KEHEBATAN SOLAT DAN DOA
Yunus Ayat 87: Doa mereka sebelum ini diterima oleh Allah ﷻ dan sekarang Allah ﷻ beri ajaran kepada mereka melalui wahyu. Bani Israil tinggal bersama bangsa Qibti kerana mereka adalah hamba kepada bangsa Qibti. Mereka duduk di luar rumah, di serambi, kandang kuda dan sebagainya. Dalam ayat ini, Allah ﷻ telah mewahyukan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun عليهماالسلام untuk menyediakan penempatan yang lain untuk Bani Israil.
وَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ وَأَخيهِ أَن تَبَوَّءآ لِقَومِكُما بِمِصرَ بُيوتًا وَاجعَلوا بُيوتَكُم قِبلَةً وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ
And We inspired to Moses and his brother, “Settle your people in Egypt in houses and make your houses [facing the] qiblah and establish prayer and give good tidings to the believers.”
Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)”.
وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ وَأَخِيهِ
Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun):
Selalunya disebut nama Nabi Musa عليه السلام sahaja, tetapi kali ini disebut nama Nabi Harun عليه السلام juga. Ini kerana Nabi Harun عليه السلام membantu Nabi Musa عليه السلام dan juga ditugaskan untuk menyampaikan ajaran wahyu kepada umat Bani Israil.
Di permulaan ayat ini, arahan diberikan kepada dua Nabi ini, kerana mereka yang kena sampaikan. Akan tetapi ketika turunnya arahan solat nanti, ia diberikan secara umum kerana semua Bani Israil kena solat.
أَن تَبَوَّءآ لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا
“Hendaklah kamu berdua menyediakan penempatan di Mesir sebagai rumah penginapan,
Kalimah تَبَوَّآ berasal daripada katadasar ب و ء yang bermaksud ‘tinggal di sesuatu tempat’. Sekarang mereka berdua diperintahkan untuk membina penempatan Bani Israil sendiri dan tidak lagi duduk di rumah-rumah tuan mereka. Mereka kena cari tempat yang sesuai di Mesir iaitu tempat yang selamat. Sebelum ini mereka hanya tinggal di tepi-tepi rumah tuan mereka kerana mereka adalah hamba.
Yang kita boleh ambil pelajaran daripada ayat ini adalah saranan untuk tinggal di dalam rumah. Apabila ada kacau-bilau di luar, maka kita kena cari keselamatan di dalam rumah kita. Jangan sibuk-sibuk hendak keluar rumah waktu itu. Tidak perlu menambah kekacauan yang ada. Sebab itu semasa Covid bermaharajalela, kita disuruh duduk di rumah sahaja.
Mereka juga disuruh untuk tinggal di negeri Mesir buat masa itu. Tidak selamat untuk mereka pergi ke mana-mana lagi pada waktu itu. Nabi Musa عليه السلام telah pernah meminta kepada Firaun untuk melepaskan Bani Israil tetapi tidak dipersetujui oleh Firaun. Mereka tidak berada di dalam kedudukan yang membolehkan mereka untuk melarikan diri lagi kerana mereka ramai dan tidak boleh lari begitu sahaja. Duduk di rumah sendiri juga adalah strategi supaya senang untuk mereka melarikan diri nanti. Maka ini adalah fasa pertama.
Kerana itulah mereka diarahkan untuk tunggu di Mesir sehingga mendapat arahan Allah ﷻ seterusnya. Bukanlah setiap penyelesaian kepada masalah adalah dengan hijrah kerana kadang-kadang seseorang itu tidak boleh terus berhijrah. Banyak perkara perlu difikirkan sebelum meninggalkan tempat tinggal untuk mencari tempat yang lebih sesuai. Rasulullah ﷺ pun tidak terus berhijrah tetapi disuruh para sahabat dulu berhijrah.
Bani Israil kena tunggu di situ dan dalam masa yang sama, melakukan apa yang mereka patut lakukan iaitu mendirikan solat. Ini mengajar kita bahawa dalam keadaan kita tidak kuat, kita kena lakukan perkara yang kita boleh buat sahaja, terutamanya dengan membanyakkan ibadah. Jangan tinggalkan agama. Mintalah pertolongan dengan mendirikan solat.
وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً
dan jadikanlah rumah-rumah kamu sebagai qiblat,
Firaun tidak membenarkan mereka untuk membina rumah ibadat. Oleh itu mereka hanya diarahkan pada waktu itu untuk melakukan ibadat di rumah sahaja. Walaupun mereka tidak ada rumah ibadat untuk solat berjemaah, tetapi solat perlu diteruskan dengan dilakukan di rumah-rumah mereka. Ini adalah kerana solat tidak boleh ditinggalkan. Bila sudah ada rumah sendiri, barulah boleh melakukan solat, bukan?
Apakah yang dimaksudkan قِبْلَةً (kiblat) dalam ayat ini? Kalau kita sekarang, kiblat solat kita adalah Mekah. Sebelum kiblat ditukar kepada Mekah, umat Islam berkiblatkan BaitulMaqdis, yang juga kiblat Bani Israil. Akan tetapi semasa arahan diturunkan dalam ayat ini, BaitulMaqdis belum ada lagi. Maka apakah قِبْلَةً yang dimaksudkan dalam ayat ini?
Ada pendapat yang mengatakan قِبْلَةً di sini adalah masjid. Jadikan rumah-rumah mereka tempat solat.
Ada juga yang berpendapat yang mengatakan maksud ayat ini adalah mereka perlu memilih beberapa rumah di antara mereka untuk dijadikan sebagai kiblat. Atau, rumah-rumah mereka hendaklah mengadap kiblat yang telah ditetapkan pada waktu itu. Mengikut pendapat Ibnu Abbas رضي الله عنهما, kiblat mereka juga adalah Mekah kerana kiblat umat-umat terdahulu pun adalah Mekah juga. Kiblat yang dikatakan BaitulMaqdis itu hanya ketika mereka meninggalkan Mesir dan menuju ke BaitulMaqdis sahaja.
Yahudi sampai sekarang kena solat di mihrab mereka atau di ‘synagogue’. Memang itulah syariat mereka. Tidak boleh sembahyang di tempat lain. Di dalam ayat ini adalah pengecualian kerana takut kepada Firaun sahaja. Mereka bukan macam kita yang boleh solat di mana-mana sahaja. Kelebihan itu hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Walaupun kita ada masjid, tetapi kita boleh lagi solat di mana-mana.
Daripada Abu Sa’id Al Khudri رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda,
الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبُرَةَ وَالْحَمَّامَ
“Seluruh bumi adalah masjid (boleh digunakan untuk solat) kecuali kuburan dan tempat pemandian.”
(HR. Tirmidzi No. 317, Ibnu Majah No. 745, Ad Darimi No. 1390, dan Ahmad 3: 83)
Syeikh Al Albani رحمه الله mengatakan bahwa hadith ini sahih
Syarah: ini adalah kemudahan yang Allah ﷻ berikan kepada kita. Di mana-mana sahaja kita boleh solat (ada sedikit pengecualian). Kalau dibandingkan dengan umat terdahulu, mereka kena cari rumah ibadat mereka untuk beribadat.


Solat mereka pun sebenarnya seperti kita juga. Ada pendapat yang mengatakan mereka tidak ada rukuk. Cuma sekarang mereka sudah tidak buat kerana sudah ditinggalkan (mereka memang sudah tukar agama mereka). Kristian pun begitu juga. Akan tetapi masih ada lagi Yahudi dan Kristian Orthodox yang mengerjakan solat (dengan cara mereka). Kita tahu yang solat itu sama kerana syariat yang sama kerana daripada Tuhan yang sama juga.
Sekarang mereka tidak melakukan solat sebagaimana yang sepatutnya kerana mereka sudah sesat. Macam kita jugalah, lama kelamaan kalau tidak dijaga agama kita ini, solat akan hilang daripada amalan kita. Entah berapa ramai yang sudah tidak kisah tentang solat dalam kalangan kita? Macam tidak kisah sahaja kalau mereka tidak solat. Yang pelik, mereka masih tidak malu kerana masih mengaku Muslim lagi. Masih selamba mengaku Muslim tetapi tidak solat.
Kenapakah digunakan perkataan قِبْلَةً dalam ayat ini? قِبْلَةً adalah tempat yang kita hadapkan wajah kita. Tahukah anda zaman sekarang apakah قِبْلَةً di rumah kita? Ia adalah TV kita! Setiap hari kita akan hadapkan wajah kita padanya, bukan? Namun adakah tempat di rumah kita yang kita jadikan sebagai tempat ibadat?
Selalunya bila masuk rumah, kita akan menuju ke ruang tamu di mana TV berada. Ayat ini mengingatkan kita untuk mengadakan tempat beribadat di dalam rumah kita. Tempat khas untuk kita solat, belajar dan mengajar anak isteri kita dan sebagainya. Itulah tempat yang sepatutnya kita hadapkan.
Apakah perkara penting yang sepatutnya kita lakukan di kiblat rumah kita?
وَأَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ
dan dirikanlah sembahyang;
Dirikanlah solat sebagai cara berdoa kepada Allah ﷻ dan mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Tentunya Bani Israil mahukan tempat ibadat untuk solat dan beribadat secara berjemaah. Akan tetapi Firaun tidak membenarkan didirikan rumah ibadat bagi umat Islam pada waktu itu. Firaun tidak benarkan kerana kalau Bani Israil ada tempat berkumpul, mereka akan bersatu dan akan mencambahkan titik-titik penentangan kepada kerajaan Mesir. Maka, dia tutup kemungkinan itu daripada berlaku.
Ayat ini mengajar kita untuk mencari jalan untuk beribadat. Sekiranya kita dihalang daripada beribadat dengan cara yang sepatutnya, kita harus mencari jalan untuk mengerjakannya juga dengan cara yang lain. Jika kita dihalang daripada mengerjakan solat berjemaah, kita boleh kerjakan solat di rumah. Jangan sampai tinggalkan solat pula.
Kita juga diajar dalam ayat ini untuk pandai mengubah strategi mengikut keadaan. Namun janganlah sampai mengubah syariat pula. Janganlah sampai mengatakan tidak perlu solat berjemaah. Lelaki Muslim wajib untuk solat berjemaah di masjid. Lelaki bukannya solat di rumah walaupun berjemaah dengan keluarga. Begitulah hukum yang paling tepat walaupun ada berpendapat ia hanya fardhu kifayah sahaja. Akan tetapi kalau diperhatikan dalil-dalil yang ada, pendapat yang lebih kuat adalah lelaki itu wajib berjemaah di masjid.
Kecuali jika ada halangan seperti sakit dan sebagainya. Atau kerana ketakutan seperti yang berlaku kepada Bani Israil seperti di dalam ayat ini. Maka ayat ini menjadi dalil juga bahawa solat lelaki adalah berjemaah di masjid kerana Bani Israil itu disuruh solat di rumah kerana takut Firaun mengambil tindakan bunuh mereka. Namun apakah alasan untuk orang lelaki kita di Malaysia?
Sebenarnya banyak lagi dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan Hadith berkenaan kewajipan ini. Antaranya seperti disebut dalam Nisa’:102
وَإِذا كُنتَ فيهِم فَأَقَمتَ لَهُمُ الصَّلوٰةَ
Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka
Tafsir: Ini adalah tentang Solat Khauf, iaitu solat ketika perang. Kalau dalam perang pun disuruh untuk solat berjemaah, apatah lagi kalau di dalam waktu aman damai?
Allah ﷻ berfirman dalam Baqarah:43
وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
Tafsir: Ulama’ tafsir berpendapat yang kalimah وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ (dan dirikanlah s0lat) adalah arahan untuk mengerjakan solat. Namun kemudian ditambah dengan kalimah وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ (dan rukuklah bersama orang yang rukuk) yang membawa maksud mendirikan solat berjemaah.
Hujah daripada hadith juga ada:
أَتَى النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ رَجُلٌ أَعْمَى، فَقالَ: يا رَسولَ اللهِ، إنَّه ليسَ لي قَائِدٌ يَقُودُنِي إلى المَسْجِدِ، فَسَأَلَ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ أَنْ يُرَخِّصَ له، فيُصَلِّيَ في بَيْتِهِ، فَرَخَّصَ له، فَلَمَّا وَلَّى، دَعَاهُ، فَقالَ: هلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بالصَّلَاةِ؟ قالَ: نَعَمْ، قالَ: فأجِبْ.
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Seorang lelaki yang buta datang kepada Rasulullah ﷺ dan mengatakan: Ya Rasulullah ﷺ, sesungguhnya aku tidak memiliki seorang yang memimpinku ke masjid. Maka Rasulullah ﷺ memberikan rukhsah (keringanan), namun ketika orang buta itu berlalu pergi kemudian dipanggilnya lagi dan ditanya: “Apakah kamu mendengar panggilan solat (azan)? Orang itu menjawab: Ya. Maka baginda ﷺ bersabda: “Penuhilah panggilan itu.”
(Sahih Muslim No. 653)
Syarah: Kalau orang buta pun masih wajib pergi ke masjid untuk berjemaah, maka apa pula alasan kita? Kesimpulan: seandainya salat jemaah boleh dilakukan di mana saja, tentu Rasulullah ﷺ memberi izin kepada lelaki buta itu untuk salat di rumahnya secara berjemaah bersama keluarganya. Rasulullah ﷺ, jika dihadapkan dengan dua hal, pasti memilih yang paling ringan selagi itu bukan dosa.
Daripada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما, daripada Rasulullah ﷺ, baginda bersabda:
مَنْ سَمِعَ الِنّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ ، فَلَا صَلَاةَ لَهُ إِلَّا مِنْ عُذْرٍ
Barangsiapa mendengar azan kemudian tidak mendatanginya, maka tidak ada solat baginya (solatnya tidak sempurna-pent), kecuali kerana ada uzur.
(HR. Ibnu Majah, no. 793; Al-Hakim, I/245 dan al-Baihaqi, III/ 174)
Disahihkan oleh al-Hakim dan disetujui oleh adz-Dzahabi, lihat Irwa-ul Ghalil (II/337)
Syarah: Di antara uzur yang membolehkan kita untuk meninggalkan solat berjemaah adalah sakit, mengembara (safar), hujan lebat, cuaca sangat dingin, dan uzur lainnya yang dijelaskan oleh syari’at. Kalimah فَلَا صَلَاةَ لَهُ (tidak ada soat baginya) menjadi perbincangan ulama’ juga. Ini kerana kalau kita baca secara literal, maka orang yang boleh solat berjemaah di masjid, tetapi tidak pergi, seolah-olah dia tidak solat. Namun, ulama’ tidaklah mengatakan sebegitu, melainkan pahala soalat tidak sempurna sahaja. Ada kekurangan dari segi pahala.
Malah Nabi ﷺ pernah hendak membakar rumah orang yang tidak berjemaah.
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:
وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ لَقَدْ هَـمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِحَطَبٍ لِيُحْطَبَ ، ثُمَّ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَيُؤَذَّنَ لَـهَا، ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا فَيَؤُمَّ النَّاسَ ، ثُمَّ أُخَـالِفَ إِلَـىٰ رِجَالٍ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ بُيُوْتَـهُمْ. وَالَّذِيْ نَـفْسِـيْ بِيَدِهِ ، لَوْ يَعْلَمُ أَحَدُهُمْ أَنَّهُ يَـجِدُ عَرْقًا سَمِيْنًا أَوْ مِرْمَـاتَيْـنِ حَسَنَـتَيـْنِ ، لَشَهِدَ الْعِشَاءَ.
Demi (Allah ﷻ) Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya. Sesungguhnya aku berniat menyuruh mengumpulkan kayu bakar, lalu aku menyuruh azan untuk solat. Kemudian kusuruh seorang lelaki mengimami orang-orang. Setelah itu, kudatangi orang-orang yang tidak menghadiri solat jemaah dan kubakar rumah-rumah mereka. Demi (Allah ﷻ) Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, andai solat seorang di antara mereka tahu bahawa ia akan memperoleh daging gemuk atau (dua kaki haiwan berkuku belah) yang baik, nescaya ia akan mendatangi solat Isyak.”
Muttafaq ‘alaih:
(HR. Al-Bukhari, No. 644; Muslim, No. 651; Abu Dawud, No. 548; An-Nasa-i, II/107; dan Ibnu Majah, No. 791)
Syarah: Lihatlah betapa marahnya Nabi Muhammad ﷺ kepada mereka yang tidak datang berjemaah ke masjid. Baginda sudah berfikir hendak suruh salah seorang sahabat untuk menggantikan baginda menjadi imam dan baginda pergi ke rumah-rumah orang yang tidak solat berjemaah. Namun tidaklah itu terjadi kerana bukanlah semua orang di dalam rumah-rumah itu wajib berjemaah. Ada kanak-kanak dan juga para wanita. Maka tidaklah patut kalau baginda bakar rumah-rumah tersebut.
Kalau tidak solat berjemaah pula adalah tanda sebagai tanda munafik.
Ibnu Mas’ud رضي الله عنه pernah berkata:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَلْقَى اللهَ غَدًا مُسْلِمًا فَلْيُحَافِظْ عَلَىٰ هٰؤُلَاءِ الصَّلَوَاتِ حَيْثُ يُنَادَىٰ بِهِنَّ ، فَإِنَّ اللهَ شَرَعَ لِنَبِيِّكُمْ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُنَنَ الْهُدَى ، وَإِنَّهُنَّ مِنْ سُنَنِ الْهُدَىٰ ، وَلَوْ أَنَّكُمْ صَلَّيْتُمْ فِـيْ بُيُوْتِكُمْ كَمَا يُصَلِّـيْ هٰذَا الْمُتَخَلِّفُ فِـيْ بَيْتِهِ لَتَرَكْتُمْ سُنَّـةَ نَبِيِّكُمْ ، وَلَوْ تَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ لَضَلَلْتُمْ … وَلَقَدْ رَأَيْتُنَا وَمَا يَتَخَلَّفُ عَنْهَا إِلَّا مُنَافِقٌ مَعْلُوْمُ النِّفَاقِ.
Barangsiapa ingin bertemu dengan Allah ﷻ di hari kiamat kelak dalam keadaan Muslim, hendaklah dia menjaga solat lima waktu di mana pun dia diseru kepadanya. Sungguh, Allah ﷻ telah mensyari’atkan kepada Nabi ﷺ kalian, sunnah-sunnah yang merupakan petunjuk. Solat lima waktu termasuk sunnah-sunnah yang merupakan petunjuk. Seandainya kalian solat di rumah kalian sebagaimana orang yang tertinggal ini solat di rumahnya (tidak solat berjemaah di masjid) nescaya kalian akan meninggalkan sunnah Nabi ﷺ kalian. Seandainya kalian meninggalkan sunnah-sunnah Nabi ﷺ kalian, nescaya kalian akan sesat… Dan aku melihat (pada zaman) kami (para Sahabat), tidak ada yang meninggalkan solat berjemaah kecuali seorang munafik, yang telah diketahui kemunafikannya.
(Sahih: Muslim No. 654; Sunan Abu Daud No. 550; Sunan an-Nasai No. 849)
Syarah: Lihatlah betapa kerasnya teguran pada zaman itu. Pada zaman Sahabat, orang yang meninggalkan solat berjemaah dimarahi dan ditegur dengan keras oleh para Sahabat. Para Sahabat dan Tabi’in marah kepada lelaki yang sihat, yang jelas tidak ada uzur syar’i untuk meninggalkan solat berjemaah. Ini kerana pada zaman para Sahabat, hanya orang munafik yang meninggalkan solat berjemaah. Ketika masuk waktu Subuh dan Isyak, mereka tidak hadir solat berjemaah di masjid kerana keadaan pada waktu kedua-duanya gelap, berbeza dengan solat yang dilakukan di siang hari, mereka ikut berjemaah kerana riya’. Mereka sebenarnya hendak tunjuk kepada orang lain yang mereka solat. Maka apabila waktu gelap (tidak nampak siapa datang), maka mereka tidak datang ke masjid.
Daripada Abu ad-Darda` رضي الله عنه berkata: “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ، فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ
“Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, sama ada di sebuah kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Maka hendaklah kamu berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulannya).”
(Sunan Abu Daud no.547; Sunan an-Nasai no.847; Musnad Ahmad no.21710; dll]. Sanadnya hasan menurut an-Nawawi, al-Arnaut, al-Albani, dll)
Dinilai sahih oleh al-Hakim, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)
Syarah: Sekiranya suatu kampung atau mukim itu sudah ada 3 atau lebih lelaki, maka sudah jatuh wajib ke atas mereka untuk mendirikan solat berjemaah. Kalau tidak dikerjakan, maka mudah bagi syaitan untuk memecah belahkan mereka.
Kesimpulan: Dalil-dalil yang ada ini sudah cukup untuk menjadi hujah bagi mengatakan yang solat berjemaah (di masjid/surau) bagi orang lelaki adalah wajib. Ia adalah hujah yang kuat. Memang sukar untuk ditolak.
Mungkin ramai yang panik kerana sudah biasa mendengar yang ia adalah sunat (nanti kita bincangkan khilaf tentang hal ini). Bukan anda sahaja yang terkejut, saya pun apabila pertama kali mendengarnya pun terkejut dan berat hati untuk menerimanya.
Saya pun seperti mengadu kepada ustaz saya kerana ia amat berat bagi saya. Maka ustaz saya balas: “Kalau awak tidak mampu, itu lain cerita. Tetapi jangan kerana awak tidak mampu, awak hendak ubah hukum pula. Kalau awak tidak mampu, maka mohon ampun kepada Allah ﷻ siap-siap dan terus berdoa supaya Allah ﷻ beri kekuatan”.
Sekiranya kita tinggal di dalam komuniti yang tidak boleh mendirikan masjid untuk solat berjemaah, adakah kita tinggalkan terus solat berjemaah? Jangan begitu. Ambil sunnah Bani Israil zaman Nabi Musa عليه السلام ini – mereka disuruh untuk mengambil beberapa rumah dijadikan tempat solat.
Maka, kita pilihlah salah sebuah rumah dalam komuniti kita itu untuk dijadikan sebagai tempat solat berjemaah. Islam itu indah dan amat praktikal. Janganlah pula kita menentang kerajaan yang ada untuk mendirikan juga masjid. Kita mungkin tinggal di negara bukan Islam yang tidak memungkinkan pembinaan masjid sesuka hati. Ini kerana gazette tanah tempat kita mungkin hanya membenarkan pembinaan rumah kediaman sahaja.
Janganlah kita hendak mereka mengubah undang-undang mereka untuk kita pula kerana ini boleh menyebabkan konflik. Buat dengan cara baik iaitu dengan meminta kebenaran melalui proses undang-undang.
Memang ulama’ khilaf tentang hukum salat berjemaah di masjid. Pendapat empat mazhab tentang hukum salat berjemaah:
1. Mazhab Syafi’iy: hukum sembahyang berjemaah adalah Fardhu Kifayah, wajib ke atas semua lelaki yang mampu, namun apabila ada sekumpulan yang melakukannya, gugurlah kewajipan itu. Ini bersandarkan hadith di atas tadi:
مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ، فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ
“Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, sama ada di sebuah kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Maka hendaklah kamu berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulannya).”
Hujah mereka: apabila sudah ada tiga atau lebih lelaki mendirikan salat berjemaah, maka kewajipan itu telah dipenuhi.
2. Dalam Mazhab Hambali, hukum sembahyang berjemaah ialah Fardhu Ain.
3. Mazhab Hanafi dan Maliki pula berpendapat hukum sembahyang jemaah ialah Sunat Muakkad (sunat yang dituntut; sunat yang kuat)
Kesimpulan: perkara ini masih kekal dalam khilaf ulama’. Yang mengatakan solat jemaah di masjid itu tidak wajib pun mempunyai hujah-hujah mereka. Antaranya:
Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah رضي الله عنهما. Beliau meriwayatkan: Rasulullah ﷺ bersabda;
وجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا
“Dan bumi dijadikan sebagai tempat sujud (masjid) yang suci untukku.”
(Sahih Bukhari (335))
Syarah: Mereka berkata: Ini menunjukkan bahawa di tempat mana pun seorang hamba solat, baik itu di masjid mahupun di tempat lain, maka solatnya diterima. Cuma, daripada dalil-dalil yang wujud, lebih banyak dalil yang mengatakan ia wajib. Oleh kerana itu, kita berpegang yang solat berjemaah bagi lelaki di masjid itu adalah wajib. Pendapat ini juga merupakan pendapat yang dipilih Syaikhul Islam dan muridnya, Ibnul Qayyim, Syaikh as-Sa’dawi, Ibn Baz, dan Ibn Utsaimin رحمهم الله.
Sekian tentang solat. Di dalam ayat ini hanya disebut solat sahaja kerana kewajipan zakat belum ada lagi. Hanya apabila Taurat telah diturunkan, barulah diwajibkan zakat kepada Bani Israil.
وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ
dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman
Sampaikanlah berita gembira bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya.
Berita gembira juga bermaksud mereka akan selamat di akhirat. Akan tetapi berita gembira itu hanya kepada orang yang benar-benar beriman sahaja. Permulaan ayat disebut arahan secara keseluruhan kepada Bani Israil, namun bila disebut berita gembira tidaklah disebut kepada Bani Israil, tetapi disebut kepada orang yang beriman sahaja. Maknanya bukan semua mereka dapat berita gembira itu tetapi hanya kepada orang yang benar-benar beriman sahaja.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 27 Jun 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
