Tafsir Surah al-An’am Ayat 28 – 31 (Sesal tiada guna)

Ayat 28: Ayat sebelum ini disebut bagaimana mereka yang telah dihadapkan ke neraka akan berharap supaya mereka dikembalikan ke dunia. Mereka nak kembali kerana mereka nak buat amal baik, tak mahu buat syirik lagi dah. Adakah mereka berjaya dikembalikan? Allah jawap dalam ayat ini:

بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ ۖ وَلَو رُدّوا لَعادوا لِما نُهوا عَنهُ وَإِنَّهُم لَكٰذِبونَ

Sahih International

But what they concealed before has [now] appeared to them. And even if they were returned, they would return to that which they were forbidden; and indeed, they are liars.

Malay

(Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.

 

بَلْ بَدَا لَهُم

bahkan nyata kepada mereka

Perkataan بَلْ digunakan untuk menidakkan pernyataan dalam ayat sebelum ini. Iaitu mereka mengharap semoga mereka dikembalikan ke dunia. Perkataan بَلْ menyatakan mereka tidak akan ada peluang itu.

Sebaliknya akan dinyatakan, akan dikeluarkan. Apakah yang akan dikeluarkan?

 

مَّا كَانُوا يُخْفُونَ مِن قَبْلُ

apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu;

Apa yang sembunyikan? Dalam kes musyrikin Mekah dan Ahlu Kitab, pada hari Kiamat akan jelas terkeluar bahawa mereka dulu semasa di dunia, tahu yang Nabi Muhammad adalah seorang rasul dan benar. Tapi mereka sembunyikan dalam hati mereka.

Keduanya, akan terbongkar kekufuran orang-orang munafik. Mereka hidup di hadapan Nabi dan manusia lainnya, sambil mereka mengaku beragama Islam dan menyembunyikan kekufuran mereka. Tapi di hari Kiamat nanti, ianya akan terkeluar. Maka, ada yang kita nampak macam Islam tapi mereka dalam masa yang sama buat syirik juga. Mereka tak terima ajakan tauhid.

Bukan orang munafik zaman Nabi sahaja, yang munafik zaman kita pun akan terbongkar juga. Mereka menyembunyikan kemunafikan mereka semasa mereka di dunia, tapi mereka tidak dapat menyembunyikan lagi di akhirat.

Ini mengingatkan kita bahawa ada perkara yang kita lakukan tidak ikhlas. Kita sembunyikan niat kita dalam melakukannya. Sebagai contoh, kita mungkin buat amal kerana hendak menunjuk-nunjuk dan sebagainya. Tapi di akhirat nanti, ianya akan dikeluarkan. Semua akan nampak apakah niat kita semasa melakukan amal itu. Oleh itu, hendaklah kita memperbetulkan niat kita. Hendaklah kita melakukan sesuatu amal ibadat itu kerana Allah semata-mata.

Begitu juga ada orang yang buat kesalahan dan sorok dari orang lain. Ianya juga akan dibongkarkan pada hari itu. Tidak ada yang dapat disembunyikan pada hari itu. Apa sahaja yang kita sembunyikan semasa di dunia akan dibongkar. Semasa di dunia, bolehlah kita tipu orang, tapi di akhirat, ianya akan jelas kepada semua orang. Oleh itu, berhati-hatilah dengan apa yang kita lakukan.

 

وَلَوْ رُدُّوا

dan kalau pun mereka dikembalikan ke dunia,

Memang mereka tidak akan dikembalikan. Tapi kalaulah mereka dikembalikan, apa mereka akan buat?

 

لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ

tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya;

Allah beritahu kita dalam ayat ini, bahawa kalau pun mereka dikembalikan ke dunia, mereka akan kembali buat perkara syirik yang mereka lakukan dulu semasa di dunia. Kenapa mereka akan buat juga?

Kerana itu sudah jadi sebati dengan perangai mereka dah. Walaupun mereka diberi peluang kedua, mereka akan buat juga apa yang dilarang. Kerana itu sudah jadi habit yang telah menebal dalam diri mereka. Seperti seseorang yang biasa sangat menipu, dia akan sentiasa menipu setiap hati. Ini kerana Allah tahu dalam takdirNya.

 

وَإِنَّهُمْ لَكٰذِبُونَ

dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.

