Tafsir Surah Yusuf Ayat 77 (Tuduhan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Yusuf Ayat 77: Memang terkejut sungguh abang-abang Bunyamin dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu; kerana mereka tahu yang Bunyamin itu manusia yang baik.

قَالُوٓاْ إِن يَسرِق فَقَد سَرَقَ أَخٌ لَّهُ ۥ مِن قَبلُ‌ۚ فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِى نَفسِهِۦ وَلَم يُبدِهَا قَالَ أَنتُم شَرٌّ مَّڪَانًا‌ۖ وَٱللَّهُ أَعلَمُ بِمَا تَصِفُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “If he steals – a brother of his has stolen before.” But Joseph kept it within himself and did not reveal it to them.¹ He said, “You are worse in position, and Allāh is most knowing of what you describe.”

  • He did not answer that he himself had been stolen by them from his father.

(MALAY)

Mereka berkata: “Jika dia mencuri, maka sesungguhnya, telah pernah mencuri pula saudaranya sebelum itu”. Maka Yusuf menyembunyikannya pada dirinya dan tidak menampakkannya kepada mereka. Dia berkata (dalam hatinya): “Kamu lebih buruk kedudukanmu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu terangkan itu”.

 

قَالُوٓاْ إِن يَسرِق فَقَد سَرَقَ أَخٌ لَّهُ ۥ مِن قَبلُ‌

Mereka berkata: “Jika dia mencuri, maka sesungguhnya telah pernah mencuri juga saudaranya sebelum itu”. 

Lihatlah apa hujah mereka yang tidak patut ini. Mereka kata, kalau Bunyamin mencuri, abang kandungnya dahulu (mereka maksudkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) pun pernah mencuri juga sebelum ini. Padahal baru lagi mereka kata mereka ini bukan keturunan pencuri di dalam ayat 73: وَمَا كُنَّا سَـٰرِقِينَ (dan kami bukanlah para pencuri). Namun lihatlah sekarang mereka kata Bunyamin dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu pencuri pula, maknanya mereka hendak kata itu bukan keluarga mereka. Mereka bagaikan memberi isyarat yang kalau mencuri itu, sebab keturunan mereka memang pencuri.

Frasa إِن يَسرِق yang digunakan untuk memberi makna yang berat. Kerana kalimah إِن يَسرِق tidak sama dengan kalimah إِن سَرَِقَ. Kalau إِن سَرَِقَ yang digunakan, ia bermaksud ‘kalau dia curi waktu itu’ dan ia bermaksud sekali itu sahaja. Akan tetapi apabila digunakan kalimah إِن يَسرِق ia bermaksud ‘kalau dia mencuri’. Maksudnya bukan sekali sahaja akan tetapi sentiasa mencuri. Jadi mereka hendak beri isyarat yang Bunyamin ini bukan kali itu sahaja dia mencuri akan tetapi dia memang selalu mencuri, cuma kali ini sahaja dia tertangkap. Jadi abang-abang ini bukan sahaja kata adiknya itu mencuri piala itu sahaja malah memberi tuduhan yang lebih berat iaitu dia ini memang panjang tangan!

Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka menuduh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula. Mereka hendak kata yang Bunyamin itu bukanlah adik kandung mereka tetapi dia ada abang kandung yang lain yang juga pernah mencuri, kata mereka. Ini adalah sebuah tuduhan yang sangat berat sebenarnya. Kenapa? Kerana keluarga sendiri yang cakap. Ia memberi persepsi yang lebih kuat. Ini kerana seandainya orang luar yang cakap, ia mungkin boleh ditolak; namun kalau ahli keluarga sendiri cakap, ia lebih kuat dan lebih memberi kesan kepada orang yang mendengarnya. Ini kerana ahli keluarga kitalah yang kenal kita luar dan dalam, bukan? Orang luar hanya nampak perkara luaran sahaja tetapi ahli keluarga kenal kita semenjak kecil lagi. Jadi kalau ahli keluarga cakap sesuatu tentang kita, maka orang lebih percaya. Perkara sebegini selalu menjadi masalah kerana kadangkala kita dengan sengaja atau tidak, telah memburukkan ahli keluarga kita di hadapan orang lain. Mungkin kita melawak mengutuk ahli keluarga kita di hadapan orang lain, tetapi orang lain itu akan percaya bulat-bulat kerana kata-kata ahli keluarga itu lebih mudah dipercayai. Kerana itulah kita mestilah menjaga mulut kita dan harus prihatin dengan kesan darpada kata-kata kita. Kadangkala yang menjatuhkan nama kita adalah ahli keluarga kita sendiri, bukan?

Apakah kesan kata-kata mereka terhadap Bunyamin ini? Amat berat sekali seolah-olah keturunan Bunyamin dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu memang pencuri. Kita sebagai manusia memang ada sikap prejudis sedemikian. Jikalau terdapat seorang ahli keluarga bergelar penjenayah, seolah-olah keseluruhan ahli keluarga itu juga penjenayah. [Oh patutlah, pakcik dia pun pernah masuk penjara….]. Sedangkan prejudis ini tidak benar dan tidak patut ada sama sekali. Dalam Islam kita ada kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang bapanya sendiri penjual berhala! Adakah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ikut bapanya? Tentu tidak! Kita juga ada kisah anak Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang tidak beriman. Maknanya anak pun tidak semestinya ikut bapa, bukan? Jadi kenapa kita ada sangkaan yang ahli keluarga akan ikut perangai ahli keluarga yang lain?

Satu lagi tentang keluarga yang kita belajar di sini, kadangkala adik beradik pun tidak sokong kita malah akan memburukkan kita di belakang kita! Dan kerana itulah kita tidak boleh terima sangat kata-kata dari adik beradik tentang seseorang. Kadangkala kita kalau adik beradik yang cakap, kita boleh terus percaya kerana pada kita, “eh itu kan abang/adik dia, takkan dia tak tahu?” Sebenarnya tak boleh pakai sangat.

Ada kisah dalam kitab tafsir kenapa abang-abangnya berkata begini, tetapi belum dapat dipastikan lagi kesahihannya akan tetapi ia ada disebut di dalam kitab tafsir Ibn Kathir. Kita masukkan di sini untuk memenuhi kisah ini sebagaimana yang disebut oleh tafsir klasik. Ada dua kisah yang berasingan:

1. Sa’id ibnu Jubair telah meriwayatkan daripada Qatadah, bahawa dahulu Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pernah mencuri sebuah berhala milik datuknya daripada pihak ibu, lalu berhala itu dia pecahkan. Kisah ini adalah kisah Israiliyyat. Menurut riwayat yang lemah ini, peristiwa yang didakwa berlaku kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada masa kecil adalah seperti berikut: Datuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada pihak ibu (iaitu bapa kepada bonda baginda, Rahil) dikatakan memiliki patung atau berhala. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kerana ketaatan baginda kepada tauhid dan benci kepada penyembahan berhala, dikatakan telah mencuri berhala kecil itu dan memecahkannya (mirip dengan kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Walaupun tindakan mencuri itu salah, tujuannya dianggap mulia, iaitu untuk menentang syirik. Riwayat itu mendakwa bahawa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau anggota keluarga yang lain (sebelum mengetahui niat Yusuf) pernah mengenakan hukuman yang ringan kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atas “kecurian” ini.

Majoriti ulama tafsir menegaskan bahawa riwayat ini adalah tidak boleh dipercayai kerana ia tidak sahih. Tidak ada sanad (rantai perawi) yang sahih yang menghubungkannya kembali kepada Nabi Muhammad ﷺ. Malah ia bertentangan dengan akhlak Kenabian. Para Nabi adalah maksum (terpelihara) daripada dosa, termasuk mencuri. Walaupun niatnya baik (memecahkan berhala), tindakan mengambil harta orang lain tanpa izin dianggap sebagai perbuatan yang tidak layak disandarkan kepada seorang Nabi. Oleh itu, kisah “kecurian berhala” oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak diterima sebagai fakta sejarah yang sahih dalam akidah Islam.

2. Ini pula adalah kisah kedua. Muhammad ibnu Ishaq telah meriwayatkan daripada Abdullah ibnu Abu Nujaih, yang meriwayatkan daripada Mujahid yang mengatakan, “Menurut berita yang sampai kepadaku, mula-mula musibah yang menimpa diri Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ialah disebabkan makciknya, iaitu anak perempuan Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Makciknya itu adalah anak tertua Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dialah yang memiliki tali pinggang peninggalan Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka mewarisinya secara turun-menurun bagi orang yang paling tua di antara mereka. Dan tersebutlah bahawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dituduh menyimpan ikat pinggang itu daripada makciknya yang memeliharanya, sehingga dirinya menjadi milik makciknya yang memperlakukannya menurut apa yang dikehendaki­nya.

Bagaimana kisahnya? Tersebutlah bahawa ketika Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempunyai anak (iaitu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipelihara oleh makciknya (kerana ibunya telah meninggal dan baginda perlukan belaian seorang wanita) yang sangat mencintainya dengan kecintaan yang sangat mendalam. Sampaikan tidak lekang dari pandangan matanya. Selang beberapa tahun kemudian, ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertambah besar, maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ merasa rindu terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Lalu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang untuk mengambil Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan berkata, ‘Wahai saudara perempuanku, kembalikanlah Yusuf kepadaku. Demi Allah, aku tidak kuat lagi berpisah dengannya barang sesaat pun.’ Makcik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab, ‘Demi Allah, aku tidak akan membiarkannya terlepas daripadaku.’ Kemudian makcik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, ‘Biarkanlah Yusuf berada di rumahku beberapa hari lagi, aku akan mempertimbangkannya, barangkali sahaja pendapatku berubah.’ atau alasan lainnya. Setelah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar dari rumah makcik Yusuf, maka dengan sengaja makcik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengambil tali pinggang Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, lalu dia ikatkan di pinggang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, di bawah bajunya. Setelah itu dia berpura-pura mengatakan dia kehilangan tali pinggang Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, lalu dia memerintahkan kepada semua orang untuk mencari siapa orang yang mengambilnya. Makcik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berpura-pura sibuk mencari-cari tali pinggang itu, lalu dia berkata, ‘Periksalah semua ahli rumah.’ Lalu mereka memeriksa semua ahli rumah, dan ternyata mereka mendapati tali pinggang itu ada pada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka makcik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, ‘Demi Allah, sesungguhnya Yusuf sejak sekarang telah menjadi milikku, aku menguasainya sepenuhnya menurut apa yang aku kehendaki.’

Ketika Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang kepada makcik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan makcik itu telah menceritakan peristiwa itu (yang direkayasa olehnya), maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata kepada saudara perempuannya, ‘Jika dia memang mengambilnya, maka dia diserahkan kepadamu secara utuh, aku tidak dapat berbuat apa-apa lagi selain itu.’ Maka makcik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memegang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mempunyai kekuasaan apa pun untuk merenggut Yusuf dari tangan makciknya itu, hinggalah makciknya itu meninggal dunia. Setelah itu barulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kembali kepada ayahnya.

Mujahid mengatakan bahawa hal itulah yang dimaksudkan oleh saudara-saudara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam pembelaan diri mereka di saat saudara mereka dituduh mencuri seperti disebut di dalam ayat ini. Akan tetapi sebenarnya perkara itu tidaklah benar kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebenarnya tidak mencuri dan mereka pun tahu apa yang terjadi. Mereka cakap begitu kerana hendak menghina Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin. Mereka hendak kata, mereka 10 adik beradik yang baik sedangkan dua beradik itu (Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin) yang ada masalah. Mereka hendak kata ini keturunan yang berlainan dengan ibu mereka. Mereka sanggup cakap begitu kerana mereka hendak menghilangkan aib mereka. Begitulah kadang-kadang ada manusia yang buat begini.

3. Mungkin yang mereka maksudkan adalah ‘curi’ hati bapa mereka. Cinta yang sepatutnya diberikan sama rata telah dicuri oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sehinggakan bapa mereka sayangkan baginda sahaja.

Riwayat-riwayat di atas telah dikongsi oleh golongan tabein dan tabi’ tabein untuk menjelaskan ayat ini. Akan tetapi golongan sahabat tidak sampaikan riwayat ini kepada mereka dan mereka hanya melihat kepada teks ayat dan mereka mentafsir mengikut apa yang ada sahaja. Jadi pada mereka, (tanpa melihat kepada kisah yang lain), mengatakan ini adalah tohmahan daripada abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu terhadap baginda lagi. Seolah tidak cukup mereka telah susahkan hidup baginda dan sekarang mereka tambah lagi dengan penghinaan terhadap kedudukan baginda dengan mengatakan baginda pencuri. Padahal baginda tidak pernah mengganggu hidup mereka dan baginda telah lama tidak bertemu dengan mereka. Namun begitulah, masih ada lagi kebencian mereka itu terbuku di dalam hati mereka, sampaikan di sini pun mereka mengambil peluang untuk memburukkan baginda!

Inilah dosa pertama iblis iaitu dengki terhadap Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Malah dia sudah berjaya pun menyebabkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diturunkan ke bumi dari syurga bersama dengan isterinya Hawwa’. Kemudian anak-anak Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun diganggunya lagi. Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun sudah lama wafat. Adakah iblis berhenti? Tidak! Punyalah dia dengki dan benci kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, anak cucu keturunan baginda pun dia akan ganggu sampailah ke Hari Kiamat nanti!

 

فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِى نَفسِهِۦ

Maka Yusuf menyembunyikannya itu pada dirinya

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendengar sahaja tuduhan buruk yang mereka lemparkan itu tanpa membalas apa-apa. Bayangkan betapa susahnya hendak menahan diri apabila diri sendiri yang dikutuk di hadapan kita! Walaupun baginda dikutuk dan perkara yang mereka kata itu adalah satu penipuan, tetapi baginda tahan sahaja dalam dirinya. Nama Nabi  Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu disebut pun kerana sudah disebut sebelum ini, tetapi Allah ‎ﷻ sebut namanya di sini untuk memberi isyarat bahawa betapa berat apa yang baginda terpaksa lakukan itu (menyembunyikan dalam diri baginda). Jadi apakah yang baginda sembunyikan di dalam hati baginda?

1. Yang disembunyikan ialah kata-kata balas yang keras yang lahir daripada rasa marah dan kejengkelannya terhadap tuduhan palsu tersebut, iaitu akan disebut selepas ini yang baginda hanya sebut di dalam hati sahaja. Seandainya baginda mahu balas malah mahu hukum mereka pun tentu sahaja boleh kerana baginda di kedudukan yang berkuasa untuk melakukannya. Baginda tidak menyuarakan kata-kata ini secara lantang dan tidak menampakkannya kepada mereka) kerana baginda berada dalam fasa pelaksanaan rancangan Allah ‎ﷻ untuk menahan Bunyamin dan tidak mahu mendedahkan identitinya atau merosakkan strategi tersebut.

2. Menyembunyikan identiti sebenar baginda dan rahsia rancangan. Secara tersirat, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga menyembunyikan identitinya sebagai Yusuf (kerana pendedahan akan merosakkan seluruh plot). Baginda juga menyembunyikan rahsia bahawa Bunyamin tidak bersalah dan tindakan meletakkan piala itu adalah sebahagian daripada strategi yang diatur olehnya (dengan izin Allah ﷻ) untuk menahan adiknya.

3. Menyembunyikan kemarahan yang tinggi terhadap mereka. Baginda boleh sahaja menangkap mereka dan seksa mereka ketika itu juga kerana baginda ada kuasa. Akan tetapi baginda tidak mengambil tindakan sebegitu kerana bukan itu rancangan baginda. Baginda hendak mendidik mereka dan memberi kesedaran kepada mereka, bukannya hendak menghukum dan membalas dendam. Kalau baginda terus ambil tindakan menghukum mereka dan menghancurkan mereka, mungkin mereka masih tidak sedar diri malah mungkin akan menyimpan dendam pula kepada baginda dan ini tidak dapat mendidik mereka.

Akan tetapi, dhomir di dalam kalimah فَأَسَرَّهَا adalah هَا iaitu feminin. Tidak disebut secara pasti maka ada beberapa kemungkinan selain daripada yang telah disebut di atas.

1. الْكَلِمَةُ (Al-Kalimah). Perkataan atau ucapan. Ia merujuk kepada ucapan balas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang disembunyikan iaitu yang akan disebut selepas ini: أَنتُمْ شَرٌّ مَّكَانًا. Baginda boleh sahaja terus sembur kepada mereka, akan tetapi baginda simpan.

2. الْقَوْلَةُ (Al-Qawlah). Satu ucapan atau kata-kata. Ini sama seperti Al-Kalimah.

3. النَّفْسُ (An-Nafs). Jiwa, Diri, atau Hati. Ia merujuk kepada perkara yang terpendam di dalam hati (An-Nafs) iaitu rasa benci atau marah terhadap tuduhan palsu itu, dan kebencian ini adalah natijah kemarahan.

4. الْمَسْأَلَةُ (Al-Mas’alah). Perkara atau isu (yang hendak dibalas). Ia merujuk kepada isu perbalahan yang disembunyikan.

 

وَلَم يُبدِهَا

dan tidak menampakkannya kepada mereka.

Potongan ayat tadi sudah jelas yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menahan sahaja diri baginda daripada bercakap untuk mempertahankan diri baginda, tetapi Allah ‎ﷻ tambah pula lagi: baginda tidak tunjukkan apa yang dalam hatinya. Sebenarnya kalau tidak sebut pun kita sudah faham, jadi kenapa diulang? Kerana apa yang baginda simpan dan tahan di dalam hatinya itu amat berat. Ia juga bermaksud baginda tidak tunjukkan pada muka baginda kerana kadangkala kita tidak bercakap, tetapi boleh nampak tanda kemarahan pada riak wajah kita.

Maksudnya, baginda terpaksa menahan bersungguh-sungguh. Ini kerana baginda mempunyai rancangan tidak boleh digagalkan dengan tuduhan mereka itu. Ini adalah satu sunnah yang kita belajar daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ iaitu menahan marah. Allah ﷻ sebut sifat orang Mukmin di dalam Ali Imran:134

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

Ini adalah kesabaran yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebenarnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah terlalu banyak bersabar sepanjang kehidupan baginda. Kita telah belajar bagaimana baginda dibenci oleh abang-abangnya sampai baginda dibuang ke dalam telaga, baginda bersabar; baginda bersabar apabila dijual; baginda bersabar menjadi hamba; baginda bersabar walaupun telah dimasukkan ke dalam penjara dengan cara yang zalim. Jadi sepanjang kehidupan baginda, sabar adalah pakaian baginda. Namun kali ini sabar baginda lain sedikit kerana sebelum itu sabar baginda kerana memang terpaksa bersabar kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Sebaliknya pada kali ini baginda ada kekuasaan untuk membalas dan ini merupakan sabar peringkat lain. Kita memang senang bersabar kerana terpaksa redah jem, kerana duit tidak ada, kehilangan seseorang dan sebagainya; kerana memang kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa pun, kecuali sabar. Namun bolehkah kita bersabar kalau kita mampu membalas kepada orang yang membuat salah terhadap kita? Jadi ayat ini adalah dakwah kepada kita untuk bersabar walaupun kita ada kekuatan untuk membalas.

 

قَالَ أَنتُم شَرٌّ مَّڪَانًا‌

Dia berkata (dalam hatinya): “Kamu lebih buruk kedudukanmu

Baginda menahan dalam hatinya dan baginda hanya berkata dengan dirinya sahaja. Bagaimana kita tahu yang baginda bercakap dalam hati sahaja? Kerana sebelum ini telah disebut: فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِى نَفسِهِۦ وَلَم يُبدِهَا (Maka Yusuf menyembunyikan kejengkelan itu pada dirinya dan tidak menampakkannya kepada mereka).

Maka Allah ‎ﷻ sampaikan kepada kita apa yang ada dalam hatinya itu: “Kamu lebih teruk kerana kamu telah menjual adik kamu sendiri. Kamu semua sebenarnya pencuri yang terbesar sekali.” Juga boleh bermaksud: “Kamu sangka Bunyamin di dalam kedudukan yang buruk kerana dituduh mencuri? Kedudukan kamu sebenarnya yang lebih teruk daripada itu!” Ia juga boleh bermaksud: “Sekarang kedudukan kamu lebih teruk dari dahulu… dahulu kamu buat zalim kepada aku kerana mahukan cinta ayah… tapi sekarang aku sudah tidak ada dengan ayah pun tetap kamu memburukkan aku!” Baginda bercakap dalam hati sahaja untuk memendam perasaan baginda setelah mendengar pembohongan abang-abangnya itu. Baginda masih tidak mahu rahsia terbongkar lagi. Akan tiba masanya nanti.

 

وَاللهُ أَعلَمُ بِما تَصِفونَ

dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu terangkan itu”.

Kalau tadi baginda berkata dalam dirinya, frasa ini mungkin disebut secara nyata. Atau, ia boleh juga masih di dalam hati baginda. Allah ‎ﷻ tahu apa jenis kamu ini. Allah ‎ﷻ tahu kebenaran tentang penipuan kamu itu. Allah ‎ﷻ lebih tahu apakah penipuan yang kamu sedang lakukan itu. Baginda tidak boleh membantah dan menjawab tuduhan mereka itu sekarang, namun tidak mengapa kerana Allah ﷻ tahu.

Begitulah kadang-kadang kita tidak boleh hendak membalas tuduhan yang datang daripada orang lain. Kadangkala kita tidak ada kekuatan dan tidak didengar orang, mungkin kita berada di dalam kedudukan yang lemah. Maka ketika itu yang kita boleh ingat adalah tidak mengapa, asalkan Allah ﷻ tahu aku tidak bersalah. Zaman sekarang semakin senang tuduhan dilemparkan terhadap orang lain, bukan? Kerana wujudnya fitnah media massa yang dengan sekali klik sahaja berjuta orang boleh terima dan berjuta juga orang percaya. Kita pula kalau beri penjelasan pun orang sudah tidak dengar dan baca. Maka ketika itu kita boleh pujuk diri kita dengan ingat bahawa Allah ﷻ tahu siapa betul dan siapa salah. Biarlah manusia tidak tahu asalkan Allah ﷻ tahu kerana Allah ﷻ nanti yang akan menghukum di akhirat kelak jika bukan di dunia ini.

Penggunaan kalimah تَصِفونَ seringkali diguna di dalam Al-Qur’an bagi kata-kata yang di dalamnya terselit pembohongan. Ini adalah kali kedua kalimah ini digunakan terhadap mereka. Perhatikan kata-kata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika mereka menipu dahulu sebagaimana disebut di dalam ayat 18,

وَجَآءُو عَلَىٰ قَمِيصِهِۦ بِدَمٍ كَذِبٍ۬‌ۚ قَالَ بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمۡرًا‌ۖ فَصَبرٌ جَمِيلٌ۬‌ وَٱللَّهُ ٱلمُستَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ
Mereka datang membawa bajunya (yang berlumuran) dengan darah palsu. Ya’qub berkata: “Sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu; maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan”.

Maka ketika itu mereka berbohong di hadapan bapa mereka dan sekali lagi mereka berbohong di hadapan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya ini adalah seperti kaitan antara apa yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cakap dan lebih kurang sama dengan apa yang dikatakan oleh bapanya. Walaupun Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mendengar pun kata-kata bapanya itu ketika itu kerana baginda tidak ada di situ tetapi Allah ‎ﷻ aturkan agar sama sahaja kata-kata mereka. Kedua-dua mereka menyerahkan urusan perbuatan adik beradik ini kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ lebih mengetahui apa yang mereka lakukan. Ini mengajar kita yang ada ajaran daripada bapanya yang digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebagai contoh di dalam kes ini, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentu telah mengajar anaknya tentang kesalahan manusia yang bercakap benda yang tidak benar (تَصِفُونَ). Pelajaran ini begitu utuh dipegang oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semenjak kecil sampai mencapai usia dewasa.

Pengajaran bagi kita adalah kita mestilah memberi pelajaran agama kepada anak-anak kita. Jangan serahkan sahaja kepada sekolah agama yang kita hantar mereka kerana tanggungjawab mengajar itu tetap di tangan kita. Jangan kita hanya penuhi tanggungjawab kita untuk memberi makan pakai sahaja. Banyak yang mereka perlu belajar daripada kita. Tambahan pula zaman sekarang kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada segala macam dogma dan ajaran di luar sana. Maka sangatlah bahaya sekiranya mereka terpengaruh dengan ajaran yang salah.

 

 

Kuiz Jawapan Pendek

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda terhadap teks tafsir yang diberikan.

1. Apakah tuduhan yang dilemparkan oleh abang-abang Nabi Yusuf terhadap Bunyamin, dan bagaimana mereka mengaitkannya dengan Nabi Yusuf?

2. Bagaimanakah tuduhan tersebut bercanggah dengan kenyataan mereka sebelum ini dalam ayat 73?

3. Apakah perbezaan makna antara frasa إِن يَسرِق yang digunakan oleh abang-abangnya dengan إِن سَرَِقَ?

4. Mengapakah tuduhan yang datang daripada ahli keluarga sendiri dianggap lebih berat dan memberi kesan yang lebih kuat?

5. Sebutkan secara ringkas dua riwayat (kisah) yang tidak sahih yang disebut dalam kitab tafsir untuk menjelaskan mengapa abang-abangnya membuat tuduhan tersebut.

6. Apakah reaksi segera Nabi Yusuf apabila mendengar tuduhan palsu yang dilemparkan terhadapnya dan Bunyamin?

7. Tafsir tersebut menyatakan kesabaran Nabi Yusuf kali ini berada pada tahap yang berbeza. Jelaskan mengapa.

8. Walaupun Nabi Yusuf menahan diri, apakah yang baginda katakan di dalam hatinya sebagai balasan terhadap tuduhan abang-abangnya?

9. Apakah kepentingan penggunaan kalimah تَصِفُونَ dan di manakah lagi kalimah ini digunakan dalam Surah Yusuf menurut tafsir?

10. Apakah pengajaran tentang keibubapaan yang dapat diambil daripada penggunaan kalimah تَصِفُونَ oleh Nabi Yusuf?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
Israiliyyat
Kisah atau riwayat yang berasal daripada sumber Yahudi atau Kristian. Tafsir ini menyatakan bahawa kesahihan riwayat sebegini sering kali diragui dan tidak boleh dipercayai, terutamanya jika ia bercanggah dengan akidah Islam.
Maksum
Terpelihara daripada melakukan dosa. Ini adalah sifat yang dimiliki oleh para Nabi, dan ia menjadi hujah utama mengapa riwayat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencuri ditolak oleh majoriti ulama.
Sanad
Rantai perawi yang menghubungkan sesuatu riwayat atau hadith kembali kepada sumber asalnya. Ketiadaan sanad yang sahih menyebabkan sesuatu riwayat itu dianggap lemah atau tidak boleh diterima.
إِن يَسرِق (In Yasriq)
Frasa dalam bahasa Arab yang bermaksud “jika dia (sentiasa) mencuri”. Ia menunjukkan perbuatan yang berulang-ulang atau tabiat, menjadikannya satu tuduhan yang lebih berat berbanding perbuatan sekali sahaja.
إِن سَرَِقَ (In Saraqa)
Frasa dalam bahasa Arab yang bermaksud “jika dia mencuri (pada waktu itu)”. Ia merujuk kepada satu perbuatan mencuri yang tunggal.
تَصِفُونَ (Tasifun)
Perkataan dalam bahasa Arab yang sering digunakan dalam Al-Qur’an untuk menggambarkan kata-kata, penerangan, atau cerita yang di dalamnya terkandung unsur pembohongan atau rekaan atau tuduhan palsu.
فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِى نَفسِهِۦ (Fa’asarraha Yusufu fi nafsihi)
Potongan ayat yang bermaksud “Maka Yusuf menyembunyikannya pada dirinya”. Ia merujuk kepada tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menahan kemarahan, menyembunyikan identitinya, dan tidak membalas tuduhan palsu abang-abangnya.
Dhomir
Kata ganti nama (pronoun) dalam tatabahasa Arab. Tafsir ini membincangkan kemungkinan rujukan kepada dhomir feminin ‘هَا’ dalam kalimah فَأَسَرَّهَا.
Sabar
Kesabaran. Tafsir ini membezakan antara sabar ketika tidak mempunyai pilihan (kerana lemah) dan sabar pada peringkat yang lebih tinggi, iaitu ketika mempunyai kuasa untuk membalas tetapi memilih untuk tidak melakukannya.
Tafsir
Huraian, penjelasan, atau interpretasi ayat-ayat Al-Qur’an. Sumber konteks ini adalah sebahagian daripada sebuah karya tafsir.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 77 (Tuduhan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz
    1. Abang-abang Nabi Yusuf menuduh Bunyamin dengan berkata, “Jika dia mencuri, maka sesungguhnya, telah pernah mencuri pula saudaranya (Nabi Yusuf) sebelum itu.” Mereka cuba memberi isyarat bahawa perbuatan mencuri adalah sifat keturunan Bunyamin dan Yusuf, yang berbeza daripada mereka.
    2. Tuduhan itu bercanggah dengan kenyataan mereka dalam ayat 73, di mana mereka menegaskan وَمَا كُنَّا سَـٰرِقِينَ (dan kami bukanlah para pencuri). Ini menunjukkan mereka cuba melepaskan diri dan memburukkan adik-adik mereka yang berlainan ibu.
    3. Frasa إِن يَسرِق bermaksud “kalau dia sentiasa mencuri,” yang memberi isyarat bahawa Bunyamin adalah seorang pencuri tegar (panjang tangan). Manakala, frasa إِن سَرَِقَ hanya akan bermaksud “kalau dia curi waktu itu,” merujuk kepada satu kejadian sahaja. Penggunaan إِن يَسرِق merupakan tuduhan yang lebih berat.
    4. Tuduhan daripada ahli keluarga dianggap lebih berat kerana orang luar lebih cenderung untuk mempercayainya. Ini kerana ahli keluarga dianggap lebih mengenali seseorang secara mendalam, luar dan dalam, sejak kecil lagi, berbanding orang luar yang hanya melihat aspek luaran.
    5. Dua riwayat yang tidak sahih itu ialah: pertama, kisah Israiliyyat di mana Nabi Yusuf didakwa mencuri dan memecahkan berhala milik datuknya. Kedua, kisah di mana makcik Nabi Yusuf merekayasa satu “kecurian” tali pinggang peninggalan Nabi Ishaq untuk menahan Nabi Yusuf di bawah jagaannya kerana terlalu menyayanginya.
    6. Nabi Yusuf menyembunyikan kemarahan dan kejengkelannya terhadap tuduhan tersebut di dalam dirinya (فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِى نَفسِهِۦ). Baginda tidak membalas tuduhan itu secara lisan dan tidak menunjukkannya pada raut wajahnya agar rancangannya untuk menahan Bunyamin tidak gagal.
    7. Kesabaran Nabi Yusuf kali ini berbeza kerana baginda berada dalam kedudukan yang berkuasa untuk membalas dan menghukum abang-abangnya. Sebelum ini, kesabarannya adalah ketika baginda tidak mempunyai kuasa (dibuang ke dalam telaga, dijual, dipenjara), tetapi kini baginda bersabar walaupun mempunyai kekuatan untuk bertindak.
    8. Di dalam hatinya, Nabi Yusuf berkata, أَنتُم شَرٌّ مَّڪَانًا‌ (Kamu lebih buruk kedudukanmu). Ini merujuk kepada kejahatan mereka yang lebih besar, iaitu menjual adik kandung mereka sendiri, menjadikan mereka pencuri yang sebenar.
    9. Kalimah تَصِفُونَ sering digunakan dalam Al-Qur’an untuk merujuk kepada kata-kata yang mengandungi pembohongan. Kalimah ini sebelumnya digunakan oleh bapa mereka, Nabi Ya’qub dalam ayat 18, ketika abang-abangnya membawa baju Yusuf dengan darah palsu.
    10. Penggunaan kalimah yang sama oleh Nabi Yusuf menunjukkan bahawa ajaran daripada ayahnya (Nabi Ya’qub) tentang kesalahan bercakap bohong telah dipegang teguh sehingga dewasa. Ini memberi pengajaran kepada ibu bapa agar bertanggungjawab memberi didikan agama kepada anak-anak dan tidak menyerahkannya kepada pihak sekolah semata-mata.

    Like

Leave a comment