Tafsir Surah Kahfi Ayat 54 – 56 (Manusia suka berjidal)

Ayat 54: Sekarang kita masuk ke Ruku’ ke 8 dari 12 ruku’ dalam surah ini. Ini adalah Zajrun.

وَلَقَد صَرَّفنا في هٰذَا القُرءآنِ لِلنّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍ ۚ وَكانَ الإِنسٰنُ أَكثَرَ شَيءٍ جَدَلًا

 Sahih International

And We have certainly diversified in this Qur’an for the people from every [kind of] example; but man has ever been, most of anything, [prone to] dispute.

Malay

Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Qur’an ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.

 

وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِي هَٰذَا الْقُرْءآنِ لِلنَّاسِ

Sesungguhnya Kami telah perjelaskan dalam Qur’an ini kepada manusia

Perkataan صَرَّفْ bermaksud ‘tukar-tukar’ – alternate. Allah tukar-tukar perkataan dalam berbagai cara untuk menjelaskan kepada manusia. Kerana ada orang yang faham dengan cara begini dan ada orang yang faham dengan cara lain pula. Sebagaimana seorang guru yang baik akan cuba beri berbagai contoh untuk bagi anak murid dia faham.

 

مِنْ كُلِّ مَثَلٍ

dari berbagai-bagai jenis contoh-contoh bandingan.

Allah berhujah dalam Qur’an dengan berbagai cara dan Allah telah beri berbagai contoh bandingan. Ini adalah kerana manusia senang faham sesuatu perkara dan konsep melalui cara analogi. Sebagai contoh, mereka faham tentang kerajaan di Malaysia ini. Katakanlah guru kena mengajar anak murid dengan kerajaan Melaka purba. Maka guru akan kata: “Parameswara itu macam Perdana Menteri kita sekarang.”

Analogi adalah satu cara yang amat baik dan banyak sekali digunakan dalam Qur’an. Tapi perumpamaan-perumpamaan itu kenalah dipelajari baru boleh faham. Kerana kadangkala kalau baca sahaja, tidak dapat faham. Ia memerlukan kupasan dari ulama tafsir yang telah mencari cara untuk menjelaskannya kepada kita.

 

وَكَانَ الْإِنْسٰنُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا

Dan adalah manusia itu paling banyak sekali membantah;

Tapi walaupun telah diberikan dengan berbagai cara untuk ajar manusia, tapi ramai yang masih tetap hendak membantah sahaja. Begitulah ada jenis manuisa yang dalam setiap perkara, nak membantah sahaja. Bila mereka dengar sesuatu, perbuatan pertama mereka akan hendak menolak.

Dan kalimah ‘jidal’ itu merujuk kepada perbuatan hendak menolak dalam berdebat sahaja. Mereka sudah tidak kira benar atau salah, janji mereka menang. Kerana tidak salah kalau hendak berhujah untuk mencari kebenaran. Tapi kalau berdebat kerana nak menang sahaja, maka ini adalah salah dan bodoh.

Dalam satu hadis riwayat Ali, dia memberitahu bahawa Nabi pernah mengetuk pintu rumahnya pada malam hari yang ketika itu Ali sedang bersama Fatimah seraya bersabda: “Tidakkah kalian berdua mengerjakan solat?” Lalu aku menjawab: “Ya Rasulullah, sesungguhnya jiwa kami di tangan Allah, jika Dia berkehendak untuk membangunkan kami, maka kami bangun.” Maka baginda kembali apabila aku katakan demikian, sedang baginda sama sekali tidak melontarkan sepatah kata pun kepadaku. Kemudian ketika baginda bangun untuk pergi sambil menepuk pahanya, baginda membacakan ( وَكَانَ الْإِنْسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا ). Dan adalah manusia itu paling banyak sekali membantah. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.


 

Ayat 55: Allah jelaskan kenapa manusia menolak kebenaran. Apakah yang menghalang mereka? Zajrun dan Takhwif Ukhrawi.

وَما مَنَعَ النّاسَ أَن يُؤمِنوا إِذ جاءَهُمُ الهُدىٰ وَيَستَغفِروا رَبَّهُم إِلّا أَن تَأتِيَهُم سُنَّةُ الأَوَّلينَ أَو يَأتِيَهُمُ العَذابُ قُبُلًا

 Sahih International

And nothing has prevented the people from believing when guidance came to them and from asking forgiveness of their Lord except that there [must] befall them the [accustomed] precedent of the former peoples or that the punishment should come [directly] before them.

Malay

Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Qur’an kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau didatangi azab yang dilihat dan dihadapi.

 

وَمَا مَنَعَ النَّاسَ أَنْ يُؤْمِنُوا

Dan tidaklah mencegah manusia itu untuk beriman;

Apakah yang menyebabkan manusia tidak beriman? Tentu ada sesuatu yang menghalang mereka dari beriman walaupun telah diberikan dengan berbagai hujah yang cukup mantap.

 

إِذْ جَاءَهُمُ الْهُدَىٰ

apabila datang kepada mereka petunjuk;

Kenapa mereka masih juga masih menolak apabila telah datang petunjuk kepada mereka? Kenapa mereka nak lawan juga? Kenapa mereka tak mahu terima kebenaran yang sudah jelas kepada orang lain?

Sesiapa yang sudah mula belajar dan sebar agama, akan faham hal ini. Kerana mereka akan menghadapi orang-orang yang sebegini apabila mereka mula berdakwah kepada manusia. Iaitu, apabila dibacakan ayat Qur’an kepada mereka, mereka akan bagi macam-macam alasan untuk tidak terima ajakan kita. Mereka akan bantah pendakwah dengan menggunakan berbagai-bagai hujah yang tidak diambil dari nas.

 

وَيَسْتَغْفِرُوا رَبَّهُمْ

Dan untuk memohon ampun kepada Tuhan mereka;

Selain dari tidak mahu beriman, apakah yang menyekat mereka dari meminta ampun kepada Tuhan mereka? Kenapakah mereka tidak mengambil peluang tawaran Allah untuk meminta ampun kepadaNya?

Bayangkan, tidak ada sesiapa yang boleh sekat seseorang dari meminta ampun. Kalau ada yang cuba sekat pun, dia boleh bertaubat dalam hatinya. Tapi apakah yang menyekat mereka dari meminta ampun itu?

 

إِلَّا أَنْ تَأْتِيَهُمْ سُنَّةُ الْأَوَّلِينَ

Kecuali datang ketetapan Allah sepertimana yang telah diberi kepada orang-orang terdahulu;

Mereka tidak beriman dan tidak mahu bertaubat kerana mereka rasa mereka selamat. Mereka tak rasa penting untuk beriman dan meminta ampun. Kerana mereka tidak dikenakan dengan azab seperti yang dikenakan kepada kaum-kaum terdahulu. Mereka nak tunggu azab dulu baru nak beriman dan nak minta ampun.

 

أَوْ يَأْتِيَهُمُ الْعَذَابُ قُبُلًا

atau datang kepada mereka azab di depan mata mereka;

Mereka tidak akan bertaubat dan beriman sehinggalah datang azab depan mata mereka iaitu kematian. Bila nak mati atau sudah mati dan nampak kebenaran perkara ghaib yang telah disampaikan, barulah mereka nak beriman dan bertaubat.

Tapi apabila azab dan kematian sudah hampir, iman dan keampunan tidak diterima lagi. Seperti Firaun yang baru nak beriman apabila dia hampir mati semasa ditenggelamkan dalam laut. Tidak diterima imannya ketika itu.

Jadi, kalau ada orang yang dalam nazak nak mati, imannya atau permintaan ampunnya waktu itu tidak diterima lagi kerana sudah terlambat walaupun dia tidak mati lagi waktu itu. Kalau dia ada mengamalkan syirik sebelum itu, istighfarnya tidak diterima. Kalau tak buat syirik, ada harapan lagi.


 

Ayat 56:

وَما نُرسِلُ المُرسَلينَ إِلّا مُبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ ۚ وَيُجٰدِلُ الَّذينَ كَفَروا بِالبٰطِلِ لِيُدحِضوا بِهِ الحَقَّ ۖ وَاتَّخَذوا ءآيٰتي وَما أُنذِروا هُزُوًا

 Sahih International

And We send not the messengers except as bringers of good tidings and warners. And those who disbelieve dispute by [using] falsehood to [attempt to] invalidate thereby the truth and have taken My verses, and that of which they are warned, in ridicule.

Malay

Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatKu, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.

 

وَمَا نُرْسِلُ الْمُرْسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ

Dan tidaklah Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan untuk memberikan berita gembira;

Tugas para Rasul jelas disebut dalam ayat-ayat Qur’an. Mereka ditugaskan untuk menyampaikan berita wahyu dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman. Iaitu akan dikatakan kepada mereka bahawa mereka akan mendapat syurga.

Ada muqaddar dalam ayat ini: Musyrikin Mekah ejek dengan tanya kepada Nabi Muhammad, kenapa mereka tidak dikenakan dengan azab lagi sedangkan mereka telah lama menentang baginda? Maka Allah beritahu dalam ayat ini untuk menjawab soalan mereka: tugas Nabi hanya menyampaikan dakwah sahaja. Bukan baginda yang tentukan bila mereka kena azab.

 

وَمُنْذِرِينَ

dan memberi ancaman;

Dan kepada yang engkar, diberi ancaman pula kepada mereka. Iaitu mereka diancam dengan azab dan neraka. Dikatakan kepada mereka, kalau mereka tidak mahu menerima tauhid, mereka akan masuk neraka dan akan kekal di dalamnya sampai bila-bila.

Inilah dua perkara besar yang diberitahu oleh pendakwah: Berita gembira dan ancaman. Iaitu cerita tentang tauhid atau aqidah. Sekali-sekala diberikan berita gembira dan kalau tidak mahu terima, maka diberikan ancaman kepada mereka.

 

وَيُجٰدِلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالْبٰطِلِ

Dan orang-orang kafir itu membantah dengan menggunakan hujah yang batil;

Orang kafir itu tidak semestinya orang bukan Islam. Kalau orang itu Muslim pun tapi dia membantah kebenaran, maka dia juga dikira ‘kafir’. Jangan kita sangka kita muslim di mata manusia, kita tetap muslim di mata Allah.

Orang-orang yang engkar itu, tidak kira bernama Muslim atau tidak, mereka akan membantah kebenaran. Mereka akan beri hujah yang bukan dalil iaitu hujah yang bukan dari nas Qur’an dan Hadis. Antara hujah batil mereka adalah: “takkan guru itu nak masuk neraka”. Mereka cakap begitu kerana mereka hendak membenarkan juga guru mereka walaupun guru mereka mengajar yang salah.

Itu bukan hujah Qur’an dan Hadis. Itu adalah hujah yang pernah digunakan oleh Musyrikin Mekah. Janganlah kita dalam berhujah mengatakan begini: “Ustaz saya beritahu macam itu”. Jangan sekali-kali kita kata begitu kerana guru dan ustaz kita bukannya dalil. Jangan letak hujah atas guru kita. Guru kita bukan Nabi yang maksum.

Kita kena kata Qur’an dan Hadis yang kata begitu dan begini. Jadi, kalau ada orang yang menggunakan hujah guru mereka, katakan bahawa itu adalah hujah Musyrikin Mekah. Cuma kita dapat tahu tentang mana ayat Qur’an dan hadis itu dari guru dan ustaz kita juga kerana kita belajar dengan mereka.

 

لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ

supaya mereka menghapuskan kebenaran wahyu dengan hujah itu;

Tujuan mereka membantah itu adalah menghapuskan kebenaran dengan menggunakan hujah mereka yang batil itu. Mereka sebenarnya tidak ada hujah dari Qur’an dan hadis. Yang mereka ada hanyanya hujah tok guru mereka. Mereka juga menggunakan hujah akal yang tidak layak untuk dibandingkan dengan hujah Qur’an dan hadis. Tapi mereka tetap nak pakai juga.

 

وَاتَّخَذُوا ءآيٰتِي

dan mereka telah jadikan ayat-ayatKu 

Mereka tidak memandang tinggi ayat Qur’an dan hadis. Mereka rasa hujah-hujah mereka itu melebihi dalil yang diberikan dalam Qur’an dan hadis pula. Mereka rasa kata-kata guru mereka itu adalah kata-kata hikmat yang kena diikuti kerana tentu benar. Mana boleh macam itu kerana mereka juga manusia dan terbuka kepada kesalahan dan kesilapan.

 

وَمَا أُنْذِرُوا

dan amaran yang diberikan kepada mereka itu

Mereka berani nak membantah kerana mereka tidak takut kepada ancaman dan amaran yang telah diberikan. Mereka dengar ancaman itu tapi mereka tak rasa yang mereka akan kena azab itu. Mereka seolah-olah sudah dapat tiket untuk melepaskan diri mereka. Adakah tiket itu? Mana mereka dapat?

 

هُزُوًا

sebagai senda gurau. 

Jadi mereka pandang wahyu dan amaran yang diberikan sebagai perkara remeh sahaja, tidak ada apa. Mereka main-mainkan ancaman yang diberikan kepada mereka. Ada yang menggunakan ejekan dan lawak untuk menolak hujah dari pendakwah. Sebagai contoh, mereka buat lawak: “Kalau tidak boleh buat bidaah, jangan naik keretalah! Biar puak-puak wahabi itu naik unta sahaja semuanya…” Maka mereka ramai-ramai akan gelak besar.

Itulah cara yang digunakan oleh orang-orang jahat dari dulu lagi sampai bila-bila. Cara mudah yang digunakan oleh mereka akan menggunakan jenaka. Kerana orang suka dengar jenaka dan suka gelak. Tapi nanti mereka akan menangis.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s