Tafsir Surah Yusuf Ayat 2 (Maksud istilah Al-Qur’an)

Yusuf Ayat 2:

إِنّآ أَنزَلنٰهُ قُرءٰنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have sent it down as an Arabic Qur’ān¹ that you might understand.

  • i.e., revealed in the Arabic language.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami menurunkannya Al-Qur’an dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya.

 

إِنّآ أَنزَلنٰهُ قُرءٰنًا عَرَبِيًّا

Sesungguhnya Kami menurunkannya Al-Qur’an dengan berbahasa Arab,

Dikatakan di sini dan banyak ayat-ayat Al-Qur’an bahawa Allah ﷻ ‘menurunkan’ Al-Qur’an. Kenapa diturunkan? Kerana Allah ﷻ di langit. Bukanlah Allah ﷻ wujud tanpa tempat dan Allah ﷻ berada di mana-mana. Semua wahyu jelas mengatakan Allah ﷻ di langit. Selesai.

Secara umumnya keseluruhan Al-Qur’an diturunkan di dalam Bahasa Arab. Khusus bagi surah ini adalah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diceritakan di dalam Bahasa Arab. Kita kena ingat bahawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah Nabi Bani Israil jadi ia adalah kisah mereka dan dahulunya ia di dalam Bahasa Ibrani. Akan tetapi sekarang apabila Allah ‎ﷻ menceritakannya semula di dalam Bahasa Arab, maka ia menjadi kisah kita umat Islam pula, bukan hanya mereka.

Di dalam ayat 1, Allah ‎ﷻ merujuk kepada Al-Qur’an sebagai الكِتٰبِ dan sekarang digunakan istilah القرءآن pula. Jadi kedua-dua sifatnya disebut, iaitu sifatnya yang tertulis (الكِتٰبِ) dan sifatnya yang sentiasa dibaca (القرءآن). Sekarang kita lihat apakah istilah القرءآن ini.

Secara bahasa (etimologi), Al-Qur’an (القرءآن) berasal daripada bahasa Arab. Ada beberapa pandangan ulama linguistik dan mufassir mengenai asal kata dan maknanya:

1. Daripada kata “Qara’a” (قرأ)

Ini adalah pandangan yang paling popular dan diterima luas. Ia daripada akar Kata: Al-Qur’an berasal daripada kata kerja قَرَأَ (qara’a) yang bererti membaca, mengumpulkan, atau menghimpun. Dengan demikian, Al-Qur’an bermakna “bacaan” atau “yang dibaca”.

Ia disebut Al-Qur’an kerana ia adalah kitab yang wajib dibaca dan yang paling banyak dibaca oleh umat Islam. Selain itu, ia juga mengumpulkan atau menghimpun berbagai kisah, hukum, perintah, larangan, janji, dan ancaman. Pendapat disokong Imam Syafi’i, Al-Farra’, dan majoriti ulama. Ayat-ayat Al-Qur’an sendiri juga menguatkan makna ini, seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Qiyamah:17-18

“إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ * فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ”
Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan membacanya. Apabila Kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu.)

Kata “قُرْآنَهُ” (qur’ānahu) di sini jelas merujuk pada “bacaannya”. Memang tidak ada mana-mana buku atau kitab yang dibaca dan dihafal seperti Al-Qur’an ini.

 

2. Daripada kata “Qarana” (قرن)

Ia daripada akar Kata قَرَنَ (qarana) yang bererti menggabungkan atau mengiringkan. Menurut pandangan ini, Al-Qur’an disebut demikian kerana ayat-ayat dan surah-surahnya saling berkaitan dan digabungkan satu sama lain, atau kerana ia menggabungkan berita dan hukum.

 

3. Tidak Berasal daripada Kata Apa pun (Ism Jāmid)

Sebahagian kecil ulama’, termasuk Asy-Syafi’i رَحِمَهُ اللَّهُ dalam salah satu pendapatnya, berpendapat bahawa Al-Qur’an adalah nama diri (ism jāmid) yang khusus untuk Kalamullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ia tidak diturunkan daripada akar kata apapun, melainkan sebuah nama yang unik, mirip dengan Taurat dan Injil yang tiada akar kata.

Al-Qur’an itu telah diturunkan dalam bahasa Arab. Maka kalau kita baca kitab terjemahan, itu bukanlah Al-Qur’an sebenarnya. Kita kena faham terdapat perbezaan di antara ‘terjemahan’ dan Al-Qur’an itu sendiri kerana Al-Qur’an itu hendaklah di dalam bahasa Arab. Terjemahan itu tidak mungkin tepat dan tidak akan ada terjemahan yang tepat kerana itu adalah salah satu pendapat sahaja tentang maksud satu-satu ayat Al-Qur’an kerana ayat Al-Qur’an ada banyak makna dan tidak mungkin dapat diterjemahkan sepenuhnya. Ini adalah kerana Al-Qur’an itu adalah bahasa yang kaya dan tidak mungkin dapat diterjemahkan dengan sempurna di dalam bahasa selain Arab. Cuma kita gunakan kitab terjemahan itu sebagai panduan sahaja.

Apabila dikatakan Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, ini bermakna yang Allah ‎ﷻ menurunkan terus Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, maksudnya bukan menggunakan kalimah daripada Nabi Muhammad ﷺ. Al-Qur’an itu sememangnya telah siap diturunkan dalam bahasa Arab dan bukanlah Nabi Muhammad ﷺ yang mengeluarkannya dalam bahasa Arab pula. Ini berbeza dengan hadith. Memang hadith juga adalah wahyu tetapi Nabi ﷺ diberikan ilham dan kefahaman kepada baginda dan baginda sendiri yang menggunakan bahasa baginda untuk menjelaskan apa yang baginda faham. Maka, hadith tidak diturunkan dalam bahasa Arab, tetapi menggunakan bahasa Nabi Muhammad ﷺ sendiri.

Allah ‎ﷻ menggunakan Bahasa Arab kerana Bahasa Arab adalah bahasa yang paling jelas, paling terang, paling luas, dan paling banyak perbendaharaan kata-katanya untuk mengungkapkan pelbagai pengertian untuk meluruskan jiwa manusia. Allah ﷻ telah memilih Bahasa Arab sebagai medium untuk menurunkan Al-Qur’an, dan ini bukan tanpa sebab. Ramai ulama dan ahli bahasa telah mengkaji kelebihan-kelebihan intrinsik bahasa Arab yang menjadikannya sangat sesuai untuk membawa risalah Ilahi yang abadi ini. Berikut adalah beberapa kelebihan utama Bahasa Arab yang menjadi alasan mengapa Al-Qur’an diturunkan di dalamnya:

1. Kefasihan (Fashahah) dan Kejelasan (Wudhoh)

Bahasa Arab dikenal sebagai bahasa yang sangat fasih dan jelas dalam menyampaikan makna. Seandainya digunakan Bahasa Melayu, agaknya Al-Qur’an hanya boleh dibawa dengan lori. Setiap kata dan frasa Bahasa Arab memiliki ketepatan yang tinggi, memungkinkan penyampaian yang rumit dengan ungkapan yang ringkas.

  • Lafaz yang indah: Susunan huruf dan kata dalam Bahasa Arab memiliki keindahan fonetik dan irama yang khas, sehingga Al-Qur’an terdengar sangat indah saat dibaca (tartil), bahkan bagi mereka yang tidak memahami maknanya. Sampai ada Non-Muslim yang suka mendengarnya.
  • Kejelasan makna: Bahasa Arab mampu menyampaikan makna secara langsung dan terang, tanpa banyak pusing sana dan sini. Ini penting untuk kitab yang berisi hukum dan petunjuk yang harus difahami dengan jelas.

 

2. Kekayaan Kosakata (Wus’ah al-Lughah)

Bahasa Arab memiliki kosakata yang sangat luas dan kaya. Satu kata dasar boleh membentuk banyak turunan kata dengan makna yang beragam, tergantung pada susunan huruf, harakat, dan konteksnya.

  • Sinonim dan Antonim: Banyak sinonim (kata-kata berbeza dengan makna serupa) dan antonim (kata-kata berlawanan) yang memungkinkan nuansa makna yang sangat halus. Ini memberikan keluasan dalam menyampaikan pesan dengan ketepatan yang luar biasa.
  • Derivasi (Isytiqaq): Daripada satu akar kata (biasanya tiga huruf), boleh dibentuk puluhan kata dengan makna yang terkait, namun spesifik. Misalnya, daripada akar kata k-t-b (ك-ت-ب), kita boleh mendapatkan kataba (menulis), kitab (buku/tulisan), katib (penulis), maktab (kantor/tempat menulis), maktabah (perpustakaan), dan lain-lain. Ini memungkinkan Al-Qur’an untuk menyampaikan berbagai konsep dengan akar makna yang sama.

 

3. Ketepatan Ungkapan dan Perincian Makna

Bahasa Arab memiliki kemampuan unik untuk menyampaikan makna yang sangat spesifik dan terperinci hanya dengan sedikit kata (digelar sebagai Ijaz).

  • Pembezaan Nuansa: Bahasa Arab mampu membezakan nuansa makna yang sangat halus. Misalnya, ada banyak kata untuk “cinta” (seperti hubb, wudd, ‘ishq, gharam, hawa) yang masing-masing membawa konotasi dan intensiti yang berbeza. Begitu pula untuk “air”, “singa”, dan sebagainya. Ini memungkinkan Al-Qur’an menyampaikan pesan dengan ketepatan yang tidak ada bandingannya.
  • Ijaz (Keringkasan dan Kepadatan Makna): Al-Qur’an seringkali menggunakan kalimat yang ringkas namun padat makna, sehingga satu ayat boleh mengandungi banyak pelajaran dan hukum. Ini adalah ciri khas kemukjizatan Al-Qur’an.

 

4. Struktur Gramatikal (Nahwu dan Sharf) yang Kokoh dan Fleksibel

Sistem tata bahasa Arab (Nahwu) dan morfologinya (Sarf) sangat teratur dan kukuh, namun juga fleksibel.

  • Pengaruh Harakat: Perubahan harakat (baris) pada huruf mengubah makna kata secara drastik (misalnya qara’a [dia membaca] vs quri’a [dibaca]). Ini menambah kedalaman dan ketepatan makna. Kalau menggunakan Bahasa Melayu, tentulah memerlukan tambahan kalimah baru boleh faham.
  • Struktur Kalimat: Tata letak kata dalam kalimat dapat mempengaruhi penekanan makna. Bahasa Arab memungkinkan penekanan pada subjek, predikat, atau objek hanya dengan mengubah susunan kalimat.

 

5. Sejarah dan Lingkungan Penurunan Al-Qur’an

  • Bahasa Nabi ﷺ dan Kaumnya: Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ yang berbahasa Arab, di tengah masyarakat Arab. Secara logik, wahyu harus disampaikan dalam bahasa yang difahami oleh mukhatab (pendengar) pertama agar mereka dapat memahami dan menyebarkan risalah tersebut. Allah ‎ﷻ berfirman dalam Ibrahim:4: وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡ‌ “Kami tidak mengutus seorang Rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka.”
  • Kekuatan Sastera: Bangsa Arab pada masa itu dikenal sangat mahir dalam sastera, puisi, dan retorika. Jadi Bahasa Arab berkembang dengan amat pesat sekali kerana bangsanya suka dengan bahasa. Dengan diturunkannya Al-Qur’an dalam Bahasa Arab yang fasih, ia menjadi tentangan (tahaddi) terbesar bagi mereka untuk menandinginya, yang mana mereka tidak mampu melakukannya hingga hari ini. Ini membuktikan kemukjizatan Al-Qur’an.

 

6. Kekekalan dan Pemeliharaan

Seiring dengan janji Allah ‎ﷻ untuk menjaga Al-Qur’an daripada perubahan seperti disebut di dalam Hijr:9 إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ (Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya), Bahasa Arab sebagai bahasa Al-Qur’an juga telah terpelihara keasliannya selama berabad-abad. Buktinya ia masih lagi digunakan sampai hari ini. Ini berbeza dengan bahasa-bahasa kitab suci terdahulu yang banyak mengalami perubahan seiring waktu. Bahasa kitab-kitab dahulu sudah tidak dituturkan.

Kerana itulah Allah ‎ﷻ menurunkan Kitab-Nya yang paling mulia dengan bahasa yang paling mulia di antara bahasa-bahasa lainnya yang disampaikan-Nya kepada Rasul yang paling mulia melalui perantaraan malaikat yang paling mulia. Malah penurunannya terjadi di bahagian bumi yang paling mulia, serta awal penurunannya (Al-Qur’an) terjadi di dalam bulan yang paling mulia, iaitu bulan Ramadan; sehingga sempurnalah kitab Al-Qur’an ini dari pelbagai seginya.

Tambahan pula Rasulullah ﷺ adalah orang Arab dan penerima pertama Al-Qur’an yang Nabi ﷺ sampaikan adalah orang Arab juga. Kalau ia hendak menjawab soalan puak Yahudi, yang bertanya itu pun adalah Yahudi yang duduk di Tanah Arab, jadi mereka pun akan faham juga bahasa Arab. Jadi takkan Al-Qur’an diturunkan di dalam bahasa asing pula. Kerana tujuan ia diturunkan adalah supaya pendengarnya boleh faham apa yang disampaikan. Akan tetapi bagaimana dengan kita orang Melayu dan bangsa lain yang lahir-lahir bukan tahu bahasa Arab pun? Sedangkan kita pun penerima Al-Qur’an juga seperti disebut di dalam Saba’:28?

وَما أَرسَلنٰكَ إِلّا كافَّةً لِّلنّاسِ
Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya

Maka kerana itu, sebenarnya kita sebagai umat Islam mestilah memahami bahasa Arab. Sekurang-kurangnya maksud ayat-ayat di dalam Al-Qur’an walaupun kita mungkin tidak boleh berdialog di dalam bahasa Arab sepenuhnya. Ini kerana kita wajib memahami Al-Qur’an dan kerana untuk memahami Al-Qur’an kita kena tahu bahasa Arab, maka kita kena tahu bahasa Arab juga. Ini adalah berdasarkan kaedah,

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
“Sesuatu yang suatu kewajipan tidak sempurna kecuali dengannya, maka ia (sesuatu itu) juga menjadi wajib.”

Ini tidaklah pelik kerana pakar bahasa Arab pun ramai dalam kalangan non-Arab seperti Sibawaihi dan al-Farahidi. Mereka telah berusaha untuk memahami bahasa Arab supaya dapat memahami Al-Qur’an dengan baik. Malah sepatutnya bahasa percakapan kita umat Islam adalah bahasa Arab sebenarnya supaya kesatuan di antara umat Islam di seluruh dunia lebih rapat. Namun malang sekali apabila penjajah Barat telah menjajah umat Islam, maka semua telah dijauhkan daripada bahasa Arab; kalau dulu kita menggunakan tulisan Jawi yang diambil daripada bahasa Arab tetapi lama kelamaan orang kita pun sudah tidak kenal tulisan Jawi.

Apakah kesannya? Kesannya adalah apabila kita sendiri tidak tahu bahasa Arab, ia menjadi asing bagi kita dan hasilnya Al-Qur’an pun asing juga. Kita rasa jauh sangat, seperti ia satu tulisan yang kita tidak faham langsung apa yang disebut di dalamnya. Maka kerana itu orang kita baca sebagai azimat, digantung sebagai hiasan khat, sebagai pertandingan musabaqah, sebagai tangkal, buku sejarah, penyembuh penyakit, halau hantu, pendinding dan macam-macam lagi tapi tidak dijadikan sebagai panduan hidup. Sudah tidak faham, hendak dijadikan panduan macam mana?

Mungkin ada yang kata susah belajar bahasa Arab sebab kompleks. Namun begitu kalau untuk kerja dan lulus universiti, sanggup sahaja kita belajar bahasa asing. Boleh pula? Sedangkan itu adalah untuk kejayaan dunia semata sedangkan dengan belajar Bahasa Arab kita akan berjaya dunia dan akhirat. Cuma jangan jadikan alasan tangguh belajar tafsir kerana hendak belajar Bahasa Arab pula. Sekarang boleh sahaja mulakan belajar tafsir kerana ramai guru yang mengajar dalam bahasa kita dan banyak kitab rujukan. Cuma di dalam masa yang sama, belajarlah juga Bahasa Arab supaya kita lebih faham pelajaran tafsir itu. Takut hendak tunggu habis belajar Bahasa Arab, tidak sempat pula takut mati dahulu maka sia-sialah hidup.

 

لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ

agar kamu memahaminya.

Al-Qur’an itu diturunkan dalam bahasa yang kita boleh baca dan faham, supaya kita boleh memikirkan apakah yang disampaikan di dalamnya. Supaya kita boleh tahu apakah hukum hakam yang disampaikan di dalamnya, kisah-kisahnya, pengajaran di dalam kisah-kisah itu, sejarah, ilmu yang berguna. Ia bukan setakat faham sahaja tetapi hendaklah kita gunakan kefahaman itu untuk kita didik diri kita dan gunakan di dalam segenap kehidupan kita. Ini kerana kalau setakat faham tetapi tidak amal, pun tidak berguna. Ia adalah untuk kebaikan kita tetapi kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, bagaimanakah kebaikan itu boleh diambil?

Secara khususnya Allah ‎ﷻ mahu ‘kamu’ memahaminya iaitu kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita sedang belajar ini. Namun siapakah ‘kamu’? Yang pertama ia mungkin merujuk kepada Yahudi di Tanah Arab itu. Mereka duduk di Madinah (Yathrib) ketika itu tetapi mereka itu dirujuk juga oleh pemuka Quraisy di Mekah (mereka minta idea bagaimana hendak berhujah dengan Nabi Muhammad ﷺ). Jadi Allah ‎ﷻ hendak mereka tahu yang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah daripada Allah ﷻ. Maka ia menjadi bukti bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah benar seorang Nabi lagi Rasul kerana tidak mungkin baginda boleh dapat kisah ini dari mana-mana sumber lain.

Yang kedua ia ditujukan kepada umat Islam atau mana-mana pembaca Al-Qur’an. Supaya mereka mengambi pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Digunakan istilah القرءآن di sini kerana ia bermaksud ‘pembacaan’. Allah ﷻ mahu kita baca Al-Qur’an ini. Allah ﷻ boleh sahaja turunkan kitab wahyu bertulis seperti yang telah dilakukan terhadap Taurat yang diberikan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ siap bertulis. Namun asal Al-Qur’an ini dibacakan daripada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada Nabi Muhammad ﷺ dan baginda baginda bacakan pula kepada para sahabat dan seterusnya. Allah ﷻ juga telah jadikan Al-Qur’an sebagai pembacaan yang amat indah untuk didengar, walaupun kita tidak memahaminya. Kerana itu ia senang dihafal kerana memang ayat-ayatnya indah. Maka menjadi sunnah Al-Qur’an ini dibaca dan didengar. Mungkin kita sudah jarang melakukannya namun ingatlah yang beginilah cara para sahabat belajar dahulu. Nabi Muhammad ﷺ sendiri suka mendengar Al-Qur’an dibacakan dan salah satu hadith yang paling masyhur mengenai hal ini adalah daripada sahabat Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “اقْرَأْ عَلَيَّ الْقُرْآنَ”. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَقْرَأُ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ؟ قَالَ: “إِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَسْمَعَهُ مِنْ غَيْرِي”. فَقَرَأْتُ عَلَيْهِ سُورَةَ النِّسَاءِ، حَتَّى إِذَا بَلَغْتُ إِلَى قَوْلِهِ: “فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاَءِ شَهِيدًا”. قَالَ: “حَسْبُكَ الآنَ”. فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, ia berkata: “Rasulullah ﷺ bersabda kepadaku: ‘Bacakanlah Al-Qur’an kepadaku’. Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah aku harus membacakan Al-Qur’an kepadamu, padahal ia diturunkan kepadamu?’ Baginda menjawab: ‘Sesungguhnya aku suka mendengarnya daripada orang lain’. Maka aku membacakan Surah An-Nisa‘ kepadanya, hingga ketika aku sampai pada ayat: ‘Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari kiamat) apabila Kami mendatangkan seorang saksi (Nabi) daripada tiap-tiap umat, dan Kami mendatangkan engkau (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu.’ (Nisa:41), baginda bersabda: ‘Cukuplah sekarang’. Aku menoleh kepadanya, dan ternyata kedua mata baginda mengalirkan air mata.”
(Sahih Bukhari No. 4583 dan Muslim (No. 800)

Maka ini mengajar kita, sesekali kita duduk dengar Al-Qur’an dibacakan supaya kita dapat menghayati satu sunnah daripada Rasulullah ﷺ.

Ada yang berhujah, jikalau Al-Qur’an ini untuk semua umat manusia, kenapa ia hanya diturunkan di dalam satu bahasa sahaja? Kenapa tidak ada banyak versi, untuk orang Cina dalam Bahasa Cina, untuk orang Melayu di dalam Bahasa Melayu dan seterusnya? Jawapannya, bahasa lain tidak sama dengan Bahasa Arab. Ini kita kena telusuri perkembangan Bahasa Arab dari zaman dahulu. Allah ‎ﷻ telah mempersiapkan dan menjaga Bahasa Arab ini untuk dijadikan sebagai bahasa yang digunakan di dalam Kitab Wahyu yang terakhir daripada-Nya. Kedudukan Tanah Arab dalam peta dunia adalah terasing daripada tamadun lain pada waktu itu. Ia tidak ada tanah yang subur, ia tidak ada sumber galian (minyak belum ditemui lagi ketika itu). Jadi tamadun lain tidak ambil endah tentang Tanah Arab. Ketika itu ada kerajaan besar seperti Parsi, Rom dan Habashah. Mereka mengembangkan tanah jajahan mereka tetapi Tanah Arab mereka biarkan sahaja kerana tidak ada apa-apa di situ. Buat malu dan buang masa sahaja jajah Tanah Arab sebab kalau sudah dapat, hendak buat apa?

Maka kesannya Tanah Arab terasing daripada bercampur dengan tamadun lain dan kesannya adalah Bahasa Arab itu terjaga. Bahasa lain tidak campur aduk ke dalam Bahasa Arab bahasa-bahasa lain yang ada banyak pengaruh dari luar kerana mereka itu ekonomi perdagangan jadi ada banyak interaksi dengan bangsa dan bahasa lain. Bahasa Arab tidak begitu dan ia terjaga tanpa ada banyak kemasukan istilah lain. Jadi orang Arab ketika itu amat menjaga bahasa mereka dan mereka kembangkan bahasa mereka menjadi sangat hebat. Satu benda ada banyak nama baginya. Sebagai contoh, unta pada kita adalah untalah sahaja tetapi bagi orang Arab, ada sekurang-kurangnya 14 nama bagi unta mengikut umurnya, fungsinya, tingkah lakunya. Jadi Allah ‎ﷻ menjaga ketulenan Bahasa Arab dari dahulu lagi supaya maksud-maksud kalimah yang digunakan di dalam Al-Qur’an boleh dirujuk semula kepada penggunaan Bahasa Arab yang asal. Kerana itu apabila mentafsir ayat-ayat Al-Qur’an, maksud sesuatu kalimah itu adalah kalimah yang klasik, yang asal ketika ia diturunkan. Ini kerana kalau merujuk kepada penggunaan Bahasa Arab sekarang, sudah tidak boleh kerana Bahasa Arab zaman sekarang pun sudah ada kemasukan bahasa asing.

Bahasa Arab dahulunya digunakan oleh bangsa Arab sahaja. Akan tetapi dengan datangnya agama Islam, maka ia menjadi bahasa antarabangsa. Kerana itu Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata,

تَعَلَّمُوا الْعَرَبِيَّةَ، فَإِنَّهَا تُثَبِّتُ الْعَقْلَ وَتَزِيدُ فِي الْمُرُوءَةِ
“Belajarlah Bahasa Arab, kerana sesungguhnya ia mengukuhkan akal dan menambah kemuliaan (murū’ah).”

Ia bukan sahaja menjadi bahasa satu bangsa, tetapi bahasa satu agama yang boleh dianuti oleh semua bangsa tidak kira dari mana mereka datang. Untuk mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam, tidak dapat tidak mestilah dipelajari Bahasa Arab kerana ia adalah bahasa asal ia diturunkan. Jadi untuk menjawab soalan kenapa Al-Qur’an hanya diturunkan dalam satu bahasa sahaja: ia supaya seluruh umat Islam satu dunia ada satu sumber rujukan sahaja. Supaya mengurangkan perpecahan pandangan di antara umat Islam. Sebagai contoh kalau kita mahu faham istilah المُبينِ maka kita boleh rujuk kepada Bahasa Arab yang asal untuk memahaminya dan maksudnya tidak lari banyak. Tidaklah jadi seperti agama Kristian contohnya yang sudah ada banyak Bible yang mereka gunakan sampaikan mereka itu antara mazhab mereka berpecah habis tidak sama langsung antara satu sama lain.

Apabila kita ada satu sumber, maka semua ada peluang untuk mengetahui agama Islam dengan lengkap. Ini pun Islam berbeza dengan agama lain. Agama kita tidak ada Pope, Sami, Swami, Rabbi dan sebagainya. Sumber rujukan agama Islam adalah terbuka, semua penganut boleh baca dan cuba memahaminya. Kalau dalam agama lain, ia terhad kepada ahli agama mereka sahaja. Sebaliknya di dalam agama Islam, semua orang menggunakan rujukan yang sama dan boleh cuba memahaminya. Kerana itu Allah ‎ﷻ kata لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ supaya kamu memahaminya. Memang Allah ‎ﷻ suruh kita belajar sampai faham!

Tentulah pemahaman seorang yang awam dengan seorang ulama’ tidak sama, tetapi masih tetap boleh difahami. Contohnya kalau kita hantar kereta kita ke mekanik. Kalau kita tidak tahu apa-apa, memang kena tipulah dengan mekanik itu. Semua benda dia akan suruh kita tukar, padahal kita hantar untuk dia periksa tayar sahaja. Akan tetapi sekiranya kita pun ada ilmu kereta sedikit, kita boleh berhujah balik dengan dia. Maka begitulah dengan agama ini. Kita kena pelajari supaya tidak mudah ditipu oleh ahli agama. Eh takkan ahli agama menipu pula? Memang dalam agama, yang menipu adalah ahli agamalah… kerana merekalah yang tahu istilah dan selok belok agama yang menyebabkan mereka boleh menipu orang! Kalau tukang kebun menipu dalam hal agama, orang pun takkan percaya. Akan tetapi kalau ahli agama cakap sesuatu, tentu ramai yang percaya kerana ‘takkan lebai menipu’.

Soalan Kuiz (Jawapan Ringkas)

Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah dua istilah yang digunakan dalam Ayat 1 dan Ayat 2 Surah Yusuf untuk merujuk kepada Al-Qur’an, dan apakah sifat yang ditonjolkan oleh setiap istilah?
  2. Mengapakah kisah Nabi Yusuf yang asalnya dalam Bahasa Ibrani, apabila diceritakan semula dalam Al-Qur’an, menjadi kisah umat Islam?
  3. Nyatakan dua pandangan ulama linguistik dan mufassir mengenai asal kata “Al-Qur’an” dan terangkan secara ringkas maksudnya.
  4. Mengapakah terjemahan Al-Qur’an dalam bahasa lain tidak dianggap sebagai Al-Qur’an itu sendiri?
  5. Apakah perbezaan utama antara cara Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab dengan cara hadis disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ?
  6. Sebutkan tiga kelebihan utama Bahasa Arab yang menjadikannya sesuai sebagai medium penurunan Al-Qur’an.
  7. Bagaimanakah sejarah dan persekitaran Tanah Arab pada masa penurunan Al-Qur’an menyumbang kepada pemeliharaan ketulenan Bahasa Arab?
  8. Terangkan mengapa Saidina Umar menekankan kepentingan mempelajari Bahasa Arab.
  9. Bagaimanakah penurunan Al-Qur’an dalam satu bahasa sahaja (Bahasa Arab) dapat mengurangkan perpecahan pandangan di kalangan umat Islam?
  10. Apakah maksud “agar kamu memahaminya” (لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ) dalam konteks ayat ini, dan mengapakah kefahaman ini penting?

 

Glosari Istilah Penting

  • Al-Qur’an (القرءآن): Kitab suci umat Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Istilah ini juga bermaksud “bacaan” atau “yang dibaca”.
  • Al-Kitab (الكِتٰبِ): Salah satu sifat Al-Qur’an yang merujuk kepada sifatnya yang tertulis atau dicatatkan.
  • Tafsir: Ilmu untuk memahami dan menjelaskan makna ayat-ayat Al-Qur’an.
  • Wahyu: Firman Allah ‎ﷻ yang diturunkan kepada para Nabi dan Rasul-Nya.
  • Bahasa Ibrani: Bahasa asal yang digunakan untuk menceritakan kisah Nabi Yusuf dalam kitab-kitab suci terdahulu. Hebrew.
  • Qara’a (قرأ): Akar kata Bahasa Arab yang bermaksud “membaca”, “mengumpul”, atau “menghimpun”, dan merupakan pandangan paling popular mengenai asal kata Al-Qur’an.
  • Qarana (قرن): Akar kata Bahasa Arab yang bermaksud “menggabungkan” atau “mengiringkan”, salah satu pandangan mengenai asal kata Al-Qur’an.
  • Ism Jāmid: Nama diri yang tidak berasal daripada akar kata apapun, salah satu pandangan mengenai asal kata Al-Qur’an.
  • Fashahah (Kefasihan): Keupayaan Bahasa Arab menyampaikan makna dengan jelas dan tepat.
  • Wudhoh (Kejelasan): Sifat Bahasa Arab yang terang dan mudah difahami.
  • Wus’ah al-Lughah (Kekayaan Kosa kata): Jumlah perkataan yang luas dan pelbagai dalam Bahasa Arab, termasuk sinonim, antonim, dan derivasi.
  • Derivasi (Isytiqaq): Proses pembentukan kata-kata baharu daripada satu akar kata dasar dalam Bahasa Arab.
  • Ijaz (Keringkasan dan Kepadatan Makna): Ciri khas Bahasa Arab dan Al-Qur’an di mana ayat yang ringkas boleh mengandungi banyak pelajaran dan hukum.
  • Nahwu: Ilmu tatabahasa Arab yang mengkaji struktur kalimat dan perubahan pada hujung kata.
  • Sarf: Ilmu morfologi Arab yang mengkaji pembentukan kata dan perubahan bentuknya.
  • Harakat (Baris): Tanda vokal dalam tulisan Arab yang mengubah sebutan dan makna kata.
  • Mukhatab: Pendengar atau audiens.
  • Tahaddi: Cabaran, merujuk kepada cabaran Al-Qur’an kepada bangsa Arab untuk menandingi keindahan sasteranya.
  • Jawi: Sistem tulisan yang diadaptasi daripada abjad Arab untuk menulis Bahasa Melayu, yang dahulu digunakan secara meluas oleh umat Islam di Nusantara.
  • Musabaqah: Pertandingan, selalunya merujuk kepada pertandingan membaca Al-Qur’an.
  • Taurat: Kitab suci yang diturunkan kepada Nabi Musa.
  • Injil: Kitab suci yang diturunkan kepada Nabi Isa.
  • Sunnah: Amalan atau cara hidup Nabi Muhammad ﷺ.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 2 (Maksud istilah Al-Qur’an)”

  1. Assalamualaikum ustaz. Terima kasih atas perkongsian ilmu.

    Maafkan saya, saya rasa ada kesilapan taip dalam huraian ayat ke5, dalam maksud hadis tentang mimpi. Ayat terakhir “mimpi buruk” adakah sepatutnya “mimpi baik”?

    Satu lagi, saya ada kemusykilan. Dalan huraian ayat ke 6 ada dinyatakan mengenai orang yang mengaku bermimpikan Nabi Muhammad padahal mungkin syaitan yang menjelma menyerupai Nabi Muhammad. Saya ada terdengar satu hadis yang maksudnya lebih kurang syaitan boleh menjelma dalam mimpi menyerupai sesiapa kecuali Nabi Muhammad. Boleh ustaz perincikan? Terima kasih.

    Like

    1. 1. Ya terima kasih. mungkin terjemahan itu tersilap. saya sudah betulkan.
      2. Benar syaitan tidak dapat menyerupai Nabi Muhammad. Tapi kita tahu kah rupa Nabi bagaimana? Kalau syaitan dalam dalam rupa orang lain dan mengaku Nabi, bagaimana kita nak tahu?

      Like

Leave a comment