Baqarah Ayat 120: Ayat ini adalah tasliah (pujukan) untuk menghilangkan kerisauan Nabi Muhammad (dan para sahabat) disebabkan oleh keengganan golongan Yahudi beriman dengan baginda. Baginda risau baginda dipertanggungjawabkan tentang hal itu. Maka di dalam ayat ini Allah memberitahu keengganan mereka itu adalah kerana mereka tidak redha dengan agama Islam. Rasulullah berharap sangat mereka beriman, maka baginda berlembut dengan mereka dengan harapan mereka beriman. Maka Allah buka rahsia di dalam hati mereka; dan ketidakmungkinan mereka beriman.
Ayat ini juga adalah ayat zajrun (ayat ancaman) dari Allah, jikalau umat Islam ikut cara beragama Yahudi dan Nasara itu.
وَلَن تَرضىٰ عَنكَ اليَهودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُم ۗ قُل إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الهُدىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم بَعدَ الَّذي جاءَكَ مِنَ العِلمِ ۙ ما لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ
And never will the Jews or the Christians approve of you until you follow their religion. Say, “Indeed, the guidance of Allah is the [only] guidance.” If you were to follow their desires after what has come to you of knowledge, you would have against Allah no protector or helper.
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ
Dan tidak sekali-kali akan redha orang Yahudi itu terhadap engkau;
Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad yang tamak (tamak yang bagus) supaya golongan Ahli Kitab itu beriman. Baginda kira mereka itu sudah kenal Allah dan memang ada kitab wahyu, maka senanglah mereka beriman. Tapi sebaliknya yang berlaku apabila mereka menolak dengan keras. Baginda amat bersedih dengan penolakan mereka sampaikan Allah memujuk baginda seperti disebut di dalam Fatir:8
فَلا تَذهَب نَفسُكَ عَلَيهِم حَسَرٰتٍ
maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka.
Juga disebut di dalam Kahf:6
فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا
Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.
Jadi di dalam Baqarah:120 ini Allah memberitahu kepada baginda supaya janganlah berharap lagi kepada golongan Ahli Kitab itu. Mereka tidak akan redha dengan agama Islam. Mereka tidak akan meninggalkan agama mereka ramai-ramai. Kalau yang beriman itu sebahagian sahaja sedangkan sebahagian yang lain akan tetap menentang baginda. Golongan Yahudi tidak dapat duduk diam kerana mereka mahu agama Islam ini hancur. Ini adalah kecaman terhadap mereka kerana apabila disebut tentang mereka di dalam bentuk kecaman, kalimah الْيَهُودُ yang digunakan. Ini kerana ayat ini menyebut mereka memusuhi dan benci kepada Islam. Kalau bentuk yang bukan kecaman, kalimah lain yang digunakan seperti di dalam Baqarah:62
إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَالَّذينَ هادوا وَٱلنَّصَـٰرَىٰ وَٱلصَّـٰبِـِٔينَ مَن آمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Kita telah baca banyak perangai mereka dan bagaimana mereka tidak suka kalau agama Islam ini berkembang. Mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan Islam. Bukanlah keseluruhan dari mereka kerana ada sahaja orang Yahudi dan Nasrani yang masuk Islam. Tapi ia bermaksud secara umumnya kebanyakan dari mereka.
Walaupun mereka tidak suka kepada perkembangan agama Islam, namun begitu agama Islam telah berkembang pesat ke serata dunia kerana para sahabat telah sebarkan agama ini. Maka golongan Yahudi telah kecewa untuk mematikan agama Islam, tetapi mereka tidak akan berputus asa. Kalimah yang digunakan adalah لن iaitu ‘tidak akan sampai bila-bila’ iaitu نَهي واستقبال. Mereka akan terus merosakkan orang Islam dan pemikiran golongan Muslim. Kalau Islam tidak hancur pun, biarlah pemikiran umat Islam yang hancur. Jadi mereka berusaha merosakkan pemikiran umat Islam menggunakan wang, hiburan dan media massa.
Kalau mereka tidak berhenti daripada merosakkan agama, maka kita pun jangan berdiam diri daripada menyampaikan agama ini kepada manusia. Kalau mereka berjuang untuk menjatuhkan kita, maka kita pun kena terus berdakwah untuk mengembangkan dakwah agama yang suci ini ke seluruh dunia.
وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ
dan tidak juga orang Nasara;
Bukan sahaja Yahudi yang tidak redha dan mahu menjatuhkan Islam, tetapi golongan Nasara juga. Ini kerana kalau agama Islam ini diterima oleh manusia, maka akan nampaklah yang agama Kristian itu adalah agama yang sesat dan jauh daripada kebenaran.
Perhatikan kalimah penafian yang digunakan untuk Yahudi adalah لن sedangkan di sini untuk Nasara digunakan kalimah لا sahaja yang tidak sama dengan kalimah لن (tidak akan sampai bila-bila). Ini adalah kerana tidak sama Yahudi dan Nasara. Nasara lebih lembut terhadap Islam seperti diisyaratkan di dalam Maidah:82
۞ لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النّاسِ عَدٰوَةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا اليَهودَ وَالَّذينَ أَشرَكوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذينَ ءآمَنُوا الَّذينَ قالوا إِنّا نَصٰرىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّ مِنهُم قِسّيسينَ وَرُهبانًا وَأَنَّهُم لا يَستَكبِرونَ
Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”. Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.
حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
sehinggalah kamu ikut ajaran ugama cara mereka;
Kalimah مِلَّةَ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘agama‘. Ia dari kata dasar: م ل ل yang bermaksud membacakan supaya orang lain menulis (dictate), memeluk agama, kepercayaan.
Yahudi dan Nasrani sangka agama mereka itulah yang terbaik. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad membawa Islam yang sebenar, mereka berharap bangsa Arab itu masuk agama mereka. Kerana mereka memandang bangsa Arab ketika itu menyembah berhala dan tidak ada pegangan agama yang teratur. Tiba-tiba bangkitnya Nabi Muhammad dari bangsa Arab itu bukannya masuk agama mereka, malah menyebut-nyebut cacat celanya Yahudi dan Nasrani itu. Tentulah mereka menjadi jengkel.
Mereka mahu juga kita ikut cara mereka. Kerana bukanlah mereka hendak sangat kita masuk agama mereka tambahan pula agama Yahudi bukannya kita boleh masuk pun. Yang mereka hendak adalah kita tinggalkan agama Islam. Dan walaupun tidak keluar Islam pun tidak mengapa, asalkan ikut cara hidup mereka terutama sekali cara beragama mereka. Selagi tidak ikut, selagi itu mereka akan khianati kita. Sekarang ini, kita boleh lihat bagaimana umat Islam yang mengaku beragama Islam, namun akidah mereka, cara hidup mereka, dan amalan mereka sudah sama seperti agama Yahudi dan Nasara.
Jangan kita lalai leka dengan usaha mengkristiankan umat Islam yang sentiasa berkembang pesat. Mubaligh-mubaligh mereka tetap masih berkeliaran di negara kita menimbulkan syak wasangka umat Islam terhadap agama Islam, dan mereka tarik sedikit demi sedikit ke agama Kristian. Entah berapa ramai anak-anak muda yang tertipu dan telah menganut agama Kristian. Mereka berjaya kerana kebanyakan dari kita hanya beragama pada nama sahaja.
Golongan Yahudi pula tidaklah ada mubaligh seperti Kristian. Mereka hendak simpan agama Yahudi pada keturunan mereka sahaja. Akan tetapi mereka meluaskan pengaruh mereka ke serata dunia. Sistem perbankan riba yang diamalkan dunia sekarang ini datangnya dari mereka lah. Dengan menggunakan sistem ini, mereka mengawal dunia. Rosak habis ekonomi dunia kerana sistem riba ini. Yang kaya semakin kaya dan yang miskin terus melata. Yang hidupnya membayar hutang keliling pinggang adalah kerana sistem riba ini lah. Telah dibuat kajian tentang gelandangan di Amerika itu adalah kerana mereka terbeban dengan hutang bank sampaikan mereka tidak mampu lagi untuk hidup seperti manusia biasa.
Bagaimana kita hendak tahu yang kita telah ikut cara beragama mereka? Inilah yang kita sedang belajar di dalam Al-Qur’an apabila Allah sebut satu persatu. Lihatlah cara bagaimana mereka mengagungkan pendita mereka, menyorok kebenaran, melakukan syirik. Jadi untuk tahu apakah pegangan dan amalan mereka, maka hendak tak hendak, kena belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita boleh elak dari ikut cara mereka. Selain dari ayat-ayat Al-Qur’an, Rasulullah sendiri telah dengan jelas memberitahu kita yang memang umat Islam yang akan ikut mereka,
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
Dari [Abu Sa’id radiallahuanhu] bahawa Nabi SAW bersabda: “Kalian pasti akan mengikuti kebiasaan-kebiasaan orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hingga seandainya mereka menempuh (masuk) ke dalam lubang biawak kalian pasti akan mengikutinya”. Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah yang baginda maksudkan Yahudi dan Nasrani?”. Baginda menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka) “.
Sahih Bukhari (3197)
Sekarang ini, orang Hindu pun suruh ikut agama mereka. Ada pergerakan untuk memasukkan Muslim Melayu ke dalam agama Hindu. Ini amatlah pelik sekali. Bagaimanalah orang Islam boleh menganut agama Hindu sedangkan ia adalah agama yang amat mengarut sekali? Tetapi masih ada yang masuk juga agama Hindu kerana ramai yang tidak kukuh dalam pemahaman agama Islam. Sampai ada orang kita yang boleh rasa agama lain pun ada kebenaran juga.
قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ
Katakanlah: bahawasanya hidayat Allah itulah sebenar-benar hidayat;
Nah oleh kerana begitu keadaan Yahudi dan Nasrani itu, maka seolah-olah Nabi Muhammad bertanya, apa yang patut baginda katakan kepada mereka? Di dalam ayat ini baginda diajar bagaimana untuk cakap kepada mereka. Maka ini menutup pintu harapan bagi Yahudi dan juga Nasrani yang Nabi Muhammad akan masuk agama mereka. Ia tidak akan berlaku sama sekali!
Allah ﷻ memberikan peringatan dalam ayat ini: Hanya hidayah Islam sahaja yang benar. Agama dan anutan lain tidak boleh diterima sebagai hidayah. Takkan kita hendak ikut agama lain pula? Jadi agama selain Islam itu tidak boleh dipakai dan diamalkan. Agama Islam ini mendapat هُدَى اللَّهِ, takkan kita hendak tinggalkan? Takkan kita hendak pakai ajaran yang menggunakan pendapat manusia atau campur aduk antara wahyu dan ilmu khayalan pula?
Jadi jangan termakan dengan fahaman: semua agama baik. Tidak, tidak sama semua agama. Walaupun agama lain itu pun mengajak kepada akhlak yang baik, mengajar berbaik-baik dengan semua manusia, ia tetap tidak boleh diamalkan kerana akidah mereka akidah yang sesat. Hanya Islam sahaja agama eksklusif yang membaca kepada hidayah. Ini ditunjukkan dalam bentuk balaghah dengan penggunaan kalimah هُوَ sebelum kalimah الْهُدَىٰ sebagai penekanan sifat eksklusif ini.
Kita ada pegangan sendiri, takkan kita hendak pegang pendapat yang tidak benar pula, bukan? Begitu juga dengan akidah. Kita berpegang dengan akidah salaf dan Ahli Hadis kerana itulah yang pegangan golongan yang awal. Jadi takkan kita hendak terima akidah Asya’irah dan Maaturidiyyah yang datang kemudian pula? Takkan kita terpaksa terima pula walaupun itu pegangan rasmi negara atau golongan majoriti negara ini? Kita ada hak untuk beriman seperti yang kita yakini kerana ia terdapat di dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Akan tetapi kita juga tidak memaksa akidah ini kepada umat. Terpulang kepada mereka untuk berpegang dengan akidah yang mereka selesa. Cuma yang menjadi pelik adalah apabila ia seolah-olah dipaksakan kepada orang ramai sedangkan itu adalah pilihan individu.
وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ
Dan jika sekiranya engkau mengikut hawa-hawa nafsu mereka;
Walau ayat ini khitab (ditujukan) kepada Nabi, tetapi sebenarnya untuk kita juga kerana Nabi tidak akan mengikut hawa nafsu mereka. Kalau kita mengikut nafsu mereka, maka ada amaran dari Allah ﷻ dalam ini. Allah ﷻ kata ‘nafsu’ kerana semua yang bukan agama Islam adalah mengikut nafsu.
Lihatlah kalimah ini وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ. Sedangkan sebelum ini disebut millah حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ. Jadi Allah tidak meneruskan dengan menyebut وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ مِلَّتَهُمْ sebaliknya digunakan kalimah أَهْوَاءَهُمْ. Ini adalah kerana Allah hendak menekankan yang agama mereka adalah agama yang ikut nafsu mereka sahaja. Walaupun asalnya agama mereka itu adalah agama Tauhid, akan tetapi telah ditukar menjadi agama syirik.
‘Hawa nafsu’ yang dimaksudkan ialah apa sahaja hujah yang dibawa yang bukan dari Al-Qur’an dan Sunnah. Iaitu mereka yang hanya pakai hujah guru. Ini seperti masyarakat Muslim yang banyak berkata dalam hujah mereka: “takkanlah ustaz itu nak masuk neraka. Mereka dulu belajar di Mesir, Mekah lama dah. Takkan mereka salah pula.” Atau ada juga yang pakai hujah AADK (Asal Ada Dalam Kitab). Kalau ada orang yang pakai hujah begitu, itu adalah hujah hawa nafsu dan hujah orang musyrik.
Tapi jangan salah faham pula. Bukanlah kita tolak kata-kata ulama’, ijmak dan qiyas dan bukanlah kita bakar semua kitab. Akan tetapi kata-kata manusia dan kitab itu hendaklah disandarkan kepada wahyu sama ada Al-Qur’an atau hadis yang sahih. Jangan pegang terus kata-kata manusia kerana manusia tidak terlepas daripada kesalahan. Lainlah kalau seseorang itu memberi pandangannya berdasarkan kepada ayat Al-Qur’an dan juga hadith Nabi ﷺ yang sahih. Maka kena tengok apakah sandaran hukum mereka. Jangan takut menolak pendapat manusia walau siapa pun mereka, sebagaimana kata Imam Malik:
كل يُؤخذ من كلامه ويُرد إلا صاحب هذا القبر
“Tiap-tiap orang boleh diambil perkataannya dan ditolak melainkan perkataan yang mempunyai kubur ini (sambil beliau menunjuk ke arah makam Nabi).”
بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ
selepas datang kepada kamu ilmu Al-Qur’an ini;
Takkan Nabi Muhammad hendak ikut hawanafsu golongan Ahli Kitab itu pula setelah mendapat ilmu wahyu ini. Ini juga adalah ancaman kepada kita yang sudah dapat dalil daripada ajaran Al-Qur’an, tetapi kita ikut juga mereka. Malangnya ramai umat Islam yang telah ada Al-Qur’an ini, masih lagi ikut fahaman Yahudi dan Nasrani! Maka kalau kita begitu, kita akan dapat balasan dari Allah ﷻ yang amat buruk. Kalau jahil dan mengikut hawa nafsu Yahudi dan Nasara, pun sudah teruk; namun kalau sudah ada ilmu agama tetapi masih lagi mengikut mereka, itu terlebih-lebih teruk dan malang sekali.
ما لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ
Maka tidak ada lagi bagi kamu daripada Allah; satu orang pun yang boleh beri pelindung
Iaitu kita tidak akan selamat daripada neraka Allah ﷻ. Maksudnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang ahli neraka daripada dimasukkan ke dalam neraka. Tidak ada peguam yang akan dapat berhujah ataupun pembantu yang dapat menahan pintu neraka itu.
Kalimah ini ditujukan kepada Rasulullah. Ia mengajar kita yang kalau Nabi ikut nafsu mereka pun Allah ﷻ tidak akan menolongnya, apatah lagi kita. Maka jangan rasa kita akan selamat kalau kita ikut hawa nafsu golongan Yahudi dan Nasara.
وَلَا نَصِيرٍ
dan tiada penolong;
Tidak ada sesiapa pun yang akan tolong kita bila Tuhan sudah campak kita ke dalam neraka. Tidak akan ada orang yang akan masuk neraka dan mencari-cari kita untuk selamatkan kita. Mungkin kita perasan kita ini umat pilihan, anak ulama’, keturunan orang baik-baik dan sebagainya. Kita sangka kita akan selamat dan dibantu, tapi tidak sebenarnya. Begitulah golongan Yahudi itu perasan mereka itu umat pilihan dan selamat, tapi di sini mereka diingatkan yang mereka takkan selamat kalau mereka menolak kebenaran.
Baqarah Ayat 121: Ini pula adalah pujian kalau mereka melakukan yang sebaliknya. Memang kebiasaan Al-Qur’an setelah menyebut tentang pihak negatif, diteruskan dengan menyebut tentang pihak yang positif. Maka setelah disebut tentang mereka yang menentang, sekarang disebut mereka yang wajar mendapat berita gembira dari Allah kerana beriman dengan sebenar-benar iman. Iaitu mereka benar-benar beriman dengan wahyu dan tidaklah menjadi seperti majoriti dari golongan Ahli Kitab itu.
الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكفُر بِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ
Those to whom We have given the Book recite it with its true recital. They [are the ones who] believe in it. And whoever disbelieves in it – it is they who are the losers.
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
الَّذِينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ
Orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka itu Kitab;
Iaitu kitab Taurat, Injil, Al-Qur’an dan lain-lain kitab lagi yang telah Allah ﷻ turunkan kepada manusia. Dalam ayat ini Allah ﷻ menggunakan perkataan آتَيْنَاهُمُ: ‘yang Kami berikan kepada mereka’. Ini menunjukkan Allah ﷻ masih lagi suka dengan mereka kerana Allah ﷻ masih lagi mengaitkan Nama-Nya dengan pemberian kitab itu. Maka ini memberikan harapan lagi kepada mereka.
Namun, ada terdapat di dalam ayat-ayat yang lain, Allah ﷻ menggunakan perkataan: ‘yang diberikan kepada mereka Kitab’, itu menunjukkan Allah ﷻ telah murka sangat kepada mereka. Sampaikan Allah ﷻ tidak lagi menyebut perkataan ‘Kami’ dalam ayat apabila Allah ﷻ murka terhadap mereka. Walaupun memang Allah ﷻ yang berikan kitab, tetapi Allah ﷻ tidak letak perkataan ‘Kami’.
يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ
mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan;
Allah ﷻ memberitahu tentang golongan Ahli Kitab yang telah membaca kitab mereka dengan betul. Jadi bukanlah semua Yahudi dan Nasara seperti yang disebut di dalam ayat sebelum ini. Ada yang baik sebenarnya, walaupun tidak ramai. Kalau mereka membaca kitab mereka dengan betul, maka mereka akan menemui tentang maklumat kedatangan Nabi akhir zaman – Nabi Muhammad ﷺ. Maka ada syarat untuk Allah ﷻ terima mereka: hendaklah mereka rujuk kitab wahyu mereka. Bagi mereka itu, setelah kedatangan Rasulullah dan Al-Qur’an, mereka telah beriman dengan keduanya.
Kalimah تِلاَوَتٌ dalam ayat ini bermaksud ‘mengikuti’. Ini seperti penggunaan di dalam Syams:2
وَٱلقَمَرِ إِذَا تَلَٮٰهَا
dan bulan apabila mengikutinya (matahari),
Oleh itu baca dengan betul itu adalah dengan mengikuti segala arahan di dalamnya, beriman dengan apa yang telah disebut di dalamnya. Mereka akan menghalalkan perkara yang dihalalkan dan mengharamkan perkara yang diharamkan oleh Allah ﷻ. Dan yang penting, tidak mengubah isi kandungannya. Tidak menyelewengkan maksudnya dan tidak menyembunyikan kandungannya.
Boleh juga ditambah di sini adalah dengan membacanya dengan baik. Maka perlu dibaca Al-Qur’an itu dengan tajwid yang baik. Tapi janganlah setakat baca dengan baik sahaja (seperti yang masyarakat kita lakukan) tapi hendaklah ditadabburi maksudnya dan diamalkan ajarannya.
Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita iaitu hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an. Inilah yang dikatakan baca dengan sebenar. Ini kerana kalau disebut حَقَّ تِلَاوَتِهِ ia bermaksud baca untuk faham, amal dan untuk sebar. Bukan setakat baca sahaja tanpa memahami apa yang kita baca. Berapa ramai dalam masyarakat kita yang memang sudah cintakan Al-Qur’an? Mereka membaca Al-Qur’an setiap hari.
Namun malangnya mereka tidak memahami apakah yang mereka baca itu. Ini amat merugikan sekali. Kita sepatutnya kena faham tafsir Al-Qur’an seperti yang difahami oleh ulama’ salaf dan sahabat. Sebab itu kena belajar tafsir dengan benar. Jangan salah pilih guru (maka kena ada fikiran yang kritis sedikit dalam memilih). Ada tafsir yang diajar oleh guru yang tidak habis pun belajar tafsir. Mereka agak-agak sahaja dalam tafsiran mereka.
Apabila kita sudah cinta kepada Al-Qur’an, akan timbul keinginan untuk belajar bahasa Arab supaya lebih memahami lagi Al-Qur’an itu. Begitu juga ia akan menggerakkan kita untuk membaca Al-Qur’an dengan tajwid yang benar dan menghafal ayat-ayat Al-Qur’an.
Jadi maksud حَقَّ تِلَاوَتِهِ itu kita boleh ringkasnya seperti berikut:
1. Baca dengan betul
2. Memahami apa yang dibaca dengan belajar tafsir
3. Bukan setakat faham sahaja, tapi kenalah amalkan.
4. Bukan amalkan untuk diri sendiri sahaja, tapi kena sampaikan kepada orang lain juga.
أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ
mereka yang bersifat seperti itulah yang beriman dengan kitab itu;
Kebenaran Al-Qur’an dan kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ini bukan untuk orang Arab sahaja. Ia bukan diketahui oleh orang Arab sahaja malah ia diketahui oleh ahli kitab juga kerana berita-berita tentang Nabi akhir zaman telah ada dalam kitab mereka. Iaitu terdapat di dalam kitab yang asli. Mereka yang benar-benar membaca kitab mereka dengan betul, akan menemui fakta ini.
Maka kita kena berpegang dengan Al-Qur’an untuk keselamatan kita terutama sekali di akhirat. Dengan Al-Qur’an inilah yang akan menyelamatkan kita seperti yang disebut oleh Rasulullah,
الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة
“Puasa dan Al-Quran akan memberikan syafaat pada seorang hamba dihari kiamat kelak”.
(Musnah Ahmad:6626, dan al-Hakim: 1/554, hasan li ghairihi).
Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam juga bersabda:
اقرءوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه، اقرءوا الزهراوين البقرة، وسورة آل عمران، فإنهما تأتيان يوم القيامة كأنهما غمامتان، أو كأنهما غيايتان، أو كأنهما فرقان من طير صواف، تحاجان عن أصحابهما
“Bacalah Al-Qur’an kerana Al-Qur’an akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat bagi yang membacanya (dengan tadabbur dan mengamalkannya). Bacalah al-Zahrawain (dua cahaya) iaitu surat Al-Baqarah dan Ali ‘Imran kerana keduanya datang pada hari kiamat nanti seperti dua awan atau seperti dua cahaya sinar matahari atau seperti dua ekor burung yang membentangkan sayapnya, keduanya akan menjadi pembela bagi yang rajin membaca dua surat tersebut.” (Riwayat Muslim: 1910).
Dengan Al-Qur’an inilah yang akan meninggikan kedudukan kita di dunia dan akhirat seperti sabda baginda,
يقالُ لصاحبِ القرآن: اقرَأ وارتَقِ، ورتِّل كما كُنْتَ ترتِّل في الدُنيا، فإن منزِلَكَ عندَ آخرِ آية تقرؤها
“Dikatakan pada orang yang menjadi penjaga Al-Qur’an: bacalah dengan tartil sebagaimana engkau dulu sewaktu di dunia membacanya dengan tartil, kerana sesungguhnya kedudukanmu (tingginya derajatmu di syurga) adalah tergantung pada akhir ayat yang engkau baca”.
(Sahih, Sunan Abu Daud: 1464 dan Tirmidzi: 3141).
Tidakkah kita mahu menjadi orang yang dipuji oleh Allah dan Rasulullah? Daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya”.
[Riwayat al-Bukhari (5027)]
Mungkin orang kita mengatakan mereka sayang Al-Qur’an, membacanya, malah menghafalnya seperti ramai yang menghantar anak-anak mereka ke pusat tahfiz. Akan tetapi kalau kita membacanya sahaja, itu tidak cukup. Malah kita boleh dikutuk oleh Al-Qur’an sendiri kerana meninggalkan pengajarannya. Dalam kita berharap kepada syafa’at dari Al-Qur’an, jangan kita mendapat kutukan darinya pula seperti sabda Rasulullah:
وَالقُرْاَنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ
“Al-Qur’an itu boleh menjadi pembelamu atau musuh bagimu.”
(Sahih Muslim no.223)
وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ
dan sesiapa yang engkar dengannya;
Yang engkar adalah mereka yang tidak mahu menurut ajaran wahyu. Sama ada mereka itu Ahli Kitab ataupun orang Islam. Maka ini termasuk dengan mereka yang enggan untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Apabila kita ajak, mereka tidak mahu belajar. Dan apabila kita berikan dalil daripada Al-Qur’an, mereka tidak mahu terima kerana mereka tidak pernah dengar. Memanglah mereka tidak pernah dengar kerana mereka tidak pernah belajar.
Sebelum ini telah disebut gerakan untuk menarik umat Islam ke dalam agama Kristian dan cara hidup Yahudi. Bagi mereka yang jauh dari wahyu Ilahi, akan senang terpengaruh dengan golongan itu. Kerana umat kita hanya membaca sahaja Al-Qur’an tanpa memahaminya, maka kerana itulah kita jadi lemah dan diperkotak-katikkan oleh golongan Ahli Kitab itu.
فَأُولَٰئِكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ
Maka mereka yang seperti itu adalah orang yang rugi sungguh;
Mereka yang enggan untuk menerima ajaran wahyu itu amatlah rugi. Mereka telah diberikan dengan wahyu sebagai panduan hidup tetapi mereka biarkan sahaja.
Maka begitulah juga, rugi sungguh orang Islam yang jahil wahyu kerana mereka sudah ada Al-Qur’an sebagai pedoman hidup, tetapi mereka tidak menggunakan Al-Qur’an sebagai pendidik dan pembimbing mereka. Mereka hanya baca untuk dapat pahala baca sahaja. Tapi di mana pula pahala memahami dan mengamalkan? Mereka terus ditakutkan dengan fahaman yang Al-Qur’an ini untuk golongan ulama’ sahaja, kalau kita belajar tafsir tidak akan faham, malah akan jadi sesat! Ini adalah kata-kata syaitan yang hendak menjauhkan umat manusia dari Al-Qur’an. Malangnya ramai yang sungguh benar-benar tertipu.
Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin yang Makro Kedua Surah Baqarah. Sila rujuk Ayat 5 pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Kedua ini berkenaan Teguran kepada Bani Israil (ayat 40 – 121). Daripada keseluruhan Makro ini, ia boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama berakhir dengan ayat 103. Sekarang kita lihat bahagian kedua pula (104 – 121)
Kaitan antara bahagian:
[B6]/[B6’] – Kedua-dua bahagian di dalam cincin luar ini menyebut tentang keraguan, pengejekan dan kedegilan Bani Israil. Sepatutnya mereka beriman dengan wahyu, namun sebaliknya mereka tanya soalan-soalan bodoh, menghina suruhan dan enggan masuk agama Islam.
[B7]/[B7’] – Di dalam bahagian ini ditekankan kekuasaan Allah ﷻ yang memiliki segala-galanya di dalam alam ini.
[B8]/[B8’] – Disebut Rasulullah ﷺ tidak dihormati dan kedudukan masjid Allah juga tidak dihormati. Kedua-duanya (Rasulullah ﷺ dan masjid) adalah wakil bagi kekuasaan Allah ﷻ dan orang kafir tidak menghormatinya.
[B9]/[B9’] – Dua-dua bahagian ini menyebut tentang dakwaan Nasrani dan Yahudi. Di dalam [B9] mereka mengatakan hanya agama mereka sahaja yang selamat dan masuk ke dalam syurga. Akan tetapi di dalam [B9′] disebut pula yang mereka tuduh menuduh sesama sendiri. Sebenarnya dua-dua mereka salah dan nanti Allah ﷻ akan menghakimi mereka di akhirat. Hanya Islam sahaja agama yang benar.
[B10] – Di tengah-tengah antara kekufuran dan kedegilan Bani Israil, Allah ﷻ memberitahu tentang orang yang benar-benar beriman. Mereka inilah yang taat kepada Allah ﷻ dan beramal soleh, mereka inilah yang akan mendapat balasan baik daripada Allah ﷻ.
Jadi kita telah habis membincangkan dua Makro di dalam Surah ini. Makro Pertama tentang perbezaan antara Mukmin dan Musyrikin dan Makro Kedua adalah Teguran kepada Bani Israil.
Sekian Ruku’ 14 daripada 40 surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 6 Julai 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA



ye
LikeLike