Tafsir Surah an-Najm Ayat 10 – 22 (Kisah Mi’raj)

Ayat 10:

فَأَوحىٰ إِلىٰ عَبدِهِ ما أَوحىٰ

Sahih International

And he revealed to His Servant what he revealed.

Malay

Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukanNya.

 

Maka di situlah Jibril telah mentalqinkan kepada Nabi Muhammad wahyu pertama dari Allah kepada baginda yang dimulai dengan perkataan yang pertama: iqra’.

Ayat ini menyebut: “diwahyukan apa yang diwahyukan”. Kenapa tidak dikatakan terus yang ‘Al-Qur’an’ telah diwahyukan? Ini adalah kerana hendak menunjukkan kehebatan Al-Qur’an. Apabila sesuatu itu tidak disebut secara terus, menambahkan lagi kehebatan sesuatu itu. Oleh kerana itu, dalam ayat ini hanya disebut مَا أَوْحَىٰ – apa yang diwahyukan. Selalu digunakan cara begini dalam Al-Qur’an.

Sekarang sudah habis ayat-ayat yang menceritakan bagaimana Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad. Kalau orang tanya, kita sudah tahu nak jawab macam mana.


 

Ayat 11: Ayat 11 – 18 ini menceritakan tentang kebenaran Peristiwa Nabi Mi’raj ke Sidratul Muntaha. Seperti yang telah diberitahu, surah ini adalah tentang mi’raj.

ما كَذَبَ الفُؤادُ ما رَأىٰ

Sahih International

The heart did not lie [about] what it saw.

Malay

Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya.

Hati Nabi Muhammad tidak mendustakan baginda, bermakna baginda yakin bahawa apa yang baginda saksikan itu adalah kebenaran. Hati baginda tidak ragu-ragu. Sebab baginda boleh nampak dengan jelas sekali.

Ia juga bermaksud yang Nabi Muhammad boleh faham apa yang disampaikan oleh Jibril itu. Kerana baginda sudah kenal dengan Jibril sungguh-sungguh. Ini adalah jawapan kepada kesamaran manusia tentang wahyu dari malaikat. Mungkin ada yang mempersoalkan: benarkah apa yang Nabi nampak itu benar? Entah khayalan baginda sahaja? Entah-entah syaitan yang datang.

Maka Allah nak tekankan di sini yang bukanlah apa yang Nabi nampak itu suatu ilusi. Memang Nabi benar nampak Jibril, seorang malaikat yang bukannya syaitan. Kadang-kadang kita nampak sesuatu, kita sangka ianya air, tapi rupaya ia fatamorgana sahaja.

Ataupun kadang-kadang kita duduk rumah seorang diri, kita macam nampak kelibat sesuatu, tapi bila pergi periksa, tidak ada apa-apa pun. Itu bermakna, kita tak jelas dan keliru waktu itu. Ini biasa sahaja terjadi kepada manusia.

Tapi, apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad ini adalah benar, bukan fatamorgana, bukan kelibat sesuatu, ia memang Jibril datang bertemu Nabi dan menyampaikan wahyu kepada baginda. Memang ada yang mempersoalkan apa yang dilihat oleh baginda itu, dan kerana itu kalimah ما digunakan dalam ayat ini untuk menidakkan salah faham itu. Ia menidakkan fahaman yang memang sudah ada ketika itu.


 

Ayat 12:

أَفَتُمٰرونَهُ عَلىٰ ما يَرىٰ

Sahih International

So will you dispute with him over what he saw?

Malay

Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu?

Apakah kamu kaum Musyrikin hendak mempertikaikan yang Jibril telah datang kepada baginda? Sedangkan apa yang Nabi nampak itu benar-benar Jibril? Macam mana mereka nak tolak apa yang Nabi nampak? Bayangkan kalau saya nampak sesuatu, bagaimana ada orang yang boleh menidakkan sesuatu yang memang terjadi. Itu tidak masuk akal langsung. Memang saya sudah nampak, bukan?

