Tafsir Surah an-Najm Ayat 23 – 26 (Kekeliruan tentang syafaat)

Ayat 23:

إِن هِيَ إِلّا أَسماءٌ سَمَّيتُموها أَنتُم وَءآباؤُكُم مّا أَنزَلَ اللهُ بِها مِن سُلطٰنٍ ۚ إِن يَتَّبِعونَ إِلَّا الظَّنَّ وَما تَهوَى الأَنفُسُ ۖ وَلَقَد جاءَهُم مِّن رَّبِّهِمُ الهُدىٰ

Sahih International

They are not but [mere] names you have named them – you and your forefathers – for which Allah has sent down no authority. They follow not except assumption and what [their] souls desire, and there has already come to them from their Lord guidance.

Malay

Benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu menamakannya. Allah sekali-kali tidak menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka.

إِنْ هِيَ إِلَّا أَسْمَاءٌ سَمَّيْتُمُوهَا

Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang diada-adakan

Mereka sahaja yang memandai-mandai meletakkan kedudukan Lata, Uzza dan Manat itu sebagai tuhan atau sebagai perantara kepada Allah. Mereka yang beri nama, mereka yang beri pangkat dan mereka yang reka cara beramal kepada berhala itu.

Padahal tidaklah ada tuhan yang bernama Lata, Uzza, Manah atau mana-mana tuhan lain selain Allah. Tidaklah dengan meletakkan nama sesuatu, yang tak wujud jadi wujud pula. Itu adalah mustahil.

Sebagai contoh, puak Hindu reka nama tuhan mereka Murugan dengan mereka beri pangkat Murugan itu sebagai ‘tuhan Perang’, sebagai panglima perang kepada dewa-dewa. Mereka juga reka siapakah ibubapa dia, dan cara bagaimana nak puja dia.

Sebagai contoh, cara pemujaan kepada Murugan adalah dengan perayaan Thaipusam yang diadakan di Batu Caves yang kita selalu saksikan itu. Mereka kata Murugan dapat lembing di tangannya itu dari emak dia semasa di Batu Caves itulah.

Orang Kristian pula, reka tugas Nabi Isa sebagai ‘anak tuhan’, mereka beri juga pangkat kepada ibunya Maryam, kemudian mereka reka cara beribadat kepada Nabi Isa dan ibunya Maryam. Antaranya, mereka menyanyi dalam gereja mereka.

Malangnya, kita pun sekarang nak ikut Kristian dan Hindu yang menggunakan nyanyian dalam dakwah dan agama sampaikan ada nasyid, ada Qasidah dan ada pula Zikir Munajat berlagu.

Puak tarekat pula lagi pandai dalam hal mereka-reka ini. Antaranya, mereka beri pangkat kepada Sheikh Qadir Jalani sebagai ‘Sultan para Wali-wali’. Maknanya, semua wali-wali dalam dunia ini diketuai oleh Sheikh Abdul Qadir. Pelantikan ini tidak memerlukan apa-apa bukti, malah boleh dibuat sesuka hati oleh guru dan pengikut Tasawwuf.

Mereka juga ‘melantik’ Sheikh Abdul Qadir ini sebagai ‘penjaga masa’. Maknanya, Sheikh Abdul Qadir ini boleh memberhentikan masa kalau dia mahu. Ini lebih karut dan banyak lagi kekarutan puak Sufi Tarekat ini.

Mereka juga menamakan dan memberi tugas kepada orang-orang tertentu sebagai wali dan diberikan tugas kepada wali-wali itu. Macam kabinet pula jadinya, ada yang jaga kutub selatan, kutub Utara, bahagian ini dan itu.

Wali-wali itu pula dari masa ke semasa ada ‘mesyuarat’ dengan Nabi Muhammad tentang pemerintahan dan penjagaan dunia ini! Sebagaimana agama Hindu memandai beri nama dan tugas, begitu jugalah yang dilakukan oleh orang Islam kita yang sudah keliru ini.

Dari pembacaan kita, ramai dari mereka yang ‘dilantik’ itu adalah orang yang baik-baik, termasuklah Sheikh Abdul Qadir, Nabi Isa dan Saidina Ali, Hasan dan Husein. Bukanlah salah mereka apabila mereka dipuja dan diberi pangkat sebegitu kerana mereka tidak pernah suruh pun.

Tidaklah pernah Nabi Isa suruh baginda disembah. Begitu juga Saidina Ali, Hasan dan Hussein tidak pernah mengaku sebagai ‘Imam’ kepada pengikut Syiah. Pengikut Syiah sahaja yang memandai ‘menamakan’ mereka itu sebagai ‘Imam Syiah’ dan mereka jadikan ‘Imam-Imam’ itu sebagai perantara antara mereka dan Allah.

Mereka juga minta pertolongan kepada Iman-Iman itu dengan ucapan “madad Ali, madad Hussein“. Dan ajaran ini sedang diajar pula kepada orang Sunni dengan diajar masyarakat yang jahil dengan ucapan “madad Rasulullah“. Ma sha Allah! Ini adalah satu kesyirikan!

Tapi apabila dibincangkan di dalam media massa, masih ada lagi ustaz-ustaz yang jahil yang  mengatakan ini tidak mengapa! Bagaimana ini boleh terjadi!? Tidak lain dan tidak bukan kerana ustaz-ustaz itu pun jahil wahyu juga!

Bagaimana dengan Nabi Muhammad SAW? Adakah baginda terselamat dari perkara rekaan ini? Tidak juga. Orang Islam telah ‘menamakan’ atau ‘memberi pangkat’ kepada Nabi kita dengan gelaran ‘Sayyidina’ juga, sama seperti yang diberikan kepada sahabat-sahabat baginda yang lain. Ini pun adalah pangkat rekaan juga. Kerana tidak pernah Allah beri, dan tidak pernah para sahabat panggil baginda dengan gelaran ‘Sayyidina’, bukan?

Mereka kata pangkat itu diberikan sebab nak hormat baginda, tapi mereka sebenarnya telah ‘turunkan’ pangkat baginda sampai disamakan dengan sahabat pula. Kerana sahabat seperti Abu Bakr pun digelar Saidina juga, bukan?

Dan ada pula yang angkat baginda melebihi manusia lain dengan mengatakan baginda itu ‘Nur’ – (cahaya). Maka timbullah konsep ‘Nur Muhammad’ yang penuh syirik itu. Ini pun dimulakan oleh golongan sufi tarekat tapi sudah diikuti oleh orang awam yang jahil wahyu dan jahil agama. Susah pula kita nak terangkan kepada masyarakat kerana dalam TV pun sudah ada zikir tentang Nur Muhammad ini.

Dan ada juga golongan Muslim yang kata Nabi Muhammad tidak wafat (dinamakan konsep ‘hayati’). Walaupun baginda sudah wafat, tugas sudah habis, puak-puak sesat ini masih lagi beri tugas kepada baginda. Maka, mereka kata Nabi Muhammad ‘hadhir’ pada majlis Tahlil mereka, Marhaban mereka, majlis Mawlid mereka, Qasidah mereka. Mereka kata Nabi Muhammad sekali sekala ada ‘mesyuarat’ dengan para wali seluruh dunia dalam pentadbiran dunia dan langit ini.

Mereka juga kata Nabi jadi tukang beri Syafaat, tukang beri berkat sekarang. Cara ibadat kepada Nabi juga diajar oleh mereka – ada yang hantar hadiah Fatihah sebagai upah kepada baginda, ada yang reka berjenis-jenis Selawat sampaikan ada yang berbau syirik seperti Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyah, ada ajaran beri salam kepada Nabi dan macam-macam lagi.

Susah kita nak senaraikan semuanya kerana puak-puak sesat ini amat-amat kreatif dalam cara mereka. Itu belum lagi dikira golongan sesat yang mengatakan Nabi Muhammad itu ‘bersemayam di Arash sebagai Tuhan, turun ke bumi sebagai Muhammad’. Ini pun ada di Malaysia ini. Memang macam-macam jenis akan ada kalau pengajaran tafsir Al-Qur’an ini ditinggalkan. Kerana akan ada sahaja yang pandai buat rekaan.

Kumpulan silat pun ada juga buat macam-macam rekaan dalam amalan mereka. Apabila mereka buka atau hendak masuk gelanggang, mereka akan beri salam kepada Nabi tertentu, kerana mereka kata Nabi itu menjaga tanam-tanaman dan pokok. Jadi, semasa mereka di gelanggang silat itu, banyak pokok mereka akan cantas dan pijak, jadi mereka minta maaf melalui Nabi itu.

Mereka juga ‘tugaskan’ Malaikat Jibrail untuk menjaga mereka di hadapan, Malaikat Mikail di sebelah kanan dan sebagainya. Ini semua adalah kerana kejahilan yang berleluasa dalam masyarakat kita yang mengaku Islam ini.

 

أَنتُمْ وَءآبَاؤُكُم

oleh kamu dan bapa-bapa kamu

Mereka hanya ikut sahaja amalan tok nenek mereka. Musyrikin Mekah kononnya mengatakan yang mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim. Tok Nenek mereka telah lama mengamalkan amalan itu.

Jadi, apabila Nabi Muhammad berdakwah ajaran tauhid kepada mereka, mereka tuduh Nabi Muhammad sebagai sesat pula kerana memperkenalkan amalan agama yang lain dari amalan agama yang dibawa oleh tok nenek mereka. Padahal, apa yang Nabi Muhammad bawa itu adalah yang benar.

Bagaimana pula dengan masyarakat kita? Mereka amat menghormati amalan dulu-dulu yang diamalkan oleh tok nenek kita. Mereka tak periksa pun sama ada amalan itu benar atau tidak. Mereka terus terima ianya sebagai sesuatu yang benar. Apabila kita tegur, mereka pula marah kita. Mereka kata kalau amalan itu salah, takkan diamalkan dari dulu lagi sampai sekarang?

Kerana itu bila kita tegur, mereka akan jawab: “Ulama’ dulu dah lama bincang dah, tak payah nak buat bising lah….” Kita pula yang salah kerana beri teguran. Memang kebanyakan manusia memang susah ditegur. Kita nak beri nasihat kerana kita kasihan kepada mereka. Tapi mereka pula yang marah kita.

Sebagai contoh, amalan Majlis Tahlil, Kenduri Arwah, Bacaan Talqin, Bacaan Yaasin malam Jumaat dan banyak lagi. Amalan-amalan itu adalah amalan bidaah. Memang kita tahu sudah lama diamalkan. Tapi tidaklah amalan yang lama diamalkan boleh menjadi dalil yang ianya benar.

Sesuatu amalan itu kenalah diperiksa sama ada bertepatan dengan syarak atau tidak. Jangan kita jadi macam Musyrikin Mekah yang terus memegang amalan tok nenek mereka.

 

مَّا أَنزَلَ اللهُ بِهَا مِن سُلْطٰنٍ

Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun untuk (menyembah)nya.

Mereka langsung tidak ada dalil untuk membenarkan amalan menyembah berhala mereka itu. Itu semua adalah hasil dari ajaran syaitan. Allah tak pernah suruh dan ajar mereka dengan amalan syirik itu.

Ini mengajar kita untuk memeriksa sesuatu amalan itu ada dalam nas syarak atau tidak. Nas syarak adalah dari Al-Qur’an dan sunnah Nabi. Itu adalah rujukan utama kita. Bukannya amalan orang terdahulu dan bukan juga dari ‘Kitab’.

Amat menyedihkan apabila ditanya dalil sesuatu amalan, jawapan yang diberikan adalah: “ada dalam kitab’. Ini adalah jawapan yang diberikan oleh orang yang jahil dan degil. Yang jadi masalahnya, jawapan itu diberikan oleh ustaz-ustaz dan agamawan pula. Kalau ustaz pun beri jawapan sebegitu, apakah agaknya jawapan dari orang awam? Tentulah lagi memalukan.

 

إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ

Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan,

Musyrikin Mekah membuat amalan mereka dari agak-agak fikiran mereka sahaja. Dan ini juga yang dilakukan oleh masyarakat kita.

Sebagai contoh, amalan Marhaban. Mereka yang buat majlis ini kata, Nabi Muhammad hadir dalam majlis itu. Kalau kita mempertikaikan kepada mereka, takkan kalau ada dua majlis, roh Nabi akan berada pada dua majlis itu, mereka akan jawab: jangan persoal kurnia Allah dan kelebihan Nabi Muhammad!

Mereka kata begitu kerana mereka agak-agak bahawa Nabi Muhammad itu mestilah lain daripada roh manusia yang biasa. Dan mereka agak, tentulah Allah boleh beri kelebihan yang lebih kepada kekasihNya.

image

Tetapi, mana dalilnya? Agakan akal fikiran bukanlah dalil yang sah. Kalau ianya boleh diterima, maka akan rosaklah agama. Kerana semua orang boleh ‘agak-agak’ belaka.

Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana masyarakat kita memang masih jauh dari budaya ilmu. Akal yang cetek memang akan ikut sahaja amalan tok nenek. Mereka tidak gunakan akal mereka untuk membuat penilaian.

Sebagai contoh, makcik-makcik yang menyanyi Marhaban itu bukannya tahu pun apa lagu yang mereka nyanyikan itu. Mereka pakai menyanyi sahaja tanpa tahu terjemahan kalimah-kalimah dan Marhaban itu. Mereka sangka, kalau bahasa Arab, tentulah betul! Amat menyedihkan.

 

وَمَا تَهْوَى الْأَنفُسُ

dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka

Selain dari andaian akal fikiran, Musyrikin Mekah juga beramal ikut kehendak nafsu mereka sahaja. Mereka buat apa yang mereka suka. Mereka hiaskan berhala itu cantik-cantik ikut suka mereka.

Hawa nafsu mereka mahukan macam-macam perkara yang tidak sama dengan apa yang syariat hendak. Maka, mereka buat sendiri ilah mereka, dan dengan itu mereka boleh kawal apa yang ‘ilah’ mereka cakap. Sudah semestinya mereka akan kata perkara-perkara yang nafsu mereka mahukan, bukan apa yang syariat mahukan.

Masyarakat kita pun ikut hawa nafsu mereka dalam beramal. Amalan-amalan bidaah seperti Majlis Tahlil, bacaan Talqin, Doa Selamat, Solat Hajat, tunggu kubur dan macam-macam lagi adalah ‘sumber pendapatan’ yang lumayan bagi pengamal-pengamal ini. Mereka ini selalunya golongan ‘ahli masjid’ dan surau, Pak lebai, ustaz-ustaz dan guru-guru agama. Mereka akan dapat upah apabila mengepalai majlis bidaah itu.

Yang hadir sekali, sekurang-kurangnya dapat makan percuma hari itu. Itu semua adalah kehendak nafsu mereka. Kalau amalan-amalan itu dihapuskan, mereka sudah tidak dapat upah, sudah tidak dapat makan percuma. Tentunya mereka kata, mereka buat amalan itu ‘ikhlas’.

Untuk dapatkan kepastian sama ada mereka ikhlas atau tidak, apa kata tuan rumah buat majlis, tapi tak beri upah kepada imam itu, dan tak hidangkan makanan. Agak anda, golongan surau itu akan datang lagikah esok?

Berhentilah dari buat majlis bidaah itu. Berhentilah dari menyusahkan keluarga yang kematian ahli keluarga mereka. Sudahlah mereka baru kematian ahli keluarga yang disayangi, kita pula susahkan mereka dengan kena beri makan kepada kita pula. Tidakkah kita ada hati perut? Tidakkah kita terfikir kesusahan mereka itu?

Bagaimana pula kalau yang meninggal itu adalah bapa kepada keluarga itu dan dia sahaja yang bekerja? Sudahlah mereka hilang sumber pendapatan, tak tahu macam mana nak hidup selepas ini, tapi kena beri makan kepada orang ramai pula. Kalau anda makan juga, anda sebenarnya tidak berhati perut langsung!

Ada pula yang bagi hujah: “kalau tak mampu tak payah buat. Tapi kalau mampu, boleh buat. Jangan bising-bising!” Kita jawab: kalau ada yang masih buat, tentulah orang yang tak mampu itu malu kalau tak buat. Mereka sampai berhabis duit mana yang tinggal, asalkan mereka tetap juga buat majlis bidaah itu.

Kerana mereka tahu, orang kampung bukannya pandai tutup mulut. Kalau mereka tidak buat, mesti ada orang kampung menjuihkan mulut kerana mereka tidak dapat makan percuma hari itu.

 

وَلَقَدْ جَاءَهُم مِّن رَّبِّهِمُ الْهُدَىٰ

dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka.

Allah telah memberikan petunjuk kepada manusia dalam bentuk ayat-ayat Al-Qur’an dan juga hadis-hadis Nabi, tetapi mereka masih melakukan perkara-perkara sesat dan khurafat. Alangkah rugi apa yang Musyrikin Mekah itu tolak. Nabi Muhammad sudah ada di kalangan mereka, Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa mereka, tapi mereka berpaling.

Masyarakat kita amat rugi. Kita sudah dilahirkan dalam agama Islam, dalam masyarakat Islam, tapi masih lagi berpaling dari petunjuk Allah. Ini adalah kerana tafsir Al-Qur’an mereka tidak belajar dan syarah kepada hadis juga mereka tidak belajar. Dan rujukan mereka adalah kepada guru-guru dan ustaz-ustaz yang mereka pun tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan juga hadis Nabi.

Oleh kerana itu, kejahilan itu diwarisi turun temurun daripada dulu sampai sekarang. Walaupun kitab tafsir dan kitab hadis sudah ada banyak, tetapi yang mereka rujuk masih lagi kepada kitab-kitab karangan manusia yang tidak berlandaskan kepada ayat Al-Qur’an dan hadis Nabi.

Jadi ayat ini memberi dua pilihan kepada manusia: sama ada nak ikut mereka yang ‘agak-agak’ dan ikut hawa nafsu atau nak ikut mereka yang mendapat hidayah? Tentulah pilihan kita kepada mereka yang ikut petunjuk dari Allah, bukan?


 

Ayat 24: Mereka reka kelebihan-kelebihan dalam amalan. Mereka kata, kalau nak A, seru wali A dan kalau nak B, seru wali lain pula.

أَم لِلإِنسٰنِ ما تَمَنّىٰ

Sahih International

Or is there for man whatever he wishes?

Malay

Adakah manusia akan dapat mencapai segala yang dicita-citakannya? (Tidak!).

 

 

Adakah manusia patut dapat semua yang mereka ingini? Manusia ada macam-macam kehendak, tapi tidaklah mereka dapat semua yang mereka hendak itu. Kalau diberikan semua yang manusia hendak, rosak binasalah dunia ini.

Apakah kaitan ayat ini dengan berhala-berhala itu? Allah nak beritahu, walaupun mereka berkeinginan kepada berhala-berhala itu, tapi mereka tak akan dapat. Manusia tidak mendapat semua yang mereka inginkan. Semuanya bergantung kepada kehendak Allah.

Kerana salah faham ini, maka ramai manusia reka tempat minta doa. Termasuk dalam masyarakat Islam yang jahil. Jadi fahaman mereka, kalau nak anak kena minta kepada Nabi Zakaria; kalau nak dapat ilmu agama kena minta dari Nabi Khadr dan lain-lain lagi fahaman itu adalah salah sama sekali. Itu adalah fahaman khayalan tanpa bukti. Mereka kata boleh dapat itu dan ini dengan seru wali itu dan ini. Padahal Allah dan Nabi tidak ada cakap pun.

Kita kenalah tahu cara berdoa yang benar dan kita berharap sahaja kepada Allah dalam berdoa itu. Kita wajib berdoa kepada Allah tapi ‘harus’ sahaja Allah hendak beri atau tidak permintaan kita. Jangan sangka setiap permintaan dan doa kita akan diberikan oleh Allah. Walaupun kita telah melakukan semua perkara untuk beri doa itu ‘mustajab’. Kena ikut kehendak Allah juga. Allah tidak boleh dipaksa untuk berikan apa yang kita hendak.


 

Ayat 25:

فَلِلَّهِ الآخِرَةُ وَالأولىٰ

Sahih International

Rather, to Allah belongs the Hereafter and the first [life].

Malay

Kerana Allah jualah yang menguasai segala urusan akhirat dan urusan dunia.

 

 

Manusia tidak mendapat semua yang mereka inginkan, sebaliknya apa yang manusia akan dapat atau tidak itu terpulang kepada Allah. Allah sahaja yang ada hak untuk menentukan apa yang kita akan dapat. Kenapa? Kerana akhirat dan dunia adalah kepunyaanNya.

Kalau akhirat dan dunia ini milik Allah, maka kenapa kita perlu minta pertolongan kepada Nabi, Wali dan malaikat? Kenapa nak minta kepada ilah-ilah rekaan yang memang tidak boleh memberikan apa-apa? Sepatutnya kita minta terus kepada Allah Ta’ala sahaja. Maka kalau perlukan apa-apa sahaja, terus doa kepada Allah. Inilah cara termudah.

Dalam ayat ini, ‘akhirat’ disebut dahulu, sedangkan dari segi kronologi, kehidupan dunia dulu, kemudian barulah kehidupan akhirat, bukan? Akhirat disebut dahulu kerana kekuasaan Allah akan lebih jelas di akhirat nanti. Sekarang ini pun dalam dunia, Allah juga berkuasa penuh, tapi manusia tak nampak. Nanti, bila di akhirat nanti, tidak ada yang akan mempersoalkannya lagi.

Maka kerana akhirat itu milik Allah, maka Allah akan balas amalan dan fahaman syirik manusia semasa di dunia. Jangan mereka sangka yang mereka akan selamat di akhirat kalau mereka selamat di dunia pun.


 

Ayat 26: Sekarang kita belajar tentang Syafaat pula. Ini adalah satu perkara yang banyak salah faham dalam masyarakat.

۞ وَكَم مِّن مَّلَكٍ فِي السَّمٰوٰتِ لا تُغني شَفٰعَتُهُم شَيئًا إِلّا مِن بَعدِ أَن يَأذَنَ اللهُ لِمَن يَشاءُ وَيَرضىٰ

Sahih International

And how many angels there are in the heavens whose intercession will not avail at all except [only] after Allah has permitted [it] to whom He wills and approves.

Malay

(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya.

وَكَم مِّن مَّلَكٍ فِي السَّمٰوٰتِ

Dan entah berapa banyaknya malaikat di langit,

Berapa banyak malaikat pun kita tak akan tahu. Allah sahaja yang tahu bilangan mereka. Kita pun tahu bahawa malaikat itu rapat dengan Allah. Kerana itu mereka dikatakan ‘di langit’, kerana Allah di langit.

Mereka menerima arahan terus dari Allah. Mereka makhluk yang taat. Mereka tidak ada dosa.

Sebelum ini di awal surah ini telah disebut sifat-sifat Jibril yang hebat. Tetapi kenapa disebut tentang malaikat lagi dalam ayat ini?

 

لَا تُغْنِي شَفٰعَتُهُمْ شَيْئًا

syafaat mereka sedikit pun tidak berguna,

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa mereka yang ada meminta tolong kepada malaikat ataupun menjadikan malaikat sebagai perantaraan untuk mereka memohon kepada Allah adalah sia-sia sahaja. Walaupun para malaikat itu banyak.

Musyrikin Mekah menyembah berhala-berhala mereka kerana mereka kata berhala itu akan menyampaikan permintaan mereka kepada Allah. Dalam masa yang sama, mereka juga menyembah malaikat-malaikat yang mereka kata kononnya anak-anak perempuan Allah.

Jadi mereka sangka mereka selamat kerana mereka kononnya sudah baik dengan malaikat dan malaikat itu pula banyak. Adakah begitu? Tidak sama sekali. Allah kata pertolongan mereka tidak berguna pun. Itu pun kalau malaikat itu hendak menolong.

Allah nak suruh mereka bandingkan berhala mereka dengan malaikat-malaikat itu. Tentulah malaikat lebih hebat dari berhala itu, bukan? Walaupun hebat, tapi mereka pun masih tidak dapat membantu manusia kalau Allah tak izinkan. Kalau malaikat pun tak boleh tolong, apatah lagi berhala mereka yang tidak ada apa-apa itu? Sia-sia sahaja.

Mereka berhujah pula yang mereka tahu yang malaikat dan wali-wali itu tidak ada kuasa. Tapi mereka nak syafaat sahaja. Ini juga fahaman bahaya. Macam sekarang pun banyak ustaz-ustaz ajar tentang syafaat kerana memang ‘syafaat’ itu ada dalam istilah agama. Tapi mereka keliru dengan maksudnya dan mereka telah mengelirukan ramai umat Islam.

Allah beritahu dalam ayat ini yang malaikat (dan juga Nabi dan wali) tidak boleh beri syafaat. Tapi ada juga yang boleh memberi syafaat, tapi dengan syarat.

 

إِلَّا مِن بَعْدِ أَن يَأْذَنَ اللَهُ

kecuali sesudah Allah mengizinkan

Ada syarat untuk malaikat itu memberi pertolongan kepada manusia. Kita kena ingat bahawa para Malaikat ikut perintah Allah sahaja. Allah boleh izinkan kalau Allah mahu. Ini adalah syarat pertama: syarat itu adalah – Allah izinkan malaikat itu untuk menolong. Maknanya, syafaat itu hak Allah sahaja, malaikat tukang sampaikan sahaja.

Syafaat dalam Islam hanya biizni (dengan izin). Iaitu hanya dengan izin Allah sahaja. Maka tidak ada ajaran dari Nabi untuk minta syafaat dari baginda. Maka amalan qasidah puak Habib yang minta syafaat kepada Nabi Muhammad itu adalah ajaran sesat.

Kita akan dapat syafaat secara automatik apabila seru Allah sahaja dalam tauhid. Kalau amalkan tauhid, akan dapat syafaat secara automatik. Bukannya dengan cara seru Nabi dan wali. Kalau buat begitu, memang tidak akan dapat syafaat kerana anda telah mengamalkan syirik dan orang musyrik tidak akan dapat syafaat.

Jadi ayat ini menjawab kekeliruan tentang syafaat.

 

لِمَن يَشَاءُ وَيَرْضَىٰ

bagi orang yang dikehendaki dan diredhai (Nya).

Ini adalah syarat kedua: yang ditolong oleh malaikat itu pun kena dapat kelulusan dari Allah juga. Bukanlah malaikat itu boleh tolong sesiapa sahaja.

Maka ini adalah Syarat ketiga: Allah redha dengan Syafaat itu.

Maknanya, bukan senang nak dapatkan Syafaat. Ini mengajar kita untuk jangan berharap kepada orang lain. Kita kena berharap dengan Allah sepenuhnya. Kerana segalanya Allah yang tentukan. Entah berapa ramai masyarakat kita yang mengharapkan Syafaat dari malaikat, dari Nabi, dari wali, dari guru mereka, tanpa mereka sedari sama ada mereka melepasi syarat-syarat itu atau tidak.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Mac 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s