GOLONGAN BADWI YANG TIDAK SETIA
Tawbah Ayat 90: Ini pula adalah teguran kepada Arab Badwi. Mereka ini adalah golongan yang duduk di luar pekan dan terbelakang sedikit dari segi tamadun mereka. Mereka itu agak ketinggalan daripada ilmu agama tambahan pula mereka selalu berpindah randah. Kalau bahasa kita, mereka itu dikenali sebagai ‘orang darat’ orang asli. Dalam kalangan mereka pun ada juga yang munafik.
Ada golongan Arab Bandar yang munafik dan ada yang Arab Badwi yang munafik. Mereka belum memahami ajaran Islam lagi. Mereka tidak tahu bagaimana hukum dan adab dalam agama. Apabila diwajibkan berjihad seperti Perang Tabuk itu, mereka pun mahu meminta izin juga untuk tidak berperang kerana mereka dengar-dengar, boleh minta izin kalau tidak mahu pergi jihad.
وَجاءَ المُعَذِّرونَ مِنَ الأَعرابِ لِيُؤذَنَ لَهُم وَقَعَدَ الَّذينَ كَذَبُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ ۚ سَيُصيبُ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابٌ أَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those with excuses among the bedouins came to be permitted [to remain], and they who had lied¹ to Allāh and His Messenger sat [at home]. There will strike those who disbelieved among them a painful punishment.
- i.e., claimed faith.
(MALAY)
Dan datang (kepada Nabi) orang-orang yang mengemukakan ‘uzur, iaitu orang-orang Arab Badwi agar diberi izin bagi mereka (untuk tidak berjihad), sedang orang-orang yang mendustakan Allah dan Rasul-Nya, duduk berdiam diri saja. Kelak orang-orang yang kafir di antara mereka itu akan ditimpa azab yang pedih.
وَجاءَ المُعَذِّرونَ مِنَ الأَعرابِ لِيُؤذَنَ لَهُم
Dan datang (kepada Nabi) orang-orang yang mengemukakan ‘uzur, iaitu orang-orang Arab Badwi agar diberi izin bagi mereka
Golongan munafik yang mengada-adakan keuzuran dalam kalangan Arab Badwi datang kepada Nabi ﷺ untuk meminta izin dilepaskan daripada pergi jihad. Arab Badwi itu adalah kaum nomad yang tidak tinggal di pekan tetapi duduk di lereng bukit, di padang-padang pasir dalam khemah. Mereka duduk di satu tempat dan kemudian berpindah ke tempat lain kerana mereka tidak ada tempat tinggal yang tetap. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah الأَعرابِ. Kalau العربي barulah bermaksud Arab yang berada di pekan. Mereka ini mengaku juga sebagai Muslim dan minta supaya mereka jangan diserang sebab mereka pun Muslim juga.
Maknanya, mereka masuk Islam supaya mereka selamat sahaja daripada diganggu, bukannya kerana mereka benar-benar mahu memeluk Islam. Maka mereka mengaku Muslim, tetapi bila disyariatkan jihad, mereka datang jumpa Nabi ﷺ meminta izin tidak ikut berperang. Ini adalah kerana iman mereka tidak kuat untuk ikut serta dalam jihad itu.
Ada juga pendapat yang mengatakan mereka itu golongan Mukmin tetapi mereka itu memang ada uzur. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah المُعَذِّرونَ iaitu golongan yang ada uzur. Mereka datang untuk memberitahu Rasulullah ﷺ apakah uzur mereka itu.
وَقَعَدَ الَّذينَ كَذَبُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ
dan orang-orang yang mendustakan Allah dan Rasul-Nya, duduk berdiam diri saja.
Namun ada juga yang tidak datang menemui Nabi ﷺ langsung untuk meminta izin. Mereka itu adalah orang yang betul-betul mendustakan Allah ﷻ dan Rasul. Maknanya, ada yang jenis keras kepala sampai tidak muncul datang meminta izin dengan Nabi ﷺ pun. Sombong sangatlah kiranya mereka ini. Yang boleh datang bolehlah buat kira sikit, kerana mereka datang juga.
سَيُصيبُ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابٌ أَليمٌ
Kelak orang-orang yang kafir di antara mereka itu akan ditimpa azab yang pedih.
Natijah yang mereka akan terima: pasti mereka akan ditimpa azab. Allah ﷻ sebut mereka itu kafir kerana mereka itu termasuk dalam golongan munafik yang kufur. Namun bukanlah semua kerana kalimah مِنهُم digunakan. Maknanya ada yang kufur dan ada yang tidak pergi jihad itu kerana malas sahaja. Mereka tetap bersalah namun tidaklah sama azab yang dikenakan kepada mereka.
ALASAN-ALASAN YANG SAH DAN DITERIMA
Tawbah Ayat 91: Ini tentang kebenaran/keizinan untuk tidak berperang yang diberikan oleh Allah ﷻ. Memang ada yang tidak diwajibkan berperang walaupun ada nafrul am (jihad yang wajib).
لَيسَ عَلَى الضُّعَفاءِ وَلا عَلَى المَرضىٰ وَلا عَلَى الَّذينَ لا يَجِدونَ ما يُنفِقونَ حَرَجٌ إِذا نَصَحوا لِلَّهِ وَرَسولِهِ ۚ ما عَلَى المُحسِنينَ مِن سَبيلٍ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
There is not upon the weak or upon the ill or upon those who do not find anything to spend any discomfort [i.e., guilt] when they are sincere to Allāh and His Messenger. There is not upon the doers of good any cause [for blame]. And Allāh is Forgiving and Merciful.
(MALAY)
Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikit pun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,
لَيسَ عَلَى الضُّعَفاءِ
Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah,
Apabila Nafrul Am dikeluarkan, maka setiap mereka yang mampu untuk berjihad, mestilah turun berjihad kerana itu termasuk dalam jihad yang wajib, seperti yang terjadi pada Perang Tabuk. Akan tetapi tidak ada kesalahan kepada orang yang betul-betul dhaif.
Mereka itu ada keizinan dari segi syarak untuk tidak menyertai jihad. Mungkin kerana mereka itu wanita, kanak-kanak, terlalu tua, tempang, buta dan sebab-sebab lain.
وَلا عَلَى المَرضىٰ
orang-orang yang sakit
Tidak ada kesalahan dan dosa atas orang yang memang sakit.
وَلا عَلَى الَّذينَ لا يَجِدونَ ما يُنفِقونَ حَرَجٌ
dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, tidak ada kesalahan
Ini pula tentang mereka yang tidak ada harta untuk diinfakkan. Kalau mereka tidak ada wang untuk menyediakan alat pengangkutan untuk berjihad, atau tidak ada wang untuk diberikan kepada mereka yang pergi berjihad. Ini adalah kerana ketika itu mereka yang pergi berjihad terpaksa pergi dengan belanja dan kenderaan sendiri.
إِذا نَصَحوا لِلَّهِ وَرَسولِهِ
apabila mereka ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya.
Tidak ada kesalahan apabila mereka yang benar-benar ikhlas. Iaitu benar-benar mereka tidak mampu, bukannya kerana sengaja beralasan sahaja. Penting mesti ada ikhlas dan perkara ini hanya mereka sahaja yang tahu. Kalau mereka menipu Nabi ﷺ, khalifah, para pemimpin, mereka mungkin selamat kerana manusia tidak dapat periksa sama ada benar atau tidak; tetapi bolehkah mereka menipu Allah ﷻ? Tentu tidak sama sekali.
Dari segi bahasa, kalimah نصح bererti sesuatu yang bersih atau murni (tidak bercampur dengan sesuatu yang lain). Sesuatu disebut (الناصح) (an-naasih), jika sesuatu tersebut tidak bercampur atau tidak bercampur dengan sesuatu yang lain, misalnya madu murni atau sejenisnya. Di antara turunan kata نصح adalah النصيحة (an-nasiihah). (Lihat Lisaanul ‘Arab, 2/615-617).
Bagaimana pula ia membawa maksud ikhlas? Kita mungkin agak-agak faham maksud nasihat, bukan? Kita pun pernah dengar hadith yang berbunyi الدِّينُ النَّصِيحَةُ (agama itu adalah nasihat). Namun bagaimana pula dengan sambungan hadith tersebut: النَّصِيحَةُ لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ (Agama itu ialah nasihat kepada Allah ﷻ, kepada Rasul-Nya, dan kepada pemimpin-pemimpin orang-orang Islam dan kepada orang awam). Kalau nasihat kepada pemimpin dan orang awam, kita boleh faham bab nasihat itu tetapi bagaimana ‘nasihat’ kepada Allah ﷻ dan Rasul pula? Itulah makna asal nasihah adalah ‘ikhlas’.
ما عَلَى المُحسِنينَ مِن سَبيلٍ
Tidak ada jalan sedikit pun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik.
Orang-orang yang tidak dapat pergi kerana keuzuran yang disebut tadi, tidak ada hukuman untuk mereka; juga jangan kita kata apa-apa yang tidak baik tentang mereka kerana kita tidak tahu bagaiman keadaan mereka yang sebenar.
Siapakah المُحسِنينَ? Mereka ini adalah orang yang baik, yang melakukan kebaikan. Sentiasa melakukan kebaikan dan menambah atas kebaikan itu. Malah mereka bukan sahaja berbuat baik untuk diri sendiri tetapi memberi kebaikan kepada orang lain juga.
وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,
Kalau mereka benar-benar tidak boleh berjihad, maka Allah ﷻ akan ampunkan mereka (jika mereka ikhlas) kerana Allah ﷻ itu bersifat Maha Penyayang dan Allah ﷻ tidak menyusahkan hamba-Nya. Kalau memang tidak boleh, Allah ﷻ tidak paksa.
Selalu di dalam Al-Qur’an, apabila Allah ﷻ menyebut sifat-Nya غَفورٌ digandingkan dengan sifat رَّحيمٌ juga. Kenapa? Kerana Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia bukan sahaja memaafkan (menutup dosa) itu tetapi selepas Dia maafkan, dia akan sayangkan hamba itu. Ini berbeza dengan kita, kadangkala selepas kita maafkan, kita masih ada lagi rasa marah atau dendam dengan orang yang telah membuat kesalahan kepada kita. Mungkin sukar untuk melupakan serta menghilangkan perasaan terkilan, terluka itu. Akan tetapi Allah ﷻ sangatlah penyayang sampaikan jikalau telah bertaubat, Allah ﷻ akan masukkan ke dalam senarai hamba yang disayangi-Nya. Maka ini sepatutnya menjadi motivasi kepada kita hamba-Nya untuk segera bertaubat.
Tawbah Ayat 92: Ini ada satu lagi golongan yang dimaafkan kerana tidak pergi berjihad.
وَلا عَلَى الَّذينَ إِذا ما أَتَوكَ لِتَحمِلَهُم قُلتَ لا أَجِدُ ما أَحمِلُكُم عَلَيهِ تَوَلَّوا وَّأَعيُنُهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ حَزَنًا أَلّا يَجِدوا ما يُنفِقونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Nor [is there blame] upon those who, when they came to you that you might give them mounts, you said, “I can find nothing for you to ride upon.” They turned back while their eyes overflowed with tears out of grief that they could not find something to spend [for the cause of Allāh].
(MALAY)
dan tiada (pula) berdosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan, lalu kamu berkata: “Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu”. Lalu mereka kembali, sedang mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran mereka tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan.
وَلا عَلَى الَّذينَ إِذا ما أَتَوكَ لِتَحمِلَهُم
dan tiada (pula) berdosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan,
Ada juga yang datang mengadap kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya baginda memberikan mereka kenderaan untuk dibawa keluar jihad. Mereka memang hendak sangat pergi berjihad, namun mereka itu dhaif, tidak mempunyai kuda atau unta, tidak ada biaya untuk membeli unta atau kuda.
Situasi ini adalah untuk perang yang memerlukan kenderaan seperti Perang Tabuk, yang memakan perjalanan yang jauh. Namun ada juga perang yang mempunyai tentera pejalan kaki. Kalau zaman sekarang, tentulah berkenaan dengan kenderaan seperti kereta dan sebagainya. Hendaklah dibaca ayat ini bersesuai dengan zaman.
Berkenaan dengan kenderaan unta, terdapat sebuah hadith yang masyhur tentang Saidina Uthman رضي الله عنه yang menginfakkan 300 ekor unta untuk Perang Tabuk ini. Kita lihat hadithnya dahulu,
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ خَبَّابٍ قَالَ شَهِدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَحُثُّ عَلَى جَيْشِ الْعُسْرَةِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ مِائَةُ بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ حَضَّ عَلَى الْجَيْشِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ مِائَتَا بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ حَضَّ عَلَى الْجَيْشِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ ثَلَاثُ مِائَةِ بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَأَنَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْزِلُ عَنْ الْمِنْبَرِ وَهُوَ يَقُولُ مَا عَلَى عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ هَذِهِ مَا عَلَى عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ هَذِهِ
Daripada [Abdurrahman bin Khabbab] dia berkata; Aku melihat Nabi ﷺ ketika baginda memberi cadangan terhadap pasukan ‘Usrah (pasukan Tabuk). Lalu ‘Uthman bin ‘Affan berdiri sambil berkata; “Wahai Rasulullah, aku akan memberikan seratus unta lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah ﷻ.” Kemudian baginda memberi cadangan terhadap pasukan tersebut, maka Uthman bin ‘Affan berdiri sambil berkata; “Wahai Rasulullah, saya tambah dua ratus lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah ﷻ.” Kemudian baginda memberi cadangan terhadap tentara, maka Uthman bin ‘Affan berdiri sambil berkata; “Wahai Rasulullah, aku akan menambah tiga ratus unta lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah ﷻ.” Maka aku melihat Rasulullah ﷺ turun dari mimbar sambil bersabda: “Maka tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini, tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini (dosa dan kesalahannya terampuni baik yang lalu dan akan datang -pent).”
(Sunan Tirmidzi (3633))
Status: Dhaif
Nota: Kisah ini masyhur akan tetapi hadith sandarannya adalah dhaif. Kita masukkan di sini kerana ramai kitab tafsir menyebutkan tentang hal ini.
قُلتَ لا أَجِدُ ما أَحمِلُكُم عَلَيهِ
lalu kamu berkata: “Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu”.
Mereka datang kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk meminta kenderaan untuk pergi ke Tabuk, lalu baginda jawab yang baginda tidak ada kenderaan untuk mereka. Tidak ada unta atau kuda untuk diberikan kepada mereka. Kerana waktu itu Islam dalam keadaan yang susah lagi, tidak ada harta.
تَوَلَّوا وَّأَعيُنُهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ حَزَنًا أَلّا يَجِدوا ما يُنفِقونَ
Lalu mereka berpaling, sedang mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, kerana mereka tidak ada apa yang untuk mereka nafkahkan.
Lalu mereka itu terpaksa pergi dari sisi Nabi ﷺ dengan air mata mereka mencurah-curah kerana sedih mereka tidak ada apa harta untuk diinfakkan ke jalan Allah ﷻ. Sebenarnya ayat ini menyebut ‘mata’ mereka yang melimpah. Ini menambah maksud betapa sedihnya hati mereka kerana tidak dapat menyertai jihad itu.
Ini menunjukkan mereka benar-benar ikhlas. Mereka memang hendak pergi, namun apakan daya. Mereka ini menangis dan sedih bukannya kerana tidak dapat harta tetapi kerana tidak dapat berjihad (yang mungkin boleh menyebabkan nyawa mereka melayang!). Bandingkan dengan puak munafik – ada yang kaya dan mampu, tetapi mereka enggan pergi. Apabila mereka diizinkan untuk tidak berperang, mereka suka pula. Berbeza sekali dengan mereka yang benar-benar ikhlas itu.
Ibn Kathir di dalam kitab tafsirnya telah menukilkan asbabun nuzul bagi ayat ini,
وقال محمد بن إسحاق في سياق غزوة تبوك : ثم إن رجالا من المسلمين أتوا رسول الله – صلى الله عليه وسلم – وهم البكاءون – وهم سبعة نفر من الأنصار وغيرهم ، من بني عمرو بن عوف : سالم بن عمير وعلبة بن زيد أخو بني حارثة ، وأبو ليلى عبد الرحمن بن كعب ، أخو بني مازن بن النجار ، وعمرو بن الحمام بن الجموح ، أخو بني سلمة ، وعبد الله بن المغفل المزني ؛ وبعض الناس يقول : بل هو عبد الله بن عمرو المزني ، وهرمي بن عبد الله ، أخو بني واقف ، وعرباض بن سارية الفزاري ، فاستحملوا رسول الله – صلى الله عليه وسلم – وكانوا أهل حاجة ، فقال : لا أجد ما أحملكم عليه فتولوا وأعينهم تفيض من الدمع حزنا ألا يجدوا ما ينفقون .
Muhammad ibnu Ishaq dalam konteks riwayat mengenai Perang Tabuk mengatakan bahawa ada segolongan kaum lelaki datang menghadap Rasulullah ﷺ sambil menangis, mereka adalah tujuh orang yang terdiri dalam kalangan Ansar dan lain-lainnya. Daripada Bani Amr ibnu Auf adalah Salim ibnu Umair, lalu Ulayyah ibnu Zaid (saudara lelaki Bani Harisah), Abu Laila Abdur Rahman ibnu Ka’b (saudara lelaki Bani Mazin ibnun Najjar), Amr ibnul Hamam ibnul Jamuh (saudara lelaki Bani Salamah), dan Abdullah ibnul Mugaffal Al-Muzani. Menurut sebahagian orang, dia adalah Abdullah ibnu Amr Al-Muzani, lalu Harami ibnu Abdullah (saudara lelaki Waqif), dan Iyad ibnu Sariyah Al-Fazzari. Mereka meminta kenderaan kepada Rasulullah ﷺ agar dapat berangkat berjihad, kerana mereka adalah orang-orang yang tidak mampu. Maka Rasulullah ﷺ bersabda, seperti yang disebut oleh firman-Nya:
“Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawa kalian,” nescaya mereka kembali, sedangkan mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran mereka tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan.
Ada daripada golongan mereka ini adalah Ahli Suffah iaitu mereka yang tinggal di serambi Masjid Nabi. Mereka itu tidak ada harta langsung malah baju pun tidak ada. Namun mereka memiliki iman yang tebal dan bersedia untuk berjihad. Begitulah mereka itu telah bersedia untuk berjihad akan tetapi terhalang kerana kefakiran mereka. Ini kerana Allah ﷻ uji mujahideen bukan sahaja dengan jiwa dan badan mereka tetapi dengan harta juga. Akan tetapi mereka yang mahu pergi tetapi terhalang itu tetap mendapat pahala walaupun tidak menyertai jihad secara fizikal. Rasulullah ﷺ telah bersabda,
عَنْ مُوسَى بْنِ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَقَدْ تَرَكْتُمْ بِالْمَدِينَةِ أَقْوَامًا مَا سِرْتُمْ مَسِيرًا وَلَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ نَفَقَةٍ وَلَا قَطَعْتُمْ مِنْ وَادٍ إِلَّا وَهُمْ مَعَكُمْ فِيهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَكُونُونَ مَعَنَا وَهُمْ بِالْمَدِينَةِ فَقَالَ حَبَسَهُمْ الْعُذْرُ
Daripada [Musa bin Anas bin Malik رضي الله عنه], daripada [ayahnya], bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sungguh aku telah meninggalkan di Madinah beberapa orang, tidaklah kalian melakukan suatu perjalanan dan memberikan suatu infak serta melewati sebuah bukit melainkan mereka bersama dengan kalian.” Mereka berkata; wahai Rasulullah, bagaimana mereka bersama dengan kami sementara mereka berada di Madinah? Baginda berkata: “Mereka tertahan oleh uzur.”
(Sahih Bukhari (2147))
Ayat ini mengajar kita kemiskinan bukanlah penghalang untuk menjadi ahli syurga. Jangan dek kerana miskin harta, kita juga miskin ilmu. Kerana itulah ilmu agama ini perlu disampaikan juga kepada golongan yang miskin. Jangan dikenakan yuran kepada mereka kerana mereka hendak makan pun payah.
Nota: Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).
Jamak bagi عين boleh bermaksud dua sama ada أعيُن atau عُيُون dan kedua-duanya digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.
ALASAN-ALASAN YANG TIDAK SAH
Tawbah Ayat 93: Ayat zajrun. Mereka yang mendapat teguran kerana tidak menyertai jihad walaupun mampu.
۞ إِنَّمَا السَّبيلُ عَلَى الَّذينَ يَستَئذِنونَكَ وَهُم أَغنِياءُ ۚ رَضوا بِأَن يَكونوا مَعَ الخَوالِفِ وَطَبَعَ اللَّهُ عَلىٰ قُلوبِهِم فَهُم لا يَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The cause [for blame] is only upon those who ask permission of you while they are rich. They are satisfied to be with those who stay behind, and Allāh has sealed over their hearts, so they do not know.
(MALAY)
Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu, padahal mereka itu orang-orang kaya. Mereka rela berada bersama orang-orang yang tidak ikut berperang dan Allah telah mengunci mati hati mereka, maka mereka tidak mengetahui (akibat perbuatan mereka).
إِنَّمَا السَّبيلُ عَلَى الَّذينَ يَستَأذِنونَكَ وَهُم أَغنِياءُ
Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu, padahal mereka itu orang-orang kaya.
Sebenarnya jalan untuk menerima hukuman daripada Allah ﷻ adalah ke atas mereka yang meminta izin kepada untuk tidak berjihad, sedangkan mereka mampu. Mereka memiliki wang untuk infak dan mempunyai kenderaan dan belanja untuk pergi berjihad. Mereka juga sihat tubuh badan. Maka mereka sebenarnya tidak ada alasan untuk tidak pergi. Kepada mereka ini, bolehlah dipersalahkan, bolehlah dimarahi.
رَضوا بِأَن يَكونوا مَعَ الخَوالِفِ
Mereka rela berada bersama orang-orang yang tidak ikut berperang
Mereka berasa seronok pula boleh duduk tinggal bersama-sama dengan golongan wanita, kanak-kanak dan mereka yang tidak keluar berjihad (kerana ada alasan yang sah). Mereka lebih suka tidak menjalankan tanggungjawab mereka, berbanding pergi berjihad demi memperolehi ganjaran yang amat besar. Ternyata mereka telah tersalah pilih dalam membuat keputusan.
وَطَبَعَ اللَّهُ عَلىٰ قُلوبِهِم فَهُم لا يَعلَمونَ
dan Allah telah mengunci mati hati mereka, maka mereka tidak mengetahui
Sebab sebenarnya mereka jadi begitu adalah kerana Allah ﷻ telah kunci mati hati (khatmul qalbi) mereka dan kerana itu mereka tidak memahami mana yang baik dan mana yang buruk. Hati mereka sudah tertutup sampai mereka tidak berasa salah dan rugi pun kalau tidak berjihad.
Allah ﷻ tutup mati hati mereka kerana mereka sendiri telah berkali-kali menolak hidayah dan tidak berusaha untuk mendapat hidayah.
Mentadabburi ayat-ayat ini amat menakutkan kita. Kalaulah kita sendiri yang diajak untuk berjihad, adakah kita akan pergi? Mungkin kita sedap sahaja membaca tentang kesalahan golongan Munafik ini, namun entah-entah kita pun termasuk dalam golongan mereka? Entah-entah kita ini munafik? Ya mungkin mungkin kita bukan Munafik Akidah, tetapi bagaimanakah dengan Munafik Amalan? Adakah kita terselamat? Maka ayat-ayat ini mengingatkan kita untuk selami diri kita dan perbetulkan di mana yang salah. Cuba bayangkan kalau kita yang berada di kedudukan mereka, adakah kita akan sertai jihad itu? Atau kita pun sama sahaja seperti mereka yamg mendatangkan seribu satu alasan?
TAMAT JUZ 10
Tawbah Ayat 94:
يَعتَذِرونَ إِلَيكُم إِذا رَجَعتُم إِلَيهِم ۚ قُل لّا تَعتَذِروا لَن نُّؤمِنَ لَكُم قَد نَبَّأَنَا اللَّهُ مِن أَخبارِكُم ۚ وَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم وَرَسولُهُ ثُمَّ تُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They will make excuses to you when you have returned to them. Say, “Make no excuse – never will we believe you. Allāh has already informed us of your news [i.e., affair]. And Allāh will observe your deeds, and [so will] His Messenger; then you will be taken back to the Knower of the unseen and the witnessed,¹ and He will inform you of what you used to do.”
- See footnotes to 6:73.
(MALAY)
Mereka (orang-orang munafik) mengemukakan ‘uzurnya kepadamu, apabila kamu telah kembali kepada mereka (dari medan perang). Katakanlah: “Janganlah kamu mengemukakan ‘uzur; kami tidak percaya lagi kepadamu, (kerana) sesungguhnya Allah telah memberitahukan kepada kami beritamu yang sebenarnya. Dan Allah serta Rasul-Nya akan melihat amalmu, kemudian kamu dikembalikan kepada Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
يَعتَذِرونَ إِلَيكُم إِذا رَجَعتُم إِلَيهِم
Mereka (orang-orang munafik) mengemukakan ‘uzurnya kepadamu, apabila kamu telah kembali kepada mereka (dari medan perang).
Apabila Nabi Muhammad ﷺ dan para mukmin pulang dari medan Perang Tabuk, puak munafik telah datang berjumpa dengan para mukmin dan mereka memberi dalih dan alasan kenapa mereka tidak menyertai puak mukmin di medan jihad. Allah ﷻ beritahu perkara ini sebelum mereka tiba di Madinah lagi.
قُل لّا تَعتَذِروا لَن نُؤمِنَ لَكُم
Katakanlah: “Janganlah kamu mengemukakan ‘uzur; kami tidak percaya lagi kepadamu,
Allah ﷻ suruh para sahabat beritahu kepada mereka: “Tidak perlulah beri alasan, kami tidak akan percaya”.
Allah ﷻ beritahu kepada golongan mukmin supaya jangan lagi percaya kepada mereka. Sebelum ini mereka kata Nabi Muhammad ﷺ hanya dengar dan terima sahaja apa alasan mereka. Namun sekarang, jangan lagi percaya kepada mereka dan para sahabat pun diberitahu perkara yang sama.
قَد نَبَّأَنَا اللَّهُ مِن أَخبارِكُم
sesungguhnya Allah telah memberitahukan kepada kami beritamu yang sebenarnya.
Beritahu kepada puak munafik itu, sebab tidak akan percaya lagi kepada mereka, kerana Allah ﷻ sendiri telah menceritakan segala perangai dalaman mereka, apa yang ada dalam hati mereka. Allah ﷻ telah bongkarkan di dalam Al-Qur’an ini. Allah ﷻ telah beritahu apa yang ada dalam hati mereka dan apa yang mereka tunjukkan di luaran tidak sama. Zahir sahaja mereka nampak Mukmin tetapi dalam hati, tidak.
وَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم وَرَسولُهُ
Dan Allah serta Rasul-Nya akan melihat amalmu,
Beritahu kepada mereka, selepas ini Allah ﷻ akan lihat amalan kamu, sama ada ikhlas atau tidak. Sama ada kamu mahu bertaubat atau tidak. Kalau kamu bertaubat, Allah ﷻ boleh terima taubat kamu itu.
Rasulullah ﷺ juga akan lihat. Maka ubahlah sikap kamu dan akidah kamu itu.
ثُمَّ تُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ
kemudian kamu dikembalikan kepada Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata,
Kemudian para sahabat disuruh mengingatkan puak Munafik itu yang mereka akan bertemu Allah ﷻ bila mati nanti, kepada Allah ﷻ yang tahu perkara yang ghaib dan nyata. Mereka tidak boleh menipu Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tahu segalanya. Kalau mereka rasa mereka telah berjaya menipu Rasulullah ﷺ dan golongan Mukmin, ingatlah yang mereka tidak akan dapat menipu Allah ﷻ.
Di sini disebut الغَيبِ dan الشَّهٰدَةِ. Allah ﷻ sebut الغَيبِ dahulu kerana itulah yang membezakan antara Allah ﷻ dan makhluk. Ini kerana untuk الشَّهٰدَةِ itu, kita manusia pun boleh nampak kerana ia adalah sesuatu yang nyata. Akan tetapi dalam boleh tahu itu pun, pemahaman kita masih lagi terbatas. Contoh mudah perkara zahir yang sepatutnya kita boleh nampak dan dengar seperti tiga orang anak kita masing-masing berebut mahu bercerita serentak kepada kita, pasti kita tidak mampu menangkap setiap butir patah perkataan mereka tuturkan.
فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
Ingatkan mereka yang nanti Allah ﷻ akan menceritakan semula segala perbuatan mereka yang pernah mereka lakukan. Cerita semula itu bukan untuk saja-saja tetapi untuk membalas segala perbuatan buruk mereka dengan adil.
Oleh itu, kena ingat yang balasan yang diberikan kepada kita adalah setimpal dengan amal perbuatan kita. Allah ﷻ bukan menilai ilmu yang kita ada, tetapi amal perbuatan kita. Tiada guna ilmu melangit tetapi tidak diamalkan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 14 Julai 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
