Tafsir Surah Yusuf Ayat 25 – 26 (Baju koyak di mana?)

Yusuf Ayat 25: Apa yang berlaku ini adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ. Ujian Allah ‎ﷻ menzahirkan sama ada orang itu beriman atau tidak. Memang Allah ‎ﷻ tahu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ beriman, akan tetapi jikalau tidak diuji, maka tidaklah zahirnya iman itu. Maka banyak yang kita belajar daripada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Supaya kita tahu yang orang beriman pun akan diuji juga. Kadang kita jaga syariat, tidak kacau orang, namun ada sahaja orang kacau kita, bukan? Ini kerana ujian Allah ﷻ.

وَٱستَبَقَا ٱلبَابَ وَقَدَّت قَمِيصَهُ ۥ مِن دُبُرٍ وَأَلفَيَا سَيِّدَهَا لَدَا ٱلبَابِ‌ۚ قَالَت مَا جَزَآءُ مَن أَرَادَ بِأَهلِكَ سُوٓءًا إِلَّآ أَن يُسجَنَ أَو عَذَابٌ أَلِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they both raced to the door, and she tore his shirt from the back, and they found her husband at the door. She said, “What is the recompense of one who intended evil for your wife but that he be imprisoned or a painful punishment?”

(MALAY)

Dan keduanya berlumba-lumba menuju pintu dan wanita itu menarik baju Yusuf dari belakang hingga koyak dan kedua-duanya mendapati suami wanita itu di muka pintu. Wanita itu berkata: “Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?”

 

وَاستَبَقَا البَابَ

Dan mereka berdua berlumba-lumba menuju pintu

Kalimah استَبَقَا bermaksud mereka berdua sama-sama berlumba tetapi tidaklah disebut berlumba apa. Jadi kita andaikan yang mereka dua-dua berlari ke arah pintu. Sebenarnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berlari ke arah pintu untuk membukanya sedangkan wanita itu berlari ke arah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menahannya. Akan tetapi Allah ﷻ ringkasnya sahaja di dalam ayat ini dengan sebut kedua-duanya berlari ke arah pintu. Atau mungkin juga wanita itu pun berlari ke arah pintu kerana hendak memastikan ia tetap tertutup. Ini kerana sebelum ini dia telah menutupnya.

Di dalam ayat 23 digunakan kalimah ٱلأَبوٰبَ (pintu-pintu) sedangkan di dalam ayat ini digunakan kalimah البَابَ (satu pintu) sahaja. Ini kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berjaya membuka pintu-pintu yang banyak itu dan sekarang ia merujuk kepada satu pintu yang terakhir itu. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak membuka pintu dan melarikan dirinya daripada wanita itu, manakala wanita itu berlumba kerana hendak mengejar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjauhkan diri. Sama-sama berlumba ke arah pintu tetapi bukan untuk tujuan yang sama.

Ini menunjukkan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan sebut sahaja tidak mahu melakukan perkara keji, tetapi baginda juga telah mengambil tindakan. Baginda melarikan diri dan itulah usaha baginda. Perbuatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menjadi contoh tauladan kalau ia terjadi kepada kita juga. Maka kita pun jangan pandai cakap sahaja tanpa ambil langkah menyelamatkan diri daripada dosa. Sebagai contoh kalau kita tiba-tiba berada di tempat maksiat, teruslah lari keluar. Janganlah tengok-tengok pula apa yang ada di dalam tempat itu.

Namun bukankah pintu telah dikunci oleh wanita itu? Dan kunci itu mungkin di tangan wanita itu. Jadi kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ buat perkara yang nampaknya sia-sia? Maka ini mengajar kita yang kita kena usaha sahaja dan selebihnya serah kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Mungkin Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dapat membuka pintu itu kerana dikunci akan tetapi dia masih boleh cuba pecahkan atau dia mungkin boleh ketuk pintu itu dengan kuat supaya ada orang luar yang akan dengar. Yang pastinya, kena lakukan sesuatu dan tidak putus asa dan tunggu sahaja. Ada kisah seorang lelaki mukmin yang dipenjara. Setiap hari Jumaat dia akan mandi dan bersiap untuk solat Jumaat dan dia akan pergi ke pintu penjaranya dan berkata: “Ya Allah, ini sahaja yang mampu aku lakukan, selebihnya aku serahkan kepada-Mu”. Maka ini mengajar kita untuk lakukan apa sahaja usaha setakat kemampuan kita. Semoga Allah ‎ﷻ balas usaha kita itu dengan pahala walaupun tujuan akhirnya tidak tercapai. Usahalah setakat kemampuan kita dan berharap supaya Allah ‎ﷻ beri jalan keluar. Percayalah dengan janji Allah ‎ﷻ di dalam Talaq:2

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا
Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

 

وَقَدَّت قَمِيصَهُ ۥ مِن دُبُرٍ

dan wanita itu mengoyak baju Yusuf dari belakang 

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang ke hadapan dahulu dan wanita itu menarik baju Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari arah belakang sampai baju baginda terkoyak. Kalimah قَدَّت bermaksud koyak ke bawah. Tujuan ditariknya adalah supaya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak lari. Ini adalah kali kedua baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut di dalam surah ini. Kali pertama baju baginda digunakan oleh abang-abangnya konon sebagai bukti baginda telah dimakan serigala.

Baju adalah lambang kepada maruah. Begitulah maruah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dicalar pertama oleh abang-abangnya apabila baju baginda diambil. Sekarang sekali kali maruah baginda dicalar apabila baju baginda dikoyakkan dari belakang. Begitulah ujian yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kedua-dua golongan itu yang sepatutnya diharapkan oleh baginda untuk menjaganya, akan tetapi merekalah yang mencalar maruah baginda.

 

وَأَلفَيَا سَيِّدَهَا لَدَى البَابِ

dan kedua-duanya mendapati tuan wanita itu di muka pintu. 

Kalimah أَلفَيا (mereka berdua mendapati) bermaksud mereka mendapati sesuatu yang tidak dicari dan tidak disangka-sangka. Ia tidak sama dengan kalimah وَجَدَ yang digunakan untuk menjumpai sesuatu yang dicari-cari. Maknanya mereka tidak sangka tuan rumah (suami wanita) itu akan ada di rumah. Apabila pintu dibuka, di situ telah berada Al-Aziz, suami wanita itu. Mereka tidak menyangka akan bertemu tuan rumah di pintu itu kerana mungkin dia berada di tempat lain dan lambat lagi baru balik. Kerana itulah wanita itu berani hendak buat apa yang dia buat dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun Allah ‎ﷻ takdirkan menteri itu pulang awal dari biasa. Mungkin dia ada barang tertinggal atau apa-apa sebab kerana ia di dalam percaturan Allah ﷻ dan Allah ﷻ yang mahukan ia terjadi.

Soalan: siapa yang menteri itu nampak dahulu? Sudah tentu dia nampak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda yang berada di hadapan dan baginda yang sedang membuka pintu. Sudah sepatutnya menteri itu sudah nampak yang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mahu lari. Sila ingat fakta ini kerana ia maklumat yang penting nanti.

Penduduk atau rakyat Mesir pada ketika itu (Coptic Christian) memanggil suami mereka dengan panggilan سيّد (setelah diterjemah ke dalam Bahasa Arab). Perkataan سيّد disebut SEKALI SAHAJA di dalam seluruh Al-Qur’an, iaitu pada Surah Yusuf. Ini bermaksud Al-Qur’an begitu tepat sehinggakan panggilan secara adat semasa juga direkod dalam teknik penceritaan di mana tidak mungkin diketahui oleh Arab pada ketika itu. Ini kerana kalimah سيّد tidak digunakan sebagai istilah yang merujuk kepada suami di dalam dunia Arab. Kalimah سيّد asalnya bermaksud ‘tuan’ dan Ibn Asyur berpendapat perkahwinan di Mesir ketika itu menjurus kepada pemilikan suami ke atas isterinya.

Perhatikan juga kalimah yang digunakan adalah سَيِّدَها (tuan wanita itu) kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dianggap sebagai hamba. Menurut al-Biqa‘i, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang merdeka yang tidak pernah diperbudak. Baginda adalah seorang muslim, dan seorang muslim tidak dimiliki oleh siapa pun kecuali oleh Allah ‎ﷻ.

 

قَالَت مَا جَزَآءُ مَن أَرَادَ بِأَهلِكَ سُوٓءًا

Wanita itu berkata: “Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu,

Perhatikan dalam keadaan sudah terkantoi sebegitu rupa pun, wanita itu tenang sahaja; tanpa malu dan tanpa ditanya dia pandai berkata-kata untuk menyelamatkan dirinya. Dia cepat-cepat bercakap dahulu untuk membersihkan namanya. Inilah salah satu daripada kelicikan wanita yang Allah ‎ﷻ sebut dalam Al-Qur’an. Walaupun yang sebenarnya dia yang dari awal telah menggoda Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tapi dia pula bertindak ‘play victim’ (acah-acah menjadi mangsa). Dia terus tanya suaminya apa yang suaminya akan buat untuk menghukum Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Namun kalimah yang digunakan adalah جَزَآءُ iaitu kalimah yang digunakan untuk balasan baik seperti kita ucap terima kasih جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا (Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan). Jadi dia sedang perli suaminya yang sayang kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jadi ia seolah-olah cakap: “Ha sekarang ‘balasan baik’ apa untuk dia ni? Kau sayang sangat dia kan? Sekarang tengok apa dia buat!”

Perhatikan dia menggunakan istilah بِأَهلِكَ (dengan isterimu) seolah-olah mencabar kelelakian suaminya itu. Selalu orang lelaki akan jadi marah kalau keluarganya diganggu dan mereka tidak dapat tahan sabar lagi. Ironinya sebelum itu dia tidak bertindak pun sebagai isteri suaminya apabila hendak berselingkuh dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi kali ini dia gunakan istilah isteri pula.

Soalan dia kepada suaminya itu seolah-olah dia yang teraniaya dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula yang bersalah. Dia telah menggunakan teknik mengawal minda. Sebagai contoh, seseorang bertanya kepada orang lain: “Kenapa kau rasa dia buat perkara itu?” Dalam soalan ini, orang yang bertanya itu telah menutup kebarangkalian orang itu tidak buat pun perkara itu. Dia terus buat andaian yang orang itu memang telah membuat perkara itu, cuma sekarang ditanya ‘kenapa’ sahaja. Boleh nampak betapa liciknya soalan wanita ini?

 

إِلَّآ أَن يُسجَنَ أَو عَذَابٌ أَلِيمٌ

selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan seksaan yang pedih?”

Malah lebih hebat lagi, dia siap bagi cadangan lagi kepada suaminya itu untuk terus menghukum Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: sama ada penjarakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau beri hukuman yang menyakitkan baginda. Dia ada dua tujuan: (1) memesongkan kesalahan daripada dirinya kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan (2) mengajar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah menolaknya. Jadi wanita ini adalah wanita yang jahat, bukannya baik. Maka tidak perlulah hendak letakkan nama anak sebagai Zulaikha untuk nisbahkan kepadanya. Dia bukannya hendakkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masuk penjara tetapi dia gunakan gertakan sahaja supaya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ikut cakapnya. Buktinya nanti kita akan lihat bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih rela memasuki penjara.

Wanita itu memang sayang kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kerana itu dia dahulukan cadangan dipenjarakan sahaja sebelum disebut azab. Kerana dia mahu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipenjarakan bukannya lama tetapi sekejap sahaja kerana kalimat yang digunakan adalah يُسجَنَ sahaja. Kalau dia hendak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipenjarakan lama, maka kalimat lain yang digunakan seperti kata-kata Firaun di dalam Syua’ra:29 yang hendak memenjarakan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ,

قالَ لَئِنِ اتَّخَذتَ إِلٰهًا غَيري لَأَجعَلَنَّكَ مِنَ المَسجونين
Fir’aun berkata: “Sungguh jika kamu menyembah Tuhan selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan”.


 

SAKSI

Yusuf Ayat 26: Sambungan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digoda oleh isteri tuannya. Tadi wanita itu yang terus berkata, sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang mempertahankan dirinya. Baginda harus mempertahankan dirinya kerana tentu tidak ada sesiapa yang akan pertahankan. Sekiranya ada orang lain yang tahu kisah sebenar, mereka pun tidak berani hendak mempertahankan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana takut hilang kerja atau hilang terus kepala.

قَالَ هِىَ رٰوَدَتنِى عَن نَّفسِى‌ۚ وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِّن أَهلِهَآ إِن كَانَ قَمِيصُهُ ۥ قُدَّ مِن قُبُلٍ فَصَدَقَت وَهُوَ مِنَ ٱلكَـٰذِبِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Joseph] said, “It was she who sought to seduce me.” And a witness from her family testified, “If his shirt is torn from the front, then she has told the truth, and he is of the liars.

(MALAY)

Yusuf berkata: “Dia menggodaku untuk menundukkan diriku (kepadanya)”, dan seorang saksi daripada keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya: “Jika bajunya koyak di hadapan, maka wanita itu benar dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta.

 

قالَ هِيَ رٰوَدَتني عَن نَّفسي

Yusuf berkata: “Dia menggodaku untuk menundukkan diriku

Setelah isteri tuan rumah itu menuduhnya hendak merogolnya, maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjelaskan keadaan. Memang tuduhan kenalah ada bukti dan sekarang tidak ada bukti yang baginda hendak merogol wanita itu. Perhatikan jawapan yang ringkas dan kita baca pun tenang sahaja dari Nabi Yusuf ini. Bandingkan kalau kita baca tuduhan wanita sebelum ini. Kalau kita baca dengan tajwid yang betul, panjang berjela bunyi ayat قَالَت مَا جَزَآءُ مَن أَرَادَ بِأَهلِكَ سُوٓءًا إِلَّآ أَن يُسجَنَ أَو عَذَابٌ أَلِيمٌ. Perhatikan ada banyak tanda mad di dalam ayat itu.

Maka baginda mesti mempertahankan diri baginda, tidak buat senyap sahaja. Jadi ini mengajar kita yang kita mestilah pertahankan diri dan kemudian serah diri kepada Allah ‎ﷻ dan yakin bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Begitulah kita dapat belajar melalui sejarah para ulama’ bagaimana mereka mempertahankan diri mereka walaupun mereka telah dituduh oleh kerajaan sendiri. Tidaklah mereka berdiam diri sahaja. Sebagai contoh kita lihat kisah Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ. Beliau adalah seorang ulama yang sentiasa berhadapan dengan fitnah dan tuduhan, bukan sahaja daripada penguasa, tetapi juga daripada ulama sezamannya yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau. Beliau dituduh sesat dan dihalang untuk mengajar. Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ tidaklah berdiam diri dan berserah kepada takdir sahaja sebaliknya beliau mempertahankan dirinya dengan hujah dan dalil yang kukuh daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Beliau menulis banyak kitab untuk membantah tuduhan yang dilemparkan kepadanya, seperti kitab “Minhaj as-Sunnah an-Nabawiyyah”.

Ketika Imam Asy-Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ berada di Baghdad, beliau dituduh cenderung kepada akidah Syiah. Tuduhan ini dibawa ke hadapan Khalifah Harun Ar-Rasyid. Imam Asy-Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ membela dirinya dengan hujah yang sangat kuat dan logik di hadapan Khalifah. Beliau menjelaskan kesucian akidahnya dan membantah segala tuduhan tersebut. Berkat kepintaran dan keteguhannya, beliau dilepaskan dan tuduhan itu terbatal. Kisah Imam Asy-Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ mengajar kita pentingnya ilmu, kefasihan, dan keberanian dalam mempertahankan diri daripada fitnah dan salah faham.

Mempertahankan diri penting bagi pendakwah kerana mereka akan buat kerja dakwah dan mengajar nanti. Kalau imej mereka tercabar, maka nanti kerja dakwah dan pengajaran ilmu mereka akan terganggu. Ada kisah menarik tentang Imam Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ dalam hal ini.

Pada suatu masa, ketika Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ dalam perjalanan untuk menuntut ilmu hadith, beliau membawa bersama sejumlah wang yang banyak iaitu seribu dinar. Wang tersebut dikumpulnya hasil daripada harta yang ditinggalkan oleh bapanya. Beliau menyimpannya dengan baik. Sewaktu dalam perjalanannya, Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ telah berkenalan dengan beberapa orang yang turut sama menuntut ilmu. Salah seorang daripada mereka sebenarnya seorang pencuri. Apabila si pencuri itu menyedari bahawa Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ mempunyai sejumlah wang, dia merancang untuk mencuri wang itu. Namun, dia tidak menemui sebarang wang di dalam beg Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ. Setelah gagal, si pencuri itu cuba menipu. Dia mula menjerit dan menuduh Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ sebagai pencuri dan mengatakan Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ telah mencuri wang miliknya. Apabila dia terus menjerit dan membuat kekecohan, para penumpang lain di dalam kenderaan mereka mula curiga. Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ yang terkenal dengan ketenangan dan kebijaksanaannya, dengan tenang menjawab tuduhan itu. Beliau berkata: “Aku bukan seorang pencuri. Aku tidak pernah mengambil harta sesiapapun.” Namun, si pencuri itu terus berbohong dan menuduh. Untuk membuktikan dirinya jujur, Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ meminta agar beg dan pakaian mereka diperiksa. Apabila beg Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ diperiksa, tiada apa-apa ditemui di dalamnya. Beg si pencuri itu juga diperiksa dan tiada apa-apa ditemui. Pada saat ini, si pencuri itu terkejut. Dia tidak faham bagaimana Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ boleh menyimpan wangnya dengan begitu selamat. Si pencuri itu membuat tuduhan palsu. Apabila Imam Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ disoal siasat oleh rombongan, beliau tahu bahawa wang itu akan ditemui jika beliau membuka pakaiannya. Untuk menjaga nama baik dan integriti beliau sebagai penuntut ilmu hadith, Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ membuat satu keputusan yang sukar. Beliau membuka pakaiannya dan mengambil wang itu, lalu membuangnya ke dalam sungai yang mengalir di bawah mereka. Walaupun wang itu hilang, Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ selamat daripada tuduhan dan maruahnya sebagai seorang ulama tidak tercalar. Tindakan ini menunjukkan bahawa bagi beliau, menjaga nama baik dan kredibiliti dalam menyampaikan hadith Nabi ﷺ adalah jauh lebih penting daripada harta dunia.

Maka begitulah yang dilakukan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda mesti mempertahankan diri baginda supaya nama baik baginda tidak tercalar kerana nanti baginda akan menjadi seorang Nabi dan mengajar agama Islam. Tentu tidak bagus kalau ada suara-suara yang mengatakan baginda dulu ada melakukan maksiat, bukan? Jadi baginda tekankan yang bukan baginda yang hendak merogol wanita itu sebaliknya isteri tuan rumah itu yang hendak mengubah pendirian baginda untuk berzina dengannya dan kerana itulah baginda lari. Tambahan pula, sudah jelas semasa tuan rumah itu di pintu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berada di hadapan, bukannya wanita itu.

 

وَشَهِدَ شاهِدٌ مِّن أَهلِها

dan seorang saksi daripada keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya:

Selepas diberikan dengan dua kisah yang berlainan, maka tuan rumah itu kebingungan. Tidak ada yang berani mempertahankan baginda. Tiba-tiba ada seorang yang menjadi saksi dari dalam rumah. Perhatikan Allah ‎ﷻ sebut saksi itu مِن أَهلِها iaitu daripada belah keluarga wanita itu. Kalau daripada sebelah pihak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tentu tidak akan diterima persaksiannya; akan tetapi apabila datang daripada sebelah wanita itu sendiri, maka ia adalah saksi yang kuat. Allah ‎ﷻ beri bantuan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mendatangkan seseorang yang dapat memberikan idea siapakah yang bercakap benar.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya: Siapakah saksi ini? Di dalam Al-Qur’an dan hadith tidak disebut siapakah orang itu. Maka siapakah dia tidak perlu dikisahkan. Banyak kisah sampaikan ada riwayat yang mengatakan ia adalah seorang kanak-kanak yang masih dalam buaian. Berdasarkan hadith dan riwayat-riwayat yang sahih, terdapat beberapa bayi yang telah berkata-kata ketika mereka masih di dalam buaian. Ini adalah mukjizat yang menunjukkan kebesaran Allah ‎ﷻ dan kebenaran ajaran para Nabi. Ada yang mengatakan ada empat bayi yang telah berkata-kata itu adalah:

1. Bayi yang Menyaksikan Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Ini adalah kisah yang paling relevan dengan perbincangan kita di sini. Dalam ayat ini, kisah ini tidak disebutkan secara jelas, tetapi ia ada disebut di dalam kitab tafsir. Akan tetapi kisah ini tidak ada di dalam hadith yang sahih.

2. Bayi Juraij

Juraij adalah seorang abid (ahli ibadah) dalam kalangan Bani Israil yang bertekad untuk menjadi seorang rahib. Suatu hari, seorang wanita yang dituduh melahirkan anak zina menuduh Juraij sebagai ayah kepada bayinya. Orang ramai marah dan merobohkan tempat ibadah Juraij. Untuk membersihkan namanya, Juraij bertanya kepada bayi itu: “Siapakah ayahmu, wahai bayi?” Bayi itu menjawab dengan izin Allah: “Ayahku ialah seorang penggembala kambing!” Dengan itu, kebenaran terbongkar dan Juraij dibersihkan namanya.

3. Bayi yang Mati Syahid

Ini adalah kisah daripada hadith tentang pemuda yang beriman dan Raja yang zalim (Ashab al-Ukhdud). Seorang wanita solehah yang menggendong bayinya ditangkap oleh raja yang zalim kerana beriman kepada Allah ‎ﷻ. Raja itu menyuruh wanita itu membuang bayinya ke dalam api. Wanita itu pada mulanya ragu-ragu. Tiba-tiba, bayi di dalam gendongannya itu berkata: “Wahai ibuku, bersabarlah! Sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran.” Mendengar kata-kata itu, wanita tersebut menjadi berani dan membuang dirinya bersama bayinya ke dalam api, lalu mati syahid.

4. Bayi Firaun (Ibnu Masyitah)

Ini adalah kisah yang terkenal, di mana seorang tukang sikat rambut (Masyitah bukan nama tetapi ia bermaksud ‘tukang sikat) isteri Firaun beriman kepada Allah ‎ﷻ. Apabila keimanannya terbongkar, Firaun mengancam untuk membunuh semua anaknya dengan merebus mereka dalam minyak yang mendidih. Ketika anaknya yang paling kecil hampir dicampak, ibunya ragu-ragu. Pada saat itu, bayi yang masih kecil itu berkata: “Wahai ibu, bersabarlah! Sesungguhnya azab dunia lebih ringan daripada azab akhirat.” Mendengar kata-kata anaknya, wanita tersebut menjadi kuat imannya dan mati syahid bersama anak-anaknya.

Keempat-empat kisah ini adalah mukjizat yang menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ mampu menjadikan sesuatu yang mustahil menjadi mungkin, dan ia menjadi bukti kebenaran agama Islam. Walau bagaimanapun kisah saksi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tidak dapat dipastikan kerana hadith yang sahih hanya menyebut tiga yang lain. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi Muhammad ﷺ:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ ﷺ : “لَمْ يَتَكَلَّمْ فِي المَهْدِ إِلَّا ثَلَاثَةٌ: عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ، وَصَاحِبُ جُرَيْجٍ، وَكَانَ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ جُرَيْجٌ… وَالْغُلَامُ.”
“Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Nabi ﷺ bersabda: ‘Tiada yang berkata-kata dalam buaian melainkan tiga orang: Isa bin Maryam, bayi yang bersama Juraij, dan seorang bayi lagi.'”

(Riwayat Al-Bukhari No. 3436, 5068; Riwayat Muslim No. 2550)

Syarah: Hadith ini tidak memperincikan siapakah bayi ketiga. Namun begitu, dalam riwayat lain yang disahihkan oleh Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ, bayi tersebut dipercayai adalah anak tukang sisir rambut isteri Firaun (anak Masyitah) yang berkata-kata untuk menguatkan iman ibunya. Jadi walaupun saksi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu ada yang sebut seorang bayi yang masih dalam buaian, tetapi tidak dapat dipastikan. Yang pasti, beliau adalah seseorang yang dihormati dan dipercayai dan datang daripada keluarga isteri itu sendiri.

Ada lagi tafsiran lain. Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ mendapat suatu tafsiran bahawa saksi itu bukan manusia, melainkan jin. Asy-Syaukani رَحِمَهُ اللَّهُ membantah keterangan ini dalam Tafsirnya, dengan katanya: “Beliau rupanya lupa memperhatikan bahawa di hujung kata itu di dalam ayat diterangkan bahawa saksi itu ialah keluarga terdekat perempuan itu.

Suatu riwayat daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengatakan: “Saksi itu adalah orang yang bijaksana.” Ditambah oleh Ikrimah رَحِمَهُ اللَّهُ: “Dia bukan anak kecil, tetapi seorang yang bijaksana.” Abu Ja’far an-Nahhas رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan: “Yang lebih dekat ertinya ialah bahawa saksi ini adalah seorang ahli akal yang bijaksana, diajak musyawarat oleh Raja Muda/Menteri, lalu memberikan buah pendapatnya.” Al-Qurthubi رَحِمَهُ اللَّهُ menguatkan tafsiran an-Nahhas ini. Beliau menulis dalam Tafsirnya: “Saksi itu ialah seorang yang bijak. Ahli Hikmat dan berakal budi tinggi, yang selalu diajak musyawarat oleh Raja Muda/Menteri itu dalam hal-hal yang penting, dan dia termasuk keluarga juga oleh isterinya.”

Dari segi bahasa, kalimah شاهِدٌ digunakan bagi saksi yang nampak kejadian yang berlaku. Akan tetapi lelaki ini (sama ada bayi atau tidak), tidaklah berada di dalam bilik ketika kejadian itu. Akan tetapi beliau telah memberikan cadangan yang bernas bagaimana boleh menentukan siapakah yang bercakap benar. Yang kesannya sama seperti seorang yang melihat sendiri kejadian itu. Maka dengan ini, di dalam mahkamah pengadilan, شاهِدٌ itu tidaklah semestinya seorang yang nampak kejadian yang berlaku akan tetapi boleh sahaja bermaksud seseorang yang boleh memberi cadangan untuk sampai kepada kebenaran. Kerana kalau kita hendak juga cari saksi yang melihat di dalam setiap kes, tentu susah kerana banyak kejadian tidak ada pihak ketiga yang menyaksikannya.

 

إِن كَانَ قَمِيصُهُ ۥ قُدَّ مِن قُبُلٍ فَصَدَقَت

“Jika bajunya dikoyak di hadapan, maka dia (wanita) itu benar

Senang sahaja beliau berkata untuk tahu siapakah yang benar: ‘Lihatlah baju itu koyak di bahagian mana? Kalau koyak di bahagian hadapan, maka wanita itu yang berkata benar. Ini kerana tentu kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menyerang wanita itu, dan wanita itu melawan, maka tentulah baju itu koyak di bahagian hadapan.

Kali kedua baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digunakan sebagai bukti di dalam kisah baginda. Dahulu abang-abangnya menjadikan baju sebagai bukti kepada ayah mereka. Waktu itu baju itu tidak terkoyak (salah satu tafsiran) dan ia menjadi bukti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dimakan serigala. Kali ini memang benar baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terkoyak dan kali ini ia menjadi bukti lagi yang baginda tidak bersalah.

 

وَهُوَ مِنَ الكٰذِبينَ

dan dia (Yusuf) termasuk orang-orang yang berdusta.

Kalau benar baju itu koyak di bahagian hadapan, maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menipu dan wanita itu yang benar. Namun kalimat yang digunakan di sini bukanlah إنه يكذب (sesungguhnya dia menipu) akan tetapi مِنَ الكٰذِبينَ (termasuk orang-orang yang berdusta) yang bermaksud dia bukannya menipu kali ini sahaja tetapi memang jenis selalu menipu. Jadi kalau begitu, baginda tidak boleh dipercayai dengan apa-apa pun selepas ini kerana memang tidak boleh dipercayai langsung.

Dramatik juga kata-kata lelaki ini, tidaklah terus dia kata: “Tengoklah baju koyak kat mana, maknanya bukan dia menipu ni!” sebaliknya dia cakap agak panjang juga. Mungkin kerana suasana tengah tegang sekarang, jadi dengan bercakap panjang, boleh menenangkan keadaan.

 

Kuiz (10 Soalan Pendek)

Sila jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah maksud kalimah “استَبَقَا” dalam konteks Ayat 25 dan apakah tujuan berbeza Nabi Yusuf A.S. dan wanita itu berlari ke pintu?
  2. Bagaimana Al-Qur’an membezakan kalimah ٱلأَبوٰبَ (pintu-pintu) dan البَابَ (satu pintu) dalam Surah Yusuf ini, dan apa yang ia tunjukkan?
  3. Mengapakah Nabi Yusuf A.S. cuba membuka pintu yang mungkin terkunci, dan apakah pengajaran yang boleh diambil dari tindakan baginda?
  4. Apakah simbolisme baju yang terkoyak dalam kisah Nabi Yusuf ini, dan bagaimana ia telah digunakan dua kali dalam surah ini?
  5. Apakah maksud kalimah أَلفَيا dan bagaimana ia berbeza dengan وَجَدَ dalam Ayat 25?
  6. Bagaimanakah isteri Al-Aziz cuba memanipulasi suaminya sebaik sahaja mereka bertemu di pintu, dan apakah niat tersembunyi di sebalik cadangan hukumannya?
  7. Mengapakah penting bagi Nabi Yusuf A.S. untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan, dan berikan satu contoh dari sejarah ulama yang melakukan perkara yang serupa?
  8. Siapakah saksi yang dimaksudkan dalam Ayat 26, dan mengapa kesaksiannya dianggap kuat walaupun datang dari keluarga wanita itu?
  9. Jelaskan bagaimana cadangan saksi mengenai koyakan baju dapat menentukan siapa yang benar dan siapa yang dusta.
  10. Apakah yang dimaksudkan dengan “qarinah” (bukti keadaan) dan bagaimana kisah ini menjadi dalil penggunaannya dalam perundangan Islam?

Glosari Istilah Penting

  • Al-Aziz: Gelaran bagi menteri atau bangsawan tertinggi di Mesir pada zaman Nabi Yusuf A.S., juga suami kepada wanita yang menggoda Nabi Yusuf A.S.
  • جَزَآءُ (Jaza’): Kalimah Arab yang bermaksud “balasan”, boleh merujuk kepada balasan baik atau buruk.
  • شَاهِدٌ (Shahid): Kalimah Arab yang bermaksud “saksi”.
  • Qarinah: Bukti keadaan atau bukti tidak langsung, petunjuk yang bersandar pada keadaan sekeliling untuk menyimpulkan kebenaran sesuatu perkara.
  • Mukjizat: Peristiwa luar biasa yang terjadi melalui para nabi dan rasul sebagai bukti kebenaran kenabian mereka.
  • Ibn Taimiyyah: Seorang ulama besar Islam yang terkenal dengan ketegasannya dalam mempertahankan akidah dan menolak bid’ah.
  • Imam Asy-Syafie: Salah seorang daripada empat imam mazhab fiqh yang terkenal dalam Islam.
  • Imam Al-Bukhari: Salah seorang ahli hadis terkemuka yang menyusun kitab hadis Sahih al-Bukhari.
  • Ashab al-Ukhdud: Kisah dalam Al-Qur’an tentang orang-orang beriman yang dibunuh dengan dilemparkan ke dalam parit api.
  • Masyitah: Tukang sikat rambut isteri Firaun yang beriman kepada Allah, kisahnya menjadi teladan kesabaran dan keimanan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 25 – 26 (Baju koyak di mana?)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Apakah maksud kalimah “استَبَقَا” dalam konteks ayat 25 dan apakah tujuan berbeza Nabi Yusuf dan wanita itu berlari ke pintu? Kalimah “استَبَقَا” bermaksud mereka berdua berlumba-lumba. Nabi Yusuf berlari untuk membuka pintu dan melarikan diri, manakala wanita itu berlari untuk menahan dan mengejar baginda.
    2. Bagaimana Al-Quran membezakan kalimah ٱلأَبوٰبَ dan البَابَ dalam Surah Yusuf ini, dan apa yang ia tunjukkan? ٱلأَبوٰبَ (pintu-pintu) digunakan untuk merujuk banyak pintu yang dikunci pada awalnya. البَابَ (satu pintu) merujuk kepada pintu terakhir yang Nabi Yusuf cuba buka setelah berjaya melepasi pintu-pintu lain, menunjukkan kemajuan usaha baginda.
    3. Mengapakah Nabi Yusuf (AS) cuba membuka pintu yang mungkin terkunci, dan apakah pengajaran yang boleh diambil dari tindakan baginda? Nabi Yusuf berusaha kerana ia mengajarkan kita untuk melakukan apa sahaja usaha yang mampu, walaupun hasilnya tidak pasti, dan kemudian menyerahkannya kepada Allah. Ia menekankan pentingnya tidak berputus asa dan berharap kepada jalan keluar dari Allah.
    4. Apakah simbolisme baju yang terkoyak dalam kisah Nabi Yusuf ini, dan bagaimana ia telah digunakan dua kali dalam surah ini? Baju melambangkan maruah. Kali pertama, abang-abang Nabi Yusuf menggunakan baju yang kononnya dimakan serigala untuk mencalar maruah baginda di hadapan ayah mereka. Kali kedua, baju yang koyak menjadi bukti ketidakbersalahan baginda dari tuduhan zina, sekali lagi mencalar maruah di hadapan umum.
    5. Apakah maksud kalimah أَلفَيا dan bagaimana ia berbeza dengan وَجَدَ dalam ayat 25? Kalimah أَلفَيا bermaksud mendapati sesuatu yang tidak dicari atau disangka-sangka. Ia berbeza dengan وَجَدَ yang bermaksud menjumpai sesuatu yang dicari-cari, menunjukkan kemunculan suami wanita itu di pintu adalah takdir dan kejutan.
    6. Bagaimanakah isteri Al-Aziz cuba memanipulasi suaminya sebaik sahaja mereka bertemu di pintu, dan apakah niat tersembunyi di sebalik cadangan hukumannya? Wanita itu segera “play victim” dengan menuduh Nabi Yusuf dan mencadangkan hukuman penjara atau azab pedih. Niat tersembunyinya adalah untuk mengalihkan kesalahan daripadanya kepada Nabi Yusuf dan mengancam baginda agar akur, bukan benar-benar mahu baginda dipenjarakan lama.
    7. Mengapakah penting bagi Nabi Yusuf (AS) untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan, dan berikan satu contoh dari sejarah ulama yang melakukan perkara yang serupa? Penting untuk mempertahankan diri daripada tuduhan palsu kerana ia adalah sebahagian daripada usaha yang perlu dilakukan sebelum berserah kepada Allah. Ibnu Taimiyyah dan Imam Asy-Syafie adalah contoh ulama yang mempertahankan diri dengan hujah dan dalil apabila dituduh atau difitnah.
    8. Siapakah saksi yang dimaksudkan dalam ayat 26, dan mengapa kesaksiannya dianggap kuat walaupun datang dari keluarga wanita itu? Al-Quran tidak menyatakan identiti saksi secara jelas, tetapi ia adalah seseorang dari keluarga wanita itu yang bijaksana. Kesaksiannya kuat kerana ia datang dari pihak lawan, menjadikannya lebih objektif dan sukar disangkal.
    9. Jelaskan bagaimana cadangan saksi mengenai koyakan baju dapat menentukan siapa yang benar dan siapa yang dusta. Saksi mencadangkan jika baju Nabi Yusuf terkoyak dari hadapan, wanita itu benar (Yusuf menyerang). Jika baju terkoyak dari belakang, wanita itu berdusta (Yusuf melarikan diri dan wanita itu menariknya dari belakang). Ini adalah bukti logik berdasarkan tindakan fizikal.
    10. Apakah yang dimaksudkan dengan “qarinah” (circumstantial evidence) dan bagaimana kisah ini menjadi dalil penggunaannya dalam perundangan Islam? Qarinah adalah bukti tidak langsung, di mana suatu fakta disimpulkan dari keadaan sekeliling yang berkaitan (bukti keadaan). Kisah koyakan baju Nabi Yusuf menjadi dalil bahawa qarinah, jika kuat dan meyakinkan, boleh digunakan dalam mahkamah untuk mencari kebenaran.

    Like

  2. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Kalimah “استَبَقَا” bermaksud mereka berdua berlumba-lumba. Nabi Yusuf A.S. berlari untuk membuka pintu dan melarikan diri, manakala wanita itu berlari untuk menahan dan mengejar baginda.
    2. ٱلأَبوٰبَ (pintu-pintu) digunakan untuk merujuk banyak pintu yang dikunci pada awalnya. البَابَ (satu pintu) merujuk kepada pintu terakhir yang Nabi Yusuf A.S. cuba buka setelah berjaya melepasi pintu-pintu lain, menunjukkan kemajuan usaha baginda.
    3. Nabi Yusuf A.S. berusaha kerana ia mengajarkan kita untuk melakukan apa sahaja usaha yang mampu, walaupun hasilnya tidak pasti, dan kemudian menyerahkannya kepada Allah. Ia menekankan pentingnya tidak berputus asa dan berharap kepada jalan keluar dari Allah.
    4. Baju melambangkan maruah. Kali pertama, abang-abang Nabi Yusuf A.S. menggunakan baju yang kononnya dimakan serigala untuk mencalar maruah baginda di hadapan ayah mereka. Kali kedua, baju yang koyak menjadi bukti ketidakbersalahan baginda dari tuduhan zina, sekali lagi mencalar maruah di hadapan umum.
    5. Kalimah أَلفَيا bermaksud mendapati sesuatu yang tidak dicari atau disangka-sangka. Ia berbeza dengan وَجَدَ yang bermaksud menjumpai sesuatu yang dicari-cari, menunjukkan kemunculan suami wanita itu di pintu adalah takdir dan kejutan.
    6. Wanita itu segera “play victim” dengan menuduh Nabi Yusuf A.S. dan mencadangkan hukuman penjara atau azab pedih. Niat tersembunyi adalah untuk mengalihkan kesalahan daripadanya kepada Nabi Yusuf A.S. dan mengancam baginda agar akur, bukan benar-benar mahu baginda dipenjarakan lama.
    7. Penting untuk mempertahankan diri daripada tuduhan palsu kerana ia adalah sebahagian daripada usaha yang perlu dilakukan sebelum berserah kepada Allah. Ibnu Taimiyyah dan Imam Asy-Syafie adalah contoh ulama yang mempertahankan diri dengan hujah dan dalil apabila dituduh atau difitnah.
    8. Al-Quran tidak menyatakan identiti saksi secara jelas, tetapi ia adalah seseorang dari keluarga wanita itu yang bijaksana. Kesaksiannya kuat kerana ia datang dari pihak lawan, menjadikannya lebih objektif dan sukar disangkal.
    9. Saksi mencadangkan jika baju Nabi Yusuf A.S. terkoyak dari hadapan, wanita itu benar (Yusuf menyerang). Jika baju terkoyak dari belakang, wanita itu berdusta (Yusuf melarikan diri dan wanita itu menariknya dari belakang). Ini adalah bukti logik berdasarkan tindakan fizikal.
    10. Qarinah adalah bukti tidak langsung, di mana suatu fakta disimpulkan dari keadaan sekeliling yang berkaitan (bukti keadaan). Kisah koyakan baju Nabi Yusuf A.S. menjadi dalil bahawa qarinah, jika kuat dan meyakinkan, boleh digunakan dalam mahkamah untuk mencari kebenaran.

    Like

Leave a comment