. Katakan yang kamu sangka dia orang baik, tetapi rupanya dia mencuri barang raja pula. Mana kamu tahu kerana kamu tidak boleh baca hatinya.”
Atau tafsiran lain: “Kalaulah kami tahu dia yang mencuri, tentu kami tidak beritahu yang siapa yang mencuri akan dikenakan hukuman menjadi kuli sebagai galang gantinya.”
Atau tafsiran lain: “Kalau kami tahu Bunyamin ini pencuri, tentu kami tidak beriya-iya membawanya ke Mesir!”.
Yusuf Ayat 82: Mungkin adik beradik dia tanya lagi, bagaimana kalau bapa tidak percaya?
وَسـَٔلِ ٱلقَريَةَ ٱلَّتِى ڪُنَّا فِيهَا وَٱلعِيرَ ٱلَّتِىٓ أَقبَلنَا فِيهَاۖ وَإِنَّا لَصَـٰدِقُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And ask the city in which we were and the caravan in which we came – and indeed, we are truthful.’ “
(MALAY)
Dan tanyalah (penduduk) negeri yang kami berada di situ, dan kafilah yang kami datang bersamanya, dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar”.
وَسـَٔلِ ٱلقَريَةَ ٱلَّتِى ڪُنَّا فِيهَا
Dan tanyalah (penduduk) negeri yang kami berada di situ,
Kalau tidak percaya juga kepada anak-anaknya itu, mereka suruh baginda tanyalah kepada penduduk di sekitar Mesir yang tahu tentang kejadian itu. Mereka sedar yang mereka telah pernah menipu dahulu berkenaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, jadi mereka sudah agak bapa mereka tidak akan percaya lagi kali ini. Maka ini adalah sebagai bukti yang mereka berkata benar, tidak menipu. Tentu berita besar seperti itu ramai sudah tahu. Kalau ditangkap begitu, seperti zaman sekarang, sudah tentu masuk suratkhabar. Kalau zaman itu kena bertanya kepada sesiapa yang duduk berdekatan.
Ini mengajar kita bahawa jikalau ada kemungkinan orang tidak percaya dengan kita, maka kita hendaklah memberikan bukti atau saksi yang boleh menguatkan kata-kata dakwaan kita itu. Dalam kes mereka ini, saksi itu adalah orang-orang yang ada bersama. Maka kalau kita boleh menghilangkan salah faham orang lain, maka hilangkanlah. Begitulah yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ ketika ada sahabat yang nampak baginda berduaan dengan isteri baginda,
عَنْ صَفِيَّةَ بِنْتِ حُيَيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مُعْتَكِفًا، فَأَتَيْتُهُ أَزُورُهُ لَيْلًا، فَحَدَّثْتُهُ ثُمَّ قُمْتُ لِأَنْقَلِبَ، فَقَامَ مَعِي لِيَقْلِبَنِي، وَكَانَ مَسْكَنُهَا فِي دَارِ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ، فَمَرَّ رَجُلَانِ مِنَ الأَنْصَارِ، فَلَمَّا رَأَيَا النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَسْرَعَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: «عَلَى رِسْلِكُمَا، إِنَّهَا صَفِيَّةُ بِنْتُ حُيَيٍّ». فَقَالاَ: سُبْحَانَ اللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ! وَكَبُرَ عَلَيْهِمَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: «إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ، وَإِنِّي خَشِيتُ أَنْ يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا سُوءًا».
Daripada Safiyyah binti Huyayy رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, beliau berkata: “Nabi ﷺ sedang beriktikaf. Maka, aku datang menziarahi baginda pada waktu malam. Aku berbual dengan baginda, kemudian aku berdiri untuk kembali pulang. Baginda turut berdiri bersamaku untuk mengiringi aku pulang. Tempat tinggal Safiyyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا adalah di rumah Usamah bin Zaid. Lalu, dua orang lelaki daripada kaum Ansar melintas. Apabila mereka melihat Nabi ﷺ, mereka mempercepatkan langkah. Nabi ﷺ bersabda: “Bertenanglah kamu berdua (jangan tergesa-gesa). Sesungguhnya ini adalah Safiyyah binti Huyayy.” Kedua-duanya berkata: “Subhanallah (Maha Suci Allah), wahai Rasulullah!” (Mereka terkejut dengan tindakan baginda). Maka Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya syaitan itu bergerak dalam diri manusia melalui aliran darah. Dan sesungguhnya aku bimbang syaitan akan mencampakkan (sangkaan) buruk ke dalam hati kamu berdua.”
(Hadith Riwayat Al-Bukhari No. 2038 dan Muslim No. 2175)
وَٱلعِيرَ ٱلَّتِىٓ أَقبَلنَا فِيهَا
dan kafilah yang kami kembali bersamanya,
Atau tentu susah hendak ke Mesir, maka tanyalah kafilah lain dari Kan’an yang ada datang ke Mesir untuk mendapatkan bekalan makanan juga. Tentu ada orang lain lagi dari kampung mereka yang telah ke Mesir waktu itu dan mereka pun pulang sekali bersama rombongan mereka ke Kan’an. Tanya mereka apabila mereka sampai di Kan’an. Mereka juga pasti sudah mendengar berita ini kerana sudah kecoh kisah itu di seluruh Mesir.
وَإِنَّا لَصَـٰدِقُونَ
dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bercakap benar”.
Katakanlah yang mereka memang bercakap benar kerana mereka tahu bapa mereka tidak percayakan mereka lagi lalu jikalau bapanya mahukan bukti, maka sudah ada bukti-bukti yang jelas. Maknanya mereka tidaklah khianat kepada Bunyamin tetapi memang Bunyamin yang mencuri dan kerana itu Bunyamin ditahan di Mesir. Kalau dahulu di dalam ayat 12, mereka mereka berkata benar,
وَلَو ڪُنَّا صَـٰدِقِينَ
sekalipun kami adalah orang-orang yang benar
Namun kali ini memang mereka berkata yang benar.
Soalan Kuiz Uji Kefahaman
Jawab soalan-soalan berikut dalam dua hingga tiga ayat, berdasarkan petikan tafsir yang diberikan.
1. Apakah yang menyebabkan abang-abang Nabi Yusuf berputus asa untuk memujuk Al-Aziz (Nabi Yusuf) supaya membebaskan Bunyamin?
2. Jelaskan maksud frasa خَلَصوا نَجِيًّا dan mengapa abang-abang Nabi Yusuf perlu berbincang secara rahsia.
3. Menurut tafsir, apakah konotasi umum bagi perbincangan rahsia (نَجِيًّا) di dalam Al-Qur’an dan bagaimana ia berkaitan dengan sejarah abang-abang Nabi Yusuf?
4. Siapakah yang dimaksudkan dengan كَبيرُهُم dan apakah dua perkara utama yang beliau ingatkan kepada adik-adiknya dalam perbincangan mereka?
5. Apakah perbezaan antara “tahu” dan “kesedaran” seperti yang dihuraikan dalam konteks abang yang paling tua mengingatkan adik-adiknya tentang janji mereka?
6. Jelaskan nada penyesalan yang ditunjukkan oleh abang tertua apabila beliau menggunakan perkataan فَرَّطتُّم (kamu telah gagal) merujuk kepada peristiwa Nabi Yusuf.
7. Apakah dua syarat yang ditetapkan oleh abang yang paling tua yang akan membolehkannya meninggalkan Mesir dan pulang ke Kan’an?
8. Apakah tiga perkara yang dinasihatkan oleh abang yang paling tua untuk disampaikan oleh adik-adiknya kepada ayah mereka, Nabi Ya’qub?
9. Bagaimanakah abang-abang Nabi Yusuf cuba meyakinkan ayah mereka bahawa mereka berkata benar kali ini, berbeza dengan peristiwa pembohongan mereka mengenai Nabi Yusuf?
10. Apakah maksud “kami tidak dapat menjaga perkara yang ghaib” (وَمَا ڪُنَّا لِلغَيبِ حَـٰفِظِينَ) dalam konteks janji mereka untuk menjaga Bunyamin?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 21 November 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)


Kunci Jawapan
1. Mereka berputus asa setelah menyedari bahawa hujah mereka tidak akan berjaya mengubah keputusan Al-Aziz. Mereka telah mencuba pelbagai cara, termasuk menawarkan diri mereka sebagai galang ganti kepada Bunyamin, tetapi semuanya ditolak dengan tegas.
2. Frasa خَلَصوا نَجِيًّا bermaksud mereka mengasingkan diri untuk berbincang secara rahsia. Mereka perlu berbuat demikian kerana mereka tidak mahu perbincangan mereka didengari oleh orang ramai yang mungkin memandang serong kepada mereka selepas tuduhan kecurian dikenakan ke atas adik mereka.
3. Di dalam Al-Qur’an, نَجِيًّا (perbincangan rahsia) selalunya membawa kepada maksiat dan merupakan bisikan syaitan. Ini amat relevan dengan abang-abang Nabi Yusuf kerana perbincangan rahsia mereka pada masa lalu telah membawa kepada rancangan jahat untuk membuang Nabi Yusuf ke dalam telaga.
4. كَبيرُهُم boleh merujuk kepada abang yang paling tua atau yang paling dihormati. Beliau mengingatkan adik-adiknya tentang dua perkara: janji teguh (مَّوثِقًا) yang mereka buat dengan ayah mereka atas nama Allah untuk membawa Bunyamin pulang, dan kegagalan mereka pada masa lalu dalam menjaga Nabi Yusuf.
5. “Tahu” hanyalah pengetahuan semata-mata, manakala “kesedaran” adalah pengetahuan yang memberi kesan kepada tindakan dan perasaan seseorang. Abang tertua mengingatkan mereka tentang janji itu untuk membangkitkan kesedaran mereka, kerana walaupun mereka tahu tentang janji itu, sebahagian daripada mereka mungkin tidak mengambil berat mengenainya.
6. Nada penyesalannya jelas apabila beliau menggunakan kalimah فَرَّطتُّم yang bermaksud gagal, melampaui batas, atau zalim, menunjukkan beliau telah sedar betapa besarnya kesalahan mereka terhadap Nabi Yusuf. Penggunaan “kamu” (-tum) dan bukan “kita” juga menunjukkan kemungkinan beliau ingin menjauhkan diri daripada kesalahan tersebut, atau sekadar memberi penekanan kepada tanggungjawab adik-adiknya.
7. Dua syarat yang ditetapkan olehnya ialah: pertama, sehingga ayahnya secara khusus memberi keizinan kepadanya untuk pulang. Kedua, sehingga Allah memberikan keputusan untuknya, sama ada dengan membebaskan Bunyamin atau dengan mematikannya di Mesir.
8. Beliau menasihatkan mereka untuk (1) melaporkan dengan jujur bahawa “anakmu” (Bunyamin) telah mencuri, (2) menyatakan bahawa mereka hanya bersaksi berdasarkan apa yang mereka lihat dan ketahui sendiri, dan (3) menjelaskan bahawa mereka tidak dapat mengetahui perkara ghaib, seperti fakta bahawa Bunyamin akan mencuri.
9. Untuk membuktikan kebenaran kata-kata mereka, mereka mencadangkan agar ayah mereka bertanya kepada dua sumber bebas. Sumber pertama ialah penduduk negeri (Mesir) tempat mereka berada, dan sumber kedua ialah kafilah yang pulang bersama mereka, yang pastinya telah mendengar berita besar itu.
10. Maksudnya ialah janji mereka untuk menjaga Bunyamin tidak meliputi perkara-perkara di luar kawalan dan jangkaan mereka. Mereka tidak tahu menahu (perkara ghaib) bahawa Bunyamin akan melakukan jenayah curi, justeru penahanannya adalah sesuatu yang tidak dapat mereka halang.
LikeLike