Baqarah Ayat 167: Apa pula kata pengikut mereka yang sesat? Mereka itu telah sesat kerana telah mengikut guru mereka yang sesat. Sekarang disebut penyesalan mereka pula.
وَقالَ الَّذينَ اتَّبَعوا لَو أَنَّ لَنا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنهُم كَما تَبَرَّءوا مِنّا ۗ كَذٰلِكَ يُريهِمُ اللَّهُ أَعمٰلَهُم حَسَرٰتٍ عَلَيهِم ۖ وَما هُم بِخٰرِجينَ مِنَ النّارِ
Those who followed will say, “If only we had another turn [at worldly life] so we could disassociate ourselves from them as they have disassociated themselves from us.” Thus will Allah show them their deeds as regrets upon them. And they are never to emerge from the Fire.
Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!” Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.
وَقَالَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا
Dan berkata orang-orang yang mengikuti;
Kali ini yang berkata adalah mereka yang mengikuti tok guru ajaran salah semasa di dunia. Dulu semasa di dunia, mereka tidak periksa pun sama ada amalan tok guru mereka benar atau salah. Sekarang mereka sudah menyesal.
لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً
“Kalaulah kami ada peluang untuk kembali semula ke dunia”
Ini adalah khayalan semata-mata. Tidak akan ada peluang untuk kembali ke dunia. Banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Qur’an berkenaan golongan yang menyesal dan hendak pulang ke dunia kembali. Namun ini tidak mungkin kerana dunia telah hancur. Banyak kali disebut tentang keinginan ahli neraka hendak kembali ke dunia seperti di dalam Sajdah:12
وَلَو تَرىٰ إِذِ المُجرِمونَ ناكِسو رُءوسِهِم عِندَ رَبِّهِم رَبَّنا أَبصَرنا وَسَمِعنا فَارجِعنا نَعمَل صٰلِحًا إِنّا موقِنونَ
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
Dan di dalam Fatir:37 mereka yang meminta untuk kembali itu dihina,
وَهُم يَصطَرِخونَ فيها رَبَّنا أَخرِجنا نَعمَل صٰلِحًا غَيرَ الَّذي كُنّا نَعمَلُ ۚ أَوَلَم نُعَمِّركُم مّا يَتَذَكَّرُ فيهِ مَن تَذَكَّرَ وَجاءَكُمُ النَّذيرُ ۖ فَذوقوا فَما لِلظّٰلِمينَ مِن نَّصيرٍ
Dan mereka berteriak di dalam neraka itu: “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami nescaya kami akan mengerjakan amal yang saleh berlainan dengan yang telah kami kerjakan”. Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun.
Dan di dalam Mukminoon:106-108 mereka sudah tidak diberi peluang lagi untuk bercakap meminta kembali ke dunia dan disuruh diam
قالوا رَبَّنا غَلَبَت عَلَينا شِقوَتُنا وَكُنّا قَومًا ضالّينَ
Mereka berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami, dan adalah kami orang-orang yang sesat.
رَبَّنا أَخرِجنا مِنها فَإِن عُدنا فَإِنّا ظٰلِمونَ
Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (dan kembalikanlah kami ke dunia), maka jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim”.
قالَ اخسَئوا فيها وَلا تُكَلِّمونِ
Allah ﷻ berfirman: “Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.
Allah ﷻ hendak beritahu, eloklah buat kebaikan dan jaga agama semasa hidup ini lagi, kerana sudah tidak ada peluang kedua di akhirat. Kena berhati-hati tentang ilmu agama. Jangan ambil mudah tentang agama – ada ustaz itu kata ini boleh, itu boleh, kamu terus ikut sahaja. Nanti kamu menyesal tidak sudah.
فَنَتَبَرَّأَ مِنهُم كَما تَبَرَّءوا مِنّا
“tentu kami akan melepaskan diri dari mereka sepertimana mereka sekarang melepaskan diri dari kami pada hari ini”;
Kalau mereka ada peluang kembali, mereka bertekad untuk berlepas diri daripada guru-guru mereka atau ikutan-ikutan salah mereka semasa di dunia dahulu. Sebelum ini telah disebut pemimpin dan tok guru itu yang berlepas diri dari mereka (إِذ تَبَرَّأَ الَّذينَ اتُّبِعوا مِنَ الَّذينَ اتَّبَعوا) maka sekarang disebut yang mengikut pun akan ambil langkah yang sama. Kejadian ini terjadi di Padang Mahsyar. Mereka sangka guru-guru itu akan membela mereka, tetapi tidak. Guru-guru itu pun ada masalah mereka sendiri. Bila mereka tengok mereka telah dilepaskan terkontang kanting, maka mereka pun kata kalau mereka ada peluang, mereka pun hendak berlepas diri dari guru sesat mereka itu.
كَذٰلِكَ يُريهِمُ اللَّهُ أَعمٰلَهُم حَسَرٰتٍ عَلَيهِم
Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amalan-amalan mereka itu menjadi bahan penyesalan ke atas mereka;
Allah ﷻ cerita kejadian ini sebab hendak beritahu betapa mereka amat menyesal pada hari akhirat nanti. Amalan-amalan mereka dahulu, mereka amat bangga. Mereka amalkan setiap hari. Mereka rasa bangga sebab mereka dapat belajar amalan-amalan yang guru mereka beri ‘khas’ kepada mereka. Mereka pun tidak tahu dari mana amalan itu asalnya, tetapi bila guru bagi, mereka berasa bangga sungguh. Mereka amalkan sampai tidak tidur malam. Kalau ada orang tegur amalan itu salah, mereka akan melenting. Macam-macam kata nista mereka akan keluarkan untuk mempertahankan amalan salahnya itu.
Namun apa akan jadi dengan amalannya itu? Mereka akan menyesal kerana belajar daripada guru yang salah itu yang telah mengajar mereka amalan-amalan yang salah. Antaranya guru-guru itu mengajar cara melakukan tawassul yang mereka kata baik. Mereka juga akan menyesal kerana mengamalkan amalan-amalan salah dan sesat itu.
Allah ﷻ akan tunjukkan kepada mereka amalan-amalan yang salah semasa di dunia dahulu sebagai salah satu seksa kepada mereka. Sudahlah diseksa dengan bahan api dan pukulan dan sebagainya, sekarang ditambah lagi dengan seksaan mental dengan ditunjukkan apakah perbuatan mereka yang menyebabkan mereka masuk neraka itu.
Perkataan حَسَرَاتٍ itu bukan sahaja bermaksud ‘menyesal’ tetapi menyesal dan menyesal dan menyesal tanpa sudah. Kerana tidak boleh dibaiki lagi.
وَمَا هُمْ بِخٰرِجِينَ مِنَ النَّارِ
Dan mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka.
Penyesalan mereka itu tidak akan dapat mengeluarkan mereka dari neraka. Kalau di dunia, ada orang yang buat salah dan menyesal dengan kesalahan mereka, kita akan lembut hati dan beri mereka peluang. Namun ini tidak akan berlaku di neraka nanti. Sesallah macam mana pun, mereka tidak akan diberi peluang untuk kembali ke dunia untuk baiki kesalahan mereka. Jadi untuk selamat, kita kena perbaiki amalan dan akidah kita semasa di dunia ini lagi.
Habis Ruku’ 20 dari 40 surah ini
PERINGATAN TENTANG SYAITAN
Baqarah Ayat 168: Ayat 168 – 176 memberitahu kita yang hukum halal dan haram itu adalah hak Allah ﷻ dan bukan hak makhluk. Prinsip yang dipegang ialah hukum itu apa yang diturunkan Allah ﷻ. Bukan berdasarkan tradisi atau mengikut nilai masyarakat.
Kita juga diajar yang tidak boleh sembunyikan hukum Allah ﷻ. Kelak nanti diancam dengan azab neraka. Oleh itu ayat ini adalah berkenaan hukum halal dan haram. Termasuk bab berpantang dalam bersalin dan sebagainya. Ia membantah amalan mengamalkan pantang kepada benda yang halal. Ataupun menghalalkan benda yang haram. Itu semua adalah perbuatan yang kufur kerana ia melibatkan perkara akidah. Sebagai contoh, kalau ada yang kata tidak boleh minum susu atas sebab-sebab tertentu, contohnya pantang bersalin, pantang kerana mengamalkan ilmu wirid khas dan sebagainya. Kalau ada sebab yang boleh diterima akal, seperti sebab-sebab kesihatan, tidak mengapa.
Kenapa tiba-tiba Allah menceritakan tentang bab makan pula? Kerana manusia menolak kebenaran kerana menjaga perut. Mereka mementingkan keduniaan supaya perut mereka berisi. Maka manusia diajar supaya apabila mengisi makanan dalam perut, mestilah yang halal dan baik, bukan pakai terima sahaja dan masukkan ke dalam mulut. Jangan makan makanan yang bersumberkan korupsi. Maka sekarang Allah mengajar tentang makanan jasmani setelah sebelum ini disebut tentang makanan rohani.
يَـٰٓأَيُّهَا النّاسُ كُلوا مِمّا فِي الأَرضِ حَلٰلًا طَيِّبًا وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ
O mankind, eat from whatever is on earth [that is] lawful and good and do not follow the footsteps of Satan. Indeed, he is to you a clear enemy.
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
يَـٰٓأَيُّهَا النَّاسُ
Wahai manusia semua sekali;
Ayat ini ditujukan kepada semua manusia, tidak kira sama ada orang kafir atau Islam. Ini adalah satu dalil yang mengatakan bahawa Al-Qur’an ini bukan untuk orang Islam sahaja. Ia adalah mesej sejagat kerana kadang-kadang Allah ﷻ bercakap terus kepada manusia keseluruhannya. Kadang-kadang Allah ﷻ bercakap kepada orang beriman, kadang-kadang kepada Bani Israil dan sebagainya.
Tapi persoalannya orang bukan Muslim bukannya baca pun ayat ini, jadi bagaimana mereka akan tahu? Itulah kerja kita sebagai umat Islam yang sepatutnya dijalankan oleh semua dari kita. Tapi seperti biasa, kita tidak buat kerja kita.
Mesej ini juga diberikan kepada mereka yang masih tidak mahu lagi masuk Islam walaupun mereka tahu Islam itu adalah agama yang benar. Mereka takut masuk Islam sebab takut apa yang akan dikatakan oleh keluarga mereka, masyarakat mereka dan mereka tidak mahu meninggalkan kebiasaan yang mereka telah lakukan. Kalau di Malaysia ini ada yang takut nama mereka kena tukar kepada nama Melayu, padahal itu tidak benar kerana mereka boleh sahaja mengenalkan nama bangsa mereka. Malah mereka tidak perlu masuk ‘Melayu’ pun. Jadi umat Islam di negara ini sedang tidak melakukan kerja kerana benda macam ini pun non-Muslim di negara kita tidak tahu.
كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ
Makanlah daripada apa yang ada di bumi
Ayat ini dikeluarkan selepas ayat tentang ikut mengikut orang lain sebelum ini. Ini kerana kalau kita mengikuti orang lain tanpa usul periksa, lama-kelamaan kita akan buat sesuatu yang tidak halal. Mereka sudah tidak hiraukan sempadan yang telah diberikan oleh Allah ﷻ. Yang mereka kisah adalah apa yang dikatakan oleh kumpulan-kumpulan mereka. Mereka hendak menjadi seperti ketua-ketua atau model-model ikutan mereka. Kita boleh mengikuti orang lain, tetapi jangan melepasi halangan yang Allah ﷻ telah tetapkan.
Antara masalah besar yang dibuat oleh orang Islam sekarang adalah majlis perkahwinan. Sudah macam majlis perkahwinan agama lain. Kita pun sudah tidak tahu sama ada orang yang berada dalam majlis itu adalah orang Islam atau tidak kerana ada perkara-perkara yang haram di dalamnya. Percampuran lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menutup aurat, muzik yang tidak baik. Itu belum lagi dikira dengan amalan-amalan syirik dalam majlis persandingan. Mereka tidak sedar bahawa apabila mereka bersanding, mereka mengikut apa yang diamalkan oleh agama Hindu. Persandingan itu adalah mengenang perkahwinan Dewa Sri Rama dan Sita Devi. Orang Hindu mengabadikan peristiwa itu dalam bentuk patung yang sama macam persandingan. Orang Hindu mengamalkan bersanding sebagai mengikut perkahwinan dewa mereka itu. Kalau mereka amalkan itu adalah syirik, tidakkah kalau kita pun ikut sama, kita tidak syirik? Adakah Allah ﷻ berat sebelah? – Mereka mengamalkan syirik, tetapi kalau kita amalkan tidak menjadi syirik pula?
Ayat sebelum ini tentang kejadian apa yang akan terjadi kepada mereka yang tidak mengikut ajaran Islam semasa di dunia. Maka, sekarang Allah ﷻ memberikan kita nasihat tentang apakah yang perlu kita lakukan di dunia kalau tidak mahu mendapat nasib yang buruk di akhirat nanti.
Allah ﷻ selalu bertukar daripada menceritakan tentang akhirat dan dunia. Kejap Allah ﷻ akan bercerita tentang akhirat, sekejap Allah ﷻ tukar kepada dunia pula. Supaya kita dapat selamat di dunia dan di akhirat.
Lafaz كُلُوا (makanlah kamu) dalam ayat ini bukanlah arahan untuk kita ‘kena’ makan. Allah ﷻ tidak paksa kita makan. Cuma kita kena ada iktikad yang benda-benda itu boleh dimakan. Mungkin kita tidak suka makan, tidak mengapa kalau kita tidak makan pun. Cuma ulama’ kata kalau pernah kita pantangkan kepada diri kita sebelum ini, maka kena makan sekali untuk membatalkan pantang yang diamalkan sebelum ini.
حَلٰلًا طَيِّبًا
yang halal lagi baik;
Apakah yang dimaksudkan dengan halal lagi baik? Sebagai contoh, kita ambil binatang sembelihan. Lembu itu memang kita tahu halal untuk dimakan. Tidak semua yang ada di dunia- automatik halal dimakan atau digunakan. Allah menciptakan ular berbisa, bukan untuk dimakan, tetapi antara lain untuk digunakan bisanya sebagai ubat. Ada burung-burung yang diciptakan-Nya untuk memakan serangga yang merosak tanaman. Dengan demikian, tidak semua yang ada di bumi menjadi makanan yang halal, kerana bukan semua yang diciptakan untuk dimakan manusia, walaupun semua untuk kepentingan manusia. Karena itu, Allah memerintahkan untuk makan makanan yang halal.
Bagaimana untuk kita tahu sesuatu makanan itu halal? Secara asasnya, di antara kaedah yang diletakkan oleh para fuqaha adalah kaedah “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus”. Ini disebutkan oleh beberapa ulama di dalam kitab-kitab mereka seperti Imam al-Suyuthi yang berkata:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة
Asal bagi sesuatu perkara adalah harus.
Kata Imam al-Suyuthi Rahimahullah apabila menyebutkan kaedah ini: ‘’Inilah mazhab kami (al-Syafi’eyyah)’’. Berdasarkan kepada kaedah di atas, ia menunjukkan bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus. Justeru, ia boleh menyebabkan berlakunya salah faham di sisi sebahagian masyarakat. Ada yang rasa semua makanan adalah halal, tapi kita sepatutnya kena periksa dahulu adakah ia halal atau haram. Sebagai contoh, sebelum memakan daging, kena tanya adakah ia telah disembelih atau tidak? Ini kerana hukum asal bagi sembelihan atau daging adalah haram. Jadi, tidak halal suatu sembelihan itu kecuali kita mengetahui bahawa ia disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Di antara perkataan atau pendapat ulama dalam ketetapan hukum asal ini adalah sebagaimana berikut:
Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa jika timbul suatu syak atau keraguan pada sembelihan yang menghalalkan haiwan itu, maka ia tidak halal untuk dimakan kerana hukum asalnya adalah haram dan perkara ini tidak ada khilaf padanya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/78).
Baik, itu serba sedikit tentang maksud ‘halal’. Maksud ‘baik’ itu pula, bermaksud cara mendapatkan makanan itu juga adalah halal, sebagai contoh ia bukan lembu curi. Maknanya pemilikan makanan itu pun kena halal juga. Kalau halal, tetapi barang yang telah dicuri, tidak baik – ia haram juga kerana ia adalah hasil daripada curian.
Bukan sahaja tidak boleh makan makanan yang dicuri, kalau dibeli dengan harta yang cara mendapatnya haram, maka makanan itu juga haram jadinya. Kadang-kadang kita lupa untuk menimbang sama ada rezeki yang kita dapati itu adalah daripada sumber yang halal atau tidak. Walaupun kita makan makanan yang pada dasarnya halal, tetapi kalau cara kita mendapatkannya adalah dengan cara yang haram, maka ia adalah haram untuk kita makan. Contohnya, kita dapat rezeki itu dengan cara menipu hak orang lain. Kalau kita dapat cara menipu, maka ia adalah rezeki yang haram. Atau kalau buat benda haram seperti jual tangkal, cincin azimat; atau mengajar benda yang salah; kalau jadi bomoh hantar santau kepada orang lain. Begitu juga kalau kita membelinya dengan wang hasil riba.
Kalau binatang ternak, cara memakan binatang ternak itu pun kenalah betul – kena sembelih dengan cara yang betul. Kalau kita pakai contoh lembu tadi, memanglah halal, tetapi kalau dimatikan dengan cara diketuk sampai mati, tidak boleh makan juga. Atau setelah disembelih, terus dimakan tanpa dimasak, sakitlah perut nanti kerana ia tidak ‘baik’. Kadang-kadang ada makanan yang halal bagi kita, tapi tidak ‘baik’. Sebagai contoh gula itu halal, tapi kalau dimakan banyak, ia tidak baik. Daging kambing juga halal, tapi bagi sesetengah orang ia tidak baik kerana ia mengandungi banyak lemak dan ia tidak baik bagi orang yang ada penyakit. Jadi ia bergantung kepada individu juga kerana ada makanan yang baik bagi sesetengah orang tapi tidak baik bagi orang lain.
Apakah bahaya kalau bahan makanan yang kita masukkan ke dalam perut kita tidak halal atau tidak baik, atau kedua-duanya sekali? Kesannya adalah doa kita tidak dimakbulkan sedangkan kita berharap sangat doa kita makbul kerana banyak keperluan kita dengan Allah. Kalau Allah tidak beri, bagaimana? Dalil bagi perkara ini adalah dari hadis daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, dia berkata:
ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِىَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
“…Kemudian Nabi saw menceritakan tentang seorang lelaki yang telah menempuh perjalanan jauh (musafir), sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?”
(Sahih Muslim)
Syarah: Berkata Imam Wahab bin Munabbih rahimahullah: “Siapa yang ingin doanya dimakbulkan oleh Allah swt, maka perbaikilah makanannya“.
Negara Islam sepatutnya adalah negara yang memudahkan mencari benda yang halal daripada yang haram. Sepatutnya di negara yang Islam, susah untuk dicari benda yang haram. Namun malangnya, walaupun Malaysia ini dikatakan sebagai negara Islam dan penduduknya ramai yang Muslim, tetapi benda yang haram masih lagi senang didapati. Kita bukan cakap tentang makanan sahaja, tetapi benda-benda lain juga. Banyak hiburan-hiburan yang haram bersepah di negara ini.
Islam mengajak kepada perkara yang halal lagi baik kerana ia adalah baik untuk semua orang. Bukan untuk orang Islam sahaja. Sebab itu ayat ini dimulakan dengan seruan kepada seluruh manusia. Contohnya berkenaan riba. Islam mengharamkan riba kerana ia adalah satu cara perniagaan yang tidak adil. Riba menyusahkan semua orang, bukan orang Islam sahaja. Ekonomi negara runtuh, ada rakyat yang jadi gelandangan adalah kerana riba. Kerana mereka terbelit dengan riba dan tidak dapat keluar dari kancang itu. Kalaulah pakar ekonomi mengkaji dengan jujur, mereka akan nampak bahawa ia adalah buruk untuk ekonomi dunia. Memang sudah ada pakar ekonomi yang mengkaji dan ada yang masuk Islam kerana mereka nampak kebaikan yang dibawa oleh Islam dengan pengharaman riba ini. Pada zaman sekarang, sudah ada institusi kewangan dan bank yang mengamalkan konsep bank tanpa riba walaupun mereka bukan Muslim.
Di awal surah ini kita baca yang ayat ini ditujukan kepada semua manusia, bukan umat Islam sahaja. Jadi ini memberitahu kita yang non-Muslim juga tidak boleh makan makanan haram. Mereka sahaja sekarang ini setiap hari melakukan perkara haram. Jadi bukanlah bermakna apabila mereka non-Muslim, mereka boleh makan apa sahaja. Jadi salahlah pegangan sesetengah golongan kita. Ada yang jumpa babi di dalam hutan, kemudian jual kepada non-Muslim dengan berkata: “kau bukan orang Islam, jadi bolehlah makan…”. Ini salah! Mereka tetap tidak boleh makan dan kita tidak boleh jual makanan haram kepada mereka!
وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِ
dan janganlah sekali-kali kamu ikuti jejak langkah syaitan;
Kita diingatkan supaya jangan mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan campur tangan dalam hal halal haram. Mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Syaitan suka kalau kita makanan benda yang haram kerana hati akan gelap dan senang mereka menyesatkan kita. Oleh itu jangan kita ikut bisikan daripada mereka. Merekalah yang mengajar sesetengah puak yang mereka tidak boleh makan sesetengah makanan kerana ia tidak akan terjadi sendiri tetapi kerana Syaitan yang membisikkan idea itu kepada mereka. Malah syaitan akan ajar bagaimana hendak jawab kalau kita tegur mereka kenapa haramkan itu dan ini? Adakah hujah-hujah karut dari mereka kerana diajar oleh syaitan.
Kerana syaitanlah yang membisikkan supaya menghalalkan yang haram, dan mengharamkan yang halal. Sebagai contoh, apabila orang Melayu bersalin, mereka diberitahu oleh bidan-bidan bahawa mereka tidak boleh makan ayam. Namun kepada orang Cina, disuruh makan ayam pula supaya badan menjadi kuat semula. Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang bersalin, tetapi kita orang Melayu, tidak boleh makan benda-benda yang berzat pula. Itu mereka namakan sebagai ‘pantang’. ‘Berpantang’ itu adalah perkara yang syirik kerana ikut cakap tok bidan yang mengharamkan benda-benda makanan. Kita tidak tahu pun kenapa kita tidak boleh makan makanan yang dipantangkan itu. Kita ikut sahaja kata orang-orang tua tanpa usul periksa.
Sepatutnya, yang boleh mengharamkan apakah yang tidak boleh dimakan adalah hanya Allah ﷻ sahaja, tetapi kita terima pula larangan bidan itu, atau kata orang-orang lain. Syaitan amat suka kalau kita mengharamkan yang halal kerana itu sudah perbuatan mengambil kerja Allah ﷻ dan ia adalah syirik. Namun tentu kalau kita mengatakan salah kalau mengamalkan ‘pantang’, kita akan dimarahi dan dikata macam-macam tohmahan. Jadi, kita malu kalau tidak berpantang. Kita takut kepada orang yang jahil.
Contoh lain yang manusia haramkan sesetengah makanan kepada mereka adalah kerana keturunan. Kononnya keturunan mereka tidak boleh makan makanan ini dan itu. Sebagai contoh, ada golongan di Kelantan yang tidak boleh makan Ikan Kacang. Contoh satu lagi adalah golongan-golongan yang mengamalkan wirid-wirid khas. Guru mereka akan ajar anak murid, kalau hendak mengamalkan wirid-wirid itu, tidak boleh makan makanan berdarah, atau ada lagi pantang-pantang mereka yang lain yang pelik-pelik. Itu semua rekaan sahaja.
Mula-mula syaitan hanya boleh membisikkan kepada kita untuk melakukan kesalahan. Kalau kita sudah mula mengikut bisik-bisikan itu, syaitan sudah boleh mengarahkan kita buat sesuatu yang jelas salah. Kita sudah tidak rasa kita buat perkara yang haram kerana kita dari dahulu lagi kita sudah mula membuat perkara-perkara yang salah sedikit demi sedikit. Lama-lama perbuatan dosa itu sudah sebati dengan kita. Kita rasa macam tidak ada apa sahaja kalau buat benda yang salah.
Menurut tafsiran dari Ikrimah, langkah-langkah syaitan ialah segala rayuan syaitan. Menurut Qatadah: “Segala maksiat yang dikerjakan, adalah itu dari langkah-langkah yang ditunjukkan syaitan.” Menurut said bin Jubair ialah segala perbuatan buruk yang dibagus-baguskan oleh syaitan.
Menurut riwayat Abd bin Humaid dari Ibnu Abbas: “Bahkan segala sumpah-sumpah yang timbul kerana sedang marah, adalah termasuk langkah langkah syaitan juga. Kaffarah (denda) sumpah kerana marah itu ialah denda sumpah biasa.”
Malahan menurut Ibnu Mas’ud, misalnya kita haramkan untuk diri kita sendiri suatu makanan yang dihalalkan Allah, itu pun termasuk menuruti langkah-langkah syaitan.
Ibnu Qaiyim menyatakan langkah-langkah syaitan adalah:️
i. mengajak manusia syirik pada Allah
ii. kalau tidak berjaya, mereka akan mengajak manusia jadi ahli bid’ah – amalan sia sia & tidak bertaubat (kerana sangka mereka sedang melakukan perkara yang baik)
iii. kalau tidak berjaya, mereka akan ajak manusia buat dosa besar (contohnya derhaka ibu bapa)
iv. kalau manusia tidak buat dosa besar, mereka akan bisikkan supaya buat dosa kecil secara berterusan (supaya hati manusia itu menjadi keras)
v. kalau tidak berjaya juga, syaitan akan sibukkan manusia dengan buat perkara yang harus dan tinggalkan perkara yang sunat
vi. kalau itu tidak berjaya, mereka akan hasut manusia buat perkara yang kurang afdhal tinggalkan yang lebih afdhal
إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang jelas nyata;
Kenapa syaitan dikatakan musuh yang nyata sedangkan mereka itu ghaib pada pandangankita? Kerana mereka tidak menyembunyikan kebencian mereka terhadap anak Adam. Kalau musuh kita dari kalangan manusia, kadangkala kita tidak tahu pun mereka musuh kerana mereka menyembunyikannya dan tidak mengaku. Akan tetapi iblis telah berjanji di hadapan Allah ﷻ untuk menyesatkan anak cucu Adam عليه السلام. Manusia pertama pun iblis sudah cuba sesatkan. Dan jangan lupa iblis berjaya sesatkan melalui makanan iaitu memakan buah/pokok yang terlarang. Maka syaitan tidak pernah berhenti berusaha untuk menyesatkan kita dari dahulu sampai sekarang. Sampai kiamat mereka tidak akan berhenti.
Mereka pula lebih banyak bilangannya daripada kita. Syaitan itu sembilan kali ganda bilangan mereka daripada bilangan kita. Kalau kita boleh nampak mereka dengan nyata, kita pun tidak boleh hendak hidup kerana mereka ada di mana-mana.
Mereka lambat mati kalau dibandingkan dengan kita. Kalau umur 300 tahun itu, masih dalam kategori budak lagi dalam alam jin dan syaitan. Jadi, banyak yang mereka boleh buat untuk menyesatkan kita kerana mereka banyak pengalaman.
Jadi bunyi macam hebat pula puak-puak syaitan ini, bukan? Maka bolehkah kita selamat dari mereka? Dengan izin Allah, boleh. Kita kena belajar agama untuk kita kawal diri kita supaya tidak terus terjebak dengan bisikan syaitan. Dan jangan kita anggap mereka kuat kerana Allah telah beritahu yang tipudaya mereka lemah seperti disebut di dalam Nisa’:76
إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطٰنِ كَانَ ضَعِيفًا
sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 14 Disember 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

bagus
LikeLike