Tafsir Surah Baqarah Ayat 254 (Anjuran Infak)

INFAK DI JALAN ALLAH

Baqarah Ayat 254: Selepas sebut jihad, Allah ‎ﷻ terus sebut tentang infak, kerana infak dan jihad memang berkait rapat.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوٓا أَنفِقوا مِمّا رَزَقنٰكُم مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لّا بَيعٌ فيهِ وَلا خُلَّةٌ وَلا شَفٰعَةٌ ۗ وَالكٰفِرونَ هُمُ الظّٰلِمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
O you who have believed, spend from that which We have provided for you before there comes a Day in which there is no exchange and no friendship and no intercession. And the disbelievers – they are the wrongdoers.

MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman! 

Kalau kita rasa kita ini orang yang beriman, kita kena dengar dan amalkan ayat ini betul-betul dan kena amalkan apa yang akan disebut nanti. Ayat sebelum ini telah sebut ada golongan beriman dan ada yang tidak. Adakah cukup cakap beriman sahaja tanpa melakukan pengorbanan? Jadi di dalam ayat ini disebut pengorbanan harta.

Di dalam Surah Baqarah ini banyak mengandungi anjuran-anjuran kepada orang beriman sama ada tentang ibadah, hubungan dengan manusia seperti isteri, nikah cerai, anak yatim dan bermacam-macam lagi. Namun apakah yang boleh menghalang manusia daripada mengikut hukum hakam Allah ﷻ ini? Yang pertama adalah sayang kepada diri dan kedua, sayang kepada harta. Ada lagi perkara-perkara yang lain tetapi dua inilah yang utama dan ditangani di dalam surah ini juga.

Tentang isu sayangi diri, Allah ﷻ telah menganjurkan untuk berjihad di dalam ayat 244 وَقٰتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ. Di dalam ayat seterusnya, ayat 245, Allah ﷻ mendidik manusia untuk melakukan infak مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا. Ayat jihad itu dijelaskan lagi dengan kisah tentang Talut dan perang menentang musuh. Sekarang ayat 245 itu dijelaskan lagi di dalam ayat 254 ini.

 

أَنفِقوا مِمّا رَزَقنٰكُم

infakkanlah daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, 

Allah ﷻ menyuruh kita memberi infak sebahagian daripada rezeki kita. Kalimah مِمّا itu sebenarnya من ما yang disambungkan terus. Kalimah من (daripada) memberi isyarat sebahagian. Maknanya daripada banyak-banyak rezeki yang Allah ﷻ berikan itu, berilah sebahagian kepada yang memerlukan. Bukannya beri semua kerana Allah ﷻ tahu yang manusia ini sayangkan harta; maka yang diminta adalah beri sebahagian sahaja, bukannya semua. Kalau Allah ﷻ suruh beri semua, lagi teruklah penentangan itu.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dalam ayat ini bahawa rezeki yang kita dapat itu adalah daripada pemberian Dia juga. Apabila Allah ﷻ menggunakan istilah ‘Kami’ dalam رزقنا ia bermakna ada keterlibatan selain Allah ﷻ. Memang untuk mendapat rezeki kita pun kena ada usaha selalunya, tetapi kalau Allah ﷻ tidak berikan, kita tidak akan dapat apa-apa. Ada yang kata, Allah ‎ﷻ beri rezeki dengan banyak supaya kita boleh perbanyakkan infak. Maka jangan perasan sangat yang harta dan wang yang kita ada itu hanya untuk kita sahaja. Ada hadith tentang hal ini,

عَنْ سَعْدِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ يَكُونُ حَامِيَةَ الْقَوْمِ أَيَكُونُ سَهْمُهُ وَسَهْمُ غَيْرِهِ سَوَاءً قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا ابْنَ أُمِّ سَعْدٍ وَهَلْ تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ
Daripada Sa’d bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Aku bertanya; “Wahai Rasulullah, seorang laki-laki yang menjadi pelindung bagi suatu kaum, apakah bahagiannya sama dengan bahagian yang lainnya?” Nabi ﷺ menjawab; “Kenapa kamu ini wahai Ibnu Ummi Sa’d, tidaklah kalian diberi rezeki dan dimenangkan kecuali kerana adanya orang-orang lemah daripada kalian.”
(Sahih Bukhari No. 1411)

 

مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لّا بَيعٌ فيهِ

sebelum tibanya hari yang tidak ada jual-beli padanya,

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita untuk infak sebelum datang hari yang usaha kita tidak berguna lagi. Semasa dalam dunia, kita boleh dapat rezeki dengan usaha kita dan dengan pertolongan daripada orang lain. Maka pada waktu inilah yang kita patut infak kerana nanti bila sudah mati, tidak ada peluang lagi.

Allah ‎ﷻ mengingatkan ada banyak perkara yang kita tidak boleh buat bila kita sudah mati nanti. Semua ini adalah punca-punca untuk dapat pendapatan.

Usaha yang pertama adalah usaha jual beli – berniaga. Disebut berjual-beli di dalam ayat ini kerana berjual-beli atau pun berniaga adalah cara usaha yang paling menguntungkan sekali untuk mendapatkan harta dan punca pendapatan. Selain daripada itu termasuklah usaha lain seperti bekerja dan sebagainya.

 

وَلا خُلَّةٌ

dan tidak ada kawan

Yang kedua, kita boleh mendapat harta dan pendapatan adalah daripada orang lain iaitu kawan-kawan kita, keluarga kita. Mungkin kita ada kawan yang pemurah dan sanggup bantu dan beri wang kepada kita. Kalimah خُلَّةٌ merujuk kepada kawan  yang sangat rapat. Sebelum ini kita telah sebut penerangan istilah Khalilullah. Ia adalah jenis persahabatan yang dijalin oleh cinta dan redha yang mendalam sehingga meresap masuk ke celah-celah relung hati. Jadi kalau خُلَّةٌ itu adalah kawan yang sanggup bergolok bergadai kerana rapat sangat dengan kita dan sayang sangat dengan kita. Namun itu semasa di dunia, bukan di akhirat. Di akhirat nanti kawan pun boleh jadi lawan. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Zukhruf: 67

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
“Sahabat-sahabat karib pada hari itu (Hari Kiamat) sebahagian daripada mereka menjadi musuh kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa.”

 

وَلا شَفٰعَةٌ

serta tidak ada pula pertolongan syafaat.

Yang ketiga, adalah pertolongan daripada orang-orang yang tidak kenal kita tetapi mereka mempunyai simpati kepada kita. Selalunya kawan rapat kita yang tolong kita; namun ada kalanya, bantuan boleh datang daripada orang lain juga.

Jadi melalui ketiga-tiga cara itu bolehlah kita mendapat harta semasa di dunia. Namun Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan bahawa tiga-tiga cara ini tidak akan ada lagi di akhirat. Oleh itu hendaklah kita infak semasa di dunia ini lagi supaya ia yang menjadi bekal untuk kita di akhirat nanti.

1. Sebab di akhirat nanti, tidak ada jual beli. Memang ada yang cuba jual keluarga mereka tetapi tidak diterima nanti.

2. Di akhirat, kawan-kawan atau kenalan rapat kita langsung tidak dapat tolong kerana mereka pun ada masalah mereka sendiri.

3. Di akhirat, memang ramai yang mengharapkan syafaat nanti di akhirat. Ramai juga yang perasan mereka akan dapat syafaat. Sebagai contoh, Bani Israil sangka Nabi mereka akan menyelamatkan mereka sebab kedudukan mereka, tetapi tidak. Orang kita pun ada masalah kefahaman tentang syafaat ini, kerana mereka sangka Nabi Muhammad ﷺ tentu akan tolong, tetapi tidak semestinya. Hal syafaat ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam ayat-ayat lain.

Ketiga-tiga lafaz yang digunakan: شَفاعَةٌ, خُلَّةٌ ,بَيعٌ, digunakan dalam bentuk yang umum, maksudnya bukanlah menidakkan terus adanya jual beli, persahabatan dan syafaat. Memang ada juga, tetapi dalam bentuk-bentuk yang dibenarkan sahaja. Sebagai contoh, memang Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafaat di akhirat kelak tetapi tidaklah dalam pemahaman yang banyak difahami oleh masyarakat kita. Nanti apabila sampai ke tempatnya, kita akan berbincang bagaimana jual beli, persahabatan dan syafaat ini akan ada di akhirat kelak.

Di dalam ayat 245 sebelum ini pun ada anjuran infak. Akan tetapi ia di dalam bentuk targhib (mengajak). Jenis ini diberikan kepada orang yang berhati lembut dan mahukan balasan daripada Allah ‎ﷻ.

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً ۚ
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? 

Akan tetapi di dalam ayat 254 ini anjuran infak itu mengandungi ancaman. Kalau tidak buat, maka akan ada masalah di akhirat kelak kerana tidak ada bantuan. Yang boleh membantu adalah iman dan amal, termasuklah infak. Ancaman sebegini dinamakan Tarhib. Jadi di dalam Al-Qur’an ada targhib dan tarhib. Ini kerana watak manusia berbeza-beza. Ada yang terkesan dengan imbuhan dan ada yang hanya terkesan dengan ancaman. Kita mungkin biasa dengan istilah carrot and stick. Ada orang gerak kerana carrot dan ada orang gerak dengan stick.

Istilah ترغيب daripada رَغِبَ yang bermaksud menyenangi, menyukai, mencintai, menginginkan, mengharapkan. Jadi ترغيب bermaksud perbuatan menganjurkan, mendorong, memotivasi, memujuk, menarik perhatian, memberikan harapan atau janji baik (pahala, ganjaran). Sedangkan ترهيب dari رَهِبَ yang bermaksud takut, ngeri, gentar, merasa khuatir. Jadi ترهيب adalah perbuatan menakut-nakuti, mengancam, mengancam, memberikan peringatan keras, membangkitkan rasa takut.

 

وَالكٰفِرونَ هُمُ الظّٰلِمونَ

Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.

Orang-orang yang kufur ingkar (tidak kiralah sama ada non-Muslim atau Muslim sendiri) adalah mereka yang tidak beriman dengan Allah ‎ﷻ sepenuhnya dan perasan yang harta yang mereka ada itu adalah hak mereka dan bukan pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Jangan sangka ia sebut orang kafir sahaja kerana di pangkal ayat ia menyebut orang beriman; dan apabila hujungnya ini menyebut tentang kafir, ia merujuk kepada orang kafir yang beriman. Iaitu mereka tidak mahu beriman dengan ayat sebegini dan tidak mengeluarkan infak kerana mereka tidak percaya kepada hari akhirat.

Zalim di dalam ayat ini adalah kerana tidak infak kepada yang memerlukan. Mereka itu bukan zalim kepada orang lain (dengan tidak memberikan hak mereka) malah mereka itu zalim kepada diri sendiri kerana kesan kedekut itu akan kena kepada diri mereka juga.

Memang sifat orang kafir itu tidak mementingkan infak, sama perangai seperti Bani Israil. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Tawbah: 34

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ كَثِيرًا مِّنَ الْأَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۗ وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya kebanyakan daripada pendeta-pendeta Yahudi dan rahib-rahib Nasrani, benar-benar memakan harta manusia dengan cara yang batil dan menghalang (manusia) dari jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka berilah khabar gembira kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksaan yang pedih.”

Allah ‎ﷻ juga telah berfirman di dalam Maidah: 64

وَقالَتِ اليَهودُ يَدُ اللهِ مَغلولَةٌ ۚ غُلَّت أَيديهِم وَلُعِنوا بِما قالوا ۘ بَل يَداهُ مَبسوطَتانِ يُنفِقُ كَيفَ يَشاءُ
Orang-orang Yahudi berkata: “Tangan Allah terbelenggu”, sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki.

Sifat kikir dan tidak infak juga adalah sifat orang munafik dan Allah ‎ﷻ telah menyebut tentang sifat mereka ini di dalam Tawbah: 54

وَمَا مَنَعَهُمْ أَن تُقْبَلَ مِنْهُمْ نَفَقَاتُهُمْ إِلَّا أَنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَبِرَسُولِهِ وَلَا يَأْتُونَ الصَّلَاةَ إِلَّا وَهُمْ كُسَالَىٰ وَلَا يُنفِقُونَ إِلَّا وَهُمْ كَارِهُونَ
Dan tiada apa yang menghalang mereka daripada diterima perbelanjaan (infak) mereka melainkan kerana mereka tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mereka tidak datang mengerjakan sembahyang melainkan dengan malas, dan mereka tidak membelanjakan (harta mereka) melainkan dengan rasa terpaksa (benci).

Juga di dalam Munafiqun: 7 ada lagi menyebut mereka suruh untuk infak tidak diberikan kepada golongan Muhajirin.

هُمُ الَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُوا عَلَىٰ مَنْ عِندَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّوا ۗ وَلِلَّهِ خَزَائِنُ السَّمَاوٰتِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَفْقَهُونَ
Merekalah (orang-orang munafik) yang mengatakan: “Janganlah kamu membelanjakan harta kepada orang-orang yang bersama Rasulullah (yakni kaum Muhajirin dan orang-orang fakir dari kalangan Ansar) sehingga mereka bersurai (meninggalkan Rasulullah).” Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, akan tetapi orang-orang munafik itu tidak mengerti.”

Maka ini adalah dua contoh golongan kafir yang tidak suka infak. Maka kalau kita pun ada sifat itu, maka kita pun boleh termasuk di dalam kumpulan mereka walaupun kita sudah mengucap dua kalimah Syahadah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Jun 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment