Tafsir Surah Baqarah Ayat 249 – 250 (Tentera Talut bertemu Tentera Jalut)

Baqarah Ayat 249: Kita masih lagi pada kisah Talut.

فَلَمّا فَصَلَ طالوتُ بِالجُنودِ قالَ إِنَّ اللَّهَ مُبتَليكُم بِنَهَرٍ فَمَن شَرِبَ مِنهُ فَلَيسَ مِنّي وَمَن لَّم يَطعَمهُ فَإِنَّهُ مِنّي إِلّا مَنِ اغتَرَفَ غُرفَةً بِيَدِهِ ۚ فَشَرِبوا مِنهُ إِلّا قَليلًا مِّنهُم ۚ فَلَمّا جاوَزَهُ هُوَ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ قالوا لا طاقَةَ لَنَا اليَومَ بِجالوتَ وَجُنودِهِ ۚ قالَ الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL
And when Saul went forth with the soldiers, he said, “Indeed, Allah will be testing you with a river. So whoever drinks from it is not of me, and whoever does not taste it is indeed of me, excepting one who takes [from it] in the hollow of his hand.” But they drank from it, except a [very] few of them. Then when he had crossed it along with those who believed with him, they said, “There is no power for us today against Goliath and his soldiers.” But those who were certain that they would meet Allah said, “How many a small company has overcome a large company by permission of Allah . And Allah is with the patient.”

MALAY
Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah dia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah dia daripada pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya dia daripad pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil daripada mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.

 

فَلَمّا فَصَلَ طالوتُ بِالجُنودِ

Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya,

Setelah diberikan bukti kedudukan Talut dengan datangnya Tabut, maka barulah Bani Israil itu hendak ikut arahan daripada beliau. Maka sekarang sudah sampai ke bahagian mereka hendak pergi berjihad. Talut diberikan kepandaian dan kemahiran untuk melatih tenteranya. Memang tentera itu mesti dilatih supaya seorang ketua itu tahu yang dia sedang membawa tentera yang terlatih. Talut membawa tenteranya untuk berperang dengan golongan Amaliqah yang berada di BaitulMaqdis waktu itu. Mereka itu adalah tok nenek golongan Palestin sekarang.

 

قالَ إِنَّ اللَّهَ مُبتَليكُم بِنَهَرٍ

berkatalah dia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai,

Salah satu perkara yang beliau uji tenteranya adalah ketaatan kepada ketua kerana ketaatan adalah amat penting dalam peperangan. Ini kerana apabila ketua memberikan arahan untuk serang, laskar semua mesti serang; apabila suruh berhenti, mereka mesti berhenti. Sebab itu askar sekarang dilatih berkawad supaya mental mereka dilatih untuk mengikut arahan secara halus. Kalau tidak ada ketaatan, tentera itu akan lemah, tidak kira sama ada mereka dalam bilangan yang sedikit ataupun banyak. Dalilnya kita boleh lihat dalam kisah Perang Uhud. Waktu itu, kemenangan yang hampir dapat boleh berubah menjadi kekalahan kerana ketaatan telah hilang (apabila kebanyakan para pemanah meninggalkan tempat mereka). Maka Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana Talut melatih tenteranya menjadi taat.

Seorang ketua atau panglima tentera berhak untuk menguji tentera mereka. Ini kerana jikalau bilangan ramai tetapi lemah iman, bukannya mereka itu menambah kekuatan, tetapi melemahkan lagi. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Tawbah: 47 tentang golongan munafik yang tidak menguatkan tentera Muslim kalau mereka ada bersama. Jadi lebih elok mereka tidak ikut serta.

“Sekiranya mereka (golongan munafik) keluar bersama kamu, nescaya mereka tidak akan menambahkan kepada kamu melainkan kerosakan (kekacauan); dan sesungguhnya mereka akan menyegerakan (gerak langkah) di antara kamu, dengan tujuan hendak mencari-cari fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; padahal di antara kamu ada orang-orang yang suka mendengar (dan terpengaruh kepada) mereka. Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.”

Talut berkata: إِنَّ اللَّهَ مُبتَليكُم sedangkan Talut bukan Nabi, jadi bagaimana beliau tahu? Mungkin beliau mendapat maklumat daripada Nabi Samuel عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau Allah ‎ﷻ telah mengilhamkan Talut untuk menguji tentera itu dengan air sungai. Atau, beliau menggunakan ijtihad sendiri tetapi beliau mengatakan Allah ﷻ yang menguji. Kerana sekiranya beliau kata itu adalah ideanya sendiri, mungkin para tentera tidak hiraukan. Air digunakan sebagai ujian kerana ia amat penting, malah menjadi asas bagi kehidupan. Manusia boleh hidup agak lama tanpa makanan, tetapi tidak dapat bertahan tanpa air. Tambahan pula mereka berjalan jauh di dalam cuaca yang panas terik. Jadi ini memang ujian yang amat berat sekali.

Ada pendapat  yang mengatakan sungai yang dimaksudkan adalah Sungai Jordan. Seperti biasa, Al-Qur’an tidak menyebut secara spesifik nama sungai atau tempat berlakunya sesebuah kejadian itu. Cuma para mufassir dan sejarawan Islam yang merujuk kepada sumber-sumber Israiliyyat (riwayat daripada tradisi Bani Israil yang mungkin berkaitan dengan kisah para Nabi) cenderung menyebut Sungai Jordan sebagai lokasi kejadian. Ini kerana kawasan geografi di mana peristiwa Talut dan Jalut dipercayai berlaku adalah di sekitar wilayah Palestin, di mana Sungai Jordan merupakan sungai utama.

Mereka akan melalui sungai itu tetapi arahan yang dikeluarkan, tidak boleh minum walau dahaga macam mana pun. Ini adalah satu ujian yang amat berat bagi mereka. Bayangkan mereka waktu itu sudah berjalan jauh, dalam kepenatan dan dahaga yang teramat sangat, tetapi tidak boleh minum air yang ada di dalam sungai depan mata. Jiwa tentunya bergelora hendak minum tetapi arahan yang diberikan jangan minum. Ini adalah ujian yang berat untuk lihat siapa yang taat.

 

فَمَن شَرِبَ مِنهُ فَلَيسَ مِنّي

oleh itu sesiapa yang meminum airnya maka bukanlah dia daripada pengikutku, 

Sesiapa yang minum juga, maka tidak boleh lagi menjadi tentera Talut. Maknanya, mereka yang minum telah tidak mengikut arahan dan tidak taat kepada ketua. Mereka dikira gagal dalam ujian itu. Mereka akan digugurkan daripada tentera itu. Bahaya kalau bawa mereka juga kerana mereka lemah dan tidak taat.

 

وَمَن لَّم يَطعَمهُ فَإِنَّهُ مِنّي

dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya dia daripada pengikutku,

Sesiapa yang boleh menahan diri daripada meminum air daripada sungai itu, maka mereka boleh terus ikut menjadi tentera. Mereka boleh terus menjadi tentera Talut kalau taat kepada beliau dan berjaya melepasi ujian ini.

 

إِلّا مَنِ اغتَرَفَ غُرفَةً بِيَدِهِ

kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”.

Yang tidak minum langsung adalah jenis komando tetapi kalau jenis askar yang biasa, bolehlah kalau hendak minum sekadar seraup tapak tangan sahaja. Tidak boleh lebih daripada itu. Masih lagi dikira sebagai tentera Talut juga. Namun darjatnya sudah turun sedikit. Jadi ujian ini telah membahagikan tentera Talut kepada tiga. Ini kerana ayat yang digunakan bukanlah,

1. Yang minum

2. Minum tetapi sedikit

Sebaliknya begini,

1. Minum

2. Tidak minum langsung

3. Minum tetapi sedikit

Sedikit itu memang sikit betul iaitu dengan cedokan satu tangan sahaja, bukan dua. Kerana kalau dua tangan, kalimah بِيَدِيهِ dan bukan بِيَدِهِ. Dibenarkan minum sedikit kerana mungkin ada yang sudah teruk sangat keadaannya yang kalau tidak minum, mungkin boleh mati.

 

فَشَرِبوا مِنهُ إِلّا قَليلًا مِّنهُم

mereka meminum juga daripada sungai itu, kecuali sebahagian kecil daripada mereka. 

Ramai yang minum dengan banyak, kecuali sedikit sahaja yang mengikut arahan. Bahasa yang digunakan menunjukkan sedikit sangat yang tidak minum. Mereka tidak tahan melawan nafsu yang amat dahaga, maka mereka terus minum. Dikatakan daripada 80,000 orang, 76,000 telah minum dengan banyak. Daripada 4,000 itu, hanya 313 orang sahaja yang tidak minum langsung. Ya, ini juga bilangan tentera Mukmin di dalam Perang Badr. Namun pendapat itu bukanlah daripada sumber yang sahih akan tetapi sumbernya Israiliyyat.

 

فَلَمّا جاوَزَهُ هُوَ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ

Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, 

Kisah ini terus melompat ke bahagian mereka sudah di lapangan peperangan setelah menyeberangi sungai itu. Sekarang disebut mereka ini الَّذينَ ءآمَنوا yang bermakna mereka ini yang telah lulus ujian tidak minum air.

 

قالوا لا طاقَةَ لَنَا اليَومَ بِجالوتَ وَجُنودِهِ

berkatalah mereka: “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”.

Sekarang kita jumpa karektor baru pula iaitu Jalut yang mungkin kita pernah dengar sebagai Goliath. Nama lebih kurang sahaja, maka untuk senang ingat, kaedah saya guna adalah J untuk ‘jahat’ dan T untuk ‘terbaik’. Al-Qur’an tidak menyebut secara spesifik nama bangsa Jalut, cuma kebanyakan tafsir dan sumber sejarah Islam menyebut mereka sebagai Philistine (Filistin) atau Palenstin, yang merupakan bangsa atau kaum yang tinggal di wilayah Palestin kuno pada zaman itu. Dalam tradisi Yahudi dan Kristian (Old Testament), Goliath secara eksplisit dikenali sebagai seorang Philistine dari Gath. Jalut sendiri digambarkan sebagai seorang pahlawan yang sangat besar dan gagah perkasa, yang kehadirannya menimbulkan ketakutan di hati Bani Israil. Ini menunjukkan pasukannya juga mungkin memiliki kekuatan dan jumlah yang signifikan. Mereka adalah musuh yang mengancam dan menindas Bani Israil, menyebabkan Bani Israil kehilangan tanah air dan keluarga mereka (seperti yang disebutkan dalam Baqarah: 246).

Mereka yang minum dengan banyak itu berkata yang mereka tidak ada kemampuan untuk berperang dengan tentera Jalut. Apabila mereka melihat ramainya bilangan tentera Jalut, mereka sudah menjadi takut. Dalam riwayat, dikatakan yang tentera Jalut sebanyak 80,000 dan ada riwayat lain kata sebanyak 300,000. Sedangkan tentera Talut itu akhirnya tinggal seramai 313 orang sahaja. Asalnya lebih ramai. Tentera mereka yang asalnya 80,000 menjadi sedikit kerana sudah ditapis sampai tinggal 313 orang sahaja. Kalau kita ambil bilangan tentera Jalut seramai 90,000, tentunya bukan senang untuk dilawan berbanding dengan bilangan tentera Talut yang hanya seramai 313 orang itu.

Begitulah Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan bagaimana selalunya kisah tentera Islam selalunya melawan tentera yang lebih ramai tetapi akhirnya menang. Ini kerana Allah‎ ﷻ hendak tunjuk bagaimana Dia menolong hamba-Nya yang taat. Bukannya bergantung kepada bilangan ramainya tentera. Allah ‎ﷻ hendak kita mula pergi perang sahaja, dan apabila kita taat, Dia akan beri kemenangan. Memang kalau fikirkan dengan akal yang logik, tidak nampak bagaimana cara boleh menang, tetapi Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan Qudrat-Nya.

Satu lagi tafsir, yang berkata itu adalah mereka yang minum sekadar seraup tangan itu. Yang sudah minum banyak itu memang sudah tiada lagi sebab sudah kena balik kampung. Maka yang berkata itu adalah yang minum seraup tangan itu, iaitu mereka yang lemah sedikit daripada mereka yang tidak minum langsung. Bila mengadap tentera Jalut sahaja, mereka sudah takut kerana mereka agak lemah.

 

قالَ الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ اللَّهِ

Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: 

Kalimah يَظُنّونَ di sini bermaksud yakin. Yang berkata itu adalah mereka yang benar-benar yakin mereka akhirnya akan bertemu dengan Allah ﷻ. Mereka ini yang akan menerima bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Inilah golongan seramai 313 orang itu. Mereka yakin kerana mereka sedar yang mereka akan bertemu dengan Allah ‎ ﷻ juga akhirnya. Oleh kerana itu mereka tahu yang mati dalam jihad lebih mulia. Begitulah Allah ﷻ telah menegur mereka yang takut mati sebelum ini di dalam Baqarah: 243

وَهُم أُلوفٌ حَذَرَ المَوتِ فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا
takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu”

Allah ‎ﷻ sudah menjanjikan kemenangan kepada mereka, maka mereka yakin akan kemenangan itu dan kalau mereka mati di medan pertempuran, mereka akan mati syahid. Jadi, apa-apa pun yang berlaku, mereka akan memperolehi kemenangan. Mereka sudah tidak takut dan kita boleh lihat mereka berkata-kata dengan berani sekali. Allah ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 154

وَلا تَقولوا لِمَن يُقتَلُ في سَبيلِ اللَّهِ أَموٰتٌ ۚ بَل أَحياءٌ وَلٰكِن لّا تَشعُرونَ
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

 

كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ

“Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah;

Mereka yang berani itu berkata kemenangan itu adalah dengan keizinan Allah ‎ﷻ. Bukan dengan ramainya tentera. Hanya mereka yang benar-benar yakin sahaja akan kata begini. Namun kalau yang berkata itu tidak yakin, tiada makna. Kalau kita saja-saja hendak cakap, tidak ada makna kerana keyakinan itu datangnya dari hati. Allah ‎ﷻ membawakan kisah tentera Jalut ini kepada para sahabat yang tidak lama lagi akan berdepan dengan tentera Musyrikin Mekah yang lebih ramai daripada mereka dalam Perang Badr. Allah ‎ﷻ hendak memberikan semangat kepada mereka bahawa walaupun nanti mereka berhadapan dengan musuh yang lebih ramai, mereka tetap boleh menang walaupun mereka sedikit kerana mereka akan dibantu oleh Allah ‎ﷻ.

Kita tahu ramai yang menggunakan ayat ini sebagai azimat. Ketika mereka hendak mula berperang, atau mula hendak bertumbuk, mereka akan baca ayat ini sebagai penguat semangat dan sebagai azimat. Itu adalah cara salah. Ini adalah sihir menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an dan sihir hukumnya haram. Namun begitulah jikalau kefahaman wahyu jauh daripada masyarakat, maka mereka menggunakan Al-Qur’an dengan cara yang salah. Manusia yang jahil, memang suka baca ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat. Baca pada air, pada barang, pada rumah dan macam-macam lagi. Apa yang mereka baca pun mereka tidak faham kerana mereka bukannya belajar tafsir Al-Qur’an pun. Mereka pandai baca sahaja.

Ingatlah yang ayat Al-Qur’an bukan untuk dijadikan sebagai azimat untuk dibaca supaya dapat kuasa atau sebagainya. Namun sebab ramai dalam kalangan umat Islam ini jahil, maka senang sangat mereka tertipu. Yang ajar pula adalah golongan yang dipandang sebagai ahli agama seperti ustaz dan Tok Guru. Masyarakat pula jahil jadi mereka tidak dapat hendak membezakan mana benar dan mana yang tidak. Maka banyaklah dalam pasaran sekarang ada air jampi, air yang telah dibaca Al-Qur’an 30 juzuk, Air Anugerah, air itu ini, baju sudah dijampi, biskut, kismis, coklat sudah dijampi, ayam jampi, baju raya pun dijampi juga dan macam-macam jampi lagi. Ingatlah yang apabila dibacakan ayat Al-Qur’an kerana niat tertentu, berkehendakkan sesuatu, maka pembacaan itu menjadi sihir iaitu sihir dengan ayat Al-Qur’an. Manusia yang jahil menyangka kalau menggunakan ayat Al-Qur’an, tidak salah. Mereka berkata: ‘Eh takkan pakai Qur’an salah pula!’ Namun, ingatlah ia adalah amat salah sebenarnya.

 

وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ

dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.

Mereka yang berani itu sambung lagi kata-kata mereka: ‘Allah ‎ﷻ bersama dengan orang yang sabar’. Perhatikan kelebihan menjadi orang yang penyabar. Allah ‎ﷻ tidak sebut Dia bersama orang yang solat, orang yang buat Haji tetapi selalu Allah ‎ﷻ ulang Dia bersama orang yang sabar. Ini menunjukkan kelebihan ada sikap sabar.

‘Bersama’ maksudnya Dia akan beri bantuan. Lihatlah nanti bagaimana dalam Perang Talut dan Jalut ini, tentera Islam mendapat kemenangan dan dalam Perang Badr pula, tentera Islam juga telah mendapat kemenangan. Di dalam kedua-dua perang bersejarah ini, umat Islam ketika itu amat sedikit bilangannya jikalau dibandingkan dengan tentera musuh. Akan tetapi itu tidak penting kerana kalau Allah ‎ﷻ yang bantu, tentera itu akan menang.

Sabar itu antara lain, sabar dalam menjaga hukum. Walaupun kita rasa arahan Allah ‎ﷻ itu susah, namun oleh kerana kita taat kepada Allah ‎ﷻ, kita ikut juga. Maka kalau kita berani, kita tidak takut menegakkan kebenaran. Walaupun orang hendak kata kita Wahabi atau apa-apa sahaja tuduhan palsu.

Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan perkara yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah dan sabar juga mempunyai elemen istiqamah juga.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Terlebih penting untuk sabar adalah ketika di dalam peperangan kerana keadaan yang mendesak dan meruncing. Namun ingatlah yang Allah ﷻ menjanjikan ganjaran yang amat besar bagi orang yang boleh bersabar. Allah ﷻ berfirman di dalam Insan: 12. Bayangkan kunci syurga adalah sabar!

وَجَزىٰهُم بِما صَبَروا جَنَّةً وَحَريرًا
Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera,


 

NABI DAUD عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ MEMBUNUH JALUT

Baqarah Ayat 250:

وَلَمّا بَرَزوا لِجالوتَ وَجُنودِهِ قالوا رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا وَثَبِّت أَقدامَنا وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL
And when they went forth to [face] Goliath and his soldiers, they said, “Our Lord, pour upon us patience and plant firmly our feet and give us victory over the disbelieving people.”

MALAY
Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”

 

وَلَمّا بَرَزوا لِجالوتَ وَجُنودِهِ

Dan apabila mereka keluar menentang Jalut dan tenteranya,

Ini adalah semasa tentera Talut itu sudah mengadap tentera Jalut dan sudah hampir hendak berlawan di medan pertempuran. Bayangkan dua tentera yang beramai-ramai berdiri menunggu masa untuk bertempur. Mereka sudah nampak tentera Jalut di hadapan mereka.

قالوا رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا

mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami,

Ini adalah doa mereka apabila berhadapan dengan musuh. Ini mengajar kita ketika hendak berjihad, mesti berdoa kepada Allah ‎ﷻ dan berharap kepada pertolongan-Nya. Inilah cara orang Mukmin iaitu apabila ditimpa musibah dan di dalam kesusahan, mereka menyerahkan diri mereka kepada Allah ‎ﷻ. Jangan duduk senyap sahaja dan bergantung kepada kekuatan sendiri sahaja. Tugas kita adalah sentiasa meminta kepada Allah ‎ﷻ. Kalau takut, maka serahkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Dalam apa-apa keadaan sekalipun kita mesti bergantung kepada Allah ‎ﷻ. Kalau perkara kecil pun kita diajar untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ, apatah lagi untuk perkara besar? Rasulullah ﷺ telah bersabda,

لِيَسْأَلْ أَحَدُكُمْ رَبَّهُ حَاجَتَهُ حَتَّى يَسْأَلَهُ الْمِلْحَ وَحَتَّى يَسْأَلَهُ شِسْعَ نَعْلِهِ إِذَا انْقَطَعَ
Hendaklah kalian berdoa dan meminta kepada Allah segala hajatnya, hatta jika ingin meminta garam atau tali kasutnya apabila ia terputus.
(Jami’ Tirmizi No. 3604)

Mereka minta supaya dilimpahkan sabar kepada mereka. Kalimah أَفرِغ bermaksudkan tuangkan sampai penuh. Ini kerana mereka amat memerlukan bantuan dan rahmat Allah ‎ﷻ sebanyak-banyaknya. Akan tetapi kita kena faham bahawa doa minta sabar ini hanya boleh dibaca ketika berhadapan musuh sahaja. Tidak boleh dibaca semasa kita senang lenang tanpa ada masalah. Ini ramai yang tidak tahu rupanya dan terkejut apabila diberitahu. Ini kerana apabila kita meminta sabar ketika bukan di dalam menghadapi musibah, ia sebenarnya meminta bala! Nabi ﷺ pernah mendengar seorang sahabat berdoa minta sabar dan baginda terus menegur perbuatan sahabat itu.

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ : ” سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الصَّبْرَ ، فَقَالَ : سَأَلْتَ اللَّهَ الْبَلَاءَ فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ
Daripada Muadz bin Jabal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Nabi ﷺ mendengar seorang lelaki berdoa: ‘Ya Allah aku memohon kepada-Mu sabar’. Baginda bersabda: ‘Kamu meminta bala. Maka mintalah ‘afiah’.
(Riwayat Tirmidzi No. 3527) Status: Hasan (Darussalam)

Ini kerana kalau minta sabar semasa senang, itu meminta bala sebenarnya kerana sabar tidak akan jelas dan zahir tanpa bala. Maka kalau minta sabar, Allah ‎ﷻ akan berikan bala supaya orang itu diberi ujian sabar (untuk menjadikan dia penyabar). Maka kita kena berhati-hati dengan doa kita kerana kalau salah doa pun susah juga. Jadi kena belajar juga bab doa dan ia adalah satu subjek yang agak besar. Oleh itu, hanya apabila kita perlu berada dalam keadaan sabar, barulah minta.

Sebaliknya, mintalah ‘afiyah. Istilah ‘Afiyah (العافية) dalam Islam membawa makna yang sangat luas dan mendalam, jauh melebihi sekadar “sihat” atau “sejahtera” dalam pengertian fizikal semata-mata. Ia adalah satu konsep menyeluruh yang merangkumi kesejahteraan dalam semua aspek kehidupan seorang Muslim, di dunia dan juga di akhirat.

Secara umum, ‘afiyah bermaksud keselamatan, perlindungan, dan kesejahteraan daripada segala bentuk kesulitan, penderitaan, musibah, dan keburukan. Para ulama menjelaskan ‘Afiyah sebagai perlindungan Allah ‎ﷻ kepada hamba-Nya daripada:

    1. Penyakit dan Kecacatan Fizikal: Ini adalah makna yang paling sering difahami, iaitu bebas daripada sakit, tubuh yang sihat dan kuat.

    2. Penyakit Hati dan Rohani: Termasuk keselamatan daripada sifat-sifat buruk seperti riya’, hasad, dengki, ujub, syirik, munafik, dan segala fitnah yang boleh merosakkan agama seseorang.
    3. Kesulitan Hidup di Dunia: Meliputi perlindungan daripada kemiskinan yang teruk, hutang yang membelenggu, kezaliman penguasa, bencana alam, peperangan, dan segala bentuk kesukaran duniawi yang boleh menggoyahkan iman atau menyebabkan kesengsaraan.
    4. Fitnah dan Ujian Agama: Perlindungan daripada godaan syaitan, bisikan hawa nafsu, syubhat (keraguan), dan segala perkara yang boleh memesongkan seseorang dari jalan kebenaran.
    5. Musibah dan Bala’: Keselamatan daripada segala bentuk musibah dan ujian yang diturunkan Allah ‎ﷻ.

    6. Seksaan dan Azab di Akhirat: Ini adalah kemuncak ‘Afiyah, iaitu keselamatan daripada azab kubur, azab neraka, dan segala bentuk kesulitan di Hari Kiamat.

Rasulullah ﷺ sangat menganjurkan umatnya untuk sering memohon ‘Afiyah kepada Allah ‎ﷻ. Sebuah hadith terkenal diriwayatkan oleh Al-Abbas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (bapa saudara Nabi ﷺ), di mana beliau meminta Nabi ﷺ untuk mengajarkan doa. Nabi ﷺ bersabda:

عَنِ العَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ المُطَّلِبِ، قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلِّمْنِي شَيْئًا أَسْأَلُهُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ، قَالَ: “سَلِ اللَّهَ العَافِيَةَ”. فَمَكَثْتُ أَيَّامًا ثُمَّ جِئْتُ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلِّمْنِي شَيْئًا أَسْأَلُهُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ، قَالَ لِي: “يَا عَبَّاسُ يَا عَمَّ رَسُولِ اللَّهِ سَلِ اللَّهَ العَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ”.
Daripada Abbas bin Abdul Muttalib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, ajarkanlah kepadaku sesuatu yang aku boleh memohonnya kepada Allah عَزَّ وَجَلَّ.’ Baginda bersabda: ‘Mintalah kepada Allah Al-‘Afiyah.’ Aku berdiam beberapa hari, kemudian aku datang lagi dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, ajarkanlah kepadaku sesuatu yang aku boleh memohonnya kepada Allah عَزَّ وَجَلَّ.’ Baginda bersabda kepadaku: ‘Wahai Abbas, wahai bapa saudara Rasulullah, mintalah kepada Allah Al-‘Afiyah di dunia dan akhirat.'”

Hadith ini diriwayatkan oleh:
Imam At-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab Ad-Da’awat, Bab Ma Ja’a fi Doa’il ‘Afiyah (no. 3514).
Juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya.
Imam Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad.
Hadith ini dinilai Hasan Sahih oleh Imam At-Tirmidzi dan disahihkan oleh sebahagian ulama hadith kontemporari seperti Syu’aib Al-Arnaut.

Hadith ini menunjukkan betapa luas dan menyeluruhnya makna ‘Afiyah sehingga ia dianggap sebagai anugerah terbaik setelah keimanan. Apabila seseorang diberi ‘Afiyah, ia telah mencakupi segala kebaikan dan keselamatan baik di dunia mahupun di akhirat. Maka, ‘Afiyah adalah doa yang merangkumi semua aspek kehidupan yang baik dan selamat, menjauhkan kita daripada segala keburukan, dan mendekatkan kita kepada keredhaan Allah ‎ﷻ.

 

وَثَبِّت أَقدامَنا

dan teguhkanlah kaki-kaki kami 

Hati mestilah teguh dengan sabar, dan kaki kena teguh juga supaya tidak lari. Kaki kita akan ikut hati sebenarnya. Kalau hati berani, kaki pun akan berani. Kalau hati sudah takut, kaki pun akan takut juga. Sebab itu bila kita takut, kaki kita lembik sahaja, bukan?

Mereka minta kaki-kaki mereka ditetapkan di atas medan jihad itu dan tidak lari. Ini kerana lari dari medan perang adalah salah satu dosa besar. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Anfal: 15-16

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا لَقِيتُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ زَحۡفً۬ا فَلَا تُوَلُّوهُمُ ٱلۡأَدۡبَارَ (١٥) وَمَن يُوَلِّهِمۡ يَوۡمَٮِٕذٍ۬ دُبُرَهُ ۥۤ إِلَّا مُتَحَرِّفً۬ا لِّقِتَالٍ أَوۡ مُتَحَيِّزًا إِلَىٰ فِئَةٍ۬ فَقَدۡ بَآءَ بِغَضَبٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَمَأۡوَٮٰهُ جَهَنَّمُ‌ۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ (١٦)
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur daripada menentang mereka. (15) Dan sesiapa berpaling undur daripada menentang mereka pada ketika itu kecuali dia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya dia tetaplah mendapat kemurkaan daripada Allah dan tempatnya ialah Neraka Jahanam; sedang Neraka Jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali. (16)

Rasulullah ﷺ juga bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلاَتِ
“Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan!” Para Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu?” Baginda menjawab: “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang ketika berhadapan dengan musuh (hari pertempuran), dan menuduh zina wanita-wanita mukmin yang terpelihara kehormatannya lagi lalai (dari berbuat keji).”

(Riwayat Al-Bukhari No. 2766 dan Muslim No. 89)

 

وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”

Mereka meminta kemenangan diberikan kepada mereka kerana mereka menentang orang kafir. Perhatikan mereka sebut القَومِ الكٰفِرينَ dan bukannya tentera Jalut, atau tentera Palenstin itu. Ini kerana orang Islam bukannya berperang menentang mana-mana bangsa atau kumpulan melainkan kerana mereka orang kafir sahaja. Inilah syarat di dalam jihad iaitu berperang dengan orang kafir. Kalau berperang dengan orang Muslim sendiri, itu bukan jihad namanya. Mungkin ada kes boleh memerangi orang Muslim yang zalim, namun ia bukanlah jihad.

Perhatikan bahawa ada tiga rangkap doa mereka ini. Akhir sekali baru mereka minta kemenangan. Akan tetapi bukankah kemenangan yang utama yang mereka mahukan? Jadi kenapa disebut di akhir sekali? Kerana untuk mencapai kemenangan ada peringkatnya. Untuk menang, kaki kena tetap dan untuk kaki kena tetap, mesti kena ada sabar. Jadi susunannya begini: sabar – kaki-kaki tetap di medan perang – barulah boleh dapat kemenangan.

Indah sekali doa mereka ini dan Allah ‎ﷻ masukkan doa mereka ke dalam Al-Qur’an yang akan kekal sepanjang zaman sampai kiamat bagi kita faham dan amalkan. Namun harus diingatkan, jangan amalkan doa ini kalau keadaan tidak memerlukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Jun 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment