Tafsir Surah Baqarah Ayat 179 – 182 (Tentang Wasiat)

Baqarah Ayat 179: Sekarang Allah ‎ﷻ bertitah kepada pemerintah pula. Menjadi tanggungjawab mereka untuk menjalankan hukum Qisas kerana tanggungjawab mereka untuk memastikan keamanan dalam negara. Keamanan negara dapat ditegakkan apabila hukum Allah ﷻ dijalankan.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu manfaat menjaga hukum Qisas itu. Allah ‎ﷻ beritahu yang ada kebaikan di dalam hukum Qisas. Malangnya, kerana kita tidak ikut saranan Allah ‎ﷻ inilah yang menyebabkan institusi negara menjadi kacau bilau. Sampaikan manusia yang jahat tidak takut untuk membunuh orang lain kerana undang-undang yang ringan diberikan terhadap mereka.

وَلَكُم فِى ٱلقِصَاصِ حَيَوٰةٌ يَـٰٓأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ لَعَلَّڪُم تَتَّقُونَ

Sahih International

And there is for you in legal retribution [saving of] life, O you [people] of understanding, that you may become righteous.

 

Malay

Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

 

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَوٰةٌ

Dan untuk kamu dalam Qisas itu ada kehidupan;

Manusia akan hidup dengan aman jikalau hukum Qisas ditegakkan. Manusia boleh hidup tanpa tumpah darah. Mereka boleh menikmati kehidupan yang sebenar iaitu tanpa ketakutan. Tidak ada lagi pembunuhan dengan cara yang berleluasa. Begitulah indahnya hukuman yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Namun begitu guru sekarang kebanyakannya hanya bercerita tentang hukum puasa, solat, wudhu’ dan sebagainya. Hanya berulang-ulang diajar bahagian itu sahaja. Tidak belajar benda-benda yang baru termasuk tentang hukum-hukum Hudud ini. Maka ramai yang jahil akan bab ini. Maknanya masyarakat kita banyak tidak belajar benda yang mereka patut belajar. Anak-anak murid sangka mereka sudah belajar banyak, tetapi sebenarnya tidak. Sampaikan ada yang tidak tahu pun ada hukum Hudud dalam Islam. Sampaikan mereka sanggup untuk tolak hukum Hudud ini.

Yang dimaksudkan dengan hukum Qisas itu adalah ‘bunuh balas’. Itu adalah hukum utama. Bukan Diyat dan bukan Pemaafan yang utama. Kalau semua masyarakat tahu bahawa jikalau mereka membunuh orang lain, mereka akan dibunuh balik, tentu mereka takut untuk mengambil nyawa orang lain. Maka secara langsung dunia akan menjadi lebih aman. Kerajaan tidaklah boleh terus pergi kepada Diyat dan minta ahli keluarga maafkan. Mereka mesti diberi pilihan untuk membunuh si pembunuh. Kalau masyarakat sentiasa sahaja mengambil langkah menerima Diyat atau memaafkan pembunuh, maka manusia yang jahat tidak takut untuk membunuh kerana mereka tahu mereka ada peluang untuk membayar nyawa itu dengan diyat atau mereka boleh dimaafkan. Oleh itu, Allah ‎ﷻ menasihatkan kita untuk mengamalkan hukum Qisas – balas bunuh. Memang kita dinasihatkan untuk selalu memaafkan secara individu, namun dalam hal Qisas, kita sepatutnya menjalankan hukum Qisas.

Penentang kepada hukum ini mengatakan yang hukum ini tidak masuk akal. Mereka kata ia hanya membanyakkan orang yang terbunuh sahaja. Mulanya ada seorang dibunuh dan kemudian dibunuh lagi pembunuh itu. Jadi 1 + 1 = 2 orang yang terbunuh. Mereka tidak faham yang sebenarnya dalam kes ini 1 + 1 = 0. Ini adalah kerana hukuman Islam bukannya hendak menghukum sebenarnya akan tetapi menghalang (deterrent). Apabila manusia tahu yang kalau mereka membunuh dengan sengaja akan menyebabkan mereka pun dibunuh, maka ia akan menghalang mereka daripada membunuh. Maka kadar pembunuhan di dunia ini akan berkurang kalau tidak terhapus pun. Namun begitu oleh kerana sekarang hukuman bunuh dihapuskan, maka manusia tidak takut untuk membunuh kerana paling kuat pun mereka masuk penjara sahaja dan dapat makan percuma dan tidak perlu bayar sewa rumah lagi. Kita pembayar cukai pula yang kena tanggung penjenayah-penjenayah ini.

 

يَـٰٓأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ

wahai orang-orang yang berfikiran waras

Maka kamu sebagai kerajaan yang menguruskan kehidupan rakyat kena tetapkan hukum Qisas ini. Kamu telah dinaikkan menjadi pemimpin maka hendaklah menggunakan langkah bijak amalkan hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan.

Kalimah ٱلأَلبَـٰبِ daripada kata dasar: ل ب ب yang bermaksud mempunyai fikiran yang tajam, mempunyai hati yang baik, lembut dan penyayang, pandai, bijak, mempunyai intelek yang tinggi, akal. Jadi untuk faham falsafah dan kelebihan undang-undang Islam ini memerlukan akal yang bijak dan tajam. Ada yang dangkal akalnya sampai mengatakan hukum syariat Islam ini ‘barbarian’, tidak sesuai zaman sekarang. Mereka hendak supaya hukum bunuh dihapuskan terus kerana bagi mereka, itu tidak adil. Kesian kepada nyawa orang, mereka kata. Yang mereka tidak fikirkan adalah tentang keadilan kepada keluarga si mati. Apa mereka itu tidak selayaknya dapat keadilan? Kenapa hendak dijaga nyawa si pembunuh? Supaya dipenjara sekian waktu dan biarkan dia membunuh lagi? Ada orang yang langsung tidak boleh diubah lagi mentaliti mereka sebagai pembunuh, maka jalan terbaik adalah untuk matikan sahaja mereka supaya mereka tidak dapat membunuh orang lain lagi.

 

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Mudah-mudahan kamu dapat bertaqwa.

Allah ‎ﷻ telah beri banyak pengajaran dan hukum kepada kita supaya kita ambil tahu. Tujuannya supaya kita dapat menjaga hukum dan dengan itu kita  dapat menyelamatkan diri kita, masyarakat dan negara daripada porak peranda.


 

HUKUM WASIAT

Baqarah Ayat 180: Hukum umur munazimah yang kedua adalah tentang harta benda. Cuma ada sedikit kesulitan dengan ayat ini kerana ada ulama’ berpendapat yang ayat ini adalah antara ayat yang telah dimansukhkan. Ia adalah tentang Hukum Wasiat.

Apabila terjadi kematian, antara perkara yang penting yang perlu diberi perhatian adalah tentang pembahagian harta pusaka dan tentang wasiat. Ini penting untuk menjaga keamanan di dalam keluarga supaya tidak berbantah dalam hal harta.

Oleh itu, kita boleh lihat, bagaimana perubahan fokus dalam Al-Qur’an. Dalam ‘ayatul birr’, ia adalah tentang individu (apa yang individu kena buat). Kemudian dalam Qisas, ia adalah tentang menjaga keamanan negara. Al-Qur’an menyentuh segenap kehidupan masyarakat Islam, daripada individu ke sebesar-besarnya, iaitu negara. Sekarang tentang situasi yang pertengahan, iaitu dalam hal keluarga.

كُتِبَ عَلَيكُم إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلمَوتُ إِن تَرَكَ خَيرًا ٱلوَصِيَّةُ لِلوٰلِدَينِ وَٱلأَقرَبِينَ بِٱلمَعرُوفِ‌ۖ حَقًّا عَلَى ٱلمُتَّقِينَ

Sahih International

Prescribed for you when death approaches [any] one of you if he leaves wealth [is that he should make] a bequest for the parents and near relatives according to what is acceptable – a duty upon the righteous.

 

Malay

Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.

 

كُتِبَ عَلَيْكُمْ

Ditetapkan ke atas kamu

Ia adalah satu hukum yang telah ditetapkan kepada kita. Kena ambil tahu tentang hukum ini. Oleh kerana kalimah كُتِبَ yang digunakan, maka sesetengah ulama’ mengatakan yang wasiat adalah wajib. Akan tetapi sesetengah yang lain mengatakan ia hanya sunat sahaja.

Cuma ia menjadi wajib apabila seseorang itu berhutang, memberi hutang atau pun menjaga barang orang lain sebagai amanah.

Apabila hendak berwasiat, maka hendaklah ada saksi yang menyaksikan perkara itu seperti disebut di dalam Maidah:106

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا شَهٰدَةُ بَينِكُم إِذا حَضَرَ أَحَدَكُمُ المَوتُ حينَ الوَصِيَّةِ اثنانِ ذَوا عَدلٍ مِّنكُم أَو ءآخَرانِ مِن غَيرِكُم إِن أَنتُم ضَرَبتُم فِي الأَرضِ فَأَصٰبَتكُم مُّصيبَةُ المَوتِ ۚ تَحبِسونَهُما مِن بَعدِ الصَّلوةِ فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ إِنِ ارتَبتُم لا نَشتَري بِهِ ثَمَنًا وَلَو كانَ ذا قُربىٰ ۙ وَلا نَكتُمُ شَهٰدَةَ اللَّهِ إِنّا إِذًا لَّمِنَ الآثِمينَ
Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian. Kamu tahan kedua saksi itu sesudah sembahyang (untuk bersumpah), lalu mereka keduanya bersumpah dengan nama Allah, jika kamu ragu-ragu: “(Demi Allah) kami tidak akan membeli dengan sumpah ini harga yang sedikit (untuk kepentingan seseorang), walaupun dia karib kerabat, dan tidak (pula) kami menyembunyikan persaksian Allah; sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang-orang yang berdosa”.

 

إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

ketika telah sampai (tanda-tanda) kematian salah seorang daripada kamu,

Iaitu apabila sudah sampai tanda-tanda hendak mati. Mungkin dia jatuh sakit dan dia sangka sakitnya ini akan membawa kepada kematian. Atau kalau seseorang itu sudah tua, sudah dekat dengan kubur. Bukannya ‘sudah mati’. Kalau ada terjemah apabila sudah mati, itu adalah terjemahan yang salah. Maka wasiat mesti dilakukan sebelum mati. Kena buat persediaan sebelum mati. Malah ada hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

 مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ ‏
“Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”
(Riwayat Bukhari No. 2438 dan Muslim No. 1627)

Kita tidak tahu bilakah kita akan mati seperti disebut di dalam Luqman: 34

وَما تَدري نَفسٌ مّاذا تَكسِبُ غَدًا ۖ وَما تَدري نَفسٌ بِأَيِّ أَرضٍ تَموتُ
Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.

Oleh itu kita kena bersedia untuk mati dan berwasiat seawal mungkin.

 

إِنْ تَرَكَ خَيْرًا

jika dia ada meninggalkan harta yang banyak,

Di sini kalimah خَيْرًا diterjemahkan sebagai harta yang banyak, bukan sedikit. Kerana itu tidak digunakan kalimah المال (harta) di sini. Ini seperti juga penggunaan di dalam Aadiyaat: 8

وَإِنَّهُ لِحُبِّ الخَيرِ لَشَديدٌ
dan sesungguhnya dia sangat hebat cintanya kepada harta yang banyak.

Selalunya, jikalau seseorang itu mempunyai banyak harta yang telah dikumpulkan dan jika harta itu kalau tidak dibahagikan dengan sebaiknya dan mengikut apa yang telah diajar oleh Allah ‎ﷻ, maka boleh menimbulkan kacau bilau dalam keluarga. Kita pun sudah tahu bagaimana hal harta benda ini boleh memecah belahkan ahli keluarga yang terdekat. Kesannya amat besar sekali. Maka kena berhati-hati dalam hal harta juga.

 

الْوَصِيَّةُ لِلوٰلِدَينِ

hendaklah dia berwasiat kepada kedua ibubapanya

Jika dia akan meninggalkan harta, dia hendaklah pesan dan wasiat bagaimana harta itu hendak dibahagikan.

Ini terjemahan pertama ayat ini: seseorang yang hampir mati hendaklah mewasiatkan supaya hartanya dibahagikan mengikut faraid. Ini kerana penerima pusaka (ahli keluarga) tidak boleh menerima wasiat. Maka dia kena ingatkan orang yang menguruskan hartanya supaya membahagikan hartanya itu mengikut hukum Faraid. Jangan pula ikut cara lain seperti pembahagian harta mengikut Adat Perpatih, jangan beri sama rata kepada ahli keluarga dan sebagainya. Oleh kerana undang-undang pembahagian harta telah ditetapkan, maka kena ikut.

Tafsir yang kedua pula mengatakan memang ayat ini merujuk kepada wasiat harta kepada ibu dan bapanya. Akan tetapi ada hadith yang diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
“Sesungguhnya Allah telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
(Riwayat Abu Daud No. 2870, Ibn Majah No. 2210, dan Ahmad No. 286)

Kerana itulah ada pendapat yang mengatakan ayat ini telah dimansukhkan dengan ayat Nisa’:11

وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وٰحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ فَإِن كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ
Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang daripada keduanya: satu perenam daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.

Di dalam Nisa’:11 ini telah disebut dengan jelas bahagian faraid bagi ibubapa. Kerana itu ada pendapat yang mengatakan ayat Baqarah:180 ini telah dimansukhkan. Akan tetapi pendapat yang lain dan lebih mengatakan ia tidak dimansukhkan. Ayat Baqarah: 180 ini masih lagi boleh digunakan untuk mewasiatkan harta kepada ibubapa yang bukan Muslim. Ini kerana non-Muslim tidak boleh mewarisi harta daripada orang Islam. Ini seperti telah disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda:

لاَ يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَلاَ الكَافِرُ المُسْلِمَ
Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir daripada seorang Muslim.
(Hadith Riwayat Bukhari No. 6764 dan Muslim No. 1614)

Oleh kerana ibubapa non-Muslim tidak boleh mewarisi harta anaknya melalui faraid, maka seorang anak yang tentu menyayangi ibubapanya boleh berwasiat untuk mereka. Cuma wasiat hanya setakat 1/3 harta sahaja. Ini supaya tidak menzalimi pewaris. Sebab kalau beri banyak sangat, maka ia akan mengurangkan harta pusaka. Dalilnya adalah hadith yang diriwayatkan daripada Saad bin Abi Waqas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa dia bertanyakan Rasulullah ﷺ bolehkah dia berwasiat seluruh dan separuh hartanya tetapi dilarang. Sabda Rasulullah ﷺ:

فَالثُّلُثُ، وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ، إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ
Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun sudah banyak. Sesungguhnya, jika engkau tinggalkan waris dalam keadaan kaya atau cukup, lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan manusia.
(Hadith Riwayat Bukhari No. 2742 dan Muslim No. 1628)

 

 

وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ

dan kerabatnya yang terdekat dengan cara yang baik dan sesuai;

Ini pula adalah bagi ahli keluarga yang terdekat seperti pakcik dan makcik. Jadi, ada dua tafsir bagi ayat ini. Tafsiran pertama tadi mengatakan kena wasiat (kena pesan bagi ingat) supaya ahli keluarga mengikut Hukum Faraid. Tafsir kedua ini mengatakan, kalau keluarga dia ada yang kafir, masih boleh mewasiatkan harta kepada mereka. Namun kena ingat yang ia hanya boleh diwasiatkan kepada asbabul furu’ sahaja. Iaitu mereka yang sepatutnya boleh menerima harta pusaka itu kalau mereka itu Muslim. Patutnya dia dapat tetapi tidak boleh terima disebabkan berlainan agama. Mengikut pendapat ini tidak boleh berwasiat kepada orang lain pula.

Ada juga pendapat yang kata boleh wasiat kepada sesiapa sahaja. Sebagai contoh, kepada anak tiri, anak angkat, malah kepada orang lain pun. Mungkin dia hendak beri kepada mana-mana persatuan contohnya.

Perkataan بِالْمَعْرُوفِ di sini bermaksud ikut syariat. Maka boleh wasiat kepada ahli keluarganya yang kafir itu, namun setakat 1/3 daripada keseluruhan hartanya. Tidak boleh lebih daripada itu. Ini difahami daripada hadith yang kita telah kongsikan di atas.

Penerima pusaka tidak boleh menerima wasiat. Maka, kalau ada wasiat kepada anak beranak, wasiat itu tidak sah kerana hukum pembahagian harta pusaka sudah ada dalam ayat Al-Qur’an yang lain. Ini dinamakan Hukum Faraid. Malangnya, ada juga yang tidak mengikut pembahagian harta pusaka mengikut faraid. Sebagai contoh, ada negeri yang mengamalkan pembahagian harta mengikut Adat Perpatih. Maka, ketahuilah bahawa cara adat perpatih itu adalah ingkar kepada arahan Allah ‎ﷻ kerana mereka memberikan harta kepada waris perempuan sahaja. Adat Perpatih itu sebenarnya telah menolak beberapa ayat Al-Qur’an. Akan tetapi dek kerana tidak mementingkan ayat Al-Qur’an, maka ramai yang tolak dengan begitu sahaja.

Kalau harta itu diberi semasa hidup, tidak termasuk dalam harta pusaka (ini dipanggil hibah). Kalau hendak beri berapa banyak pun tidak mengapa. Oleh itu, kalau hendak beri kepada sesiapa yang kita kehendaki, berilah semasa kita hidup lagi. Jangan tunggu sudah hendak mati baru teringat hendak beri.

Namun begitu, eloklah kita ingat apakah yang sepatutnya kita ingatkan kepada anak-anak kita apabila kita sudah hampir mati. Ingatlah apa kata Nabi Ya’qub عليه السلام kepada anak-anaknya dalam ayat-ayat yang lepas. Baginda bertanya kepada anak-anaknya: “Apakah yang akan kamu sembah selepas aku tiada nanti?” Itu adalah soalan yang amat baik untuk ditanya. Kerana kata-kata terakhir yang kita sebut akan dipegang dan diingati oleh anak-anak lama selepas kita tidak ada. Maka kena ambil peluang itu untuk mengingatkan mereka tentang agama. Jangan hendak ingat tentang harta benda sahaja.

 

حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

Ini adalah satu ketetapan ke atas orang-orang yang bertaqwa;

Ini adalah tanggungjawab bagi orang yang takut dengan Allah ‎ﷻ. Mereka akan jaga tentang pembahagian harta supaya mengikut undang-undang yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Oleh itu, ayat ini masih lagi tentang taqwa. Perbincangan Surah Baqarah tidak lari daripada perjalanan mencapai taqwa.

Setelah membincangkan isu ini, ada baiknya kita bawakan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’ tentang berwasiat kepada ahli waris.

Pendapat pertama: Wasiat yang ditinggalkan kepada ahli waris adalah batil secara mutlak walaupun mendapat kebenaran daripada seluruh ahli waris. Ini adalah pendapat dalam mazhab Imam Malik, pendapat kedua dalam mazhab Imam asy-Syafi’e dan satu riwayat dalam mazhab Imam Ahmad.  (Lihat Hasyiyah ad-Dusuki, 4/427, Nihayah al-Muhtaj, 6/48), al-Mughni ma’a Syarh al-Kabir, 6/419).

Mereka berhujahkan dengan zahir hadith yang diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
“Sessungguhnya Allah telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
(Riwayat Abu Daud No. 2870, Ibn Majah No. 2210 dan Ahmad No. 286)

Pendapat Kedua: Wasiat yang ditinggalkan kepada ahli waris adalah sah jika mendapat persetujuan daripada ahli waris lain selepas kematian orang yang meninggalkan wasiat. Jika mendapat persetujuan hanya sebahagian daripada ahli waris, maka wasiat yang ditinggalkan hanya sah mengikut kadar ahli waris yang membenarkannya. Ini adalah pendapat muktamad dalam mazhab Imam asy-Syafi’e, mazhab Imam Ahmad dan satu pendapat dalam mazhab Imam Malik. (Lihat  al-Mu’tamad fi al-Fiqh asy-Syafi’e, 4/561, al-Fiqh al-Manhaji, 2/258, Hasyiyah ad-Dusuki, 4/427, al-Mughni, 6/419)

Hujah para fuqaha’ yang membenarkan wasiat kepada waris dengan syarat hendaklah ahli waris bersetuju dengan wasiat yang telah ditinggalkan mereka juga berhujahkan dengan hadith yang diriwayatkan  daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
“Sessungguhnya Allah telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
(Riwayat Abu Daud No. 2870, Ibn Majah No. 2210 dan Ahmad No. 286)

Apa yang dapat difahami melalui hadith ini adalah seperti berikut:

  • Pada permulaan Islam, wasiat kepada ahli waris adalah satu kewajipan terhadap ahli keluarga. Ini berlaku sebelum turunnya ayat-ayat pewarisan. Setelah ayat-ayat pewarisan diturunkan, wasiat kepada ahli waris dibatalkan, kecuali setelah mendapat persetujuan daripada ahli waris. Hadith ini diperincikan lagi dengan hadith yang lain yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :

لاَ تَجُوزُ الْوَصِيَّةُ لِوَارِثٍ إِلاَّ أَنْ يَشَاءَ الْوَرَثَةُ
“Tidak harus meninggalkan wasiat kepada waris kecuali dengan keizinan waris”
(Riwayat ad-Daruqutni No. 4295)

Imam as-Suyuti, Imam al-Baihaqi dan Imam ibn Mulaqqin رَحِمَهُ اللَّهُ menghukum hadith ini sebagai lemah, manakala Imam adz-Zahabi رَحِمَهُ اللَّهُ pula mengatakan sanad hadith ini baik dan Atho’ seorang yang soduq.


 

Baqarah Ayat 181: Kalau tidak dijaga isu-isu harta, boleh menyebabkan perpecahan antara keluarga. Sebab itu Allah ‎ﷻ beri penekanan dalam hal ini.

Wasiat tentunya cuma boleh dijalankan kalau ada orang dengar wasiat yang disampaikan oleh si mati itu. Selepas diberitahu tentang wasiat, perlaksanaan wasiat itu adalah atas tanggungjawab orang yang mendengarnya. Akan tetapi Allah ‎ﷻ sudah beritahu cara dan hukum kepada mereka yang mendengar wasiat itu. Allah ‎ﷻ memberitahu yang berdosa kalau ubahsuai wasiat itu dan dosanya ke atas orang yang ubahsuai.

فَمَنۢ بَدَّلَهُ ۥ بَعدَمَا سَمِعَهُ ۥ فَإِنَّمَآ إِثمُهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Sahih International

Then whoever alters the bequest after he has heard it – the sin is only upon those who have altered it. Indeed, Allah is Hearing and Knowing.

 

Malay

Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah dia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

فَمَنْ بَدَّلَهُ بَعْدَمَا سَمِعَهُ

Maka barangsiapa yang mengubah setelah dia mendengar wasiat itu;

Ayat ini tentang mereka yang mendengar wasiat itu, tetapi telah mengubah wasiat yang telah ditetapkan oleh yang memberi wasiat itu. Ini selalunya terjadi bagi wasiat guna mulut sahaja dan wasiat itu tidak dinotarikan. Sebab itu wasiat yang baik dibuat dengan cara undang-undang zaman moden ini yang menggunakan peguam. Barulah tidak ada isu diubah-ubah.

 

فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ

maka dosa itu adalah hanya kepada orang yang mengubah wasiat itu;

Hakim membuat keputusan berdasarkan apakah yang diberitahu oleh saksi. Kalau pendengar wasiat yang menipu, hakim tidak berdosa, yang berdosa adalah orang yang curang itu. Mereka yang mengubah wasiat itu akan dibalas kesalahan mereka itu di akhirat kelak. Orang yang telah berwasiat itu tidak berdosa kerana dia telah melaksanakan tanggungjawabnya.

 

إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar;

Allah ‎ﷻ mendengar segala perancangan jahat manusia. Jangan sangka Allah ‎ﷻ tidak tahu apa yang dilakukan oleh manusia. Manusia lain mungkin tidak tahu kita menipu, tetapi Allah ﷻ dengar sahaja setiap apa yang telah berlaku.

 

عَلِيمٌ

Maha Mengetahui;

Allah ‎ﷻ mengetahui siapa yang menukar wasiat itu. Manusia dan hakim mungkin tidak tahu, tetapi Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui.


 

Baqarah Ayat 182: 

فَمَن خَافَ مِن مُّوصٍ جَنَفًا أَو إِثمًا فَأَصلَحَ بَينَہُم فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sahih International

But if one fears from the bequeather [some] error or sin and corrects that which is between them, there is no sin upon him. Indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

 

Malay

Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu dia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

فَمَنْ خَافَ مِنْ مُّوصٍ

Barangsiapa yang takut terhadap pemberi wasiat itu;

Ini berkenaan orang yang memberi wasiat, iaitu orang yang sudah hampir mati itu. Ada yang mendengar menjadi saksi, tetapi dia nampak wasiat itu tidak benar, tidak adil.

 

جَنَفًا

tidak adil;

Mungkin orang yang memberi wasiat itu tidak adil, mungkin kerana dia tidak tahu hukum. Mungkin dia beri lebih daripada 1/3. Jadi dia tidak sengaja.

 

أَوْ إِثْمًا

atau orang itu memang hendak buat dosa;

Kalau جَنَفًا bermaksud pemberi wasiat itu buat kesalahan kerana tidak sengaja. Akan tetapi kalau إِثْمًا ia bermaksud pemberi wasiat itu sengaja membuat dosa. Contohnya, ada ayah yang tidak mengaku anak dia sampai dia wasiat supaya anak dia tidak dapat apa-apa daripada hartanya. Ini tidak boleh kerana anak kandung memang sudah layak menerima harta pusaka dan tidak boleh dihalang daripada menerimanya. Anak itu akan dapat juga bahagian faraid. Atau dia mewasiatkan sebahagian daripada hartanya untuk jalan keburukan – contohnya dia mewasiatkan belanja arak kepada orang lain apabila dia sudah mati nanti. Atau, dia wasiatkan lebih daripada 1/3 bahagian daripada hartanya. Ini tidak boleh kerana telah melebihi had.

 

فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ

maka dia yang memperbaiki kesilapan itu di antara mereka;

Jika ada yang tahu bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau hendak berbuat dosa, maka orang itu hendaklah mencari penyelesaian demi kebaikan penerima pusaka yang sebenar. Mungkin dia menegur pemberi wasiat itu atau dia memperbetulkan kerana dia ada kuasa. Jadi ini bermaksud tidaklah semua wasiat mesti diikuti. Kena periksa dengan hukum Allah ﷻ juga.

 

فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

maka tidak berdosalah ke atasnya;

Orang yang memperbaiki wasiat itu tidaklah bersalah. Malah perbuatannya ini terpuji sebenarnya. Memang itu yang dia patut lakukan. Jangan panjangkan kesalahan yang telah dilakukan oleh pelaku wasiat itu. Allah ﷻ sebut kerana mungkin ada yang takut hendak campur tangan dengan urusan wasiat orang lain yang dia menjadi saksinya atau dia yang menguruskan harta itu, maka Allah ﷻ legakan hatinya dengan memberitahu boleh mengubah wasiat itu.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih kepada makhluk.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ itu Maha menerima ampun daripada hamba-Nya. Mereka yang telah diterima ampun mereka tidak akan diazab di akhirat kelak.

Habis Ruku’ 22 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Disember 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment