NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ MENJADI MENTERI
Yusuf Ayat 54: Sekarang masuk ke dalam Keadaan ke 9 di mana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberi jawatan. Apabila selesai pengadilan kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kebenaran telah terzahir, maka Raja Mesir berkenan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Raja telah sedar yang baginda adalah seorang yang amat baik dan mulia – bayangkan baginda tidak memalukan tuan rumah dan isterinya. Baginda cuma mahukan kebenaran sahaja dan baginda tidak mengaibkan mereka kerana baginda kenang jasa tuannya yang telah mengambil dan menjaganya semenjak kecil lagi. Walaupun baginda ada peluang, baginda tidak beritahu apa yang berlaku pun, cuma minta diselidiki sahaja. Malah baginda tidak kata pun yang wanita itu hendak melakukan maksiat, cuma hendak goda sahaja. Baginda mahu biarlah perkara tersebut lepas begitu sahaja. Ternyata ini adalah salah satu daripada kehebatan sifat baginda.
وَقَالَ ٱلمَلِكُ ٱئتُونِى بِهِۦۤ أَستَخلِصهُ لِنَفسِىۖ فَلَمَّا كَلَّمَهُ ۥ قَالَ إِنَّكَ ٱليَومَ لَدَينَا مَكِينٌ أَمِينٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the king said, “Bring him to me; I will appoint him exclusively for myself.” And when he spoke to him, he said, “Indeed, you are today established [in position] and trusted.”
(MALAY)
Dan raja berkata: “Bawalah Yusuf kepadaku, agar aku memilih dia sebagai orang yang rapat kepadaku”. Maka tatkala raja telah bercakap-cakap dengan dia, dia berkata: “Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami”.
وَقَالَ الْمَلِكُ ائْتُونِي بِهٖٓ
Dan raja berkata: “Bawalah dia kepadaku,
Setelah perbicaraan selesai, maka raja mengarahkan untuk dibawakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepadanya kerana beliau mahu berjumpa dengan insan mulia itu. Raja suruh bawa menghadap di istana.
أَستَخلِصهُ لِنَفسي
agar aku memilih dia sebagai orang yang khusus kepadaku”.
Oleh kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang yang istimewa, maka raja berkenan mengkhususkannya kepada dirinya. Maknanya menasihati terus raja dan bukan duduk di bawah menteri lain-lain. Raja mahu memberikan kedudukan yang rapat dengannya. Raja hendak menjadikannya sebagai penasihat diraja. Ini penting kerana raja memerlukan seorang yang baginda benar-benar percaya disebabkan telah terbukti penasihat yang ada di sekeliling hanya ‘punahsihat’ sahaja tidak dapat membantu.
Kadangkala orang yang duduk di bawah dan amanah tidak didengari suara mereka. Selalunya di dalam pemerintahan kerajaan, ada hierarki orang bawahan. Orang bawahan tidak boleh terus melangkau bersuara dan mengadu atau memberi idea terus kepada Perdana Menteri. Terdapat JKKKK, kemudian peringkat daerah, peringkat negeri, barulah peringkat kerajaan. Ini memang kena ada kerana kalau tidak, kacau bilau pula sekiranya Perdana Menteri kena dengar semua keluhan atau kata-kata orang daripada setiap kampung sana. Akan tetapi kekurangan dalam sistem hierarki ini adalah kadangkala pemimpin di peringkat tengah tidak suka kalau orang bawahan datang dengan idea baru. Jadi idea itu akan dimatikan begitu sahaja. Sedangkan mungkin idea itu bernas.
Maka raja hendak mengambil Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang beliau percayai supaya baginda tidak perlu melaporkan kepada sesiapa melainkan terus kepada raja sahaja. Beliau sudah nampak kehebatan peribadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ serta mempunyai banyak kelebihan dan kelebihan itu akan disenyapkan sekiranya baginda diletakkan di bawah sebuah jawatankuasa yang tidak dapat menghargai baginda.
فَلَمَّا كَلَّمَهُ ۥ
Maka tatkala raja telah bercakap-cakap dengan baginda,
Setelah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tiba di istana, raja dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbual-bual – sama seperti sesi temuduga jugalah. Namun raja sebenarnya sudah kagum dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan perjumpaan ini sebagai pemutus kepada sangkaan raja. Kadangkala kita sudah dengar tentang seseorang sebagai hebat, tetapi kita hendak pastikan dengan berjumpa dia sendiri, bukan? Kadangkala setelah bertemu memang kita dapat sahkan akan kata-kata tentang orang itu memang benar, benar dia hebat; sebaliknya ada juga yang indah khabar dari rupa sahaja. Yang dikatakan gah itu bukanlah hebat mana.
Di dalam perjumpaan ini, mereka mungkin berbincang berdua sahaja. Antaranya mungkin menceritakan keadaan Mesir dan kepentingan menjaga agihan makanan dan sebagainya. Raja meminta Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menta’bir sekali lagi mimpinya dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sekali lagi telah melakukannya dan juga baginda telah memberi nasihat kepada raja akan apa yang perlu dilakukan. Baginda menekankan yang tugas itu perlu diberikan kepada orang yang pandai menjaga perkara itu. Baginda sedar tidak ada menteri yang boleh diharapkan untuk menjaga perkara penting ini.
Selain itu ada dikatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbicara dengan raja itu dengan berbagai bahasa. Raja itu pun tahu banyak bahasa akan tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu juga Bahasa Arab dan Ibrani yang raja itu tidak tahu. Ini telah menyebabkan raja semakin kagum dengan baginda. Tentunya dengan melihat perawakan dan air muka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun raja akan tertawan sebagaimana juga Al-Aziz dahulu ketika membeli baginda.
قالَ إِنَّكَ اليَومَ لَدَينا مَكينٌ أَمينٌ
dia berkata: “Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami”.
Raja amat berkenan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka raja telah menawarkan kedudukan yang rapat dengannya dan kedudukan itu akan kekal dan selamat. Nama jawatan tidak disebut di sini tetapi ia adalah kedudukan yang hebat dan tinggi di istana. Ini kita dapat faham melalui kalimah مَكينٌ yang digunakan. Ini penting kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah mempunyai musuh kerana kes terdahulu. Jadi raja menawarkan kedudukan tinggi yang selamat untuk baginda dan baginda bagaikan terus naik menjadi orang nombor dua di Mesir dan tidak boleh diganggu gugat lagi oleh sesiapa yang hendak menjatuhkan baginda. Ia adalah kedudukan yang tinggi dan kita boleh perhatikan Allah ﷻ gunakan kalimah ini untuk kedudukan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut dalam Takwir:20
ذي قُوَّةٍ عِندَ ذِي العَرشِ مَكينٍ
yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai ‘Arsy,
Dalam ayat ini Allah ﷻ menyebut Arsy dan bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula, seolah-olah baginda diberikan kedudukan duduk di sebelah takhta raja. Perhatikan kalimah yang digunakan adalah لَدَي dan bukan عند. Kalau عند, ia hanya bermaksud dekat sahaja akan tetapi apabila لَدَي digunakan, ia membawa betul-betul di sisi. Jikalau raja itu duduk di singgahsana, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan duduk di sebelahnya.
Kalimah مَكينٌ juga memberi isyarat yang ia adalah kedudukan yang tetap, bukan sementara. Jadi ia bukanlah kedudukan sementara dan raja sudah membuat keputusan itu adalah kedudukan tetap bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Malah ia terus diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkuatkuasa hari itu juga kerana digunakan kalimah اليَومَ (hari ini). Selalunya jikalau kita menawarkan pekerjaan kepada seseorang, selalunya mereka disuruh datang minggu hadapan atau tunggu permulaan bulan yang baru, bukan? Sebaliknya raja terus beri kedudukan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada hari itu juga.
Kalimah أَمينٌ bermaksud Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipercayai dengan sepenuhnya oleh raja. Maknanya, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi orang kepercayaan raja dan ini adalah kedudukan yang tinggi dan istimewa dalam negara. Rahsia kerajaan di dalam tangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selepas ini. Mungkin pangkat ini tidak ada sebelum itu dan raja baru mewujudkannya kerana sebelum itu tidak ada orang yang raja percaya sepertimana beliau percaya kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Sebenarnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ada membuat apa-apa pun lagi. Baginda baru menta’bir mimpi raja dan kemudian berbual-bual dengan raja. Akan tetapi raja terlalu kagum dan percaya kepada baginda. Kenapa? Kerana dalam dunia terlalu ramai orang bermuka-muka dan tidak boleh dipercayai, apabila ada orang yang kita nampak benar-benar jujur, maka kita akan terkejut dan kagum.
