Baqarah Ayat 220:
فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۗ وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتٰمىٰ ۖ قُل إِصلاحٌ لَّهُم خَيرٌ ۖ وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوٰنُكُم ۚ وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
To this world and the Hereafter. And they ask you about orphans. Say, “Improvement for them is best. And if you mix your affairs with theirs – they are your brothers. And Allah knows the corrupter from the amender. And if Allah had willed, He could have put you in difficulty. Indeed, Allah is Exalted in Might and Wise.
MALAY
Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ
Mengenai di dunia dan di akhirat
Ayat ini adalah sambungan terus daripada ayat yang sebelumnya. Jadi ada pendapat yang mengatakan sambungan ayat itu adalah daripada ayat 219 jadi begini كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلۡأَيَـٰتِ لَعَلَّڪُمۡ تَتَفَكَّرُونَ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِۗ. Jadi kalau baca terus begini pun tidak salah. Kalau hendak berhenti pada ayat 219 pun boleh juga.
Allah ﷻ telah menerangkan seluruh ayat-ayatnya tentang arak, judi dan infak kepada kita semoga kita boleh memikirkan keuntungan dunia dan keuntungan di akhirat. Apakah kerugian kalau kita terlibat dengan arak dan keuntungan jikalau kita infak harta kita. Semua ini kena difikirkan secara mendalam. Jangan ikut perasaan dan nafsu kita sahaja. Hidup kita bukan di dunia sahaja, tetapi ingatlah yang kita semua akhirnya akan menuju kepada akhirat. Jangan kita untung di dunia tetapi rugi di akhirat nanti – itu adalah rugi yang serugi-ruginya.
Ayat ini juga mengingatkan kita untuk memikirkan tentang akhirat. Memang kita sudah selalu memikirkan tentang dunia. Sebagai contoh, apabila dapat gaji sahaja, kita sudah fikirkan ke manakah wang gaji itu akan dibelanjakan, berapa hendak beli makanan dan bayar tempat tinggal, hutang yang kita kena bayar, pakaian yang kita hendak beli, pelaburan yang kita boleh laburkan duit itu dan sebagainya. Itu memang selalu kita fikirkan.
Namun bagaimana pula dengan akhirat? Adakah dalam perkiraan penggunaan wang kita itu, kita memikirkan kepada siapakah yang kita boleh tolong? Berapa banyak kita boleh bagi sedekah? Adakah kita beri infak kepada mereka yang menjalankan kerja dakwah dan sebagainya? Itu semua adalah saham akhirat kita. Ia tidak akan merugikan kita.
“مَا نَقَصَ مَالٌ مِنْ صَدَقَةٍ، وَمَا زَادَ اللهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَنْ تَوَاضَعَ ِللهِ رَفَعَهُ اللهُ”
Tiada harta benda yang berkurang kerana bersedekah, dan tidak sekali-kali Allah menambahkan kepada orang yang berinfak melainkan kemuliaannya. Dan barang siapa yang berendah diri kerana Allah, Allah pasti mengangkatnya (meninggikannya).
(Sahih Muslim No. 4689)
Allah ﷻ telah beritahu yang Dia akan pulangkan balik setiap sen yang kita infakkan itu dengan berlebihan berganda-ganda lagi. Itu adalah pelaburan yang paling menguntungkan sekali dan tidak ada lagi pelaburan yang lebih untung daripada itu. Kalau kita simpan duit di rumah atau di bank, ia boleh hilang – tetapi kalau kita simpan dengan Allah ﷻ, ia tidak akan hilang dan akan menunggu kita di akhirat kelak. Sudahlah tidak hilang, ia akan dilipat gandakan berkali-kali ganda.
وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتٰمىٰ
dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai anak-anak yatim.
Masalah ketiga adalah tentang anak yatim. Sekali lagi kita bertemu soalan daripada para sahabat رضي الله عنهم tentang agama. Begitulah mereka prihatin tentang ugama dan bertanya terus kepada Rasulullah ﷺ akan hal agama. Ini mengajar kita untuk mendapatkan dalil dalam hal agama, jangan buat pandai sendiri. Maka jangan malu bertanya minta dalil. Buat para ustaz pula janganlah lokek untuk memberitahu dalil. Kalau ada ustaz yang marah kalau kita minta dalil, maka ketahuilah, ustaz itu sendiri tidak ada dalil sebenarnya.
Anak yatim adalah kanak-kanak yang belum baligh dan kematian ayahnya. Kalau kematian emak tidaklah dipanggil anak yatim. Yang menjadi masalah besar adalah apabila ayahnya sudah mati kerana pelindung dan pencari rezeki bagi anak itu sudah tiada. Para sahabat رضي الله عنهم bukannya tidak tahu tentang siapa anak yatim, maka soalan ini adalah tentang permasalahan dalam urusan memelihara mereka. Rasa macam susah pula untuk menjaga mereka, maka kerana itulah timbul persoalan tentang mereka. Kerana susah menjaga mereka, ramai keluarga yang tidak mahu jaga dan mereka letakkan mereka di Rumah Anak Yatim sahaja. Sedangkan mereka ada sahaja keluarga sebelah bapa saudara mereka. Akan tetapi begitulah yang berlaku apabila ahli keluarga sendiri pun tidak mahu menyusahkan diri (dan mendapat pahala yang banyak) maka dibiarkan sahaja anak saudara mereka yang yatim itu. Ketahuilah yang kalau dihantar ke rumah Anak Yatim, maka wali telah melepaskan tanggungjawab. Sedangkan kalau ayah sudah meninggal, maka bapa saudaranya yang mengambil kedudukan ayah itu. Sepatutnya jangan ditinggalkan tanggungjawab tersebut.
Pertamanya, Islam memang menggalakkan umatnya menjaga anak yatim. Ini disebut dalam banyak ayat Al-Qur’an dan juga hadith-hadith sahih. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
كَافِلُ الْيَتِيمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ
“Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi ﷺ mengisyaratkan dengan dua jari baginda ﷺ) di syurga”.
(Riwayat Muslim No. 2983)
Ibn Majah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ عَالَ ثَلَاثَةً مِنْ الْأَيْتَامِ كَانَ كَمَنْ قَامَ لَيْلَهُ وَصَامَ نَهَارَهُ وَغَدَا وَرَاحَ شَاهِرًا سَيْفَهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَكُنْتُ أَنَا وَهُوَ فِي الْجَنَّةِ أَخَوَيْنِ كَهَاتَيْنِ أُخْتَانِ وَأَلْصَقَ إِصْبَعَيْهِ السَّبَّابَةَ وَالْوُسْطَى
Daripada Abdullah bin Abbas رضي الله عنهما beliau berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa mengurus tiga anak yatim maka dia ibarat orang yang melakukan qiyamul lail pada malam harinya, berpuasa pada siang harinya, berangkat pagi dan petang hari dengan pedang terhunus di jalan Allah ﷻ, aku dan dia berada di syurga seperti dua saudara sebagaimana dua ini yang bersaudara.” Dan baginda menempelkan dua jarinya, iaitu jari telunjuk dan jari tengah.”
(Hadith Ibnu Majah No. 3670) Status: Dhaif (Darussalam)
Kerana itulah kita kena fikirkan tentang dunia dan akhirat sekali. Kalau fikirkan tentang dunia sahaja, tidak ada untungnya membantu anak yatim kerana mereka tidak boleh membalas kebaikan yang kita lakukan. Akan tetapi kalau fikirkan keuntungan dunia, maka membantu anak yatim sangatlah besar ganjarannya. Imam At-Tirmidzi رحمه الله meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda :
مَنْ قَبَضَ يَتِيمًا مِنْ بَيْنِ الْمُسْلِمِينَ إِلَى طَعَامِهِ وَشَرَابِهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الجَنَّةَ الْبَتَّةَ إِلاَّ أَنْ يَعْمَلَ ذَنْبًا لاَ يُغْفَرُ لَهُ
Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum nescaya Allah ﷻ akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni.”
(Riwayat al-Tirmidzi No. 1917)
Hadith-hadith ini menunjukkan akan ketentuan Allah ﷻ memberikan pahala dan ganjaran kepada mereka yang secara ikhlas memelihara anak yatim. Baginda Nabi Muhammad ﷺ malah menerangkan bahawa si penjaga akan bersama-sama bagaikan saudara dengan baginda di syurga kelak, inilah antara ganjaran yang terbesar yang diinginkan umat Islam semuanya.
Sebaliknya jikalau kita berlaku buruk kepada anak yatim, maka menerima kutukan Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman di dalam Ma’un: 1-2
أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ
Adakah kamu lihat (orang) yang mendustakan agama?
فَذٰلِكَ الَّذي يَدُعُّ اليَتيمَ
Itulah orang yang mengherdik anak yatim,
قُل إِصلاحٌ لَّهُم خَيرٌ
Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”
Perhatikan Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ jawab soalan yang telah diutarakan di atas. Nabi selalunya menunggu wahyu daripada Allah ﷻ sebelum memberi jawapan. Baginda tidak memandai-mandai sendiri. Malangnya ramai pula dalam kalangan asatizah kita selalunya memandai-mandai dalam memberi jawapan untuk soalan agama tanpa merujuk kepada dalil wahyu.
Ayat ini ditujukan kepada para penjaga anak-anak yatim yang telah diamanahkan untuk menjaga mereka. Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini, kalau tujuan para penjaga untuk kebaikan anak-anak yatim itu, kesannya adalah baik. Banyak pahala boleh dijana jikalau kita menjaga anak yatim. ‘Islah’ itu juga maksudnya menjaga dengan tujuan untuk melakukan kebaikan dan mengurus dengan baik. Kalau mereka berniat membantu dan menjaga anak yatim itu untuk kebaikan, ia adalah amat bagus sekali. Maksudnya mendidik, bergaul, memelihara, serta mengembangkan harta mereka yang dilakukan dengan baik dan wajar, itulah sikap yang dituntut terhadap anak-anak yatim.
Kalau anak-anak yatim itu ada harta dan harta itu digunakan sebagai pelaburan yang menguntungkan, itu juga adalah kebaikan. Iaitu cari perniagaan atau pelaburan yang ‘berkemungkinan’ menguntungkan. Kalau dibiarkan harta itu duduk sahaja dalam bank, lama kelamaan boleh habis begitu sahaja harta itu kalau diambil sedikit demi sedikit. Maka bolehlah harta itu dijadikan modal untuk menambah harta itu. Supaya nanti apabila harta itu dikembalikan kepada anak yatim itu setelah dia dewasa, ia menjadi lebih banyak daripada asalnya.
Kita memang tahu yang keuntungan tidak dapat dipastikan, tetapi kita boleh agak manakah pelaburan yang selamat. Maka jangan labur dalam saham Bursa pula sebab itu ada kemungkinan akan rugi wang mereka. Juga janganlah melabur dalam skim Ponzi dan juga MLM. Kena nilai dengan akal yang waras. Allah ﷻ berfirman di dalam Isra’: 34
فَأَصابَهُم سَيِّئَاتُ ما عَمِلوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ
Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai dia dewasa.
Penjaga boleh mengambil harta anak yatim itu dan melaburkannya di tempat yang bermanfaat. Sebagai contoh, boleh beli rumah dan sewakan dan lain-lain perniagaan yang selamat. Sebab kalau tidak dilaburkan pun, harta itu akan berkurangan sebab perlu dibayar zakat tiap-tiap tahun – lama-lama harta itu akan susut. Jadi memang elok kalau harta itu disuburkan dengan pelaburan supaya bertambah. Supaya apabila anak yatim itu sudah cukup umur, harta itu boleh diberikan kepadanya dan ia telah bertambah. Bolehlah dia gunakan untuk kegunaannya melangsungkan kehidupannya. Tidaklah dia kesusahan nanti apabila dia sudah dewasa.
Semua ini memerlukan hati yang ikhlas dan keinginan kepada kebaikan anak itu. Kalau tidak ada, susah hendak buat begini. Maka niat semenjak awal lagi kenalah benar dan suci ikhlas. Kalau tidak memang susah kerana menjaga anak yatim dan hartanya sekali memang memerlukan usaha yang banyak dan lama. Jikalau kita meluangkan masa untuk menjaga harta anak yatim itu, maka sudah tentu kita tidak ada masa untuk membuat kerja lain. Maka dalam keadaan itu, kita boleh mengambil gaji atau upah daripada wang itu sekadar yang patut. Kena jujur dalam perkara ini. Kena ingat yang semua ini akan ditanya oleh Allah ﷻ.
Kalau kita memelihara anak yatim dan mereka ada harta, kita boleh ambil sedikit harta mereka kerana kita menjaga mereka. Akan tetapi jikalau kita orang kaya dan tidak memerlukan harta anak yatim itu, maka kita tidak perlu memakannya atau mengambilnya. Maka dalam keadaan begitu, kita simpan sahaja dan seeloknya dilaburkan ke tempat yang menguntungkan. Allah ﷻ berfirman di dalam Nisa’: 6
وَلا تَأكُلوها إِسرافًا وَبِدارًا أَن يَكبَروا ۚ وَمَن كانَ غَنِيًّا فَليَستَعفِف ۖ وَمَن كانَ فَقيرًا فَليَأكُل بِالمَعروفِ
dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah dia menahan diri (daripada memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya.
Jagalah anak yatim itu dan beri pendidikan agama kepada mereka supaya mereka menjadi anak yang soleh. Allah ﷻ akan membalas segala susah payah kita itu. Memang menjaga anak-anak yatim bukan mudah kerana kita kena berhati-hati supaya kita tidak termakan harta mereka dengan cara salah atau terbuat kezaliman kepada mereka. Jadi jikalau kita lakukan semua itu untuk kebaikan anak itu maka insyaallah, Allah ﷻ akan bantu kita untuk menjadikan kebaikan di dalamnya. Ganjaran yang dijanjikan amat-amat tinggi.
وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوٰنُكُم
dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu
Kalimah تُخالِطوهُم daripada kata dasar: خ ل ط yang bermaksud bercampur gaul, diletakkan bersama dengan benda lain, keliru, bersetubuh, menembusi, menjangkiti, menjadi rapat, mengadakan perjanjian untuk bergabung, baik hati.
Kalimah إِخوٰنُ pula daripada kata dasar أ خ و yang bermaksud adik beradik lelaki, sama keturunan dengan seseorang, kawan, rakan, sepadan, rapat dengan seseorang, adik, kakak, abang, bersetuju dengan seseorang.
Jikalau makanan kita bercampur aduk dengan makanan mereka maka anggaplah mereka itu adik beradik kita bukan orang lain. Seharusnya saudara mara memang berkongsi barang dan kita menolong mereka. Janganlah sampai tidak makan bersama kerana takut termakan makanan mereka. Makanlah sekali bersama-sama, jangan takut. Tidak perlu sampai kena buat dua dapur yang berbeza. Janganlah sampai makan berlainan meja dan tempat kerana kalau makan pun berpisah-pisah, itu bukan saudara mara lagi dan merendahkan mereka pula. Namun walaupun boleh bercampur dengan makanan kita, janganlah salah guna pula harta anak yatim itu.
Kenapakah adanya ayat ini? Para sahabat رضي الله عنهم sudah tahu memang ada kelebihan menjaga anak yatim. Namun dalam masa yang sama, mereka tahu kita dilarang daripada memakan harta anak yatim. Allah ﷻ sebut dalam ayat yang lain iaitu Nisa’: 10:
إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوٰلَ الْيَتٰمَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).

Malah perkara yang sama diulang di dalam An’am:1 52
وَلَا تَقرَبُواْ مَالَ ٱليَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحسَنُ حَتَّىٰ يَبلُغَ أَشُدَّهُ
Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh
Jadi, para sahabat رضي الله عنهم takut kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang mereka pelihara kerana sifat mereka yang amat menjaga hukum. Mereka tidak berani hendak melanggar larangan Allah ﷻ. Lalu, mereka sudah mula terasa susah bagi mereka untuk memelihara anak yatim. Begitulah para sahabat رضي الله عنهم amat prihatin dengan dosa dan amat takut kalau terlanggar peraturan Allah ﷻ dan menyebabkan Allah ﷻ murka. Bukannya macam kita ini yang selamba sahaja membuat dosa.
Dalam satu sudut, mereka tahu ada banyak ganjaran dan kebaikan kalau menjaga anak yatim, namun dalam masa yang sama juga, mereka amat takut kalau mereka membuat dosa kalau termakan harta anak yatim itu. Sampaikan ada antara mereka yang membuat dua dapur – satu untuk ahli keluarga mereka dan satu lagi untuk anak-anak yatim itu. Jikalau anak yatim itu makan tidak habis, mereka tidak berani makan dan dibiarkan sahaja makanan itu membusuk dan ini tentunya sudah berlaku pembaziran. Alasan mereka tidak makan bersama adalah kerana takut termakan daripada bahagian anak-anak yatim itu. Itu sudah menyusahkan mereka. Begitulah asbabun nuzul ayat ini. Diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasa’i, Al-Hakim, dan yang lain daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata,
“Ketika turun ayat, “Dan janganlah kalian mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik.” (Al-Isra’:34) dan “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim.” (An-Nisa’: 10), maka beranjaklah orang-orang yang di sisinya ada (mempunyai) anak yatim, kemudian mereka memisahkan makanan mereka dengan makanan anak yatim, begitu juga minuman mereka, dan mereka melebihkan makanan anak yatim daripada makanan mereka dan mengurung mereka sehingga makanan tersebut dimakan atau makanan tersebut rosak, hingga hal tersebut melampaui batas, kemudian mereka menceritakan hal tersebut kepada Nabi ﷺ, maka turunlah ayat, “Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim.”
Itulah yang dikatakan ada dua hala itu (ada pro dan kontra). Bukannya para sahabat رضي الله عنهم tidak mahu menjaga anak yatim, tetapi mereka takut juga kalau-kalau mereka buat salah. Maka Allah ﷻ membuat undang-undang untuk menguruskan perkara ini.
Maka di dalam ayat ini Allah ﷻ mengajar umat Islam untuk melayan anak-anak yatim seperti saudara mara. Layanlah seperti melayan sanak saudara sendiri, dengan penuh kasih sayang dan bergaul mesra dengan mereka. Jangan layan mereka seperti orang asing.
وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ
dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan daripada orang yang hendak memperbaikinya.
Allah ﷻ tahu isi hati dan niat mereka yang menjaga anak-anak yatim sama ada mereka mahukan kebaikan untuk anak yatim itu ataupun tidak. Maka kena ingat yang semua perbuatan kita akan ditanya oleh Allah ﷻ dan ia akan bergantung kepada niat kita semasa melakukannya.
Ada penjaga anak yatim yang mengambil kesempatan daripada harta peninggalan milik anak-anak yatim. Mereka suka menjaga anak yatim kerana mereka boleh mengambil peluang untuk mengikis harta anak-anak yatim itu. Allah ﷻ mengancam mereka di dalam ayat ini yang Dia tahu perbuatan dan niat mereka. Sekiranya mereka memakan harta anak yatim dengan cara yang salah, mereka akan diazab di akhirat kelak.
Di dalam masa yang sama, kalau niat mereka baik untuk menjaga anak yatim dan kalau mereka termakan sedikit makanan dan hak anak-anak yatim itu, Allah ﷻ boleh maafkan.
وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم
Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu
Kalimah أَعنَتَ daripada kata dasar: ع ن ت yang bermaksud mendapat susah, kesukaran, kedukaan, dibebankan dengan banyak, melakukan jenayah, menghalang orang melakukan sesuatu, jadi rosak, menyebabkan seseorang rosak, memukul dengan teruk, menyebabkan kejelikan kepada orang lain, keliru.
Kalaulah Allah ﷻ mahu, Allah ﷻ boleh menyusahkan kita yang menjaga anak yatim itu, iaitu kita tetap juga kena menjaga anak yatim itu dalam kesusahan dan kepayahan. Sampai tidak boleh langsung makan harta anak yatim itu, kena makan asing, kena buat dapur berbeza dan sebagainya. Namun Allah ﷻ tidak buat begitu kerana Allah ﷻ telah memberikan kemudahan di dalam urusan menjaga mereka. Supaya kita boleh mendapat pahala dan kelebihan menjaga anak yatim, tetapi tidaklah menyusahkan kita sangat.
Demikianlah ajaran daripada Allah ﷻ tentang beberapa hal daripada ayat 219 sebelum ini tentang arak, judi, infak dan sekarang tentang anak yatim pula. Nampak semua isu berbeza akan tetapi semuanya tentang hartabenda. Allah ﷻ suruh umat manusia berfikir di dalam memberikan hukum.
-
- Allah ﷻ menegur tentang manusia yang boros dan suka membuang duit dengan meminum arak dan bermain judi. Kalau ada kebaikan pun, tidaklah lebih baik daripada keburukan yang banyak.
- Kemudian Allah ﷻ mengajar bagaimana cara infak; jangan terlalu bersemangat sampaikan beri semua harta kepada orang lain sehingga tidak berbaki. Berikan sedekah setelah keperluan diri dan keluarga dipenuhi dan infaklah yang selebihnya.
- Kemudian di dalam ayat ini tentang menjaga harta anak yatim yang di dalam jagaan. Yang penting adalah menjaga dengan baik, dengan niat yang murni, bukannya untuk mengambil harta anak yatim itu kerana dosanya amat berat.
إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Maksud عَزيزٌ adalah Allah ﷻ boleh membalas segala dosa dan kesalahan kita sama ada di dunia atau di akhirat. Maksud عَزيزٌ adalah Allah ﷻ berkuasa untuk melakukan apa-apa sahaja dan Dia tidak boleh dikalahkan dan tidak boleh dihalang. Maka takutlah kepada azab Allah ﷻ kalau kita salahguna harta anak-anak yatim itu atau berlaku zalim terhadap mereka.
Maksud حَكيمٌ pula Allah ﷻ boleh mengampunkan kita kerana Dia Maha Bijaksana untuk menghukum. Sekiranya kita bersalah dalam hal menjaga harta anak yatim itu dan Allah ﷻ tidak balas semasa di dunia, itu adalah kerana atas hikmah kebijaksanaan Allah ﷻ, yang antaranya Allah ﷻ mahu memberi peluang untuk kita memperbaiki keadaan itu dan bertaubat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 15 April 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)



Alhamdullilah syukur pada Allah SWT terima kasih Ya Allah terima kasih kpd penulis
LikeLike
Alhamdullilah
LikeLike