Tafsir Surah Baqarah Ayat 197 (Larangan dan suruhan di dalam Haji)

Baqarah Ayat 197: Sekarang Allah ‎ﷻ menyebut tentang larangan-larangan dalam mengerjakan Haji.

الحَجُّ أَشهُرٌ مَّعلُومَـٰتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فيهِنَّ الحَجَّ فَلا رَفَثَ وَلا فُسوقَ وَلا جِدالَ فِي الحَجِّ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدوا فَإِنَّ خَيرَ الزّادِ التَّقوىٰ ۚ وَاتَّقونِ يا أُولِي الأَلبابِ

Sahih International

Hajj is [during] well-known months, so whoever has made Hajj obligatory upon himself therein [by entering the state of ihram], there is [to be for him] no sexual relations and no disobedience and no disputing during Hajj. And whatever good you do – Allah knows it. And take provisions, but indeed, the best provision is fear of Allah. And fear Me, O you of understanding.

Malay

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

 

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعلُومَـٰتٌ‌

Haji itu adalah beberapa bulan yang sudah ditentukan;

Bulan-bulan Haji adalah Syawal, DzulQaedah dan sepuluh hari pertama Bulan Dzulhijjah (atau ada pendapat yang mengatakan keseluruhan bulan DzulHijjah). Ini bermakna, bermula 1 Syawal lagi, orang sudah boleh niat Ihram (elok kalau dia berniat Haji Tamattu’ kalau begitu). Sepertimana solat mempunyai waktu-waktunya, begitu juga Haji. Tidak boleh dilakukan di luar waktunya. Sekarang ini, ada pula ajaran sesat yang beri cadangan supaya bulan-bulan Haji itu dibuat pada bulan lain kononnya supaya tidak tertumpu pada satu waktu sahaja dan tidaklah sibuk sangat sampai menyebabkan kemalangan. Itu adalah cadangan yang mengarut. Kalau Haji dibuat di luar dari waktu yang telah ditetapkan, ia tidak akan diterima.

Apabila dikatakan ada tiga bulan Haji itu, maksudnya, ihram Haji hanya boleh dimulakan dalam tiga bulan ini sahaja.

Bulan-bulan Haji itu telah ditentukan sudah lama, sebelum Nabi Muhammad ﷺ dilahirkan lagi. Ini membenarkan bulan-bulan Haji yang telah diterima selama turun-temurun kerana ia adalah dari agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Kedatangan Nabi Muhammad ﷺ tidak mengubah bulan-bulan Haji itu.

Kalimah مّعلُومَـٰتٌ‌ bermaksud yang telah maklum, telah diketahui. Ini kerana orang Arab sudah biasa dengan ibadah Haji. Kerana itu Allah ‎ﷻ tidak perlu sebut seperti disebut bulan puasa adalah Ramadhan dan waktu-waktu solat juga disebut dengan terperinci di dalam hadis. Ini mengajar kita, kalau orang sudah tahu, tidak perlu sebut lagi.

Sebenarnya ibadah Haji itu paling lama pun 6 hari sahaja (itu pun kalau bermula dari 8 DzulHijjah) jadi kenapa sampai 3 bulan terus jadi bulan-bulan Haji? Ini kerana ibadah Haji ini adalah ibadah yang besar dan memerlukan persiapan seperti perjalanan ke sana.

 

فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ

Maka sesiapa yang memfardhukan dirinya untuk menunaikan haji,

Ini adalah apabila seseorang sudah berniat dan masuk ke dalam Ihram dengan melakukan syarat-syaratnya seperti niat dan memakai pakaian Ihram di miqat. Dia sudah menjadikan dirinya di dalam ibadah Haji. Maka sesiapa yang sudah buat begitu maka mereka hendaklah menjaga tiga perkara yang akan disebut selepas ini.

 

فَلَا رَفَثَ

maka janganlah dia mencampuri isterinya;

Tidak boleh bersama dengan isteri untuk mengadakan hubungan kelamin. Malah tidak boleh bercakap perkara yang boleh menaikkan nafsu pun. Tidak juga boleh buat perkara yang boleh membawa kepada hubungan kelamin seperti bercumbu, berpelukan atau bercakap-cakap tentangnya. Perkara ini mesti dijaga kerana pada musim Haji ramai perempuan yang datang dengan tidak menutup muka, datang pula dari pelbagai negara yang kita tidak biasa lihat dan semua datang dengan niat untuk buat ibadat jadi tidak sesuai buat atau cakap perkara yang berkenaan jimak.

Ini adalah perkara pertama yang mesti dijaga. Kena jaga pandangan dan hati kita. Jangan hendak tengok-tengok orang lebih sangat. Nanti tengok lama sangat perempuan bangsa lain, sudah terkesan pula nanti. Jangan begitu kerana di dalam ibadah Haji persetubuhan suami isteri tidak dibenarkan semenjak bermula berihram itu.

 

وَلَا فُسُوقَ

dan jangan buat perbuatan-perbuatan yang berdosa

Jangan langgar hukum atau menzalimi sesiapa; jangan buat perkara yang fasiq. Antaranya, jangan caci maki orang lain. Kamu datang untuk buat ibadat, maka kena jaga akhlak, tingkahlaku dan tatatertib. Datang dari jauh dan sudah habis banyak belanja, maka jangan merugikan diri sendiri dengan berbuat dosa.

Ibn Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menghadkan fasiq di dalam ayat ini bukan di dalam bentuk umum, akan tetapi hanya berkenaan larangan-larangan di dalam Ihram sahaja. Iaitu ada perkara-perkara yang tidaklah berdosa kalau dilakukan, cuma ia dilarang ketika di dalam Ihram iaitu,

    1. Hubungan badan suami isteri termasuk perkara-perkara yang membawa kepadanya.
    2. Berburu sama ada buru sendiri atau mengarahkan orang lain
    3. Memotong rambut dan kuku
    4. Menggunakan wangi-wangian
    5. Bagi lelaki, memakai pakaian berjahit
    6. Bagi lelaki juga, memakai penutup kepala dan muka. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik رحمهما الله juga berpendapat wanita juga dilarang daripada menutup muka di dalam Ihram.

Kalau diperhatikan diulang sekali lagi tentang perhubungan badan suami isteri walaupun telah disebut sebelum ini. Ini adalah penekanan kerana kalau dilakukan, ia menyebabkan Ihram itu terbatal. Sedangkan perbuatan-perbuatan yang lain boleh lagi dibayar dam dan Ihram tidak batal.

 

وَلَا جِدَالَ

dan jangan berbantah-bantah

Allah ‎ﷻ mengingatkan kerana semasa buat Haji, orang ramai sangat dan ada kemungkinan ada perkara yang boleh menaikkan kemarahan kita. Jangan buat perkara yang boleh memecah belahkan umat sedangkan ibadah Haji adalah untuk menyatukan umat. Kena tenang-tenangkan diri dan bersabar.

Sebenarnya perbuatan فُسُوقَ dan جِدَالَ memang tidak bagus pun walaupun di luar ibadah Haji. Jadi kenapa Allah ﷻ sebut lagi di sini? Ia memberitahu kita walaupun perbuatan dosa itu tidak baik dilakukan bila-bila masa pun, ia menjadi lebih buruk kalau dilakukan di dalam melakukan ibadah Haji. Ini sebagaimana berzina itu memang dosa besar, tetapi kalau berzina di dalam masjid, bagaimana? Tentu lebih teruk, bukan?

Sebenarnya perbuatan جِدَالَ bukanlah haram dan berdosa secara mutlak kerana ada ketikanya ia dibolehkan seperti disebut di dalam Nahl: 125 وَجٰدِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ (dan bantahlah mereka dengan cara yang baik) di dalam dakwah. Akan tetapi جِدَالَ yang buruk adalah apabila berdebat dan berbantah-bantah apabila hendak menegakkan kesalahan, berkelahi di dalam perkara yang kecil. Allah ﷻ ingatkan kerana ibadah Haji memerlukan kesabaran yang tinggi kerana waktu itu sangatlah ramai orang dan bertemu dengan orang-orang dari negara-negara lain (yang adab kebiasaan  mereka lain dengan kita) jadi suasana sangatlah tidak selesa dengan bersesak-sesak. Kes terambil selipar pun boleh berkelahi kalau dalam keadaan biasa. Maka Allah ﷻ ingatkan yang sekarang adalah masa yang amat memerlukan kesabaran dan tahan diri daripada membuat dosa dan daripada bertelagah sesama Muslim yang sedang menunaikan ibadah. Amatlah tidak patut di waktu mengagungkan Allah ﷻ, terjadi perkelahian pula, bawa perangai koboi di sana.

Kalau diperhatikan nahu tiga larangan ini, ia sebenarnya bukan di dalam bentuk larangan, tetapi di dalam bentuk nafi. Sebagai contoh, sepatutnya kalimah yang digunakan adalah فَلَا رَفَثْ (jangan berhubungan badan) dan bukannya فَلَا رَفَثَ (tiada perhubungan badan). Ini adalah di dalam perkhabaran dan memberitahu kita perkara-perkara ini sepatutnya tidak layak dilakukan ketika di dalam Ihram, maka ia secara tidak langsung bermaksud larangan.

 

فِي الْحَجِّ

dalam musim haji;

Memang tidak boleh membuat semua perkara itu. Kalau di luar Haji pun, ia dilarang dan tidak elok. Lalu ia menjadi lebih tidak elok kalau dilakukan pada waktu mengerjakan Haji kerana waktu itu adalah waktu untuk beribadat dan bermunajat kepada Allah ‎ﷻ. Apa-apa sahaja yang boleh menghalang daripada khusyu’ kepada Allah ﷻ sudah sepatutnya dieelakkan. Kalau dilakukan juga, dosanya berkali-kali ganda. Oleh itu, kena jaga tiga perkara itu. Haji Mabrur yang selalu disebut-sebut orang adalah untuk mereka yang boleh jaga semua perkara yang telah disebut di atas. Apakah tanda seseorang itu mendapat Haji yang mabrur? Haji Mabrur adalah haji yang diterima oleh Allah ﷻ. Tanda orang yang telah mendapatnya adalah selepas dia menunaikan Haji itu terdapat perubahan yang ketara pada dirinya ke arah kebaikan. Tanda Haji yang tidak mabrur adalah tidak berubah kehidupan dia ke arah kebaikan selepas dia balik dari Haji.

Untuk mendapat Haji yang mabrur kena jaga hubungan baik dengan Allah ‎ﷻ dan manusia lain. Bukan senang hendak jaga sebab bila sudah berkumpul ramai pada satu tempat dan bertemu orang dari negara lain yang perangai tidak sama dengan kita, maka memang susah hendak menjaga mulut dan perasaan kita. Kita sudah biasa dengan orang Malaysia, orang Melayu, tetapi kita tidak biasa dengan bangsa lain. Tentunya perangai mereka tidak sama. Namun begitu memang mesti dijaga sebab rugi bila berhabis duit berpuluh ribu namun tidak mendapat Haji Mabrur.

Perhatikan bagaimana dalam menyebut tentang Haji, Allah ﷻ tidak sebut lagi tentang cara mengerjakan Haji itu tetapi ditekankan tentang akhlak. Kerana inilah yang penting. Perbuatan fizikal tawaf, saie dan sebagainya itu adalah tidak berharga sangat jikalau akhlak kita buruk dan memalukan. Sabda Nabi ﷺ,

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ إِيْمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya”
(HR At-Tirmidzi No.1162)

Ibadah adalah latihan untuk dalam kita, untuk menjadi orang yang bersyukur, penyabar dan prihatin. Maka Allah ‎ﷻ sebut objektifnya dahulu kerana kalau tidak, manusia tidak faham perkara ini sebagaimana orang yang pergi kursus berbulan-bulan, tetapi tidak belajar bab akhlak dalam mengerjakan Haji. Ini kerana bab akhlak disebut di dalam Al-Qur’an sedangkan kursus mungkin hanya tentang perlakuan mengerjakan manasik Haji sahaja.

 

وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ

Dan apa sahaja yang kamu buat daripada perkara yang baik

Justeru untuk memudahkan kita berurusan di sana, maka dianjurkan buat kebaikan. Bukan sahaja jangan lakukan larangan-larangan itu sahaja, tetapi tukarlah kepada kebaikan. Menahan diri daripada kesalahan sahaja tidak cukup, tetapi buatlah kebaikan. Jadi Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk menghilangkan keburukan dengan memfokuskan kita untuk melakukan kebaikan, maka dengan automatik, tidak jadi hendak buat benda yang buruk-buruk itu.

Kalimah خَيْرٍ di dalam bentuk nakirah (umum) maka ia boleh merujuk kepada apa-apa sahaja kebaikan, bukan kebaikan tertentu sahaja. Apa sahaja yang membawa ke arah kebaikan, maka lakukanlah di sana nanti. Sebagai contoh, elok kita tolong orang lain daripada kita marah kepada orang lain. Sebab keadaan orang ramai dan keadaan tentunya tidak selesa. Maka kita tolong menolong untuk memudahkan orang lain. Sebagai contoh, kalau giliran kita untuk masuk tandas tetapi kita nampak ada orang lain yang lebih memerlukan, maka kita beri peluang kepada orang lain dahulu. Apabila kita sudah set minda kita untuk menolong orang, kita akan mendapat satu perasaan yang lain macam. Kita sentiasa mencari peluang untuk menolong orang lain dan bukan lagi mencari kesalahan orang lain.

Ini kerana kebaikan dan keburukan ada di mana-mana, tetapi persoalannya, di manakah fokus kita? Kalau kita fokus kepada kebaikan, kita akan mendapat kebaikan dan kalau kita fokus pada keburukan, kita akan nampak keburukan. Jadi ayat ini juga mengajar kita bahawa kita kena mengambil peluang keemasan semasa mengerjakan Haji itu untuk melakukan sebanyak-banyak mungkin ibadah yang lain seperti solat, zikir, baca Al-Qur’an dan kebaikan-kebaikan yang lain. Antaranya tolong menolong orang lain yang ramai ada di sana kerana bukan selalu dapat peluang untuk mengerjakan Haji itu. Mungkin kita hanya dapat melakukannya sekali seumur hidup sahaja. Namun begitu jangan dilupakan perbuatan خَيْرٍ yang kecil-kecil juga. Sebagai contoh kita pun tahu yang senyum itu sedekah. Maka di musim Haji itu, paling banyak pahala kita boleh dapat dengan senyum sahaja kerana di sana ramai orang, bukan? Anda tidak akan ada peluang lagi seperti itu di tempat kita kerana ada hari yang kita tidak jumpa pun orang dan boleh senyum kepada kucing sahaja.

Senyum itu sedekah

 

يَعْلَمْهُ اللَّهُ

nescaya Allah mengetahui

Yang penting kena ingat yang Allah ‎ﷻ mengetahui segala kebaikan yang kita lakukan dan Allah ‎ﷻ akan balas. Semoga dengan kebaikan yang kita lakukan itu, Allah ‎ﷻ akan memudahkan urusan kita mengerjakan Haji itu. Allah ‎ﷻ juga mengetahui kalau ada perkara yang boleh menaikkan kemarahan kita tetapi kita tidak jadi marah. Itu pun Allah ‎ﷻ tahu juga. Tidak perlu untuk diberitahu apa-apa kebaikan yang kita lakukan kerana Allah‎ ﷻ tahu. Tidak payah kita hendak beritahu orang lain. Jadi kalau kita tahu yang Allah ‎ﷻ tahu, maka kita tentulah akan lebih bersemangat untuk buat ibadah dan kebaikan kerana kita mengharap pahala daripada Allah ‎ﷻ, bukan?

 

وَتَزَوَّدُوا

Dan berbekallah;

Apabila kita hendak pergi mengerjakan Haji, maka kita kena siapkan bekal untuk buat Haji sebab kita akan bermusafir jauh maka kena siap sedia segala kelengkapan semasa dalam perjalanan dan semasa di sana. Kenapa ada suruhan ini? Kita kena bersiap dengan bekalan supaya jangan kita susahkan orang lain. Tidak boleh tumpang makan makanan orang, tumpang tempat tinggal orang dan sebagainya. زَوَّدُ bermaksud bawa bekalan yang lebih. Bukan cukup-cukup sahaja.

Janganlah zuhud sangat sampai kata: “Allah ‎akan cukupkan kelengkapan”, konon-konon tawakal sangat dan ada sahaja makanan untuk kita. Jangan begitu, itu adalah fahaman yang salah. Kita kena berusaha untuk melengkapkan kelengkapan kita, kemudian baru kita bertawakal kepada Allah ‎ﷻ. Itulah konsep tawakal yang sebenarnya – bersedia sedaya mungkin, kemudian baru serahkan kepada Allah ‎ﷻ.

 

فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ

sesungguhnya sebaik-baik bekal itu adalah taqwa.

Taqwa dalam ayat ini adalah menjaga diri daripada meminta-minta kepada orang lain. Bukannya orang miskin tidak boleh pergi Haji cuma kena jaga jangan sampai menyusahkan orang lain. Kena fikirkan persediaan untuk mengerjakan Haji itu. Taqwa di sini diibaratkan sebagai bekal dan di dalam A’raf: 26 ia diibaratkan sebagai pakaian pula.

يٰبَني ءآدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا يُوٰري سَوءٰتِكُم وَريشًا ۖ وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ
Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik.

Menarik sekali apabila Allah ‎ﷻ buat perbandingan taqwa dengan pakaian kerana kita sentiasa memakai pakaian kita. Maknanya ia dekat dengan kita dan berada bersama kita. Akan tetapi Allah ‎ﷻ sambung mengatakan yang pakaian taqwa itu lebih baik. Ini kerana pakaian kita mesti kita akan tanggalkan kerana hendak mandi dan sebagainya. Sedangkan pakaian taqwa kena sentiasa bersama dengan kita. Sementara pakaian harian kita itu apabila sudah lusuh kita tidak pakai dan buang sahaja. Akan tetapi pakaian taqwa tidak boleh dibuang-buang. Maka taqwa kena sentiasa bersama kita, di mana sahaja kita berada. Lihatlah pesanan Nabi ﷺ,

اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحسنةَ تَمْحُهَا، وخَالقِ النَّاسَ بخُلُقٍ حَسَنٍ
“Taqwalah kepada Allah di mana kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan nescaya dia menghapuskannya dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.”
(Riwayat al-Tirmizi No. 1987 dan katanya hadith hasan)

 

وَاتَّقونِ يا أُولِي الأَلبابِ

Dan bertaqwalah kamu kepada Aku wahai orang-orang yang berakal waras.

Taqwa itu bermaksud melakukan amal dengan menjaga hukum seperti yang diajar oleh Allah ‎ﷻ. Diingatkan sekali lagi di dalam Maidah: 27 yang Allah ﷻ beritahu kita yang Dia hanya terima amalan daripada orang bertaqwa sahaja.

إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ
Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang-orang yang bertaqwa

Bermakna mereka yang berfikiran yang suci kerana sekarang sedang mengerjakan haji. Sepatutnya tidak boleh fikir tentang dunia sangat.

Perhatikan Allah ﷻ suruh Ulul-Albab yang bertaqwa, bukanlah kepada semua manusia. Padahal semua manusia kena bertaqwa tetapi Allah ﷻ tujukan kepada Ulul-Albab sahaja. Ini kerana  mereka sahaja yang boleh bertaqwa. Ulul-Albab adalah mereka yang berfikiran waras dan mempunyai ilmu pengetahuan. Orang-orang yang tidak bertaqwa dan banyak melakukan dosa itu adalah orang-orang yang bodoh, tidak kira berapa ijazah universiti mereka. Oleh itu, kita sebagai orang yang waras hendaklah sentiasa menambah ilmu pengetahuan kita di dalam hal agama (dan hendaklah diamalkan). Janganlah berterusan duduk dalam kejahilan.

Ibadat Haji adalah latihan kepada Hari Kebangkitan. Ia mengingatkan kita bahawa kita semua akan dibangkitkan beramai-ramai satu hari nanti. Kerana itu kita memakai ihram yang sudah seperti kain kafan. Kita semua akan dibangkitkan dan dikumpulkan di Arafah. Maka, kita kena sucikan fikiran kita. Ingatkan kepada peristiwa yang akan berlaku itu. Tidak sama kalau kita memikirkan sahaja dan berada dalam suasana yang boleh mengingatkan kita. Semasa buat Haji, kita akan berada bersama dengan lautan manusia. Itu baru sekumpulan manusia sahaja. Bayangkan di Mahsyar nanti, semua makhluk akan berkumpul satu tempat, daripada makhluk yang mula-mula dicipta sampailah kepada makhluk yang akhir sekali mati. Memang tidak dapat dibayangkan pun, namun cubalah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 Januari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment