Tafsir Surah Ali Imran Ayat 22 – 25 (Cintailah Allah, Ikutilah Rasul)

Ali Imran Ayat 22: Apakah balasan yang akan dikenakan kepada mereka?

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL
They are the ones whose deeds have become worthless in this world and the Hereafter, and for them there will be no helpers.

MALAY
Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat,

Digunakan kalimah أُولٰئِكَ iaitu kata tunjuk yang jauh kerana mereka itu jauh dari kebenaran. Ia merujuk kepada golongan yang disebut di dalam ayat ini iaitu yang kufur, membunuh para Nabi dan membunuh orang yang menjalankan amar ma’ruf nahi munkar. Gugur amalan mereka kerana kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan. Kalimah حَبِطَتْ di dalam bermaksud “gugur”, “sia-sia”, “terhapus”, atau “musnah” (terutamanya merujuk kepada amalan kebaikan atau pahala). Tidak guna satu sen pun. Di dalam Al-Qur’an, perkataan ini hampir sentiasa digunakan untuk menggambarkan keadaan di mana segala pahala amal soleh seseorang terpadam sepenuhnya akibat perbuatan kufur, syirik, atau murtad.

Kalau mereka ada amal kebaikan pun, ia tidak akan memberi makna kepada mereka. Ia tidak akan melindungi mereka kerana kekufuran yang mereka lakukan. Mereka ini golongan agamawan Yahudi, bukan? Kedudukan mereka itu tidak akan menyelamatkan mereka. Jangan sangka mereka ahli agama, mereka akan selamat! Ini kerana mereka telah menjual agama untuk kepentingan diri mereka. Bagaimana caranya?

Mereka jual kedudukan dalam hierarki keagamaan mereka. Siapa yang dapat bayar, dapatlah pangkat! Sudah dapat pangkat, bolehlah pula bercakap sesuka hati. Dan antaranya mereka jual fatwa. Kepada orang kaya, boleh fatwa apa yang mereka hendak dari ahli agama itu. Hukum faraid mereka ubah supaya mereka yang dapat bahagian harta itu. Mereka dapat buat begitu kerana mereka pegang kitab wahyu dan halang orang awam dari membacanya. Dengan begitu, senanglah mereka ini semua ada dalam kitab…. Dan mereka pegang upacara agama dengan reka amalan-amalan itu dan ini supaya mereka sahaja yang tahu menjalankan upacara agama.

Tapi mereka sangka kerana mereka ada kedudukan dalam hierarki agama, mereka akan selamat. Macam Musyrikin Mekah pula sangka mereka tentunya dapat banyak kebaikan kerana mereka menjaga Ka’bah dan berkhidmat kepada orang yang menziarahi Ka’bah. Tapi Allah beritahu dalam ayat ini yang mereka langsung tidak akan dapat apa-apa kebaikan.

Ini mengajar kita bahawa iman yang sebenar itu sangat penting. Kalau amal baik pun, tidak bermakna jikalau tidak ada iman. Kadangkala orang kafir pun ada buat benda baik seperti tolong orang, bina hospital, bantu sana sini kerana memang hati mereka baik. Tapi mereka tidak akan dapat pahala sedikit pun. Allah tetap balas kebaikan yang mereka buat itu, tapi diberikan balasan itu di dunia lagi, supaya mereka tidak boleh tuntut di akhirat kelak. Kerana itulah kita lihat orang kafir yang baik di dunia ini hidup mereka senang dan kaya raya kerana Allah telah balas perbuatan baik mereka di dunia lagi. Semakin banyak mereka menderma, semakin banyak rezeki mereka Allah berikan.

Mereka tidak dapat pahala kerana syarat dapat pahala adalah beriman. Kalau kufur, tidak ada pahala langsung. Dan ada banyak kekufuran yang manusia boleh lakukan. Salah satu cabang kufur adalah syirik dan ini adalah kufur terbesar dan dosa terbesar. Ia sampai boleh menggugurkan iman sedangkan kalau buat dosa besar lain pun masih tak gugur iman lagi.

Bukan sahaja iman gugur, tapi amalan baik yang pernah dibuat dulu pun akan jadi kosong. Ini kerana dosa syirik ini amat besar dan amat bahaya sekali. Malang sekali kalau amal baik kita banyak, tapi kita ada pula fahaman syirik. Nauzubillah!

Sedangkan kita perlu pahala dari amalan-amalan baik kita itu. Amalan yang baik ada kesannya di dunia lagi dan akan dibalas lagi di akhirat. Sebagai contoh, solat yang baik akan menenangkan hati kita; infak yang dikeluarkan akan menambah rezeki kita. Solat yang kita lakukan akan menghalang keburukan. Itu semua adalah contoh kebaikan yang Allah beri semasa di dunia lagi. Tetapi orang yang melakukan syirik langsung tidak dapat kebaikan di dunia dan di akhirat pun tidak ada pahala buat dijadikan bekal.

Baik, dari segi pahala untuk akhirat, kita sudah faham. Tapi dalam ayat ini Allah sebut حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ. Maknanya di dunia pun mereka tidak akan dapat habuan dari amalan baik mereka itu. Jadi apakah maksud فِي الدُّنيا itu? Amal kebaikan yang kita lakukan, sebenarnya Allah sudah balas semasa di dunia lagi. Contohnya solat akan menyelamatkan kita dari musibah, sedekah menambah rezeki, puasa menaikkan iman kita. Akan tetapi jikalau ia dilakukan tanpa iman, ia tidak bermakna. Ia juga tidak bermakna apabila ia dilakukan oleh orang yang menyalahgunakan kuasa seperti ahli agama.

Ini mengajar kita yang setakat beramal ibadah sahaja tidak memastikan kita akan mendapat balasan kebaikan dari Allah. Entah berapa banyak solat, puasa, zakat dan umrah itu semua tidak ada pahala dan tidak memberi kesan pun kepada kita jikalau kita ada masalah dengan akidah dan kita zalim kepada orang lain. Jangan kita berbangga dengan ibadah yang banyak kalau perkara lain kita tidak jaga. Ibadah itu semua sepatutnya memberi kesan kepada luaran kita, tapi kalau kita lakukan macam robot sahaja tanpa kita memikirkan falsafah di sebalik amal ibadah itu dan kita terjemahkan dalam kehidupan kita, amal ibadah itu sia-sia sahaja. Kalau kita lakukan ibadah itu juga untuk mendapatkan keduniaan, untuk tunjuk kepada orang, itu semua adalah riak yang akan menghilangkan pahala dan kebaikan kepada ibadah itu sendiri. Jadi kita selalu tanya diri kita: “Kenapa aku buat ibadah ini? Kerana Allah atau kerana ada sebab-sebab lain?”

Kenapa mereka hilang kebaikan di dunia dan akhirat? Kerana kesalahan yang mereka lakukan adalah untuk mendapat habuan dunia juga, bukan? Maka dunia yang mereka kejar itu pun Allah gagalkan. Dan mereka sangka dengan kedudukan mereka di dalam agama mereka itu menjaminkan mereka selama di akhirat, bukan? Maka itu pun Allah tak beri kepada mereka.

 

وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ

dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

Mereka tidak ada pembantu di dunia walaupun di akhirat. Ini kerana mereka kufur dan telah berlaku zalim. Bandingkan dengan orang-orang yang berjuang di jalan Allah yang kita telah bincangkan di dalam Ayat 13, Allah beri bantuan kepada mereka,

وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِۦ مَن يَشاءُ
Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya

Tetapi kepada orang kafir ini, mereka tidak ada penolong. Tidak ada sesiapa yang boleh menyelamatkan mereka. Mereka mungkin ada geng mereka, tapi geng mereka pun tidak dapat membantu mereka apabila Allah serang mereka nanti. Sebagai contoh, puak Yahudi ada bersekongkol dengan Quraisy Mekah, tapi mereka tetap kalah. Puak Kristian pula bernaung dengan kuasa Rom, tapi mereka juga tidak berjaya. Inilah yang terjadi kalau tidak bergantung dengan Allah, sebaliknya kepada manusia. Kalau manusia abaikan pergantungan dan pengharapan kepada Allah, maka Allah akan lupakan mereka dan biarkan mereka. Ketika itu, siapa lagi yang membantunya?

Di akhirat nanti tidak akan ada pembantu untuk mereka. Puak Yahudi sangka mereka itu orang kesayangan Tuhan, tapi tidak sama sekali! Mereka akan diazab! Allah takkan bantu mereka di akhirat kelak. Dan orang Kristian pula sangka yang Nabi Isa yang mereka puja dan sembah itu akan membantu mereka. Tapi Allah jawab jangan harap. Mereka tidak akan sebarang penolong. Kalimah مِن ditambah sebagai penekanan yang mereka tidak akan satu penolong pun.

Ringkasnya, bagi mereka yang melakukan 3 jenis dosa: kufur – membunuh para Nabi – membunuh orang yang melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, Allah janjikan kepada mereka 3 jenis ancaman. Kerana dosa mereka ada 3 jenis, maka ancaman kepada mereka juga ada 3 jenis:

1. Azab yang pedih (عَذابٍ أَليمٍ)
2. Hilang terus punca yang boleh mendatangkan manfaat kepada mereka (حَبِطَت أَعمٰلُهُم)
3. Azab itu akan kekal dengan tiada sesiapa pun boleh menolong dan menyelamatkan mereka (وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ)


 

MENOLAK KEPUTUSAN ALLAH

Ali Imran Ayat 23: Ini adalah ayat teguran kepada Ahli Kitab. Mereka sudah ada kitab wahyu di tangan mereka, tapi perangai mereka tidak seperti yang sepatutnya. Sepatutnya apabila sudah ada kitab wahyu di tangan, maka kitab itu hendaklah menjadi panduan kepada mereka. Tapi itu tidak terjadi.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ يُدعَونَ إِلىٰ كِتٰبِ اللَّهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم وَهُم مُّعرِضونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Do you not consider, [O Muhammad], those who were given a portion of the Scripture? They are invited to the Scripture of Allah that it should arbitrate between them; then a party of them turns away, and they are refusing.

MALAY
Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ

Tidakkah engkau memikirkan terhadap sikap orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab,

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Ahli Kitab yang diberi sedikit sebanyak maklumat tentang wahyu Allah. Mereka sudah ada Kitab Taurat dan mereka tahu serba sedikit ilmu darinya.

Perkataan نَصيبًا (sebahagian) bermaksud bahagian yang boleh diambil manfaat darinya. Memang ada banyak pengajaran di dalam Kitab Taurat itu Allah memberi isyarat dalam ayat ini yang mereka telah diberikan nikmat yang amat besar.

Atau, ia memang bermaksud ‘sebahagian’ dari kandungan kitab Taurat itu kerana ada bahagian yang telah hilang, atau telah disembunyikan. Jadi mereka hanya dapat lihat sebahagian sahaja dari kitab Taurat itu.

 

يُدعَونَ إِلىٰ كِتٰبِ اللَّهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم

mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim di antara mereka. 

Patutnya apabila mereka sudah tahu serba sedikit tentang kitab, maka lembut sikitlah hati mereka untuk menerima kebenaran sepatutnya. Patutnya apabila mereka diajak untuk belajar kitab Al-Qur’an pula, biar sempurna ilmu mereka dan supaya hukum agama tertegak, mereka ikutlah. Merekalah yang sepatutnya beriya-iya untuk belajar dan belajar sampai habis.

Mereka sepatutnya menggunakan kitab itu untuk berhukum sesama mereka supaya menegakkan keadilan. Sekali lagi tentang keadilan disebut.

 

ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم وَهُم مُّعرِضونَ

satu puak dari mereka berpaling ingkar terus menerus menolak

Tapi ada yang degil berpaling. Kalimah فَريقٌ bermaksud ada puak yang buat pecahan yang baru dan buat kumpulan baru. Kalau dalam parti politik, ini mereka yang buat parti serpihan.

Mereka terus menerus degil tak mahu ikut seluruh syariat. Mereka tahu tapi tak mahu ikut (hanya kerana degil sahaja). Ini sama seperti orang kita yang sudah tahu tentang kepentingan Al-Qur’an. Dan memang mereka sayang pun kepada Al-Qur’an dan kerana itu mereka selalu baca setiap hari, mahal ada yang hafal pun.

Tapi malangnya mereka tidak jadikan Al-Qur’an sebagai sumber hukum dalam kehidupan mereka. Kalau kita beritahu yang perbuatan mereka berlawanan dengan Al-Qur’an, mereka  tidak terima. Ini kerana mereka hanya baca sahaja Al-Qur’an itu, tidak memahaminya.


 

Ali Imran Ayat 24: Allah beritahu kenapa mereka berdegil tidak mahu terima kebenaran yang telah disampaikan kepada mereka. Inilah punca kenapa golongan ahli kitab itu berani menolak kebenaran. .

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ ۖ وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ

SAHIH INTERNATIONAL
That is because they say, “Never will the Fire touch us except for [a few] numbered days,” and [because] they were deluded in their religion by what they were inventing.

MALAY
Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”. Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ

Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”.

Ini akidah Puak Yahudi dan Nasara. Mereka sangka (perasan) yang mereka akan masuk neraka paling lama pun selama 40 hari sahaja. Sebab itu mereka berani buat apa sahaja kerana mereka sangka mereka kalau masuk neraka pun tidak lama.

Oleh kerana ada akidah ini, jadi mereka sampaikan tidak takut menipu dalam hal agama. Mereka tahu ada neraka, tahu mereka mungkin akan masuk tapi mereka sangka kalau masuk pun sekejap sahaja. Kerana mereka sangka mereka itu umat terpilih. Macam ayah, takkan nak hendak hukum lama sangat anak kesayangan dia, bukan?

Dalam ayat ini digunakan lafaz مَعدوداتٍ. Ianya bermaksud jumlah yang banyak tapi tidak banyak sangat. Ini adalah salah satu dari ilmu nahwu bahasa Arab. Dalam Surah Baqarah, dalam ayat 80, digunakan lafaz مَعدودَةً. Oleh kerana kalimah yang digunakan berlainan, ia bermaksud jumlah yang lebih banyak.

Oleh itu, مَعدوداتٍ adalah bilangan yang kurang daripada مَعدودَةً. Kenapa digunakan kalimah yang berbeza (tapi bila diterjemahkan sama sahaja)? Ini adalah kerana dalam Surah Ali Imran ini, tidak banyak diberitahu dosa-dosa mereka. Sedangkan dalam Surah Baqarah, lafaz مَعدودَةً itu keluar selepas banyak dosa-dosa puak Yahudi disebut.

 

وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ

Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

Mereka diperdaya oleh fahaman sesat mereka. Mereka sendiri yang reka fahaman sesat itu. Pendeta dan ulama’ agama mereka telah memutar-belit agama dan mereka terus percaya (tanpa usul periksa lagi). Mereka tidak periksa sama sekali sama ada yang disampaikan itu ada dalil atau tidak. Ini macam masyarakat kita juga, kalau ustaz cakap begini dan begitu, masyarakat yang jahil akan terima bulat-bulat sahaja. Macam mereka tidak ada akal untuk periksa sendiri.

Begitulah akidah sesat golongan ahli kitab. Padahal tiada dalil sahih yang kata mereka akan kena azab sekejap sahaja. Inilah bahaya propaganda. Mungkin pada mulanya ada yang cakap satu idea yang tiada asas. Tapi apabila sudah ramai yang terima, ramai yang cakap benda yang sama, ia sudah jadi macam fakta, padahal asalnya tidak.

Masyarakat kita pun ada fahaman sesat ini. Mereka kata “kalau masuk neraka, orang Muslim akhirnya akan masuk syurga juga, bukan?” Tentu anda pernah dengar kata-kata sebegini. Maka fahaman itu menyebabkan ramai Muslim yang rasa selamba sahaja, macam tak takut kalau buat dosa. Yakin benar mereka yang mereka akan masuk sekejap sahaja dan akhirnya akan masuk syurga akhirnya.

Siapa yang ada bagi janji kepada mereka, begitu? Apa mereka sangka neraka itu macam kena tahan di penjara dunia sahajakah? Amat malang sekali kepada mereka yang ada fahaman sebegitu.


 

Ali Imran Ayat 25:

فَكَيفَ إِذا جَمَعنٰهُم لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
So how will it be when We assemble them for a Day about which there is no doubt? And each soul will be compensated [in full for] what it earned, and they will not be wronged.

MALAY
Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang dia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

 

فَكَيفَ إِذا جَمَعنٰهُم لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ

Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; 

Bagaimana agaknya mereka pada Hari Kiamat itu? Bahasa yang digunakan menunjukkan ketakjuban. Hari itu pasti datang dan mereka akan mendapat balasan mereka. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan mereka lalui nanti. Tidakkah mereka pernah terfikir? Tidakkah mereka takut?

Maka kita pun kena ingat selalu perkara ini. Kena kenang apalah balasan untuk kita di akhirat kelak. Jangan fikir hal dunia sahaja tapi fikirkan juga hal-hal akhirat yang pasti datang. Mahu fikir atau tidak, ia tetap datang (kerana ia tidak syak lagi, pasti akan datang).

 

وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت

dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan,

Manusia akan dapat balasan yang setimpal dengan apa yang dilakukannya di dunia. Kalau dia pernah melakukan kesalahan akidah sesat, maka dia akan kekal dalam neraka (bukan sementara sahaja).

Apa sahaja yang Allah lakukan, ianya pasti adil. Apa sahaja balasan yang Allah berikan, memang ia patut diberikan kepada orang yang menerimanya.

Ayat ini juga dalil bahawa kita hanya mendapat hasil dari usaha kita sahaja. Maka, kalau sedekah atau hadiah pahala tidak sampai. Maka jangan berharap subsidi pahala dari anak beranak. Kena usahakan sendiri.

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

Mereka tidak akan diberikan azab melainkan apa yang mereka buat sahaja. Tidaklah macam di dunia, kadang-kadang mahkamah kenakan hukuman kepada orang yang tidak bersalah. Allah tidak zalim dan tidak pernah tersilap. Apa-apa sahaja yang Allah lakukan, tidak pernah dan tidak akan zalim.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Ogos 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Ali Imran Ayat 22 – 25 (Cintailah Allah, Ikutilah Rasul)”

  1. Nota tambahan: ada puak-puak tertentu yang mengajar untuk mengamalkan ayat ini sebagai ‘Ayat Pengasih’. Kononnya kalau dibaca, akan menyebab kita dikasihi. Sebagai contoh, Darul Syifa’ ada mengajar untuk baca ayat ini selepas setiap kali solat lima waktu.

    Ini adalah amalan yang bid’ah dan karut. Ia adalah penyalahgunaan ayat Al-Qur’an. Begitulah kalau tidak belajar tafsir, ramai yang akan menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat. Mereka jadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai sihir untuk mendapatkan sesuatu. Ini hanya dilakukan oleh orang-orang yang jahil sahaja.
    Ayat diatas ni ada contohke ayat pengasih berkenaan

    Like

Leave a comment