Tafsir Surah Ali Imran Ayat 8 – 9 (Doa tetapkan hati)

Ali Imran Ayat 8: Ini adalah sifat kedua mereka yang berilmu tadi. Allah ﷻ sekarang menyebut tentang doa mereka. Doa ini banyak sekali dibaca oleh masyarakat kita. Mari sekarang kita lihat apakah tafsir bagi ayat (doa) ini.

Yang menarik tentang Surah Ali Imran ini, ia bukan sahaja mengajar kita cara berdoa, akan tetapi ada lafaz-lafaz doa yang kita boleh terus amalkan dalam kehidupan kita kerana ia doa-doa yang amat bagus sekali.

رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

SAHIH INTERNATIONAL
[Who say], “Our Lord, let not our hearts deviate after You have guided us and grant us from Yourself mercy. Indeed, You are the Bestower.

MALAY
(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

 

رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,

Ini adalah sambungan dari penerangan tentang golongan ٱلرّٰسِخُونَ di dalam ayat sebelum ini. Ini adalah doa mereka. Di dalam Ayat 7, yang condong kepada kesesatan itu adalah في قُلوبِهِم زَيغٌ maka sekarang doanya adalah لا تُزِغ yang diambil dari kata dasar yang sama dengan زَيغٌ. Setelah tahu tentang bahayanya jikalau terpesong kerana ayat-ayat Mutasyabihat itu, maka kita kena minta perlindungan dari Allah. Kerana yang dapat menyelamatkan kita adalah Allah sahaja. Bukannya kita boleh bergantung sangat kepada intelek kita. Setelah tahu pun, kalau Allah tidak jaga, boleh jadi sesat kita ini. Doa ini mengajar kita bergantung kepada Allah dan jangan berbangga dengan ilmu yang ada.

Yang berdoa ini siapa? Mereka itu adalah golongan ٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ. Maknanya ilmu mereka sudah mantap, iman mereka pun kuat. Tapi tetap mereka berdoa sebegini. Sepatutnya yang hatinya condong ke arah kesesatan yang patut berdoa sebegini, tapi yang mantap pula berdoa begini. Ini mengajar kita apa? Yang iman itu turun dan naik. Jangan kita sangka iman ini seketul itu sahaja dan tetap tidak berganjak. Ia boleh naik dan ia juga boleh turun. Ini adalah satu ilmu yang kita kena faham sangat. Rasulullah telah bersabda tentang iman,

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ
“Iman itu ada tujuh puluh lebih atau enam puluh lebih cabang. Yang paling utama ialah perkataan ‘La ilaha illallah’ (Tiada tuhan melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang gangguan dari jalan. Dan sifat malu itu adalah satu cabang daripada iman.”

(Sahih Bukhari No. 9 & Sahih Muslim No. 35)

Nota: Adanya istilah “paling utama” dan “paling rendah” menunjukkan iman itu mempunyai tingkatan (boleh naik dan turun).

Perhatikan doa ini terus dengan panggilan: رَبَّنا dan tidak ada pun kalimah يا yang digunakan kalau kita memanggil orang lain. Terus sahaja dibuang kalimah يا sebagai isyarat kedekatan kita dengan Allah.

Doa ini adalah tentang ketetapan hati. Kalau kita hendak bincang dan cuba hendak tahu juga perkara yang tidak perlu diketahui, lama-lama hati kita akan punah. Kerana hati kita akan terus tertanya-tanya. Maka kita minta diselamatkan hati kita dari jadi golongan yang mencari-cari takwil ayat-ayat Mutasyahibat yang disebut sebelum ini.

Mereka yang telah mendalam ilmu mereka, akan doa begini. Mereka minta supaya Allah ﷻ jangan palingkan hati mereka. Mereka minta ditetapkan hati mereka atas iman. Ini kerana Allah ﷻ boleh sahaja palingkan hati manusia kalau Dia mahu. Dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Akan tetapi jangan pula kita buat anggapan yang Allah senang-senang dan suka-suka hendak palingkan hati manusia. Allah palingkan jikalau orang itu sendiri ada masalah. Ini seperti disebut di dalam Saf:5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka apabila mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Ia mengajar kita bahawa hidayah ini bukanlah tetap. Orang yang sudah dapat hidayah, belum tentu terus mendapat hidayah. Ada orang yang boleh terpesong. Jangan sangka kita akan selamat hingga ke akhir hayat kita. Sebelum mati, boleh sahaja hati kita terpesong. Dari buat amalan ahli syurga, tiba-tiba sebelum mati, boleh sahaja buat amalan ahli neraka! Ini kita boleh belajar dari Hadis #4 Arbain Nawawiah,

فَوَ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ  الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا
Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya (suratan takdir) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu.”

(Sahih Bukhari, no. 6594 dan Muslim, no. 2643)

Mungkin juga kita sudah jelas tentang sesuatu perkara. Akan tetapi apabila kita mengkaji lebih dalam lagi, akan jumpa pula perkara lain yang membingungkan kita. Begitulah boleh terjadi apabila kita mendalami lebih dalam lagi. Jadi dari faham, boleh jadi tidak faham pula. Kerana itu di dalam ayat ini disebut: بَعدَ إِذ هَدَيتَنا (sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami). Kerana kefahaman ini kita kena ingat, ia datang dari Allah juga. Allah boleh beri, kemudian Allah boleh juga tarik. Maknanya, apa-apa pun kita kena berharap dari Allah, maka kerana itu kerana rajin berdoa supaya Allah tetapkan hati kita dalam iman, dalam ilmu yang benar.

Walaupun sudah berilmu, masalah boleh juga ada  kerana orang berilmu juga ada penyakit, iaitu mereka hendak nampak mereka tahu semua benda, malu untuk kata mereka ada benda yang mereka tidak tahu. Jadi, ada antara mereka yang cuba sedaya upaya akan cakap juga tentang perkara yang tidak perlu diketahui.

Allah ﷻ sudah kata jangan masuk bincang perkara-perkara yang samar, kalau kamu masuk juga – Allah ﷻ  boleh memalingkan hati kita. Oleh itu, kita kena doa supaya Allah ﷻ  menjaga hati kita daripada masuk membincangkan perkara-perkara sebegitu. Kita minta Allah ﷻ tetapkan hati kita.

Perhatikan di dalam doa ini mereka kata: بَعدَ إِذ هَدَيتَنا (sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami). Maknanya mereka telah beriman, mereka pun mengaku mereka telah beriman. Dan iman itu dari Allah. Pertamanya mereka mengaku yang Allah yang beri iman itu, bukannya kerana kehebatan mereka.

Keduanya, adakah mereka ini riak kerana sebut mereka ada iman? Bukankah riak kalau mengaku diri hebat? Adakah ini termasuk riak? Tidak. Ini adalah salah satu dari Tawasul yang dibenarkan. Kita ada banyak tentang kesesatan amalan Tawasul, akan tetapi bukanlah tidak sunnah amalan itu. Ada sahaja yang sunnah. Cuma malangnya masyarakat kita jahil, jadi mereka buat yang jenis sesat punya. Sedangkan ada sahaja tawasul yang Sunnah iaitu dengan nama Allah, dengan iman, dengan ibadah sendiri. Maka ini termasuk Tawasul dengan Iman.

Doa ini bertepatan dengan masalah yang disebut di dalam Ayat 7. Di dalam ayat 7, masalahnya adalah hati – في قُلوبِهِم زَيغٌ (yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan); maka doa ini mengajar kita supaya ditetapkan hati kita. Memang hati ini kita punya tapi ia di dalam kawalan Allah. Rasulullah pernah bersabda,

إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ يَقُولُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
Sesungguhnya hati setiap anak Adam itu semuanya berada di antara dua jari daripada jari-jari Ar-Rahman (Allah Yang Maha Pemurah), seperti hati yang satu. Dia membolak-balikkan (mengarahkan) hati itu mengikut kehendak-Nya. Kemudian Rasulullah ﷺ berdoa: “Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami di atas ketaatan kepada-Mu.”

(Hadis Riwayat Muslim, no. 2654)

Di dalam Ayat 7 disebut mereka telah beriman – يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِ (Mereka berkata:” Kami beriman kepadanya), maka di dalam ayat ini disambung بَعدَ إِذ هَدَيتَنا (sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami). Setelah beri iman, tetapkanlah iman kami ini ya Allah.

Satu lagi doa yang Rasulullah selalu baca adalah,

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: “يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ“، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: “نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ”
Daripada Anas RA, beliau menceritakan: Rasulullah ﷺ sentiasa (kerap kali) mengucapkan: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, kami telah beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, adakah engkau masih bimbang terhadap (iman) kami?” Baginda bersabda: “Ya, sesungguhnya hati-hati itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah, Dia membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya.”

(Hadis Riwayat Al-Tirmidhi, no. 2140. Beliau menyatakan hadis ini Hasan. Ia juga disahihkan oleh Al-Albani)

Nota: Kalau Nabi yang sudah selamat itu pun membaca doa ini, apatah lagi kita yang masih bertatih lagi ini? Jadi jangan lupa amalkan doa-doa ini ya.

Kenapa penting jaga hati? Kerana hati itulah yang penting. Kalau zahir cantik pun, masalah. Macam orang munafik, zahir mereka cantik sampai orang terpesona tengok mereka. Akan tetapi hati mereka ada masalah. Kerana itu Rasulullah ada bersabda dalam hadis yang ramai kita tahu,

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya. Dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah, ia adalah hati.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 52, dan Muslim, no. 1599)

 

وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً

dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu;

Mintalah rahmat yang khas, iaitu keyakinan kepada janji Allah ﷻ; Keyakinan kepada hukum Allah ﷻ seperti keyakinan yang ada pada Nabi dan sahabat, kemantapan iman, ketenangan batin, kemudian dalam melaksanakan ibadah, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah, dan lain-lain lagi.

Diminta rahmat itu pula dari sisi Allah. Sebenarnya, semua rahmat datang daripada Allah ﷻ, bukan? Tidak ada manusia atau makhluk lain yang boleh memberi rahmat. Jadi kenapa dimasukkan dalam ayat ini ‘Rahmat dari sisi Engkau’? Ia adalah untuk mengingatkan kita – bahawa Rahmat itu daripada Allah ﷻ sahaja, bukan daripada entiti lain.

Apabila digunakan kalimah هَب, ia bermaksud pemahaman ilmu itu adalah ‘hadiah’ dari Allah. Allah yang beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Ia bukanlah kerana kepandaian dan usaha kita. Ya kita kena usaha belajar, akan tetapi akhirnya ia adalah hadiah dari Allah. Ada orang yang Allah beri, ramai lagi Allah tidak berikan. Maka jangan kita sombong, kerana kita pandai pun kerana Allah yang beri.

Jadi ini ada doa kedua yang diajar kepada kita. Yang pertama adalah لا تُزِغ قُلوبَنا (Janganlah Engkau memesongkan hati kami) dan sekarang yang kedua adalah minta rahmat. Ini adalah susunan yang hebat dan susunan yang benar. Ini termasuk di dalam Kaedah At-Takhliyah Qabla At-Tahliyah (Pembersihan Sebelum Pengisian). Dalam kaedah mendidik jiwa dan berdoa, para ulama menyebut tentang konsep Takhliyah (mengosongkan/membuang yang buruk) mesti mendahului Tahliyah (menghias/mengisi dengan yang baik).

Analogi Mudah: Jika anda ada sebuah cawan yang kotor, anda pasti akan membasuh dan membuang kotoran itu dahulu (Takhliyah / Jangan pesongkan hati), barulah anda tuangkan susu yang bersih ke dalamnya (Tahliyah / Kurniakan rahmat). Jika susu dituang ke dalam cawan yang kotor, susu itu akan rosak. Maka, hati perlu diselamatkan dahulu daripada penyakit penyelewengan, barulah rahmat Allah yang turun itu dapat bertapak dengan subur dan bertahan lama di dalam hati. Kalau diberikan rahmat di dalam keadaan hati masih sesak, rahmat pun tidak boleh masuk.

 

إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.

Ini adalah cara untuk berdoa kepada Allah ﷻ, iaitu dengan memuji-Nya. Sama ada puji Allah ﷻ di awal doa atau di hujung doa. Jadi, ini adalah satu contoh doa yang bagus untuk dibaca oleh kita semua.

Kalimah أَنتَ (Engkau) di sini adalah nisbah kepada Allah. Ia adalah ganti nama atau dhomir. Selain dari هو dan ه, ada juga digunakan أَنتَ untuk Allah kerana kita sedang bercakap denganNya. Puak-puak sesat zikir hu, hu, hu, macam burung hantu itu, tidak mahukah pula zikir أَنتَ, أَنتَ, أَنتَ… sebab itu juga merujuk kepada Allah? Harap mereka tidak bacalah cadangan ini, sebab takut mereka amalkan pula. Puak-puak ini bukan boleh harap.

Al-Wahhab (الْوَهَّابُ) adalah salah satu daripada Asma’ul Husna (Nama-Nama Allah yang Indah). Dari segi bahasa, ia berasal daripada perkataan al-hibah (الْهِبَة) yang bermaksud pemberian atau hadiah. Istilah ini digunakan apabila pemberian tanpa mengharap kepada balasan. Macam sekarang ada banyak produk Hibah, bukan? Itu adalah pemberian tanpa balasan yang diberikan selalunya kepada ahli keluarga kita, bukan?

Secara istilah, Al-Wahhab bermaksud Yang Maha Pemberi, iaitu Allah Tuhan Yang Maha Melimpah kurnia-Nya, memberikan segala jenis nikmat dan hadiah kepada makhluk-Nya tanpa mengharapkan sebarang balasan, tanpa diminta, dan tanpa had.

Di dalam bahasa Arab, perkataan Al-Wahhab (الْوَهَّابُ) dibina di atas wazan فَعَّال. Dalam ilmu bahasa, pola ini dipanggil sebagai Sighah Al-Mubalaghah (formula penegasan/superlatif). Wazan ini membawa dua makna yang sangat besar tentang cara Allah memberi:

    • Kualiti (Pemberian yang amat besar/banyak): Allah memberi hadiah yang sangat bernilai tinggi yang tidak mampu diberikan oleh sesiapa pun (seperti hidayah, nyawa, dan ketenangan).
    • Kuantiti & Kekerapan (Memberi dan terus memberi tanpa henti): Allah bukan sahaja memberi sekali dua, tetapi Dia memberi secara berterusan sepanjang masa kepada semua makhluk-Nya serentak.

Jadi dengan menyebut nama Allah الْوَهَّابُ ini, kita mengaku dua sifat Allah ini. Kita mengaku yang Allah telah memberi banyak nikmat kepada kita. Antaranya yang berkait dengan ayat ini dan ayat sebelum ini adalah pemberian wahyu dariNya, hidayah, semua kitab-kitab wahyu, pemahaman yang benar, iman yang mantap.

Kita amat memerlukan sifat الْوَهَّابُ yang terus memberi ini kerana kita manusia yang lupa. Jadi apabila kita lupa, janganlah Allah beri sekali sahaja, berilah lagi. Betulkanlah kita apabila kita terpesong dari jalan yang benar.


 

Ali Imran Ayat 9: Selain daripada doa di atas, mereka sambung juga doa begini. Kenapa penting untuk Allah jaga hati kita? Kerana nanti akan datang hari yang kita akan dikumpulkan dan kita akan dipersoalkan dengan apa yang kita lakukan di dunia ini.

رَبَّنآ إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

SAHIH INTERNATIONAL
Our Lord, surely You will gather the people for a Day about which there is no doubt. Indeed, Allah does not fail in His promise.”

MALAY
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya”. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

 

رَبَّنا إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, pada suatu hari yang tidak ada syak padanya”.

Kita mengiyakan yang Allah ﷻ akan menghimpunkan semua makhluk-Nya termasuk manusia pada Hari Kiamat nanti. Dan hari itu tidak syak lagi akan berlaku. Ini adalah satu peringatan yang penting. Memang sentiasa sahaja Allah mengingatkan kita tentang kematian dan Hari Akhirat. Setiap muka surat Al-Qur’an akan ada peringatan ini.

Manusia berpecah belah dalam bermacam-macam fahaman, tetapi akan datang suatu masa yang semuanya akan duduk berhimpun di satu tempat menunggu pengadilan daripada Allah ﷻ. Kalau kita bijak, kita akan buat persediaan untuk hari itu kerana ia pasti datang.

Peringatan tentang Hari Kiamat ini amat berkaitan dengan topik-topik yang kita telah bahaskan sebelum ini:

1. Berkenaan ayat-ayat Mutashabihat. Banyak sangat perbezaan pendapat, nanti di akhirat nanti ia akan diselesaikan.
2. Di dalam dunia ini ada banyak perbezaan pendapat; antara agama dan malah sesama agama pun ada perbezaan pendapat. Ini pun akan diselesaikan.
3. Doa yang kita diajar di dalam ayat sebelum ini tadi menjadi lebih bermakna kerana ia menentukan sama ada kita akan selamat atau tidak di akhirat kelak.
4. Hanya Allah sahaja yang tahu hal-hal ghaib. Nanti sebahagian dari perkara ghaib itu akan dipersembahkan kepada kita dan kita akan lihat dengan mata kita sendiri.

Kita telah banyak bincangkan tentang kesamaran di dalam ayat-ayat Mutashabihat, bukan? Nanti di akhirat kelak, ayat-ayat itu akan menjadi ayat-ayat Muhkam kerana kita akan nampak dengan jelas. Tidak ada keraguan lagi dan kerana itu Allah kata: لا رَيبَ فيهِ.

Maka ini mengajar kita, bukan semua perbezaan pendapat kita dapat selesaikan di dunia ini. Pasti akan ada perbezaan pendapat yang berterusan dan tempat untuk diselesaikan nanti adalah di akhirat kelak. Bukan semua perdebatan ilmu kita kena menang. Jadi kalau kita pegang hal ini, kita tenang-tenang sahaja.

Entah apalah nasib kita di sana nanti. Kita hendaklah doa dan berharap yang ia adalah baik untuk kita. Kenalah kita berusaha bersungguh-sungguh di dunia ini supaya harapan kita itu ada asasnya kerana tidaklah boleh hanya berharap kosong sahaja, namun usaha juga kena ada.

 

إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya.

Allah ﷻ tidak akan memungkiri janjiNya. Hari kebangkitan itu pasti akan berlaku, pada waktu yang Allah ﷻ telah tentukan, dan pasti semua makhluk akan dikumpulkan di tempat yang Allah ﷻ telah tentukan.

Kita kena ingat janji Allah ﷻ untuk membalas dengan kebaikan mereka yang berbuat baik dan janji Allah ﷻ juga untuk mengazab mereka yang lalai dan ingkar. Oleh sebab kerana kita tahu Allah ﷻ  tidak mungkin mungkir janji inilah yang kita mesti memastikan yang akidah dan amalan kita sentiasa terjaga.

Penutup Perenggan Makro ini ditutup dengan penerangan lagi tentang sifat Allah. Dari mula lagi telah berbagai sifat-sifat Allah diterangkan kepada kita untuk mengenalkan kita kepadaNya. Sekarang kita diberitahu satu lagi sifatNya iaitu Dia tidak memungkiri janji. Segala janjiNya akan dipenuhi. Kalau manusia belum tentu lagi dia akan penuhi janji. Ada yang memungkiri janji, ada yang hendak penuhi tapi tak mampu. Tapi Allah, semua sekali akan dipenuhi.

Allah berjanji untuk beri hidayah, Dia telah berikan; Allah berjanji akan ada hari Kiamat, itu pasti akan berlaku; Allah berjanji akan beri balasan di akhirat, ini juga pasti berlaku; Allah berjanji untuk menjelaskan segala perkara yang diperselisihkan, ini pasti berlaku. Inilah iman yang kita kena pegang. Di dalam dunia yang tidak ada ketentuan, tidak ada kepastian, kita boleh yakin dengan Allah. Tenanglah wahai hati dan yakinlah dengan janji Allah.

Jadi, itulah doa-doa yang dibaca oleh mereka yang rasikh ilmu mereka. Dan ini menjadi mukaddimah kepada ayat-ayat yang mendatang. Kita akan banyak bertemu kisah Ahli Kitab, tentang perang dan banyak lagi perkara. Tapi sebelum itu semua, Allah telah mengingatkan kita kepadaNya dahulu.

Jika kita membaca ayat ini secara literal, ia kelihatan seperti sebuah pernyataan atau berita (ayat khabariyyah), bukannya satu ayat permohonan (doa). Kalau Ayat 8 tadi memang jelas ia dalam bentuk doa, tapi bagaimanakah Ayat 9 ini berfungsi sebagai doa? Di sinilah indahnya ilmu tafsir dan balaghah (sastera Arab). Di dalam kaedah bahasa, apabila seseorang menyebut tentang kedahsyatan Hari Kiamat di dalam konteks berdoa meminta ketetapan iman, ia membawa makna tasyawwuk (harapan yang memuncak) dan tawassul (berwasilah) dengan nama-nama Allah. Secara tersirat, ia bermaksud: “Ya Allah, memandangkan Engkau pasti akan mengumpulkan kami semua pada hari pembalasan nanti (di mana orang yang sesat hatinya akan celaka), maka selamatkanlah kami pada hari tersebut dan tetapkanlah iman kami.”

Lagi satu, di dalam balaghah Al-Qur’an, terdapat satu uslub (gaya bahasa) di mana Allah mengajar kita berdoa bukan dengan ayat perintah (seperti: “Ya Allah, ampunkanlah”), tetapi dengan memuji Allah atau mengakui keesaan-Nya.Contoh mudah dalam kehidupan harian kita: Jika seorang anak berkata kepada ayahnya: “Ayah, saya tahu ayah seorang yang sangat pemurah dan selalu tepati janji nak belikan saya basikal…”

Secara literal, anak itu sedang memuji ayahnya. Namun, si ayah tahu maksud sebenar di sebalik ayat itu ialah: “Ayah, tolonglah belikan saya basikal sekarang.” Sama juga dengan ayat 9 ini. Apabila hamba-Nya menyebut: “Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang mengumpulkan manusia… Engkau tidak pernah mungkir janji,” ia adalah pujian tertinggi yang mengandungi harapan agar Allah mengurniakan pengakhiran yang baik (husnul khatimah) dan menggolongkan mereka dalam kalangan orang yang selamat di akhirat kelak.

Sekian Ruku’ 1 dari 20 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment