Mulk Ayat 5: Setelah Allah ﷻ menafikan kekurangan daripada ciptaan-Nya, Dia memperjelaskan kesempurnaan dan juga hiasan pada alam itu. Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah ﷻ menyuruh kita melihat kepada alam. Salah satu alam kejadian yang hebat yang Allah ﷻ telah jadikan adalah langit. Maka, dalam ayat ini, Allah ﷻ menceritakan tentang langit.
Ayat 5 – 11 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia adalah bahagian yang terpanjang di dalam surah ini. Ia menceritakan akibat buruk bagi mereka yang mendustakan kerasulan Nabi. Pendusta Para Rasul jadi penghuni Jahannam. Sambil menderita azab fizikal, mereka akan didera dengan soalan-soalan para Malaikat penjaga neraka yang tidak bertolak ansur.
وَلَقَد زَيَّنَّا السَّماءَ الدُّنيا بِمَصٰبيحَ وَجَعَلنٰها رُجومًا لِّلشَّيٰطينِ ۖ وَأَعتَدنا لَهُم عَذابَ السَّعيرِ
And We have certainly beautified the nearest heaven with stars and have made [from] them what is thrown at the devils and have prepared for them the punishment of the Blaze.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.
وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصٰبِيحَ
Dan sesungguhnya Kami telah menghiasi langit dunia dengan lampu-lampu;
Perkataan مَصَابِيحَ adalah jamak kepada perkataan misbah – lampu. Diambil daripada katadasar ص ب ح – yang juga digunakan untuk waktu subuh. Ini adalah kerana dalam waktu subuh ada cahaya kemerahan dan dalam lampu pun ada cahaya kemerahan. ‘Lampu-lampu’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘bintang-bintang’. Ini bermakna, semua bintang yang boleh dilihat dengan mata atau dengan teleskop, masih berada dalam langit pertama lagi. Maka, silaplah jika ada yang kata bulan itu sahaja dalam langit pertama. Cakerawala Bima Sakti dan cakerawala-cakerawala lain yang berjumlah berbilion-bilion itu, masih lagi dalam lingkungan langit pertama lagi. Selagi masih ada bintang, selagi itulah ia adalah langit pertama.

Allah ﷻ gunakan kalimah مَصَابِيحَ untuk merujuk kepada bintang walaupun bahasa Arab bagi bintang-bintang adalah نجوم. Ini kerana Allah ﷻ hendak memberitahu sifat bintang itu seperti cahaya lampu yang menerangkan bilik atau rumah kita. Allah ﷻ pasang lampu untuk alam ini di langit. Kalau lampu kita kena melekat pada dinding atau wayar, tetapi Allah ﷻ hebat, letak lampu tergantung begitu sahaja. Sudahlah besar, tanpa sumber tenaga dan bukannya satu tapi berbilion.
Sebelum ini Allah ﷻ menyebut tujuh lapis langit, bukan? Kita pun tidak mungkin boleh nampak semua langit-langit itu akan tetapi langit dunia ini bolehlah juga kita usaha untuk melihatnya. Zaman berzaman ia menarik perhatian manusia kepadanya. Tambahan pula dengan zaman sekarang kita adalah segala jenis teropong untuk melihat ke langit dan pencapaian ilmu astronomi sudah semakin maju. Jadi lihatlah kepada langit dunia/langit pertama ini dengan segala bintang-bintangnya.
Terdapat dua kali penekanan dalam penggunaan perkataan لَقَدْ dalam ayat ini. Maknanya, ini adalah ayat sumpah (qosam) dan apabila Allah ﷻ bersumpah, maksudnya Allah ﷻ hendak menegaskan sangat kerana ia adalah perkara yang amat penting.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ menggunakan perkataan زَيَّنَّا – Kami menghiasi. Allah ﷻ hendak mengingatkan kita, tidaklah Allah ﷻ jadikan alam ini dalam keadaan gelap dan suram sahaja. Akan tetapi Allah ﷻ jadikan perhiasan dalam bentuk bintang yang memberi cahaya.
Namun sebelum Allah ﷻ cantikkan langit, Allah ﷻ cerita di dalam ayat sebelum ini yang tidak ada keretakan, ketidakseimbangan di langit. Ini mengajar kita sebelum mencantikkan, kenalah hilangkan kerosakan. Seumpama rumah retak sana sini kemudian letak lampu cantik pun, tidak jadi juga.
Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah ﷻ memperkatakan tentang Diri- Nya dalam kataganti ketiga. Akan tetapi dalam ayat ini, Allah ﷻ mengubah dengan membahasakan Diri-Nya dalam kataganti kedua (Kami). Ini untuk menekankan yang Allah ﷻlah yang mencipta alam ini dengan segala keindahannya. Orientalis menggunakan perubahan perkataan ini sebagai alasan mengejek Al-Qur’an. Mereka kata bahasa Al-Qur’an tidak tetap. Sekejap guna kataganti ketiga, sekejap kataganti kedua dan sebagainya. Namun begitu itu adalah salah satu daripada keindahan bahasa Al-Qur’an. Orang yang faham lenggok bahasa yang indah akan mengerti. Ia adalah sebagai satu cara untuk menekankan sesuatu percakapan. Kerana dulu, tidak ada cara untuk ‘bold‘ sesuatu perkataan. Zaman sekarang, kalau kita hendak memberi penekanan, kita akan bold atau kita akan gariskan pada perkataan itu. Akan tetapi dalam bahasa Arab dan juga bahasa Al-Qur’an, apabila perubahan digunakan, ia adalah untuk menarik perhatian pembaca. Ia sebagai cara untuk menekankan perkara yang hendak diperkatakan. Namun yang perasan adalah mereka yang tahu bahasa Arab terutama tentang dhomir.
Apakah yang Allah ﷻ hendak tekankan dalam ayat ini? Bahawa Allah ﷻlah yang menjadikan langit itu dan segalanya. Tidak ada yang selain Allah ﷻ yang mampu lakukan.
وَجَعَلْنٰهَا رُجُومًا لِلشَّيٰطِينِ
Dan Kami jadikannya itu sebagai tempat rejaman kepada syaitan-syaitan;
Iaitu digunakan sesuatu untuk merejam syaitan-syaitan yang cuba untuk mencuri dengar percakapan para malaikat di langit. Ini seperti disebut di dalam Jin: 8-9
وَأَنّا لَمَسنَا السَّماءَ فَوَجَدنٰها مُلِئَت حَرَسًا شَديدًا وَشُهُبًا
Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.
وَأَنّا كُنّا نَقعُدُ مِنها مَقٰعِدَ لِلسَّمعِ ۖ فَمَن يَستَمِعِ الآنَ يَجِد لَهُ شِهابًا رَّصَدًا
Dan sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.
Keadaan mereka itu ada juga disebut di dalam Saffat: 8
لّا يَسَّمَّعونَ إِلَى المَلَإِ الأَعلىٰ وَيُقذَفونَ مِن كُلِّ جانِبٍ
(Supaya) syaitan-syaitan itu tidak dapat mendengar-dengarkan (pembicaraan) para malaikat dan mereka dilempari dari segala penjuru.
Apakah sebabnya syaitan mencuri dengar perbicaraan para malaikat di langit? Kerana mereka hendak mencuri dengar berita tentang Al-Qur’an supaya mereka boleh ubah. Maknanya mereka hendak menyesatkan manusia dengan Al-Qur’an akan tetapi Allah ﷻ halang mereka dengan memelihara Al-Qur’an.
Di manakah kejadian rejaman ini? Ia berlaku di langit. Ini bermakna bukan musuh di dunia (manusia) sahaja yang Allah ﷻ boleh uruskan, tetapi di langit juga, malah di mana-mana. Tidak ada yang boleh lepas daripada Allah ﷻ. Jadi manusia jangan rasa hebat dan boleh terselamat. Kalau musuh di langit pun diselesaikan oleh Allah ﷻ, apalah sangat dengan kita ini? Allah ﷻ tidak perlukan guru tarekat sesat Nazim Haqqani untuk menghantar Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ untuk berlawan dengan makhluk asing. Allah ﷻ sudah memiliki para tentera-Nya dalam kalangan para malaikat. Cerita kartun apakah yang direka oleh golongan sufi tarekat itu? Tidak habis-habis mereka dengan kisah lucu yang menggelikan hati kita. Kita pun hairan, adakah para pengikut mereka percaya sahaja bulat-bulat kisah itu? Wujud pula makhluk asing itu? Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang telah wafat itu boleh diarahkan olehnya? Apa hebat sangatkah dia sampai boleh hidupkan balik Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan kemudian suruh pula Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bertumbuk dengan makhluk asing? Ada-ada sahaja mereka ini.
Dhomir ها di dalam وَجَعَلْنٰهَا selalu dinisbahkan kepada bintang-bintang. Ada juga yang menisbahkannya kepada langit akan tetapi pandangan ini tidak popular. Namun begitu takkan bintang-bintang besar itu pula yang digunakan untuk dilemparkan kepada jin syaitan? Jadi bukanlah dilontar dengan bintang itu sendiri tetapi dengan bola-bola api yang ada di bawahnya. Mungkin juga lontaran itu berasal daripada pecahan bintang-bintang itu. Kita tidak tahu dengan pasti kerana maklumat sains kita masih terhad. Ada pendapat mengatakan meteor itu pun terjadi daripada bintang-bintang yang telah pecah hancur dan ditarik ke bumi dengan tarikan graviti. Tidaklah setiap meteor itu untuk setiap syaitan yang cuba mendengar. Ia mungkin bermaksud apabila ada ribuan meteor yang menghala jatuh ke bumi menjadikan bahaya bagi para syaitan untuk ke langit mencuri dengan maklumat langit.

Namun teori ini juga dikritik kerana meteor itu pun agak besar juga. Pendapat itu ditolak oleh ilmuwan Abdurrahman Syahab, dengan alasan bahawa meteor bukanlah berasal dari bintang, jadi tidak sesuai dengan bunyi ayat di atas. Meteor adalah kumpulan batu-batu yang terbang di kawasan antara planet Marikh dan Jupiter. Di samping itu, meteor terlalu besar dan terlalu lambat untuk digunakan untuk dilemparkan kepada syaitan dari jenis jin, sebab kecepatannya hanyalah antara 12 sampai 72 KM sesaat, berbeza dengan sinar kosmik yang kecepatan geraknya mencapai 300,000 KM sesaat. Oleh itu pakar ini cenderung memahami lontaran pada ayat di atas adalah sinar kosmik yang bersumber dari bintang-bintang yang terpancar di alam raya. Menurut Abdurrahman Syahab: “Sinar kosmik daripada jenis photon terdiri daripada sinar ultra violet yang bertenaga rendah sampai sinar X dahsyat yang bertenaga lebih daripada 50,000 elektron volt”.
Apakah yang para jin itu cuba dengar? Malaikat mendapat berita dari atas tentang sesuatu kebaikan yang akan diberikan kepada seseorang, maka malaikat akan bercakap-cakap antara satu sama lain. Apabila syaitan-syaitan dengar, mereka akan cuba menghasut orang itu, kerana mereka tidak mahu kebaikan untuk orang itu. Apabila syaitan cuba mencuri dengar, mereka akan dilempar dengan rejaman, ada yang tercedera, ada yang mati. Mungkin mana yang cedera itulah yang jadi hantu seperti hantu raya, pelesit, langsuir dan macam-macam jenis lagi. Itulah sebabnya kita tengok mereka bermuka huduh sebab sudah kena rejam dengan api. Maka, dengan itu kita tahu bahawa hantu-hantu itu semuanya adalah jenis syaitan.
Ataupun mereka menggunakan maklumat yang mereka dapati dari percakapan malaikat-malaikat itu sebagai renung nasib (dalam bahasa mereka yang merenung nasib digelar Kaahin). Penggunaan perkataan rajm seperti itu ada digunakan dalam ayat Kahfi: 22 – رَجْمًا بِالْغَيْبِ – (sebagai tekaan terhadap barang yang ghaib). Memang ada sedikit kebenaran dalam apa yang diberitahu oleh penilik nasib itu, kerana mereka memang dapat maklumat itu dari langit, tetapi mereka akan campurkan dengan penipuan. Manusia, apabila ada yang betul sedikit dalam kata-kata manusia, akan percaya keseluruhannya yang diberitahu kepada mereka. Maka, mereka akan tertipu. Rasulullah ﷺ menyebut tentang perkara ini di dalam satu hadith,
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم جالسا في نفر من أصحابه قال عبد الرزاق من الأنصار فرمي بنجم فاستنار فقال صلى الله عليه وسلم ” ما كنتم تقولون إذا كان مثل هذا فى الجاهلية ؟ ” قالوا كنا نقول يولد عظيم أو يموت عظيم .قلت للزهري أكان يرمى بها في الجاهلية ؟ قال نعم ولقد غلظت حين بعث النبي صلى الله عليه وسلم قال: فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ” فإنها لا يرمى بهـا لموت أحد ولا لحياته ولكن ربنا تبارك وتعالى إذا قضى أمرا سبح حملة العرش ثم سبح أهل السماء الذين يلونهم حتى يبلغ التسبيح السماء الدنيا ثم يستخبر أهل السماء الذين يلون حملة العرش فيقول الذين يلون حملة العرش لحملة العرش ماذا قال ربكم ؟ فيخبرونهم ويخبر أهل كل سماء سماء حتى ينتهي الخبر إلى هذه السماء وتخطف الجن السمع فيرمون فما جاءوا به على وجهه فهو حق ولكنهم يفرقون فيه ويزيدون “
Pada suatu hari, ketika duduk bersama Nabi Muhammad ﷺ dengan beberapa sahabat, berkata Ibn Razzak, daripada kaum Ansar, tiba-tiba mereka melihat tahi bintang jatuh, kemudian Rasulullah ﷺ bertanya: Apakah yang kalian katakan kalau jadi begini pada masa Jahiliyah? Mereka menjawab: Kami dahulu kata bahawa ianya merupakan tanda lahir orang yang besar atau matinya seorang besar. Perawi bertanya: adakah tahi bintang jatuh pada zaman jahiliyah? Zuhri kata: ya. Namun ia menjadi semakin banyak apabila diutuskan Nabi ﷺ. Mendengar jawapan itu, Rasulullah ﷺ bersabda maksudnya, Sesungguhnya tidaklah dilemparkan tahi bintang itu kerana kematian seseorang atau kehidupan seseorang, akan tetapi apabila Allah taala yang Maha Berkat dan Maha Tinggi memutuskan sesuatu, maka para pembawa Arasy (para malaikat) bertasbih, kemudian bertasbihlah penduduk langit yang di bawah pemikul Arasy itu, hingga sampai tasbih itu pada langit dunia kemudian penduduk langit bertanya kepada yang di bawah pemikul Arasy dan mereka pun bertanya kepada pemikul Arasy – Apa kata Tuhanmu? Pemikul Arash menceritakan kepada mereka dan penghuni langit beritahu kepada yang di bawahnya sehingga berhenti khabar itu kepada langit ini. Jin akan cuba mendengar dan mereka akan dilemparkan. Apa yang mereka sampaikan adalah kebenaran tetapi mereka memecah-mecahkan di dalamnya dan menambah-nambah”
(Riwayat Muslim 2229a)
Ini seperti juga disentuh di dalam ayat Saba’: 23
حَتّىٰ إِذا فُزِّعَ عَن قُلوبِهِم قالوا ماذا قالَ رَبُّكُم ۖ قالُوا الحَقَّ ۖ وَهُوَ العَلِيُّ الكَبيرُ
sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan daripada hati mereka, mereka berkata “Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhan-mu?” Mereka menjawab: (Perkataan) yang benar”, dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.
Bagaimanakah cara jin-jin itu mencuri dengar berita langit pun telah dibongkar oleh Rasulullah ﷺ di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إِذَا قَضَى اللَّهُ الأَمْرَ فِى السَّمَاءِ ضَرَبَتِ الْمَلاَئِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ كَأَنَّهُ سِلْسِلَةٌ عَلَى صَفْوَانٍ فَإِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ ، قَالُوا لِلَّذِى قَالَ الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِىُّ الْكَبِيرُ فَيَسْمَعُهَا مُسْتَرِقُ السَّمْعِ ، وَمُسْتَرِقُ السَّمْعِ هَكَذَا بَعْضُهُ فَوْقَ بَعْضٍ – وَوَصَفَ سُفْيَانُ بِكَفِّهِ فَحَرَفَهَا وَبَدَّدَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ – فَيَسْمَعُ الْكَلِمَةَ ، فَيُلْقِيهَا إِلَى مَنْ تَحْتَهُ ثُمَّ يُلْقِيهَا الآخَرُ إِلَى مَنْ تَحْتَهُ ، حَتَّى يُلْقِيَهَا عَلَى لِسَانِ السَّاحِرِ أَوِ الْكَاهِنِ ، فَرُبَّمَا أَدْرَكَ الشِّهَابُ قَبْلَ أَنْ يُلْقِيَهَا ، وَرُبَّمَا أَلْقَاهَا قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُ ، فَيَكْذِبُ مَعَهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ ، فَيُقَالُ أَلَيْسَ قَدْ قَالَ لَنَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا كَذَا وَكَذَا فَيُصَدَّقُ بِتِلْكَ الْكَلِمَةِ الَّتِى سَمِعَ مِنَ السَّمَاءِ
Ketika Allah menetapkan suatu urusan di langit, malaikat lantas meletakkan sayapnya dalam rangka tunduk pada perintah Allah yang seolah-olah seperti suara gemercingan rantai di atas batu. Apabila rasa takut telah dihilangkan daripada hati mereka, mereka mengucapkan, “Apa yang telah difirmankan oleh Rabb kalian?” Mereka menjawab, “Perkataan yang benar. Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Maka syaitan-syaitan pengintip berita itu pun mendengarkan berita itu. Mereka berada dalam posisi yang saling bersesak-sesakan – Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menggambarkannya dengan mengiringkan telapak tangannya dan merenggangkan jari-jemarinya. Jika syaitan yang di atas mendengar berita itu, maka segera disampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya. Kemudian yang lain juga menyampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya hingga sampai kepada tukang sihir dan dukun.
Terkadang syaitan pengintip berita itu terkena api sebelum sempat menyampaikan berita itu. Terkadang pula syaitan itu sempat menyampaikan berita itu sebelum terkena api. Lalu dengan berita yang didengarnya itulah tukang sihir atau dukun membuat seratus kedustaan. Orang-orang yang mendatangi tukang sihir atau dukun pun mengatakan, “Bukankah pada hari ini dan itu, dia telah mengabarkan kepada kita bahawa akan terjadi demikian dan demikian?” Akibatnya, tukang sihir dan dukun itu pun dipercayai kerana satu kalimat yang telah didengarnya dari langit.
(Hadith Riwayat Bukhari No. 4800)
Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa bintang-bintang itu dijadikan untuk tiga tujuan:
-
- Sebagai hiasan langit.
- Sebagai rejaman untuk syaitan.
- Sebagai petunjuk untuk mereka yang bermusafir.
Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan kalau ada yang kata selain daripada tiga ini, mereka telah menipu. Semua tujuan kejadian bintang itu ada disebut dalam Al-Qur’an. Dua daripadanya telah disebut dalam ayat ini. Tujuan ketiga itu ada dalam ayat surah lain seperti di dalam Nahl: 16
وَعَلٰمٰتٍ ۚ وَبِالنَّجمِ هُم يَهتَدونَ
dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (penunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk.
Jadi, hanya tiga sebab ini sahaja bintang itu dijadikan. Maka, kalau ada yang kata ada sebab-sebab lain (sebagai menilik nasib contohnya), maka mereka telah berdusta. Oleh itu, kalau ada yang menggunakan bintang sebagai horoskop, itu adalah tindakan yang amat salah sekali. Dalam masyarakat sekarang, ramai yang suka sangat membaca kata-kata penipu dalam horoskop. Malah amat banyak media yang menyenaraikan apakah nasib manusia untuk hari atau minggu itu. Dalam suratkhabar, dalam majalah dan sebagainya. Anak-anak orang Islam yang tidak mendapat pendidikan agama daripada ibubapa mereka akan membaca dengan senang hati, tanpa ada rasa salah sedikit pun. Apabila ada kejadian yang terjadi betul-betul seperti yang tertulis dalam horoskop itu, mereka akan suka dan terus percaya bulat-bulat dengan apa yang mereka baca. Akibatnya, mereka mudah percaya dengan perkara-perkara syirik. Mereka sangka ia adalah perkara kecil sahaja, namun ia adalah perkara yang amat besar sekali dan boleh memberi kesan yang mendalam.
Lihatlah bagaimana penciptaan Allah ﷻ. Allah ﷻ menjadikan sesuatu yang cantik yang mempunyai kegunaannya. Tidaklah macam penciptaan kita. Kalau kita jadikan sesuatu, selalunya ia kelihatan indah dan berfungsi sebagai perhiasan sahaja, atau sebagai penggunaan dalam kehidupan seharian sahaja.
Perhatikan susunan di dalam ayat ini: Allah ﷻ sebut tentang زَيَّنَّا السَّمَاءَ perhiasan/kecantikan dahulu sebelum disebut kegunaan رُجُومًا لِلشَّيٰطِينِ. Ini meletakkan kepentingan keindahan di dalam satu-satu perkara. Kita bukan hanya melihat kepada tugas, isi dan kandungan sahaja, akan tetapi ia mengajar kita untuk berusaha untuk mencantikkan sesuatu untuk dipersembahkan. Sesuatu itu tidak semestinya hanya berguna, tetapi kalau boleh hendaklah dicantikkan juga. Sebagai contoh, dalam berdakwah, jangan kita pandai bercakap sahaja, tapi penampilan kita pun hendaklah kemas. Jangan bercakap isi sahaja, tetapi hendaklah kita memperelokkan cara penyampaian kita itu supaya dapat menarik minat manusia. Kalau menulis, jangan tulis fakta-fakta sahaja tetapi hiaslah penulisan itu supaya jadi cantik dan menarik untuk dibaca. Sebab itu kalau seorang penceramah ada maklumat yang paling hebat pun akan tetapi cara penyampaiannya tidak menarik (macam khutbah hari Jumaat di negara kita ini), ia tidak memberi kesan kepada para pendengar.
Maka Allah ﷻ tidak mengabaikan keindahan di dunia ini. Kerana itu hidup di dunia ini menjadi semakin menarik dengan melihat kepada segala keindahan ciptaan Allah ﷻ. Kita akan lebih menghargai dunia ini. Dengan melihat kecantikan dunia, kita dapat membayangkan keindahan syurga yang tentunya lebih indah berkali-kali ganda. Kalaulah kita tidak didedahkan dengan keindahan dunia, tentu kita langsung tidak dapat membayangkan keindahan syurga dan kita tentu tidak mendambakannya. Maka Allah ﷻ menarik minat kepada syurga dengan ditunjukkan keindahan pada alam.
Perhatikan kalau kita membaca sahaja Al-Qur’an tetapi tidak diperindahkan bacaannya, tidak jadi menarik juga. Kerana begitulah Allah ﷻ jadikan Al-Qur’an ini bukan sahaja mengandungi mesej yang tiada taranya, tapi bacaannya juga amatlah indah. Kajian ulama’ zaman berzaman berterusan kagum dengan penggunaan bahasa Al-Qur’an dan kita telah belajar di banyak tempat yang ia adalah satu mukjizat. Sampaikan Musyrikin Mekah yang tidak mahu menerima mesej Tauhid Al-Qur’an pun tetap terpesona dengan keindahan bahasa Al-Qur’an. Maka jangan kita abaikan perkara ini.
وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ
Dan Kami sediakan bagi mereka azab api yang menyala-nyala;
Bukan mereka kena rejam di dunia sahaja, akan tetapi di akhirat sudah tentu mereka akan dikenakan dengan azab. Allah ﷻ sudah sediakan siap-siap neraka itu menunggu mereka. Perhatikan Allah ﷻ gunakan kalimah أَعْتَدْنَا yang berasal daripada kata dasar ع ت د namun sebenarnya daripada kata dasar ع د د yang bermaksud kiraan. Allah ﷻ sudah sediakan dengan teliti mengikut bilangan mereka dan apa yang mereka akan dapat. Sebagai contoh kalau ada 10 orang tetamu akan datang ke rumah kita, kita akan sediakan makanan dan pinggan yang cukup-cukup untuk 10 orang tetamu itu. Apakah pengajarannya di sini? Allah ﷻ sediakan azab yang cukup-cukup kepada ahli neraka. Ia berbeza dengan ahli syurga yang diberi dengan balasan yang berlebih-lebih daripada yang sepatutnya mereka akan dapat.
Itulah azab yang disediakan kepada syaitan-syaitan. Begitulah kalau manusia yang berperangai ‘syaitan’, mereka pun akan kena azab neraka juga nanti kerana jangan kita sangka ‘syaitan’ itu daripada golongan jin sahaja.
Ini adalah kerana kalimah ‘syaitan’ sebenarnya adalah satu sifat, yang bermaksud mereka yang menjauhkan manusia dari kebenaran. Kalau jin yang buat kerja itu, dia dipanggil ‘syaitan’; dan kalau ada manusia yang buat begitu, dia juga dipanggil ‘syaitan’. Kebanyakan orang sangka syaitan itu adalah sejenis makhluk yang lain daripada manusia dan jin. Tidak sebenarnya – syaitan itu adalah satu ‘sifat’. Ia boleh merujuk kepada golongan jin dan juga golongan manusia.
Ayat ini menunjukkan bahawa yang pertama sekali masuk neraka adalah iblis dan syaitan. Kemudian diikuti dengan orang kafir.
Ada juga yang menyoal bagaimana jin dan syaitan akan terasa dengan azab api neraka, sedangkan mereka pun dijadikan daripada api juga?
Pertamanya, dengan tidak dimasukkan ke dalam syurga pun sudah menjadi satu azab.
Keduanya, Allah ﷻ tentunya mampu untuk menyediakan azab yang sesuai untuk mereka. Bukanlah tugas kita untuk menyoal cara Allah ﷻ memberi azab. Mereka juga pastinya akan dikenakan azab yang sesuai untuk mereka. Dan kalau kita lihat bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah السَّعِيرِ – api yang menyala-nyala. Bukan api yang biasa.
Ketiganya, kalau kita tampar seorang manusia dengan tangan, sakit tak? Tentu sakit, bukan? Tetapi bukankah tangan kita dan pipi dia pun dijadikan dari tanah?
Maka, soalan di atas tidak patut ditanya sebenarnya. Kalau ada yang bertanya (ramai yang selalu tanya) maknanya mereka itu orang yang jahil. Boleh gunakan jawapan dalam ayat ini sebagai penjelasan kepada mereka.
Perhatikan kalimah السَّعِيرِ yang digunakan di dalam ayat ini dan banyak lagi ayat-ayat yang lain. Ia menceritakan sifat api di neraka yang bukan biasa-biasa punya. Ia daripada kata dasar س ع ر yang bermaksud untuk menyalakan api; mencetuskan kerosakan; kebakaran; api yang marak; haba; api yang menyala; Neraka; nyalaan api. Kalau api biasa, lama-lama ia akan padam, tetapi tidak api السَّعِيرِ ini. Kalau kita mencampakkan sesuatu ke dalam api, selalunya api itu akan mencairkan bahan itu. Akan tetapi kalau api jenis السَّعِيرِ, barang yang dibuang itu terbakar dengan amat kuat sekali seperti meletup dan nyalaan api itu akan menjadi semakin besar.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 22 Disember 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad
Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Nouman Ali Khan

boleh di upgredkan lagik… iaitu apabila di tekan ayat alquran kat dalam penerangan tafsir tu.. ia akan berbunyi / ayat tu boleh di dengari… ini akan memberi impak maksima.. tq
LikeLike
Terima kasih, tapi saya tidak faham apakah yang anda sampaikan ini. Boleh jelaskan lagi? In sha Allah saya akan cuba.
LikeLike
setiap ayat yang dipaparkan.. jika klik ayat tu.. ayat tu boleh di dengari
LikeLike
Alhamdulillah, moga usaha saudara dirahmati Allah.
LikeLike