TA’BIR MIMPI
Yusuf Ayat 41: Sekarang baru Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ta’bir mimpi iaitu setelah baginda dakwah ajaran tauhid terlebih dahulu kepada temannya di dalam penjara itu.
يَـٰصَٰحِبَىِ ٱلسِّجنِ أَمَّآ أَحَدُكُمَا فَيَسقِى رَبَّهُ ۥ خَمرًاۖ وَأَمَّا ٱلأَخَرُ فَيُصلَبُ فَتَأڪُلُ ٱلطَّيرُ مِن رَّأسِهِۦۚ قُضِىَ ٱلأَمرُ ٱلَّذِى فِيهِ تَستَفتِيَانِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O two companions of prison, as for one of you, he will give drink to his master of wine; but as for the other, he will be crucified, and the birds will eat from his head. The matter has been decreed about which you both inquire.”
(MALAY)
Hai kedua penghuni penjara: “Adapun salah seorang di antara kamu berdua, akan memberi minum tuannya dengan khamar; adapun yang seorang lagi maka dia akan disalib, lalu burung memakan daripada kepalanya. Telah diputuskan perkara yang kamu berdua menanyakannya (kepadaku)”.
يَـٰصَٰحِبَىِ ٱلسِّجنِ
Hai kedua sahabat aku dalam penjara:
Sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mula mentafsirkan mimpi mereka kerana baginda sudah berjanji kepada mereka. Baginda sudah mengambil kesempatan sebentar sebelum ini untuk berdakwah. Lihatlah baginda menggunakan panggilan yang mesra terhadap mereka.
أَمَّآ أَحَدُكُمَا فَيَسقِى رَبَّهُ ۥ خَمرًا
“Adapun salah seorang di antara kamu berdua, akan memberi minum tuannya dengan arak;
Baginda mengatakan berdasarkan mimpi itu, yang salah seorang daripada mereka boleh keluar dari penjara dan dia akan bekerja untuk memberi minum kepada tuannya. Zaman dahulu para raja ada hamba khas yang menyediakan air dan menghidangkan air kepada raja. Lagi pun arak yang dibuat daripada anggur seperti wain itu mahal harganya dan bukannya macam minum Milo tetapi mesti diperam lama. Maknanya dia akan kerja kembali seperti sebelum dia dipenjarakan dahulu. Perhatikan baginda kata أَحَدُكُمَا (salah seorang daripada kamu berdua) dan yang dimaksudkan adalah tukang bawa minuman raja. Cuma baginda tidak terus berkata kepada orang yang dimaksudkan kerana hendak menjaga hati. Ini kerana kawan ini mendapat berita baik, sebaliknya yang seorang lagi akan mendapat berita buruk.
وَأَمَّا الآخَرُ فَيُصلَبُ
adapun yang seorang lagi, dia akan disalib,
Sedangkan seorang lagi tidak akan selamat kerana dia akan disalib. Iaitu tangan dan kakinya akan dipalang dan dia akan dibiarkan di palang itu sampai mati. Sebab itulah nanti burung akan mematuk kepala dia dan makan dia nanti. Ini adalah kerana nanti setelah dibicarakan, telah pasti yang dia memang terlibat dalam cubaan meracuni raja.
Perhatikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan istilah أَمَّا الآخَرُ sebagai menunjuk kepada pihak ketiga sahaja dan tidaklah baginda berkata: “Engkau nanti akan disalib”. Tujuan baginda adalah untuk menjaga hati penghuni penjara itu. Kalau disebut sebagai pihak ketiga, tidaklah terasa berat sangat.
Berita ini tentunya berat untuk disampaikan, terutama kepada orang yang menerima berita yang buruk. Akan tetapi ayat ini mengajar kita yang kadangkala kita terpaksa menyampaikan berita yang buruk. Ia buruk tetapi benar dan kena ada orang yang melakukannya. Kalau kita hendak bawakan berita baik sahaja, kita sudah tidak jujur. Kita kena kuatkan diri kita dan kena percaya yang kita sedang menjalankan tugas menyampaikan sahaja. Sebagai contoh kadangkala kita terpaksa menjadi orang yang menasihati seseorang yang ada masalah panas baran contohnya. Untuk beri nasihat itu, kenalah kita berterus terang dengan dia yang dia memang ada masalah itu. Ya, memang dia mungkin tidak bersetuju, mungkin marah, tidak dapat menerimanya akan tetapi kebenaran tetap harus disampaikan.
Begitu juga dalam dakwah kita yang kadangkala kita mesti sampaikan teguran terhadap orang yang kita sedang dakwahkan. Kalau kita tidak berterus terang, mungkin dia tidak akan faham, maka sampaikanlah sahaja. Mungkin dia seorang yang banyak melakukan dosa, maka kita hendaklah berterus terang sahaja kepadanya perkara yang sebenar. Begitu juga dalam memberi hukum. Sebagai contoh saya pernah ditanya oleh seorang gay, apakah hukum orang gay, adakah diterima Allah ﷻ? Saya terus terang jawab bila mati tanah tidak terima!
Pengkritik Al-Qur’an mengatakan Al-Qur’an telah salah apabila mengatakan ada hukuman salib di sini. Ini adalah kerana pada mereka, salib itu hanya mula digunakan oleh orang Rom pada kurun ke 4 sebelum Masihi. Sebenarnya kajian moden menunjukkan yang salib telah digunakan oleh Assyria dan juga orang Babylon lama sebelum bangsa Rom. Malah kajian tentang Mesir Purba telah membuktikan Firaun juga menggunakan salib dan Al-Qur’an telah menyebut tentangnya 1,400 tahun dahulu di dalam Fajr:10
وَفِرعَونَ ذِي الأَوتادِ
dan kaum Fir’aun yang mempunyai pasak-pasak
Akan tetapi salib menggunakan pasak ini tidaklah seperti huruf T yang kita selalu lihat pada patung Jesus itu. Ini kerana Firaun akan suruh potong tangan dan kaki dahulu. Kalau tangan dan kaki sudah dipotong, bagaimana nak paku pada tangan dan kaki? Jadi mereka dipaku pada badan. Lihat bagaimana cara ini disebut dalam Taha:71
فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيدِيَكُم وَأَرجُلَكُم مِن خِلافٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُم في جُذوعِ النَّخلِ
Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar;
Maka tidak benarlah orang Rom yang mula reka hukuman salib. Al-Qur’an sudah menyebut perkara ini yang dibuktikan daripada tulisan hieroglif Mesir Purba.
Ini adalah salah satu bukti yang Al-Qur’an ini bukanlah ditulis oleh Nabi Muhammad ﷺ kerana maklumat yang diberikan adalah tepat dan tidak mungkin maklumat itu diketahui oleh Nabi Muhammad ﷺ yang hidup di zaman yang tidak ada maklumat sebegitu.
فَتَأڪُلُ ٱلطَّيرُ مِن رَّأسِهِ
lalu burung memakan kepalanya.
Dia telah bermimpi yang dia menjunjung roti dan burung akan memakan roti itu. Sebenarnya burung akan memakan kepalanya dengan mematuknya. Kepalanya sendiri akan pecah dan otaknya akan dimakan oleh burung!
Jadi berita buruk betul apa yang dia terima ini, tetapi apakah hikmahnya? Hikmahnya dia akan tahu yang dia akan mati tidak lama lagi. Maka dengarlah nasihat daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang agama Islam itu dan terimalah supaya dia mati sebagai seorang mukmin. Setiap orang memang akan mati, cepat atau lambat sahaja. Mati tetap mati tetapi lebih baiklah mati dalam iman daripada mati katak sahaja.
قُضِيَ الأَمرُ الَّذي فيهِ تَستَفتِيانِ
Telah diputuskan perkara yang kamu berdua menanyakannya (kepadaku)”.
Baginda meminta maaf namun perkara itu telah ditakdirkan oleh Allah ﷻ. Begitulah yang mereka minta fatwakan mimpi mereka. Mungkin ada yang tidak suka dengan apa yang baginda telah sampaikan tetapi baginda beritahu yang ketetapan itu adalah taqdir daripada Allah ﷻ dan ia pasti akan berlaku. Baginda jujur dalam penta’wilan baginda. Walaupun baginda tahu yang tentu salah seorang daripada mereka itu tidak suka dengan takwil itu, namun Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak memberikan interpretasi yang lain kerana itulah jawapannya.
Perhatikan kalimah الأَمرُ di dalam bentuk tunggal sedangkan ada dua mimpi dalam kisah ini. Ini adalah kerana الأَمرُ di sini merujuk kepada kes cubaan meracun raja. Kes mereka masuk ke dalam penjara itu adalah kerana kes itu dan salah seorang daripada mereka akan dihukum kerana kes itu juga.
Menarik kalimah تَستَفتِيانِ yang digunakan dalam ayat ini. Ia adalah daripada kata dasar ف ت ي yang juga kata dasar untuk kalimah فَتَيَانِ (dua orang pemuda) di dalam ayat 36 وَدَخَلَ مَعَهُ ٱلسِّجنَ فَتَيَانِ sebelum ini: (Dan bersama dengan dia masuk pula ke dalam penjara dua orang pemuda). Daripada kata dasar inilah datangnya istilah ‘fatwa’ yang kita selalu dengar mufti selalu keluarkan itu. Jadi kata dasar ini membawa banyak maksud seperti keremajaan, pendapat, penjelasan, nasihat. Namun begitu apakah kaitan orang muda dengan fatwa pula? Kerana fatwa sepatutnya memberi semangat kepada orang yang menerima fatwa itu dan menyegarkannya seperti segarnya orang muda.
Maka sekian ceramah atau tazkirah daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada dua sahabat penjaranya itu. Kata-kata baginda yang dinukilkan oleh ayat-ayat Al-Qur’an ini pendek sahaja namun ia mengandungi banyak pengajaran kepada para pendakwah sejak dulu sampai sekarang. Sekiranya kita telusuri semula satu persatu bait-bait kata baginda, kita boleh senaraikan satu persatu; dan malah kalau hendak dibuat buku dakwah pun boleh dengan tajuk-tajuk ini:
1. Dakwah bil Hal. Perawakan pendakwah perlu dijaga supaya akhlak kita sendiri menjadi dakwah. Ia akan memudahkan mad’u menerima dakwah kita. Kadangkala tidak bercakap pun orang sudah lembut hati untuk mengikut kita. Dua orang banduan itu berasa yakin dengan perawakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampaikan mereka berkata إِنَّا نَرَٮٰكَ مِنَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (Sesungguhnya kami memandangmu: daripada orang-orang yang berbuat kebaikan) kerana baginda memang banyak membantu orang lain.
2. Berikan telinga untuk mendengar apa yang orang lain kata supaya kita boleh faham mereka. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendengar dan memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi oleh rakan penjaranya itu sebelum memberi dakwah. Ini penting supaya yang didakwah itu nampak yang kita memang prihatin dengan mereka. Begitulah manusia ini kurang mendengar sebenarnya. Boleh baca buku Stephen R. Covey’s principle of “Seek First to Understand, Then Only to Be Understood.”
3. Tunjukkan keprihatinan kepada orang yang hendak didakwah. Jangan hendak sampaikan dakwah kita sahaja.
4. Kalau ada kemampuan untuk membantu, maka bantulah dan penuhilah keperluan orang lain yang kita hendak dakwah itu. Kalau tidak mampu, beritahu awal-awal yang anda tidak mampu. Jangan beri harapan palsu kepada orang lain. Sepertimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan yakin mengatakan yang baginda mampu kerana baginda kata ذٰلِكُمَا مِمَّا عَلَّمَنِى رَبِّىٓ (Yang demikian itu ialah sebahagian daripada apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku).
5. Berkongsi pengalaman kita dengan orang yang hendak didakwah. Kerana kadang-kadang pengalaman kita pun adalah pengalaman orang lain juga. Sebab itu kita suka mendengar pengalaman golongan mualaf dan bagaimana mereka daripada agama sejak kecil boleh jumpa Islam dan kenapa mereka pilih agama Islam. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menceritakan pengalaman baginda dengan orang kafir yang baginda telah berkhidmat apabila baginda sebut إِنِّى تَرَكۡتُ مِلَّةَ قَوۡمٍ لَّا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَهُم بِٱلۡأَخِرَةِ هُمۡ كَـٰفِرُونَ (aku telah meninggalkan agama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat)
6. Beritahu kepada mereka siapakah kita dan kelayakan kita untuk berdakwah atau mengajar agama. Ini kerana kredibiliti juga penting supaya orang tahu dengan siapa mereka mendengar. Kadangkala manusia memandang status, kedudukan dan kebolehan orang yang berdakwah dengan mereka; ini boleh memberi ketenangan hat kerana sekarang pun ramai yang tidak ada kelayakan tetapi bercakap dalam hal agama. Kerana itulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut dari mana baginda datang iaitu وَٱتَّبَعۡتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبۡرَٲهِيمَ وَإِسۡحَـٰقَ وَيَعۡقُوبَ (Dan aku menurut agama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub)
7. Beritahu hebatnya agama Tauhid ini kalau dibandingkan dengan agama yang ada banyak tuhan. Beritahu mereka tentang fadilat dan kelebihan agama Islam. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berkata yang agama itu telah bermanfaat bagi keluarga baginda tetapi bukan hanya untuk keluarga baginda akan tetapi untuk semua manusia ذٰلِكَ مِن فَضۡلِ ٱللَّهِ عَلَيۡنَا وَعَلَى ٱلنَّاسِ (Mentauhid (mengesakan) Allah ialah hasil daripada limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia).
8. Hormati manusia. Hormati masa mereka dan kedudukan mereka. Jangan hina atau pandang rendah kepada mereka. Berkata-katalah dengan nada yang lembut dan gunakan gelaran yang baik terhadap mereka. Begitulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memulakan menggelar mereka يَـٰصَٰحِبَىِ ٱلسِّجۡنِ (Wahai sahabatku berdua yang sepenjara). Tidak salah langsung kalau kita menghormati orang lain malah akan menyebabkan mereka lebih suka untuk mendengar apa yang kita akan cakapkan nanti.
9. Gunakan pendekatan soalan untuk membuka minda mereka. Kalau kita beri soalan kepada mereka untuk mereka fikir sendiri, mereka akan senang menerima kerana jawapan itu datang daripada mereka sendiri. Kita tidak paksakan satu keputusan kepada mereka tetapi mereka yang fikirkan sendiri. Kita hanya timbulkan persoalan sahaja. Kerana itulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajukan soalan kepada mereka, ءَأَرۡبَابٌ مُّتَفَرِّقُونَ خَيۡرٌ أَمِ ٱللَّهُ ٱلۡوٰحِدُ ٱلۡقَهَّارُ (menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?)
10. Jangan takut untuk menyatakan kebenaran walaupun kita sedar yang ia pahit untuk didengari oleh mad’u itu. Kebenaran mesti disampaikan. Kita tidak tahu entah-entah mereka boleh terima. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengkritik agama nenek moyang rakan penjaranya itu dengan berkata مَا تَعۡبُدُونَ مِن دُونِهِۦۤ إِلَّآ أَسۡمَآءً سَمَّيۡتُمُوهَآ أَنتُمۡ وَءَابَآؤُڪُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِہَا مِن سُلۡطَـٰنٍ (Apa yang kamu sembah, yang lain daripada Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya)
11. Kena yakin dengan agama Islam yang kekal tegak berdiri dengan prinsip-prinsip yang tidak berubah. Agama Islam adalah agama terbaik yang penuh dengan segala dalil bukti yang boleh diterima oleh akal. Ia adalah agama terbaik dari dahulu, sekarang dan akan datang. Kerana itulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menekankan ذٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ (Yang demikian itulah agama yang betul). Kalau kita sendiri tidak yakin dengan agama kita, bagaimana kita hendak dakwah agama itu kepada orang lain?
12. Berilah bantuan dengan ikhlas kepada orang lain. Jadikan diri kita ini bermanfaat kepada orang lain. Manfaat yang kita beri itu boleh jadi dari segi kewangan, tenaga empat kerat tulang kita atau dari segi ilmu. Balasan daripada orang yang dibantu itu jangan diharapkan tetapi berharaplah kepada Allah ﷻ untuk memberi balasan kepada kita. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh sahaja menolak untuk membantu dua rakannya itu; tambahan pula baginda pun ada masalah baginda sendiri. Akan tetapi baginda dengan rela hati meluangkan masa untuk membantu mereka.
Itulah dia 12 sahaja dahulu untuk difikirkan oleh kita dalam rangka berdakwah kepada manusia. Surah ini adalah surah ke 12 dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adik beradik pun ada 12 orang semua sekali.
Kuiz (10 Soalan Jawab Pendek)
Sila jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat sahaja.
- Bilakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mula mentafsirkan mimpi kedua sahabat penjaranya?
- Apakah panggilan mesra yang digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika menyapa dua sahabat penjaranya?
- Berdasarkan tafsiran mimpi, apakah nasib yang menimpa salah seorang daripada banduan tersebut yang akan keluar dari penjara?
- Mengapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan istilah أَحَدُكُمَا (salah seorang daripada kamu berdua) dan الآخَرُ (seorang lagi) dan bukannya menyebut nama mereka secara langsung ketika mentafsir mimpi?
- Apakah hukuman yang akan dikenakan kepada banduan yang seorang lagi, menurut tafsiran mimpi?
- Apakah hikmah (pelajaran) yang dapat diambil daripada penyampaian berita buruk oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada salah seorang banduan?
- Bagaimanakah pengkritik Al-Qur’an mempertikaikan hukuman salib yang disebut dalam ayat ini, dan apakah bukti balasan yang diberikan oleh kajian moden?
- Dalam konteks Surah Yusuf, apakah yang dimaksudkan dengan kalimah الأَمرُ (perkara) dalam bentuk tunggal dalam frasa قُضِيَ الأَمرُ الَّذِي فِيهِ تَستَفتِيانِ?
- Nyatakan dua daripada dua belas poin pengajaran dakwah yang boleh dipelajari daripada cara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berinteraksi dengan banduan-banduan tersebut.
- Apakah maksud asal kata dasar ف ت ي (dari mana datangnya istilah ‘fatwa’), dan apakah kaitannya dengan fatwa?
Glosari Istilah Utama
Ta’bir Mimpi: Proses menterjemah atau menginterpretasi makna di sebalik mimpi. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada kebolehan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menafsirkan mimpi.
Khamar: Minuman keras atau arak; minuman yang memabukkan yang dibuat daripada anggur (wain) atau sumber lain.
Disalib: Bentuk hukuman mati purba di mana seseorang dipakukan atau diikat pada palang kayu (salib) dan dibiarkan mati.
Dakwah bil Hal: Kaedah berdakwah yang dilakukan melalui tingkah laku, perawakan, dan akhlak yang baik, menjadikan diri pendakwah itu sendiri sebagai contoh ikutan.
Mad’u: Orang atau golongan yang menjadi sasaran atau penerima dakwah.
Kredibiliti: Kebolehpercayaan atau kelayakan seseorang untuk dipercayai atau didengari, terutama dalam hal menyampaikan ilmu agama.
Fatwa: Keputusan atau penjelasan hukum Islam yang dikeluarkan oleh ulama (mufti) mengenai sesuatu isu. Istilah ini berasal dari kata dasar ف ت ي.
Taqdir: Ketetapan atau ketentuan Ilahi daripada Allah ﷻ, yang telah diputuskan dan pasti akan berlaku.
Hieroglif: Sistem tulisan purba yang digunakan oleh masyarakat Mesir, terutamanya yang berkaitan Firaun, yang terdiri daripada lambang-lambang bergambar.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 25 September 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)