Yusuf Ayat 55: Ini pula adalah cadangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda tidak mahu pangkat yang semata-mata pangkat sahaja tanpa tanggungjawab. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun telah memberitahu apa yang perlu dilakukan supaya keselamatan rakyat Mesir terjaga. Namun mungkin raja pun pening bagaimana hendak menjalankan urusan itu, maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi jalan kepada raja dengan mencadangkan diri baginda sendiri. Baginda tidak mahu kedudukan istimewa yang telah dicadangkan oleh raja itu. Kalau setakat duduk sebelah, nanti kerja baginda hanyalah setakat menta’bir mimpi raja sahaja atau pun sekadar menjadi Nujum Pak Belalang mencari barang hilang sahaja. Seandainya orang lain ditawarkan jawatan penasihat raja itu tentu mereka akan terima dan sangat gembira, tetapi tidak bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
قَالَ ٱجعَلنِى عَلَىٰ خَزَآٮِٕنِ ٱلأَرضِۖ إِنِّى حَفِيظٌ عَلِيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Joseph] said, “Appoint me over the storehouses of the land. Indeed, I will be a knowing guardian.”
(MALAY)
Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”.
قَالَ ٱجعَلنِى عَلَىٰ خَزَآٮِٕنِ ٱلأَرضِ
Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku penjaga ke atas khazanah bumi
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu kepentingan maklumat daripada mimpi itu dijalankan dengan baik. Ini kerana sekiranya tidak dijalankan dengan baik, negara Mesir akan berdepan dengan masalah yang genting. Sampai boleh jadi, ramai yang akan mati kerana kebuluran. Seandainya mahu mengharapkan ahli politik yang lain, ia akan punah juga kerana mereka tidak boleh diharap. Sepertimana zaman sekarang, bantuan kemanusiaan kadangkala tidak sampai kepada orang yang sepatutnya kerana yang diamanahkan untuk mengurus tidak pandai melainkan pandai sakau sahaja. Oleh itu, baginda tolak jawatan rapat dengan raja dan minta dijadikan sebagai bendahara negara. Ini adalah kerana baginda tidak nampak orang lain yang boleh buat kerja itu. Oleh kerana baginda tahu kepentingan kerja itu jadi baginda minta biarlah baginda sendiri yang menguruskannya.
Mungkin ada yang nampak macam baginda gila kuasa pula, tetapi ini adalah perkara yang benar-benar yang baginda buat. Ini kerana baginda yakin yang bagindalah yang patut menguruskannya. Bagaimana pula dengan hadith yang menyebut larangan meminta jawatan? Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepada ‘Abdul Rahman bin Samurah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:
“Wahai ‘Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta jawatan (kepimpinan). Sesungguhnya jika engkau diberi jawatan itu kerana engkau memintanya, maka engkau akan dibiarkan menanggungnya sendiri (tanpa pertolongan Allah). Akan tetapi jika engkau diberi jawatan itu tanpa engkau memintanya, maka engkau akan dibantu padanya (oleh Allah).”
(Riwayat Bukhari No. 6622 dan Muslim No. 1652)
Selain itu, Abu Musa al-Asy’ari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ada meriwayatkan bahawa dua orang lelaki telah datang kepada Nabi ﷺ, lalu salah seorang daripada mereka berkata: “Wahai Rasulullah, lantiklah aku sebagai ketua (gabenor) di sebahagian kawasan yang Allah telah berikan kuasa kepada tuan.” Dan seorang lagi berkata demikian juga. Maka Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya kami, demi Allah! Kami tidak akan melantik untuk urusan ini seseorang yang memintanya, atau seseorang yang tamak (sangat berkeinginan) untuk mendapatkannya.”
(Riwayat Bukhari No. 7149 dan Muslim No. 1733)
Para ulama’ menyebut yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah meminta pangkat di sini akan tetapi baginda meminta tanggungjawab supaya dipikul ke atas baginda. Ini adalah kerana baginda tahu yang hanya baginda sahaja yang layak untuk melakukan perkara itu untuk kebaikan rakyat. Boleh jadi juga raja telah menawarkan beberapa jawatan kepada baginda, dan baginda memilih daripada pilihan yang diberikan itu sebagai bendahara negara, jadi bukanlah baginda yang meminta. Imam Suyuti رَحِمَهُ اللَّهُ pula mengatakan di dalam Fi Zilalil Qur’an mengatakan larangan meminta pangkat itu adalah syariat Nabi Muhammad ﷺ dan bukan syariat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ minta diberi tugas menjaga خَزَآٮِٕنِ ٱلأَرضِ (khazanah bumi) dan bukan khazanah negeri Mesir? Ini kerana kerajaan Mesir ketika itu adalah kerajaan terbesar di dunia dan seolah-olah memegang perbendaharaan dunia.
Kenapa pula Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ minta dijadikan menteri kewangan dan bukan menteri agama atau kementerian yang lain? Kerana ia adalah kedudukan yang paling penting dalam negara. Perhatikan kalau di negara kita Malaysia ini, sentiasa sahaja Perdana Menteri akan memegang juga kedudukan sebagai Menteri Kewangan, bukan? Ini kerana itulah posisi paling penting kerana ia bukan sahaja menjaga kewangan negara tetapi segala pergerakan negara kerana pergerakan pemerintahan negara memerlukan kewangan, bukan? Jadi secara langsung, semua ada kaitan dengan kewangan juga. Untuk negara maju dan selamat, perbendaharaan negara perlu dijaga dengan rapi. Seandainya yang tukang jaganya kaki sakau, maka habislah negara itu. Negara kita pun tidak terkecuali dengan skandal kewangan ini yang menggegar negara (1Mdb). Maka di sini ternyata Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak menyelamatkan Mesir demi kebaikan semua rakyat.
إِنّي حَفيظٌ عَليمٌ
sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”.
Kenapa baginda yakin sampai boleh berkata begitu? Kerana baginda tahu yang baginda mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah ﷻ. Baginda tahu bagaimana menjaga khazanah negara itu. Baginda tahu bagaimana menguruskan hasil tanaman nanti supaya tanaman dapat dikumpul selama 7 tahun dan bagaimana mengagihkan selama 7 tahun nanti.
Keduanya, baginda tahu apa yang perlu dilakukan. Ini adalah kerana baginda dahulu duduk di rumah menteri kewangan. Telah banyak baginda belajar melalui apa yang baginda perhatikan. Jadi ini adalah keperluan untuk menjadi menteri kewangan. Pertama, jaga harta negara yang ada daripada tiris dan kedua, pandai pula untuk mengumpul harta yang baru. Jadi sebagai pengurus kewangan negara, mestilah ada sifat حَفيظٌ iaitu jangan membazir harta negara, kena jaga dengan elok supaya jangan hilang dan jangan dihabiskan untuk projek gajah putih yang membuang duit sahaja. Jangan diberi begitu sahaja kepada orang, jangan diselewengkan dan jangan disalahguna. Maka di sini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu yang baginda akan menjaga khazanah negara dengan terbaik sekali malah dengan nyawa baginda jika perlu.
Kemudian kena ada sifat عَليمٌ iaitu tahu mengurus harta negara supaya ia dapat berkembang dan digunakan pada tempatnya yang patut. Sebagai contoh, kalau hendak jaga sangat harta negara sampai tidak dibelanjakan, bagaimana rakyat dapat hidup kerana rakyat memerlukan projek kerajaan juga, bukan?
Kita mungkin melihat seorang Nabi itu pandai agama sahaja, bukan? Macam kita lihat para ustaz sekarang, tahu menjadi imam dan mengadakan kelas agama sahaja. Kita tidak sangka beliau mungkin seorang peguam, jurutera, doktor, ahli perniagaan dan sebagainya. Namun itu semua konsep lama kerana selalunya yang dihantar ke sekolah agama adalah anak-anak yang tidak dianggap layak atau mampu menjadi peguam atau jurutera. Sebab itu yang menjadi ustaz tidak berapa pandai sangat hal dunia dan mereka tidak mampu berfikir hal-hal yang memerlukan pemikiran tinggi seperti membezakan antara bid’ah dan tidak. Ini kerana kapasiti akal mereka tidak tinggi sangat. Akan tetapi sekarang sudah berbeza di mana kita sudah ada golongan profesional yang berminat dengan agama dan mereka mampu menjadi ustaz yang lebih berkualiti. Selalunya mereka ini berada di dalam aliran Sunnah kerana mereka memandang dengan logik akal yang tidak hanya mengikut kata-kata orang terdahulu sahaja. Mereka bijak memandang dan menilai dalil yang ada dan ini tidak ada bagi agamawan tradisi. Kerana itulah sekarang sudah wujud istilah ‘protaz’ yang merujuk kepada golongan ustaz yang profesional. Mereka itu mungkin peguam, jurutera dan mungkin seorang pilot. Akan tetapi mereka lebih faham agama daripada ustaz yang belajar di pondok sana. Maka jangan anggap seorang agamawan tahu agama sahaja dan naif terhadap dunia sekelilingnya. Lihatlah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sampai boleh menta’bir negara Mesir yang hebat itu.
Oleh itu, untuk menjadi seorang pemimpin, inilah dua sifat yang mesti ada: ada ilmu dan ada amanah. Maka menjadi seorang pemimpin bukan sahaja kena tahu beribadat dan amanah, tetapi kena tahu juga selok belok pemerintahan. Bukan pandai dalam hal agama sahaja sebaliknya negara tergadai pula nanti. Perhatikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendahulukan menyebut sifat حَفيظٌ dahulu kerana ia lebih penting daripada ilmu pengetahuan. Seseorang yang memiliki sifat amanah boleh belajar untuk mendapatkan ilmu kemudiannya. Sedangkan orang yang berilmu mungkin menyalahgunakan pengetahuan yang dia ada untuk mengkhianati amanah. Ini sebagaimana Allah ﷻ mendahulukan keadilan sebelum ilmu di dalam Baqarah:282
وَليَكتُب بَّينَكُم كاتِبٌ بِالعَدلِ ۚ وَلا يَأبَ كاتِبٌ أَن يَكتُبَ كَما عَلَّمَهُ اللَّهُ
maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya
Menurut majoriti ahli tafsir, ilmu yang dimiliki oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang disebut dalam kalimah عَلِيمٌ itu adalah ilmu pengurusan dan ekonomi yang sangat diperlukan untuk menguruskan bekalan makanan dan harta negara, terutamanya dalam menghadapi ramalan tujuh tahun kemarau panjang. Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu dari segi syariat. Dalam konteks ini, عَلِيمٌ bermaksud beliau tahu bagaimana menggunakan kedudukannya untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran sesuai dengan syariat yang dibawa oleh para Nabi. Baginda boleh menggunakan pengetahuan tentang apa yang halal dan haram, serta cara mendidik dan membimbing masyarakat ke arah kebenaran (dakwah), yang mana jawatan tinggi memberikannya peluang yang lebih luas.
Bagaimana sekiranya seorang pemimpin tidak memiliki kedua-dua sifat ini? Maka pemimpin itu mestilah mempunyai seorang penasihat yang memiliki sifat tersebut. Sekiranya dia حَفيظٌ, maka dia mestilah cari penasihat yang ada sifat عَلِيمٌ.
Kita boleh lihat bagaimana sifat baginda sudah bertukar dan kisah baginda sudah mula berubah daripada susah kepada senang. Jika di awal surah dahulu, kita boleh lihat bagaimana baginda malu-malu masa bercakap dengan ayah baginda. Sekarang kita boleh baca bagaimana baginda bercakap dengan nada yang kemas dan yakin.
Walau bagaimanapun yang menjadi perbincangan di sini adalah tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memuji diri baginda sendiri. Sedangkan terdapat larangan daripada Allah ﷻ tentang hal ini seperti disebut di dalam Najm:32
فَلا تُزَكّوا أَنفُسَكُم ۖ هُوَ أَعلَمُ بِمَنِ اتَّقىٰ
maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih daripada dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.
Ulama tafsir dan hadith menjelaskan bahawa tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah pengecualian dan dibenarkan kerana beberapa sebab penting:
1. Keadaan Darurat dan Keperluan Tugas
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedar bahawa Mesir akan menghadapi tujuh tahun kemakmuran diikuti tujuh tahun kemarau yang dahsyat, seperti yang ditafsirkan daripada mimpi raja. Pengurusan bekalan makanan dan harta negara adalah isu keselamatan negara dan kelangsungan hidup rakyat. Maka baginda memohon jawatan itu bukan kerana cinta pangkat atau kemegahan, tetapi kerana tiada orang lain yang mampu dan selayak baginda untuk menggalas amanah kritikal tersebut. Tujuan baginda adalah untuk menyelamatkan rakyat daripada kebuluran dan menegakkan keadilan dalam pembahagian harta negara. Maka baginda perlu menyatakan kelayakan baginda.
2. Menghilangkan Kekeliruan dan Menjelaskan Kelayakan
Memuji diri sendiri dilarang jika bertujuan untuk menyombong (ujub) atau riak, sepertimana firman Allah ﷻ di dalam Najm:32. Namun, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut sifatnya (‘alimun’ dan ‘hafizun’) dalam konteks:
- Pernyataan Kelayakan (Kemampuan): Baginda menjelaskan kepada raja bahawa baginda mempunyai dua kualiti terpenting untuk jawatan bendaharawan:
- حَفِيظٌ (Hafiz): Pandai menjaga, beramanah, dan jujur (Integriti).
- عَلِيمٌ (‘Alim): Berpengetahuan luas dan mahir dalam urusan pentadbiran dan kewangan (Kompetensi).
- Keperluan Perkenalan: Memuji diri dibenarkan jika ada hajat syar’i untuk memperkenalkan diri dan kelayakan demi kebaikan umum, terutamanya apabila kelayakan itu tidak diketahui oleh pihak yang melantik. Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda baru sahaja keluar dari penjara.
3. Perbezaan dengan Larangan Meminta Jawatan dalam Hadith
Larangan dalam hadith Nabi Muhammad ﷺ untuk meminta jawatan (seperti hadith kepada ‘Abdul Rahman bin Samurah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) adalah ditujukan kepada jawatan yang tidak ada keperluan mendesak, di mana pemohon biasanya didorong oleh rasa tamak atau keghairahan terhadap kuasa. Ini berbeza dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kerana permohonan baginda adalah:
-
- Berdasarkan keperluan negara (ancaman kemarau).
- Berdasarkan kelayakan mutlak yang dimilikinya dan terbukti (seorang Nabi yang maksum, jujur, dan berilmu).
Ringkasnya, tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah suatu manifestasi tanggungjawab kenabian untuk mengambil alih tugas besar bagi mencegah kemudaratan yang lebih besar kepada umat manusia, dan bukannya dorongan nafsu untuk mendapatkan kedudukan.
Maka kita kena tahu yang kita tidak boleh memuji diri sendiri. Larangan memuji diri sendiri dalam Islam adalah satu prinsip yang kuat, berakar daripada ayat al-Quran dan Hadith Nabi ﷺ, kerana ia dikhuatiri membawa kepada sifat ‘ujub (bangga diri), riya’ (menunjuk-nunjuk), dan takabbur (sombong). Akan tetapi para ulama mengecualikan perbuatan memuji diri sendiri jika:
-
- Ada Keperluan Syar’i (Kebaikan Umum): Seperti yang dilakukan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam ayat 55 ini, di mana baginda menjelaskan kelayakannya untuk menyelamatkan negara daripada bencana.
- Tujuan Mengajar atau Menyampaikan Amanah: Misalnya, seorang guru atau penceramah menyebut pencapaiannya untuk memberikan motivasi atau memanggil orang ramai kepada kebaikan, dengan syarat niatnya ikhlas dan aman daripada riak.
- Memuji Dengan Menyandarkan Keutamaan Kepada Allah ﷻ: Seperti sabda Nabi Muhammad ﷺ: “Aku adalah penghulu anak Adam pada hari Kiamat, dan aku tidak berkata ini kerana sombong…” (Riwayat Tirmizi). Baginda menyebut kelebihannya untuk tujuan menyampaikan fakta kebenaran (agama), bukan untuk bermegah.
Hukum seorang Muslim berkhidmat atau bekerja dalam kerajaan yang tidak berhukum dengan hukum Islam (kerajaan orang kafir atau sekular) merupakan isu yang dibahaskan secara meluas oleh ulama, dan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sering dijadikan dalil utama yang membenarkan perbuatan tersebut. Perhatikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah meminta jawatan penting daripada Raja Mesir yang ketika itu merupakan seorang pemerintah yang bukan beragama Islam. Malah pegawai-pegawai kerajaan juga bukan Muslim. Berdasarkan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan dalil-dalil lain, jumhur (majoriti) ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah harus (dibolehkan), tetapi dengan syarat-syarat yang ketat.
1. Kuat dan Amanah (Kewajipan Syari’). Muslim tersebut mestilah seorang yang berkemampuan, jujur, dan berintegriti tinggi (hifzhun ‘alim), yang membolehkannya melaksanakan tugas secara profesional dan adil.
2. Membawa Maslahah (Kebaikan). Tugas yang dilakukan bertujuan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan umat Islam dan negara secara umum, serta mengelakkan kemudaratan yang lebih besar (mafsadah). Dalam kes Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia adalah menyelamatkan penduduk daripada bencana kelaparan.
3. Tidak Menggadai Akidah & Syariat. Pekerjaan itu tidak melibatkan pembantunya dalam aktiviti yang diharamkan secara jelas (seperti menguruskan arak, riba, atau memerangi Muslim) atau tidak menuntut dia melanggar perintah Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman di dalam Qasas:17 tentang membantu orang kafir,
قالَ رَبِّ بِما أَنعَمتَ عَلَيَّ فَلَن أَكونَ ظَهيرًا لِّلمُجرِمينَ
Musa berkata: “Ya Tuhanku, demi nikmat yang telah Engkau anugerahkan kepadaku, aku sekali-kali tiada akan menjadi penolong bagi orang-orang yang berdosa”.
4. Berkuasa untuk Bertindak. Muslim tersebut mempunyai kuasa dan autonomi yang mencukupi dalam bidang tugasnya untuk melaksanakan kebenaran dan menegakkan keadilan seiring dengan syariat (sekadar yang termampu).
5. Niat untuk Berdakwah. Niat utama perkhidmatan tersebut adalah untuk memperoleh peluang berdakwah dan mengubah keadaan sedia ada ke arah yang lebih baik secara beransur-ansur, bukan semata-mata untuk mendapatkan pangkat atau habuan dunia.
Melalui kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini kita telah mempelajari satu perkara yang amat penting, iaitu berada di antara merendah diri dan kesombongan. Kalau terlalu merendah diri, kita akan melihat diri kita sebagai lemah dan tidak berguna. Kalau sombong pula memang dilarang di dalam agama. Akan tetapi ada satu di tengahnya iaitu keyakinan diri. Keyakinan diri, atau dalam istilah Arab dikenali sebagai “Tsiqah bin Nafsi” (الثقة بالنفس), adalah satu sifat yang sangat penting dan dianjurkan dalam Islam, namun ia mesti berakar umbi pada keyakinan yang lebih besar iaitu Tsiqah Billah (keyakinan kepada Allah ﷻ). Kepentingan keyakinan diri dalam perspektif Islam adalah menyeluruh dan merangkumi aspek ibadah, muamalat, dan dakwah.
Keyakinan diri yang sihat bersumber daripada pengakuan dan pemahaman bahawa manusia adalah makhluk yang dimuliakan dan terbaik ciptaan Allah ﷻ. Keyakinan diri yang teguh mendorong seorang Muslim untuk menggunakan potensi dan kebolehan yang dikurniakan Allah ﷻ untuk tujuan kebaikan dan pembangunan diri serta masyarakat. Seorang Da’i (pendakwah) memerlukan keyakinan diri yang tinggi untuk menyampaikan kebenaran, menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada mungkar, tanpa rasa takut atau malu. Islam menggesa umatnya untuk menjadi produktif. Keyakinan diri membolehkan seseorang untuk mencuba, berusaha, dan mengoptimalkan bakat yang ada (seperti ilmu, kemahiran, dan kekuatan fizikal) bagi memberi manfaat kepada ummah.
Sifat ini penting kerana kalau tidak, bakat yang ada akan disia-siakan. Siapa yang akan ke hadapan mengajar umat kalau sifat yang ada hanya merendah diri sahaja? Kita minta seseorang ajar tetapi dia tidak habis-habis merendah diri mengatakan dia seorang yang hina, tidak layak mengajar, banyak lagi kena belajar dan sebagainya. Habis, sampai bila dia akan mengajar? Sampai bila dia harus tunggu untuk menulis untuk memberi manfaat kepada masyarakat? Masyarakat kena tunggu siapa lagi untuk dapat ilmu? Adakah mereka kena tunggu Rasulullah ﷺ hidup semula untuk mengajar mereka kerana orang yang ada ilmu hanya tahu merendah diri sahaja dan tidak ada keyakinan diri?
Demikianlah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini mengajar kita sebagai umat Islam yang kita mesti mempunyai keyakinan diri. Jangan menyorok lagi sampai orang mengarut pula yang mengajar agama. Kita yang ada ilmu harus muncul di hadapan untuk mengajar umat dan menyampaikan ilmu melalui penulisan dan sebagainya.
Namun begitu timbul satu persoalan: bagaimana raja Mesir boleh menerima ‘orang luar’ dan dipercayai sungguh olehnya sehingga beliau sanggup memberikan ‘kunci’ kepada khazanah kerajaan Mesir? Kita pun tahu zaman berzaman, orang luar selalu dipandang sebelah mata dan tidak dipercayai oleh orang tempatan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini orang Bani Israil, datang dari luar dan agama pun lain dengan mereka yang beragama pagan, jadi bagaimana raja boleh terima baginda pula? Tidakkah raja takut dengan kata-kata rakyatnya nanti terutama sekali para pembesar yang selama ini di sisi raja menasihati beliau? Bayangkan kalau Perdana Menteri kita menggunakan khidmat seorang Yahudi sebagai penasihat kerajaan, tidakkah kecoh nanti?
Ada beberapa kemungkinan kenapa raja buat tidak kisah dengan asal usul Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Pertamanya raja terpesona dan percaya sungguh dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan terus diambil peluang keemasan untuk mengambil baginda sebagai penasihat. Apa orang kata, raja tidak kisah. Lagi pun, beliau seorang raja maka suka hatinya hendak berbuat apa.
Atau, mungkin raja dan rakyat Mesir tidak kisah. Mereka mungkin hidup di zaman tidak memandang sangat kepada perbezaan agama dan fahaman, asalkan ada kebaikan untuk mereka. Di dalam sejarah kegemilangan Islam seperti di Andalusia, umat Islam mengambil ilmu daripada orang bukan Muslim juga kerana akidah dan kepercayaan boleh dipisahkan daripada ilmu. Macam kita sekarang kalau baca penulisan Non-Muslim tentang perkara keduniaan, tidaklah kita sampai suka kepada penulis itu sehingga masuk agama dia pula, bukan? Jadi mereka melihat kepada kehebatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam hal ta’bir mimpi dan pengurusan kerajaan itu membawa kebaikan kepada mereka, mereka ambil sahaja. Hal agama itu mereka letak tepi sahaja.
|
Istilah
|
Definisi
|
|
Keadaan ke 9
|
Peringkat dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di mana baginda diberi jawatan oleh Raja Mesir.
|
|
أَستَخلِصهُ لِنَفسِى
|
“Agar aku memilih dia sebagai orang yang khusus kepadaku.” Frasa ini menunjukkan hasrat raja untuk menjadikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai penasihat rapat dan eksklusif.
|
|
مَكينٌ (Makin)
|
Menunjukkan kedudukan yang tinggi, kekal, selamat, dan rapat dengan pemerintah, seolah-olah berada di sebelah takhta.
|
|
أَمِينٌ (Amin)
|
Seseorang yang dipercayai dengan sepenuhnya; orang kepercayaan yang memegang rahsia dan amanah.
|
|
لَدَي (Laday)
|
Bermaksud “betul-betul di sisi,” menunjukkan kedekatan fizikal dan kedudukan yang lebih rapat berbanding kalimah “عند” (inda).
|
|
خَزَآٮِٕنِ ٱلأَرضِ
|
“Khazanah bumi.” Merujuk kepada perbendaharaan atau gudang simpanan negara, yang pada masa itu Mesir dianggap sebagai kuasa besar dunia.
|
|
حَفِيظٌ (Hafiz)
|
Seseorang yang pandai menjaga, amanah, dan jujur. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada keupayaan menjaga harta negara daripada pembaziran, kebocoran, dan penyelewengan.
|
|
عَلِيمٌ (‘Alim)
|
Seseorang yang berpengetahuan luas dan mahir. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada ilmu dalam mengurus harta negara agar ia berkembang dan digunakan pada tempat yang sepatutnya.
|
|
Protaz
|
Istilah yang merujuk kepada golongan ustaz yang datang daripada latar belakang profesional (seperti jurutera, peguam) yang mempunyai pemahaman agama yang mendalam.
|
|
Tsiqah bin Nafsi
|
Istilah Arab untuk “keyakinan diri,” iaitu satu sifat penting yang berada di antara merendah diri dan kesombongan.
|
|
Tsiqah Billah
|
Keyakinan kepada Allah ﷻ, yang menjadi akar umbi kepada keyakinan diri yang sihat dalam Islam.
|
|
Ujub
|
Sifat bangga diri yang tercela.
|
|
Riak
|
Sifat suka menunjuk-nunjuk amalan atau kelebihan diri.
|
|
Takabbur
|
Sifat sombong dan angkuh.
|
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 21 Oktober 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)