Musyrikin Mekah juga mempersoalkan kejadian baginda naik ke langit (mi’raj) dengan tubuh badan baginda. Mereka kata, walaupun ia terjadi, bukanlah dengan tubuh badan tetapi hanya mimpi baginda sahaja. Itu juga adalah kata-kata mereka sahaja kerana mereka memang tidak mahu menerima apa-apa sahaja yang disampaikan oleh baginda.


 

Ayat 13: Sekarang disebut tentang kisah Mi’raj.

وَلَقَد رَءآهُ نَزلَةً أُخرىٰ

Sahih International

And he certainly saw him in another descent

Malay

Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi,

 

Kalimah نَزْلَةً bermaksud ‘penurunan’. Maknanya, Jibril pernah turun sekali lagi untuk bertemu dengan Nabi Muhammad dengan rupanya yang asal. Kejadian itu berlaku semasa Mi’raj Nabi ke langit.

Maknanya, Nabi Muhammad memang kenal benar dengan Jibril kerana baginda sudah pernah lihat Jibril. Kali pertama baginda lihat semasa menerima wahyu di Gua Hira’ dan sekarang sekali lagi baginda melihat Jibril di langit semasa mi’raj.

Ada tafsir yang salah tentang ayat ini. Mereka kata yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ‘melihat’ Allah. Itu adalah tafsiran yang amat salah. Selalunya dipelopori oleh golongan sufi yang memang suka buat pandangan sendiri. Maka jangan terlibat dengan mereka kerana kita tidak berjumpa lagi tarekat sufi yang benar. Mereka adalah ahli ibadat yang jauh dari ilmu yang benar.

Dalam ayat al-An’am:103, telah dibincangkan bagaimana Allah tidak boleh digarap dengan pandangan mata manusia. Tambahan pula, ayat ini menyebut ‘waktu yang lain’, iaitu Nabi sudah pernah lihat Jibril dan sekarang Nabi dapat melihatnya sekali lagi. Kalau dikatakan ayat ini bermaksud Nabi Muhammad melihat Allah sekali lagi, bila pula baginda melihat Allah buat kali pertama?


 

Ayat 14: Sekarang, Al-Qur’an menceritakan sedikit apakah yang ada di langit ke tujuh.

عِندَ سِدرَةِ المُنتَهىٰ

Sahih International

At the Lote Tree of the Utmost Boundary –

Malay

Di sisi “Sidratul-Muntaha”;

Dalam hadis telah diberitahu bahawa Sidratul-Muntaha ini adalah atas lagi dari langit yang ketujuh.

Kalimah سِدْرَةِ dari segi bahasa bermaksud ‘pohon bidara’. Tetapi bukanlah ianya pohon bidara yang sama dengan yang ada di dunia.

Kalimah الْمُنتَهَىٰ dari katadasar ن ه ي yang bermaksud ‘berhenti’. Oleh itu الْمُنتَهَىٰ bermaksud ‘tempat berhenti’ yang menahan sesuatu dari melepasinya (macam sempadan). Oleh itu, Sidratul-Muntaha ini terletak di sempadan antara langit ketujuh dan Arasy Allah Ta’ala. Inilah sempadan yang malaikat Jibril dan malaikat-malaikat lain pun tidak boleh melepasinya.

Ayat ini memberi tahu kepada kita bahawa Nabi Muhammad sekali lagi nampak Jibril dalam rupanya yang asal berdekatan dengan Sidratul-Muntaha.


 

Ayat 15:

عِندَها جَنَّةُ المَأوىٰ

Sahih International

Near it is the Garden of Refuge –

Malay

Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”.

Ayat ini memberitahu kepada kita yang Sidratul-Muntaha itu berdekatan dengan Syurga Ma’wa. Tetapi kita perlu ingat bahawa bukanlah syurga itu berada di antara tujuh langit itu. Cuma berdekatan sahaja. Semua syurga-syurga yang ada adalah di luar daripada langit yang tujuh. Cuma dalam ayat ini disebut bagaimana Syurga Ma’wa itu berdekatan dengan Sidratul-Muntaha.

Ayat ini juga sebagai dalil bahawa syurga telah ada. Allah sudah siap-siap buat syurga. Hanya menunggu ahlinya sahaja.


 

Ayat 16:

إِذ يَغشَى السِّدرَةَ ما يَغشىٰ

Sahih International

When there covered the Lote Tree that which covered [it].

Malay

(Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh apa yang menutupinya.

Ada sesuatu yang meliputi Sidratul Muntaha itu, tapi Allah menggunakan perkataan مَا يَغْشَىٰ – ‘yang meliputinya’ – tidak disebut apakah ia dan ini bermaksud ianya tidak dapat digambarkan oleh akal. Ianya adalah sesuatu yang hebat sampaikan tidak ada perkataan yang kita dapat faham yang dapat menggambarkannya.

Tapi ada juga tafsir yang mengatakan yang meliputi itu adalah hamparan emas. Ini pun sudah tidak dibayangkan. Maka kita biarkan sahaja. Bukan semua perkara kita kena tahu dengan terperinci.

Ibn Kathir pula menyebut bahawa banyak sekali ‘malaikat’ yang meliputi pokok Sidratul-Muntaha itu bagaikan banyaknya burung-burung gagak yang meliputi pokok. Itulah perumpamaan yang Nabi Muhammad berikan kepada kita dan disampaikan oleh Ibn Kathir. Setakat itu sahaja yang kita tahu. Memang tidak dapat dibayangkan dengan akal kita yang lemah.


 

Ayat 17:

ما زاغَ البَصَرُ وَما طَغىٰ

Sahih International

The sight [of the Prophet] did not swerve, nor did it transgress [its limit].

Malay

Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak tersasar daripada menyaksikan dengan tepat, dan tidak pula melampaui batas.

Perkataan زَاغَ bermaksud ‘melihat ke kiri dan ke kanan’ dan tidak menumpukan perhatian kepada objek di hadapan. Pandangan Nabi Muhammad tidak زَاغَ. Ini menunjukkan adab Nabi Muhammad. Mata baginda tidak melilau-lilau.

Walaupun Nabi Muhammad nampak pokok Sidratul-Muntaha itu, tapi pandangan baginda tidak beralih dari melihat Jibril. Seperti Nabi Muhammad hanya melihat dari ekor matanya sahaja. Lihatlah akhlak yang ditunjukkan oleh baginda. Walaupun baginda berada di tempat yang asing, yang ada macam-macam perkara ajaib dan menghairankan, tapi baginda menjaga pandangan baginda.

Baginda tidak ‘jakun’ – jenis semua nak tengok. Kalau kita, tentu mata kita sudah ke merata-rata. Kalau orang cakap dengan kita pun, kita sudah tak dengar apa yang diperkatakan kepada kita.

Pandangan baginda juga tidak melebihi dari melihat Jibril. Baginda tidak melihat melepasi apa yang ditunjukkan kepada baginda. Baginda dapat mengawal diri baginda.

Ini mengajar kita dalam belajar, kenalah ada adab. Kalau semasa belajar Al-Qur’an atau belajar tafsir dalam kuliah, mata kita hendaklah melihat kepada Al-Qur’an. Hendaklah kita menumpukan perhatian kepada pelajaran hari itu. Tidaklah kita membiarkan mata kita melihat kepada perkara-perkara yang lain. Kerana kita kena menghormati Al-Qur’an itu.

Kalau mata kita melihat perkara-perkara yang lain, maka kita akan hilang tumpuan dan kita akan lalai dari belajar. Lebih ditakuti, kita silap dengar dan silap tafsir pula nanti.


 

Ayat 18:

لَقَد رَأىٰ مِن ءآيٰتِ رَبِّهِ الكُبرىٰ

Sahih International

He certainly saw of the greatest signs of his Lord.

Malay

Demi sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.

Semasa dalam perjalanan isra’ dan mi’raj itu, berbagai-bagai tanda kebesaran Allah yang telah ditunjukkan kepada Nabi Muhammad. Antaranya, Malaikat Jibril, Buraq, Sidratul Muntaha dan macam-macam lagi.

Apabila digunakan kalimah الكُبرىٰ dalam ayat ini, maka ia memberi isyarat yang Nabi Muhammad ada nampak benda yang lebih besar dari Jibril lagi. Untuk mengetahui dengan panjang lebar, kena belajar khusus berkenaan perjalanan isra’ mi’raj itu. Ia terlalu panjang untuk dimasukkan di sini.


 

Ayat 19: Ayat 19 – 28 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi bantahan terhadap amalan menggunakan perantaraan berhala dan melakukan syirik kepada sifat Allah. Pertamanya, ayat 19 & 20 menceritakan tentang berhala Quraisy Makkah.

Ayat ini adalah Maksud Surah ini. Allah hendak menegur fahaman Arab Mekah yang mengatakan wali-wali boleh menjadi wakil bagi Allah. Mereka kata, kerana semasa hidup itu para wali itu orang yang baik, maka bila mereka meninggal dunia maka mereka boleh beri khidmat kepada orang yang hidup pula. Iaitu mereka kata Allah lantik mereka menjadi wali kerana kebaikan mereka semasa mereka di dunia.

Ini adalah salah faham manusia yang jahil dengan ilmu wahyu. Maka syaitan suruh manusia doa kepada para wali itu untuk memudahkan sampai doa kepada Allah. Ini adalah fahaman sesat tentang wali yang diajar oleh syaitan. Malangnya ramai orang Islam yang ada salah faham ini.

Oleh kerana roh arwah wali itu sudah tak nampak, maka mereka jadikan ukiran sebagai kiblat tawajuh (untuk fokus penumpuan dalam ibadat). Mereka pun tahu para wali itu bukan tuhan. Mereka tahu yang para wali itu tidak ada kuasa mencipta pun. Tapi mereka beranggapan wali itu ada kuasa yang diberikan oleh Allah. Oleh kerana itu mereka nak jadikan wali itu sebagai wasilah (broker) untuk hampirkan diri mereka dengan Allah.

Itu semua adalah fahaman salah dan syirik, Maka Allah nak betulkan balik fahaman syirik itu dengan angkat Nabi Muhammad menjadi Rasul di tengah-tengah suasana syirik di Mekah. Maka kita juga kena baca dan fahami ayat-ayat ini kerana fahaman syirik ini juga ada di kalangan orang kita terutama yang menyertai tarekat sufi.

أَفَرَءَيتُمُ اللّٰتَ وَالعُزّىٰ

Sahih International

So have you considered al-Lat and al-‘Uzza?

Malay

(Setelah kamu – wahai kaum musyrik Makkah – mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa “Al-Laat” dan “Al-Uzza” –

Ayat ini boleh juga dibaca: “Tidakkah kau pernah memikirkan tentang al Lata dan al Uzza?” Adakah kamu sangka mereka boleh dengar doa kamu? Atau ia bermaksud: Tolong beritahu apa fahaman kamu tentang mereka?

Berhala adalah setiap benda yang disembah dan dipuja oleh manusia dalam bentuk patung batu, kayu atau benda-benda lain dengan maksud untuk lebih mendekatkan diri mereka kepada Tuhan.

Lata dan Uzza asalnya adalah dua orang alim dari kalangan orang Arab dan apabila mereka mati, mereka telah dipuja oleh puak musyrikin. Bukanlah mereka itu terus dijadikan sebagai patung berhala. Mula-mula, mereka beri salam kepada kubur mereka sahaja, kemudian mungkin buat gambar. Lama kelamaan, sudah sampai dijadikan patung dan dipuja sebagai tuhan.

Begitulah permulaan penyembahan manusia kepada selain Allah. Mulanya sebagai peringatan sahaja tapi lama kelamaan, benda itu akan dipuja dan disembah. Mungkin generasi pertama yang memulakannya tahu bahawa mereka letak gambar orang-orang alim mereka sebagai peringatan sahaja kepada orang-orang alim itu supaya memberi semangat kepada mereka untuk menjadi baik seperti orang-orang alim itu, tidak lebih dari itu.

Kemudian, lama kelamaan mereka telah menjadikan orang-orang alim yang telah mati itu sebagai perantara untuk doa mereka. Inilah yang dinamakan tawasul. Dan tawasul ini adalah perbuatan kufur. Akhirnya, syaitan akan menyesatkan manusia dengan menyatakan bahawa itulah tuhan mereka yang sebenarnya. Akhirnya, jadilah patung berhala yang mereka sembah sebagai tuhan.

Dan inilah yang telah dilakukan dan diajar oleh golongan Habib yang datang dari Yaman. Dengan jelas kita lihat bagaimana mereka menghias kubur Habib-habib mereka yang telah mati dan kemudian mereka letak pula gambar habib-habib mereka. Dan kita telah dengar berbagai amalan kesesatan yang mereka lakukan di kuburan itu. Maka eloklah kalau kesesatan golongan Habib ini dibongkar supaya berhentilah masyarakat kita disesatkan oleh mereka.

Itulah sebabnya kita menentang perbuatan bidaah yang telah dimulakan oleh guru-guru yang sesat. Mereka sudah mula mengajar beri salam kepada orang yang mati, sedekah Fatihah kepada mereka dan macam-macam lagi amalan bidaah yang tidak ada asas dalam agama.

Asalnya nampak macam tidak ada apa-apa (malah nampak baik pula). Tetapi lama kelamaan, ianya akan menjadi seperti kanser yang sudah susah untuk dibuang. Sebagaimana di negara ini sudah datang puak Habib yang mengajar masyarakat kita untuk jadi sesat dengan menghias kubur-kubur guru mereka dengan cantik, letak gambar pula dan duduk-duduk di kubur itu dengan amalan-amalan bidaah mereka yang sesat.

Memang mula-mula ahli kubur itu dijadikan sebagai perantara sahaja dalam doa tapi lama kelamaan, manusia akan berdoa terus kepada tuan kubur itu sendiri. Asalnya, perbuatan bidaah itu nampak kecil sahaja, tapi kalau tidak dibanteras, kesannya amat berat kerana boleh  sampai jadi syirik! Kita sudah lihat bagaimana puak Syiah terus minta kepada Hussein sekarang.

Asalnya, syaitan akan membisikkan untuk buat benda-benda kecil dahulu. Yang tak jelas syiriknya. Sebagai contoh, kalau ditanya kepada pengikut Habib sekarang, mereka kata tidak ada apa salah perbuatan mereka. Mereka kata mereka cuma hormat guru mereka yang sudah mati.

Dan mereka kata mereka tidak sembah pun kubur guru mereka itu, cuma mereka jadikan sebagai perantaraan dalam berdoa sahaja. Itu pun sudah salah kerana tawasul dengan makhluk adalah amalan kufur. Tapi lama kelamaan, kalau tidak dibanteras, akhirnya anak cucu kita akan puja dan sembah guru-guru itu. Seperti yang terjadi dengan Lata dan Uzza ini.

Dari segi sejarah, Lata ini adalah berhala penduduk Taif. Ada yang mengatakan makna اللَّاتَ ini asalnya bermaksud ‘tawaf’ kerana mereka yang menyembahnya akan tawaf mengelilinginya. Ada pula yang mengatakan yang اللَّاتَ adalah nama الله  yang difemininkan. Itu bermakna, mereka menukar nama Allah. Ini adalah satu perbuatan yang amat mungkar.

Uzza pula adalah berhala penduduk Ghatfan. Quraisy juga mengagungkan berhala Uzza ini. Sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Sufyan pada peristiwa Perang Uhud,

لنا العزى ولا عزى لكم

(kami memiliki ‘Uzzà, sedang kamu wahai kaum muslimin tidak memiliki ‘Uzzà). Lalu, Rasulullah saw., bersabda:

قولوا: الله مولانا ولا مولى لكم

(katakanlah oleh kalian, Allah adalah pelindung kami dan tidak ada pelindung buat kalian).

Kedua-dua berhala ini adalah dalam jantina betina. Memang Musyrikin Mekah menjadikan berhala dalam bentuk perempuan kerana mereka ada masalah yang amat berat dalam akidah mereka. Mereka kaitkan feminin kepada wasilah-wasilah kepada Allah ini seperti mereka kata para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah.


 

Ayat 20:

وَمَنَوٰةَ الثّالِثَةَ الأُخرىٰ

Sahih International

And Manat, the third – the other one?

Malay

Serta “Manaat” yang ketiga, yang lagi satu?

Manat ini asalnya adalah seorang bomoh perempuan. Jadi apabila mereka ada hajat jenis perubatan, Musyrikin Mekah akan minta tolong kepada Manat ini. Berhala Manat ini juga berjantina betina pada mereka. Ketiga-tiga berhala utama bangsa Arab ini adalah berjantina perempuan.

Adapun Manat terdapat di Musyallal di daerah Qadid yang terletak antara Mekah dan Madinah. Adalah Khuza’ah, Aus, dan Khazraj (yang duduk di Yathrib, kemudian ditukar namanya kepada Madinah apabila Nabi berhijrah ke sana) sangat mengagungkannya di masa jahiliah dan mereka mengucapkan talbiah dari sana ketika hendak berhaji menuju Ka’bah. Imam Bukhari telah meriwayatkan dari Aisyah keterangan seperti ini.

Sebetulnya, di Jazirah Arab dan yang lainnya terdapat taghut-taghut lain yang senantiasa diagungkan oleh orang-orang Arab, selain berhala-berhala yang telah ditegaskan melalui nas oleh kitab-Nya yang mulia. Tapi ketiga berhala ini disebutkan secara khusus, kerana lebih popular dibandingkan dengan yang lainnya.

Rasulullah SAW sendiri kemudiannya selepas Pembukaan Mekah, telah mengutus Mughirah bin Syu’bah dan Abu Sufyan bin Harb agar mendatangi patung al-Lata. Kemudian, mereka pun menghancurkannya dan mendirikan sebuah masjid di Thaif pada tempat yang sebelumnya diletakkan berhala itu.

Baginda juga telah mengutus Khalid bin Walid agar mendatangi berhala al-‘Uzza. Dia pun menghancurkannya. Dan baginda mengutus Abu Sufyan bin Harb agar mendatangi berhala Manat, yang ketika itu terletak di pinggir Musyallal di daerah Qadid, maka dia pun menghancurkannya.

Terdapat pula patung-patung lainnya, seperti Dzil Khilshah, Qais, Riyam, Ridha, Dzil Ka’baat yang tersebar di beberapa daerah. Maka, Rasulullah pun mengutus sejumlah sahabatnya agar menghancurkan semuanya dan membersihkan jazirah Arab dari kotoran-kotoran syirik itu.

Allah menyebut berhala-berhala ini kerana hendak menyedarkan Musyrikin Mekah. Dalam ayat sebelum ini, telah diceritakan bagaimana hebatnya malaikat Jibril. Dengan segala kekuatan, kebesaran dan kekuatan akalnya, dia masih lagi pesuruh kepada Allah. Kalau orang suruhan pun sudah hebat macam itu, bagaimana pula dengan Allah? Tentu tidak terbayang kehebatan Allah, bukan? Sedangkan kehebatan Jibril pun tidak dapat dibayangkan, apatah lagi Allah.

Dan sekarang, Allah tanya mereka, tidakkah mereka memikirkan tentang tuhan-tuhan berhala mereka itu? Bolehkah berhala-berhala itu buat apa-apa? Adakah berhala-berhala itu ada kuasa? Bolehkah berhala itu beri mereka apa-apa? Tentulah tidak boleh sama sekali. Sedangkan berhala itu, manusia juga yang jadikan.

Kalau ada lalat singgah kepada hidung berhala itu, berhala itu pun tak boleh nak halau sendiri. Begitulah lemahnya patung-patung itu, tapi kenapa mereka memujanya? Kenapa dangkal sangat fikiran mereka? Begitulah Allah suruh mereka fikir untuk menyedarkan mereka.


 

Ayat 21: Ayat 21 – 28 menyentuh tentang sangkaan sesat Musyrikin Mekah yang mengatakan Allah mempunyai anak perempuan. Ini adalah satu lagi salah faham Musyrikin Mekah iaitu tentang malaikat. Mereka sangka yang malaikat adalah anak perempuan Allah. Mereka kata sahaja, padahal tiada dalil pun. Dari mana pula malaikat jadi anak perempuan Allah? Mereka kata Allah kahwin dengan jin bangsawan sampaikan jadi malaikat.

Maka mereka seru juga malaikat untuk sampaikan doa mereka kepada Allah. Kerana hujah mereka, kalau malaikat itu anak perempuan Allah, maka mereka sangka Allah akan kabulkan doa mereka kalau yang sampaikan doa mereka adalah anak-anak perempuannya.

أَلَكُمُ الذَّكَرُ وَلَهُ الأُنثىٰ

Sahih International

Is the male for you and for Him the female?

Malay

Patutkah kamu membahagi untuk diri kamu sendiri anak lelaki (yang kamu sukai), dan untuk Allah anak perempuan (yang kamu benci)?

أَلَكُمُ الذَّكَرُ

Apakah (patut) untuk kamu (anak) laki-laki

Seperti yang kita tahu, bangsa Arab amat suka kalau mereka dapat anak lelaki dan mereka tidak suka kalau mereka dapat anak perempuan. Kerana pada mereka, anak perempuan itu tidak dapat membantu keluarga. Anak perempuan tidak boleh tolong dalam musafir, dalam perang. Dan ada yang lebih hina, ada yang jadi pelacur sahaja.

Pada mereka, hina sangat kalau mereka dapat anak perempuan. Sampaikan ada yang sanggup membunuh anak perempuan mereka hidup-hidup kerana malunya mereka mendapat anak perempuan.

 

وَلَهُ الْأُنثَىٰ

dan untuk Allah (anak) perempuan?

Musyrikin mengatakan yang berhala-berhala itu adalah ‘anak perempuan’ Allah. Lihatlah bagaimana kalau untuk mereka, mereka hendakkan anak lelaki. Tapi untuk Allah, mereka berikan anak perempuan pula. Adakah patut begini? Pelik kerana kepada Allah mereka kata Dia ada anak perempuan pula?


 

Ayat 22: Ayat ini adalah tamparan besar bagi Musyrikin Mekah. Mereka memandai sahaja kata Malaikat itu anak perempuan sedangkan malaikat itu tidak ada jantina lelaki atau perempuan.

تِلكَ إِذًا قِسمَةٌ ضيزىٰ

Sahih International

That, then, is an unjust division.

Malay

Pembahagian yang demikian, sudah tentu suatu pembahagian yang tidak adil.

 

Memang tidak patut apa yang mereka lakukan itu. Tidak patut mereka menisbahkan anak perempuan kepada Allah. Mereka berikan kepada Allah apa yang mereka sendiri tak mahu. Kalau menetapkan anak lelaki untuk Allah pun sudah satu kesalahan besar, apatah lagi kalau anak perempuan.

Janganlah pula kita kata tidak mengapa kalau untuk Allah anak lelaki pula. Itu pun sudah perbuatan syirik. Tapi ianya lebih teruk lagi kalau mereka memberikan anak perempuan untuk Allah sedangkan mereka sendiri tidak suka anak perempuan. Allah hendak menunjukkan mentaliti mereka yang sudah teruk. Mereka beri benda yang mereka tidak suka pula kepada Allah.

Apa yang kita boleh belajar dari ayat ini? Kita kena berikan yang terbaik kepada Allah. Jangan berikan yang sambil lewa seperti melepaskan batuk di tangga sahaja kepada Allah. Sebagai contoh, jangan kita beribadah kepada Allah dalam keadaan sambil lewa. Kalau ada masa, baru nak solat; kalau ada kesempatan, baru nak pergi kelas belajar agama, baru nak belajar Tafsir Al-Qur’an.

Maknanya, kita beri kepada Allah sesuatu yang tidak berharga. Itu amat tidak adil. Allah tidak suka kalau kita buat begitu.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Mac 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s