BERHUBUNGAN BADAN DI MALAM RAMADHAN
Baqarah Ayat 187: Pada zaman Nabi ﷺ, Yahudi berpuasa bermula dari malam hari. Tidak boleh makan, sampailah esoknya. Maknanya, mereka berpuasa hampir 24 jam. Sekali sahaja makan dalam sehari semasa berpuasa. Mereka juga tidak boleh berjimak dengan isteri mereka semasa mereka berpuasa. Tidak diketahui sama ada itu memang adalah syari’at mereka yang ditetapkan oleh Allah ﷻ, atau hukum yang mereka telah ubah daripada asalnya. Maka, sekarang Allah ﷻ memberitahu kepada umat Islam bahawa ada perubahan daripada apa yang mereka amalkan dengan apa yang Allah ﷻ suruh kita buat. Sebelum ini banyak yang Allah ﷻ telah bezakan amalan kita dengan Ahli Kitab. Kali ini tentang ibadat puasa pula.
أُحِلَّ لَكُم لَيلَةَ الصِّيامِ الرَّفَثُ إِلىٰ نِسائِكُم ۚ هُنَّ لِباسٌ لَّكُم وَأَنتُم لِباسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُم كُنتُم تَختانونَ أَنفُسَكُم فَتابَ عَلَيكُم وَعَفا عَنكُم ۖ فَٱلـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ وَابتَغوا ما كَتَبَ اللَّهُ لَكُم ۚ وَكُلوا وَاشرَبوا حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الخَيطُ الأَبيَضُ مِنَ الخَيطِ الأَسوَدِ مِنَ الفَجرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيامَ إِلَى اللَّيلِ ۚ وَلا تُبَـٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُم عَـٰكِفُونَ فِى ٱلمَسَـٰجِدِ ۗ تِلكَ حُدودُ اللَّهِ فَلا تَقرَبوها ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَّقونَ
It has been made permissible for you the night preceding fasting to go to your wives [for sexual relations]. They are clothing for you and you are clothing for them. Allah knows that you used to deceive yourselves, so He accepted your repentance and forgave you. So now, have relations with them and seek that which Allah has decreed for you. And eat and drink until the white thread of dawn becomes distinct to you from the black thread [of night]. Then complete the fast until the sunset. And do not have relations with them as long as you are staying for worship in the mosques. These are the limits [set by] Allah , so do not approach them. Thus does Allah make clear His ordinances to the people that they may become righteous.
Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.
أُحِلَّ لَكُم لَيلَةَ الصِّيامِ الرَّفَثُ إِلىٰ نِسائِكُم
Dihalalkan kepada kamu pada malam puasa itu untuk kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu;
Perkataan ‘halal’ dari segi bahasa bermaksud merungkaikan sesuatu yang terikat sebelum itu. Apabila digunakan lafaz أُحِلَّ, ini menunjukkan bahawa sebelum ini ia adalah terlarang. Ini bermakna larangan sebelum itu telah dilepaskan. Sekarang sudah boleh buat.
Malam yang dimaksudkan adalah pada malam hari berpuasa iaitu sebelum esok siangnya berpuasa. Apa yang dihalalkan? Perkataan الرَّفَثُ berasal daripada kata dasar: ر ف ث yang bermaksud hubungan seks, baring dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks, melakukan perbuatan lucah, kata-kata yang lucah, seksual, kekejian. Asalnya ia bermaksud ‘tidak berbaju’. Perkataan ini membawa maksud hubungan seksual (jimak) antara suami isteri. Ia adalah apa-apa sahaja yang boleh dilakukan di antara suami dan isteri di dalam bilik tidur mereka dan ia sesuatu yang tidak dilakukan di khalayak ramai. Ia adalah bahasa kiasan kerana Allah ﷻ tidak gunakan kalimah ‘jimak’ di sini. Allah ﷻ tidak sebut setubuh atau ‘seks’ di dalam Al-Qur’an kerana ini adalah adab dan kerana itu Al-Qur’an ini boleh dibaca di mana-mana sahaja kerana ia tidak memalukan. Malah kanak-kanak baca pun boleh.
Hukum ini berlainan dengan semasa melakukan kerja-kerja Haji. Selama melakukan kerja Haji, tidak boleh melakukan hubungan seksual walaupun pada malam hari.
Hukum berpuasa sebelum turunnya ayat ini adalah berlainan. Ada perubahan hukum selepas masa berlalu. Hukum dahulu: selepas solat Isyak, tidak boleh makan dan minum dan tidak boleh melakukan hubungan seksual suami isteri. Ada juga pendapat yang mengatakan ia tidak boleh dilakukan setelah tidur selepas berbuka. Kalau mereka terlepas makan, maka mereka kena tahan (makan dan berhubungan badan) sampailah ke waktu Maghrib esoknya. Ini tentunya sesuatu yang susah. Itulah sebabnya sebelum itu, diberikan pilihan kepada mereka yang mampu, untuk tidak berpuasa – mereka boleh terus bayar fidyah kerana puasa waktu itu adalah sesuatu yang amat sukar kalau dibandingkan dengan sekarang. Sekarang baru kita faham kenapa pilihan itu diberikan kepada umat waktu itu. Apabila puasa dimudahkan, pilihan fidyah itu tidak diberikan lagi.
Satu lagi sebab: memandangkan ibadat puasa merupakan suatu perkara yang besar kerana ia sesuatu yang bercanggah dengan naluri manusia yang suka makan dan minum, Allah ﷻ telah menjadikan pensyariatannya secara dua peringkat. Ini supaya manusia tidak terlalu terkejut menerimanya. Peringkat pertama: ada pilihan untuk puasa atau bayar fidyah; peringkat kedua: puasa wajib kecuali kepada mereka yang tidak mampu.
Seorang sahabat yang bernama Qais bin Sirmah al-Ansari رضي الله عنه telah berpuasa pada suatu hari dan setelah tiba waktu berbuka, beliau balik ke rumahnya dan bertanya kepada isterinya, apa yang ada untuk dimakan. Isterinya menjawab tiada makanan lagi, tetapi beliau (si isteri) akan keluar untuk mencari makanan untuk suaminya. Qais رضي الله عنه yang telah bekerja seharian sangat kepenatan, dalam menunggu kepulangan isterinya beliau tertidur. Apabila isterinya pulang, beliau terkejut dan berasa sangat kasihan terhadap Qais رضي الله عنه yang terpaksa meneruskan puasanya sehingga keesokan harinya. Pada tengah hari esoknya Qais رضي الله عنه yang kelaparan dan keletihan telah jatuh pengsan. Peristiwa ini telah diadukan kepada Rasulullah ﷺ.
عَنْ الْبَرَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ الرَّجُلُ صَائِمًا فَحَضَرَ الْإِفْطَارُ فَنَامَ قَبْلَ أَنْ يُفْطِرَ لَمْ يَأْكُلْ لَيْلَتَهُ وَلَا يَوْمَهُ حَتَّى يُمْسِيَ وَإِنَّ قَيْسَ بْنَ صِرْمَةَ الْأَنْصَارِيَّ كَانَ صَائِمًا فَلَمَّا حَضَرَ الْإِفْطَارُ أَتَى امْرَأَتَهُ فَقَالَ لَهَا أَعِنْدَكِ طَعَامٌ قَالَتْ لَا وَلَكِنْ أَنْطَلِقُ فَأَطْلُبُ لَكَ وَكَانَ يَوْمَهُ يَعْمَلُ فَغَلَبَتْهُ عَيْنَاهُ فَجَاءَتْهُ امْرَأَتُهُ فَلَمَّا رَأَتْهُ قَالَتْ خَيْبَةً لَكَ فَلَمَّا انْتَصَفَ النَّهَارُ غُشِيَ عَلَيْهِ فَذُكِرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ { أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ } فَفَرِحُوا بِهَا فَرَحًا شَدِيدًا وَنَزَلَتْ { وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمْ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنْ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ }
Daripada Al Bara’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; “Di antara para sahabat Muhammad ﷺ ada seseorang apabila sedang puasa lalu tiba waktu berbuka dia pergi tidur sebelum berbuka sehingga dia tidak memakan sesuatu pada malam dan siang hari hingga petang hari. Dan pada suatu ketika Qais bin Shirmah Al Anshariy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ketika sedang melaksanakan shaum lalu tiba waktu berbuka dia mendatangi isterinya seraya berkata, kepada isterinya: “Apakah kamu punya makanan?” Isterinya berkata: “Tidak, namun aku akan keluar mencari makanan buatmu”. Kemudian di siang harinya dia bekerja keras hingga mengantuk lalu tertidur. Kemudian isterinya datang. Ketika isterinya melihat dia (sedang tertidur), isterinya berkata: “Rugilah kamu”. Kemudian pada tengah harinya Qais رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ jatuh pengsan. Lalu persoalan ini diadukan kepada Nabi ﷺ, maka turunlah firman Allah Ta’ala QS Al Baqarah ayat 187 yang ertinya: (“Dihalalkan bagi kalian pada malam bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kalian”). Dengan turunnya ayat ini para sahabat merasa sangat senang, hingga kemudian turun sambungan ayatnya: (“Dan makan minumlah kalian hingga terang bagi kalian benang putih dari benang hitam iaitu di waktu fajar”).
(Sahih Bukhari No. 1782)
Ada satu lagi kisah Saidina Umar رضي الله عنه. Beliau memberitahu kepada Nabi ﷺ bahawa beliau pulang ke rumah untuk menyetubuhi isterinya tetapi isterinya telah tidur dan itu menyusahkan beliau. Maka, ada lagi sahabat-sahabat lain yang menyuarakan perkara yang sama. Maka, hukum yang baru ini telah diturunkan.
Ada juga pendapat yang mengatakan, tidak ada pun syariat yang mengharamkan berjimak bagi umat Islam. Cuma umat Islam pada waktu itu mengikut cara-cara Yahudi, maka di dalam ayat ini Allah ﷻ berikan penjelasan tentang sebenarnya boleh sahaja untuk bersama dengan isteri di malam hari Ramadhan. Allahu a’lam.
Sepanjang siang ketika berpuasa, hendaklah menjaga kemaluan kita supaya tidak terlajak bersetubuh kerana hukumnya amat berat. Dalilnya seperti disebut di dalam hadith,
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ
Isteri-isteri kamu itu pakaian bagi kamu
Lelaki dibenarkan untuk bersetubuh dengan isterinya. Ini adalah keperluan hakiki bagi lelaki dan wanita. Apakah dimaksudkan yang isteri-isteri itu sebagai ‘pakaian’ untuk suami mereka?
وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
dan kamu adalah juga pakaian bagi isteri kamu;
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘pakaian’? Apa yang menjadikan kita cantik dan sampai membolehkan keluar rumah adalah pakaian kita. Memang pakaian adalah perhiasan bagi kita seperti disebut di dalam A’raf: 26
يٰبَني ءآدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا يُوٰري سَوءٰتِكُم وَريشًا
Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan untuk perhiasan.
Maka pasangan sesama sendiri mencantikkan pasangannya. Ia adalah juga satu kegunaan untuk memberikan kita keselesaan. Kalau sejuk, tentunya kita memerlukan pakaian. Allah ﷻ berfirman di dalam Nahl: 81 tentang hal ini,
وَجَعَلَ لَكُم سَرٰبيلَ تَقيكُمُ الحَرَّ وَسَرابيلَ تَقيكُم بَأسَكُم ۚ كَذٰلِكَ يُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكُم لَعَلَّكُم تُسلِمونَ
dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu daripada panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikianlah Allah menyempurnakan nikmat-Nya atasmu agar kamu berserah diri (kepada-Nya).
Maka pakaian memberi keselesaan kepada kita. Pakaian juga menutup aurat kita, menutup malu kita. Pakaian juga rapat sangat dengan kita. Begitu juga dengan pasangan kita. Pasangan kita melengkapkan kita dan amat rapat dengan kita. Mereka menjadi sebahagian daripada kita. Oleh itu, pasangan kita sepatutnya mencantikkan akhlak kita dan memelihara kita daripada perkara yang buruk.
Kita juga boleh rasa ketenangan apabila kita sudah berkahwin. Kita sudah tidak nakal lagi. Kalau kita nampak orang lain yang merangsang nafsu kita, tidak ada masalah kerana kita boleh menyelesaikan keinginan itu dengan suami isteri kita. Banyak nikmat apabila kita sudah berkahwin, bukan ini sahaja. Sebab itulah Nabi ﷺ menyuruh umatnya berkahwin segera.
Pakaian juga menutup kekurangan dan keburukan tubuh badan kita. Begitu juga suami isteri kena menjaga nama baik pasangan masing-masing. Janganlah jadi seperti orang perempuan yang apabila mereka bersama-sama dengan kawan-kawan mereka berborak, mereka menceritakan tentang keburukan suami mereka bersama rakan-rakan mereka. Ini adalah amat salah sekali. Sepatutnya mereka menutup keburukan itu daripada dinampakkan kepada khalayak ramai, tetapi mereka pula yang menceritakan kepada orang lain. Itu sudah terbalik. Itu sudah memalukan suami mereka. Sama juga dengan suami, tidak boleh buat begitu berkenaan isteri-isteri mereka. Bayangkan kalau ada orang yang mengata baju yang kita pakai itu buruk, tentunya kita marah dan akan terasa. Kita pun tidak suka. Sebab itulah kita keluar dengan memastikan pakaian kita kemas, kita seterika pakaian kita kerana pakaian itu adalah imej kita. Begitulah juga dengan pasangan kita, mereka membayangkan imej kita sebenarnya. Sama juga, jangan cakap buruk tentang suami isteri kita depan anak-anak kita. Kalau kita buat begitu, maka anak-anak itu akan membesar dengan tidak suka kepada ayah atau ibu mereka. Itu sudah memburukkan keadaan keluarga mereka sendiri.
Mempunyai pakaian adalah kelebihan yang diberikan kepada manusia. Binatang tidak memerlukan pakaian, tetapi manusia memerlukan pakaian. Kita tidak boleh hidup tanpa pakaian. Oleh itu, sama sahaja, seorang manusia memerlukan pasangan hidup. Jangan kata kita boleh hidup sendiri. Ada ramai yang berfikiran salah begitu. Inilah keindahan Islam kerana Islam meletakkan perkahwinan sebagai satu keperluan dalam agama dan ia amat digalakkan (walaupun tidaklah wajib). Tidak seperti agama lain seperti Kristian dan Hindu yang menyuruh ahli-ahli agama mereka untuk tidak berkahwin.
Seperti juga kita menjaga pakaian kita, kita kena pandai menjaga pasangan kita. Supaya pakaian itu tahan lama, kita kena tahu cara hendak jaga pakaian itu. Sama juga dengan pasangan kita. Untuk kekal lama berpasangan, kita kena jaga perhubungan itu. Seperti juga kita kena pandai memilih pakaian kita sebelum kita pakai, kita juga kena pandai memilih pasangan yang sesuai untuk kita sebelum kita kahwini mereka.
Oleh itu, suami dan isteri itu amat rapat antara satu sama lain. Mereka tinggal bersama dan makan bersama dan bermacam-macam lagi. Oleh itu, amat susah kalau sepanjang bulan puasa itu mereka tidak boleh mengadakan hubungan seksual. Kalau sentiasa bersama, tiba-tiba tersentuh, susah pula nanti.
Lihatlah bagaimana ayat ini pendek sahaja, namun banyak sekali pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya. Itulah pentingnya belajar tafsir supaya kita mendapat pengajaran-pengajaran seperti ini.
عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ
Allah Maha Mengetahui bahawasanya kamu telah mengkhianati diri-diri kamu;
Perkataan تَخْتَانُونَ diambil daripada katadasar خ و ن yang bermaksud ‘khianat’, menipu. Apabila ada huruf ت yang berada di tengah perkataan تَخْتَانُونَ itu, ia membawa maksud ‘sangat-sangat khianat’. Iaitu apabila seseorang telah memberikan amanah kepada kita, tetapi kita tidak menjaganya dengan baik di mana kita telah menipu dalam menjaga amanah itu. Ia merujuk kepada tidak melakukan tugas yang telah diamanahkan.
Ada sahabat yang tidak dapat menahan nafsu, mereka berpuasa pada siang hari, tetapi pada waktu malam puasa pun mereka telah melakukan hubungan kelamin dengan isteri mereka. Mereka dahulu mengamalkan puasa seperti Yahudi juga – tidak boleh mencampuri isteri di malam hari. Namun dek kerana tidak dapat tahan, maka mereka buat juga. Maknanya, mereka melanggar hukum (khianat kepada diri sendiri).
عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ قَالَ سَمِعْتُ الْبَرَاءَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَمَّا نَزَلَ صَوْمُ رَمَضَانَ كَانُوا لَا يَقْرَبُونَ النِّسَاءَ رَمَضَانَ كُلَّهُ وَكَانَ رِجَالٌ يَخُونُونَ أَنْفُسَهُمْ فَأَنْزَلَ اللَّهُ { عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ }
Daripada Abu Ishaq dia berkata; Aku mendengar Al Barra رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, -tatkala diperintahkan puasa Ramadan, orang-orang tidak mahu mendekati para wanita sepanjang bulan Ramadan tersebut. Dan ada beberapa orang yang mengkhianati dirinya sendiri. Maka Allah menurunkan ayat; “Allah mengetahui bahawa kalian tidak dapat menahan diri kalian sendiri. Maka Dia menerima taubat kalian dan memaafkan kalian.”
(Sahih Bukhari No. 4148)
Selalunya orang yang melakukan khianat itu akan kata perkara yang mereka lakukan itu tidak salah. Mereka memperkecilkan kesalahan yang mereka lakukan. Allah ﷻ kata Allah ﷻ tahu apa yang manusia buat walaupun mereka buat dalam senyap atau di malam hari. Apa sahaja yang kita lakukan pasti diketahui oleh Allah ﷻ.
Allah ﷻ kata mereka mengkhianati ‘diri’ mereka sendiri. Mereka sangka mereka mengkhianati Allah ﷻ, namun sebenarnya mereka mengkhianati diri mereka sendiri. Mereka menipu orang lain dengan menunjukkan diri mereka baik. Depan orang lain, mereka berlakon baik tetapi sebenarnya mereka menipu diri mereka sendiri kerana mereka tidak perasan bahawa mereka yang akan menerima akibatnya, bukan orang lain.
فَتَابَ عَلَيْكُمْ
maka Allah terima taubat kamu
Allah ﷻ telah menerima taubat mereka dan kemudian Allah ﷻ membenarkan mereka mencampuri isteri-isteri mereka pada malam hari. Allah ﷻ telah menukar hukum yang sebelum itu dengan memberi hukum yang baru.
Rasulullah ﷺ yang memandang bahawa kalau sudah berpuasa hendaklah pada malam harinya juga berpuasa daripada mendekati isteri. Bahkan ada juga para sahabat yang mencuba puasa wishal, terus-menerus puasa dengan tidak berbuka dan tidak sahur. Seorang sahabat Rasulullah ﷺ yang besar, iaitu Umar bin Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang berfikiran tajam itu merasa dalam hatinya bahawa tidak mungkin agama memberati sedemikian rupa, sehingga nafsu kelamin juga mesti dihentikan malam hari. Meskipun sahabat-sahabat yang lain banyak yang benar-benar menjauhi isteri pada malam hari puasa itu, namun beliau sendiri merasa hal yang sedemikian rupa tidaklah kehendak Agama Islam. Meskipun syariat puasa ini telah disyariatkan juga kepada umat yang terdahulu, sehingga pendeta-pendeta Kristian ada yang menjauhi perkahwinan sama sekali, beliau Umar bin Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ merasakan kehendak Islam tidak sampai sedemikian. Sebab itu di satu malam beliau lakukanlah apa yang dilakukan suami terhadap isteri. Pada siangnya untuk menghilangkan keraguan, beliau menemui Rasulullah ﷺ dan menyatakan keadaan yang sebenarnya. Menurut riwayat yang dirawikan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, maka Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun datanglah meminta penjelasan kepada Rasulullah ﷺ. Maka turunlah ayat ini.
وَعَفَا عَنْكُمْ
dan memaafkan kamu;
Allah ﷻ memaafkan kesalahan mereka dahulu. Maka oleh kerana perbuatan sahabat itu, sampai sekarang kita dibenarkan untuk menggauli isteri kita pada malam hari puasa itu. Namun kita kena sedar, jangan kata teruk sangat sahabat itu kerana bukan semua sahabat buat begitu. Hanya beberapa orang sahaja. Kita juga kena ingat bahawa apa yang mereka lalui itu adalah perkara yang susah, kalau kita pun lagi tidak tahan. Jangan kita sangka para sahabat itu adalah orang yang teruk. Janganlah ada perasaan begitu. Kita kena sedar bahawa mereka itu adalah insan terpilih yang Allah ﷻ telah pilih untuk menjadi sahabat Nabi ﷺ. Apa yang mereka lakukan menjadi contoh bagi kita. Kalau mereka tidak buat salah langsung, bagaimana kita akan tahu apakah kesalahan-kesalahan dalam Islam?
Jangan lupa yang Allah ﷻ telah memaafkan mereka. Ada pendapat yang mengatakan tidak ada kesalahan pun kalau bersama dengan isteri di malam hari. Ia hanya direka oleh orang Yahudi. Jadi kalau begitu, kenapa Allah ﷻ memaafkan mereka yang mencampuri isteri mereka di malam hari padahal bukan buat salah pun? Yang tidak membenarkan mencampuri isteri di malam hari adalah Yahudi dan bukan benar pun apa hukum yang mereka tetapkan itu. Namun begitu Allah ﷻ kata Dia telah memaafkan kerana pada mereka, mereka telah buat salah. Jadi mereka rasa bersalah. Pada diri mereka, mereka telah menipu. Perasaan mereka walaupun salah, Allah ﷻ sudah maafkan. Sudahlah Allah ﷻ ampunkan, tetapi Allah ﷻ maafkan lagi. عَفَا bermaksud memaafkan dalam sifat kasih sayang.
فَٱلـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ
Maka sekarang ini, campurilah mereka;
Apa-apa pun sebabnya, sama ada memang telah ada syariat asal atau umat Islam waktu itu mengikut cara puasa umat Yahudi, sekarang sudah ada hukum yang jelas di dalam Islam. Maka, bermula dari hari itu, bolehlah bersetubuh pada malam hari. Jangan risau untuk bersama dengan isteri, memang tidak salah pun. Untuk membantu anda, saya belanja doa untuk dibaca ketika bersetubuh,
Perkataan بَاشِرُوهُنَّ itu daripada katadasar ب ش ر yang bermaksud ‘manusia’, berita gembira, kulit manusia. Kulit manusia berbeza dengan kulit binatang lain. Jadi, perkataan بَاشِرُ bermaksud kulit yang bersentuhan, yang membawa maksud bersetubuh antara lelaki dan perempuan. Ini juga adalah bahasa kiasan yang Allah ﷻ gunakan kerana beradab. Sekali lagi perhatikan Allah ﷻ tidak menggunakan kalimah ‘jimak’.
وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ
dan carilah apa yang Allah telah kurniakan untuk kamu;
Carilah kurnia Allah ﷻ dalam bentuk pahala yang banyak pada malam puasa. Perbuatan hubungan suami isteri adalah satu ibadah kerana Allah ﷻ telah membenarkan kita melakukannya. Eh, jimak boleh jadi ibadah? Ya, begitulah apabila ini diberitahu kepada para sahabat, mereka pun kehairanan seperti anda juga. Mereka hairan bagaimana perbuatan untuk memuaskan nafsu boleh mendapat pahala pula? Maka, Nabi ﷺ kata, kalau seseorang itu memuaskan nafsunya dengan jalan yang salah, bukankah dia akan mendapat dosa? Lalu, bagaimana kalau dia melakukannya dengan cara yang halal? Tentulah dapat pahala pula.
Daripada Abu Dzar Al-Ghifari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda,
وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِى أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ قَالَ « أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ »
“Hubungan badan antara kalian (dengan isteri atau hamba sahaya kalian) adalah sedekah. Para sahabat lantas ada yang bertanya pada Rasul ﷺ, ‘Wahai Rasulullah, apakah dengan kami mendatangi isteri kami dengan syahwat itu mendapatkan pahala?’ Baginda menjawab, ‘Bukankah jika kalian bersetubuh pada yang haram, kalian mendapatkan dosa. Oleh kerananya jika kalian bersetubuh pada yang halal, tentu kalian akan mendapatkan pahala.’” (Sahih Muslim No. 1006)
Jadi, perbuatan biasa kita seharian juga boleh mendatangkan pahala apabila kita melakukannya dengan cara yang halal. Iaitu dengan cara yang Allah ﷻ telah benarkan. Kadang-kadang dalam perkahwinan, ada suami atau isteri yang tidak ada semangat untuk ‘bersama’. Kadang-kadang tengah penat atau tidak berapa sihat. Ini tidak mengapa, tetapi ada sahaja alasan diberikan kerana malas hendak basahkan rambut pagi esok (mandi junub). Maka ayat ini mengajar kita bahawa walaupun mereka tidak suka, tetapi mereka kena tahu bahawa perbuatan itu adalah halal dan boleh mendatangkan pahala kepada mereka. Mereka kena tahu bahawa ia adalah satu ibadah juga. Perhubungan kelamin antara suami isteri adalah satu perbuatan yang amat indah. Ia dapat mengeratkan hubungan suami isteri. Kalau sudah lama tidak ‘bersama’, akan ada masalah antara suami isteri itu.
Para isteri jangan culas pula untuk melayan kehendak suami kerana suami ini mereka akan keluar dan melihat berbagai-bagai jenis wanita di luar sana. Sementelah wanita sekarang bukannya tutup aurat sangat pun. Jadi mereka mungkin terangsang apabila melihat wanita lain. Ini biasa sahaja bagi seorang lelaki yang normal. Yang penting, mereka ada isteri di rumah. Apa yang wanita dia lihat itu ada, isterinya di rumah pun ada. Jadi dia boleh pulang ke rumah dan memuaskan nafsunya yang sudah terangsang itu dengan isterinya. Isterinya pula janganlah tanya balik: “Eh ini apa hal ni? Orang ada kerja ni!” Senario yang saya sampaikan ini sudah ada petunjuk daripada Rasulullah ﷺ dan isteri baginda pun seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ رَأَى امْرَأَةً، فَأَتَى امْرَأَتَهُ زَيْنَبَ، وَهِيَ تَمْعَسُ مَنِيئَةً لَهَا، فَقَضَى حَاجَتَهُ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى أَصْحَابِهِ، فَقَالَ: إِنَّ المَرْأَةَ تُقْبِلُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، وَتُدْبِرُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، فَإِذَا أَبْصَرَ أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ، فَإِنَّ ذَلِكَ يَرُدُّ مَا فِي نَفْسِهِ
“Rasulullah ﷺ melihat seorang wanita, lalu baginda mendatangi Zainab رضي الله عنها isteri baginda ketika dia (Zainab رضي الله عنها) sedang menyamak kulit. Baginda menunaikan hajatnya, kemudian keluar kepada para sahabatnya seraya bersabda, “Sesungguhnya wanita itu datang dalam bentuk syaitan dan pergi dalam bentuk syaitan. Jika salah seorang kamu melihat seorang wanita, maka hendaknya dia mendatangi isterinya. Kerana itu dapat menolak perasaan yang muncul pada jiwanya.”
(Riwayat Muslim No. 1403)
Syarah: Ibn al-‘Arabi رَحِمَهُ اللَّهُ ketika menghuraikan hadith di atas berkata: “Ini merupakan hadith yang ganjil maknanya kerana yang berlaku kepada Nabi ﷺ merupakan perkara rahsia yang tidak diketahui melainkan oleh Allah ﷻ, tetapi Baginda menghebahkannya daripada dirinya sendiri sebagai berita gembira bagi makhluk dan pengajaran kepada mereka. Sesungguhnya Baginda itu manusia yang mempunyai syahwat tetapi Baginda maksum daripada tergelincir. Apa yang berlaku dalam jiwanya ketika terlihat perempuan itu perkara yang tidak dipersalahkan pada syara‘ dan tidak mengurangkan kedudukannya. Ini kerana baginda mendapati dirinya berasa takjub dengan wanita itu adalah perkara fitrah manusia yang tetap sifatnya tetapi baginda mengalahkannya dengan kemaksuman maka ia terpadam dan Baginda pergi kepada isterinya supaya dapat melunaskan rasa takjubnya dan syahwat manusianya dengan kemaksuman dan penjagaan maruahnya.” (Lihat ‘Aridhat al-Ahwazi, 1/94)
Imam al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ juga menyebutkan bahawa, jangan disangka bahawa Rasulullah ﷺ melakukan perkara itu kerana kecenderungan nafsu atau tewas dengan syahwat, alangkah jauhnya Baginda daripada semua itu. Sebaliknya Baginda melakukan perkara tersebut supaya Baginda dapat mensyariatkan hukum, diikuti (oleh umat yang mengalami syahwat akibat terlihat wanita) dan untuk memutuskan sesuatu yang dijangkakan berlaku ke atas dirinya. (Lihat al-Mufhim Syarh Sahih Muslim, 5/453)
‘Cari kurnia Allah’ di sini adalah juga bermaksud cari untuk mendapatkan anak. Ini bermaksud tujuan berhubungan kelamin itu adalah untuk mendapatkan anak selain daripada mendapatkan kepuasan nafsu. Kita kena tahu bahawa keinginan untuk mendapatkan anak telah ditanam dalam diri setiap manusia. Sekarang banyak manusia yang kata mereka tidak mahu anak. Itu bermaksud mereka telah menentang keinginan naluri semulajadi yang telah diletakkan dalam diri mereka. Maka, kita jangan jadi begitu, kita kena ada niat dan berkeinginan untuk mendapatkan anak. Jangan kita berkahwin semata-mata untuk melampiaskan nafsu sahaja kerana ada yang berkahwin, tetapi mereka membuat keputusan bersama untuk tidak mendapatkan anak. Ini adalah salah.
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya
Kemaskini: 6 Januari 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Alhamdulillah syukur pada AllahSWT terimakasih Ya Allah terima kasih byk kpd penulis
LikeLike