Tafsir Surah Baqarah Ayat 223 (Hukum Jimak Suami Isteri)

Baqarah Ayat 223: Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat sebelum ini yang kita boleh mendatangi isteri kita mengikut jalan yang telah dibenarkan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ menyambung dalam ayat ini mengenainya. Allah ﷻ menjelaskan lagi hal tentang jimak ini.

نِساؤُكُم حَرثٌ لَّكُم فَأتوا حَرثَكُم أَنّىٰ شِئتُم ۖ وَقَدِّموا لِأَنفُسِكُم ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّكُم مُّلٰقوهُ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

SAHIH INTERNATIONAL
Your wives are a place of sowing of seed for you, so come to your place of cultivation however you wish and put forth [righteousness] for yourselves. And fear Allah and know that you will meet Him. And give good tidings to the believers.

MALAY
Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.

 

نِساؤُكُم حَرثٌ لَّكُم

Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, 

Allah ‎ﷻ beritahu kita bahawa isteri-isteri itu seolah-olah ladang untuk suaminya iaitu tempat yang suami itu boleh usaha untuk mendapatkan hasil. Melalui ladang dapat tanaman, maka melalui isteri, boleh dapat anak. Lihatlah firman Allah ﷻ di dalam Nahl: 72

وَاللهُ جَعَلَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّن أَزوٰجِكُم بَنينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ ۚ أَفَبِالبٰطِلِ يُؤمِنونَ وَبِنِعمَتِ اللهِ هُم يَكفُرونَ
Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu daripada isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki daripada yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat Allah?”

Di sini juga sudah menolak perbuatan mendatangi isteri di dubur kerana kalau memasukkan mani ke dalam dubur, tidak akan mendapat anak langsung (tiada hasil).

Apabila Allah ﷻ mengumpamakan para isteri sebagai ladang, ini memberi isyarat kepada kita bahawa isteri itu menunggu sahaja benih daripada suami. Maka kalau dapat anak perempuan, maka janganlah marah isteri itu kerana bukan salah dia. Bukankah terdapat lelaki yang menyalahkan isterinya kerana tidak mendapat anak lelaki? Sedangkan wanita kromosomnya X sahaja. Lelaki yang ada kromosom X dan Y. Kalau suami itu memberikan kromosom X, maka anak yang lahir adalah XX iaitu perempuan. Sebaliknya jika lelaki memberikan kromosom Y, barulah lahir anak lelaki XY.

Jika ladang pun kita jaga baik-baik, maka jagalah isteri kita sebaik mungkin. Jikalau ladang kita pun menuai ikut musim, maka dengan isteri pun begitulah juga. Jangan dilenjan sahaja tanpa henti. Jarak-jarakkan anak itu sepertimana anda menjarak tanaman anda di ladang. Kalau ladang anda jaga, maka jagalah isteri itu dari segi fizikal dan mental. Jangan disusahkan hidup mereka nanti dengan hasil tuaian tidak bagus. Berikan apa keperluan mereka sepertimana petani memberi benih yang baik untuk menuai hasil yang baik.

Apabila ladang telah mula menumbuhkan hasil, para petani lebih lagi menjaga ladangnya itu. Begitulah dengan suami, kalau isteri sudah mula mengandung, lagilah perlu diberi perhatian kepada si isteri itu. Banyak terjadi isteri meroyan kerana suami lepas tangan tidak hiraukan isteri ketika isteri mengandung. Apabila hasil tuaian telah dituai, para petani akan menjaga hasilnya itu. Maka begitulah mesti dijaga anak yang dilahirkan supaya anak itu menjadi anak yang soleh dan solehah.

Inilah perkara-perkara yang perlu diperhatikan oleh pasangan di dalam perkahwinan. Akan tetapi malangnya perkara ini tidak diajar di sekolah dan di universiti. Kursus perkahwinan walaupun diwajibkan, tetapi malang sekali ia menjadi tempat lawak para penceramah sahaja. Jadi ramai pasangan tidak tahu pun apa yang mereka perlu buat setelah menikah. Yang menikah itu pula muda-muda belaka, apa pun belum tahu lagi. Kebanyakannya menikah kerana hormon sudah naik, tetapi tanggungjawab mereka tidak tahu. Kerana itulah ramai yang bercerai berai kerana tidak sangka susah betul rupanya untuk melayari perkahwinan itu. Ini semua kerana tidak belajar bab-bab perkahwinan. Sedangkan jikalau belajar agama, perkara-perkara ini disentuh secara terperinci sebenarnya.

 

فَأتوا حَرثَكُم أَنّىٰ شِئتُم

oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai 

Oleh kerana ladang itu kepunyaan kita, maka kita boleh mendatangi ladang itu mengikut cara yang kita suka. Lafaz أنّى boleh menjadi dua makna dari segi bahasa: كيف (bagaimana) atau أين (dari mana). Namun dalam ayat ini hanya boleh diterjemahkan sebagai كيف sahaja kerana terdapat larangan daripada Nabi ﷺ untuk mendatangi isteri dari lubang dubur. Ini kerana kalau kita menggunakan juga maksud أين, maksudnya suami boleh bersetubuh pula dengan isteri melalui laluan dubur. Itu adalah dilarang kerana menurut hadith:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ جَاءَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ قَالَ وَمَا الَّذِي أَهْلَكَكَ قَالَ حَوَّلْتُ رَحْلِيَ الْبَارِحَةَ قَالَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ شَيْئًا قَالَ فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَى رَسُولِهِ هَذِهِ الْآيَةَ { نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ } أَقْبِلْ وَأَدْبِرْ وَاتَّقِ الدُّبُرَ وَالْحَيْضَةَ
Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, beliau berkata; Umar bin Khathab رضي الله عنه datang kepada Rasulullah ﷺ lalu berkata; “Wahai Rasulullah, aku telah binasa.” Baginda bertanya: “Apa yang membinasakanmu?” Umar رضي الله عنه menjawab; “Aku membalik tungganganku (yakni isteriku) malam tadi.” Ibnu Abbas رضي الله عنهما berkata; Baginda tidak mengatakan apa-apa mengenai itu. Ibnu Abbas رضي الله عنهما melanjutkan; Lalu Allah ‎ﷻ mewahyukan kepada Rasul-Nya ayat ini: (Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tanah tempat bercucuk tanammu itu apa sahaja cara kamu kehendaki) (lalu baginda mengatakan): “Bagaimana sahaja kamu kehendaki, dari hadapan atau belakang tetapi hindarilah dubur dan haid.”
(Musnad Ahmad hadith No. 2569)

Syarah: yang dilakukan oleh Saidina Umar رضي الله عنه itu bukanlah mendatangi isterinya dari dubur tetapi dari arah belakang. Ini tidak salah. Beliau mengadu kepada Rasulullah ﷺ kerana salah faham dengan apa yang disebut-sebut oleh golongan Yahudi. Disebut di dalam hadith yang lain:

عَنْ ابْنِ الْمُنْكَدِرِ سَمِعْتُ جَابِرًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَتْ الْيَهُودُ تَقُولُ إِذَا جَامَعَهَا مِنْ وَرَائِهَا جَاءَ الْوَلَدُ أَحْوَلَ فَنَزَلَتْ { نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ }
Daripada Ibnu Al Munkadir aku mendengar Jabir رضي الله عنهما berkata; “Orang-orang Yahudi berkata; ‘Apabila menggauli wanita melalui belakang maka mata anaknya akan menjadi juling’. Lalu Allah ﷻ menurunkan ayat; Isteri-isteri kalian adalah ladang kalian, maka datangilah ladang kalian dari mana engkau kehendaki.” (Al-Baqarah 223).
(Hadith Bukhari No. 4164)

Di dalam hadith yang lain,

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ إِنَّ ابْنَ عُمَرَ – وَاللَّهُ يَغْفِرُ لَهُ – أَوْهَمَ إِنَّمَا كَانَ هَذَا الْحَىُّ مِنَ الأَنْصَارِ – وَهُمْ أَهْلُ وَثَنٍ – مَعَ هَذَا الْحَىِّ مِنْ يَهُودَ – وَهُمْ أَهْلُ كِتَابٍ – وَكَانُوا يَرَوْنَ لَهُمْ فَضْلاً عَلَيْهِمْ فِي الْعِلْمِ فَكَانُوا يَقْتَدُونَ بِكَثِيرٍ مِنْ فِعْلِهِمْ وَكَانَ مِنْ أَمْرِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَنْ لاَ يَأْتُوا النِّسَاءَ إِلاَّ عَلَى حَرْفٍ وَذَلِكَ أَسْتَرُ مَا تَكُونُ الْمَرْأَةُ فَكَانَ هَذَا الْحَىُّ مِنَ الأَنْصَارِ قَدْ أَخَذُوا بِذَلِكَ مِنْ فِعْلِهِمْ وَكَانَ هَذَا الْحَىُّ مِنْ قُرَيْشٍ يَشْرَحُونَ النِّسَاءَ شَرْحًا مُنْكَرًا وَيَتَلَذَّذُونَ مِنْهُنَّ مُقْبِلاَتٍ وَمُدْبِرَاتٍ وَمُسْتَلْقِيَاتٍ فَلَمَّا قَدِمَ الْمُهَاجِرُونَ الْمَدِينَةَ تَزَوَّجَ رَجُلٌ مِنْهُمُ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ فَذَهَبَ يَصْنَعُ بِهَا ذَلِكَ فَأَنْكَرَتْهُ عَلَيْهِ وَقَالَتْ إِنَّمَا كُنَّا نُؤْتَى عَلَى حَرْفٍ فَاصْنَعْ ذَلِكَ وَإِلاَّ فَاجْتَنِبْنِي حَتَّى شَرِيَ أَمْرُهُمَا فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ‏{‏ نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ ‏}‏ أَىْ مُقْبِلاَتٍ وَمُدْبِرَاتٍ وَمُسْتَلْقِيَاتٍ يَعْنِي بِذَلِكَ مَوْضِعَ الْوَلَدِ ‏.‏
Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, dia berkata; sesungguhnya Ibnu Umar semoga Allah mengampuninya, dia telah salah faham akan ayat Al-Qur’an. Sesungguhnya terdapat sebuah kampung Ansar yang merupakan para penyembah berhala, hidup bersama penduduk kampung yahudi yang merupakan ahli kitab. Dan mereka memandang bahawa orang-orang Yahudi memiliki keutamaan atas mereka dalam hal ilmu. Dan mereka mengikuti kebanyakan perbuatan orang-orang Yahudi. Di antara keadaan ahli kitab adalah mereka tidak menggauli isteri mereka kecuali dengan satu cara, dan hal tersebut lebih menjaga rasa malu seorang wanita. Dan orang-orang Ansar ini mengikuti perbuatan mereka dalam hal tersebut. Sementara orang-orang Quraisy menggauli isteri-isteri mereka dengan cara yang mereka ingkari, orang-orang Quraisy menggauli mereka dalam keadaan menghadap dan membelakangi serta dalam keadaan terlentang. Kemudian tatkala orang-orang muhajirin datang ke Madinah, salah seorang di antara mereka menikahi seorang wanita Ansar. Kemudian dia melakukan hal tersebut. Kemudian wanita Ansar tersebut mengingkarinya dan berkata; sesungguhnya kami didatangi dengan satu cara, maka lakukan hal tersebut, jika tidak maka jauhilah aku! Hingga tersebar permasalahan mereka, dan hal tersebut sampai kepada Rasulullah ﷺ. Kemudian Allah ‘azza wajalla menurunkan ayat: “Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tanah tempat bercucuk-tanammu itu bagaimana sahaja kamu kehendaki.” Yakni dalam keadaan menghadap (saling berhadapan), membelakangi dan terlentang, iaitu pada tempat diperolehnya anak (farj).
Sunan Abi Dawud (2164) Sahih menurut Albani.

Maknanya, buatlah macam mana pun cara untuk memuaskan nafsu dengan isteri, asalkan bukan masuk ikut dubur. Atas, bawah, depan dan belakang, tunggang terbalik semua boleh. Maknanya ia adalah acara bebas kerana kita tidak diajar secara spesifik tentang kaifiat berjimak. Malah boleh sahaja melihat aurat suami isteri kerana ia memang halal. Hadith yang mengatakan isteri Nabi ﷺ tidak pernah melihat aurat Rasulullah ﷺ adalah tidak sahih maka tidak boleh dijadikan hujah.

عَنْ نَافِعٍ قَالَ كَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا إِذَا قَرَأَ الْقُرْآنَ لَمْ يَتَكَلَّمْ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهُ فَأَخَذْتُ عَلَيْهِ يَوْمًا فَقَرَأَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ حَتَّى انْتَهَى إِلَى مَكَانٍ قَالَ تَدْرِي فِيمَ أُنْزِلَتْ قُلْتُ لَا قَالَ أُنْزِلَتْ فِي كَذَا وَكَذَا ثُمَّ مَضَى وَعَنْ عَبْدِ الصَّمَدِ حَدَّثَنِي أَبِي حَدَّثَنِي أَيُّوبُ عَنْ نَافِعٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ { فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ } قَالَ يَأْتِيهَا فِي
Nafi’ dia berkata; Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا apabila membaca Al Qur’an, beliau tidak berbicara hingga selesai membacanya. Pada suatu hari aku mengambil mushaf-nya, maka membaca surat Al Baqarah hingga selesai dengan hafalannya. Lalu dia berkata; tahukah kamu tentang apa surat ini turun? Aku menjawab; ‘Tidak.’ Dia berkata; surat ini turun tentang ini dan itu kemudian dia pergi.’ Dan daripada Abdus Shamad Telah menceritakan kepadaku ayahku telah menceritakan kepadaku Ayyub daripada Nafi’ daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengenai ayat; “isteri-isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah ladang-ladangmu bila sahaja sesuai yang kamu sukai”. (Al-Baqarah 223), Ibnu Umar berkata; iaitu mendatanginya dari kemaluannya.
(Sahih Bukhari No. 4163)

Cuma, para suami kenalah bijak menilai keadaan isteri. Jangan paksa isteri terlalu kerap bersama jikalau dia tidak mampu. Kena sedar yang isteri sekarang banyak kerja, mereka juga yang menjaga anak dan menjaga rumah. Kadangkala mereka penat dan memang tidak mampu melayan kita. Janganlah dipaksa mereka jikalau mereka pun tidak selesa melayan kita. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nisa’: 19

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik

Kepada para isteri pun, janganlah kedekut sangat dengan suami. Suami itu ada kehendak fizikal dan syahwat juga. Nanti kalau suami pasang lain, awak juga yang marah. Jadi suami isteri kenalah saling faham memahami dan saling bertolak ansur barulah rumahtangga aman makmur.

 

وَقَدِّموا لِأَنفُسِكُم

dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu;

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita dalam ayat ini, walau sibuk dengan ladang, tetapi mestilah mengutamakan amalan akhirat untuk diri. Beramallah dengan amal kebaikan yang akan menanti kita di akhirat kelak. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Baqarah: 110

وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِّن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ
dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita, walaupun kita berada di dalam kemuncak kehidupan dunia, kena ingat kepada Allah ‎ﷻ juga. Kemuncak kehidupan adalah ketika bersama dengan isteri semasa jimak. Tidak ada yang lebih hebat daripada kenikmatan itu. Jadi kena pastikan ada amalan baik yang kita buat sebagai bekalan akhirat. Jangan sampai leka dengan isteri sampai lupa untuk membuat amalan kebaikan.

Atau maksud ayat ini, kita kena ada keinginan untuk mendapatkan anak dan membina keluarga. Bukannya semata-mata hanya untuk keperluan seks sahaja. Rasulullah ﷺ suka jikalau umatnya ramai. Maka antara kriteria memilih bakal isteri adalah seorang wanita yang subur. Ini kita dapat tahu daripada hadith,

عن معقل بن يسار قال جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال إني أصبت امرأة ذات حسب وجمال وإنها لا تلد أفأتزوجها قال لا ثم أتاه الثانية فنهاه ثم أتاه الثالثة فقال تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم
Daripada Ma’qil bin Yasar, beliau berkata, seorang laki-laki datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata, sesungguhnya aku mendapati seorang wanita yang mempunyai keturunan yang baik dan cantik, akan tetapi dia mandul, apakah aku boleh menikahinya? Baginda menjawab, “Tidak.” Kemudian beliau datang lagi kedua kalinya dan baginda melarangnya, kemudian baginda datang ketiga kalinya lalu Rasulullah ﷺ bersabda, “Nikahkanlah wanita-wanita yang penyayang dan subur (banyak keturunan), kerana aku akan berbangga kepada umat yang lain dengan banyaknya kalian.
(Sunan Abu Dawud (1754)) Status Hasan Sahih menurut Sheikh Albani. 

Hadith ini sesuai dengan ayat yang kita sedang bincangkan. Allah ‎ﷻ menggunakan perumpamaan isteri sebagai ladang, bukan? Kalau kita ada ladang, kita hendak hasil yang sedikit atau hasil banyak? Tentulah banyak, bukan? Maka kita hendaklah berniat untuk mendapatkan anak yang ramai kerana itulah tuntutan agama. Kerana itu ada masalah kalau merancang keluarga. Kalau hendak rancang anak pun, jangan lebih daripada dua tahun. Masalahnya orang kita takut hendak beranak ramai kerana takut tidak boleh beri anak makan, atau takut anak akan makan rezeki kita. Ini adalah satu fikiran yang ditegur oleh Allah ‎ﷻ di dalam Al-Qur’an kerana ia amat salah. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Isra’: 31

وَلَا تَقتُلُوٓاْ أَولَـٰدَكُم خَشيَةَ إِملَـٰقٍ نَّحنُ نَرزُقُهُم وَإِيَّاكُم إِنَّ قَتلَهُم ڪَانَ خِطـًٔا كَبِيرًا
Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.

Sekali lagi Allah ‎ﷻ tegur di dalam An’am: 151

وَلَا تَقتُلُوٓاْ أَولَـٰدَڪُم مِّن إِملَـٰقٍ نَّحنُ نَرزُقُڪُم وَإِيَّاهُم
dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka;

Anak-anak ini penting sebagai saham akhirat kerana jikalau kita mendapat anak yang soleh nanti merekalah yang akan memberi pahala berterusan kepada kita apabila kita sudah tiada.

Jangan kita lupa bahawa mengadakan hubungan seks suami isteri pun akan dapat pahala juga kerana ia adalah halal dan diredhai oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ pun telah berfirman di atas: فَأتوا حَرثَكُم (maka datangilah ladang kalian) iaitu di dalam bentuk arahan. Sekiranya kita mengikut arahan Allah ‎ﷻ, kita akan dapat pahala. Eh, takkan begitu pula? Ya para sahabat رضي الله عنهم pun terkejut dulu,

Daripada Abu Dzar Al-Ghifari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“وفي بضع أحدكم صدقة”
“Dan pada kemaluan setiap seorang di antara kalian terdapat sedekah.”

Para sahabat رضي الله عنهم kemudian bertanya:

“يا رسول الله أيأتي أحدنا شهوته ويكون له فيها أجر؟”
“Wahai Rasulullah, apakah salah seorang di antara kami mendatangi isterinya dengan syahwat, lalu dia mendapatkan pahala di dalamnya?”

Rasulullah ﷺ menjawab:

“أرأيتم لو وضعها في حرام أكان عليه وزر؟ فكذلك إذا وضعها في حلال كان له أجر”
“Bagaimana pendapat kalian jika dia meletakkannya pada yang haram, bukankah dia akan mendapatkan dosa? Demikian pula jika dia meletakkannya pada yang halal, maka dia akan mendapatkan pahala.”
(HR. Muslim No. 1006)

Bagaimana ia bukan pahala sedangkan ia mengandungi banyak kebaikan? Ia memberi kerehatan tubuh kepada kita; ia menahan kita daripada melakukan zina; ia akan menjaga pandangan kita kerana kita telah puas dengan isteri kita; kita memenuhi hak isteri kita yang juga ada hak kepada hubungan kelamin. Jangan sangka kita suami sahaja mahu seks, isteri kita juga perlukan belaian dan kasih sayang. Daripada Abdullah bin Amr bin Al-Ash رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

يا عبد الله ألم أخبر أنك تصوم النهار وتقوم الليل؟” قلت: بلى يا رسول الله. قال: “فلا تفعل، صم وأفطر، وقم ونم، فإن لجسدك عليك حقا، وإن لعينك عليك حقا، وإن لزوجك عليك حقا…”
“Wahai Abdullah, telah dikhabarkan kepadaku bahawa engkau berpuasa di siang hari dan solat malam (terus-menerus)?” Aku menjawab: “Benar, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Jangan lakukan itu. Berpuasalah dan berbukalah, solat malamlah dan tidurlah. Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak atasmu, matamu mempunyai hak atasmu, dan isterimu mempunyai hak atasmu…”
(HR. Bukhari No. 1975)

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

dan bertaqwalah kepada Allah

Kena ada taqwa dalam perhubungan suami isteri. Taqwa itu maksudnya menjaga hukum, maka hendaklah kita menjaga hukum tentang perhubungan suami isteri. Nanti akan datang banyak lagi ayat-ayat yang menyentuh tentang perhubungan suami isteri seperti nikah dan cerai.

Amalkanlah yang sunnah di dalam hubungan persetubuhan suami dan isteri. Jangan buat perkara yang dilarang dan bacalah doa seperti yang diajar oleh Nabi ﷺ. Telah disebutkan di dalam kitab Sahih Bukhari, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

«لو أن أحدكم إِذَا أَرَادَ أَنْ يَأْتِيَ أَهْلَهُ، قَالَ:بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا، فَإِنَّهُ إِنْ يُقَدَّرْ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ فِي ذلك، لن يضره الشيطان أبدا» .
Seandainya seseorang daripada kalian di saat hendak mendatangi isterinya mengucapkan, “Dengan menyebut nama Allah, Ya Allah, jauhkanlah daripada kami syaitan dan jauhkanlah pula daripada syaitan apa (anak) yang Engkau rezekikan kepada kami”, maka sesungguhnya jika ditakdirkan bagi kedua-duanya memperolehi anak daripada hubungannya tersebut, nescaya syaitan tidak dapat menimpakan mudarat terhadap si anak selama-lamanya.
(Sahih Bukhari No 6388 dan Muslim No 1434)

وَاعلَموا أَنَّكُم مُّلٰقوهُ

serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya

Kena ingat yang kita tidak hidup selamanya di dunia ini. Sampai masa kita akan mati dan menemui-Nya dan kita akan ditanya tentang bagaimana kita menjalani kehidupan kita semasa di dunia dan sama ada kita menjaga hukum-hukum-Nya.

 

وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman.

Orang-orang yang beriman dan menjaga hukum daripada Allah ‎ﷻ, akan diberikan dengan balasan syurga yang mereka akan kekal di dalamnya. Memang salah satu tugas Nabi adalah memberikan berita gembira kepada orang-orang yang beriman untuk memberi semangat kepada mereka.

Dari sini juga kita tahu yang layak mendapat berita gembira dengan balasan syurga adalah orang-orang mukmin sahaja dan kerana itulah orang mukmin ini tenang-tenang sahaja. Kerana mereka telah mendapat berita gembira daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul- Nya dan mereka menunggu-nunggu untuk ke syurga, mereka tidak sabar-sabar lagi; sehinggakan kehidupan di dunia ini tidaklah menyesakkan mereka. Apa sahaja terjadi, mereka tenang sahaja. Tidak kiralah satu dunia diserang virus Covid-19, minyak naik hargakah, Perdana Menteri bertukar lagikah, barang mereka hilang, ahli keluarga mereka meninggal, ekonomi sedang merudum, Trump main tariff, apa-apa sahaja, mereka akan tenang sahaja. Perhatikan hadith ini,

Daripada Shuhaib, dia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda,

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Sahih Muslim No. 2999)

 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 April 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 223 (Hukum Jimak Suami Isteri)”

Leave a comment