Tafsir Surah Baqarah Ayat 260 (Kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan burung)

NABI IBRAHIM عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ BERTANYA TENTANG CARA KEBANGKITAN SEMULA

Baqarah Ayat 260: Sebelum ini telah disebut ayat-ayat tentang Tauhid. Bagi mereka yang sudah ada akidah tauhid, Allah ‎ﷻ akan ajar mereka untuk menguatkan akidah dengan berbagai-bagai cara supaya mereka semakin beriman dan semakin kukuh iman.

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي ۖ قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِّنَ الطَّيرِ فَصُرهُنَّ إِلَيكَ ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا ۚ وَاعلَم أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
And [mention] when Abraham said, “My Lord, show me how You give life to the dead.” [ Allah ] said, “Have you not believed?” He said, “Yes, but [I ask] only that my heart may be satisfied.” [ Allah ] said, “Take four birds and commit them to yourself. Then [after slaughtering them] put on each hill a portion of them; then call them – they will come [flying] to you in haste. And know that Allah is Exalted in Might and Wise.”

MALAY
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman: “(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?”

Sekarang Allah ‎ﷻ sampaikan kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada kita. Kalimah إِذ itu mengikut kata ulama’ adalah ringkasan kepada kalimah أذكر (ingatlah). Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak kita ambil peringatan dan pengajaran daripada kisah ini. Tambahan pula Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah salah seorang Nabi yang paling mulia, sampaikan nama baginda dimasukkan di dalam Selawat (Selawat Ibrahimiyyah).

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

“Ya Allah, berikanlah rahmat (selawat) kepada Nabi Muhammad dan kepada keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan rahmat kepada Nabi Ibrahim dan kepada keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada Nabi Muhammad dan kepada keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan keberkatan kepada Nabi Ibrahim dan kepada keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

Cuma kali ini kita perhatikan di dalam ayat ini disebut dengan jelas nama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; sedangkan di dalam ayat kisah sebelum ini tidak disebut pun nama pelakon itu. Ulama’ mengatakan Allah ‎ﷻ memasukkan nama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda meminta dengan beradab dengan menyebut nama Allah رَبِّ أَرِني (“Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku”), sedangkan individu sebelum ini tidak buat begitu. Beliau hanya berkata: أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها (“Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya?”). Apabila Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut رَبِّ, itu adalah cara bertawasul yang benar kerana menggunakan nama Allah yang sesuai di dalam doa. Oleh kerana رَبِّ itu bermaksud Tuhan yang mencipta dan memelihara, maka ia amat sesuai sekali di dalam doa ini.

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta ditunjukkan cara Allah ﷻ menghidupkan makhluk yang telah mati. Permintaan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah kerana baginda hendak melihat bagaimana cara Allah ‎ﷻ menghidupkan makhluk yang telah mati. Baginda hanya hendak tahu cara sahaja, kerana Nabi Ibrahim  عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentunya sudah yakin yang Allah ﷻ berkuasa penuh untuk menghidupkan makhluk yang telah mati.

 

قالَ أَوَلَم تُؤمِن

Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya?

Allah ‎ﷻ tanya itu sebagai pengukuhan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yakin, cuma hendak tahu sahaja. Dengan pertanyaan Allah ‎ﷻ ini, dan jawapan yang diberikan oleh baginda, tahulah kita yang baginda hendak tahu sahaja dan supaya mengukuhkan iman baginda.

 

قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي

Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi supaya tenteram hatiku

Kalimah بَلىٰ boleh diterjemahkan dengan dua cara:

1. Bahkan. Iaitu penegasan bahawa baginda sudah percaya. Cuma baginda hendak tengok dengan mata sahaja.
2. Dengan maksud لا iaitu ‘tidaklah aku tidak percaya’.

Kalimah يَطمَٮِٕنَّ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘memuaskan’. Ia daripada kata dasar: ط م ن yang bermaksud senyap, tenang, memuaskan, pujuk, menenangkan. Kalimah tumakninah di dalam solat itu daripada kata dasar inilah; kena ada ketenangan dalam solat, jangan kelam kabut, bergerak satu-satu pergerakan dan jangan terus terkam kepada rukun yang seterusnya.

Jadi dari sini kita dapat tahu bahawa tujuan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertanya itu adalah supaya tenang dan teguh hati baginda dengan melihat cara dihidupkan makhluk yang telah mati. Baginda hendak melihat cara Allah ‎ﷻ menghidupkan, bukannya baginda tidak percaya Allah ‎ﷻ boleh menghidupkan yang telah mati. Baginda hendak menambah keyakinan baginda daripada tahap ilmul yaqin (percaya atas dasar ilmu) kepada ainul yaqin (percaya atas dasar melihat sendiri). Baginda hendak naik taraf keimanan baginda supaya lebih bertambah yakin.

Perhatikan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa kepada Allah ‎ﷻ bukan minta harta, bukan minta panjang umur tetapi minta dikuatkan iman baginda. Kalau kita, bagaimana? Maka ini mengingatkan kita jangan lupa minta supaya iman kita dijaga dan ditingkatkan.

Oleh itu, dari sini kita dapat tahu yang ‘yakin’ dan ‘teguh hati’ adalah dua perkara berbeza. Kita boleh dapat keteguhan itu dengan bermacam-macam cara. Kadang-kadang kita dapat sesuatu maklumat dalam mimpi. Kadang-kadang dengan kejadian yang terjadi kepada orang lain. Atau kadang-kadang selepas kita mendengar ceramah atau buku yang menyentuh hati kita. Ada yang mendapatnya setelah belajar tafsir Al-Qur’an kerana dengan faham lebih mendalam, dapat meneguhkan iman seseorang juga.

Ini juga menyentuh satu kepercayaan asas (akidah) Ahlus Sunnah wal Jamaah bahawa iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang. Ini adalah pandangan majoriti ulama salaf dan khalaf (generasi awal dan kemudian) dari Ahlus Sunnah wal Jamaah. Banyak ayat Al-Qur’an yang secara jelas menunjukkan bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurang:

1. Fath: 4

لِّيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَّعَ إِيمَانِهِمْ
“Agar iman mereka bertambah di samping iman mereka (yang sedia ada).”

2. Tawbah: 124

وَإِذَا مَا أُنزِلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُم مَّن يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَٰذِهِ إِيمَانًا ۚ فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ
“Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, ‘Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?’ Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman kepada mereka, dan mereka bergembira.”

3. Anfal: 2 

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.”

Ada banyak hadith yang mengajar kita tentang cara meningkatkan iman. Ini bermakna iman itu boleh bertambah dengan ilmu dan amal. Ia juga bermaksud jikalau kita tidak menjaga iman kita, ia akan berkurang. Kerana itulah kadang-kadang kita rasa tidak beriman, bukan? Kalau sudah lama tidak pergi ke kelas pengajian, sudah lama tidak membaca Al-Qur’an, sudah lama tidak bersama dengan kawan-kawan sepengajian, sudah banyak buat benda-bena lagha.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ بَابًا فَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَأَرْفَعُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ »
Daripada Abu Hurairah  رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Iman itu ada tujuh puluh sekian pintu. Yang paling rendah daripada iman adalah menyingkirkan gangguan dari jalanan. Yang paling tinggi adalah kalimat laa ilaha illallah.”
(HR. Muslim No. 35 dan Tirmidzi No. 2614)

Syarah: Hadith ini menjadi dalil kerana dinyatakan dalam hadith ini bahawa iman itu ada yang rendah dan ada yang tinggi menunjukkan bahawa iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang.

عَنْ حَنْظَلَةَ الأُسَيِّدِىِّ قَالَ – وَكَانَ مِنْ كُتَّابِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ – لَقِيَنِى أَبُو بَكْرٍ فَقَالَ كَيْفَ أَنْتَ يَا حَنْظَلَةُ قَالَ قُلْتُ نَافَقَ حَنْظَلَةُ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ مَا تَقُولُ قَالَ قُلْتُ نَكُونُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُذَكِّرُنَا بِالنَّارِ وَالْجَنَّةِ حَتَّى كَأَنَّا رَأْىَ عَيْنٍ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَافَسْنَا الأَزْوَاجَ وَالأَوْلاَدَ وَالضَّيْعَاتِ فَنَسِينَا كَثِيرًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ فَوَاللَّهِ إِنَّا لَنَلْقَى مِثْلَ هَذَا. فَانْطَلَقْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ حَتَّى دَخَلْنَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قُلْتُ نَافَقَ حَنْظَلَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « وَمَا ذَاكَ ». قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ نَكُونُ عِنْدَكَ تُذَكِّرُنَا بِالنَّارِ وَالْجَنَّةِ حَتَّى كَأَنَّا رَأْىَ عَيْنٍ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِكَ عَافَسْنَا الأَزْوَاجَ وَالأَوْلاَدَ وَالضَّيْعَاتِ نَسِينَا كَثِيرًا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِى وَفِى الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِى طُرُقِكُمْ وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً ». ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Daripada Hanzholah Al-Usayyidiy -beliau adalah di antara juru tulis Rasulullah ﷺ-, dia berkata, “Abu Bakr pernah menemuiku, lalu dia berkata padaku, “Bagaimana keadaanmu wahai Hanzhalah?” Aku menjawab, “Hanzhalah kini telah jadi munafik.” Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Subhanallah, apa yang engkau katakan?” Aku menjawab, “Kami jika berada di sisi Rasulullah ﷺ, kami teringat neraka dan syurga sampai-sampai kami seperti melihatnya di hadapan kami. Namun ketika kami keluar dari majlis Rasul ﷺ dan kami bergaul dengan isteri dan anak-anak kami, sibuk dengan berbagai urusan, kami pun jadi banyak lupa.” Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun menjawab, “Kami pun begitu.” Kemudian aku dan Abu Bakr pergi menghadap Rasulullah ﷺ lalu aku berkata, “Wahai Rasulullah, jika kami berada di sisimu, kami akan selalu teringat pada neraka dan syurga sampai-sampai seolah-olah syurga dan neraka itu benar-benar nyata di depan kami. Namun jika kami meninggalkan majlismu, maka kami tersibukkan dengan isteri, anak dan pekerjaan kami, sehingga kami pun banyak lupa.” Rasulullah ﷺ lalu bersabda, “Demi Rabb yang jiwaku berada di tangan-Nya. Seandainya kalian berterusan dalam beramal sebagaimana keadaan kalian ketika berada di sisiku dan kalian terus mengingat-ingatnya, maka nescaya para malaikat akan menjabat tangan kalian di tempat tidur dan di jalan kalian. Namun Hanzhalah, lakukanlah sesaat demi sesaat.” Baginda mengulanginya sampai tiga kali.
(HR. Muslim No. 2750)

Maka cukuplah dua hadith ini sahaja menjadi dalil bagi kita faham bahawa iman itu bertambah dan kalau ia boleh bertambah, ia juga boleh berkurang. Maka setelah kita tahu tentang hal ini, maka tugas kita adalah meningkat iman kita seboleh mungkin dengan berbagai-bagai cara yang kita mampu. Jangan kita biarkan sahaja iman kita ini dan berharap ia semakin bertambah dan bertambah. Kerana entah ia semakin berkurangan pula. Jangan kita lupa yang syaitan boleh menimbulkan keraguan di dalam hati kita dari masa ke semasa seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَأْتِي الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ كَذَا؟ مَنْ خَلَقَ كَذَا؟ حَتَّى يَقُولَ: مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ؟ فَإِذَا بَلَغَهُ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ»
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Syaitan akan datang kepada salah seorang di antara kamu lalu bertanya: ‘Siapa yang menciptakan ini? Siapa yang menciptakan itu?’ Sehingga dia (syaitan) bertanya: ‘Siapa yang menciptakan Tuhanmu?’ Maka, apabila sampai kepadanya (bisikan) itu, hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah (berta’awwuz) dan menghentikannya (bisikan itu).”
(Sahih Bukhari No. 3276 dan Sahih Muslim No. 134)

Maka tersangat baik kalau kita boleh berikan keyakinan kepada hati kita supaya tidak senang digoyah syaitan. Kita boleh lihat usaha Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam ayat ini bagaimana baginda berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk meningkatkan iman baginda. Maka selain dari usaha kita, kita juga hendaklah berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk meningkatkan iman kita, contohnya,

اللَّهُمَّ زِدْنَا إِيمَانًا وَيَقِينًا وَتَسْلِيمًا
“Ya Allah, tambahkanlah kepada kami iman, keyakinan, dan ketundukan (kepada-Mu).”

Juga ada doa yang sering dibaca oleh Nabi Muhammad ﷺ, memohon agar hati dan iman sentiasa ditetapkan di atas agama-Nya.

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: «يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ»
“Wahai Tuhan Yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
Riwayat Tirmidzi (No. 2140) dan Imam Ahmad. Hadith ini sahih.

Atau pun satu lagi doa,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakqwaan, kesucian diri, dan kekayaan (hati/jiwa).”
(Riwayat Muslim No. 2721)

Bermacam-macam cara Allah ‎ﷻ boleh berikan keteguhan hati kepada manusia. Akan tetapi kepada para Nabi, mereka ditunjukkan dengan perkara-perkara ajaib seperti yang kita akan baca sebentar lagi. Ini kerana kedudukan mereka lain daripada kita dan mereka memerlukan keteguhan hati yang lebih lagi kerana mereka berhadapan dengan tentangan yang amat besar daripada kaum mereka.

Di sini kita belajar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri hendak mendapatkan ketenangan hati dan keyakinan. Maka ini mengajar kita pun hendaklah mendapatkan perkara yang sama juga. Kerana itu apabila para pelajar dan orang awam minta dalil, ia untuk menenangkan hati mereka. Maka sebagai guru dan ustaz, berilah kepada mereka. Malangnya ramai ustaz tidak beri dalil kerana mereka sendiri pun tidak ada dalil! Jangan kita menolak keinginan manusia yang perlukan dalil kerana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun berpendapat mereka memerlukan dalil untuk menguatkan iman mereka,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْنُ أَحَقُّ بِالشَّكِّ مِنْ إِبْرَاهِيمَ إِذْ قَالَ { رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِنْ قَالَ بَلَى وَلَكِنْ لِيَطْمَئِنَّ قَلْبِي }
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda:: “Kita lebih berhak untuk ragu daripada Ibrahim ‘عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika dia berkata; “Wahai Tuhanku perlihatkanlah kepada saya bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang yang telah mati, “Allah berfirman: “Apakah kamu tidak beriman?” Ibrahim berkata; “Tentu aku telah beriman, hanya agar hatiku lebih mantap.”
(Sahih Bukhari No. 4173)

 

قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِّنَ الطَّيرِ

Allah berfirman: “Ambillah empat ekor burung, 

Kenapa burung dan kenapa empat? Tidak perlu kita sibuk kerana kita tidak tahu apakah hikmahnya penentuan Allah ‎ﷻ ini. Ini boleh jadi apa-apa jenis burung sahaja. Jenis burung itu tidak penting. Tidak perlu dicari apakah jenis-jenis burung itu. Walaupun memang ada disebut dalam kitab-kitab tafsir, tetapi kita tidak ulangkan di sini kerana ia maklumat yang tidak penting.

 

فَصُرهُنَّ إِلَيكَ

kemudian jinakkanlah kepadamu

Kalimah صُر adalah di dalam bentuk fi’il amr (arahan). Ia daripada kata dasar ص ر ر yang bermaksud mengumpulkan, mengikat, mencondongkan (hati atau perhatian), menjinakkan. Ada dua terjemah/tafsiran kepada maksud mengumpulkan, mengikat, mencondongkan (hati atau perhatian), menjinakkan. di dalam ayat ini yang menjadi khilaf di kalangan ulama’:

1. Menjinakkan / Mengumpulkan / Melatih (أملهنَّ / أجمعهنَّ / دربهنَّ). Pelihara burung-burung itu sampai mereka jinak. Maka Nabi Ibrahim  عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kena beri makan sampai jinak. Ini kerana apabila kita beri binatang seperti burung makan, burung-burung itu akan jinak dengan kita. Kemudian selepas itu kalau dipanggil mereka akan datang. Maka Allah ‎ﷻ suruh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jinakkan burung-burung itu kepada baginda kerana nanti baginda kena panggil mereka.

2. Memotong / Membelah / Mencincang (قطّعهنَّ / شقّقهنَّ). Iaitu Allah ‎ﷻ suruh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cincang burung-burung itu, gaulkan sekali menjadi satu gumpalan. Tafsiran ini didasarkan pada konteks ayat selepasnya yang menyebut tentang “meletakkan di atas tiap-tiap bukit satu bahagian daripada bahagian-bahagian burung itu.” Untuk meletakkan bahagian-bahagian, burung itu mestilah telah dipotong. Namun, tafsiran ini seringkali dianggap kurang tepat oleh sebahagian ulama kerana ia menimbulkan persoalan mengapa Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan yang boleh ditafsirkan sebagai “menjinakkan” jika maksudnya adalah memotong. Untuk memotong, ada perkataan lain yang lebih jelas dalam bahasa Arab. Tambahan pula, tujuan utama demonstrasi ini adalah untuk menunjukkan bagaimana Allah ‎ﷻ menghidupkan makhluk setelah mereka mati dan tercerai-berai, bukan sekadar memotong.

Majoriti ulama tafsir cenderung kepada tafsiran “menjinakkan / mengumpulkan / melatih.” Mereka berpendapat bahawa perintah “فَصُرهُنَّ إِلَيكَ” bermaksud “kumpulkan dan jinakkanlah ia (burung-burung itu) kepadamu”. Ini adalah langkah pertama untuk memastikan burung-burung itu akan kembali apabila dipanggil selepas proses pemotongan dan penyebaran. Pemotongan burung itu difahami daripada ayat selepasnya (“ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا” – kemudian letakkanlah di atas tiap-tiap bukit satu bahagian daripada bahagian-bahagian burung itu), bukan daripada kalimah “فَصُرهُنَّ” secara langsung.

 

ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا

Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. 

Setelah digaul sekali, pecahkan kepada empat bahagian dan letak setiap satu di empat-empat bukit itu. Tidaklah disebut empat bukit, tetapi kita boleh agak kerana ada empat jenis burung. Maknanya di dalam satu bahagian itu ada lebih daripada satu bahagian burung kerana sudah bercampur-campur tubuh badan mereka.

 

ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا

Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”.

Burung-burung itu akan dihidupkan semula oleh Allah ‎ﷻ dan akan datang kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan segera setelah dipanggil oleh baginda. Oleh kerana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah menjinakkan burung-burung itu kepada baginda, maka apabila dipanggil, mereka akan datang. Bahagian yang telah dicincang potong itu semua akan bergabung kembali dengan sempurna dan menjadi burung kembali. Begitulah mudahnya bagi Allah ‎ﷻ untuk menghidupkan kembali makhluk yang telah mati. Ini juga menjadi isyarat bahawa nanti apabila Allah ‎ﷻ memanggil semua makhluk ciptaan-Nya, tidak kira mereka di mana, tubuh entah macam mana, bila dipanggil ia akan datang.

Cuma, ulama’ tafsir berbincang pula penggunaan kalimah سَعيًا di sini. Kalimah سَعْيًا berasal daripada akar kata سعى (sa’ā) yang bermaksud berusaha, berlari, berjalan pantas, atau bergerak dengan cepat. Ia adalah bentuk masdar (kata nama perbuatan) daripada kata kerja tersebut. Dalam konteks ini, ulama tafsir mempunyai dua pandangan utama:

1. Berjalan / Berlari dengan Cepat:

    • Ini adalah tafsiran yang paling umum dan banyak dipegang. Ia bermaksud burung-burung itu datang kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan berlari atau berjalan pantas di atas tanah, bukan terbang.
    • Hujah: Hikmah di sebalik ini adalah untuk menunjukkan mukjizat yang lebih jelas dan menakjubkan. Jika burung-burung itu datang dengan terbang, ia mungkin boleh disalah anggap sebagai burung-burung lain yang kebetulan terbang di situ. Tetapi jika ia datang dengan berjalan atau berlari di atas tanah, ia menunjukkan kebangkitan yang nyata daripada bahagian-bahagian yang telah disebarkan. Ia juga mengesahkan bahawa badan mereka telah bersatu kembali secara fizikal.

2. Bergerak Cepat / Tergesa-gesa (termasuk terbang):

    • Ada juga pandangan yang menyatakan bahawa سَعْيًا boleh membawa makna yang lebih umum, iaitu bergerak atau datang dengan cepat dan tergesa-gesa, tidak semestinya hanya berjalan atau berlari. Ia boleh juga merangkumi makna terbang dengan pantas.
    • Hujah: Kalimah سَعْيًا kadang-kadang digunakan dalam bahasa Arab untuk pergerakan yang cepat secara umum.

Walaupun ada dua pandangan, tafsiran bahawa burung-burung itu datang dengan berjalan atau berlari pantas di atas tanah adalah yang lebih kuat dan masyhur di kalangan ahli tafsir.

    • Imam Ibnu Katsir رَحِمَهُ اللَّهُ dalam tafsirnya menjelaskan bahawa burung-burung itu datang kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjalan pantas tanpa terbang, sebagai suatu mukjizat yang lebih jelas.
    • Ini juga lebih menakjubkan bagi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri, yang meminta bukti bagaimana Allah ‎ﷻ menghidupkan yang mati. Melihat tulang-tulang dan daging yang bersatu dan berjalan di tanah adalah demonstrasi yang lebih visual dan luar biasa berbanding sekadar terbang.

Jadi, kebanyakan ulama menafsirkan يَأتينَكَ سَعيًا sebagai burung-burung itu akan datang kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan berjalan pantas atau berlari, menunjukkan kekuasaan Allah ‎ﷻ dalam menghidupkan kembali makhluk dan menyatukan bahagian-bahagiannya.

 

وَاعلَم أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Maka sekarang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh nampak sendiri dengan mata baginda bagaimana Allah ‎ﷻ memang mampu untuk menghidupkan makhluk yang telah mati. Walaupun telah dihancurkan, namun mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ hendak menghidupkan kembali makhluk itu kembali seperti asal.

Sifat عَزيزٌ Allah ‎ﷻ ini mengajar kita yang Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri semua makhluk nampak dengan mata kepala sendiri kejadian kebangkitan setelah kematian. Akan tetapi Allah ‎ﷻ juga bersifat حَكيمٌ maka Allah ‎ﷻ tidak tunjuk kepada semua orang. Kerana Allah ‎ﷻ hendak manusia beriman tanpa melihat sendiri kejadian itu. Kerana Allah ‎ﷻ hendak kita beriman dengan kepercayaan penuh tanpa melihat dengan mata sendiri. Akan tetapi bagaimana dengan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Kedudukan baginda sebagai seorang Nabi adalah lebih daripada kita dan layak menerima layanan yang berlainan daripada Allah ‎ﷻ.

Sekian Ruku’ 35 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment