SABAR DI WAKTU SUSAH
Baqarah Ayat 153: Ayat 153 – 158 adalah Perenggan Makro berkenaan Syariat Haji dan Umrah. Mengerjakan Haji dan Umrah ada unsur-unsur infaq dan jihad iaitu menyediakan bekalan, korban masa, tenaga, harta. Lebih-lebih lagi zaman dahulu kalau pergi belum tentu akan pulang.
Latihan tazkiyah yang telah disebutkan adalah dengan berzikir kepada Allah dan yang kedua adalah bersyukur. Latihan tazkiyah yang ketiga adalah dengan sabar. Sabar ini adalah amalan hati dan sabar ini banyak peringkat dan sebab itu Allah ﷻ sebut banyak kali dalam Al-Qur’an supaya dapat dijelaskan semua peringkat itu. Oleh itu di dalam ayat ini, Allah ﷻ mengajar tentang sabar dalam doa kerana ada hubungan yang amat rapat antara sabar dan doa. Ini kerana sabar tanpa doa tidak akan tahan lama.
Di dalam ayat-ayat sebelum ini disebut tentang isu perpindahan kiblat. Antara yang mengganggu fikiran umat Islam ketika itu adalah kata-kata orang zalim yang menyebabkan sakit hati dan resah gelisah. Maka Allah ajar bagaimana untuk menangani masalah yang sebegitu dan apa-apa sahaja masalah yang datang kepada kita.
Maknanya Allah ajar cara berdoa di dalam ayat ini. Maknanya cara berdoa pun Allah ajar di dalam Al-Qur’an dan ditunjuk contohnya oleh Rasulullah. Kerana kalau tidak diajar dan manusia fikir dan reka sendiri cara berdoa, memang akan mengarut jadinya. Dan sebab terbesar manusia buat syirik adalah melalui kesalahan berdoa. Kerana itulah banyak kesesatan adalah bab doa seperti minta kepada Nabi, jin, wali dan malaikat. Ini adalah pintu-pintu kesesatan jenis syirik yang banyak manusia lakukan, termasuklah umat Islam sekali pun. Maka Allah ajar doa di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an seperti ayat ini Dan paling banyak disebut di dalam rentetan Surah Ghafir sampailah ke Surah Ahqaf.
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا استَعينوا بِالصَّبرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ
O you who have believed, seek help through patience and prayer. Indeed, Allah is with the patient.
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا
Wahai orang-orang yang beriman;
Ayat ini ditujukan kepada mereka yang ‘beriman sempurna’, iaitu mereka yang tidak berbuat syirik kepada Allah ﷻ.
اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ
kalian pohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar;
Pemahaman daripada ayat ini adalah kita disuruh untuk minta bantuan kepada Allah ﷻ dengan cara menahan diri daripada memberitahu kepada makhluk apakah masalah yang kita hadapi. Sebaliknya kita mengadu kepada Allah ﷻ sahaja dan kurangkan mengadu kepada manusia. Pengharapan kita kena lebih tinggi kepada Allah ﷻ.
Perkataan اسْتَعِينُوا itu bermaksud ‘meminta pertolongan’. Lebih tepatnya lagi, ia bermaksud kita meminta pertolongan apabila kita tidak mampu melakukan sesuatu seorang diri. Walaupun begitu, semasa kita meminta pertolongan itu, kita juga ada melakukan usaha kita sendiri. Bukanlah kita meminta pertolongan kepada seseorang, tetapi kita tidak melakukan apa-apa pun. Contohnya, kita meminta tolong orang untuk menukar tayar kereta kita yang telah pecah di jalan raya. Takkan kita duduk sahaja dalam kereta sambil orang yang tolong kita itu sedang menukarkan tayar itu, bukan? Tentulah kita pun perlu melakukannya bersama-sama. Begitulah dalam kita meminta pertolongan kepada Allah ﷻ. Begitulah kena ada usaha daripada kita juga. Sebagai contoh, Allah ﷻ telah membantu tentera Badr dengan menghantar malaikat untuk menolong mereka. Namun tidaklah para sahabat duduk diam menunggu sahaja malaikat yang berperang dengan orang kafir.
Pertolongan yang sebenarnya adalah daripada Allah ﷻ. Maka kita hendaklah bersabar dalam semua perkara kerana pertolongan Allah ﷻ itu mungkin tidak datang dengan serta merta. Kadangkala Allah ﷻ berikan perkara yang kita tidak minta, dengan menukarkannya dengan perkara yang lain. Atau Allah ﷻ tidak bantu kita di dunia, tetapi menangguhkan pemberian-Nya di akhirat kelak. Ini mafhum daripada hadith tentang doa,
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا قَالُوا إِذًا نُكْثِرُ قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ
“Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahim, melainkan Allah ﷻ akan mengabulkannya dengan tiga cara;
(1). Allah akan mengabulkan doanya dengan segera,
(2). Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak,
(3). Allah akan memalingkan daripadanya keburukan seumpamanya.
Mereka (para sahabat) berkata: “Kalau begitu, kami akan memperbanyak berdoa.” Nabi ﷺ bersabda: “Allah lebih banyak pemberiannya.”
(Musnad Ahmad No. 3497 – Sahih)
Maka di dalam ayat ini Allah ﷻ mengajar bagaimana cara berdoa. Pertamanya, kita kenalah bersabar dengan apa yang terjadi kepada kita. Kita kenalah sedar yang apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita adalah dalam takdir Allah ﷻ. Maka kita kenalah terima dengan redha dan rela. Kena sabar menunggu keputusan daripada Allah ﷻ.
Kita selalu dengar tentang sabar, tetapi apakah itu sabar? Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan perkara yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah dan sabar juga mempunyai elemen istiqamah juga.
Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: “Sabar ya, sabar ya…” Namun tahukah apa itu ‘sabar’ yang sebenarnya dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.
Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhari (6114))
Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.
Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.
Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,
وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.
Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:
1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ﷻ dan Rasul.
2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.
3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.
Daripada tiga jenis pula terdapat tiga peringkat:
1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.
2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.
3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3
إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.
إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.
Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena letak dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10
إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira
Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu. Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran: 133-134
۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Ada satu lagi sabar yang penting, iaitu sabar dalam belajar. Ini kerana belajar itu bukanlah sesuatu yang mudah. Berapa ramai yang mulanya bersemangat untuk belajar tetapi lama kelamaan mereka tidak sanggup lagi hendak meneruskan. Pada awalnya kelas penuh tetapi kemudiannya seorang demi seorang tidak datang kerana mereka sangka sehari dua belajar terus menjadi pandai agaknya. Ini memang dugaan daripada syaitan yang tidak suka kita belajar. Maka hendaklah kita bersabar dalam mempelajari agama ini sampai kita faham sungguh-sungguh apakah yang agama ini hendak daripada kita. Jangan sangka kita boleh terus pandai kalau baru belajar. Memang belajar memerlukan masa dan kesabaran yang tinggi.
Hendaklah kita meminta kepada Allah ﷻ untuk memberikan kita kesanggupan untuk belajar kerana pembelajaran selalunya akan mengambil masa yang lama. Kalau kita tidak diberi kesanggupan itu, kita tidak sanggup untuk menempuhinya. Hendak datang kelas dan hendak faham pun memerlukan usaha daripada kita. Oleh itu, kita hendaklah meminta ilmu dengan Allah ﷻ. Seandainya Allah ﷻ tidak menolong kita dan memberi taufik kepada kita, tentulah kita hanyut. Mula-mula mungkin bersemangat, tetapi lama-lama layu. Ini biasa sahaja kita lihat. Ramai yang belajar ‘tidak habis’. Malah amat bahaya kalau kita sekadar mengambil tahu agama ini sedikit-sedikit sahaja. Kita kenalah mendalaminya. Belajarlah sampai boleh menjadi ustaz, tetapi bukan belajar untuk menjadi ustaz.
Setelah belajar, ada pula perkara yang kita kena sabar iaitu sabar terhadap segala ujian untuk menempuh perjalanan dalam berpegang dengan sunnah. Setelah ada ilmu, bukannya senang hendak amalkan kalau keadaan di dalam masyarakat berlawanan dengan apa yang kita telah belajar. Contohnya, kena sabar untuk tidak pergi ke majlis sanding. Bukan senang untuk berlawan dengan kebiasaan masyarakat kita yang telah rosak. Memang bukan senang sekarang ini untuk menegakkan ajaran di dalam Al-Qur’an tetapi Allah telah sebut yang ia memang sukar pun dan kena doa kepada Allah seperti disebut di dalam Insan:23-24
إِنّا نَحنُ نَزَّلنا عَلَيكَ القُرآنَ تَنزيلًا
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al Qur’an kepadamu (hai Muhammad) dengan beransur-ansur.
فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تُطِع مِنهُم آثِمًا أَو كَفورًا
Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka.
Satu lagi tafsir sabar di dalam ayat ini adalah sabar daripada menceritakan kepada selain Allah ﷻ tentang masalah yang dihadapi. Jangan hendak cerita sangat masalah kepada manusia, sebaliknya hendaklah mengadu hal kita kepada Allah ﷻ. Supaya pengharapan kita kepada Allah tinggi. Ini kerana Allah ﷻ akan membantu kita, bukannya manusia. Apabila kita mengadu kepada Allah ﷻ, lambat laun Allah ﷻ akan bantu kita. Jikalau kita mengadu sangat dengan manusia, maka Allah ﷻ tidak bantu kerana kita sudah meletakkan pengharapan kita kepada makhluk, bukan kepada Allah ﷻ. Maka pilih-pilihlah untuk menceritakan masalah kepada orang. Letakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Ini adalah amat berat bagi orang yang tidak ada tauhid di dalam hatinya; kerana apabila ada masalah, dia akan sibuk mencari orang untuk mendoakan untuk dirinya. Sepatutnya dia berdoa untuk diri sendiri, sebaliknya sibuk mencari ustaz dan tok guru untuk doakan bagi pihak dia pula.
Sudah panjang lebar kita jelaskan tentang maksud sabar. Namun janganlah kita berdoa kepada Allah ﷻ untuk menjadikan kita seorang yang penyabar jikalau waktu itu tidak ada apa-apa cubaan untuk kita. Ini kerana pernah Nabi ﷺ dengar seorang sahabat minta supaya Allah ﷻ.
سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الصَّبْرَ ، فَقَالَ : سَأَلْتَ اللَّهَ الْبَلَاءَ فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ
Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ mendengar seorang lelaki berdoa: ya Allah aku memohon kepadaMu sabar. Baginda bersabda: kamu meminta bala. Maka mintalah afiah.
Jami’ Tirmidzi no. 3527 Status: Dhaif (Albani) Hasan (Darussalam)
Maka kita ingat yang doa minta Allah ﷺ jadikan kita seorang penyabar adalah doa meminta bala sebenarnya. Kerana untuk Allah ﷺ menjadikan kita seorang penyabar, maka Dia akan kenakan bala kepada kita untuk menzahirkan ‘sabar’ itu. Maka kerana apa nak minta bala pula? Ini kerana untuk mendapatkan sabar, kena datang bala dahulu, barulah boleh kita jadi sabar, bukan? Maka, dalam keadaan biasa, jangan kita minta sabar kerana itu mengundang bala datang kepada kita. Elok-elok tidak ada kesusahan, kita minta kesusahan pula diturunkan kepada kita. Sebenarnya, kalau sudah kena ujian, barulah minta sabar.
Tapi kalau kita memang sedang dilanda masalah yang memerlukan sifat sabar ketika itu, maka tidaklah salah kalau kita meminta sabar. Ini seperti yang diajar di dalam Baqarah:250
وَلَمّا بَرَزوا لِجالوتَ وَجُنودِهِ قالوا رَبَّنا أَفرِغ عَلَينا صَبرًا وَثَبِّت أَقدامَنا وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ
Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”
وَٱلصَّلَوٰةِ
dan bersolat.
Seperti telah disebutkan, kita dituntut untuk bersabar daripada mengeluh dan menceritakan kepada orang lain masalah kita. Sebaliknya kita disuruh untuk mengadu terus kepada Allah ﷻ. Begitu juga apabila ditimpa musibah dan dugaan dari Allah, tentunya kita akan kegelisahan, buat apa pun tidak kena. Maka kita disuruh untuk fokus perhatian kita kepada Allah dan jangan fikir sangat tentang masalah itu. Memang kalau kita terus fikir dan fikirkan sesuatu masalah itu, kita akan jadi lebih tertekan, bukan? Maka dengan mengerjakan solat atau sekurang-kurangnya buat kerja lain, otak kita akan dapat berehat dan boleh dapat ilham untuk menyelesaikan masalah.
Dengan mengerjakan salat, kita memberitahu hal itu kepada Allah ﷻ sahaja. Dalam salat itu, doalah dan mengadulah kepada Allah ﷻ sebanyak-banyaknya. Segala apa masalah yang kita hadapi itu kecil sahaja bagi Allah. Allah boleh selesaikan dengan begitu sahaja apabila telah sampai masanya. Banyak doa tentang kelebihan berdoa di dalam solat, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ، وَهُوَ سَاجِدٌ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ
Kedudukan paling hampir seorang hamba kepada Tuhan-nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa (ketika sujud).
Sahih Muslim (744/482)
Ketika Abu Bakr minta diajar doa kepada beliau, Nabi mengajar doa yang dibaca ‘di dalam solat’. Daripada Abu Bakar RA, bahawa Rasulullah SAW telah mengajarku satu dia untuk aku membacanya di dalam solatku iaitu:
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diriku dan tidak ada yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau. Maka, Kau ampunilah aku dengan keampunan di sisi-Mu serta Kau rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
[Riwayat al-Bukhari (6236)]
Dan jangan kita tinggalkan satu doa yang diamalkan oleh Rasulullah. Doa ini dibaca sebelum salam. Daripada Aisyah R.anha berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلاَةِ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا، وَفِتْنَةِ المَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ
“Adapun Rasullah SAW berdoa di dalam solatnya (selesai membaca tasyahhud akhir): Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada seksaan kubur, aku berlindung dengan -Mu daripada fitnah al-masih al-Dajjal, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan dosa dan hutang.”
[Riwayat al-Bukhari (832)]
Orang kita selalunya berdoa selepas solat, tanpa mengetahui yang doa terbaik adalah ketika di dalam solat. Ia lebih baik kerana ketika di dalam solat, kita sebenarnya sedang mengadap Allah. Perumpamaan begini: seseorang yang jumpa pemimpin sepatutnya meminta tolong kepada pemimpin itu ketika di hadapannya, bukan? Takkan setelah jumpa baru bagi whatsapp kepada dia?
Salat adalah muqaddimah kepada doa. Malah solat itu sendiri adalah doa. Dan Nabi ﷺ telah mengajar kita bagaimana doa makbul dalam tasyahhud. Selain dari itu, Nabi ﷺ telah ajar untuk berdoa selepas buat amalan yang baik. Sebagai contoh, kita dapat tahu yang Nabi ﷺ akan berdoa selepas baginda berdakwah dan mengajar kepada umat. Oleh itu, kita kena jadikan ini sebagai salah satu cara untuk berdoa. Banyak sekali dalil yang mengajar kita untuk berdoa selepas mengerjakan amal soleh. Sebagai contoh, dalam Surah Fatihah sendiri:
Iyyaka na’budu – isyarat kepada amalan.
Iyyaka nastain – isyarat kepada doa. Maknanya, selepas mengerjakan amalan, barulah kita berdoa.
Ada empat amalan yang kalau manusia buat dan doa selepasnya, doa itu akan makbul:
1. Mengajak manusia kepada agama tauhid
2. Ketika mengajar
3. Ketika melakukan ibadat
4. Kerja amal secara sukarela sebagaimana kisah Nabi Musa عليه السلام yang menolong dua orang perempuan seperti disebut kisahnya dalam Qasas:24.
فَسَقىٰ لَهُما ثُمَّ تَوَلّىٰ إِلَى الظِّلِّ فَقالَ رَبِّ إِنّي لِما أَنزَلتَ إِلَيَّ مِن خَيرٍ فَقيرٌ
Maka Musa memberi minum ternak itu untuk (menolong) keduanya, kemudian dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku”.
Oleh kerana pentingnya solat, maka Allah ﷻ ajar kita untuk meminta pertolongan dengan sabar dan salat. Ingatlah bahawa nasihat yang sama telah diberikan kepada Ahli Kitab sebelum ini dalam surah Baqarah ini juga dalam ayat ke 45.
وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
Sekarang nasihat yang sama diberikan kepada kita orang Islam pula. Dahulu, merekalah umat terpilih – Allah ﷻ kata mereka adalah umat terpilih dalam ayat ke 47. Mereka telah diberikan tanggungjawab dan mereka tidak menunaikannya atau telah meninggalkan amanah yang telah diberikan kepada mereka. Sekarang, kita sebagai umat Islam pula yang telah diberikan kelebihan menjadi ‘umat pertengahan’. Kita juga telah diberi tanggungjawab oleh Allah ﷻ. Masa mereka telah berlalu, masa kita sekarang pula.
Mungkin ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil bagi melakukan Solat Hajat. Ditambah pula dengan satu hadis tentang Solat Hajat,
مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ فَلْيُحْسِنْ الْوُضُوءَ ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لِيَقُلْ
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ وَفِي إِسْنَادِهِ مَقَالٌ فَائِدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُضَعَّفُ فِي الْحَدِيثِ وَفَائِدٌ هُوَ أَبُو الْوَرْقَاءِ
Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang bani Adam (manusia) hendaklah dia berwuduk serta membaguskan wuduknya kemudian solat dua rakaat. Terus (setelah selesai solat) hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia mengucapkan doa……
Perbincangan tentang hadis: Menurut Abu ‘Isa ini adalah hadis Gharib dan dalam sanadnya terdapat Faaid bin ‘Abdurrahman yang dha’if (lemah) dalam hadis dan Faaid dia adalah Abu al-Waruqa’. – Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dalam Sunannya Kitab al-Sholaah, no: 441.
Gharib bermaksud yang asing, jauh, aneh atau susah difahami. Hadis gharib bermaksud hadis yang diriwayatkan dengan satu sanad atau hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi. Hadis gharib ini ada yang sahih, hasan dan juga dha’if (lemah). Namun begitu hadis yang diperbincangkan ini statusnya dha’if dan tidak boleh dijadikan sebagai dalil dalam menetapkan sesuatu hukum. Ini diindikasikan sendiri oleh Imam al-Tirmizi rahimahullah ketika meriwayatkan hadis ini. Oleh itu hadis di atas ini berstatus dha’if jiddan (sangat lemah) kerana dalam sanadnya terdapat Faaid bin ‘Abdurrahman Abu al-Waruqa’ dan beliau telah dilemahkan oleh ulamak hadis seperti Imam al-Tirmizi, Imam Abdullah bin Ahmad, Imam Ibn Ma’in, Imam Abu Daud, Imam al-Nasaai, Imam Abu Hatim, Imam al-Hakim, Imam Ibn Hibban dan Imam al-Bukhari rahimahumullah. Oleh itu hadis di atas tidak boleh dijadikan dalil untuk mensyari’atkan solat Hajat.
Sebuah hadis berkaitan dengan solat hajat juga telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Maimun Abu Muhammad al-Mura’i al-Tamimi. Dia berkata: Yahya bin Abi Kathir telah menceritakan daripada Yusuf bin Abdullah bin Salam daripada Abu Darda’ radhiallahu’ anh katanya: Wahai sekalian manusia! Aku telah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ تَوَضَّأَ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ يُتِمُّهُمَا أَعْطَاهُ اللَّهُ مَا سَأَلَ مُعَجِّلاً أَوْ مُؤَخِّرًا
Sesiapa berwuduk dan menyempurnakannya, kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan sempurna, apa sahaja yang dimintanya akan diberi oleh Allah baik cepat mahupun lambat.
Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 26225.
Penjelasan hadis: Hadis ini juga tidak sahih kerana dalam sanadnya terdapat seorang perawi, iaitu Maimun Abu Muhammad al-Mura’i. Beliau seorang yang majhul (tidak dikenali) sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ulamak hadis seperti Imam Ibn Ma’in, Imam Ibn ‘Adiy, Imam al-Zahabi dan Syeikh Nashiruddin al-Albani rahimahumullah. Sanad hadis ini juga munqati’ (terputus) kerana Yahya bin Abi Kathir yang merupakan seorang tabi’ al-tabi’in telah meriwayatkan secara terus daripada Yusuf bin Abdullah bin Salam. Sedangkan Yusuf merupakan seorang sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Al-Tabi’in adalah seseorang yang di dalam hidupnya sempat berjumpa dengan sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam Manakala tabi’ al-Tabi’in adalah seseorang yang sempat berjumpa seorang tabi’in. Di dalam hadis ini, seorang tabi’ al-Tabi’in telah meriwayatkan hadis secara terus daripada seorang sahabat Nabi s.a.w tanpa perantaraan daripada seorang tabi’in di dalam sanadnya. Oleh itu, hadis ini dikategorikan sebagai munqati’, iaitu terputus sanad.
Namun, Imam al-Suyuti rahimahullah di dalam kitabnya La’aaliul Mashnu’ah berpendapat bahawa hadis ini adalah satu-satunya hadis yang sahih tentang solat hajat. Wallahu’alam.
Maka sekiranya ingin berpegang kepada hadis ini sebagai dalil keharusan mengerjakan solat hajat, seseorang hendaklah melaksanakannya menurut tatacara yang bertepatan dengan hadis tersebut, iaitu:
-
- Menyempurnakan wuduk.
- Solat sebanyak dua rakaat. Tidak disyari’atkan untuk dilaksanakan solat Hajat ini secara berjemaah sebagaimana yang kebiasaannya diamalkan di Malaysia. Jadi buat sendirian berhad sahaja.
- Tidak ada bacaan ayat-ayat mahupun surah-surah yang tertentu yang dibacakan dalam jumlah tertentu untuk solat Hajat ini.
- Berdoa sama ada di dalam solat atau sesudah solat. Jika ingin berdoa ketika dalam solat antara tempat yang afdal untuk berdoa adalah ketika sujud dan sesudah membaca tasyahhud akhir sebelum memberi salam. Tidak ada lafaz doa tertentu yang disyaria’tkan bagi solat hajat. Justeru, doa tersebut bolehlah disusun sendiri mengikut apa yang dihajati.
Sebenarnya riwayat-riwayat yang dianggap sebagai hujah bahawa para salafussoleh mengerjakan ‘solat hajat’ bukanlah menunjukkan mereka mengkhususkan sesuatu jenis solat sunat yang dinamakan solat Hajat. Tetapi, mereka sebenarnya hanyalah mengerjakan solat sunat mutlak. Melalui solat tersebut mereka mengambil kesempatan untuk berdoa di tempat yang afdal untuk berdoa ketika di dalam solat, iaitu ketika sujud dan sebelum salam dan juga bertawassul dengan amalan yang mulia, iaitu mengerjakan solat. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya istilah ‘solat sunat Hajat’ tidak pernah wujud di dalam mana-mana hadis yang sabit daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Wallahu’alam. Orang kita sahaja beri nama kerana mereka ramai yang melakukan satu bid’ah iaitu melafazkan niat. Kalau tidak ada nama, pening pula mereka hendak sebut solat apa. Sedangkan niat solat tidak perlu hendak dilafazkan pun.
Memang kebiasaan Rasulullah pun akan berdoa dengan solat seperti disebut di dalam hadis,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حَزَبَهُ أَمْرٌ صَلَّى
Apabila Baginda Rasulullah SAW menemui suatu kesulitan, maka beliau bergegas mengerjakan solat
Takhrij:
HR. Abu Daud no. 1319, Ahmad no. 23299, daripada Huzaifah bin Yaman ra
Hadith hasan menurut Syeikh al-Albani dalam Takhrij Sunan Abu Daud
Syeikh Ahmad Syakir mengisyaratkan kesahihannya dalam Umdatul Tafsir 1/110
Syeikh al-Arnauth menilai sanadnya dhaif dalam Takhrij Musnad Ahmad tapi mensahihkannya dalam Takhrij Zaadul Maad 4/304
Kesimpulan: hadis ini boleh dijadikan sebagai hujah.
Di antara hadis lain yang digunakan sebagai dalil untuk solat hajat adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Uthman bin Hunaif katanya:
أَنَّ رَجُلاً ضَرِيرَ الْبَصَرِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ يُعَافِيَنِي.
فَقَالَ: إِنْ شِئْتَ أَخَّرْتُ لَكَ وَهُوَ خَيْرٌ وَإِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ. فَقَالَ: ادْعُهْ.
فَأَمَرَهُ أَنْ يَتَوَضَّأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءَهُ وَيُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِمُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ.
يَا مُحَمَّدُ إِنِّي قَدْ تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى اللَّهُمَّ شَفِّعْهُ فِيَّ
Seorang lelaki buta datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Doakanlah kepada Allah supaya dia sembuhkan (kembalikan penglihatan) aku.
Nabi bersabda: Kalau engkau suka untuk bersabar engkau akan mendapat pahala di atas kesabaranmu (di atas kecacatanmu itu) ataupun boleh juga sekiranya jika engkau mahu, aku akan mendoakan engkau sekarang (supaya sembuh serta-merta).
Kata lelaki itu: Doakanlah untuku sekarang. Lalu baginda s.a.w menyuruhnya agar berwuduk dan menyempurnakannya lalu mengerjakan solat dua rakaat. Kemudian dia berdoa: Ya Allah Ya Tuhanku! Aku berdoa dan bermunajat kepada-Mu dengan (perantaraan doa) Muhammad, Nabi yang membawa rahmat.
Ya Muhammad, sesungguhnya aku telah menghadap dengan (doamu) kepada Tuhanku tentang hajatku ini supaya dimakbulkan hajatku ini. Ya Allah! Berikanlah syafaat (baginda s.a.w) kepadaku. –
Hadis riwayat Imam Ibn Majah dalam Sunannya, Kitab Iqamah al-Solah wa Sunnah Fiha, no: 1375.
Syarahan: Hadis di atas sebenarnya berkisar tentang tawassul atau berdoa menggunakan perantaraan yang selari dengan syarak.
Pertama, lelaki buta tersebut menggunakan perantaraan amal soleh, iaitu dengan mengerjakan solat sunat mutlak sebanyak dua rakaat.
Kedua, lelaki itu juga menggunakan perantaraan doa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Bertawassul dengan doa orang soleh yang masih hidup adalah disyari’atkan manakala berdoa melalui perantaraan orang yang telah mati seperti di kuburan para Nabi, sahabat, salafussoleh atau wali adalah bid’ah yang sesat.
إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرِينَ
Sesungguhnya Allah bersama orang yang bersabar.
Allah ﷻ memberitahu bahawa Dia bersama (dari segi ilmu, bukan fizikal) orang yang bersabar. Apa lagi yang kita risaukan kalau Allah sudah bersama dengan kita? Maka, ini adalah satu motivasi yang amat tinggi kepada kita. Walaupun kita sedang susah waktu itu, tetapi kalau kita sabar, kita cuba rasakan yang Allah ﷻ bersama dengan kita. Allah ﷻ beri ujian kepada kita untuk tambah pahala kita kerana apabila kita sabar, maka kita akan dapat pahala yang banyak. Allah tidak pernah kata Dia bersama orang yang solat, yang berpuasa, tapi di sini Allah sebut Dia bersama orang yang sabar. Maka ini memberitahu kita kepentingan sabar.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 2 Disember 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
