Tafsir Surah Yusuf Ayat 11 – 15 (Menipu Ayah)

PROSES MEYAKINKAN NABI YA’QUB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Yusuf Ayat 11: Untuk menjayakan rancangan mereka, mereka kenalah pujuk dahulu ayah mereka. Lihat bagaimana cara mereka pujuk dengan licik sekali.

قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَا مَا لَكَ لَا تَأمَ۫نَّا عَلَىٰ يُوسُفَ وَإِنَّا لَهُ ۥ لَنَـٰصِحُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O our father, why do you not entrust us with Joseph while indeed, we are to him sincere counselors?

(MALAY)

Mereka berkata: “Wahai ayah kami, apa sebabnya kamu tidak mempercayai kami terhadap Yusuf, padahal sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mengingini kebaikan baginya.

 

قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَا

Mereka berkata: “Wahai ayah kami,

Ayat sebelum ini menyebut rancangan mereka sesama sendiri dan apabila digunakan kalimah قالوا di sini, ia memberi isyarat yang mereka telah mencapai kata sepakat. Sekarang kita melihat rancangan mereka dijalankan untuk memujuk ayah mereka untuk melepaskan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk mengikuti mereka supaya mereka dapat menjalankan rancangan jahat mereka itu. Mereka tahu yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat sayangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan tidak mahu berenggang dengan baginda. Maka mereka kena ada rancangan untuk memujuk ayah mereka untuk melepaskan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mereka.

 

مَا لَكَ لَا تَأمَ۫نَّا عَلَىٰ يُوسُفَ

apa sebabnya engkau tidak mempercayai kami terhadap Yusuf,

Kalimat ما لَكَ kalau dalam bahasa kita lebih kurang begini: “Apa tak kena dengan kau?” Lihatlah bagaimana kurang ajarnya mereka bercakap dengan ayah mereka. Awal-awal lagi mereka telah mempersoalkan ayah mereka, seorang Nabi. Mereka mempersoalkan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kenapa tidak percayakan mereka. Jadi mereka menggunakan taktik psikologi; iaitu kalau Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak benarkan, maka baginda yang ada masalah, bukannya mereka.

Kalimah لا تَأمَنّا (tidak percaya kami) bermaksud tidak rasa aman dengan mereka. Apabila kita tidak percayakan seseorang, bukankah kita tidak tidak ada rasa aman untuk percaya dengan mereka? Maka ini adalah satu tuduhan yang tidak patut diberikan kepada seorang ayah, apatah lagi seorang Nabi. Mereka kata begini kerana mereka nampak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mahu melepaskan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada pandangan. Maka mereka menggunakan berbagai-bagai taktik dan hujah.

Nampak di sini seolah-olah mereka telah pernah minta kebenaran untuk bawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar tetapi tidak dibenarkan. Maka kali ini mereka nampak agak keras sedikit permintaan mereka. Ini kerana ke mana sahaja Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pergi, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sentiasa ada bersama. Nabi Y’aqub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak membiarkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersendirian bersama dengan abang-abang baginda. Jadi permintaan mereka ini bukan kali ini sahaja tetapi sudah banyak kali dan sudah ditolak banyak kali barangkali. Namun mereka tidak berputus asa dan mereka terus mencuba. Bukan begitukah cara syaitan juga yang berkali-kali mencuba?

Nota Tajwid: Asal perkataan لا تَأمَنّا ialah لا تَأمَنُنَا ‘Laa tak-ma-nu-na’, yang bermaksud, “Engkau tidak percayakan kami” tetapi telah digabungkan kedua-dua ن itu menjadi satu ن sahaja yang ada syaddah. Sebab itulah ketika membaca, kita perlu memuncungkan bibir sewaktu nun sabdu (macam hendak cium orang), seolah-olah kita hendak sebut ‘tak-ma-nu-na’ tetapi ‘nu’ itu tidak disebut. Ia digantikan dengan muncung. Maka jadilah Laa Tak-man(muncung)na. Dari segi bacaan tiada beza. Cuma perlu buat isyarat mulut muncung tu. Kaedah ini dipanggil Al-Isymam الإشمام.

 

وَإِنّا لَهُ لَنٰصِحونَ

padahal sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mengingini kebaikan.

Mereka sekarang mengaku yang mereka berniat baik terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, adik mereka. Apabila ada takdim pada kalimah لَهُ (didahulukan dan bukan dalam format bahasa Arab yang biasa), ia hendak menekankan yang kononnya mereka mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu seorang yang rapat dengan mereka yang mereka sayang dan kononnya hendak mengatakan yang mereka sebenarnya prihatin dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita tahu daripada kisah mereka yang sebenarnya mereka bukan begitu pun.

Kalimah نٰصِحونَ di dalam ayat ini bukanlah bermaksud memberi nasihat pula. Dari segi bahasa, kalimah نصح bererti sesuatu yang bersih atau murni (tidak bercampur dengan sesuatu yang lain). Sesuatu disebut (الناصح) (an-naasih), jika sesuatu tersebut tidak bercampur atau tidak bercampur dengan sesuatu yang lain, misalnya madu murni atau sejenisnya. Di antara turunan kata نصح adalah النصيحة (an-nasiihah). (Lihat Lisaanul ‘Arab, 2/615-617).

Bagaimana pula ia membawa maksud ikhlas? Kita mungkin agak-agak faham maksud nasihat, bukan? Kita pun pernah dengar hadith yang berbunyi الدِّينُ النَّصِيحَةُ (agama itu adalah nasihat). Namun bagaimana pula dengan sambungan hadith tersebut: النَّصِيحَةُ لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ (Agama itu ialah nasihat kepada Allah ‎ﷻ, kepada Rasul-Nya, dan kepada pemimpin-pemimpin orang-orang Islam dan kepada orang awam). Hadith penuh adalah,

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ   وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ ؟ قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ 
Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ telah bersabda: Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitab-Nya, untuk Rasul-Nya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.
(Hadith Riwayat Muslim No. 55)

Kalau nasihat kepada pemimpin dan orang awam, kita boleh faham bab nasihat itu tetapi bagaimana ‘nasihat’ kepada Allah ‎ ﷻ dan Rasul pula? Itulah makna asal nasihah adalah ‘ikhlas’. Ia juga bermaksud berniat baik terhadap seseorang, mengharapkan kebaikan.

Di dalam Qasas: 20 kalimah النّٰصِحينَ juga digunakan,

وَجاءَ رَجُلٌ مِّن أَقصَى المَدينَةِ يَسعىٰ قالَ يٰموسىٰ إِنَّ المَلَأَ يَأتَمِرونَ بِكَ لِيَقتُلوكَ فَاخرُج إِنّي لَكَ مِنَ النّٰصِحينَ
Dan datanglah seorang laki-laki dari hujung kota bergegas-gegas seraya berkata: “Hai Musa, sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu, sebab itu keluarlah (dari kota ini) sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu”.

Jadi apabila ada orang berkata dia berniat baik terhadap seseorang, belum tentu boleh dipercayai. Dalam kes lelaki di dalam Surah Qasas itu, memang dia hendak menolong Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi dalam kes abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, mereka menipu sahaja.


 

Yusuf Ayat 12: Sekarang mereka menyatakan apa yang mereka hendak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lakukan.

أَرسِلهُ مَعَنَا غَدًا يَرتَع وَيَلعَب وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Send him with us tomorrow that he may eat well and play. And indeed, we will be his guardians.”

(MALAY)

Biarkanlah dia pergi bersama kami esok pagi, agar dia (dapat) makan-makan dan (dapat) bermain-main, dan sesungguhnya kami pasti menjaganya”.

 

أَرسِلهُ مَعَنا غَدًا

Biarkanlah dia pergi bersama kami esok,

Ini adalah dialog Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak-anaknya. Mereka meminta Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membiarkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bermain dengan mereka esok. Mungkin ayahnya bertanya hendak dibawa ke mana Yusuf itu dan hendak buat apa? Mereka beritahu yang hendak keluar dari rumah dan bergembira dan mereka kata, biarlah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ikut mereka kali ini.

 

يَرتَع وَيَلعَب

agar dia (dapat) makan-makan dan bermain-main,

Hendak dibawa berkelah dan bermain. Kalimah يَرتَع daripada kata dasar ر ت ع yang hanya digunakan di dalam ayat ini. Ia mempunyai banyak maksud antaranya makan dan minum hingga kenyang; menikmati; menyegarkan; menghabiskan masa dengan senang hati. Jadi kalimah يَرتَع di sini boleh diterjemahkan dengan berbagai makna. Antaranya ia digunakan apabila binatang ternak makan. Binatang ternak makan dengan enak dan banyak. Mereka kata mereka hendak bawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar ketika mereka menggembala binatang ternakan mereka. Bolehlah mereka ajar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk bekerja dan membantu keluarga juga. Ia juga boleh digunakan di sini dengan maksud mereka hendak bawab Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkelah dan dapat makan sedap-sedap dan dengan lahap seperti banyaknya binatang ternak makan. Maknanya mereka akan menggembirakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan makanan. Ada pendapat mengatakan ini kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini tidak makan banyak, jadi kalau dapat berkelah dan makan di luar, mungkin seleranya terbuka sikit.

Bukan itu sahaja, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan dapat bermain dan bergembira dengan mereka. Maknanya mereka hendak bawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkelah dengan mereka. Ini adalah rancangan mereka untuk membawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jauh daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Daripada ayat ini mengajar kita hukum berkelah, beriadah dan makan-makan dan bermain-main. Ia tidak salah sama sekali. Tambahan pula kalau dalam kes kanak-kanak, kerja mereka memang bermainlah, takkan hendak serius buat kerja sahaja. Dalam kes Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini baginda hanya keberatan kerana risaukan abang-abang itu sahaja. Kalau dalam keadaan lain, baginda tidak ada masalah.

 

وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ

dan sesungguhnya kami pasti menjaganya”.

Untuk melembutkan hati Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka berjanji akan menjaga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan baik – Sekali lagi kita lihat ada takdim pada kalimah لَهُ. Ini kerana mereka hendak menekankan yang mereka akan menjaga baginda dengan sebaik-baiknya sangat, kononnya. Mereka cakap begini supaya dapat menenangkan hati Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya baginda membenarkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengikut mereka dalam rancangan mereka itu. Kerana mereka tahu yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan senang-senang melepaskan anak kesayangannya itu terutama kepada mereka abang-abang yang tak boleh pakai itu.


 

Yusuf Ayat 13: Ayat ini merupakan balasan jawapan daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Hebat jawapan daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Kita akan lihat bagaimana ada dua emosi di dalam ayat ini.

قَالَ إِنِّى لَيَحزُنُنِىٓ أَن تَذهَبُواْ بِهِۦ وَأَخَافُ أَن يَأڪُلَهُ ٱلذِّئبُ وَأَنتُم عَنهُ غَـٰفِلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Jacob] said, “Indeed, it saddens me that you should take him, and I fear that a wolf would eat him while you are of him unaware.”

(MALAY)

Berkata Ya’qub: “Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkanku dan aku khuatir kalau-kalau dia dimakan serigala, sedang kamu lengah daripadanya”.

 

قَالَ إِنِّى لَيَحزُنُنِىٓ أَن تَذهَبُواْ بِهِۦ

Berkata Ya’qub: “Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkanku

Emosi yang pertama yang disebut oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah kesedihan.

Kenapa baginda kata baginda ‘sedih’? Ini agak pelik kerana sedih itu selalunya untuk perkara yang telah berlaku. Pada waktu dialog ini berlaku, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ belum lagi pergi bersama mereka. Ini kerana baginda sangat sayangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ada di hadapan matanya sahaja baginda sudah sedih.

Atau, mungkin baginda sudah tahu yang perkara ini tidak dapat dielakkan daripada berlaku dan baginda sudah bersiap sedia untuk bersedih kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan bersamanya lagi. Walaupun mereka belum buat lagi, tetapi baginda sudah tahu niat mereka. Salah satu terjemahan bagi kalimat تَذهَبوا بِهِ adalah menyingkirkannya atau menghilangkannya seperti digunakan di dalam Baqarah:20

وَلَو شآءَ اللهُ لَذَهَبَ بِسَمعِهِم وَأَبصٰرِهِم
Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkan-Nya pendengaran dan penglihatan mereka

Ini menunjukkan kebijaksanaan baginda yang dapat membaca apa kehendak anak-anaknya itu. Inilah yang dinamakan firasat. Manakan tidak baginda sangsi, sedangkan dahulu tidak pernah pun mereka hendak berbuat baik dan sekarang tiba-tiba hendak berbuat baik pula – mesti ada udang di sebalik batu; dan nampak sangat mereka beriya-iya hendak membawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini menunjukkan mesti ada rancangan mereka yang tidak baik.

 

وَأَخافُ أَن يَأكُلَهُ الذِّئبُ

dan aku khuatir kalau-kalau dia dimakan serigala,

Ini adalah emosi baginda yang kedua: takut. Takut adalah untuk perkara yang belum berlaku lagi.

Lihat kalimah yang digunakan: apabila digunakan الذِّئبُ, dengan alif lam makrifah, ia bermakna Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kenal serigala itu (kerana alif lam makrifah digunakan untuk sesuatu yang dikenali – spesifik). Ini mungkin kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang kawasan yang mereka hendak bawa itu ada banyak serigala dan sudah diketahui umum oleh masyarakat mereka. Kadangkala ada serigala yang sudah terkenal dalam kalangan penduduk sesuatu tempat. Mungkin ada serigala yang terlalu ganas dan ia ada tanda pada tubuhnya. Macam dulu di sungai Serawak ada banyak buaya dan siap ada buaya yang diberi nama iaitu Bujang Senang.

Atau ‘serigala’ itu boleh merujuk kepada syaitan yang akan membisikkan kepada abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu untuk berbuat dosa termasuk menyakiti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebagaimana serigala sebenar menyerang binatang atau orang yang berseorangan, maka begitulah juga syaitan membisikkan kepada orang yang tidak ada pelindung yang dapat membimbingnya dalam agama. Kalau begini, seolah-olah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tahu rancangan mereka yang tidak baik setelah dihasut syaitan akan tetapi baginda tidak bercakap dengan jelas kepada mereka. Tidaklah baginda terus cakap: ‘Korang nak bunuh Yusuf, kan?’ Ini kerana kalau baginda terus sebut begitu, baginda takut mereka mungkin mereka akan bertambah agresif.

Boleh juga bermakna الذِّئبُ itu ditujukan sebagai isyarat kepada abang-abang itu sendiri kerana baginda tahu yang abang-abangnya itu akan jadi seperti ‘serigala’ untuk membaham dan menyakiti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Malah ada tafsir yang menyebut Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah bermimpi 10 serigala menerkam Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini pun baginda tidak cakap dengan tepat ke arah mereka kerana takut mereka menjadi agresif.

Kalau ikutkan, baginda tidak mahu mereka mengambil Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pergi bersama mereka, tetapi kita telah baca daripada kalimah لَيَحزُنُني itu yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah dapat agak. Namun tidaklah baginda tahu dengan pasti kerana baginda tidak tahu perkara ghaib. Walaupun baginda merupakan seorang Nabi, namun baginda tidak tahu perkara ghaib. Ini kerana kalau baginda tahu dengan pasti apakah yang mereka akan lakukan, tentu baginda tidak membenarkan mereka bawa Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama.

Serigala ini akan disebut lagi selepas ini. Anak-anaknya itu telah menangkap kata-kata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini dan mereka akan menggunakan serigala sebagai alasan kehilangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nanti.

 

وَأَنتُم عَنهُ غٰفِلونَ

sedang kamu lengah daripadanya”.

Kalimah غافِلونَ bermaksud tidak tahu apa yang terjadi – ghaflah, tidak tahu, tidak beri perhatian. Iaitu mereka tidak jaga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan sebaiknya. Baginda kata baginda takut ketika mereka sedang leka, mereka tidak perasan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nanti duduk berseorangan dan memberi peluang kepada serigala untuk menangkap baginda.

Atau ia bermaksud mereka ghaflah iaitu tidak sedar siapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kedudukan baginda. Sememangnya mereka tidak tahu bahawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dipilih sebagai Nabi dan mereka tidak akan tahu apa yang terjadi kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nanti. Ini kerana selepas mereka tinggalkan baginda dalam telaga itu, mereka tidak tahu dengan nasib Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan? Mereka tidak sangka yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nanti akan menjadi pembesar dan mereka datang berjumpa dengan baginda dan mereka tidak kenal baginda.


 

Yusuf Ayat 14: Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah meluahkan kerisauan baginda, tetapi anak-anaknya itu tidak mahu mengalah. Mereka tetap berhujah lagi. Beriya-iya sungguh mereka itu.

قالوا لَئِن أَكَلَهُ الذِّئبُ وَنَحنُ عُصبَةٌ إِنّآ إِذًا لَّخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “If a wolf should eat him while we are a [strong] clan, indeed, we would then be losers.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Jika dia benar-benar dimakan serigala, sedang kami golongan (yang kuat), sesungguhnya kami kalau demikian adalah orang-orang yang merugi”.

 

قالوا لَئِن أَكَلَهُ الذِّئبُ وَنَحنُ عُصبَةٌ

Mereka berkata: “Jika dia benar-benar dimakan serigala, sedang kami golongan (yang kuat), 

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap tentang kesedihan baginda dan ketakutan kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimakan serigala. Namun anak-anaknya itu cuma dapat menjawab bahagian serigala sahaja; kerana mereka tentu tidak boleh menghalang baginda daripada merasa sedih. Malah kesedihan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu menambah rasa benci mereka terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana berpisah dengan anaknya pun sudah menjadi sedih.

Jadi mereka cuma jawab tentang ancaman serigala sahaja. Mereka hendak berkata, tidak mungkin serigala hendak makan sedangkan mereka ramai dan kuat. Memang tidak patut kalau serigala dapat mencederakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedangkan mereka ramai.

 

إِنّآ إِذًا لَّخٰسِرونَ

sesungguhnya kami kalau demikian adalah orang-orang yang merugi”.

Seandainya benar terjadinya sebegitu, tentu mereka menjadi orang yang rugi. Tentu mereka akan malu dan dipandang hina oleh masyarakat kerana lemah sangat sampai tidak dapat mempertahankan adik sendiri. Kami juga yang rugi kerana hilang hormat oleh ayah kami sendiri pula nanti. Maksud mereka: ‘Tidak mungkin ia akan jadi begitu, wahai ayahanda. Malulah kami kalau itu terjadi, mesti takkan jadi punya’.

Begitulah hujah dan pujukan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka menggunakan berbagai taktik dan manipulasi psikologi untuk menjayakan rancangan jahat mereka. Begitulah orang yang menipu amat pandai menggunakan bahasa dan penipuan. Kalau tidak, takkanlah tidak ramai ‘scammer’ sekarang dan ramai  yang tertipu kerana betapa pandai pun kita, kadang-kadang tertipu dengan teknik manipulasi penipu.


 

Yusuf Ayat 15: Sekarang kita baru masuk kepada tindakan abang-abang itu. Apakah yang saudara-saudaranya lakukan terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?

فَلَمَّا ذَهَبُواْ بِهِۦ وَأَجمَعُوٓاْ أَن يَجعَلُوهُ فِى غَيَـٰبَتِ ٱلجُبِّ‌ۚ وَأَوحَينَآ إِلَيهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمرِهِم هَـٰذَا وَهُم لَا يَشعُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when they took him [out] and agreed to put him into the bottom of the well…¹ But We inspired to him, “You will surely inform them [someday] about this affair of theirs while they do not perceive [your identity].”

  • The conclusion of this sentence is estimated to be “…they tormented him.”

(MALAY)

Maka tatkala mereka membawanya dan mereka sepakat memasukkannya ke dasar sumur (lalu mereka masukkan dia), dan (di waktu dia sudah dalam sumur) Kami wahyukan kepada Yusuf: “Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan mereka ini, sedang mereka tiada menyedari”.

 

فَلَمَّا ذَهَبُواْ بِهِۦ

Maka tatkala mereka membawanya

Maka esok harinya mereka berjaya membawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kalimah ‘kemudian’ ada banyak pilihan di dalam Bahasa Arab akan tetapi kali ini Allah ‎ﷻ gunakan kalimah فَلَمّا. Ia mengandungi makna yang tersirat iaitu akhirnya setelah banyak kali mereka mencuba. Ini kerana akhirnya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah pernah diminta kebenaran ini tetapi banyak kali baginda menolak. Cuma akhirnya setelah banyak kali mereka mencuba dengan berbagai hujah dan helah, barulah baginda bersetuju untuk membenarkan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk membawa baginda ‘berkelah’. Jadi walaupun ayat yang kita baca ini pendek sahaja dan boleh selesai dalam beberapa minit sahaja, akan tetapi kisah sebenarnya mengambil masa entah berapa hari.

Jadi dapatlah mereka membawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Adik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang bernama Bunyamin duduk dengan ayahnya. Mereka hanya membawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Mungkin timbul persoalan: Kenapa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya bersetuju? Pertama, kerana desakan anak-anaknya. Baginda pun kena layan juga pandangan dan permintaan anak-anaknya itu. Kalau baginda berkeras, apa pula lagi kata mereka dan tentu mereka akan lebih keras terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Keduanya, kerana janji mereka untuk menjaga adik mereka itu. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya terpaksa berpegang kepada janji mereka walaupun baginda tidaklah percaya sangat.

Ketiganya, baginda pun tidak ada alasan yang kuat untuk menghalang mereka kerana mereka itu pun adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga. Keempat, walaupun Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang abang-abangnya itu tidak sukakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tetapi kali ini baginda bersangka baik yang mereka benar-benar hendak membaiki hubungan dengan adik mereka itu dan caranya adalah dengan meluangkan masa berkualiti dengan adik mereka itu. Sebagai bapa, tentulah menginginkan semua anak-anak berbaik, bukan? Sedih hati dan serabut kepala otak kita kalau anak-anak berkelahi dan benci membenci sesama sendiri. Akhir sekali kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertawakal kepada Allah ‎ﷻ. Walau sebaik manapun baginda cuba menjaga dan melindungi anaknya itu, namun akhirnya baginda kena berserah kepada Allah ‎ﷻ juga.

 

وَأَجمَعُوٓاْ أَن يَجعَلُوهُ فِى غَيَـٰبَتِ ٱلجُبِّ‌

dan mereka sepakat memasukkannya ke dasar telaga

Mereka ijmak (sepakat) untuk meninggalkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam telaga musafir itu. الجُبِّ juga bukan telaga yang dalam. Ini penting sebab bolehlah baginda diselamatkan nanti. Kita telah bincangkan panjang lebar sebelum ini kenapa pilihan ini yang akhirnya disepakati.

Namun kenapa di sini disebut mereka أَجمَعوا (mereka bersepakat)? Bukankah telah disebut perbincangan mereka sebelum ini? Jadi ada pendapat yang mengatakan perbincangan mereka tentang tiga pilihan itu dilakukan hanya setelah mereka bawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar. Jadi maknanya mereka berbincangan di hadapan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri! Bayangkan betapa teruknya mereka. Atau, mereka telah sepakat tetapi kemudian mereka menjadi sangsi dengan keputusan mereka dan oleh itu mereka kenalah mencapai kata putus semula.

Atau, ia bermaksud mereka berkumpul untuk melakukan apa yang mereka rancangkan itu beramai-ramai, semua sekali terlibat. Oleh itu ada muqaddar dalam ayat ini: mereka lakukanlah apa yang mereka lakukan itu. Cuma banyak kisah Israiliyat tentang perkara ini kalau kita baca dalam kitab-kitab tafsir. Kita tidak mahu masuk membicarakan tentang kisah-kisah yang belum tentu sahih itu. Ada yang kata mereka baling, ada yang kata mereka masukkan dengan tali. Akan tetapi yang kita boleh agak dengan pasti, mereka telah mengambil baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baju itu nanti mereka akan gunakan sebagai bukti yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dimakan serigala.

Jadi kita tidak tahu sebenarnya dengan pasti apakah yang berlaku. Ada juga pendapat yang mengatakan Allah ‎ﷻ sengaja tidak mahu cerita kerana kalau diceritakan, tentu menyayat hati. Ini macam apabila kita dengar kisah budak-budak dibuli oleh dibunuh di media sosial sekarang. Kalau kita baca perincian apa yang terjadi, tentulah sedih hati kita. Kita yang sedang bayangkan ini pun terasa hati dengan amat sayu bagaimana abang-abangnya sanggup melakukan perkara demikian. Mereka bukan sahaja berlaku zalim terhadap adik sendiri yang tidak ada dosa, tetapi berlaku zalim kepada ayah yang mereka sayangi.

Selepas mereka meninggalkan baginda, dikatakan yang mereka tidak tinggalkan terus tetapi mereka duduk menunggu untuk melihat apa yang terjadi. Ada yang kata mereka menunggu dalam masa tiga hari baru ada yang datang ke kawasan itu. Malah ada riwayat yang menyebut salah seorang abangnya memberi makan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setiap hari. Maknanya mereka tidak mahu baginda mati di dalam telaga itu, maka mereka hantar makanan juga. Ini ekoran daripada nasihat abang mereka yang tidak mahu baginda dibunuh. Memang nafsu mereka telah menyebabkan mereka melakukan perkara yang amat salah. Namun mereka tidaklah sampai sanggup untuk membunuh baginda.

Namun Allah ‎ﷻ ulang kalimat غَيٰبَتِ الجُبِّ yang telah pernah disebut sebelum ini. Kalau Allah ‎ﷻ sebut الجُبِّ pun sudah cukup dan kita akan faham. Pengulangan kalimah غَيٰبَتِ seolah-olah hendak mengingatkan kita yang baginda bukannya dimasukkan ke dalam telaga sahaja tetapi bahagian yang paling gelap dalam telaga itu.

 

وَأَوحَينَآ إِلَيهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمرِهِم هَـٰذَا

dan Kami wahyukan kepada Yusuf: “Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan mereka ini,

Selepas baginda dijatuhkan ke dalam perigi itu, baginda naik ke atas satu batu yang berada di dasar perigi (tidaklah baginda berada di dalam air selepas itu). Semasa baginda di dalam sumur itu, diwahyukan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (dalam bentuk ilham) yang baginda akan menceritakan semula kisah ini kepada mereka nanti. Ini kerana Nabi Yusuf ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ belum lagi menjadi Nabi maka baginda belum lagi mendapat wahyu. Dengan mendapat ilham itu, maka tenanglah sedikit hati baginda. Ilham dalam bentuk ini juga pernah terjadi kepada ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Qasas:7

وَأَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ ۖ فَإِذا خِفتِ عَلَيهِ فَأَلقيهِ فِي اليَمِّ وَلا تَخافي وَلا تَحزَني ۖ إِنّا رادُّوهُ إِلَيكِ وَجاعِلوهُ مِنَ المُرسَلينَ
Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) daripada para rasul.

Tujuan Allah ‎ﷻ adalah untuk menenangkan hati mereka yang amat sedih itu. Allah ‎ﷻ menenangkan hati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan memberitahu yang pengakhiran untuk baginda nanti adalah kebaikan. Walaupun apa yang terjadi kepada baginda pada waktu itu adalah kelihatan sangat teruk, tetapi nanti baginda akan mendapat kesenangan dan jalan keluar yang baik.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa wahyu yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada waktu itu adalah wahyu kenabian. Ini kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang Nabi yang telah dipilih oleh Allah ﷻ, walaupun pada usia yang masih muda. Wahyu ini diberikan untuk menenangkan hatinya dan memberikan jaminan bahawa Allah ﷻ akan menolongnya. Ia merupakan wahyu yang benar dan langsung daripada Allah ﷻ. Kebanyakan pendapat mengatakan Nabi hanya dilantik secara rasmi sebagai seorang Nabi setelah umur dewasa. Akan tetapi ada sahaja Nabi yang terus diberikan wahyu ketika kecil lagi seperti Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Perhatikan ayat Maryam:30-31 

قَالَ إِنِّى عَبۡدُ ٱللَّهِ ءَاتَٮٰنِىَ ٱلۡكِتَـٰبَ وَجَعَلَنِى نَبِيًّا (٣٠) وَجَعَلَنِى مُبَارَكًا أَيۡنَ مَا ڪُنتُ وَأَوۡصَـٰنِى بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱلزَّڪَوٰةِ مَا دُمۡتُ حَيًّا (٣١)
Dia menjawab: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi. (30) Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. (31)

 

وَهُم لا يَشعُرونَ

sedang mereka tiada menyedari”.

Allah ‎ﷻ mengilhamkan yang pada waktu kisah itu diceritakan semula kepada mereka, mereka tidak akan sedar yang menceritakan itu adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri. Ini kerana masa telah lama berlalu dan rupa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun tentu sudah berubah dan mereka sudah tidak kenal adik sendiri. Terkejut besarlah mereka nanti apabila baginda menceritakan semula apa yang terjadi pada hari itu. Kisah ini nanti kita akan jumpa di hujung surah ini, maka kena bersabar sikit.

Yang kedua, ia juga bermaksud mereka tidak sedar apa yang mereka sedang lakukan. Mereka telah mabuk hendak mencari cinta ayah mereka, sampai terlupa mereka sedang melakukan perkara yang amat salah! Mereka sudah ditipu oleh syaitan sampai mereka sudah hilang sifat kemanusiaan mereka.

Yang ketiga, mereka tidak sedar yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah seorang Nabi. Ya memang adik mereka, tetapi akan dinaikkan taraf menjadi seorang Nabi nanti. Kalau dilakukan perkara yang mereka lakukan itu kepada orang biasa pun sudah teruk, maka ia berganda-ganda teruk apabila dilakukan terhadap seorang Nabi!

Maka inilah sahaja yang disebut dalam Al-Qur’an. Para mufassir banyak menyebut tentang kisah-kisah tambahan kejadian ini yang kita tidak mahu tuliskan di sini. Kita tidak mahu tambah sedangkan ini cara yang diajar oleh Allah ‎ﷻ. Waktu ayat ini diturunkan, orang baca daripada Al-Qur’an ini sahaja dan tidak ada kisah tambahan waktu itu. Namun biasalah, kerana kalau kita menonton filem pun, ada perkara yang tidak diberitahu. Ini kerana diberitahu perkara yang penting-penting sahaja. Maka dalam mendengar cerita, tidak payahlah tanya banyak sangat, sebaliknya tonton sahajalah filem itu atau dengar sahaja kisah itu dibacakan kerana ada perkara yang tidak diberitahu oleh pencerita kerana sebab tertentu.

 

Kuiz (10 Soalan Pendek)

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat.

  1. Bagaimana saudara-saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memulakan pujukan mereka kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan apakah taktik psikologi yang mereka gunakan?
  2. Apakah makna asal kalimah “نٰصِحونَ” (naasihun) seperti yang dijelaskan dalam teks, dan bagaimana saudara-saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyalahgunakannya?
  3. Apakah dua emosi utama yang dinyatakan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika anak-anaknya meminta untuk membawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pergi?
  4. Jelaskan mengapa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan perkataan “الذِّئبُ” (serigala dengan alif lam makrifah) dan berikan dua kemungkinan tafsiran untuk simbol ini.
  5. Bagaimana respons saudara-saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap kebimbangan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengenai serigala?
  6. Apakah maksud penggunaan kalimah “فَلَمّا” (maka tatkala) di awal Ayat 15, dan apa yang tersirat daripadanya?
  7. Berikan dua sebab mengapa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya bersetuju untuk membenarkan anak-anaknya membawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pergi.
  8. Selepas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijatuhkan ke dalam telaga, apakah wahyu yang diterima oleh baginda, dan dalam bentuk apakah wahyu tersebut?
  9. Jelaskan dua kemungkinan makna frasa “وَهُم لا يَشعُرونَ” (sedang mereka tiada menyedari) pada akhir Ayat 15.
  10. Apakah tujuan Allah ‎ﷻ mengulangi kalimah “غَيٰبَتِ الجُبِّ” (bahagian paling gelap dalam telaga) walaupun perkataan “الجُبِّ” sahaja sudah cukup?

Glosari Istilah Penting

  • takdim: Pendahuluan atau meletakkan sesuatu di hadapan dalam susunan ayat untuk menekankan makna.
  • ilham: Petunjuk atau bisikan daripada Allah ‎ﷻ kepada hati seseorang, yang tidak semestinya dalam bentuk wahyu kenabian.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Overview Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 11 – 15 (Menipu Ayah)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Saudara-saudara Nabi Yusuf memulakan pujukan dengan mempersoalkan Nabi Ya’qub: “Wahai ayah kami, apa sebabnya kamu tidak mempercayai kami terhadap Yusuf?” Mereka menggunakan taktik psikologi dengan memindahkan masalah kepada Nabi Ya’qub, seolah-olah Nabi Ya’qub yang ada masalah kerana tidak mempercayai mereka.
    2. Makna asal kalimah “نٰصِحونَ” (naasihun) adalah sesuatu yang bersih atau murni, tidak bercampur dengan yang lain, dan membawa maksud ikhlas atau berniat baik terhadap seseorang. Saudara-saudara Nabi Yusuf menyalahgunakan perkataan ini dengan mengaku berniat baik dan prihatin terhadap Nabi Yusuf, padahal mereka sebenarnya merancang kejahatan.
    3. Dua emosi utama yang dinyatakan oleh Nabi Ya’qub adalah kesedihan (“Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkanku”) dan ketakutan (“dan aku khawatir kalau-kalau dia dimakan serigala”). Kesedihan merujuk kepada perasaannya yang mendalam terhadap Nabi Yusuf, manakala ketakutan adalah terhadap bahaya yang mungkin menimpa Yusuf.
    4. Nabi Ya’qub menggunakan “الذِّئبُ” (serigala dengan alif lam makrifah) menunjukkan baginda mengenali serigala itu, mungkin kerana kawasan itu terkenal dengan serigala atau ada serigala ganas yang diketahui umum. Tafsiran lain termasuk “serigala” sebagai isyarat kepada syaitan yang menghasut abang-abang, atau sebagai perumpamaan untuk abang-abang itu sendiri yang akan menyakiti Nabi Yusuf.
    5. Respons saudara-saudara Nabi Yusuf terhadap kebimbangan Nabi Ya’qub adalah dengan menepisnya, menyatakan bahawa tidak mungkin serigala akan memakan Yusuf sedangkan mereka adalah golongan yang ramai dan kuat. Mereka juga berkata jika itu berlaku, mereka akan menjadi orang yang rugi dan malu, seolah-olah menjamin keselamatan Yusuf.
    6. Penggunaan kalimah “فَلَمّا” (maka tatkala) di awal Ayat 15 mengandungi makna tersirat bahawa akhirnya, setelah berkali-kali mencuba dan menggunakan berbagai hujah serta helah, Nabi Ya’qub akhirnya bersetuju. Ini menunjukkan proses pujukan mereka mengambil masa dan tidak serta-merta berjaya.
    7. Dua sebab mengapa Nabi Ya’qub akhirnya bersetuju ialah desakan anak-anaknya dan janji mereka untuk menjaga Nabi Yusuf. Baginda juga mungkin ingin melihat anak-anaknya berbaik dan bertawakal kepada Allah, walaupun ada keraguan.
    8. Wahyu yang diterima oleh Nabi Yusuf setelah dijatuhkan ke dalam perigi adalah dalam bentuk ilham, yang memberitahunya bahawa baginda akan menceritakan semula kisah perbuatan mereka ini kepada mereka pada masa akan datang. Wahyu ini bertujuan untuk menenangkan hati Nabi Yusuf.
    9. Frasa “وَهُم لا يَشعُرونَ” boleh bermaksud mereka tidak menyedari identiti Nabi Yusuf apabila baginda menceritakan kisah itu semula kepada mereka di masa hadapan kerana perubahan rupa dan masa yang berlalu. Ia juga boleh bermaksud mereka tidak menyedari betapa beratnya kesalahan yang mereka lakukan terhadap adik mereka sendiri, atau mereka tidak sedar bahawa Nabi Yusuf adalah seorang Nabi yang mulia.
    10. Allah mengulangi kalimah “غَيٰبَتِ الجُبِّ” (bahagian paling gelap dalam telaga) untuk menekankan bahawa Nabi Yusuf bukan hanya dimasukkan ke dalam telaga, tetapi ke bahagian yang paling dalam dan gelap sekali. Ini menambahkan gambaran tentang kesulitan dan kegelapan yang dialami Nabi Yusuf pada waktu itu.

    Like

Leave a comment