Tafsir Surah Yusuf Ayat 45 – 49 (Ta’bir mimpi raja)

Yusuf Ayat 45: Sekarang masuk semula kisah lelaki yang dulu duduk dalam penjara dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

وَقَالَ ٱلَّذِى نَجَا مِنهُمَا وَٱدّكَرَ بَعدَ أُمَّةٍ أَنَا أُنَبِّئُڪُم بِتَأوِيلِهِۦ فَأَرسِلُونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the one who was freed and remembered after a time said, “I will inform you of its interpretation, so send me forth.”

(MALAY)

Dan berkatalah orang yang selamat di antara mereka berdua dan teringat (kepada Yusuf) sesudah beberapa waktu lamanya: “Aku akan memberitahumu berkenaan ta’wil mimpi itu, maka utuslah aku”.

 

وَقالَ الَّذي نَجا مِنهُما

Dan berkatalah orang yang selamat di antara mereka berdua

Masih ingat lagi karektor penghuni penjara yang bercakap dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu? Ini adalah lelaki yang selamat daripada dibunuh dalam penjara. Sekarang dia bekerja dengan raja, menuang air minuman raja, sebagaimana yang telah dita’wil oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kalau zaman sekarang, sama seperti tugas seorang ‘butler’ lah kiranya.

 

وَادَّكَرَ بَعدَ أُمَّةٍ

dan dia teringat (kepada Yusuf) sesudah beberapa waktu lamanya: 

Dia orang yang berkedudukan rendah dan raja tidak tanya pendapat dia pun. Namun dalam raja bercakap-cakap itu, dia dapat dengar perbincangan raja dengan para penasihat. Dia nampak dia ada peluang untuk naik pangkat. Dia pun barulah tiba-tiba teringat kepada rakan penjaranya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang pandai menta’bir mimpi yang dia telah terlupa selama beberapa tahun. Sekarang dia baru teringat setelah lama masa berlalu apabila dia mendengar perbualan antara raja dan pemimpin. Begitulah perancangan Allah ‎ﷻ, sepatutnya dia yang kena ingat untuk beritahu raja tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi sekarang terbalik pula kerana raja yang secara tidak langsung telah mengingatkan dia tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Kalimah ادَّكَرَ daripada kata dasar ذ ك ر yang bermaksud ingat. Akan tetapi kenapa digunakan huruf د pula menggantikan ذ? Memang kadangkala ada perubahan huruf berlaku di dalam Al-Qur’an dan bahasa Arab yang mengandungi maksud tersirat. Kalimah ادَّكَرَ lebih mudah disebut daripada اذَّكَرَ. Jadi ia membawa maksud mudah, iaitu mudah sahaja bagi lelaki itu untuk ingat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini seperti penggunaan kalimah مُدَّكِرٍ di dalam Qamar:17

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Perhatikan huruf ذ juga diubah kepada د di dalam kalimah مُدَّكِرٍ untuk memberi isyarat mudahnya untuk mengambil pengajaran daripada Al-Qur’an. Oleh itu, setelah tahu perkara ini, maka kita kenalah berusaha untuk terus mempelajari maksud Al-Qur’an dan menghafalnya kerana Allah ‎ﷻ telah memudahkan bagi kita.

Namun begitu kenapakah kalimah أُمَّةٍ diterjemahkan sebagai ‘masa’? Itulah pentingnya belajar tafsir untuk mengetahui penjelasan tentang kalimah-kalimah yang kita mungkin tersilap terjemah dan tafsir sekiranya tidak tahu. Kalau kita tahu satu terjemahan sahaja, maka pening kita untuk sesuaikan dengan maksud ayat ini. Bayangkan untuk kalimah أُمَّةٍ sahaja ini sampai ada 4 jenis maksud yang digunakan di dalam Al-Qur’an. Mari kita lihat satu persatu.

1. Sekumpulan daripada manusia. Ini yang kita banyak gunakan di dalam Al-Qur’an. Ini apabila kita kata ‘umat manusia’. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Baqarah:134 & 141

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya;

2. Yang membawa maksud syariat, jalan agama atau manhaj di dalam agama. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Zukhruf:22

بَل قالوا إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّهتَدونَ
(Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

3. Seorang lelaki yang diikuti dalam semua hal. Contohnya firman Allah ‎ﷻ di dalam Nahl:120

إِنَّ إِبرٰهيمَ كانَ أُمَّةً
Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang sahaja, jadi tidak patutlah kalau dikatakan baginda ‘sekumpulan manusia’. Maksudnya di sini adalah baginda menjadi contoh bagi manusia. Inilah juga maksud gelaran ‘Imam’ yang diberikan kepada orang yang menguasai banyak ilmu agama yang menjadi rujukan kita. Ini seperti Imam Syafie, Imam Bukhari dan sebagainya kerana mereka menjadi contoh. Kita juga diajar untuk berdoa semoga Allah ‎ﷻ    menjadikan kita sebagai ‘imam’ di dalam Furqan:74

وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا
dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa

4. Tempoh masa. Ini juga digunakan di dalam Yusuf:45 ini. Dan ia juga digunakan di dalam Hud:10

وَلَئِن أَخَّرنا عَنهُمُ العَذابَ إِلىٰ أُمَّةٍ مَّعدودَةٍ لَّيَقولُنَّ ما يَحبِسُهُ
Dan demi sesungguhnya! Jika kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek): “Apakah yang menghalangnya?”

Kalimah أُمَّةٍ dalam ayat ini bermaksud ‘jangka masa’. Bukan daripada pemahaman ‘ummat’ seperti yang kita selalu fahami. Perkataan itu diambil dari katpadaa dasar أم yang bermaksud ‘ibu’. Kalau kita lihat seorang wanita yang sedang mengandung, kita akan tahu bahawa masanya untuk bersalin telah ditetapkan. Jadi ada berkenaan dengan masa juga. Imam Razi رَحِمَهُ اللَّهُ pula membuat perbandingan dengan أُمَّةً yang sekumpulan manusia dan أُمَّةً di sini bermaksud sekumpulan waktu.

 

أَنَا أُنَبِّئُڪُم بِتَأوِيلِهِۦ

“Aku akan memberitahumu akan ta’wil mimpi itu, 

Tentu susah dia hendak bercakap dengan raja sebab dia tukang tuang minuman sahaja. Namun dia memberanikan dirinya untuk beritahu raja yang dia ada jalan untuk memberitahu makna mimpi raja itu.

Dhomir ڪُم dalam kalimah أُنَبِّئُڪُم mungkin bermaksud ia disebut kepada raja dan orang-orang besar yang ada bersama raja itu. Akan tetapi Ibn Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat ia hanya ditujukan kepada raja seorang sahaja dan dhomir ڪُم digunakan sebagai bentuk penghormatan kepada raja.

Perhatikan dia tidak cakap: “Aku kenal seseorang yang boleh menta’wil mimpi itu” tetapi sebaliknya dia pula yang berkata yang dia boleh ta’wil mimpi itu. Dan diulang dua kali kalimah ‘aku’ iaitu أَنَا (aku) dan أُنَبِّئُ (aku akan memberitahu) sebagai penekanan seolah-olah dia dan hanya dia sahaja yang boleh ta’wil mimpi itu. Jadi nampak dia hendak mengambil kredit dalam hal itu jadi dia tidak sebut pun nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Padahal sepatutnya dia cerita teruslah tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (yang dia pun sudah lama terlupa itu). Nampaknya hendak ambil peluang juga dia ini.

Barulah sekarang rakan banduan itu melakukan sesuatu yang membawa kepada keluarnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari penjara. Itu pun dia bukannya terus memberitahu nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi masih lagi hendak mengambil peluang untuk menaikkan namanya. Dia tidak kenang pun yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah memenuhi permintaannya untuk menta’bir mimpinya dahulu dan telah berbuat baik dengannya. Begitulah ini mengajar kita yang kadang-kadang kita tolong orang tetapi orang itu tidak tolong pun kita balik. Jadi ini mengajar kita dalam kita menolong orang, jangan berharap balasan daripada orang itu tetapi tolonglah dengan ikhlas kerana Allah ‎ﷻ. Biar Allah ‎ﷻ yang balas kita dan jangan tunggu balasan daripada orang yang kita tolong itu.

Di dalam ayat ini, digunakan kalimah أُنَبِّئُ. Jadi dalam penta’wilan mimpi ini, kita sudah lihat ada dua istilah yang digunakan, sama فتوى atau نَبِّئ. Di dalam ayat 36, digunakan istilah نَبِّئ iaitu (نَبِّئنَا بِتَأوِيلِهِ). Nanti kita akan bincangkan perbezaan antara dua penggunaan kalimah ini.

 

فَأَرسِلونِ

maka utuslah aku”.

Namun untuk takwil mimpi itu, dia minta diberikan sedikit masa. Dia minta dihantar ke penjara semula dan raja telah memberi kebenaran kepadanya. Kita boleh lihat yang dia tidak sebut nama Nabi Yusuf ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun dalam kata-katanya kepada raja. Padahal, kalau dia terus sebut nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bolehlah raja terus arahkan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibawa kepadanya.

Oleh itu, kita boleh agak yang dia hendak naik pangkat dengan mengambil peluang ini. Jadi dia tidak cakap pun tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana kalau dia cakap tentang baginda, raja tentu terus memanggil Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja dan selesailah perkara itu. Namun, kalau begitu hilanglah peluangnya untuk terlibat dalam perkara ini – dia akan diketepikan dengan mudah sahaja.

Sedikit tentang penggunaan bahasa di dalam kalimah فَأَرسِلونِ. Ia asalnya adalah أَرْسِلُونِي akan tetapi ya’ mutakallimin telah dihazafkan. Maka ada maksud ‘aku’ di dalam kalimah فَأَرسِلونِ ini. Kalau tidak, kalimah yang patut digunakan adalah فَأَرسِلونَ.


 

TA’BIR KEPADA MIMPI RAJA

Yusuf Ayat 46: Lelaki itu telah pergi ke penjara semula untuk berjumpa dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini adalah situasi di dalam penjara.

يُوسُفُ أَيُّهَا ٱلصِّدِّيقُ أَفتِنَا فِى سَبعِ بَقَرَٰتٍ سِمَانٍ يَأڪُلُهُنَّ سَبعٌ عِجَافٌ وَسَبعِ سُنۢبُلَـٰتٍ خُضرٍ وَأُخَرَ يَابِسَـٰتٍ لَّعَلِّىٓ أَرجِعُ إِلَى ٱلنَّاسِ لَعَلَّهُم يَعلَمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[He said], “Joseph, O man of truth, explain to us about seven fat cows eaten by seven [that were] lean, and seven green spikes [of grain] and others [that were] dry – that I may return to the people [i.e., the king and his court]; perhaps they will know [about you].”

(MALAY)

(Setelah pelayan itu berjumpa dengan Yusuf dia berseru): “Yusuf, hai orang yang amat dipercayai, terangkanlah kepada kami tentang tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan (tujuh) lainnya yang kering agar aku kembali kepada orang-orang itu, agar mereka mengetahuinya”.

 

يوسُفُ أَيُّهَا الصِّدّيقُ

“Yusuf, hai orang yang amat dipercaya, 

Dia telah berjumpa dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semula dan terus memuji baginda: أَيُّهَا الصِّدّيقُ wahai kawan. Jelas sekali yang dia mengakui kebenaran yang ada pada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Lihatlah lembut sahaja dia memanggil baginda, dan menggelarkan baginda sebagai kawan. Tidak sebut pun minta maaf kerana sudah beberapa tahun baru hendak datang semula. Mungkin dia pun agaknya malu juga kerana lama tidak beritahu tentang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada raja jadi dia tidak sebut pun tentang hal itu. Begitulah kalau ada benda yang kita segan hendak bincang, kita tidak sebut langsung, bukan? Atau ada kemungkinan yang dia mahu pergi sendiri dan meminta maaf kepada baginda. Namun kalau ada sesi minta maaf itu, Allah ‎ﷻ tidak masukkan dalam ayat ini kerana Al-Qur’an bukanlah novel yang sebut satu persatu apa yang terjadi di dalam pertemuan itu.

Oleh itu, ada dua makna yang kita boleh ambil kerana dia hendak pergi sendiri bertemu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – mungkin kerana dia hendak mengambil peluang atau kerana dia hendak meminta maaf kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu dan secara peribadi. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa penjara itu dia sendiri yang kena pergi kerana ia jauh dan bukan senang dicari.

 

أَفتِنَا فِى سَبعِ بَقَرَٰتٍ سِمَانٍ يَأڪُلُهُنَّ سَبعٌ عِجَافٌ

terangkanlah kepada kami tentang tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus

Maka lelaki itu telah mengulang kembali mimpi raja kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, semoga baginda dapat menta’bir mimpi itu. Pertamanya berkenaan lembu gemuk dan kurus. Namun begitu, lelaki ini tidak sebut pun ia adalah mimpi raja kerana mungkin dia hendak mendapatkan kredit daripada ta’wilan mimpi itu. Dengan raja dia tidak cakap tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula, dia tidak cakap pun tentang raja itu. Begitulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dari satu babak ke satu babak manusia sentiasa mengambil keuntungan daripada baginda sahaja. Namun perhatikan dia tidak sebut أَفتِنى (beri keputusan kepadaku) tetapi dia kata أَفتِنَا (beri keputusan kepada kami) kerana dia hendak beritahu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang ini bukan berkenaan dirinya tetapi berkenaan masyarakat.

Perhatikan di sini digunakan istilah أَفتِنَا pula. Kita dapat lihat ada pertukaran kalimah yang digunakan.

Perbezaan antara istilah نَبِّئ dan فتوى dalam Surah Yusuf apabila merujuk kepada ta’wil (tafsir) mimpi terletak pada konteks, status orang yang bertanya, dan bentuk jawapan yang diminta. Secara ringkas, perbezaan utamanya adalah apabila digunakan istilah نَبِّئ, ia bermaksud menyampaikan maklumat daripada sumber yang lain. Ini seperti istilah yang digunakan untuk Nabi kerana mereka menyampaikan maklumat daripada Allah ‎ﷻ. Jadi di dalam ayat 36 dan 37, digunakan istilah نَبِّئ kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya menyampaikan maklumat daripada Allah ‎ﷻ sahaja.

Sedangkan istilah فتوى digunakan ia bermaksud membuat keputusan. Maka di dalam ayat 41, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu bahawa apa qadar yang baginda sampaikan kepada mereka adalah keputusan daripada Allah ﷻ. Apabila raja menggunakan istilah فتوى juga di dalam arahannya kepada para pembesar di dalam ayat 43, ini adalah kerana mereka itu sepatutnya ada ilmu menta’bir mimpi, kerana itu raja sangka mereka boleh berikan keputusan apakah maksud mimpinya itu.

Di dalam ayat 45, bekas banduan butler raja itu menggunakan istilah نَبِّئ kerana bukan dia yang akan menta’bir mimpi itu tetapi dia akan dapatkan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sedang berada di penjara. Dia mungkin menggunakan istilah فتوى pada ayat 46 kerana dia sangka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh memberikan keputusan tentang mimpi raja itu.

 

وَسَبعِ سُنۢبُلَـٰتٍ خُضرٍ وَأُخَرَ يَابِسَـٰتٍ

dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan (tujuh) lainnya yang kering

Ini pula berkenaan tangkai gandum – ada yang hijau dan ada yang kering.

Perhatikan pengulangan ayat ini tentang mimpi itu sama seperti di dalam ayat 50 ketika raja itu bermimpi. Sikit pun dia tidak ubah. Selalunya Al-Qur’an tidak mengulang sebegini tapi di sini ada pengulangan yang tepat. Ini menunjukkan kepentingan mimpi itu disebut secara tepat dan tidak diubah. Kerana kalau ubah, nanti jadi lain makna pula. Tukang air raja itu mungkin tahu tentang perkara itu dan kerana itu dia sampaikan dengan tepat dan Al-Qur’an mengulang apa yang dikatakan olehnya.

 

لَّعَلِّىٓ أَرجِعُ إِلَى ٱلنَّاسِ لَعَلَّهُم يَعلَمُونَ

agar aku kembali kepada orang-orang itu, agar mereka mengetahuinya”.

Lelaki itu berharap semoga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat menta’bir mimpi itu supaya dia dapat menyampaikannya kepada rakyat. Dia hendak kata kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, apa yang dia buat ini adalah untuk kebaikan umum. Akan tetapi sebenarnya dia hendak bawa kepada raja tetapi dia tidak akan menyebut pun kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Seolah-olah dia tidak mahu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang dia boleh bercakap terus dengan raja. Mungkin kerana takut nanti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tanya dia balik: “Selama hari ini, kenapa tak cakap tentang aku?” Maka begitulah ketidakjujuran manusia ada dalam pelbagai bentuk. Kadang-kadang manusia cakap benda menipu, tetapi kadangkala mereka tidak sampaikan sepenuhnya supaya orang yang mendengar itu tidak tahu kisah yang sebenar.

Jadi maksud pertama يَعلَمُونَ adalah mengetahui apakah ta’bir mimpi raja itu. Makna kedua kalimah يَعلَمُونَ adalah supaya raja dan rakyat tahu kelebihan yang ada pada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Juga dapat tahu yang baginda itu adalah seorang Nabi.


 

Yusuf Ayat 47: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak disebut dalam ayat ini ada membangkitkan kisah lamanya (orang itu lambat beritahu tuannya); ini menunjukkan yang baginda tidak berdendam. Beginilah baginda menunjukkan akhlak yang tinggi. Dan baginda terus memberi jawapannya. Baginda tidak meletakkan syarat pun untuk dikeluarkan dahulu baru diberitahu.

قَالَ تَزرَعُونَ سَبعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدتُّم فَذَرُوهُ فِى سُنۢبُلِهِۦۤ إِلَّا قَلِيلاً مِّمَّا تَأكُلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Joseph] said, “You will plant for seven years consecutively; and what you harvest leave in its spikes, except a little from which you will eat.

(MALAY)

Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan ditangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan.

 

قالَ تَزرَعونَ سَبعَ سِنينَ دَأَبًا

(Yusuf) berkata: “Kalian bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa;

Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tanpa membuang masa terus memberikan ta’bir mimpi itu kerana kali ini penting mimpi itu dita’bir dengan segera. Kalau dahulu sebelum baginda ta’birkan mimpi dua banduan itu, baginda dakwah terlebih dahulu kepada mereka tetapi kali ini tidak. Ini mengajar kita yang berdakwah hendaklah dilihat keadaan sama ada sesuai atau tidak.

Kalimah yang digunakan تَزرَعونَ adalah dalam bentuk jamak seolah-olah baginda bercakap terus dengan rakyat Mesir, bukan hanya kepada rakan banduannya itu sahaja. Kalau kita lihat, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukannya ta’bir mimpi raja itu, tetapi terus memberikan jalan penyelesaian. Baginda beritahu yang Mesir akan dapat bercucuk tanam selama 7 tahun terus kerana waktu itu tanah subur kerana air cukup. Maksudnya kena ambil peluang dapat bercucuk tanam selama tujuh tahun دَأَبًا (berturut-turut).

Kalimah دَأَبًا daripada kata dasar د ا ب yang bermaksud rajin; bersemangat; berusaha secara berterusan; menggesa; buat sendiri; bekerja keras secara berterusan; tabiat; adat; cara; urusan; cara melakukan; kerja. Ada banyak maksud yang kita boleh ambil daripada kalimah ini. Pertama ia bermaksud mereka boleh bercucuk tanam berterusan kerana keadaan subur dan air banyak. Tidak ada gangguan pada penanaman mereka. Keduanya ia bermaksud seperti biasa, iaitu sebelum kemarau. Tujuh tahun berturut-turut mereka boleh bercucuk tanam dengan subur seperti biasa kerana Mesir memang ada tanah yang subur kerana ada Sungai Nil pula. Ketiganya ia juga bermaksud bekerja keras jadi mereka mesti membanting tulang selama 7 tahun itu. Kena tanam dengan banyak dan jangan berhenti rehat buat pesta menuai pula kerana itu akan membuang masa. Setelah menuai, terus tanam benih yang baru dengan segera. Ini adalah kerana 7 ekor lembu gemuk itu merujuk kepada 7 tahun yang mereka boleh bercucuk tanam seperti biasa dan 7 ekor lembu yang kurus itu merujuk kepada 7 tahun kemarau di mana tanah sudah tidak subur.

Lembu dita’birkan dengan tahun kerana lembulah yang digunakan untuk membajak tanah dan ladang yang digunakan untuk menghasilkan buah-buahan dan tanam-tanaman, iaitu tangkai-tangkai gandum yang hijau (subur). Jadi ia adalah lambang kepada kemewahan dan kesenangan. Dan kerana itulah nanti di zaman Nabi Musa nanti mereka menyembah lembu kerana lembu dipandang sebagai sesuatu yang hebat dan baik.

Jadi ini adalah nasihat daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menyuruh mereka bercucuk tanam dengan berterusan selama 7 tahun. Kalau kita perhatikan nahu kalimah تَزرَعونَ, ia bukanlah di dalam fi’il amr (kata arahan) akan tetapi ada banyak cara kita memberi arahan. Sebagai contoh kalimah normal adalah: “Engkau pergilah ke sana”. Namun kadangkala kita sebut dalam bentuk fakta seperti: “Engkau akan berada di sana” dan orang yang mendengarnya tahu yang itu adalah arahan untuk pergi ke sana.

 

فَمَا حَصَدتُّم فَذَرُوهُ فِى سُنۢبُلِهِ

maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya

Gandum yang dituai selama 7 tahun pertama itu jangan dicabut tangkainya – jangan relaikan. Biarkan dan simpan di gudang dengan tangkainya sekali. Kalau tanaman jagung, jangan dibuka kulitnya itu. Maknanya, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar mereka cara untuk menyimpan bahan makanan dalam masa yang sama supaya tahan. Ini adalah kerana gandum yang tidak dicabut daripada tangkainya tidak akan diganggu bakteria. Kerana kalau tidak dibuat begitu, gandum hanya tahan selama 2 tahun sahaja. Kalau hendak makan, bolehlah cabut tangkainya. Ini penting kerana kalau dicabut, gandum itu akan menjadi rosak tidak tahan lama. Ini adalah pengajaran yang hebat sekali kerana waktu itu tidak diketahui tentang perkara ini. Mungkin ada kajian yang telah dilakukan tentang perkara ini pada zaman sekarang.

 

إِلَّا قَلِيلاً مِّمَّا تَأكُلُونَ

kecuali sedikit yang kamu makan.

Simpan sebanyak mungkin, kecuali sedikit yang digunakan untuk dimakan. Di sini digunakan kalimah قَلِيلاً (kadar yang sedikit) di sini untuk mengingatkan mereka bahawa makan itu kena jaga-jagalah sikit, jangan macam tidak ingat masa depan pula. Maka ini mengajar tentang makan dengan sedikit. Makanan yang ada, simpan untuk hari esok, bukannya asal ada dihabiskan sahaja.


 

Yusuf Ayat 48: Bekerja keras menanam dan menuai tanpa henti, kemudian kena tahan perut jangan makan banyak, itu bukan zaman keras. Zaman keras akan datang setelah itu.

ثُمَّ يَأتِى مِنۢ بَعدِ ذَٰلِكَ سَبعٌ شِدَادٌ يَأكُلنَ مَا قَدَّمتُم لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلاً مِّمَّا تُحصِنُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then will come after that seven difficult [years] which will consume what you advanced [i.e., saved] for them, except a little from which you will store.

(MALAY)

Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit daripada (bibit gandum) yang kamu simpan.

 

ثُمَّ يَأتِى مِنۢ بَعدِ ذَٰلِكَ سَبعٌ شِدَادٌ

Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit,

Ini adalah berita masa hadapan yang mereka perlu sediakan untuknya. Mereka mesti membanting tulang kerana setelah 7 tahun yang biasa, akan datang zaman kemarau yang akan mengganggu hasil tanaman mereka dan makanan keperluan mereka. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu mereka yang kemarau itu selama 7 tahun yang شِدادٌ (tahun-tahun yang teruk – kemarau). Ini berita baik juga sebenarnya, kerana siap diberitahu jangka masa. Kalau kita tidak tahu bila azab kita akan berakhir, ia akan menambah kesakitan azab itu. Namun jikalau dari awal lagi kita tahu bila ia akan berakhir, maka kita boleh pujuk diri kita untuk sabar. (tidak mengapa, 6 tahun lagi…. 5 tahun lagi… dan seterusnya).

 

يَأكُلنَ ما قَدَّمتُم لَهُنَّ

yang memakan (menghabiskan) apa yang kamu simpan untuk menghadapinya

Semasa tujuh tahun yang kemarau itu, mereka akan makan apa yang mereka telah simpan selama tujuh tahun yang pertama dahulu. Inilah maksud daripada kalimah mimpi raja di dalam ayat 43 dahulu: يَأۡڪُلُهُنَّ سَبۡعٌ عِجَافٌ. Yang makannya manusia tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ buat perumpamaan seolah-olah 7 tahun itu yang akan makan makanan itu semua. Macam kita cakap kepada kawan kita: “Tahun ini makan habis duit simpanan aku selama aku kerja”. Sebab itulah kena simpan dengan baik kerana kalau tidak berhati-hati dan berjimat cermat, tidak akan cukup makanan nanti.

 

إِلّا قَليلًا مِّمّا تُحصِنونَ

kecuali sedikit daripada (bibit gandum) yang kamu simpan.

Bolehlah makan makanan yang telah disimpan itu, kecuali kena simpan sedikit untuk dibuat benih – jangan habiskan makan pula. Kepentingan penggunaan kalimah تُحْصِنُونَ dalam ayat ini adalah untuk menekankan keperluan penyimpanan dan perlindungan bijirin secara teratur dan berhati-hati sebagai persediaan menghadapi tahun-tahun kemarau yang akan datang. Ia daripada kata dasar ح ص ن yang bermaksud dijaga; suci; tidak boleh diakses; dijaga dengan kuat; dipelihara; dilindungi; berkahwin; disimpan dengan selamat. Kalau simpan biasa sahaja, boleh digunakan kalimah يحفظ.


 

Yusuf Ayat 49: Kena simpan sebagai benih kerana selepas 7 tahun yang kemarau itu, akan datang kembali kesenangan kerana tanah akan subur semula.

ثُمَّ يَأتِى مِنۢ بَعدِ ذٰلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ ٱلنَّاسُ وَفِيهِ يَعصِرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then will come after that a year in which the people will be given rain and in which they will press [olives and grapes].”

(MALAY)

Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur”.

 

ثُمَّ يَأتِى مِنۢ بَعدِ ذٰلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ ٱلنَّاسُ

Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan

Setelah kemarau tujuh tahun, akan datang kembali keadaan yang baik. Hujan akan kembali turun dengan secukupnya.

Balaghah: Selalunya Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah ‎ﷻ dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini. Oleh itu penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman. Ia daripada kata dasar غ ث ي yang bermaksud disiram (dengan hujan), dihujani, hujan; mencari, meminta; unta menjadi gemuk. Ia bermaksud pertolongan yang dicari yang sangat diperlukan dan kerana itu dari kata dasar ini lahir kalimah istighatsah اِسْتِغَاثَة. Ia adalah hujan yang cukup-cukup sesuai. Kerana air ini kalau kurang tidak cukup, kalau terlebih sangat jadi banjir pula. Akan tetapi kalau digunakan istilah غيث ia bermaksud air yang cukup-cukup.

 

وَفيهِ يَعصِرونَ

dan di masa itu mereka memerah”.

Hasil tanaman akan banyak kembali, anggur pun boleh tumbuh dan mereka akan hidup dalam kesenangan seperti sebelumnya. Diberi isyarat dalam ayat ini apabila mereka boleh memeras hasilan anggur dengan banyak kerana waktu itu sudah subur kembali. Pendapat Ibn Abbas رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan termasuk di sini adalah memeras dan mengeluarkan air susu daripada kambing dan lembu kerana binatang ternak sudah gemuk kembali. Ini menandakan kemarau telah berlalu dan rakyat Mesir tidak lagi perlu untuk mengikat perut kerana keadaan telah kembali  seperti biasa. Maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu mereka yang harapan masih ada lagi, cuma mereka perlu bekerja keras dan sabar ketika keadaan susah itu.

Begitulah maksud mimpi raja itu dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus beritahu apa yang perlu dilakukan. Baginda bukan ta’bir mimpi sahaja tetapi diberikan sekali jalan penyelesaian untuk mengambil manfaat daripada mimpi itu.

Perhatikan mimpi raja hanya setakat 14 tahun sahaja (7 tahun campur 7 tahun) dan secara teknikal, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah selesai menta’bir mimpi di dalam ayat 48 tadi. Akan tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut tahun ke 15 iaitu setelah subur kembali dan hujan turun kembali. Mengikut pendapat Sayid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam Kitab Fi Zhilalil Qur’an ini termasuk di dalam ilmu wahyu yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang keadaan itu nanti.

Mungkin ada boleh berhujah, setelah 7 tahun yang kemarau, tentulah selepas itu tidak kemarau lagi, jadi tidak perlu disebut pun tahun ke 15 itu. Namun begitu secara normal, kalau telah selesai kemarau pun, tidaklah terus jadi subur dan air hujan turun dengan banyak dan cukup. Jadi pemberitahuan Allah ‎ﷻ ini kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjamin bahawa memang tanah akan subur kembali dan tanaman menjadi banyak. Allah ‎ﷻ dengan rahmat-Nya hendak memberitahu yang mereka selepas itu tidak perlu risau tentang makanan lagi.

Maknanya, mimpi raja itu untuk negara walaupun beliau seorang yang kafir. Mimpi raja ini merupakan anugerah daripada Allah ‎ﷻ kepada masyarakat Mesir ketika itu. Boleh jadi kerana rajanya itu adil walaupun beliau tidak mempercayai keesaan Allah ‎ﷻ. Keadilan ini telah melahirkan kesejahteraan fizikal kepada mereka. Begitulah Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Hud:117

وَما كانَ رَبُّكَ لِيُهلِكَ القُرىٰ بِظُلمٍ وَأَهلُها مُصلِحونَ
Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan.

Jadi ayat ini mengandungi polisi bagi kerajaan untuk berjimat cermat. Sebagai kerajaan, mereka kena fikirkan kebajikan rakyat. Jangan membazir sumber negara tidak tentu pasal. Kerajaan hendaklah menyimpan sumber asas kerana ekonomi tidak semestinya sentiasa di atas. Bila-bila masa sahaja ekonomi boleh jatuh atau malapetaka melanda seperti Covid19 yang kita alami tidak berapa lama dahulu.

Kalau masih ingat lagi, setelah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menta’bir mimpi dua rakan penjaranya, baginda telah meminta salah seorang daripada banduan itu untuk menyebut nama baginda di sisi raja. Akan tetapi kali ini baginda tidak sebut pun, mungkin kerana baginda yakin setelah ta’bir mimpi itu disampaikan kepada raja, raja tentu akan mencarinya.

Sekian topik F’ yang menyebut tentang mimpi raja. Sekarang perhatikan Komposisi Cincin yang kita telah sebut di dalam ayat 3 sebelum ini. Sekarang kita boleh perhatikan struktur simetri timbal balik di dalam topik-topik yang telah disebut. Kita akan perhatikan ada seperti cermin kepada topik-topik itu. Perhatikan topik F’ menyebut tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menta’bir mimpi raja ketika baginda di penjara dan topik F sebelum ini tentang ta’bir mimpi yang dilakukan baginda ketika di penjara, cuma ketika itu berkenaan mimpi dua orang banduan.

Habis Ruku’ 6 daripada 12 ruku’ surah ini.

 

Soalan Kuiz (Jawapan Pendek)
Jawab setiap soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan konteks yang diberikan.
1. Siapakah lelaki yang teringat kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan apakah peranannya di istana raja?
2. Apakah maksud tersirat di sebalik penggunaan kalimah ادَّكَرَ (iddakara) dan bukannya اذَّكَرَ (idhdhakara) dalam ayat 45?
3. Senaraikan empat makna berbeza bagi kalimah أُمَّةٍ (ummatin) yang digunakan di dalam Al-Qur’an seperti yang dijelaskan dalam teks.
4. Mengapakah rakan banduan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu berkata “Aku akan memberitahumu” (أَنَا أُنَبِّئُڪُم) kepada raja, dan bukannya menyebut nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara terus?
5. Bezakan penggunaan istilah نَبِّئ (nabbi’) dan فتوى (fatwa) dalam konteks meminta ta’bir mimpi dalam Surah Yusuf.
6. Apakah dua bahagian utama mimpi raja yang diceritakan semula kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam penjara?
7. Apakah tindakan pertama yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sarankan sebagai penyelesaian kepada mimpi raja, dan apakah maksud kalimah دَأَبًا (da’aban) dalam konteks ini?
8. Jelaskan arahan spesifik yang diberikan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengenai cara menyimpan hasil tuaian gandum selama tujuh tahun pertama. Mengapakah kaedah ini penting?
9. Bagaimanakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggambarkan tujuh tahun kemarau yang bakal tiba, dan apakah nasihat baginda mengenai benih tanaman?

10. Apakah khabar gembira yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampaikan mengenai tahun ke-15, yang tidak termasuk dalam mimpi asal raja?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Oktober 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 45 – 49 (Ta’bir mimpi raja)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Lelaki yang teringat kepada Nabi Yusuf adalah salah seorang daripada dua banduan yang pernah bersama baginda, iaitu yang terselamat daripada hukuman bunuh. Di istana, dia bekerja sebagai pelayan raja yang menuang air minuman, setaraf dengan jawatan butler pada zaman moden.

    2. Penggunaan kalimah ادَّكَرَ yang lebih mudah disebut berbanding اذَّكَرَ membawa maksud tersirat betapa mudahnya bagi lelaki itu untuk teringat kembali kepada Nabi Yusuf. Perubahan huruf ini memberi isyarat kemudahan, sama seperti penggunaan kalimah مُدَّكِرٍ (muddakirin) dalam Surah al-Qamar.

    3. Empat makna kalimah أُمَّةٍ ialah: (1) sekumpulan manusia; (2) syariat atau jalan agama; (3) seorang lelaki yang menjadi teladan (imam) seperti Nabi Ibrahim; dan (4) tempoh masa, seperti yang digunakan dalam ayat ke-45 ini.

    4. Teks tafsir mencadangkan bahawa dia ingin mengambil kredit dan peluang untuk naik pangkat. Dengan menampilkan dirinya sebagai orang yang boleh memberikan ta’wil, dia meletakkan dirinya sebagai perantara penting dan mengelak daripada diketepikan sekiranya raja terus memanggil Nabi Yusuf.

    5. Istilah نَبِّئ digunakan apabila seseorang menyampaikan maklumat daripada sumber lain, seperti Nabi yang menyampaikan wahyu dari Allah. Manakala, istilah فتوى digunakan apabila seseorang diminta untuk membuat keputusan berdasarkan ilmu yang dimilikinya.

    6. Dua bahagian utama mimpi raja ialah: (1) tujuh ekor lembu betina yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus, dan (2) tujuh tangkai gandum yang hijau dan tujuh tangkai lain yang kering.

    7. Tindakan pertama yang disarankan ialah bercucuk tanam selama tujuh tahun secara berterusan (دَأَبًا). Kalimah دَأَبًا membawa maksud mereka perlu bekerja keras, rajin, dan berterusan tanpa henti, memanfaatkan tempoh kesuburan tanah sepenuhnya.

    8. Nabi Yusuf mengarahkan agar gandum yang dituai dibiarkan di dalam tangkainya (فِى سُنۢبُلِهِۦۤ) dan disimpan, kecuali sedikit untuk dimakan. Kaedah ini penting kerana ia dapat membuatkan gandum tahan lebih lama dan tidak diganggu bakteria, berbanding jika ia direlaikan dari tangkainya.

    9. Nabi Yusuf menggambarkannya sebagai “tujuh tahun yang amat sulit” (سَبعٌ شِدَادٌ) yang akan menghabiskan semua simpanan makanan. Baginda menasihatkan agar mereka menyimpan sedikit daripada hasil tuaian (تُحصِنُونَ) untuk dijadikan benih bagi musim tanaman seterusnya.

    10. Khabar gembira itu ialah pada tahun selepas tujuh tahun kemarau, manusia akan diberi hujan yang cukup (يُغَاثُ ٱلنَّاسُ) dan pada masa itu mereka akan dapat memeras hasil tanaman seperti anggur dan zaitun (يَعصِرُونَ). Ini adalah ilmu wahyu tambahan yang menandakan kesenangan dan kesuburan akan kembali sepenuhnya.

    Like

Leave a comment