Tawbah Ayat 82: Lalu bagaimanakah keadaan mereka di neraka itu?
فَليَضحَكوا قَليلًا وَليَبكوا كَثيرًا جَزاءً بِما كانوا يَكسِبونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So let them laugh a little and [then] weep much as recompense for what they used to earn.
(MALAY)
Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan.
فَليَضحَكوا قَليلًا وَليَبكوا كَثيرًا
Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak,
Mereka sepatutnya sedikit ketawa dan banyak menangis kerana tempat mereka adalah di neraka nanti. Akan tetapi kenapalah mereka suka sangat ketawa dan bergembira semasa di dunia? Kerana mereka rasa mereka selamat, mereka rasa mereka telah berjaya, maka mereka banyak tertawa dan bersenang hati semasa di dunia. Namun adakah mereka akan selamat? Tentu tidak!
Satu lagi tafsir ayat ini, ia adalah keadaan mereka di Akhirat kelak. Walaupun kalimah فَليَضحَكوا dan وَليَبكوا adalah dalam bentuk arahan, tetapi ia bukanlah dalam bentuk arahan tetapi pemberitahuan (khabar). Allah ﷻ menggunakan kalimah dalam fi’il amr kerana ia pasti akan berlaku.
Di sini Allah ﷻ hendak memberitahu yang gelak ketawa mereka sekarang di dunia ini sebenarnya sedikit sahaja sebenarnya kerana berapa lama sangat mereka boleh bersuka-sukaan di dunia? Hakikatnya dunia ini kehidupan yang sekejap sahaja. Maka sebenarnya yang akan terjadi adalah mereka akan menangis dengan amat banyak sekali di neraka.
Ramai juga yang salah faham tentang ayat ini. Mereka kata kita sebagai orang Islam kena banyak bersedih dan kurangkan gelak, selepas membaca ayat ini. Bukan itu maksud ayat ini. Ayat ini adalah tentang puak munafikin – kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka, bukannya untuk kita. Mana mungkin kita dilarang daripada ketawa sedangkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri ada tertawa sampai kadang-kadang ternampak gusi baginda? Kadang-kadang baginda berjenaka dengan para sahabat. Namun tidaklah ia kerap berlaku.
Oleh kerana itu, para sahabat senang sekali duduk dengan baginda kerana sikap baginda yang menyenangkan dan lembut. Tidaklah baginda berwajah bengis sahaja – sebagaimana kadang-kadang ‘orang alim’ kita. Kadang-kadang tu, kalau sudah bergelar ‘ustaz’, menjadi imam surau, imam masjid, tok siak, sudah kena berwajah garang dan masam sahaja. Orang hendak tegur pun malas sebab jika ditegur sahaja, tentu dimarahi oleh mereka – ada sahaja yang tidak kena di mata mereka. Ini bukan ajaran agama Islam sebenar. Oleh itu, kena baca ayat ini dengan konteks ayat ini – ia tentang orang munafik.
Begitu pun, kita kadang-kadang perlu untuk melembutkan hati kita dengan menangis. Lebih-lebih ketika kita berseorangan, bersendirian di malam hari semasa bermunajat kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman di dalam Isra’: 109
وَيَخِرّونَ لِلأَذقانِ يَبكونَ وَيَزيدُهُم خُشوعًا
Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu’.
Ada juga hadith yang menyebut tentang kelebihan menangis:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “يَا أَيُّهَا النَّاسُ، ابْكُوا، فَإِنْ لَمْ تَبْكُوا فَتَبَاكَوْا، فَإِنَّ أَهْلَ النَّارِ يَبْكُونَ حَتَّى تَسِيلَ دُمُوعُهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ كَأَنَّهَا جَدَاوِلُ، حَتَّى تَنْقَطِعَ الدُّمُوعُ فَتَسِيلَ الدِّمَاءُ فَتَقَرَّحُ الْعُيُونُ. فَلَوْ أَنَّ سُفُنًا أُزْجِيَتْ فِيهَا لَجرَت”.
Daripada Anas ibnu Malik رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Hai manusia, menangislah kalian. Jika kalian tidak dapat menangis, maka berpura-pura menangislah, kerana sesungguhnya penghuni neraka itu akan terus menangis hingga air mata mereka mengalir ke wajahnya bagaikan air pancuran. Bila air mata mereka habis, maka yang mengalir adalah darah, dan mata mereka bernanah. Seandainya perahu-perahu dilayarkan pada air mata mereka, nescaya akan dapat berlayar (kerana banyaknya air mata mereka seperti lautan).
(Riwayat Ibnu Majah (4324))
Hadith ini agak masyhur tetapi didhaifkan oleh Syeikh al-Albani dalam Silsilah Hadith Dhaif No. 6889.
Akan tetapi kita boleh rujuk di dalam hadith yang lain,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] daripada Nabi ﷺ bersabda: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah ﷻ pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya; pemimpin yang adil, seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ‘ibadah kepada Rabbnya, seorang laki-laki yang hatinya terpaut dengan masjid, dua orang laki-laki yang saling mencintai kerana Allah ﷻ; mereka tidak bertemu kecuali kerana Allah ﷻ dan berpisah kerana Allah ﷻ, seorang laki-laki yang diajak berbuat maksiat oleh seorang wanita kaya lagi cantik lalu dia berkata, ‘Aku takut kepada Allah ﷻ’, dan seorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya, serta seorang laki-laki yang berzikir kepada Allah ﷻ dengan mengasingkan diri hingga kedua matanya basah kerana menangis.”
(Sahih Bukhari (620))
Di dalam hadith yang lain, disabdakan oleh Nabi ﷺ dengan riwayat daripada Ibnu Abbas,
عَيْنَانِ لاَ تَمَسُّهُمَا النَّارُ عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ
“Dua mata yang tidak akan tersentuh oleh api Neraka iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah ﷻ dan mata yang bermalam untuk berjaga-jaga (daripada serangan musuh) ketika berperang di jalan Allah ﷻ.”
(Jami’ Tirmidzi No. 1649)
(Status: Hasan)
Walaupun kita tidaklah dilarang daripada bergelak ketawa, akan tetapi janganlah keterlaluan. Apa-apa perkara pun dalam dunia, janganlah berlebihan kerana ia boleh membawa kepada keburukan, bukan? Sebagaimana tidur dan makan berlebihan akan mendatangkan mudarat kepada kita. Tentang ketawa ini Rasulullah ﷺ pernah bersabda,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُكْثِرُوا الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: Janganlah kalian banyak tertawa, kerana banyak tertawa akan mematikan hati.”
(Sunna Ibnu Majah No: 4183)
Status: Hasan
Ini dikuatkan lagi dengan hadith Rasulullah ﷺ,
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي أَرَى مَا لَا تَرَوْنَ وَأَسْمَعُ مَا لَا تَسْمَعُونَ إِنَّ السَّمَاءَ أَطَّتْ وَحَقَّ لَهَا أَنْ تَئِطَّ مَا فِيهَا مَوْضِعُ أَرْبَعِ أَصَابِعَ إِلَّا وَمَلَكٌ وَاضِعٌ جَبْهَتَهُ سَاجِدًا لِلَّهِ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا وَمَا تَلَذَّذْتُمْ بِالنِّسَاءِ عَلَى الْفُرُشَاتِ وَلَخَرَجْتُمْ إِلَى الصُّعُدَاتِ تَجْأَرُونَ إِلَى اللَّهِ وَاللَّهِ لَوَدِدْتُ أَنِّي كُنْتُ شَجَرَةً تُعْضَدُ
Daripada [Abu Dzar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] beliau berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui sesuatu yang tidak kalian ketahui, dan mendengar apa yang tidak kalian dengar. Sesungguhnya langit merintih dan diberikan kepadanya hak untuk merintih. Kerana tidaklah dalam posisi empat jari kecuali ada Malaikat yang meletakkan keningnya bersujud kepada Allah ﷻ. Demi Allah ﷻ, seandainya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis, dan kalian tidak akan merasakan enaknya di atas kasur (tilam) bersama isteri, dan kalian akan keluar menuju bukit-bukit untuk berdoa dengan suara keras kepada Allah ﷻ. Demi Allah ﷻ, aku sangat ingin seandainya aku menjadi sebatang pohon yang ditebang.”
(Sunan Ibn Majah (4180))
Status: Hasan
جَزاءً بِما كانوا يَكسِبونَ
sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan.
Semua yang diancam kepada golongan munafik, dan yang akan dikenakan kepada mereka adalah sebagai balasan di atas segala perbuatan mereka yang kufur dan nifak. Mereka memang layak mendapat segala azab itu. Bukannya Allah ﷻ menzalimi mereka tetapi mereka yang menzalimi diri mereka sendiri.
Senang sekali hati mereka hidup di dunia sambil mengabaikan nasib mereka di Akhirat kelak. Allah ﷻ perli mereka di dalam Baqarah:175
أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ ٱشتَرَوُاْ ٱلضَّلَـٰلَةَ بِٱلهُدَىٰ وَٱلعَذَابَ بِٱلمَغفِرَةِۚ فَمَآ أَصبَرَهُم عَلَى ٱلنَّارِ
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.
Maka mereka sekarang diperli: Oh kamu tidak kisah pun nasib kamu nanti masuk neraka ya? Sabar ya kamu dalam neraka nanti? Baik, duduklah kamu dalam neraka.
ARAHAN KEPADA RASULULLAH ﷺ
Tawbah Ayat 83:
فَإِن رَّجَعَكَ اللَّهُ إِلىٰ طائِفَةٍ مِّنهُم فَاستَئذَنوكَ لِلخُروجِ فَقُل لَّن تَخرُجوا مَعِيَ أَبَدًا وَلَن تُقٰتِلوا مَعِيَ عَدُوًّا ۖ إِنَّكُم رَضيتُم بِالقُعودِ أَوَّلَ مَرَّةٍ فَاقعُدوا مَعَ الخٰلِفينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
If Allāh should return you to a faction of them [after the expedition] and then they ask your permission to go out [to battle], say, “You will not go out with me, ever, and you will never fight with me an enemy. Indeed, you were satisfied with sitting [at home] the first time, so sit [now] with those who stay behind.”
(MALAY)
Maka jika Allah mengembalikanmu kepada suatu golongan dari mereka, kemudian mereka minta izin kepadamu untuk keluar (berperang), maka katakanlah: “Kamu tidak boleh keluar bersamaku selama-lamanya dan tidak boleh memerangi musuh bersamaku. Sesungguhnya kamu telah rela tidak pergi berperang kali yang pertama. Kerana itu duduklah bersama orang-orang yang tidak ikut berperang”.
فَإِن رَّجَعَكَ اللَّهُ إِلىٰ طائِفَةٍ مِّنهُم
Maka jika Allah mengembalikanmu kepada suatu golongan dari mereka,
Maknanya, sekiranya Allah ﷻ mengizinkan kamu (Nabi Muhammad ﷺ) dapat kembali dari Tabuk berjumpa dengan mana-mana puak munafik di Madinah, yang tidak keluar berjihad. Allah ﷻ hendak beritahu yang Dialah yang menentukan Rasulullah ﷺ boleh balik atau tidak. Kalau Allah ﷻ hendak menahan Rasulullah ﷺ di Tabuk dan mati di sana, itu di dalam hak Allah ﷻ.
Di dalam ayat ini Allah ﷻ menyebut perkara yang akan terjadi kepada Rasulullah ﷺ. Iaitu kalau baginda pulang ke Madinah, tentu golongan Munafik itu akan datang bertemu dengan Nabi ﷺ. Kenapa mereka terus bertemu baginda?
فَاستَئذَنوكَ لِلخُروجِ
kemudian mereka minta izin kepadamu untuk keluar (berperang),
Allah ﷻ beritahu yang ketika itulah mereka akan meminta izin untuk berjihad pada lain kali. Konon hendak kata mereka bukan tidak mahu berjihad, lain kali mereka mahu ikut lah. Cuma kali ini (Tabuk) sahaja yang mereka tidak boleh dan macam-macam alasan mereka akan beri kepada baginda. Ini seumpama budak-budak buat salah tidak pergi sekolah, dia akan beri harapan dengan berjanji dia tidak akan ponteng lagi, dan akan pergi ke sekolah dan di lain kali tidak ponteng lagi. Hari ini sahaja tidak pergi sekolah, nanti akan pergi.
Mereka sebenarnya malu dan takut dituduh sebagai pengecut. Nanti sampai keturunan mereka akan dikutuk kerana pengecut. Maka mereka hendak menyelamatkan maruah mereka dengan meminta izin untuk berjihad di lain waktu.
فَقُل لَّن تَخرُجوا مَعِيَ أَبَدًا
maka katakanlah: “Kamu tidak boleh keluar bersamaku selama-lamanya
Allah ﷻ suruh kata kepada mereka: tidak perlulah kamu keluar jihad bersama aku selama-lamanya. Maknanya mereka tidak boleh keluar berjihad dengan Nabi ﷺ lagi, kerana Nabi ﷺ akan wafat tidak lama lagi dan Tabuk itulah jihad terakhir dengan Nabi ﷺ. Maka peluang mereka untuk jihad bersama Nabi ﷺ sudah tidak ada sebenarnya dan Tabuk itulah kali yang terakhir. Maknanya mereka telah terlepas peluang.
Juga boleh bermaksud, mereka itu tidak boleh ikut berjihad dengan orang mukmin yang lain lagi selepas itu. Sumbangan mereka tidak diperlukan lagi dalam jihad dan dalam agama. Maka ini adalah polisi kenegaraan. Khalifah lain pun harus bertindak sebegitu juga iaitu mereka ini digugurkan daripada senarai mujahideen terus. Tidak boleh dimasukkan nama dalam borang pun selepas ini. Ini kerana Allah ﷻ pun tidak mahu memasukkan mereka itu dalam senarai mujahideen.
Atau, ia bermaksud itu adalah kata-kata mereka sahaja untuk keluar berjihad lain kali. Akan tetapi Allah ﷻ tahu apa yang di dalam hati mereka dan kelemahan mereka untuk keluar berjihad. Maka Allah ﷻ suruh beritahu, kalau kamu kata kamu hendak keluar berjihad pun nanti, apabila sampai masanya pun sama sahaja kamu tidak akan keluar berjihad.
وَلَن تُقٰتِلوا مَعِيَ عَدُوًّا
dan tidak boleh memerangi musuh bersamaku.
Tidaklah perlu mereka berperang atas nama Allah ﷻ dalam mana-mana jihad bersama baginda lagi kerana Tabuk itulah jihad bersama Nabi ﷺ yang terakhir.
Atau tafsir lain ia bermaksud larangan kepada mereka.
إِنَّكُم رَضيتُم بِالقُعودِ أَوَّلَ مَرَّةٍ
Sesungguhnya kamu telah rela tidak pergi berperang kali yang pertama.
Kerana sesungguhnya mereka dulu sudah berpuas hati dengan tidak berjihad, suka duduk tidak berjihad. Kamu memang tidak suka berjihad pun, maka tidak perlu sibuk berkata hendak pergi berjihad pula. Dulu kamu macam itu, nanti di masa hadapan pun macam itulah juga.
فَاقعُدوا مَعَ الخٰلِفينَ
Kerana itu duduklah bersama orang-orang yang tidak ikut berperang”.
Nanti selepas ini, sampai bila-bila kamu duduklah bersama golongan yang tidak berperang, iaitu mereka yang ada keuzuran, wanita dan kanak-kanak. Maknanya mereka itu macam pondanlah kerana duduk dengan wanita dan kanak-kanak. Maka ini adalah penghinaan kepada mereka sebenarnya.
Tawbah Ayat 84:
وَلا تُصَلِّ عَلىٰ أَحَدٍ مِّنهُم مّاتَ أَبَدًا وَلا تَقُم عَلىٰ قَبرِهِ ۖ إِنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَماتوا وَهُم فٰسِقونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And do not pray [the funeral prayer, O Muḥammad], over any of them who has died – ever – or stand at his grave. Indeed, they disbelieved in Allāh and His Messenger and died while they were defiantly disobedient.
(MALAY)
Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.
وَلا تُصَلِّ عَلىٰ أَحَدٍ مِّنهُم مّاتَ أَبَدًا
Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka,
Allah ﷻ beritahu kalau mereka mati pun, Nabi ﷺ jangan solatkan jenazah mereka. Jangan sekali-kali solatkan jenazah orang-orang yang munafik itu. Ini adalah kata-kata yang amat berat sekali, menunjukkan mereka tidak layak disolatkan oleh Rasulullah ﷺ. Bayangkan yang ayat ini dikatakan di atas muka mereka terus. Mereka sedang membaca dan sedang mendengar ayat ini dikatakan terus kepada mereka.
Akan tetapi tidak ada riwayat yang menyebut mana-mana jenazah para sahabat yang baginda tidak solatkan kerana munafik. Maka mungkin baginda tidak diberitahu siapakah yang munafik dalam kalangan mereka itu. Memang ada senarai orang Munafik yang baginda telah diberitahu akan tetapi mungkin mereka mati selepas baginda wafat.
وَلا تَقُم عَلىٰ قَبرِهِ
dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya.
Jangan kata solat, berdiri di kubur mereka setelah dikebumikan pun tidak boleh. Maksud berdiri itu adalah sama ada menanamnya, menziarahinya atau pun untuk berdoa. Ini adalah kerana itu pun sebagai satu penghormatan juga. Ini sudah berat sekali, menunjukkan ada pemisahan dengan mereka yang telah pasti munafik itu. Kalau mereka mati, Nabi ﷺ kena biarkan sahaja mereka.
Adapun mengenai berdiri di kubur orang mukmin yang meninggal dunia, maka Imam Abu Daud رحمه الله menyebutkan bahawa Rasulullah ﷺ apabila telah selesai mengebumikan jenazah, maka baginda berdiri di kuburannya dan bersabda:
“اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ، وَاسْأَلُوا لَهُ التَّثْبِيتَ، فَإِنَّهُ الْآنَ يُسْأَلُ”.
Mohonkanlah ampun bagi saudara kalian, dan mintakanlah keteguhan buatnya, kerana sesungguhnya sekarang dia sedang disoal.
(Sunan Abu Daud (322))
Status: Sahih
Ini mengajar kita untuk duduk di kuburan sekejap untuk berdoa bagi si mati. Harus diinagatkan ia dilakukan sambil berdiri, bukannya duduk keliling seperti yang orang kita banyak lakukan sekarang (siap hampar tikar dan ada bumbung).
Larangan di dalam ayat ini khusus kepada Nabi Muhammad ﷺ sahaja kerana Nabi ﷺ tahu siapakah yang munafik yang tidak ada harapan untuk menerima hidayah. Kita janganlah buat begitu pula. Janganlah berlebih-lebihan dalam hal ini kerana kita tidak tahu siapakah yang munafik dan siapa yang tidak; siapa kufur dan siapa tidak.
Ramai juga yang salah faham ayat ini, kata tidak mahu menyembahyangkan jenazah seseorang sebab kata orang itu ‘munafik’. Siapa kamu yang tahu siapa munafik atau tidak? Maka kepada kita, selagi orang itu adalah orang Islam, maka tetaplah mesti disolatkan dan diuruskan jenazah mereka.
Ayat ini juga dijadikan sebagai hujah untuk tidak boleh menyertai majlis pengebumian orang kafir. Ini kerana pergi ke majlis itu seperti menghormati mereka. Sikap kita dengan mereka semasa hidup adalah seperti firman Allah ﷻ,
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِين
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”
Akan tetapi Allah ﷻ memberikan ancaman yang sangat keras bagi kaum muslimin yang memberikan kesetiaan kepada orang kafir. Allah ﷻ berfirman,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali (kekasih); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka.”
[Al-Maidah: 51]
Para ulama’ menggolongkan menghadiri jenazah orang kafir termasuk bentuk memberikan kesetiaan. Kerana itulah mereka melarang kaum muslimin menghadiri jenazah non muslim.
Ketika Abu Thalib meninggal, Rasulullah ﷺ tidak mengurusi mayatnya sama sekali. Baginda hanya menyuruh Ali bin Abi Thalib رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ untuk menguburkannya (kerana Saidina Ali رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ adalah anaknya). Padahal kita tahu, Nabi ﷺ sangat sayang kepada bapa saudaranya itu. Namun baginda tidak pergi untuk mengikuti pengebumian itu.
عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّ أَبَا طَالِبٍ مَاتَ فَقَالَ اذْهَبْ فَوَارِهِ قَالَ إِنَّهُ مَاتَ مُشْرِكًا قَالَ اذْهَبْ فَوَارِهِ فَلَمَّا وَارَيْتُهُ رَجَعْتُ إِلَيْهِ فَقَالَ لِي اغْتَسِلْ
Daripada [Ali رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] bahawa dia datang kepada Rasulullah ﷺ untuk mengabarkan bahawa Abu Thalib meninggal dunia. Baginda bersabda, ” Pergilah ke sana dan kuburlah” Ali رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ berkata; dia mati dalam keadaan musyrik. Rasul ﷺ bersabda; “pergilah ke sana dan kuburlah” Ali رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ berkata, “Setelah selesai menguburnya aku pulang, lalu baginda ﷺ bersabda kepadaku; ‘Mandilah. ‘”
(Sunan Abu Dawud (190) )
Status: Hasan
إِنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ
Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya
Nabi ﷺ dilarang untuk solat jenazah mereka dan mendoakan jenazah mereka kerana mereka itu telah kufur. Allah ﷻ sebut mereka kufur kepada Allah ﷻ dan juga Rasul. Ini bermakna, kalau kufur kepada Rasulullah ﷺ juga bermakna kufur kepada Allah ﷻ. Maka kita kena taat kepada arahan dan ajaran Allah ﷻ.
وَماتوا وَهُم فٰسِقونَ
dan mereka mati dalam keadaan fasik.
Semasa hidup mereka, mereka telah kufur dan sampai mati pun mereka mati dalam keadaan fasik. Fasik di sini bermaksud mereka telah terkeluar daripada Islam. Maka baginda tidak boleh solati jenazah mereka kerana solat jenazah hanya dilakukan ke atas orang Islam.
Abdullah ibn Ubay ibn Salul dikatakan sebagai ketua puak munafik. Apabila dia mati, anaknya minta Nabi ﷺ menyolati jenazah ayahnya itu dan beliau (anaknya) adalah seorang sahabat yang setia. Maka Nabi ﷺ solati juga jenazah Abdullah ibn Ubay. Anaknya juga minta baju Nabi ﷺ untuk selimutkan tubuh ayahnya dan baginda berikan.
Kemudian Allah ﷻ beri teguran kepada Nabi ﷺ supaya jangan buat lagi. Oleh itu, kita dapat tahu yang semasa Abdullah bin Ubay itu meninggal, ayat ini belum diturunkan lagi. Maka, ayat ini merupakan hukum yang bersifat umum berlaku terhadap setiap orang yang telah dikenal kemunafikannya, sekalipun penyebab turunnya ayat ini berkenaan dengan Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul, pemimpin orang-orang munafik.
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أُبَيٍّ لَمَّا تُوُفِّيَ جَاءَ ابْنُهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعْطِنِي قَمِيصَكَ أُكَفِّنْهُ فِيهِ وَصَلِّ عَلَيْهِ وَاسْتَغْفِرْ لَهُ فَأَعْطَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَمِيصَهُ فَقَالَ آذِنِّي أُصَلِّي عَلَيْهِ فَآذَنَهُ فَلَمَّا أَرَادَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَيْهِ جَذَبَهُ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقَالَ أَلَيْسَ اللَّهُ نَهَاكَ أَنْ تُصَلِّيَ عَلَى الْمُنَافِقِينَ فَقَالَ أَنَا بَيْنَ خِيَرَتَيْنِ قَالَ { اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ } فَصَلَّى عَلَيْهِ فَنَزَلَتْ { وَلَا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ }
Daripada [Ibnu’Umar رضي الله عنهما] bahawa ketika ‘Abdullah bin Ubay wafat, anaknya datang menemui Nabi ﷺ lalu berkata: “Wahai Rasulullah ﷺ: “Berikanlah kepadaku bajumu untuk aku gunakan mengafani (ayahku) dan solatlah untuknya serta mohonkanlah ampunan baginya”. Maka Nabi ﷺ memberikan bajunya kepadanya lalu berkata: “izinkanlah aku untuk mensolatkannya”. Ketika baginda hendak mensolatkannya tiba-tiba ‘Umar bin Al Khathab رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ datang menarik baginda seraya berkata: “Bukankah Allah telah melarang anda untuk mensolatkan orang munafik?” Maka baginda bersabda: “Aku berada pada dua pilihan daripada firman Allah Ta’ala (QS. At-Taubah ayat 80, yang ertinya): “Kamu mohonkan ampun buat mereka atau kamu tidak mohonkan ampun buat mereka (sama sahaja bagi mereka). Sekalipun kamu memohonkan ampun buat mereka sebanyak tujuh puluh kali, Allah sekali-kali tidak akan mengampuni mereka”. Maka baginda ﷺ mensolatkannya. Lalu turunlah ayat: (QS. At-Taubah ayat 84 yang ertinya): “Janganlah kamu solatkan seorang pun yang mati daripada mereka selamanya dan janganlah kamu berdiri di atas kuburannya”.
(Sahih Bukhari (1190))
Beberapa perkara yang kita boleh ambil pemahaman daripada hadith ini:
1. Rasulullah ﷺ menyolati jenazah Abdullah bin Ubay itu atas permintaan anaknya, seorang Mukmin yang baik. Maka baginda hendak menjaga hati anaknya itu.
2. Baginda juga berikan baju itu sebagai menghormati anaknya juga. Kenapa baju? Sebagai barakah dan tabarruk.
3. Ada juga yang mengatakan ketika tawanan perang Badr, salah seorang daripada yang ditawan adalah bapa saudara Rasulullah ﷺ, iaitu Saidina Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ. Ketika mencari pakaian untuk beliau, tidak ada pakaian lain (kerana ketinggian Saidina Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ) kecuali pakaian Abdullah bin Ubay. Maka baginda membalasnya atas perkara itu.
4. Kenapa Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ melarang Rasulullah ﷺ dengan berkata: “Bukankah Allah ﷻ telah melarang anda untuk mensolatkan orang munafik?” sedangkan waktu itu belum lagi ada larangan menyolati orang Munafik? Mungkin Saidina Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ faham begitu daripada ayat 80 yang mengatakan doa pengampunan untuk mereka tidak terima maka termasuklah solat.
5. Rasulullah ﷺ berhati mulia walaupun terhadap orang Munafik yang telah banyak menyusahkan baginda. Dari segi perbuatan baginda pun mengajar kita untuk melayan baik orang lain walaupun musuh. Baginda mungkin mahu para sahabat melihat bagaimana tindakan seorang ketua kepada umat Islam yang lain. Ada diriwayatkan seramai seribu orang daripada Bani Khazraj telah memeluk Islam kerana melihat perbuatan Rasulullah ﷺ ini.
6. Akan tetapi larangan secara khusus untuk menyolati orang Munafik telah ada, maka baginda tidak boleh melakukannya lagi. Ini mungkin hendak menjaga hati golongan Mukmin. Kalau baginda melayan orang Munafik sama seperti orang Mukmin, mereka mungkin terasa hati. Maka Allah ﷻ telah larang.
7. Bagi kita pula, kita tidak tahu siapa yang munafik atau tidak. Maka kita terus solatkan sahaja jenazah orang yang dikenali sebagai Muslim. Akan tetapi sekiranya jelas orang itu telah melakukan perkara yang mengeluarkannya daripada Islam, maka kita pun tidaklah boleh menyolatkannya.
Disebutkan bahawa Khalifah Umar ibnul Khattab رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ tidak mahu menyolatkan jenazah orang yang tidak dikenalinya, kecuali bila Huzaifah ibnul Yaman رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ mahu menyolatkannya, maka barulah dia mahu menyolatkannya. Saidina Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ buat begitu kerana Huzaifah ibnul Yaman رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ mengetahui satu per satu daripada orang-orang munafik itu, kerana Nabi ﷺ telah menceritakan hal itu kepadanya. Oleh sebab itu, Huzaifah ibnul Yaman رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ diberi julukan sebagai pemegang rahsia yang tidak diketahui oleh sahabat lainnya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 12 Julai 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan


