KISAH YANG TERBAIK
Yusuf Ayat 1: Walaupun surah ini panjang, namun dari segi Makro, ia boleh dibahagikan kepada 3 Perenggan sahaja. Ayat 1 & 2 adalah Perenggan Makro Pertama di mana Allah ﷻ hendak menceritakan Tujuan Penurunan Al-Qur’an.
الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Yūsuf: (The Prophet) Joseph.
Alif, Lām, Rā.¹ These are the verses of the clear Book.
- See footnote to 2:1.
(MALAY)
Alif, laam, raa. Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an) yang nyata (daripada Allah).
الر
Alif, laam, raa.
Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib. Ada lima surah dalam Al-Qur’an yang dimulai dengan huruf-huruf الر (Alif, Lam, Ra):
-
-
- Surah Yunus (Surah ke-10)
- Surah Hud (Surah ke-11)
- Surah Yusuf (Surah ke-12)
- Surah Ibrahim (Surah ke-14)
- Surah Al-Hijr (Surah ke-15)
-
Walaupun setiap surah memiliki tema dan kisah spesifiknya sendiri, mereka memiliki beberapa persamaan dan ciri khas yang menarik:
1. Penegasan Al-Qur’an dan Wahyu: Hampir kesemua surah ini memulakan ayat-ayat selepas “الر” dengan penegasan tentang kemuliaan Al-Qur’an dan hakikatnya sebagai wahyu daripada Allah ﷻ.
2. Fokus pada Kisah-kisah Para Nabi dan Umat Terdahulu: Surah-surah ini kaya dengan kisah-kisah Nabi dan umat masa lalu sebagai pelajaran (ibrah) dan penegasan janji serta ancaman Allah ﷻ.
3. Penekanan pada Tauhid dan Azab Bagi Pendusta: Semua surah ini menekankan konsep tauhid (keesaan Allah ﷻ) dan mengingatkan akan azab bagi orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ dan rasul-rasul-Nya.
4. Menghadapi Tuduhan dan Penolakan: Surah-surah ini sering kali menyentuh respons dan tuduhan kaum kafir terhadap Nabi Muhammad ﷺ dan Al-Qur’an, seperti tuduhan sihir, gila, atau pendusta.
5. Mengandungi Ayat-ayat Kauniyyah: Iaitu penyebutan tentang tanda-tanda kebesaran Allah ﷻ di alam semesta (ayat-ayat kauniyyah) seperti penciptaan langit dan bumi, pergantian siang dan malam, dan turunnya hujan, sebagai bukti kekuasaan Allah ﷻ dan kebenaran risalah.
6. Ditujukan kepada Kaum Musyrikin Mekah: Semua surah ini diturunkan di Mekah (Surah Ra’d tidak ada di dalam susunan ini dan memang ia adalah Surah Madaniyyah), dalam fasa awal dakwah Nabi Muhammad ﷺ, ketika penentangan terhadap Islam sangat kuat. Oleh itu, tema-tema utamanya adalah penegasan tauhid, ancaman bagi orang kafir, janji bagi orang beriman, dan peringatan melalui kisah-kisah.
Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqatta’ah. Ia termasuk ayat-ayat Mutashabihaat (samar maknanya dan tidak jelas), bukan Muhkam. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong atau terputus kerana huruf yang ada disebut satu persatu seperti dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak diketahui kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.
Bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas. Akan tetapi ini juga adalah pendapat kerana Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah beritahu kita: ia ada makna tetapi kita sahaja tidak tahu.
Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.
Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita akan baca ini pun, tentu ada banyak pelakonnya tetapi kita hanya diberitahu dengan beberapa nama sahaja. Kerana mereka itulah yang penting untuk kita ambil pengajaran daripada mereka. Kerana tujuan Al-Qur’an adalah untuk memberi pengajaran, bukannya untuk menjadi dokumen sejarah. Memang ada sesetengah perkara yang kita teringin tahu tetapi Allah ﷻ tidak beritahu kepada kita kerana ia tidak penting. Apabila Allah ﷻ tidak beritahu, jadi tidak perlu kita sibuk untuk mengetahuinya. Ini penting kerana kadang-kadang sampai kepada kita soalan tentang perkara-perkara yang kita rasa tidak perlu pun untuk diketahui sebenarnya kerana ia kalau tahu pun tidaklah menambah iman.
Maka ini mengajar kita yang kita sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan. Maka ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ mahu berikan kepada kita sahaja.
Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia adalah kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab. Ini kerana mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan ra’, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alar’. Namun tidak pula dalam kes Surah Yusuf ini (dan banyak surah-surah lain) dan ini pelik kerana huruf itu disebut satu persatu. Maka perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya. Ia telah menarik perhatian mereka untuk mendengar lebih lagi.
Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.
Selain itu, ada hikmah lain yang diutarakan. Tujuannya adalah untuk menzahirkan kehebatan Al-Qur’an iaitu sebagai cabaran dan sindiran kepada golongan Arab Mekah yang kononnya pandai bahasa itu. Allah ﷻ menyebut huruf yang ada di dalam bahasa Arab mereka itu seolah-olah menyindir mereka: ‘Inilah dia huruf daripada bahasa kamu juga. Kamu kata Muhammad yang reka Al-Qur’an ini, maka nah, sekarang pakailah juga huruf-huruf yang sama untuk membuat satu Al-Qur’an lagi kalau kamu hebat sangat!’
Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang tahu) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan bahasa Arab.
Ringkasnya, ada 4 pendapat tentang Huruf-huruf Muqatta’ah ini:
1. Ada makna dan maknanya alif untuk Allah ﷻ, lam untuk Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mim untuk Muhammad ﷺ. Akan tetapi pendapat ini tiada dalil dan tidak boleh dipertanggungjawabkan. Maka jangan bersandar kepada sesuatu yang rapuh.
2. Ada makna tetapi hanya Allah ﷻ yang tahu. Ini pun tiada dalil.
3. Tidak ada makna (tetapi ada hikmah – iaitu untuk Allah ﷻ zahirkan kehebatan Al-Qur’an). Antara yang mengatakan tidak ada makna adalah Mujahid, tabein menggunakan tafsir Al-Qur’an.
4. Tawaqquf, tidak menyebelahi mana-mana pendapat tetapi serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.
تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ
Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an)
Perkataan تِلْكَ (itulah) adalah kata penunjuk yang bermaksud sesuatu yang ditunjuk itu adalah jauh. Kenapakah begitu? Bukankah Al-Qur’an ini di tangan kita sahaja? Perkataan تِلْكَ dan ذٰلِكَ digunakan dalam Bahasa Arab untuk dua kegunaan: Pertama, untuk memberitahu kepada kita bahawa sesuatu yang ditunjuk itu jauh. Seandainya ini yang dimaksudkan, maka yang dirujuk adalah Al-Qur’an yang di Lauh Mahfuz. Ini seperti disebut di dalam Surah Al-Waqi’ah, ayat 77-78:
إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ فِي كِتَابٍ مَّكْنُونٍ
“Sesungguhnya ia (yang Kami turunkan kepada kamu) adalah Al-Qur’an yang mulia, yang terdapat dalam Kitab yang terpelihara .”
Dalam ajaran Islam, terdapat keyakinan yang kuat bahawa Al-Qur’an adalah sebahagian daripada sebuah kitab induk yang lebih besar yang berada di sisi Allah ﷻ. Kitab induk ini dikenali dengan beberapa nama dalam Al-Qur’an, di antaranya adalah Ummul Kitab (أم الكتاب) dan Lauh Mahfuzh (لوح محفوظ). Ummul Kitab atau Lauh Mahfuzh adalah induk atau sumber segala kitab suci yang diturunkan kepada para Nabi (Taurat, Injil, Zabur, dan suhuf-suhuf lainnya) serta semua ketetapan dan takdir alam semesta. Semua kitab itu telah ada di sisi Allah ﷻ, cuma Allah ﷻ turunkan sedikit demi sedikit. Ada yang diturunkan di dalam bahasa Ibrani atau bahasa lain, tetapi sekarang Allah ﷻ menurunkan Al-Qur’an di dalam bahasa Arab pula.
Walaupun dahulu Allah ﷻ telah pernah turunkan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini di dalam kitab-kitab wahyu sebelum Al-Qur’an tetapi sekarang Allah ﷻ menceritakan kembali kisah itu di dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ bukan mengulang semula sebaliknya ia adalah penceritaan semula. Iaitu kisah yang sama tetapi ada maklumat tambahan yang dahulu tidak ada.
Keduanya, untuk memberitahu kepada kita bahawa perkara yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang tinggi dan mulia. Penggunaan kedua inilah yang digunakan dalam ayat ini. Ini seperti penggunaan ذٰلِكَ di dalam Baqarah:2 juga,
ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ
Itulah Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
Dalam perkataan تِلْكَ ini pun Allah ﷻ sudah isyaratkan tentang kehebatan Al-Qur’an itu. Jangan kita pandang ringan sahaja Al-Qur’an yang di tangan kita kerana ia amat hebat. Belajarlah tafsir dan tadabbur, jangan degil.
Ayat-ayat Al-Qur’an dipanggil ‘ayat’ yang secara literal bermaksud: tanda (آية – āyah, jamak: آيات – āyāt) kerana beberapa alasan mendalam yang mencerminkan fungsi dan hakikatnya dalam Islam. Ini bukan sekadar nama, tetapi sebuah deskripsi tentang bagaimana ayat-ayat tersebut berfungsi sebagai bukti dan petunjuk. Kenapa ia dipanggil ‘tanda’?
1. Tanda Kebenaran Allah ﷻ dan Kenabian Muhammad ﷺ
Setiap ayat dalam Al-Qur’an adalah tanda (bukti) yang nyata akan keesaan, kekuasaan, dan hikmah Allah ﷻ. Ia juga menjadi bukti kebenaran kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Keindahan bahasa, kedalaman makna, dan kemukjizatan Al-Qur’an (yang tidak dapat ditandingi oleh manusia) adalah tanda-tanda yang jelas bahawa ia berasal daripada Tuhan, bukan ciptaan manusia.
2. Petunjuk dan Pedoman
Sebagai tanda diperlukan di dalam perjalanan di dunia yang tanpanya akan sesat dalam musafir, ayat-ayat Al-Qur’an berfungsi sebagai tanda jalan (guidance) bagi umat manusia. Mereka menunjukkan mana yang benar dan mana yang salah, mana yang halal dan mana yang haram, serta jalan menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat. Mereka adalah penunjuk jalan yang menuntun manusia ke arah yang benar.
3. Pelajaran dan Peringatan
Banyak ayat Al-Qur’an yang menceritakan kisah-kisah umat terdahulu, peristiwa-peristiwa sejarah, atau fenomena alam. Kisah-kisah ini adalah tanda-tanda atau pelajaran bagi kita untuk merenung, mengambil iktibar, dan menghindari kesalahan yang sama. Mereka berfungsi sebagai peringatan tentang akibat dari ketaatan dan pembangkangan. Antaranya kita akan belajar pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini.
4. Mukjizat yang Berlanjutan
Al-Qur’an itu sendiri adalah mukjizat yang terus-menerus dan abadi. Setiap ayatnya, baik dari segi bahasa, ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya (yang baru terbukti berabad-abad kemudian), mahupun pengaruhnya terhadap jiwa dan masyarakat, adalah tanda kemukjizatan yang tidak ada habisnya. Mukjizat adalah tanda kenabian bagi seseorang Nabi. Bagi Nabi Muhammad ﷺ, mukjizat terhebat baginda adalah Al-Qur’an. Ini berbeza dengan mukjizat nabi-nabi sebelumnya yang bersifat fizikal dan terjadi pada waktu tertentu (misalnya tongkat Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, unta Saleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Semua itu telah hilang dan tidak dapat dilihat lagi namun Al-Qur’an ini sentiasa ada bersama dengan kita. Kalau ditanya apakah mukjizat Nabi kita, kita boleh pergi ke rak buku dan tunjuk terus. Atau boleh tunjuk sahaja Al-Qur’an yang ada di dalam handphone kita.
5. Pembahagi dan Pemisah
Secara harfiah, آية (āyah) juga boleh bererti “tanda yang memisahkan” atau “batasan”. Dalam konteks ini, setiap ayat berfungsi sebagai tanda yang memisahkan satu kalimat atau gagasan daripada yang lain dalam struktur Al-Qur’an. Ini membantu dalam pembacaan dan pemahaman. Kalau panjang berjela, pening juga kita.
6. Merujuk pada Keajaiban Alam Semesta
Perlu diingatkan bahawa dalam Al-Qur’an, kata آية (āyah) juga sering digunakan untuk merujuk pada tanda-tanda kekuasaan Allah ﷻ di alam semesta (ayat-ayat kauniyyah), seperti pergantian siang dan malam, penciptaan langit dan bumi, hujan, dan kehidupan. Ini menunjukkan bahawa baik wahyu tertulis (Al-Qur’an) mahupun ciptaan Allah ﷻ di alam semesta, sama-sama adalah tanda-tanda yang mengarahkan manusia kepada Kebesaran Pencipta.
Kemudian Allah ﷻ menggunakan istilah الكِتٰبِ yang dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang tertulis yang kita boleh pegang. Satu pendapat mengatakan ia merujuk kepada Lauh Mahfuz yang tertulis di sisi Allah ﷻ dan kita telah sebutkan tentang Lauh Mahfuz di atas.
Atau, ia boleh juga merujuk kepada kitab/buku di dunia ini. Seperti yang kita tahu, Al-Qur’an diturunkan bukan dalam bentuk tulisan tetapi dalam bentuk suara kepada Nabi Muhammad ﷺ. Baginda pun sampaikan kepada umat baginda ketika itu adalah secara oral sahaja. Pada ketika itu, bangsa Arab tidak memiliki kitab dan bidang penulisan bukanlah banyak, buku pun tidak ada ketika itu. Yang pandai membaca dan menulis pun sangatlah kurang. Namun begitu, Allah ﷻ sudah menggunakan istilah ‘kitab’. Mungkin ini adalah pemberitahuan daripada Allah ﷻ bahawa walaupun di waktu itu Al-Qur’an belum lagi di dalam bentuk buku/kitab tetapi di masa hadapan ia akan dijadikan dalam bentuk mushaf yang sekarang ia berada di dalam setiap rumah Muslim.
المُبينِ
yang jelas dan menjelaskan
Apabila digunakan kalimah المُبينِ, bermakna dalam surah ini akan ada dalil naqli sahaja; iaitu kisah-kisah yang disampaikan oleh Allah ﷻ kepada kita. Kisah yang ada dalam surah ini diambil daripada wahyu dan bukan rekaan daripada Rasulullah ﷺ.
Sebelum ini kita telah temui pembukaan Surah Yunus:
الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ الحَكيمِ
Alif, Laam Raa’ ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Qur’an) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap teguh.
Sekarang ayat yang digunakan hampir sama tetapi di dalam Surah Yunus digunakan kalimah الحَكيمِ dan sekarang disebut المُبينِ pula. Permulaan yang digunakan di dalam dua-dua pembukaan ini memberi isyarat kepada kandungan surah ini. Dengan kalimah الحَكيمِ (Bijaksana) di Surah Yunus, bertemulah kita dalam surah itu beberapa tuntunan Hikmat daripada Allah ﷻ untuk Nabi Muhammad ﷺ dan umatnya di dalam melancarkan kehendak Ilahi menegakkan agama. Terutama sekali Hikmat Tauhid dan Hikmat Hidup, baik dengan merenung alam ataupun merenung diri. Maka kali ini di dalam Surah Yusuf ini, digunakan kalimah المُبينِ (yang nyata dan yang jelas), sebab di antara kisah Nabi-nabi dan Rasul-rasul dalam Al-Quran, kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ inilah yang lebih dinyatakan dan dijelaskan.
Sifat yang pertama bagi المُبينِ adalah ia adalah jelas. Allah ﷻ memberitahu bahawa Al-Qur’an ini adalah jelas nyata. Namun ia hanyalah jelas nyata kepada mereka yang mahu belajar sahaja. Yang tidak faham-faham adalah mereka yang tidak mahu langsung belajar tafsir dan tadabbur. Sebenarnya senang sahaja untuk belajar tafsir Al-Qur’an, tidak sesusah belajar subjek Biologi SPM.
Apakah yang jelas bagi kita? Kalau kita telah belajar tafsir Al-Qur’an, maka kita akan yakin bahawa Al-Qur’an ini jelas daripada Allah ﷻ dan bukannya rekaan Rasulullah ﷺ atau selainnya. Takkan Al-Qur’an yang sebegini punya hebat datang daripada manusia dan Allah ﷻ telah banyak memberi peluang kepada para penentang Al-Qur’an untuk mencipta tulisan yang sama seperti Al-Qur’an tetapi ia tidak pernah berjaya dilakukan oleh manusia.
Satu lagi yang jelas adalah apa yang Allah ﷻ mahu daripada kita. Allah ﷻ mahu kita berubah daripada buruk kepada baik, dari jalan menuju neraka kepada jalan menuju syurga. Al-Qur’an bukan bahan bacaan hiburan sebaliknya ia mendidik kita dan memberi panduan kepada kita. Kalau kita tidak belajar tafsir Al-Qur’an, kita pasti tidak akan tahu apa yang Allah ﷻ mahukan daripada kita.
Bukan sahaja ayat-ayat Al-Qur’an itu jelas, ia juga menjelaskan. Untuk menjelaskan, ia mestilah dahulu jelas, bukan? Kita telah terangkan yang Al-Qur’an menggunakan bahasa yang jelas. Al-Qur’an menjelaskan kebenaran dengan bahasa yang boleh difahami. Ia menggunakan bahasa yang tepat dan tidaklah berpusing-pusing sampai manusia tidak faham. Namun begitu, untuk faham itulah kita kata kenalah belajar.
Akan tetapi mungkin ada yang berkata, kalau Al-Qur’an ini sudah jelas, kenapa ramai tidak mengikutinya? Kenapa ramai buat tidak endah kepadanya? Maka jawapannya adalah kita yang sudah faham inilah yang kena jelaskan kepada umat manusia. Kalau kita tahu sesuatu yang baik, tentu kita akan berkongsi dengan orang lain, bukan? Kita manusia memang sifatnya suka berkongsi. Jadi kongsikan Al-Qur’an kepada mereka. Daripada kongsi video karenah kucing di internet, kisah politik yang tidak berkesudahan dan sukan sahaja, lebih baiklah kita kongsi tentang ayat-ayat Al-Qur’an.

Kuiz (Sepuluh Soalan Jawapan Pendek)
Arahan: Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat ringkas.
- Apakah tujuan utama Perenggan Makro Pertama Surah Yusuf (Ayat 1 & 2) seperti yang dinyatakan dalam tafsir?
- Sebutkan dua ciri persamaan antara surah-surah yang dimulai dengan huruf muqatta’ah الر, selain Surah Yusuf.
- Bagaimanakah penggunaan huruf muqatta’ah الر dipercayai dapat menarik perhatian Bangsa Arab pada zaman Nabi Muhammad ﷺ?
- Apakah dua kegunaan perkataan تِلْكَ (itulah) dalam Bahasa Arab, dan kegunaan manakah yang ditekankan dalam Surah Yusuf Ayat 1?
- Terangkan mengapa ayat-ayat Al-Qur’an dipanggil ‘ayat’, yang secara literal bermaksud ‘tanda’. Berikan satu alasan.
- Selain merujuk kepada Lauh Mahfuz, apakah satu lagi kemungkinan makna perkataan ‘Kitab’ (الكِتٰبِ) dalam konteks Surah Yusuf Ayat 1?
- Apakah maksud Al-Qur’an itu ‘jelas’ (المُبينِ) bagi orang yang mempelajarinya?
- Bagaimanakah kalimah المُبينِ dalam Surah Yusuf ini berbeza dengan kalimah الحَكيمِ dalam Surah Yunus dari segi isyarat kandungan surah?
- Mengapa penting bagi umat Islam yang telah memahami Al-Qur’an untuk berkongsi pengetahuannya dengan orang lain?
- Sebutkan satu pengajaran penting yang boleh diambil daripada hakikat kita tidak mengetahui makna huruf muqatta’ah.
Glosari Istilah Penting
- Perenggan Makro Pertama: Struktur pembahagian surah secara umum; dalam Surah Yusuf, Ayat 1 & 2 adalah perenggan pertama yang membincangkan tujuan penurunan Al-Qur’an.
- Huruf Muqatta’ah: Huruf-huruf tunggal atau kombinasi huruf yang muncul di awal beberapa surah Al-Qur’an (contoh: الر, حم). Maknanya secara spesifik tidak diketahui oleh manusia.
- Ayat Mutashabihaat: Ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang maknanya samar atau tidak jelas, berbeza dengan ayat Muhkam yang maknanya jelas. Huruf muqatta’ah termasuk dalam kategori ini.
- Ibrah: Pelajaran atau teladan yang diambil daripada kisah-kisah atau peristiwa dalam Al-Qur’an.
- Tauhid: Konsep keesaan Allah ﷻ, kepercayaan bahawa hanya ada satu Tuhan yang patut disembah.
- Ayat-ayat Kauniyyah: Tanda-tanda kebesaran Allah ﷻ yang terdapat di alam semesta, seperti penciptaan langit dan bumi, pergantian siang dan malam, dan fenomena alam lainnya.
- Tawaqquf: Sikap menahan diri daripada membuat keputusan atau pendapat tentang sesuatu perkara, khususnya dalam ilmu agama, dan menyerahkan pengetahuan sepenuhnya kepada Allah ﷻ.
- Lauh Mahfuzh (لوح محفوظ): Sebuah “kitab” atau “lembaran” yang terpelihara di sisi Allah ﷻ, tempat segala takdir, kejadian, dan wahyu dicatat sebelum diwahyukan kepada para Nabi. Juga dikenali sebagai Ummul Kitab (أم الكتاب).
- Ummul Kitab (أم الكتاب): “Ibu Kitab”; istilah lain untuk Lauh Mahfuzh, menunjukkan ia adalah sumber segala kitab suci dan semua ketetapan Allah ﷻ.
- Ayat (آية): Secara literal bermaksud “tanda”. Dalam konteks Al-Qur’an, ia merujuk kepada satu unit kalimat atau kumpulan kalimat dalam surah, yang juga berfungsi sebagai bukti, petunjuk, pelajaran, dan mukjizat.
- Mukjizat: Sesuatu yang luar biasa yang dilakukan oleh Nabi dengan izin Allah ﷻ sebagai bukti kebenaran kenabiannya, yang tidak dapat ditiru oleh manusia biasa. Al-Qur’an adalah mukjizat abadi Nabi Muhammad ﷺ.
- Kitab (الكِتٰبِ): Secara bahasa bermaksud sesuatu yang tertulis atau buku. Dalam konteks Al-Qur’an, ia boleh merujuk kepada Lauh Mahfuz atau Al-Qur’an dalam bentuk mushaf yang kita pegang.
- Mushaf: Bentuk fizikal Al-Qur’an yang ditulis dan dihimpunkan dalam bentuk buku.
- Dalil Naqli: Bukti atau hujah yang bersumber dari nash (teks) Al-Qur’an atau Hadith Nabi ﷺ, yang berkaitan dengan wahyu atau transmisi lisan.
- Tafsir: Ilmu untuk memahami dan menjelaskan makna ayat-ayat Al-Qur’an.
- Tadabbur: Merenung, memikirkan, dan memahami makna ayat-ayat Al-Qur’an secara mendalam untuk mengambil pelajaran dan mengamalkannya.
- الحَكيمِ (Al-Hakim): Kata sifat yang bermaksud “Bijaksana”, digunakan untuk menggambarkan Al-Qur’an dalam Surah Yunus, mengisyaratkan kandungan hikmahnya.
- المُبينِ (Al-Mubeen): Kata sifat yang bermaksud “yang jelas dan menjelaskan”, digunakan untuk menggambarkan Al-Qur’an dalam Surah Yusuf, mengisyaratkan kandungannya yang terperinci dan mudah difahami.
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 1 Ogos 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Kunci Jawapan Kuiz
LikeLike