Apakah dusta mereka? Iaitu mereka kata kalau mereka dikembalikan ke dunia, mereka akan berubah perangai. Itu dusta sahaja. Kalau mereka kembali ke dunia, mereka pasti akan buat syirik balik.


 

Ayat 29: Syikayah. Betapa mereka tidak terima akhirat langsung.

وَقالوا إِن هِيَ إِلّا حَياتُنَا الدُّنيا وَما نَحنُ بِمَبعوثينَ

Sahih International

And they say, “There is none but our worldly life, and we will not be resurrected.”

Malay

Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati”.

 

وَقَالُوا

Dan tentulah mereka akan berkata pula:

Ini satu lagi fahaman mereka.

 

إِنْ هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا

“Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini,

Mereka kata tidak ada kehidupan selepas mati. Mereka sayang sangat dunia ini.

Kalimah الدُّنْيَا adalah kehidupan dunia ini. Kata dasarnya adalah: د ن و yang bermaksud ‘dekat’ kerana dunia ini dekat dengan kita. Ianya juga bermaksud ‘rendah’ kerana kehidupan dunia adalah rendah kalau dibandingkan dengan kehidupan di akhirat.

Manusia memang kebanyakannya hanya memandang keindahan dunia sahaja kerana akal mereka hanya nampak yang boleh dilihat dengan mata sahaja. Mata hati mereka tidak dapat terima ada kehidupan yang lain. Oleh itu, mereka pegang betul dengan dunia ini. Mereka nak buat segalanya yang mereka boleh ambil dari hal dunia. Mereka tidak fikirkan lagi kesan di akhirat sebab mereka tak nampak akhirat itu. Mereka hendak menikmati kehidupan dunia ini sepuas-puasnya. Kerana mereka fikir mereka ‘hidup hanya sekali’.

Tapi kenapakah manusia hendak melebihkan kehidupan dunia yang lemah dan rendah ini? Ianya adalah kehidupan yang amat menyesakkan. Tidak sunyi dari kekurangan dan keresahan sahaja. Ianya tidak kekal. Kalau gembira pun sekejap sahaja. Padahal kehidupan akhiratlah yang lebih kekal. Ianya adalah kekal abadi. Kehidupan yang baik di akhirat lah yang sepatutnya kita kejar. Bukan kehidupan dunia ini.

Amat malang sekali kepada sesiapa yang tidak nampak perbandingan ini. Mereka merugikan sahaja masa yang mereka ada di dunia ini. Padahal, dunia ini sepatutnya menjadi tempat mereka bercucuk tanam menambah pahala supaya mereka dapat menuai hasilnya di akhirat kelak.

 

وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ

dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula”.

Kenapa mereka tak mahu terima adanya akhirat? Kerana mereka nak buat apa yang mereka hendak buat semasa di dunia. Mereka tidak mahu ada kekangan. Kalau mereka terima adanya akhirat, maka mereka kena jaga hukum. Tak boleh buat itu, tak boleh buat ini. Mereka tak mahu begitu. Mereka nak buat apa yang mereka hendak lakukan.

Kalau orang Islam, ada juga yang tak kisah tentang kehidupan akhirat. Maka walaupun mereka mengaku Islam, mereka tak buat persiapan pun untuk hari akhirat. Mereka lalai dan leka dengan kehidupan dunia juga. Tak banyak beza pun dengan orang-orang kafir.


 

Ayat 30: Apakah kesudahan mereka nanti?

وَلَو تَرىٰ إِذ وُقِفوا عَلىٰ رَبِّهِم ۚ قالَ أَلَيسَ هٰذا بِالحَقِّ ۚ قالوا بَلىٰ وَرَبِّنا ۚ قالَ فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

Sahih International

If you could but see when they will be made to stand before their Lord. He will say, “Is this not the truth?” They will say, “Yes, by our Lord.” He will [then] say, “So taste the punishment because you used to disbelieve.”

Malay

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: “Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: “Benar, demi Tuhan kami!” Allah berfirman lagi: “Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar”.

 

وَلَوْ تَرَىٰ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat

Diulang sekali lagi. Sebelum ini disebut mereka berhenti tepi neraka. Sekarang mereka akan dihadapkan di hadapan Allah.

 

إِذْ وُقِفُوا عَلَىٰ رَبِّهِمْ

ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka,

Semua manusia akan dihadapkan, tapi keadaan mereka akan berbeza dengan orang yang beriman dan beramal soleh.

 

قَالَ أَلَيْسَ هَٰذَا بِالْحَقِّ

lalu Allah berfirman: “Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar?

Allah tanya mereka tentang hari yang mereka dulu kata tidak ada. Sekarang sudah di hadapan mata mereka, bagaimana? Takkan nak kata tidak ada pula. Dulu mereka tidak percaya tapi sekarang sudah di depan mata dah.

 

قَالُوا بَلَىٰ وَرَبِّنَا

Mereka menjawab: “Benar, demi Tuhan kami!”

Mereka mengaku bahawa hari itu adalah benar, dengan bersumpah dengan nama Allah.

Di akhirat nanti, tidak ada alasan lagi yang boleh diberi. Waktu itu terpaksa menerima kenyataan. Kalau semasa di dunia dulu tidak mengaku, masih nak lari-lari dari tanggungjawab, buat tak tahu sahaja, tapi tidak lagi boleh dilakukan apabila di hari Akhirat nanti.

Ujiannya adalah samada kita terima Allah sebagai Tuhan semasa di akhirat atau di dunia lagi. Alangkah ruginya kalau kita hanya mengaku apabila di akhirat kelak. Maka, terimalah kenyataan bahawa hari Kiamat itu benar dan kita hendaklah bersedia untuk menghadapinya.

 

قَالَ فَذُوقُوا الْعَذَابَ

Allah berfirman lagi: “Oleh itu, rasalah azab seksa neraka

Walaupun mereka sudah mengaku, tapi mereka tidak lepas dari azab. Kalau mengaku waktu itu, tidak berguna dah. Akan kena azab juga. Nak mengaku, kena masa di dunia lagi. Maka kerana kamu tidak mengaku dulu, maka kamu kena rasa azab itu di akhirat.

Allah gunakan perkataan فَذُوقُوا yang bermaksud ‘rasailah kamu semua’. Allah gunakan perkataan ‘rasa’. Kalau kita rasa makanan contohnya, bukankah kita akan dapat kepastian? Kalau makanan itu setakat cium bau sahaja, kita tak pasti makanan itu sedap atau tidak. Tapi kalau dah ‘rasa’, memang kita pasti sungguh. Kalau lihat sahaja pun belum tentu pasti.

Dulu mereka nak rasa sangat kesedapan hidup dunia. Sekarang rasalah kesakitan dalam neraka.

 

بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

dengan sebab kamu telah kufur ingkar”.

Mereka engkar untuk ikut tauhid. Mereka kufur untuk beriman kepada hari Akhirat. Dulu tolak akhirat, maka tidak menerima kebenaran, maka balasannya adalah azab.


 

Ayat 31: Takhwif Ukhrawi.

قَد خَسِرَ الَّذينَ كَذَّبوا بِلِقاءِ اللهِ ۖ حَتّىٰ إِذا جاءَتهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً قالوا يٰحَسرَتَنا عَلىٰ ما فَرَّطنا فيها وَهُم يَحمِلونَ أَوزارَهُم عَلىٰ ظُهورِهِم ۚ أَلا ساءَ ما يَزِرونَ

Sahih International

Those will have lost who deny the meeting with Allah, until when the Hour [of resurrection] comes upon them unexpectedly, they will say, “Oh, [how great is] our regret over what we neglected concerning it,” while they bear their burdens on their backs. Unquestionably, evil is that which they bear.

Malay

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; “Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!” Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

 

قَدْ خَسِرَ الَّذِينَ كَذَّبُوا

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan

Rugi yang teramat-amat rugi. Tidak ada lagi kerugian yang lebih besar dari ini.

 

بِلِقَاءِ اللهِ

pertemuan mengadap Allah;

Mereka tidak percaya yang mereka akan bertemu mengadap Allah dimana segala amal mereka akan ditimbang dan mereka akan ditanya tentang apakah yang mereka lakukan semasa mereka di dunia dulu. Oleh kerana mereka tidak menerimanya, maka mereka telah melakukan dosa-dosa besar dan dosa-dosa syirik. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita memikirkan yang kita akan bertemu dengan Allah? Kita sebagai orang beriman, tentunya percaya bahawa akan ada hari Kiamat dan semua akan dihadapkan ke hadapan Allah. Tapi adakah kita sentiasa memikirkannya? Ada tak kita mengharap untuk jumpa Allah? Pernah tak kita terfikir?

Amat rugi kalau kita tidak mengharap untuk bertemu dengan Allah. Padahal, kita selalu mengharap nak masuk SyurgaNya. Tapi tak teringat nak minta untuk berjumpa denganNya. Dengan orang lain kita nak jumpa. Kalau ayah kita dah mati, teringin sangat kita nak jumpa ayah kita di akhirat kelak. Tapi bagaimana dengan Allah?

Kenalah kita mengharap untuk bertemu dengan Allah. Berdoalah setiap hari supaya kita dapat bertemu denganNya. Kita hendak sangat bertemu dengan Allah. Ianya adalah satu nikmat Syurga yang paling besar sekali.

 

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَتْهُمُ السَّاعَةُ

sehingga apabila hari kiamat datang kepada mereka,

Mereka tidak terima dan hidup dalam dusta sampai saat itu sampai. Ianya pasti akan datang. Samada mereka bersedia atau tidak, ianya pasti akan datang juga.

 

بَغْتَةً

secara tiba-tiba.

Tanpa tanda apa pun. Tiba-tiba sahaja. Tanpa amaran. Masa itu manusia sedang sibuk dengan hal dunia, sedang buat kerja macam biasa, makan dan sebagainya. Macam hari biasa sahaja. Tapi tiba-tiba ia datang.

Kiamat ada dua: Kiamat besar dan Kiamat Kecil. Kiamat Besar adalah Hari Kiamat apabila segala alam ini akan dihancurkan. Kiamat kecil pula adalah mati. Semua orang akan melalui dua-dua kiamat ini. Kiamat Kecil ini pun akan datang dengan tiba-tiba. Sedang kita sibuk dengan hal dunia, tiba-tiba malaikat maut dah sampai. Alangkah terkejutnya nanti mereka yang tidak memikirkan untuk bertemu Tuhan dan mereka mati tiba-tiba dan apa yang mereka dustakan akan jelas kepada mereka.

Orang beriman pun tak tahu bilakah dia akan mati. Tapi orang yang beriman akan sentiasa bersedia untuk mati. Oleh itu, apabila kematian datang, dia tak terkejut sangat. Tapi kepada mereka yang tak fikir pun tentang mati, sedang leka dengan hidup, maka mereka yang sangat terkejut. Kepada merekalah mati itu akan datang secara tiba-tiba.

Ayat ini mengajar kita untuk sentiasa bersedia untuk mati. Tanya diri kita setiap hari: “Adakah aku bersedia untuk mati?” “Adakah Allah akan murka atau tidak kepadaku?”

Apabila kita bersedia untuk mati, kita bukan hanya memikirkan tempat tujuan kita di alam akhirat sahaja, tapi kita juga kena memikirkan apa yang kita tinggalkan – iaitu dunia. Kita kena menyelesaikan hal-hal dunia yang mempunyai kesan kepada kita di akhirat. Sebagai contoh, kita kena memikirkan ada tak barang orang lain dengan kita lagi? Kalau ada, kena pulangkan.

Kalau hutang, kena bayar. Sekurang-kurangnya kita beritahu waris kita untuk memulangkan kalau kita sudah tiada lagi. Kalau kita ada buat salah dengan orang, kita kena minta maaf. Ini adalah antara perkara yang kita kena lakukan dalam persediaan untuk menghadapi mati.

Jangan tunggu esok, minggu depan tahun depan baru nak buat perkara-perkara itu. Jangan nak ubah diri kita lambat lagi. Jangan tangguh nak belajar tafsir bila dah senang sikit, ada masa luang dan berbagai-bagai lagi alasan lain. Jangan tangguh. Jangan tangguh untuk buat amalan yang baik.

 

قَالُوا يٰحَسْرَتَنَا

mereka berkata; “Aduhai kesalnya kami

Ini adalah kata-kata laungan penyesalan. Mana tidak? Mereka tidak bersedia langsung untuk mati dan mereka mati dengan tiba-tiba. Tentulah mereka menyesal.

 

عَلَىٰ مَا فَرَّطْنَا فِيهَا

atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!”

Banyak perkara agama mereka cuai. Antaranya, cuai untuk belajar agama, cuai untuk belajar tafsir Qur’an. Benda yang dia patut buat, dia tak buat. Tak bersedia untuk kematian. Sebaliknya mereka sentiasa sibuk dengan benda yang tak penting.

Bila tak belajar, dia buat syirik kerana dia tidak tahu yang apa yang dilakukannya adalah syirik. Dan bila buat syirik, semua amalan tidak diterima. Begitu juga, apabila tak tahu diri sendiri buat syirik, tentulah dia tidak pernah minta ampun atas dosa syiriknya itu. Dosa syirik kita kena minta ampun sendiri – tak boleh harapkan orang lain mintakan untuk kita.

Yang selalu manusia buat adalah syirik dalam bidaah. Mereka buat amalan yang bukan Nabi ajar. Tapi dalam syahadah, mereka mengaku Nabi Muhammad itu rasul. Tapi amalan mereka bukan ikut ajaran Nabi. Mereka tak faham apakah maksud syahadah itu. Mereka tidak tahu kenapa mereka sebut ‘asyhadu anna Muhammadur Rasulullah’.

Apabila ditanya, kenapa mereka sebut syahadah itu, mereka akan jawap: “Kerana Nabi Muhammad itu adalah Rasulullah lah.” Kalau kita tak sebut pun, Nabi Muhammad tetap Rasulullah. Tapi kenapa kita sebut? Jawapannya, kerana itu adalah pernyataan dari kita bahawa kita ‘akan ikut’ ajaran Nabi Muhammad; Kita akan hanya amalkan amalan yang diajar oleh Nabi sahaja. Itulah sebabnya kita mengucap dua kalimah syahadah itu.

Jangan kita ingat ayat ini tentang orang kafir sahaja. Itulah salah tafsir dari guru agama yang mengajar. Mereka hanya beritahu yang ayat ini menceritakan kesalahan orang kafir yang tidak beriman sahaja. Maka, apabila begitu, sedap sahaja kita rasa. Macam kita tidak ada salah. Jangan begitu. Hendaklah kita membandingkan sesuatu teguran Allah itu kalau-kalau ianya kena batang hidung kita sendiri.

 

وَهُمْ يَحْمِلُونَ أَوْزَارَهُمْ

Sambil mereka memikul beban mereka

Beban yang dimaksudkan adalah dosa-dosa mereka. Sebagai contoh, orang yang curi dari orang lain akan bawa benda yang mereka curi itu. Apa sahaja perbuatan kita di dunia akan melekat dengan kita. Alangkah menakutkan!

Maka jangan kita tambah dosa kita. Sebab ada yang kata: aku dah banyak dosa dah, sama sahaja kalau tambah lagi …. Ingatlah yang dosa yang semakin bertambah akan menyusahkan kita lagi. Kalau dalam dunia pun kita tak suka bawa beban. Sebagai contoh, kalau kita nak mengembara dan kita di lapangan terbang, tiba-tiba flight delay.

Waktu itu kita akan resah dengan segala beg yang kita bawa. Kita kena bawa beg itu ke mana-mana. Rasa macam nak buang sahaja kan? Padahal itu baru sekejap sahaja. Padahal itu boleh tarik dengan troli, bukan kena angkat pun dengan tangan kosong. Bayangkan kalau yang kita kena bawa itu adalah dosa kita yang bertimbun-timbun.

 

عَلَىٰ ظُهُورِهِمْ

di atas belakang mereka.

Bukan bawa beban itu dalam beg, atas troli, tarik di belajang kita dan sebagainya, tidak. Tapi atas diri mereka sendiri. Alangkah beratnya! Kita kena membawanya selama kita di dalam neraka. Kalau kita ahli neraka yang kekal di dalam neraka, kita kena tanggung beban dosa itu selama-lama!

Tambahan pula, semua boleh nampak apakah dosa yang kita lakukan dulu, maka ianya juga adalah sebagai sesuatu yang amat memalukan.

 

أَلَا سَاءَ مَا يَزِرُونَ

Ketahuilah!, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

Kita nak bayangkan pun tidak boleh kerana ianya adalah perkara ghaib. Jadi, kita kena terima kata-kata Allah ini bahawa ianya adalah sesuatu yang amat buruk sekali.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s