Tafsir Surah Yusuf Ayat 4 (Mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

MIMPI NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Yusuf Ayat 4: Sekarang barulah bermula kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah 3 ayat mukaddimah sebelum ini. Nanti kita akan pelajari tentang 4 kisah permulaan dan seterusnya kisah-kisah lain. Sekarang dimulakan dengan kisah permulaan. Selalunya, manusia akan ingat kisah yang besar-besar, tetapi lupa kisah-kisah kecil. Allah ‎ﷻ bawakan kepada kita sekarang kisah yang kecil mengenai seorang anak kecil yang bercakap dengan bapanya. Jika dalam filem, inilah babak pertama.

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Of these stories mention] when Joseph said to his father,¹ “O my father, indeed I have seen [in a dream] eleven stars and the sun and the moon; I saw them prostrating to me.”

  • The prophet Jacob (upon whom be peace)

(MALAY)

(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.

 

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ

(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku,

Dalam ilmu tafsir Al-Qur’an, kalimah إِذ seringkali diterjemahkan sebagai أذكر “ingatlah” atau “ingatlah ketika”. Ini adalah salah satu makna yang paling umum dan penting dari perkataan tersebut. Meskipun secara harfiah إِذ bermaksud “ketika” atau “pada ketika”, ia sering digunakan sebagai kata seru untuk menarik perhatian pembaca atau pendengar kepada suatu peristiwa penting yang telah berlaku pada masa lalu. Dalam konteks ini, ia berfungsi sebagai arahan daripada Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ dan umatnya untuk mengingati kembali kisah atau pengajaran tertentu.

Permulaan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini bermula dengan mimpi baginda. Mari kita lihat dialog di antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan ayahnya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda menggunakan kalimah يا أَبَتِ (wahai ayahku) dengan ayahnya itu. Kalau penggunaan yang biasa, hanya disebut يا أَبَ (wahai ayah) sahaja akan tetapi dengan penambahan huruf ت itu ia menambah makna yang memberi isyarat ayah yang disayangi dan dihormati. Bukan semua ayah disayangi. Ada ayah yang disayangi tetapi tidak dihormati sampai anak tidak takut dengannya dan boleh bercakap lebih kurang sahaja. Ada anak-anak kita yang kecil, apabila perlukan perhatian kita, bagaimana caranya? Kadang-kadang kita dengar mereka menjerit memanggil kita, bukan? Namun lihat bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang waktu itu muda juga, tetapi baginda menggunakan bahasa dan budi bicara yang baik.

Ada pula ayah yang dihormati dan ditakuti tetapi tidak disayangi kerana mungkin ayahnya garang. Ini jelas yang kalau ayah balik sahaja, suasana rumah terus berubah kerana ayah sudah balik! Maka dengan penggunaan kalimah أَبَتِ menunjukkan hubungan jenis apa yang ada antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Selalunya di dalam Al-Qur’an, apabila disebut tentang interaksi antara ayah dan anaknya, selalunya dialog itu dimulai oleh ayah seperti kisah Luqman, kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun kali ini kita melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri bercakap dengan ayahnya. Ini mengajar kita tentu ada sesuatu yang betul yang dilakukan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sehingga menyebabkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berasa selesa untuk pergi bertemu dengan ayahnya dan menceritakan kehairanannya tentang apa yang berlaku kepada dirinya itu.

Malah melalui kalimah panggilan yang digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menunjukkan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap dengan nada lembut dan mesra yang menunjukkan baginda amat sayang dan hormatkan ayahnya. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan terhadap ibubapa kita. Cuma lihat bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lakukan dan bandingkan dengan anak-anak kita sekarang. Bagaimana keadaan mereka dengan kita? Kalau ada yang tidak kena, jadi kena tanya diri kita balik bagaimanakah cara kita berinteraksi dengan mereka?

Perhatikan di dalam ayat ini diulang perkataan ayah sebanyak dua kali. Ada kalimah لِأَبيهِ dan sekali lagi ada kalimah يٰأَبَتِ. Kalau ada satu sahaja pun sudah cukup dan kita boleh faham seperti إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ إِنّي رَأَيتُ atau إِذ قالَ يوسُفُ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ. Pengulangan kalimah bapa ini menunjukkan hubungan mereka yang baik. Maka ibu dan bapa terutama sekali bapa kena melayan anak-anak mereka. Kalau anak datang dan hendak bercakap dengan anda, lupakan sekejap kerja yang anda sedang lakukan supaya anda boleh beri perhatian kepada apa yang anak-anak. Jangan nanti anda menyesal di hari tua anda, apabila anda berharapkan perhatian anak anda ketika itu, tetapi anak anda sudah tidak ada hubungan lagi dengan anda. Ya anda masih bapa mereka tetapi tidaklah sampai menjadi kawan mereka lagi. Masalahnya mungkin ramai bapa sangka tugas mereka hanyalah untuk menyediakan makan pakai dan rumah kepada anak-anak dan mereka rasa itu sudah cukup. Namun begitu alangkah salahnya kerana anak-anak bukan perlukan nafkah fizikal sahaja akan tetapi mereka juga memerlukan nafkah emosi juga. Mereka perlukan perhatian ibubapa mereka untuk tumbesaran mereka yang sihat.

Kisah ringkas ini juga mengajar kepada anak untuk berani ada interaksi dengan ayah. Ramai anak-anak sudah malas untuk bercakap dengan ayah mereka kerana semasa mereka kecil dulu sudah tidak ada layanan daripada ayah. Ayah selalu sibuk dan kalau anak hendak bercakap, mereka akan suruh diam, suruh cakap dengan emak dan sebagainya. Sampaikan anak itu fikir, tak payahlah jumpa dan bercakap dengan ayah. Akan tetapi perbuatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk merujuk kepada ayahnya mengajar kita yang ayah yang pandai adalah salah satu dari tempat untuk merujuk. Dalam kisah ini kita boleh agak kehairanan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kenapa bintang, matahari dan bulan itu sujud kepada baginda? Baginda tentu hairan. Mungkin baginda risau ayahnya terasa hati pula kerana termasuk di dalam mimpi itu ayahnya sendiri sujud kepadanya. Ada kemungkinan ayahnya itu akan terasa hati. Akan tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap juga memberitahu ayahnya dan mendapatkan nasihat ayahnya.

Maka begitulah ayat-ayat dialog antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan ayahnya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini ringkas sahaja. Kita boleh sahaja terjemahkan dengan ringkas dan kita sudah faham apakah maksudnya. Akan tetapi kalau kita kupas dari segi psikologi pendidikan anak-anak, ia memberi pengajaran kepada kita yang amat besar.

 

إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ

sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; 

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memulakan kisahnya dengan kalimah penekanan إِنّ kerana hendak menekankan yang betul-betul baginda ada melihat di dalam mimpi itu. Mimpi itu bukanlah satu mimpi yang biasa. Ia mengandungi maksud yang amat dalam maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memerlukan pandangan daripada ayahnya yang dia sayangi dan hormati itu.

Kalimah رَأَيتُ secara harfiah bermaksud ‘aku telah melihat’. Akan tetapi sepakat ulama’ mengatakan yang ia bermaksud melihat di dalam mimpi, bukannya nyata. Ia merujuk kepada sesuatu yang mustahil untuk dilihat dengan mata kasar di alam nyata. Bintang, matahari, dan bulan tidak bersujud kepada seorang manusia. Kejadian seperti ini hanya boleh berlaku dalam alam mimpi, yang mana ia sering menggunakan simbol-simbol untuk menyampaikan sesuatu makna. Ayat selepas ini pun kita akan melihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah رُؤْيَاكَ yang bermaksud ‘mimpimu’.

Baginda memberitahu kepada ayahnya, bahawa baginda telah bermimpi yang sebelas (11) bintang, matahari dan bulan. Apakah maksud bintang, matahari dan bulan itu?

    • 11 bintang itu adalah adik beradik baginda. Ini senang sahaja untuk difahami.
    • Matahari itu adalah ayahnya. Ada yang kata matahari itu ibu baginda kerana matahari dalam Arab berjantina perempuan. Tidak kisah pun dan tidak perlu ditetapkan mana satu matahari dan mana satu bulan.
    • Bulan itu adalah ibunya. Sekiranya diambil pendapat yang mengatakan matahari itu ibu, maka bulan adalah ayahnya (Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ).

Ibu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebenarnya telah tiada. Akan tetapi menurut Al-Qurtubi, oleh kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengahwini kakak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengahwini kakak isterinya, maka ibu saudara juga dikira sebagai ibu. Kerana sayangnya seorang ibu saudara hampir sama dengan sayangnya seorang ibu.

Susunan kenapa disebut matahari dahulu sebelum bulan pun ada dibincangkan ulama’. Kalau ikut susunan dunia malam ada bintang dan bulan, kemudian datang siang barulah datang matahari. Jadi kenapa disebut matahari dahulu sebelum bulan? Ada pendapat yang mengatakan kerana planet adalah bintang dan matahari dan mereka ada cahaya sendiri sedangkan bulan mengambil cahaya daripada matahari sahaja, tidak ada cahaya sendiri.

Kenapa digunakan objek-objek di langit sebagai perumpamaan? Kenapa tidak guna bungakah, atau buahkah dan sebagainya? Ini pun dibincangkan. Pengajaran yang kita boleh lihat adalah mungkin kerana bintang itu jauh. Kita boleh tahu yang bintang itu merujuk kepada adik beradiknya kerana ada 11 dan adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada 11 orang. Bintang itu memang ada, tetapi jauh sahaja dan kita tidak perlukan sangat. Maka dengan adik beradik kadangkala mereka duduk jauh dan mereka ada keluarga sendiri. Akan tetapi bulan dan matahari amat penting dalam kehidupan kita seperti juga ibu dan ayah kita. Ketika siang kita perlukan matahari untuk cahaya dan ketika malam kita perlukan bulan sebagai sumber cahaya. Bulan dan matahari juga penting dalam kehidupan kita terutama sekali zaman dahulu yang menjadikan objek langit sebagai panduan masa dan hari. Kalau zaman sekarang kita perlukan jam dan kalendar, Allah ‎ﷻ sebenarnya telah letakkan jam dan kalendar yang Dia buat di langit. Untuk menentukan masa seperti masa solat, kita gunakan matahari dan untuk menentukan ibadah seperti puasa, Haji dan Eid, kita perlukan bulan untuk menentukan tarikh. Maka amat sesuai ibu dan bapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diumpamakan sebagai bulan dan matahari.

Dengan cara mimpi ini Allah ‎ﷻ memberi isyarat yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan mendapat pangkat kenabian. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentunya berharap anak-anaknya akan meneruskan tradisi kenabian daripada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang turun kepada Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kemudian turun kepadanya. Akan tetapi kalau dilihat kepada abang-abangnya yang 10 orang itu, tidak ada satu pun yang ada kriteria boleh meneruskan tradisi ini. Maka dengan mimpi ini memberi harapan kepada baginda.

Maknanya mimpi ini menunjukkan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan mendapat rahmat dan kedudukan daripada Allah ‎ﷻ. Malah keluarga baginda iaitu ibu dan bapanya dan adik beradiknya sekali pun termasuk juga mendapat rahmat itu kerana mereka semua termasuk di dalam mimpi baginda.

 

رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ

kulihat mereka sujud kepadaku”.

Bahagian pertama tadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata baginda nampak bintang-bintang, matahari dan bulan itu. Kali ini di dalam bahagian ini disebut pula apakah yang mereka lakukan. Kita boleh rasa ada kehairanan dan kerisauan di pihak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampaikan ada ‘pause’ di sini. Jadi ayat ini ada bahagian: إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ pause. Kemudian baru sambung balik: رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ. Bahagian pertama sebut tentang baginda melihat bintang-bintang, matahari dan bulan di dalam mimpinya. Ini pun sudah pelik kerana matahari dan bulan tidaklah ada bersama di dalam dunia bukan sebab kalau ada matahari tidaklah ada bulan. Akan tetapi yang lebih pelik adalah semuanya sujud kepada baginda.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang amat pandai dan telah diberikan kepandaian untuk mentakwil mimpi. Maka baginda mungkin sudah faham kenapa Allah ‎ﷻ menggunakan objek langit sebagai contoh dan baginda mungkin faham yang objek langit itu jauh. Namun kemudian di dalam mimpi itu objek langit itu datang mendekat dan sujud kepada baginda. Maka baginda tentu kehairanan, kenapa mereka kena duduk jauh daripada baginda? Apakah yang terjadi? Tentu baginda risau.

Takwil mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini baru terjadi sesudah selang empat puluh tahun (40) kemudian, pendapat lain mengatakan sesudah lapan puluh (80) tahun. Ia terjadi ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempersilakan kedua orang tuanya untuk menduduki kursi singgahsananya, sedangkan semua saudaranya berada di hadapannya dan ini disebut dalam ayat 100:

وَخَرُّوا لَهُ سُجَّدًا وَقَالَ يَا أَبَتِ هَذَا تَأْوِيلُ رُؤْيَايَ مِنْ قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّي حَقًّا
Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf “Wahai ayahku, inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan.”

Apakah hukum sujud kepada makhluk? Di dalam ayat 4 ini ia hanya mimpi sahaja akan tetapi di dalam ayat 100 nanti kita benar-benar baca bahawa keluarganya sujud kepada baginda. Maka perkara ini menjadi isu perbincangan juga dalam kalangan ulama’. Berikut adalah hujah dan pandangan utama mengenai isu ini:

1. Sujud Penghormatan, Bukan Sujud Ibadah. Majoriti ulama tafsir berpendapat bahawa sujud yang dilakukan oleh ibu bapa dan saudara-saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah sujud penghormatan (sujud at-ta’dhim), bukan sujud ibadah (sujud al-‘ibadah) yang hanya boleh dilakukan kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana ibadah hanya untuk Allah ‎ﷻ. Sujud ibadah hanya dibenarkan jika ditujukan kepada Allah ‎ﷻ. Jika ia ditujukan kepada makhluk, perbuatan itu adalah syirik yang sangat dilarang dalam semua syariat nabi-nabi. Tidak mungkin para nabi seperti Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keturunannya (yang semuanya beriman) melakukan syirik.

2. Perbezaan Hukum Syariat: Ada yang mengatakan syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membenarkan sujud penghormatan kepada pembesar atau orang yang mulia. Namun, dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, sujud penghormatan ini sudah tidak dibenarkan. Nabi Muhammad ﷺ melarang umatnya bersujud kepada selain Allah ‎ﷻ. Jika sujud kepada manusia itu dibenarkan, baginda pasti tidak akan melarangnya, terutama dalam konteks penghormatan.

3. Sujud Sebagai Tanda Kesempurnaan Janji Allah ‎ﷻ

Perbuatan sujud ini adalah manifestasi daripada tafsir mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang diceritakan di awal surah (ayat 4). Bintang, matahari, dan bulan yang sujud kepadanya dalam mimpi itu ditafsirkan sebagai saudara-saudaranya dan kedua ibu bapanya. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri dalam ayat itu berkata, “inilah tafsir mimpiku yang dahulu itu.” Ini mengesahkan bahawa sujud itu adalah penutup dan penzahiran mimpi yang diwahyukan oleh Allah ‎ﷻ. Tindakan sujud mereka adalah tanda pengakuan dan penyerahan diri kepada kekuasaan Allah ‎ﷻ yang telah meninggikan darjat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi mereka bukanlah sujud kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Ini adalah pandangan yang lebih selamat kerana moyang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda telah membina kembali Ka’bah sebagai tempat sujud kepada Allah ‎ﷻ dan membersihkan syirik. Maka tidak mungkin anak cucunya tidak tahu tentang syirik pula dan melakukan sujud kepada selain Allah ‎ﷻ.

4. Sujud Kepada Allah ‎ﷻ sebagai tanda syukur

Ini juga pendapat yang mengatakan mereka sebenarnya tidak sujud kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara langsung, tetapi sujud kepada Allah ‎ﷻ sebagai tanda syukur atas pertemuan kembali dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka berhujah bahawa tidak ada satu pun syariat yang membenarkan sujud kepada selain Allah ‎ﷻ, walaupun sebagai penghormatan. Oleh itu, sujud itu ditujukan kepada Allah ‎ﷻ.

Namun, pendapat ini dikritik kerana ia bercanggah dengan zahir (makna literal) ayat yang menyatakan “sujud kepadanya” (لَهُ). Di dalam Baqarah:34 juga Allah ﷻ telah pernah mengarahkan para malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Apabila arahan telah diberikan oleh Allah ﷻ sendiri, maka ia menjadi ibadah.

وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kepada Nabi Adam”.

Mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah wahyu walaupun baginda belum lagi menjadi Nabi (maknanya baginda adalah bakal Nabi). Daripada mimpi ini, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi seorang Nabi. Tambahan pula mimpi baginda itu kemudian menjadi kenyataan seperti mimpi Nabi Muhammad ﷺ sebelum baginda menerima wahyu yang pertama lagi. Bintang-bintang, matahari, dan bulan yang sujud kepadanya adalah isyarat yang jelas tentang kedudukan tinggi yang akan dicapainya di kemudian hari.

Mari lihat kalimat لي ساجِدينَ. Melalui susunan ini, kita tahu yang susunan ini tidak normal seperti kebiasaan bahasa Arab. Kalau penggunaan yang biasa adalah ساجِدينَ لي. Baginda berkata begitu kerana baginda terkejut sangat sampai tersasul baginda berkata-kata. Ini kerana baginda tidak sangka yang bintang, matahari dan bulan itu akan sujud kepadanya. Satu lagi, apabila diawalkan kalimah لي itu, ia membawa maksud eksklusif. Maknanya baginda nampak bintang, matahari dan bulan itu hanya sujud kepadanya sahaja, tidak kepada yang lain. Selain itu, apabila diawalkan لي itu ia memberi maksud kehairanan.

Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tahu siapakah yang dimaksudkan dengan bintang, matahari dan bulan itu. Ini kita tahu melalui penggunaan kalimah رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ yang digunakan. Ini adalah kerana dari segi nahu, bintang, matahari dan bulan itu adalah objek, dan sepatutnya digunakan kalimah muannast (feminin), tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah هُم dan ساجِدينَ yang hanya digunakan untuk kehidupan bernyawa seperti manusia. Kalau bukan, maka yang sepatutnya رَأَيتُهُنَّ لي سٰجِداتٍ. adalah Maka ini menguatkan pendapat yang mengatakan baginda sudah tahu siapakah yang dimaksudkan dengan bintang, matahari dan bulan itu. Maknanya semenjak kecil lagi baginda sudah diberikan kelebihan menta’bir mimpi.

Nota amaran: ada pula ajaran sesat yang mengajar ayat ini adalah ‘ayat pengasih’. Kononnya apabila bersama dengan pasangan, maka baca ayat ini. Untuk disayangi masyarakat, baca 3 kali selepas solat. Maka kita katakan yang ayat ini bukanlah ayat pengasih. Tidak ada apa-apa makna dalam ayat ini yang mengandungi doa supaya orang kasih kepada kita. Kita telah baca maknanya, dan telah baca tafsirnya, tidak ada kena mengena dengan pengasih, bukan? Maka, ayat ini tidak menanggung kehendak pengamalnya. Ini adalah seperti hendak tolak kereta, tetapi menggunakan pen. Apakah kaitan pen dengan perbuatan menolak kereta? Katakanlah ada orang keretanya tersadai, maka, dia meminta bantuan kita untuk menolaknya. Kita pun berlari ke rumah sebab hendak mengambil pen untuk tolak kereta itu. Bukankah bodoh tindakan itu? Namun begitulah kalau manusia jahil dengan wahyu, ada orang cakap sahaja mereka akan percaya, tidak tahu hendak tolak bagaimana.

 

Kuiz (10 Soalan Jawapan Pendek)

Sila jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah makna kalimah “إِذ” seperti yang sering diterjemahkan dalam ilmu tafsir Al-Qur’an dan apakah fungsinya dalam konteks permulaan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  2. Bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah “يا أَبَتِ” ketika bercakap dengan ayahnya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan apakah makna tambahan yang tersirat daripadanya?
  3. Mengapakah pengulangan perkataan “ayah” (لِأَبيهِ dan يٰأَبَتِ) dalam ayat ini dianggap signifikan oleh penulis?
  4. Apakah kepentingan Nabi Yusuf memulakan dialog dengan ayahnya, berbanding kebiasaan interaksi antara ayah dan anak dalam Al-Qur’an?
  5. Apakah yang dimaksudkan dengan “sebelas bintang,” “matahari,” dan “bulan” dalam mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  6. Mengapakah ulama’ sepakat bahawa “رَأَيتُ” dalam ayat ini bermaksud melihat dalam mimpi dan bukan di alam nyata?
  7. Bilakah tafsiran mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menjadi kenyataan, dan apakah yang digambarkan dalam ayat 100 Surah Yusuf berkaitan dengan peristiwa ini?
  8. Terangkan pandangan majoriti ulama tafsir mengenai hukum sujud yang dilakukan oleh keluarga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepadanya dalam ayat 100.
  9. Bagaimanakah kedudukan kalimah “لي” dalam frasa “لي سٰجِدينَ” menunjukkan keunikan dan makna eksklusif mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  10. Mengapakah penulis tafsir menekankan penggunaan kalimah “هُم” dan “ساجِدينَ” oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk merujuk kepada bintang, matahari, dan bulan?

 

Glosari Istilah Utama

  • إِذ (Idh): Kata dalam bahasa Arab yang bermaksud “ketika” atau “pada ketika.” Dalam ilmu tafsir Al-Qur’an, ia sering diterjemahkan sebagai “ingatlah” (أذكر) dan berfungsi sebagai kata seru untuk menarik perhatian kepada peristiwa masa lalu.
  • يا أَبَتِ (Ya Abati): Panggilan hormat dan mesra untuk “wahai ayahku” dalam bahasa Arab, dengan penambahan huruf ‘ت’ yang menunjukkan kasih sayang dan penghormatan yang mendalam.
  • Sujud Penghormatan (Sujud at-Ta’dhim): Sujud yang dilakukan sebagai tanda penghormatan atau pengagungan terhadap seseorang, tetapi bukan sebagai bentuk ibadah. Ia berbeza dengan sujud ibadah yang hanya khusus untuk Allah ‎ﷻ.
  • Sujud Ibadah (Sujud al-‘Ibadah): Sujud yang dilakukan sebagai bentuk penyembahan dan ketundukan mutlak, yang hanya boleh ditujukan kepada Allah ‎ﷻ. Melakukan sujud ibadah kepada selain Allah ‎ﷻ dianggap syirik.
  • Mimpi Nabi Yusuf: Mimpi yang dialami oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di awal usianya, di mana beliau melihat sebelas bintang, matahari, dan bulan bersujud kepadanya. Mimpi ini adalah petanda kenabian dan kedudukan tinggi yang akan dicapainya.
  • Takwil Mimpi: Penafsiran atau penjelasan makna tersembunyi di sebalik mimpi, terutamanya mimpi yang mengandungi simbol dan isyarat dari Allah ﷻ. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikurniakan kepandaian dalam takwil mimpi.
  • Muannast (Feminin): Bentuk kata nama atau kata ganti nama dalam bahasa Arab yang merujuk kepada jantina perempuan.
  • Jamak Berakal (untuk Manusia): Bentuk jamak dalam bahasa Arab yang digunakan khusus untuk kata nama atau kata ganti nama yang merujuk kepada makhluk berakal seperti manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Ogos 2024

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 4 (Mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)”

  1. Assalamualaikum tuan,

    Tafsir ayat ini tiada. Yang ada adalah pengulangan tafsir ayat sebelumnya. Boleh tuan check semula?

    وَتَكونوا مِن بَعدِهِ قَومًا صٰلِحينَ

    Jazakallahu kheir.

    Like

  2. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Kalimah “إِذ” sering diterjemahkan sebagai “ingatlah” (أذكر) atau “ingatlah ketika.” Ia berfungsi sebagai kata seru dari Allah SWT untuk menarik perhatian pembaca atau pendengar kepada peristiwa penting yang telah berlaku pada masa lalu, seperti kisah Nabi Yusuf.
    2. Nabi Yusuf menggunakan “يا أَبَتِ” dengan penambahan huruf ‘ت’ yang memberi isyarat kepada bapa yang disayangi dan dihormati. Ini menunjukkan hubungan mesra dan penuh adab antara Nabi Yusuf dan Nabi Ya’qub, serta rasa hormat yang mendalam.
    3. Pengulangan kalimah “ayah” menunjukkan hubungan yang sangat baik dan rapat antara Nabi Yusuf dan Nabi Ya’qub. Ini juga menekankan kepentingan bagi ibu bapa, terutamanya bapa, untuk memberi perhatian emosi kepada anak-anak agar hubungan kekal utuh.
    4. Kisah ini istimewa kerana Nabi Yusuf sendiri yang memulakan dialog dengan ayahnya, berbeza dengan kisah-kisah lain dalam Al-Qur’an di mana selalunya ayah yang memulakan interaksi. Ini menunjukkan Nabi Ya’qub telah melakukan sesuatu yang betul sehingga Nabi Yusuf selesa dan berani berkongsi kehairanannya.
    5. Dalam mimpi Nabi Yusuf, “sebelas bintang” melambangkan sebelas orang adik-beradiknya, “matahari” melambangkan ayahnya (Nabi Ya’qub), dan “bulan” melambangkan ibunya (atau ibu saudaranya yang dianggap seperti ibu).
    6. Ulama’ sepakat “رَأَيتُ” merujuk kepada mimpi kerana kejadian bintang, matahari, dan bulan bersujud kepada manusia adalah sesuatu yang mustahil berlaku di alam nyata. Mimpi seringkali menggunakan simbol untuk menyampaikan makna yang mendalam.
    7. Tafsiran mimpi Nabi Yusuf menjadi kenyataan selepas kira-kira empat puluh atau lapan puluh tahun, seperti yang disebut dalam ayat 100 Surah Yusuf. Pada masa itu, seluruh keluarganya, termasuk ibu bapa dan adik-beradiknya, bersujud kepadanya apabila beliau mempersilakan kedua orang tuanya menduduki singgahsananya.
    8. Majoriti ulama tafsir berpendapat bahawa sujud tersebut adalah “sujud penghormatan” (sujud at-ta’dhim) dan bukan “sujud ibadah” (sujud al-‘ibadah) yang hanya boleh dilakukan kepada Allah SWT. Mereka berhujah bahawa tidak mungkin para nabi dan keturunannya melakukan syirik.
    9. Apabila kalimah “li” (لي) diawalkan dalam frasa “li sajidina” (لي سٰجِدينَ), ia membawa maksud eksklusif, menunjukkan bahawa bintang, matahari, dan bulan itu hanya sujud kepada Nabi Yusuf seorang sahaja, bukan kepada orang lain. Ia juga boleh menunjukkan kehairanan atau kejutan Nabi Yusuf.
    10. Penulis tafsir menekankan penggunaan kalimah “hum” (هُم) dan “sajidin” (ساجِدينَ) kerana dari segi nahu bahasa Arab, ia biasanya digunakan untuk kehidupan bernyawa seperti manusia. Ini menguatkan pendapat bahawa Nabi Yusuf sudah memahami siapakah yang dilambangkan oleh bintang, matahari, dan bulan itu, menunjukkan kepandaiannya mentakwil mimpi sejak kecil.

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply