MENJAGA SOLAT
Baqarah Ayat 238: Kita masih lagi di dalam rentetan ayat-ayat tentang hubungan nikah kahwin. Akan tetapi tiba-tiba diselit ayat tentang solat pula. Belum habis lagi ayat tentang nikah cerai kerana akan disambung lagi selepas dua ayat tentang solat ini. Kenapa ada diselit tentang solat pula?
Seorang pujangga Perancis yang terkenal, iaitu Voltaire, ketika mula-mula membaca salinan Al-Qur’an, mengatakan bahawa mula-mula membaca Al-Qur’an itu kita hanya melihat susunan yang tidak teratur, kacau dan tidak dapat difahami. Namun kalau telah dibaca berulang dengan tenang, kita kian lama kian terpesona. Demikian kira-kira simpulan kesan Voltaire tentang Al-Qur’an. Bagaimana sebabnya beliau terkesan demikian? Kerana dilihatnya dalam Al-Qur’an itu sepintas lalu, nampaknya tidak teratur. Bagaimana tidak, sedang asyik-asyik membicarakan tentang hal iddah, talak, mut’ah, maaf-memaafkan mahar, sekarang tiba-tiba membicarakan mengenai solat pula. Akan tetapi setelah beliau membaca dengan tenang dan berulang, baru beliau faham dan baru terasa enaknya. Padahal yang dibacanya itu hanyalah terjemahan sahaja, bukan asli bahasa Arab dan setelah mengetahui maknanya barulah beliau dapat melepasi kekacauan dalam susunan Al-Qur’an setelah berkali-kali membacanya. Begitulah Al-Qur’an adalah bacaan untuk dirasakan dengan akal dan hati sekali. Bertambah dirasakan dan diresapkan, bertambah hilang kekacauan yang ada dalam fikiran ketika membacanya. Rupanya bukan Al-Qur’an yang kacau, tetapi fikiran sendirilah yang kacau sebelum mendapat kuncinya.
Dalam ayat-ayat sebelum ini kita telah banyak belajar tentang ayat-ayat Umur Munazimah iaitu tentang hubungan sesama manusia. Sekarang kita diingatkan di sini bahawa hubungan dengan manusia itu hanya boleh menjadi baik jikalau kita menjaga hal-hal Umur Muslihah iaitu hubungan dengan Allah ﷻ. Tidak mungkin hubungan dengan manusia ini akan menjadi baik jikalau tidak dijaga hubungan dengan Allah ﷻ. Sebab itulah di antara ayat-ayat yang mengajar menjaga hubungan dengan manusia itu, diselitkan dengan ayat-ayat tentang menjaga hubungan dengan Allah ﷻ.
Begitu juga jikalau terjadi perceraian, tentu fikiran akan serabut, bukan? Maka dalam keadaan sebegitu, kepada siapa yang kita perlu mengadu? Sebaiknya mengadu kepada Allah ﷻ kerana ia lebih menenangkan dan percayalah hanya Allah ﷻ yang boleh menenangkan hati kita.
Menurut Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ, “Ketentuan-ketentuan yang diceritakan Allah ﷻ sebelum ayat ini, semuanya disatukan oleh ibadah kepada Allah ﷻ. Ibadah kepada-Nya dalam perkahwinan, ibadah dalam hubungan seks dan meneruskan keturunan, ibadah dalam talak dan perceraian, ibadah dalam masa iddah dan rujuk, ibadah dalam nafkah dan pemberian mut‘ah, ibadah dalam merujuk isteri atau menceraikan dengan baik, ibadah dalam membayar tebusan dan ganti rugi, ibadah dalam menyusukan dan menyapih, ibadah dalam setiap gerak dan langkah, serta setiap lintasan fikir atau bisikan hati. Kerana semua itu adalah ibadah, maka wajar jika solat dirangkaikan di sini, kemudian disusuli lagi dengan pembicaraan yang sama dengan sebelumnya, sehingga dapat difahami bahawa ketentuan-ketentuan yang lalu, adalah serupa dengan solat dari sisi ketaatan kepada Allah ﷻ. Demikian Al-Qur’an, selalu mengaitkan segala aktiviti manusia dengan Allah ﷻ walaupun sepintas kelihatan seperti aktiviti tersebut tidak berkaitan dengan ibadah.”
حٰفِظوا عَلَى ٱلصَّلَوٰتِ وَٱلصَّلَوٰةِ الوُسطىٰ وَقوموا لِلَّهِ قٰنِتينَ
SAHIH INTERNATIONAL
Maintain with care the [obligatory] prayers and [in particular] the middle prayer and stand before Allah , devoutly obedient.
MALAY
Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
حٰفِظوا عَلَى ٱلصَّلَوٰتِ
Peliharalah kalian akan solat-solat
Hal-hal perkahwinan dan perceraian yang telah banyak disebut sebelum ini hanya boleh dijaga oleh mereka yang menjaga sembahyang sahaja. Kalaulah mereka itu bukan jenis yang menjaga solat, mereka tidak akan ikut pun hukum dan saranan Allah ﷻ itu sebab mereka tidak berasa pentingnya arahan yang telah diberikan oleh Allah ﷻ. Sedangkan hukum tentang ibadat pun mereka langgar, apatah lagi hukum tentang ‘adat’.
Sebagai manusia, tentulah perceraian adalah sesuatu yang menyedihkan di mana satu perhubungan rapat telah terputus. Namun Allah ﷻ hendak mengingatkan, kalau perkara itu terjadi, masih kita kena menjaga satu lagi hubungan: hubungan dengan Allah ﷻ. Semasa dalam solat itulah kita adukan segala kesedihan kita kepada Allah ﷻ. Kita meminta petunjuk daripada Allah ﷻ bagaimanakah cara untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi dan beri kekuatan untuk menghadapinya. Jagalah hubungan dengan Allah ﷻ dan Allah ﷻ akan menjaga kamu seperti disebut di dalam hadith,
عَنْ أَبِي العَبَّاسِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُمَا قَالَ كُنْتُ: خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْماً فَقَالَ لِي: (( يَا غُلاَمُ! إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، اِحْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ
Daripada Abul ‘Abbas ‘Abdullah bin ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, ia berkata, “Pada suatu hari aku pernah berada di belakang Nabi ﷻ, lalu baginda bersabda, ‘Wahai anak muda! Sesungguhnya aku akan mengajarkan beberapa kalimat kepadamu. Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu.
(Jami’ Tirmidzi No. 2516. Hasan menurut Darussalam)
Jagalah hubungan kita dengan Allah ﷻ dan lebih-lebih lagi hendaklah kita menjaga Salat Fardu. Peliharalah solat nescaya solat akan memelihara kamu sehingga kamu tidak terjerumus ke dalam dosa, dan akan menjadi bukti kesolehan kamu kelak di hari Kemudian, dan dengan demikian ia memelihara kamu daripada seksa Ilahi.
Kalimah حٰفِظوا itu di dalam bentuk saling mengingatkan. Mungkin ia bermaksud kita sesama manusia hendaklah saling ingat mengingatkan untuk solat. Ramai yang kita kena ingatkan seperti pasangan kita, anak-anak kita malah rakan sepejabat pun. Kadang manusia agak lalai tentang solat dan kita kena ingatkan. Mungkin juga ia bermaksud kena ingat Allah ﷻ. Kalau kita jaga solat, Allah ﷻ akan jaga kita.
Solat lima waktu itu telah dipilih khas oleh Allah ﷻ untuk menjaga hubungan yang rapat dengan Allah ﷻ. Memang telah disusun sebegitu dalam waktu-waktu tertentu supaya walaupun kita dalam keadaan sibuk dengan kehidupan di dunia, masih kita luangkan masa untuk bersama dengan Allah ﷻ. Allah ﷻ telah susun waktu-waktu solat itu supaya ia merangkumi sepanjang hari. Oleh itu, walaupun kita solat sebanyak 17 raka’at, tidaklah boleh kita buat semua sekali dalam satu waktu. Kita mesti mengikuti waktu solat yang telah ditetapkan. Ini agar susunannya menjadi seolah-olah kita sentiasa dekat dengan Allah ﷻ, di mana kita menjalani kehidupan seharian kita, dan tidak lama kemudian kita akan solat kembali. Sebagai contoh, apabila kita telah solat Subuh, kita telah menjaga hubungan kita dengan Allah ﷻ dari waktu Subuh membawa ke Zuhur keberkatan itu dan apabila waktu Zuhur tiba dan kita solat, kita berhubung kembali dengan Allah ﷻ. Keberkatan Solat Zuhur itu dibawa sampai ke Asar dan sampai waktu Asar, kita solat kembali. Kemudian seterusnya dengan solat-solat yang lain. Lepas Isyak, tidur dan bila bangun, Solat Subuh pula.
Kerap sekali Allah ﷻ sebut tentang solat di dalam Al-Qur’an kerana ia amat penting. Manakala perincian tentang solat ini ada dalam hadith dan sunnah Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم. Kita kena belajar bab solat ini supaya kita dapat mengerjakan solat sepertimana yang diajar oleh baginda.
Solat adalah pembeza antara iman dan kufur seperti disebut dalam hadith,
عَنْ أَبِي سُفْيَانَ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاة
Daripada Abu Sufyan dia berkata, aku mendengar Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang laki-laki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”
(Sahih Muslim No. 116)
Malah, Solat pernah dikaitkan dengan iman seperti disebut di dalam Baqarah: 143. Oleh itu, jikalau tidak ada solat, maka tidaklah ada iman.
وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم
dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu
Tafsir: ayat di atas adalah ketika Allah ﷻ membincangkan tentang kiblat dan solat. Tiba-tiba Allah ﷻ sebut iman, bermakna solat itu adalah iman. Kerana itulah walaupun ulama’ khilaf akan hal ini, tetapi pendapat yang paling kuat adalah jikalau seseorang itu tidak solat, maka dia telah kufur.
Solat juga adalah ‘tiang agama’ seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,
قال رسول الله ﷺ: “رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ، وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ”
“Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat, dan puncaknya adalah jihad.”
(Riwayat Tirmidzi No. 2616, dinilai hasan sahih oleh at-Tirmidzi)
Di dalam Mukminoon: 9 Allah ﷻ juga telah menyebut tentang sifat orang Mukmin yang antaranya menjaga solat,
وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
“Dan orang-orang yang memelihara solat-solat mereka.”
Solat adalah amalan pertama yang disoal di akhirat kelak. Ini seperti disebut di dalam satu hadith yang masyhur,
قال رسول الله ﷺ: “أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الصَّلَاةُ، فَإِن صَلَحَتْ صَلَحَ سَائِرُ عَمَلِهِ، وَإِن فَسَدَتْ فَسَدَ سَائِرُ عَمَلِهِ”
“Perkara pertama yang akan dihisab atas seorang hamba pada hari kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah seluruh amalnya. Dan jika solatnya rosak, maka rosaklah seluruh amalnya.”
(Riwayat at-Tirmidzi No. 413, dinilai hasan oleh al-Albani)
Mereka yang meninggalkan solat akan dimasukkan ke dalam neraka seperti disebut dalam Muddaththir: 42-43
ما سَلَكَكُم في سَقَرَ
“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”
قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;
Jangan lupa yang kita ini adalah insan yang berdosa. Entah berapa banyak dosa yang menempek di belakang tubuh kita ini, kita pun tidak tahu. Dengan mendirikan solat, dosa-dosa itu akan gugur seperti janji Rasulullah ﷺ tentang hal ini,
حَدَّثَنَا إِسْحَقُ بْنُ سَعِيدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ سَعِيدِ بْنِ الْعَاصِ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ أَبِيهِ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ عُثْمَانَ فَدَعَا بِطَهُورٍ فَقَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ امْرِئٍ مُسْلِمٍ تَحْضُرُهُ صَلَاةٌ مَكْتُوبَةٌ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهَا وَخُشُوعَهَا وَرُكُوعَهَا إِلَّا كَانَتْ كَفَّارَةً لِمَا قَبْلَهَا مِنْ الذُّنُوبِ مَا لَمْ يُؤْتِ كَبِيرَةً وَذَلِكَ الدَّهْرَ كُلَّهُ
Ishaq bin Sa’id bin Amru bin Sa’id bin al-Ash telah menceritakan kepadaku bapaku daripada bapanya dia berkata, “Kami berada di sisi Utsman, lalu dia meminta air wudhu’ seraya berkata, ‘Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidaklah seorang muslim didatangi solat fardlu, lalu dia memperbaguskan wudhu’nya dan khusyu’nya dan solatnya, melainkan itu menjadi penebus dosa-dosanya terdahulu, selama dia tidak melakukan dosa besar. Dan itu (berlaku) pada seluruh zaman’.”
(Sahih Muslim No. 335)
Ini disokong dengan hadith yang lain,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهَرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسًا مَا تَقُولُ ذَلِكَ يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ قَالُوا لَا يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ شَيْئًا قَالَ فَذَلِكَ مِثْلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa dia mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Bagaimana pendapat kalian seandainya ada sungai di depan pintu rumah salah seorang daripada kalian, lalu dia mandi lima kali setiap hari? Apakah kalian menganggap masih akan ada kotoran (daki) yang tersisa padanya?” Para sahabat menjawab, “Tidak akan ada yang tersisa sedikit pun kotoran padanya.” Lalu baginda bersabda: “Seperti itu pula dengan solat lima waktu, dengannya Allah akan menghapus semua kesalahan.”
(Sahih Bukhari No. 497)
Akan tetapi apakah maksud menjaga solat itu? Antaranya,
1. Menjaga waktunya kerana Allah ﷻ telah berfirman di dalam Nisa’: 103
إِنَّ الصَّلوٰةَ كانَت عَلَى المُؤمِنينَ كِتٰبًا مَّوقوتًا
Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
2. Menjaga syarat dan rukun seperti memastikan wudhu’ sah, tempat suci, dan semua rukun solat dilaksanakan dengan betul. Maka ini memerlukan pembelajaran bagaimana cara mengerjakan solat dengan cara yang Sunnah seperti yang telah diajar oleh Rasulullah ﷺ. Janganlah hanya bersandarkan setakat ilmu solat yang dipelajari semasa sekolah rendah itu. Kenalah naik-taraf ibadah solat kita. Rasulullah ﷺ telah bersabda,
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
“Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”
(Riwayat al-Bukhari No. 631)
Maka kerana itu kita kenalah belajar bagaimana cara Nabi ﷺ mengerjakan solat. Kerana itu ada banyak kitab dan kursus yang mengajar Sifat Solat Nabi.
3. Menjaga khusyuk iaitu dengan menghayati bacaan dan gerakan dengan hati yang fokus kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Mukminoon: 1-2
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢)
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (2)
Bagaimana untuk mendapatkan khusyuk ini? Salah satu caranya adalah dengan Tahfim iaitu memahami apakah yang dibaca di dalam solat itu. Ini kerana kalau kita faham apa yang kita cakap, jadi bolehlah kita beri perhatian. Kalau kita hanya sebut semata, tetapi tidak diikat dengan hati, maka susah juga untuk mendapat khusyuk.
4. Konsisten dan tidak tinggal. Solat secara berterusan tanpa meninggalkannya, walau sibuk atau susah. Memang Allah ﷻ uji ibadah ini dengan memberi kita kehidupan dunia yang kadang-kadang menguji antara solat dan kehidupan. Orang yang mementingkan solat sahaja yang dapat meneruskan solat di dalam masanya. Kerana itu kita kena tukar persepsi atau paradigma kita tentang solat. Jangan kita anggap ia sebagai sesuatu yang menyusahkan, seperti ‘beban’ yang terlepas setelah kita selesai solat. Sebaliknya kita kena anggap ia sebagai sesuatu yang menyeronokkan, yang menenangkan, yang kita tertunggu-tunggu tiba waktunya. Kerana itu Rasulullaah ﷺ pernah bersabda kepada Bilal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ apabila telah masuk waktu,
يَا بِلَالُ ! أَرِحْنـــَا بِالصَّلَاة
“Wahai Bilal, istirehatkanlah kami dengan solat”
(Riwayat Imam Ahmad No. 23088 dan Abu Dawud no. 4985. Dinilai sahih oleh Syekh Al-Albani dalam Shahih Al Jami’ no. 7892).
Malah, ia sebagai tanda yang kita bersyukur dengan segala nikmat yang Allah ﷻ telah berikan. Bukankah terlalu banyak nikmat yang kita tidak henti-henti terima daripada Allah ﷻ?
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا. bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim No. 5046)
5. Menjaga adab dan akhlak solat. Apabila kita menjaga solat, maka solat akan menjaga kita. Solat ini amat penting untuk menghalang kita daripada melakukan dosa seperti disebut dalam Ankabut: 45
إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.
Maka kerana itu Rasulullah ﷺ mengajar kita untuk mendidik anak-anak kita dengan solat semenjak usia muda lagi,
عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ
Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda Rasulullah ﷺ: “Perintahlah anak-anak kalian mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.
(Sunan Abu Dawud No. 418) disahihkan oleh Albani)
وَٱلصَّلَوٰةِ الوُسطىٰ
lebih-lebih lagi Sembahyang Pertengahan
Dalam salat Fardu yang lima waktu itu, solat yang paling utama perlu dijaga adalah ‘solat pertengahan’. Semua solat kita kena jaga tetapi ada penekanan kepada solat ini. Kalimah وُسطَىٰ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘pertengahan’. Ia daripada kata dasar و س ط yang bermaksud tengah, di pertengahan, di antara, terbaik, bahagian terbaik daripada sesuatu, menjadi orang tengah, adil, yang terbaik dalam kalangan sesuatu.
Apakah pula dimaksudkan dengan solat pertengahan ini? Jumhur ulama’ mengatakan solat pertengahan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Solat Asar. Ada sampai 18 pendapat apakah yang dimaksudkan dengan Solat Pertengahan ini dan pendapat yang paling kuat adalah ia adalah waktu Asar. Ini adalah kerana Solat Asar duduknya di tengah-tengah antara siang dan malam. Solat Subuh dan Zuhur dikira solat dalam waktu siang manakala waktu Maghrib dan Isyak dikira solat waktu malam dan Asar duduknya di tengah-tengah. Sandaran dalil bagi pendapat ini adalah hadith berikut,
عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَوْمَ الْخَنْدَقِ حَبَسُونَا عَنْ صَلَاةِ الْوُسْطَى حَتَّى غَابَتْ الشَّمْسُ مَلَأَ اللَّهُ قُبُورَهُمْ وَبُيُوتَهُمْ أَوْ أَجْوَافَهُمْ شَكَّ يَحْيَى نَارًا
Daripada Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ bersabda pada hari Perang Khandak: “Mereka telah menyibukkan kita daripada salot wusta (iaitu solat Asar), hingga matahari terbenam, semoga Allah memenuhi kuburan dan rumah mereka atau perut -Yahya merasa ragu- mereka dengan api.”
(Sahih Bukhari No. 4169)
Syarah: waktu yang mereka terluput pada ketika itu adalah Solat Asar. Ertinya, oleh kerana hebatnya pengepungan dan percubaan kaum musyrikin mengepung kota Madinah di dalam peperangan Ahzab (lihat Surah al-Ahzab), sehingga Rasulullah ﷺ dan kaum Muslimin yang tengah mempertahankan khandak (parit) di Madinah terganggu untuk mengerjakan Solat Asar. Sememangnya kejadian itu adalah pada waktu Asar. Walau bagaimana pun ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Solat Pertengahan ini adalah Solat Subuh dan ini juga adalah salah satu pendapat Mazhab Syafi’iy.
Kenapa kena ada penekanan tentang Solat Asar? Kerana ia berada di tengah kesibukan harian — antara kerja dan rehat. Ramai yang mudah lalai waktu ini kerana banyak aktiviti lain yang mereka kira sebagai lebih menarik dan lebih penting. Mungkin juga kerana Asar adalah waktu pergantian malaikat siang dan malam yang membawa naik catatan amal kepada Allah ﷻ. Maka kita kena pastikan yang kita solat ketika disaksikan oleh malaikat kerana malaikat itu nanti akan melaporkan apa yang kita buat kepada Allah ﷻ.
قال رسول الله ﷺ: “يَجْتَمِعُ مَلَائِكَةُ اللَّيْلِ وَمَلَائِكَةُ النَّهَارِ فِي صَلَاةِ الفَجْرِ وَصَلَاةِ العَصْرِ…”
“…فَيَصْعَدُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ: كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي؟ فَيَقُولُونَ: تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ.”
“Malaikat malam dan siang berkumpul pada waktu solat Subuh dan Asar… lalu Allah bertanya kepada malaikat: ‘Bagaimana kamu tinggalkan hamba-hamba-Ku?’ Maka malaikat menjawab: ‘Kami tinggalkan mereka sedang bersolat, dan kami datang kepada mereka juga sedang bersolat.’”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kerana itulah terdapat hadith-hadith tentang Solat Asar ini yang menunjukkan kepentingannya, seperti,
قال رسول الله ﷺ: “مَن تَرَكَ صَلَاةَ العَصْرِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ”
“Sesiapa yang meninggalkan solat Asar, maka gugurlah amalnya.”
(Riwayat al-Bukhari No. 553)
Sementara di dalam hadith lain,
قال رسول الله ﷺ: “مَن فاتَتْهُ صَلاةُ العَصْرِ، فَكأنَّما وُتِرَ أهْلَهُ ومالَهُ”
“Sesiapa yang luput (tertinggal) solat Asar, maka seolah-olah dia telah kehilangan ahli keluarga dan hartanya.”
(Riwayat al-Bukhari No. 552)
Perhatikan ini pula kelebihan kalau menjaga Solat Asar,
قال رسول الله ﷺ: “مَن صَلَّى البَرْدَيْنِ دَخَلَ الجَنَّةَ”
“Sesiapa yang menunaikan dua solat pada waktu sejuk (al-bardayn), dia akan masuk syurga.”
(Riwayat al-Bukhari No. 554 dan Muslim No. 635)
Syarah: dua solat sejuk yang dimaksudkan adalah Solat Subuh dan Asar. Kerana waktu Asar itu sudah tidak sepanas waktu Solat Zuhur.
Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan solat di dalam ayat ini yang dimaksudkan adalah Solat Zuhur. Diriwayatkan dari Zaid bin Tsabit, pada suatu ketika Rasulullah SAW melaksanakan Salat Zuhur pada waktu tengah hari yang sangat panas. Salat ini dirasakan berat oleh para sahabat, dan ramai di antara mereka yang memilih untuk tidur siang atau sibuk dengan urusan perniagaan. Maka turunlah ayat ini sebagai peringatan dan perintah untuk memelihara semua salat, termasuk salat “wusthā” (salat pertengahan), yang dalam riwayat ini dan beberapa pandangan ulama merujuk kepada salat Zuhur.
وَقوموا لِلَّهِ قٰنِتينَ
dan berdirilah kalian semata-mata kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
Kalimah قَانِتِينَ adalah dalam bentuk isim jamak dan ia bermaksud ‘orang-orang yang khusyuk’. Ia daripada kata dasar: ق ن ت yang bermaksud menjadi taat, patuh, berdiri lama dalam solat. Dalam solat hendaklah khusyuk. Jadi dalam ayat ini, ada dua perkara yang Allah ﷻ suruh jaga – jaga waktu solat dan jaga khusyuk dalam salat.
Bukan itu sahaja, hendaklah kamu berdiri solat semata-mata kerana Allah ﷻ – maksudnya ikhlas. Dalam solat itu, jaga rukun, jaga syarat yang wajib, jaga adab dan jaga hati. Maknanya kena jaga semua. Kena jaga zahir dan batin.
Kalau hendak dikirakan, sepatutnya boleh dijaga semua perkara ini kerana bukan lama pun solat itu. Selalunya orang solat dalam masa lebih kurang sepuluh minit sahaja dan sepatutnya memang boleh dijaga. Namun realitinya menjaga solat itu memang payah sedikit sebab semasa hendak solatlah syaitan akan hebat menyerang dan mengganggu kita. Ini adalah kerana syaitan tidak mahu kita ingat kepada Allah ﷻ. Oleh itu, segala perkara ini perlu dilatih dalam solat-solat sunat. Semua zikir dalam solat perlu dilakukan di luar solat juga supaya kita biasa melakukannya.
Tafsiran kedua bagi kalimah قَانِتِينَ adalah ‘diam tidak berbicara’. Oleh itu ayat ini memansukhkan satu hukum. Di awal Islam, boleh bercakap di dalam solat. Jadi bila sudah masuk saf, siap boleh tanya kawan sudah makan ke belum. Ini seperti dibenarkan berbicara ketika tawaf di Ka’bah. Akan tetapi ia telah dimansukhkan dengan ayat ini. Dalil bagi isu ini disebut di dalam sebuah hadith,
حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ إِسْمَاعِيلَ بْنِ أَبِي خَالِدٍ عَنْ الْحَارِثِ بْنِ شُبَيْلٍ عَنْ أَبِي عَمْرٍو الشَّيْبَانِيِّ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ قَالَ كُنَّا نَتَكَلَّمُ فِي الصَّلَاةِ يُكَلِّمُ أَحَدُنَا أَخَاهُ فِي حَاجَتِهِ حَتَّى نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ { حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ } فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوتِ
Daripada Zaid bin Arqam dia berkata; “Dahulu kami berbincang-bincang ketika waktu solat. Seseorang daripada kami berbicara dengan temannya kerana ada keperluan, hingga akhirnya turunlah ayat: “Dan berdirilah untuk Allah dalam solatmu dengan khusyu”. Lalu kami diperintahkan untuk diam.’
(Sahih Bukhari No. 4170)
Di dalam ayat ini menyebut perbuatan qiyam (قوموا) berdiri ketika solat. Maka waktu berdiri itu juga penting dan utama, bukan hanya sujud sahaja. Mungkin ramai berhujah, bukankah ada hadith keutamaan sujud?
قال رسول الله ﷺ: “أقربُ ما يكونُ العبدُ من ربِّه وهو ساجدٌ، فأكثروا الدعاءَ”
“Saat paling dekat seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sujud, maka perbanyakkanlah doa.”
(Riwayat Muslim No. 482)
Yang benar ketika sujud adalah kedudukan paling dekat seorang hamba dengan Allah ﷻ, akan tetapi kelebihan qiyam adalah kerana pada waktu itu seseorang yang solat sedang membaca ayat-ayat Al-Qur’an. Jadi dari segi perbuatan, sujud lebih utama; tetapi dari segi bacaan, qiyam lebih utama.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya
Kemaskini: 3 Jun 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi





