Tafsir Surah Tawbah Ayat 73 – 74 (Perangi Kafir dan Munafik)

TIDAK MENGENANG BUDI

Tawbah Ayat 73: Ini adalah targhib (ajakan) kepada jihad. Ayat yang sama juga diulang di dalam Tahreem:9

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ جٰهِدِ الكُفّارَ وَالمُنٰفِقينَ وَاغلُظ عَلَيهِم ۚ وَمَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, fight against the disbelievers and the hypocrites and be harsh upon them. And their refuge is Hell, and wretched is the destination.

(MALAY)

Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka ialah jahannam. Dan itu adalah tempat kembali yang seburuk-buruknya.

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ جٰهِدِ الكُفّارَ وَالمُنٰفِقينَ

Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, 

Nabi Muhammad ﷺ diarahkan untuk melawan orang kafir dan munafikin. Telah dijelaskan sebelum ini bahawa munafik itu juga adalah kufur sebenarnya. Akan tetapi dalam sirah, kita tahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah berperang dengan puak munafik kerana mereka pada luarannya nampak sebagai orang Islam sahaja. Maka tidak boleh perangi mereka dengan perang qital (dengan mata pedang). Malah Rasulullah ﷺ pernah melarang para sahabat untuk membunuh golongan munafik,

حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ قَالَ سَمِعَ عَمْرٌو جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُا كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزَاةٍ فَكَسَعَ رَجُلٌ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَالَ الْأَنْصَارِيُّ يَا لَلْأَنْصَارِ وَقَالَ الْمُهَاجِرِيُّ يَا لَلْمُهَاجِرِينَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا بَالُ دَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَسَعَ رَجُلٌ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَالَ دَعُوهَا فَإِنَّهَا مُنْتِنَةٌ فَسَمِعَهَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَيٍّ فَقَالَ قَدْ فَعَلُوهَا وَاللَّهِ لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ قَالَ عُمَرُ دَعْنِي أَضْرِبُ عُنُقَ هَذَا الْمُنَافِقِ فَقَالَ دَعْهُ لَا يَتَحَدَّثُ النَّاسُ أَنَّ مُحَمَّدًا يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ
Telah menceritakan kepada kami [Sufyan bin ‘Uyainah] dia berkata; dia mendengar [‘Amru] [Jabir bin ‘Abdullah رضي الله عنهما] berkata; “Kami pernah menyertai Rasulullah ﷺ dalam suatu peperangan. Tiba-tiba seorang sahabat daripada kaum Muhajirin melanggar punggung seorang sahabat daripada kaum Ansar. Lalu sahabat Ansar itu berseru; ‘Hai orang-orang Ansar ke marilah! ‘ Kemudian sahabat Muhajirin itu berseru pula; ‘Hai orang-orang Muhajirin, ke marilah! ‘ Mendengar seruan-seruan seperti itu, Rasulullah ﷺ pun berkata: ‘Mengapa kalian masih menggunakan cara-cara panggilan jahiliah? ‘ Para sahabat berkata; ‘Ya Rasulullah, tadi ada seorang sahabat daripada kaum Muhajirin melanggar punggung seorang sahabat daripada kaum Ansar.’ Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Tinggalkanlah panggilan dengan cara-cara jahiliah, kerana yang demikian itu akan menimbulkan kesan yang buruk.’ Ternyata peristiwa itu didengari oleh Abdullah bin Ubay, seorang tokoh munafik, dan berkata; ‘Mereka benar-benar telah melakukannya? Sungguh apabila kita telah kembali ke Madinah, maka orang-orang yang lebih kuat akan dapat mengusir orang-orang yang lebih lemah di sana.’ Mendengar pernyataan itu, Umar رضي الله عنه berkata; ‘Ya Rasulullah, izinkanlah saya untuk memenggal leher orang munafik ini.’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Biarkan dan lepaskanlah dia! Supaya orang-orang tidak berkata bahawasanya Muhammad membunuh sahabatnya.’
(Sahih Muslim (4682))

Maka yang dimaksudkan dengan ayat ini: Perangi orang kafir yang nyata itu dengan perang dan dengan munafik itu kena diperangi menggunakan lisan (dengan dakwah dan hujah). Patahkan hujah mereka, jangan biarkan mereka bermaharajalela menyesatkan masyarakat Muslim yang lain kerana kalau dibiarkan, mereka akan mempengaruhi orang lain pula.

Di dalam ayat 68, apabila menyebut tentang janji balasan azab, Allah ﷻ sebut golongan Munafik dahulu, kerana mereka lebih teruk jika dibandingkan dengan golongan kafir. Akan tetapi di sini apabila menyebut tentang perang kepada mereka, disebut golongan kafir dahulu. Ini adalah kerana golongan kafir boleh diperangi dengan pedang sedangkan golongan Munafik diperangi dengan cara lisan. Maka ia disusun daripada yang paling keras kepada yang kurang keras.

Begitulah pendapat Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang mengatakan bahawa Allah ﷻ memerintahkan Rasulullah ﷺ untuk berjihad melawan orang-orang kafir dengan senjata dan orang-orang munafik dengan lisan, serta jangan bersikap lemah lembut terhadap mereka.

 

وَاغلُظ عَلَيهِم

dan bersikap keraslah terhadap mereka. 

Jangan berlembut dengan mereka kerana mereka akan ambil peluang. Bersikap keraslah dengan mereka supaya mereka tahu yang kita tegas dan tidak boleh diambil mudah.

Hal itu merupakan kebalikan daripada apa yang telah diperintahkan-Nya terhadap orang-orang Mukmin. Allah ‎ﷻ memerintahkan Nabi-Nya untuk bersikap lemah lembut kepada orang-orang yang mengikuti baginda, iaitu kaum Mukmin.

Yang menjadi masalah lebih besar adalah untuk berurusan dengan puak munafikin kerana mereka itu pada zahirnya nampak sebagai Muslim. Nabi Muhammad ﷺ seorang yang lemah lembut dengan para Muslim. Maka Allah ﷻ beri arahan kepada baginda sebelum sampai ke Madinah semasa pulang dari Tabuk, jangan berlembut lagi dengan mereka. Allah ﷻ pesan awal-awal sebelum jumpa mereka lagi. Sebelum mereka ada peluang untuk mengadap Nabi ﷺ dan memberikan alasan-alasan mereka.

Di dalam ayat ini disebut kena bersikap keras dengan orang kafir, akan tetapi apabila Nabi Musa عليه السلام diarahkan untuk berdakwah kepada Firaun, baginda disuruh berlembut dengannya. Kenapa pula begitu? Ini disebut dalam Taha:43-44

اذهَبا إِلىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ طَغىٰ
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

Ini mengajar kita di dalam dakwah, kena berlembut, berkata-kata dengan lunak. Akan tetapi apabila sudah sampai ke tahap berperang, tentulah tidak ada lembut-lembut lagi. Namun begitu kalau sudah lama berdakwah tetapi yang didakwah tetap berdegil maka boleh juga berkeras sedikit kepada mereka seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام di dalam Isra’:102

قالَ لَقَد عَلِمتَ ما أَنزَلَ هٰؤُلاءِ إِلّا رَبُّ السَّماواتِ وَالأَرضِ بَصائِرَ وَإِنّي لَأَظُنُّكَ يا فِرعَونُ مَثبورًا
Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu telah mengetahui, bahawa tiada yang menurunkan mukjizat-mukjizat itu kecuali Tuhan Yang memelihara langit dan bumi sebagai bukti-bukti yang nyata; dan sesungguhnya aku mengira kamu, hai Fir’aun, seorang yang akan binasa”.

Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ pun amat berlembut dengan orang yang tidak berilmu seperti Arab Badwi yang mahu membuang air kecil di masjid. Sebaliknya apabila dengan para sahabat yang sudah lama belajar dengan baginda, baginda keras pula dan kadangkala merah muka baginda memarahi mereka. Begitu juga nanti kita akan belajar bagaimana baginda telah memulau sahabat seperti Ka’ab bin Malik رضي الله عنه yang tidak menyertai Perang Tabuk. Maka kena lihat kepada situasi.

Namun begitu kepada orang Munafik, maksud غلظ kepada mereka adalah syariat dikenakan penuh terhadap mereka, bukannya ada diskaun. Semua yang Muslim kena buat, mereka pun kena buat tanpa pengecualian. Bukanlah bercakap kasar dengan mereka atau hina mereka kerana cara ini tidak bersesuaian dengan ajaran dan perbuatan Nabi ﷺ. Lihatlah walaupun semasa dikenakan Hukum Hudud pun baginda tidak benarkan para sahabat mencela,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ سَمِعَهُ يَقُولُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا زَنَتْ الْأَمَةُ فَتَبَيَّنَ زِنَاهَا فَلْيَجْلِدْهَا وَلَا يُثَرِّبْ ثُمَّ إِنْ زَنَتْ فَلْيَجْلِدْهَا وَلَا يُثَرِّبْ ثُمَّ إِنْ زَنَتْ الثَّالِثَةَ فَلْيَبِعْهَا وَلَوْ بِحَبْلٍ مِنْ شَعَرٍ
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه ] bahawa beliau mendengarnya berkata; Nabi ﷺ bersabda: “Jika seorang budak wanita berzina dan terbukti penzinaannya maka dia dihukum sebat tanpa dicela dan dihinakan. Jika berzina lagi maka dihukum sebat tanpa dicela dan dihinakan dan jika berzina lagi untuk ketiga kalinya maka juallah sekalipun dengan harga senilai sehelai rambut”.
(Sahih Bukhari (2008))

Begitulah sikap Rasulullah ﷺ dengan umat baginda walaupun mereka telah melakukan kesalahan yang besar. Ini seperti disebut dalam Ali Imran:159

فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم ۖ وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

Maknanya kena bercakap dengan cara yang baik-baik. Boleh tegas tetapi jangan sampai menghina, mencaci, memaki, perli dan sebagainya. Jika dengan cara keras dan makian begitulah kita berdakwah mengajar agama tentulah tidak memberi kesan yang baik kepada manusia. Manusia pun benci dan tidak mahu dengar apa yang kita sampaikan. Mereka akan tinggalkan kita begitu sahaja.

 

وَمَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

Tempat mereka ialah jahannam. Dan itu adalah tempat kembali yang seburuk-buruknya.

Bersikap keraslah ke atas mereka sebab balasan mereka adalah neraka jahannam kalau mereka tidak berubah juga. Takkan kita tidak kasihan mereka masuk neraka? Kalimah مَأوىٰ adalah tempat yang sepatutnya kita rasa aman, tetapi Allah ﷻ perli kerana neraka bukanlah tempat yang aman. Oleh kerana tempat mereka adalah neraka maka jangan beri mereka hidup senang sebagai orang kafir di bumi Allah ﷻ ini.

Ingatkan kepada mereka yang mereka akan ke neraka kalau mereka tidak ubah sikap mereka dan neraka itu adalah tempat tinggal yang paling buruk. Malah Allah ﷻ kata tempat itu sebagai مَأوىٰ kerana mereka akan kekal di dalamnya. Ini sepatutnya amat menakutkan mereka kerana kalau setakat masuk sahaja, ada kemungkinan boleh keluar, bukan? Akan tetapi bila dikatakan مَأوىٰ maka ia memberi isyarat yang mereka akan kekal di dalamnya sampai bila-bila.

Begitu juga kalimah المَصيرُ digunakan untuk mengatakan mereka akan kekal kerana المَصيرُ adalah kampung asal. Kadangkala kita merantau ke merata-rata tempat tetapi kampung asal adalah tempat yang kita akan pulang akhirnya. Mereka itu akan pulang dan kekal di ‘kampung asal’ mereka iaitu di neraka.


 

Tawbah Ayat 74: Sekarang Allah ﷻ jelaskan kenapa perlu perangi golongan Munafik itu. Allah ﷻ sebutkan kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan.

يَحلِفونَ بِاللَّهِ ما قالوا وَلَقَد قالوا كَلِمَةَ الكُفرِ وَكَفَروا بَعدَ إِسلٰمِهِم وَهَمّوا بِما لَم يَنالوا ۚ وَما نَقَموا إِلّا أَن أَغنٰهُمُ اللَّهُ وَرَسولُهُ مِن فَضلِهِ ۚ فَإِن يَتوبوا يَكُ خَيرًا لَّهُم ۖ وَإِن يَتَوَلَّوا يُعَذِّبهُمُ اللَّهُ عَذابًا أَليمًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۚ وَما لَهُم فِي الأَرضِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They swear by Allāh that they did not say [anything against the Prophet ()] while they had said the word of disbelief and disbelieved after their [pretense of] Islām and planned that which they were not to attain.¹ And they were not resentful except [for the fact] that Allāh and His Messenger had enriched them of His bounty.² So if they repent, it is better for them; but if they turn away, Allāh will punish them with a painful punishment in this world and the Hereafter. And there will not be for them on earth any protector or helper.

  • i.e., the murder of Prophet Muḥammad ().
  • i.e., for no reason. On the contrary, they should have been grateful.

(MALAY)

Mereka (orang-orang munafik itu) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang menyakitimu). Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran, dan telah menjadi kafir sesudah Islam dan mengingini apa yang mereka tidak dapat mencapainya, dan mereka tidak mencela (Allah dan Rasul-Nya), kecuali kerana Allah dan Rasul-Nya telah melimpahkan kurnia-Nya kepada mereka. Maka jika mereka bertaubat, itu adalah lebih baik bagi mereka, dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan akhirat; dan mereka sekali-kali tidaklah mempunyai pelindung dan tidak (pula) penolong di muka bumi.

 

يَحلِفونَ بِاللَّهِ ما قالوا

Mereka (orang-orang munafik itu) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa mereka tidak mengatakan

Puak munafikin itu sanggup bersumpah dengan nama Allah ﷻ yang mereka tidak kata pun yang mereka ada buat perancangan untuk membunuh Nabi ﷺ. Maka ini adalah sifat golongan Munafik itu iaitu suka bersumpah kerana kalimah يَحلِفونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang membawa maksud mereka selalu melakukannya.

Mereka terpaksa menggunakan sumpah kerana mereka sendiri sedar yang orang susah untuk percaya kepada mereka. Maka mereka terpaksa menguatkan persaksian mereka dengan sumpah. Sedangkan orang Mukmin tidak perlu melakukannya kerana kita sentiasa berkata yang benar. Maka jangan suka bersumpah dalam kata-kata kita kerana itu adalah perbuatan buruk yang menjadi kebiasaan puak Munafik.

Ayat ini merujuk kepada perbincangan rahsia di antara mereka. Apabila ditanya tentangnya, mereka bersumpah mereka tidak melakukannya. Ada juga asbabun nuzul lain yang diriwayat tentang ayat ini.

Pada suatu hari seorang sahabat yang bernama Umair bin Sa’d رضي الله عنه mendengar seorang munafik bernama Jullas bin Suwaid bin Shamit, sedang berbincang-bincang di rumahnya, dengan berkata, “Seandainya laki-laki ini memang benar, tentulah kita ini lebih jelek daripada keldai-keldai!” Yang dimaksudkan dengan laki-laki di sini ialah Rasulullah ﷺ.

Beliau pun segera menemui Jullas seraya berkata, “Demi Allah, hai Jullas! Engkau adalah orang yang paling kucintai, dan yang paling banyak berjasa kepadaku, dan yang paling tidak kusukai akan ditimpa sesuatu yang tidak menyenangkan. Engkau telah melontarkan ucapan, seandainya ucapan itu kusebarkan dan sumbernya daripadamu, nescaya akan menyakitkan hatimu. Tetapi seandainya kubiarkan, tentulah agamaku akan tercemar. Padahal hak agama itu lebih utama ditunaikan. Daripada itu aku akan menyampaikan apa yang kudengar kepada Rasulullah!”

Setelah mendapat laporan daripada Umair رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ mengirimkan orang mencari Jullas. Ketika dihadapkan kepada Rasulullah ﷺ, Jullas mengingkari ucapannya. Bahkan, dia mengangkat sumpah palsu atas nama Allah ﷻ. Maka turunlah ayat ini menyatakan apa yang benar.

 

وَلَقَد قالوا كَلِمَةَ الكُفرِ

Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran, 

Allah ﷻ beritahu yang mereka memang telah membuat perancangan jahat itu. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘kalimah kufur’ itu. Kalau zaman sekarang, ‘kalimat kufur’ boleh membawa maksud lain.

Mereka juga selalu mengatakan kalimah-kalimah kufur yang kalau disebut boleh menyebabkan jatuh kufur. Namun Allah ﷻ tidak sebut di sini kerana Allah ﷻ tidak mahu ia masuk ke dalam Al-Qur’an dan dibaca-baca sebagai ibadah pula. Sebagai contoh, mereka selalu mengutuk dan menghina Rasulullah ﷺ adalah perbuatan kufur.

Maka ini mengajar kita supaya berhati-hati dengan perkataan yang keluar daripada mulut kita. Contohnya kalau kita merendah-rendahkan Hukum Hudud dengan mengatakan ia tidak patut, tidak sesuai di zaman sekarang, ia adalah hukum kuno dan kolot, maka ini adalah kalimah kufur kerana menghina hukum Allah ﷻ. Atau kalau kita hina perbuatan Sunnah yang dilakukan oleh manusia (seperti simpan janggut) kerana ia menghina Rasulullah ﷺ.

 

وَكَفَروا بَعدَ إِسلٰمِهِم

dan telah menjadi kafir sesudah Islam

Mereka telah zahirkan kufur setelah mereka zahirkan Islam. Bukannya mereka menjadi kufur selepas keluar Islam kerana munafik zaman Nabi ﷺ itu memang tidak pernah masuk Islam pun. Oleh itu, bukanlah mereka murtad, namun sebenarnya mereka tidak pernah menjadi Muslim pun kerana untuk menjadi murtad, kena masuk Islam dulu.

Dengan perlakuan mereka yang jelas menentang Islam, mereka sudah zahirkan apakah isi hati mereka yang sebenarnya.

Kita kena faham yang ada dua jenis munafik. Ada munafik yang hanya dia tahu dia munafik – dia zahirkan dia Muslim di mata manusia. Akan tetapi fahamannya kufur kerana dia tidak percaya dengan Islam.

Satu lagi adalah jenis munafik yang tidak tahu. Orang yang munafik itu pun tidak tahu yang dia itu ada sifat munafik. Dia sangka dia sudah seorang Muslim tetapi sebenarnya pada mata Allah ﷻ dia seorang munafik. Inilah jenis munafik yang ditakuti oleh para sahabat seperti Sayyidina Umar رضي الله عنه. Beliau amat risau kalau-kalau beliau ada sifat nifak itu kerana beliau sendiri pun tidak pasti sama ada beliau termasuk orang yang munafik pada mata Allah ﷻ .

Sedangkan Sayyidina Umar رضي الله عنه yang jauh lebih tinggi imannya daripada kita pun dan sudah dijamin syurga pun sentiasa takut bergelar munafik di mata Allah ﷻ, maka apatah lagi kita ini? Kita pun mestilah lebih lagi takut dalam perkara ini kerana perkara ini amat bahaya. Kena jaga hati kita dan periksa sama ada kita ada sifat-sifat munafik. Sebab itu Allah ‎ﷻ banyak sebut sifat-sifat munafik supaya kita boleh periksa diri kita.

Namun kita kena tahulah yang sifat munafik ini adalah rahsia hati. Janganlah kita memandai menuduh sesiapa pun sebagai munafik hanya kerana orang itu ada sifat-sifat munafik pula. Siapa kita untuk tahu orang itu munafik? Maka yang lebih utama adalah kita belajar sifat-sifat itu untuk periksa diri kita, bukannya untuk dijadikan senjata untuk menuduh dan melabel orang lain. Kemudian kita kena tahu jikalau sifat itu ada pada orang lain supaya kita boleh berhati-hati dengan dia.

Nabi Muhammad ﷺ pun tidak tahu siapa munafik melainkan diberitahu dengan wahyu. Kalau ada yang kata dia tahu kemunafikan orang lain, adakah dia lebih hebat daripada Rasulullah ﷺ sendiri? Adakah kamu dapat wahyu juga seperti Rasulullah ﷺ? Malangnya ramai yang menggunakan tuduhan munafik ini sebagai senjata. Kalau ada yang dia tidak suka, maka dia tuduh orang itu munafik. Ini amat salah sekali.

Kita yang sudah belajar ilmu agama ini kena berhati-hati dalam perkara ini. Tambah pula kalau kita sudah belajar tafsir Al-Qur’an, janganlah kita menuduh orang lain sebagai munafik pula. Kita sepatutnya tahu yang sifat munafik itu adalah rahsia Allah ﷻ. Kalau pun kita nampak orang itu ada sifat-sifat munafik, tentu kita tidak pasti lagi sama ada dia munafik atau tidak. Paling kuat kita boleh kata: dia ada sifat munafik.

 

وَهَمّوا بِما لَم يَنالوا

dan mengingini sangat apa yang mereka tidak dapat mencapainya, 

Ulama’ memasukkan Asbabun Nuzul ayat ini, iaitu golongan munafik itu hendak membunuh Rasulullah ﷺ. Semasa dalam perjalanan balik dari Tabuk, mereka telah membuat keputusan untuk membunuh Nabi ﷺ. Mereka tahu yang semasa pulang dari Tabuk, mereka akan melalui lembah yang sempit yang hanya boleh dilalui oleh seorang sahaja pada satu-satu masa. Maka mereka nampak itu peluang untuk membunuh Nabi ﷺ waktu itu kerana pengiring Nabi ﷺ akan hanya ada di hadapan dan belakang baginda sahaja.

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan:

عَنْ أَبِي الطُّفَيْلِ قَالَ: لَمَّا أَقْبَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ من غَزْوَةِ تَبُوكَ، أَمَرَ مُنَادِيًا فَنَادَى: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ الْعَقَبَةَ فَلَا يَأْخُذْهَا أَحَدٌ. فَبَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُودُهُ حُذَيْفَةُ وَيَسُوقُهُ عَمَّارٌ، إِذْ أَقْبَلَ رَهْطٌ مُتَلَثِّمُونَ عَلَى الرَّوَاحِلِ فَغَشَوْا عَمَّارًا وَهُوَ يَسُوقُ بِرَسُولِ اللَّهِ، وَأَقْبَلَ عَمَّارٌ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، يَضْرِبُ وُجُوهَ الرَّوَاحِلِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحُذَيْفَةَ: “قَدْ، قَدْ” حَتَّى هَبَطَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، [فَلَمَّا هَبَطَ] نَزَلَ وَرَجَعَ عَمَّارٌ، فَقَالَ: “يَا عَمَّارُ، هَلْ عَرَفْتَ الْقَوْمَ؟ ” فَقَالَ: قَدْ عَرَفْتُ عَامَّةَ الرَّوَاحِلِ، وَالْقَوْمُ مُتَلَثِّمُونَ. قَالَ: “هَلْ تَدْرِي مَا أَرَادُوا؟ ” قَالَ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: “أَرَادُوا أَنْ يُنْفِرُوا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَطْرَحُوهُ”. قَالَ: فَسَارَّ عَمَّارٌ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: نَشَدْتُكَ بِاللَّهِ كَمْ تَعْلَمُ كَانَ أَصْحَابُ الْعَقَبَةِ؟ قَالَ: أَرْبَعَةَ عَشَرَ. فَقَالَ: إِنْ كُنْتَ مِنْهُمْ فَقَدْ كَانُوا خَمْسَةَ عَشَرَ. قَالَ: فَعَذَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهُمْ ثَلَاثَةً قَالُوا: وَاللَّهِ مَا سَمِعْنَا مُنَادِيَ رَسُولِ اللَّهِ، وَمَا عَلِمْنَا مَا أَرَادَ الْقَوْمُ. فَقَالَ عَمَّارٌ: أَشْهَدُ أَنَّ الِاثْنَيْ عَشَرَ الْبَاقِينَ حَرْبٌ لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ
Daripada Abu Tufail yang menceritakan bahawa ketika Rasulullah ﷺ ketika kembali dari medan Tabuk, baginda memerintahkan kepada juru penyeru untuk menyerukan, “Sesungguhnya Rasulullah ﷺ akan mengambil jalan ‘Aqabah, maka janganlah ada seseorang yang menempuhnya.” Ketika unta kenderaan Rasulullah ﷺ dituntun oleh Huzaifah رضي الله عنه dan digiring oleh Ammar رضي الله عنه, tiba-tiba datanglah segolongan orang yang mengenderai unta, semuanya memakai cadar. Mereka menutupi Ammar رضي الله عنه yang sedang menggiring unta kenderaan Rasulullah ﷺ. Maka Ammar رضي الله عنه memukul bahagian depan pelana unta mereka, sedangkan Rasulullah ﷺ bersabda kepada Huzaifah رضي الله عنه, “Hentikanlah, hentikanlah.” Setelah unta kenderaan Rasulullah ﷺ menunduk, maka Rasulullah ﷺ turun daripada unta kenderaannya, dan saat itu Ammar رضي الله عنه telah kembali. Rasulullah ﷺ bersabda, “Hai Ammar, tahukah siapakah kaum itu tadi?” Ammar رضي الله عنه menjawab, “Sesungguhnya saya mengenali pelana mereka, tetapi orang-orangnya kami tidak tahu kerana memakai cadar.” Rasulullah ﷺ bertanya. ”Tahukah kamu, apakah yang mereka maksudkan?” Ammar رضي الله عنه menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah ﷺ menjawab, “Mereka bermaksud mengasingkan unta kenderaan Rasulullah ﷺ, lalu menjatuhkannya dari atas unta kenderaannya.” Lalu Ammar رضي الله عنه bertanya kepada salah seorang sahabat Rasulullah ﷺ. Untuk itu dia berkata, “Aku memohon kepadamu dengan nama Allah. Menurut pengetahuanmu ada berapakah jumlah orang-orang yang di ‘Aqabah itu?” Orang itu menjawab, “Ada empat belas orang lelaki.” Ammar رضي الله عنه berkata, “Jika engkau termasuk seseorang daripada mereka, bererti jumlah mereka ada lima belas orang.” Rasulullah ﷺ mengecualikan tiga orang di antara mereka. Ketiga orang itu berkata, “Demi Allah, kami tidak mendengar juru seru Rasulullah ﷺ, dan kami tidak mengetahui apa yang dikehendaki oleh kaum itu.” Maka Ammar رضي الله عنه berkata, “Saya bersaksi bahawa kedua belas orang itu mengobarkan peperangan terhadap Allah dan Rasul-Nya dalam kehidupan di dunia dan pada hari semua saksi bangkit tegak (yakni hari kiamat).
(Musnad Ahmad (23792))
Sanadnya kuat menurut syarat Imam Muslim

Kedudukan perkara yang sebenar telah diberitahu kepada Rasulullah ﷺ dengan cara wahyu. Nabi ﷺ dapat tahu siapakah mereka yang telah cuba membunuh baginda. Oleh itu Nabi ﷺ telah memanggil mereka bertanyakan perkara itu dan mereka bersumpah mengatakan mereka tidak membuat rancangan untuk membunuh baginda.

Nabi Muhammad ﷺ mendapat berita itu melalui wahyu. Maka baginda tahu siapakah yang membuat perancangan itu. Baginda hanya memberitahu Huzaifah ibn Yaman رضي الله عنه sahaja tentang siapakah orang itu. Huzaifah رضي الله عنه mesti menjaga rahsia itu sampai bila-bila. Kerana itulah maka Huzaifah رضي الله عنه digelar sebagai pemegang rahsia yang tidak boleh diketahui oleh seorang pun, kerana beliau sahaja tahu berkenaan ciri-ciri dan diri orang-orang munafik yang terlibat dalam peristiwa itu. Rasulullah ﷺ telah memberitahukan kepadanya mengenai mereka, tidak kepada selainnya.

Imam Muslim رحمه الله telah meriwayatkan bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda:

“فِي أَصْحَابِي اثْنَا عَشَرَ مُنَافِقًا، لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ، وَلَا يَجِدُونَ رِيحَهَا حَتَّى يَلِجَ [الْجَمَلُ] فِي سَمِّ الْخِيَاطِ: ثَمَانِيَةٌ تَكْفِيكَهُمُ الدُّبَيْلة: سِرَاجٌ مِنْ نَارٍ يَظْهَرُ بَيْنَ أكتافه حَتَّى يَنْجُمَ مِنْ صُدُورِهِمْ”
Di antara sahabatku terdapat dua belas orang munafik, mereka tidak dapat masuk syurga dan tidak pula dapat mencium baunya hingga unta dapat masuk ke dalam lubang jarum (yakni mustahil mereka masuk syurga). Lapan orang di antaranya telah cukup dibalas dengan Dahilah, iaitu pelita api yang muncul di antara kedua belikat mereka, lalu menembus dada mereka.
(Sahih Muslim (2779))

Maka apa yang mereka telah rancangkan itu tidak mampu mereka capai. Allah ﷻ menggagalkan rancangan mereka. Kemudian mereka telah cuba melemahkan Islam dari dalam pula. Antaranya mereka menuduh A’isyah رضي الله عنها telah berzina. Dengan cara itu mereka hendak menjatuhkan maruah Rasulullah ﷺ dan secara tidak langsung, Islam menjadi lemah.

Itu adalah kisah pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Kalau zaman lain seperti sekarang, maka tafsir mestilah disesuaikan dengan zaman. Ada perkara yang diinginkan sangat oleh puak munafik tetapi mereka tidak akan dapat capai. Mungkin mereka mahu menjatuhkan Islam dari dalam juga. Bukankah ada yang melakukan berbagai-bagai kritikan terhadap syariat Islam seperti mengatakan kedudukan wanita yang kononnya ditindas, Hukum Hudud yang mereka lama dianggap kuno, dan sebagainya?

 

وَما نَقَموا إِلّا أَن أَغنٰهُمُ اللَّهُ وَرَسولُهُ مِن فَضلِهِ

dan mereka tidak mencela, kecuali kerana Allah dan Rasul-Nya telah melimpahkan kurnia-Nya kepada mereka.

Mereka sebenarnya tidak mencela orang Islam dan Rasulullah ﷺ, melainkan kerana Allah ﷻ dan Rasul telah melimpahkan kesenangan kepada mereka. Itu bukan kerana usaha atau kerja mereka tetapi مِن فَضلِهِ iaitu daripada kurnia Allah ﷻ. Mereka cela Islam kerana Allah ﷻ beri kemewahan hidup kepada mereka dan Nabi ﷺ juga telah beri kemudahan kepada mereka. Hidup mereka senang dan kedudukan mereka tinggi. Apa yang mereka minta kepada Nabi ﷺ telah diberi.

Kerana itulah mereka menjadi sombong untuk menerima kebenaran. Mereka itu tidak tahu diuntung kerana sebelumnya ini mereka adalah orang-orang miskin dan papa. Amat menghairankan sekali, mereka boleh pula melecehkan orang yang menjadi penyebab keluarnya mereka daripada kegelapan menuju cahaya dan penyebab kekayaan mereka setelah sebelumnya mereka miskin dan hina.

Namun kemudiannya Allah ﷻ dan Rasul ﷺ telah memberikan mereka harta ghanimah yang menjadikan mereka kaya. Namun mereka memperlecehkan pula baginda. Padahal yang seharusnya mereka lakukan adalah menghormatinya, memuliakannya, dan beriman kepadanya, sehingga terkumpul faktor pendorong kekuatan (beragama) dan keluhuran kemanusiaan. Hanya duit mereka hendak, tetapi taat tidak mahu pula. Maka Allah ﷻ kutuk mereka di dalam ayat ini kerana mereka telah menjadi sombong setelah hidup senang.

 

فَإِن يَتوبوا يَكُ خَيرًا لَّهُم

Maka jika mereka bertaubat, itu adalah lebih baik bagi mereka,

Walaupun telah banyak kesalahan yang mereka telah lakukan, tetapi kalau sekarang ini pun mereka sanggup bertaubat, itu lebih baik bagi mereka. Taubat mereka masih boleh diterima kerana masih ada harapan lagi. Allah ﷻ masih lagi menjemput mereka untuk mengubah perangai mereka itu.

 

وَإِن يَتَوَلَّوا يُعَذِّبهُمُ اللَّهُ عَذابًا أَليمًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan akhirat; 

Namun ingat, sekiranya masih tidak mahu bertaubat juga setelah diberikan peluang, mereka akan dikenakan dengan azab yang pedih di dunia dan juga di akhirat. Di dunia lagi sudah boleh dikenakan azab dan di akhirat pasti lebih lagi. Di dunia lagi fikiran mereka akan berserabut tidak tenang, rasa dengki, rasa tidak puas hati, semua tidak kena pada mereka. Nanti di Akhirat nanti azab untuk mereka lebih dahsyat.

 

وَما لَهُم فِي الأَرضِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

dan mereka sekali-kali tidaklah mempunyai sebarang pelindung dan tidak (pula) penolong di dunia.

Kalau Allah ‎ﷻ telah tetapkan yang mereka akan dikenakan dengan azab, sama ada di dunia atau di akhirat, tidak akan ada yang dapat menolong. Tidak ada وَلِيٍّ maksudnya tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang azab itu.

Maksud نَصيرٍ pula, bila sudah dikenakan dengan azab itu, tidak ada sesiapa pun yang boleh membantu untuk menghentikan azab itu atau untuk kurangkan langsung. Kalau di dunia ini tidak ada penolong, di akhirat tentulah juga tidak ada.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment