Tafsir Surah Baqarah Ayat 108 (Tanya soalan yang tidak patut)

Baqarah Ayat 108: Sekarang diberi lagi teguran kepada golongan Yahudi kerana kurang ajarnya mereka. Atau ia juga boleh diambil sebagai teguran kepada para sahabat. Jadi ia bukan sahaja kepada Yahudi akan tetapi kepada orang beriman juga. Maka kita juga mendapat pengajaran dari ayat ini.

أَم تُريدونَ أَن تَسأَلوا رَسولَكُم كَما سُئِلَ موسىٰ مِن قَبلُ ۗ وَمَن يَتَبَدَّلِ الكُفرَ بِٱلإِيمَـٰنِ فَقَد ضَلَّ سَوآءَ السَّبيلِ

Sahih International

Or do you intend to ask your Messenger as Moses was asked before? And whoever exchanges faith for disbelief has certainly strayed from the soundness of the way.

Malay

Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya dia telah sesat dari jalan yang lurus.

 

أَمْ تُرِيدُونَ أَنْ تَسْأَلُوا رَسُولَكُمْ

Adakah kamu hendak bertanya kepada Rasul kamu

Kurang ajarnya Yahudi itu kepada Nabi Muhammad seperti kurang ajarnya mereka kepada Nabi Musa dahulu. Mereka pernah meminta kepada Rasulullah untuk menurunkan keseluruhan Al-Qur’an kononnya sebagaimana Kitab Taurat telah diturunkan sekaligus. Ini kurang ajar namanya dan bukan sahaja mempersoalkan Nabi Muhammad, tapi mempersoalkan Allah sendiri!

Ini juga adalah teguran Allah ‎ﷻ kepada para sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Kalimah تَسْأَلُوا boleh jadi menyoal atau meminta. Ada kalangan sahabat yang tanya soalan-soalan tentang perkara yang tidak berlaku. Hanya berkemungkinan sahaja ia berlaku. Mereka juga mungkin meminta kepada Rasulullah akan hal yang tidak patut. Antaranya mereka bertanya kepada baginda siapakah bapa mereka. Allah ‎ﷻ menegur perbuatan mereka ini kerana bertanya perkara yang sia-sia.

Kalau hendak kirakan kemungkinan, semua benda boleh menjadi kemungkinan. Dalam fiqh ini disebut iftiradi. Kalau hendak layan semua, jenuh untuk dijawab semua soalan-soalan itu. Perkara ini banyak ada terdapat di dalam kitab feqah. Semua perkara diperbincangkan sampai manusia menjadi pening. Sebagai contoh, adakah halal makan ikan duyung? Atau satu lagi: adakah terlepas kewajipan mandi mayat kalau mayat itu bangun sendiri dan memandikan dirinya? Bagaimana solat di bulan? Soalan-soalan sebegini tidak memberi keuntungan kerana ia tidak terjadi pun. Jadi Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada mereka supaya tak payah tanya soalan-soalan begitu.

Isu membincangkan hukum-hakam fiqh pada perkara yang belum berlaku merupakan satu perbahasan yang panjang dalam kalangan ulama, dan ia diistilahkan sebagai al-fiqh al-iftiradhi الفقه الافتراضي atau al-fiqh al-taqdiri الفقه التقدير. Ringkasnya, ia merupakan usaha para ulama untuk mengandaikan situasi, keadaan atau perkara yang mungkin akan berlaku, lalu menetapkan hukum baginya.

Menurut Muhammad bin al-Hasan al-Hijawi, pengasas bagi manhaj fiqh iftiradhi ini ialah Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Tsabit. Beliau banyak memikirkan masalah-masalah taqdiriyyah dan menjangka terjadinya perkara-perkara tertentu serta hukum-hakamnya, sama ada melalui qiyas atau meletakkannya di bawah al-‘umum. Dikatakan bahawa permasalahan taqdiriyyah atau iftiradhiyyah yang beliau susun mencapai bilangan 60 ribu, dan ada yang menyatakan sehingga 300 ribu permasalahan fiqh.

Namun demikian, terdapat ayat-ayat Al-Qur’an serta hadith-hadith yang pada zahirnya melarang fiqh iftiradhi ini. Allah SWT telah berfirman di dalam Maidah:101:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.

Selain itu, Nabi SAW juga pernah melarang dari banyak bertanya tentang perkara-perkara yang belum diturunkan hukumnya dalam sabda Baginda SAW:

دَعُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ، إِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِسُؤَالِهِمْ وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ، فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
“Cukuplah dengan apa yang telah aku tinggalkan kepada kalian. Sesungguhnya umat-umat sebelum kamu telah binasa kerana terlalu banyak soalan mereka dan perselisihan mereka dengan para Nabi mereka. Apabila aku larang suatu perkara, tinggalkanlah, dan apabila aku perintahkan suatu perkara, lakukanlah dengan semampu yang mungkin.”
Sahih al-Bukhari (7288)

Teguran Allah tentang bertanya ini bukanlah semua soalan. Memang boleh bertanya dan banyak sahaja soalan yang telah dijawab Rasulullah dan menjadi ilmu bagi kita di kemudian hari. Kalau soalan yang memang hendakkan penjelasan, maka ini sangat dibolehkan malah digalakkan. Yang ditegur adalah permintaan yang bukan pada tempatnya atau soalan yang sengaja hendak merendahkan Nabi Muhammad dan agama seperti yang dilakukan oleh Yahudi itu. Kalau soalan yang baik, Allah pun memang suruh kita bertanya seperti disebut di dalam Nahl:43

فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ
maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,

Lihatlah sabda Nabi ﷺ dalam hal ini,

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit)
(Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad)

Akan tetapi tanyalah dengan baik dan beradab. Jangan tanya sengaja hendak menimbulkan kekecohan, atau bertanya soalan kerana hendak menguji ustaz. Atau bertanya perkara yang tidak perlu. Kadangkala susah ustaz cari jawapan dan kemudian kita tanya balik kenapa hendak tahu, dia cuma jawab ‘saja nak tahu’. Maknanya soalan itu tidak ada pun kepentingan kepadanya. Kena sedar bahawa para ustaz kita bukannya ‘mesin jawab soalan’. Kadangkala apabila ditanya terus hendak jawapan waktu itu juga, seolah-olah para ustaz kaunter pertanyaan pula dan tidak ada kerja lain.

Masyarakat kita kena tahu bahawa bertanya bukanlah cara belajar sebenarnya. Semua kita kena bermula dengan belajar dahulu, kemudian baru bertanya apa-apa yang tidak faham. Barulah senang diperjelaskan apa yang tidak difahami sahaja, bukannya sampai ustaz itu kena jelaskan dari perkara asas. Maknanya maklumat asas kena diketahui dahulu, kena masuk kelas dahulu, kena buat pembacaan dahulu.

 

كَمَا سُئِلَ مُوسَىٰ مِنْ قَبْلُ

sepertimana telah ditanya Nabi Musa sebelum ini? 

Allah menegur umat Islam jangan ikut perangai buruk golongan Yahudi. Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang perbuatan orang Yahudi kepada Nabi yang mereka sanjung dahulu – Nabi Musa عليه السلام. Sedangkan Nabi Musa عليه السلام sendiri telah mereka sakiti dengan menanyakan soalan yang tidak patut. Antaranya mereka minta untuk melihat Allah dengan mata kepala mereka. Dan apabila disuruh sembelih lembu macam-macam mereka tanya. Mereka bertanya itu sebenarnya kerana mereka tidak mahu buat seperti mana yang disuruh. Bila disuruh buat sesuatu, mereka persoal: “Kenapa kena buat?” Sekarang mereka tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Perbuatan mereka ini sebenarnya menyakitkan hati Nabi Musa seperti disebut di dalam Saf:5

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم
Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?”

Rasulullah juga pernah disakiti hati baginda oleh umat baginda dan baginda memuji Nabi Musa seperti yang terdapat di dalam satu hadis,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ لَمَّا كَانَ يَوْمُ حُنَيْنٍ آثَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَاسًا فِي الْقِسْمَةِ فَأَعْطَى الْأَقْرَعَ بْنَ حَابِسٍ مِائَةً مِنْ الْإِبِلِ وَأَعْطَى عُيَيْنَةَ مِثْلَ ذَلِكَ وَأَعْطَى أُنَاسًا مِنْ أَشْرَافِ الْعَرَبِ وَآثَرَهُمْ يَوْمَئِذٍ فِي الْقِسْمَةِ فَقَالَ رَجُلٌ وَاللَّهِ إِنَّ هَذِهِ لَقِسْمَةٌ مَا عُدِلَ فِيهَا وَمَا أُرِيدَ فِيهَا وَجْهُ اللَّهِ قَالَ فَقُلْتُ وَاللَّهِ لَأُخْبِرَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَتَيْتُهُ فَأَخْبَرْتُهُ بِمَا قَالَ قَالَ فَتَغَيَّرَ وَجْهُهُ حَتَّى كَانَ كَالصِّرْفِ ثُمَّ قَالَ فَمَنْ يَعْدِلُ إِنْ لَمْ يَعْدِلْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ قَالَ ثُمَّ قَالَ يَرْحَمُ اللَّهُ مُوسَى قَدْ أُوذِيَ بِأَكْثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ قَالَ قُلْتُ لَا جَرَمَ لَا أَرْفَعُ إِلَيْهِ بَعْدَهَا حَدِيثًا
Dari [Abdullah (Ibn Mas’ud)] dia berkata; Pada perang Hunain, Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ lebih berpihak kepada sebahagian orang dalam pembahagiannya (harta ghanimah). Baginda memberikan Al Aqra’ bin Habis sebanyak seratus ekor unta, dan memberikan Uyainah juga sebanyak itu. Lalu baginda membagikan kepada para pembesar Arab dan melebihkan bahagian mereka. Maka berkatalah seorang laki-laki, “Demi Allah, ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak mengharapkan wajah Allah.” Maka aku (Ibn Mas’ud) pun berkata, “Demi Allah, aku benar-benar akan menyampaikannya kepada Rasulullah SAW.” Kemudian aku segera mendatangi baginda dan mengabarkan apa yang telah dikatakan orang itu, maka berubahlah raut wajah baginda hingga seperti cat merah. Setelah itu, baginda bersabda: “Kalau begitu, lantas siapa lagi yang akan berlaku adil, jika Allah dan Rasul-Nya (dikatakan) tidak berlaku adil?” Kemudian baginda bersabda lagi: “Semoga Allah merahmati Musa, sungguh, dia telah disakiti lebih dari ini lalu dia bersabar.” Aku (Ibn Mas’ud) berkata; “Tidak ada dosa, jika setelahnya aku tidak lagi memberitakan sesuatu (yang membuatnya) marah.”
Sahih Bukhari (1759)

Sahabat-sahabat Nabi ﷺ juga ada tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang perkara yang karut atau tidak berfaedah. Antaranya mereka tanya siapakah bapa mereka yang sebenarnya. Ini kerana mereka tidak pasti jikalau ayah mereka adalah ayah mereka yang sebenarnya disebabkan ibu mereka telah mempunyai lebih dari satu pasangan (ini semasa zaman Jahiliyah dulu di mana ia adalah perkara biasa). Perkara tersebut merupakan perkara biasa ketika itu semasa zaman jahiliah ketika penzinaan masih berleluasa. Jadi itu adalah soalan yang tidak elok. Itu adalah antara soalan yang membuang masa sahaja. Tidaklah patut soalan sebegitu ditanya kepada Nabi kerana tujuan Nabi Muhammad ﷺ bukanlah untuk menjawab perkara-perkara sebegitu. Banyak lagi tugas Nabi ﷺ di muka bumi ini. Nabi ﷺ tidak mempunyai banyak masa kerana baginda menjadi Rasul selama 23 tahun sahaja dan dalam waktu yang singkat itu baginda kena menyampaikan segala maklumat penting tentang agama. Jadi apabila mereka bertanya soalan yang tidak patut, maka ia hanyalah membuang masa Nabi ﷺ sahaja.

أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ حِينَ زَاغَتْ الشَّمْسُ فَصَلَّى الظُّهْرَ فَلَمَّا سَلَّمَ قَامَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَذَكَرَ السَّاعَةَ وَذَكَرَ أَنَّ بَيْنَ يَدَيْهَا أُمُورًا عِظَامًا ثُمَّ قَالَ مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَسْأَلَ عَنْ شَيْءٍ فَلْيَسْأَلْ عَنْهُ فَوَاللَّهِ لَا تَسْأَلُونِي عَنْ شَيْءٍ إِلَّا أَخْبَرْتُكُمْ بِهِ مَا دُمْتُ فِي مَقَامِي هَذَا قَالَ أَنَسٌ فَأَكْثَرَ النَّاسُ الْبُكَاءَ وَأَكْثَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَقُولَ سَلُونِي فَقَالَ أَنَسٌ فَقَامَ إِلَيْهِ رَجُلٌ فَقَالَ أَيْنَ مَدْخَلِي يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ النَّارُ فَقَامَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ حُذَافَةَ فَقَالَ مَنْ أَبِي يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَبُوكَ حُذَافَةُ قَالَ ثُمَّ أَكْثَرَ أَنْ يَقُولَ سَلُونِي سَلُونِي فَبَرَكَ عُمَرُ عَلَى رُكْبَتَيْهِ فَقَالَ رَضِينَا بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَسُولًا قَالَ فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ قَالَ عُمَرُ ذَلِكَ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ عُرِضَتْ عَلَيَّ الْجَنَّةُ وَالنَّارُ آنِفًا فِي عُرْضِ هَذَا الْحَائِطِ وَأَنَا أُصَلِّي فَلَمْ أَرَ كَالْيَوْمِ فِي الْخَيْرِ وَالشَّرِّ
Anas bin Malik radiallahuanhu berkata, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berangkat ketika matahari telah miring, lalu baginda shalat zhuhur, selesai salam baginda berdiri di atas mimbar dan mengingatkan kiamat, baginda ceritakan bahawa menjelang kiamat terjadi peristiwa-peristiwa besar, kemudian berkata: “Siapa yang ingin bertanya sesuatu, silakan! Demi Allah, tidaklah kalian bertanya kepadaku tentang sesuatu, selain kuberitakan kepada kalian selama aku masih berada di tempatku ini.” Anas berkata, “Lantas orang-orang menangis teresak-esak dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyak bertanya: “Bertanyalah kalian kepadaku!” Anas melanjutkan, “Lantas ada seseorang berdiri menuju baginda dan bertanya, “Di manakah tempat tinggalku ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kamu di neraka.” Lantas Abdullah bin Khudzaifah berdiri dan bertanya, “Siapa ayahku ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Ayahmu Hudzaifah.” Anas melanjutkan perkataannya, “Nabi memperbanyak bertanya: “Bertanyalah kalian kepadaku, bertanyalah kalian kepadaku.” Lantas Umar meletakkan kedua lututnya dan berkata, ‘Kami redha Allah sebagai Rabb, Islam sebagai agama, dan Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai Rasul.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lantas terdiam ketika Umar mengucapkan yang demikian. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Demi Dzat yang diriku berada di tangan-Nya, tadi telah diperlihatkan kepadaku syurga dan neraka di balik tembok ini ketika aku salat, dan belum pernah kulihat kebaikan dan keburukan seperti hari ini.”
Sahih Bukhari (6750)

Penerangan: Rasulullah berterusan suruh mereka bertanya itu kerana baginda sudah marah. Seolah-olah macam kalau kita kata begini: “ha tanyalah lagi! tanyalah lagi!”. Saidina Umar yang perasan Nabi telah marah maka kerana itu beliau telah memujuk baginda dengan melutut di hadapan baginda.

Satu lagi tafsir, kerana kita masih lagi dalam bahagian Surah Baqarah yang berkenaan Bani Israil, maka pertanyaan ini ditujukan kepada mereka. Kalau begitu, ayat ini adalah tentang pertanyaan-pertanyaan mereka kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan رَسُولَكُمْ – Rasul kamu – kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul mereka sekarang. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu juga merupakan rasul mereka. Mereka sepatutnya telah menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul mereka, tetapi mereka yang tidak terima.

Dalam ayat sebelum ini, mereka mempersoalkan tentang Allah ‎ﷻ memansukhkan Kitab-kitab mereka dan hukum-hukum dalam agama. Kali ini mereka mempersoalkan tentang kenabian Nabi Muhammad ﷺ pula. Begitu juga yang mereka telah buat kepada Nabi Musa عليه السلام dahulu. Mereka mempersoalkan arahan yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام. Mereka kata arahan itu dari Nabi Musa عليه السلام, bukan dari Allah ‎ﷻ.

Islam memang menggalakkan manusia bertanya untuk mendalami agama. Tetapi soalan mereka ini bukan soalan yang hendak mendalami agama. Contohnya ada jenis soalan yang baik seperti: Bagaimana cara hendak bayar zakat? Itu adalah soalan yang baik.

Tetapi berbeza pula dengan soalan: Kenapa kita kena bayar zakat pula? Itu soalan yang mempersoalkan kesahihan sesuatu hukum. Maka beginilah soalan yang mereka telah berikan dahulu kepada Nabi Musa عليه السلام. Kita telah belajar bagaimana mereka bertanya dan bertanya lagi tentang arahan Allah ‎ﷻ untuk mereka menyembelih lembu betina itu. Mereka tanya untuk memperolokkan arahan yang telah diberikan kepada mereka.

 

وَمَنْ يَتَبَدَّلِ الْكُفْرَ بِٱلإِيمَـٰنِ

Dan sesiapa yang ingin tukar iman kepada kufur;

Iaitu mereka yang mengambil kufur, dengan menolak iman. Iaitu permintaan seperti hendak melihat Allah adalah perbuatan kufur. Ini kerana beriman kepada Allah adalah perkara hati, bukannya kerana boleh melihat dengan mata. Kalau hanya percaya setelah melihat, maka itu bukan iman namanya.

Begitu juga kalau soalan mereka adalah untuk mempersoalkan kedudukan Nabi, itu adalah perbuatan kufur. Mereka kena faham, mempersoalkan Rasul adalah sama juga mempersoalkan Allah ‎ﷻ. Ini kerana arahan yang Rasul sampaikan adalah dari Allah ‎ﷻ – bukannya dari diri rasul itu. Maka sesiapa yang mempersoalkan Allah ‎ﷻ, itu adalah tindakan kufur. Itulah makna ayat ini – mereka telah menukar iman dengan kekufuran dengan bertanya soalan yang mempersoalkan Nabi Muhammad ﷺ.

Zaman sekarang, banyak manusia yang mempersoalkan Nabi. Mereka kononnya terima Allah ‎ﷻ, tetapi tidak terima Nabi. Sebab itu ada kumpulan-kumpulan yang anti-hadith. Padahal, mereka tidak belajar hadith-hadith Nabi ﷺ itu (mereka setakat baca sahaja dan buat konklusi sendiri sedangkan bahasa Arab pun mereka tidak tahu). Mereka terus sangka bahawa hadith-hadith itu semua tidak boleh pakai kerana ia adalah kata-kata manusia. Mereka sangsi terhadap kebenaran hadith-hadith itu kerana disampaikan dari manusia kepada manusia yang lain, maka pada mereka tentulah adalah kesilapan. Mereka buat konklusi itu kerana mereka tidak ilmu hadith dan bagaimana ahli hadith amat-amat menjaga kesahihan dan mereka memastikan hadith yang disampaikan itu ada sanadnya. Dan kita boleh periksa kesahihan hadith dengan sanadnya.

Jadi memang terdapat fahaman yang amat bahaya seperti mereka itu. Ini kerana pendapat sebeginilah yang menyebabkan manusia menjadi sesat. Bagaimana kita hendak menerima Al-Qur’an tetapi tidak menerima Hadith Nabi, padahal hadith Nabi itu memperjelaskan apa yang ada dalam Al-Qur’an? Kita tidak akan faham apakah yang Allah ‎ﷻ maksudkan dalam ayat-ayat-Nya tanpa penjelasan dari Nabi ﷺ. Kita juga tidak tahu bagaimana hendak mengamalkan suruhan dalam Al-Qur’an kalau tidak ditunjukkan caranya oleh Nabi ﷺ. Bagaimana pula mereka boleh berkata mereka terima Al-Qur’an tetapi tidak terima Nabi ﷺ, sedangkan Al-Qur’an itu juga telah disampaikan melalui mulut Nabi ﷺ? Ini semua terjadi kerana mereka tidak belajar Al-Qur’an dan tidak belajar ilmu hadith. Padahal, dua perkara itu adalah sumber rujukan utama kepada manusia. Namun lihatlah bagaimana umat Islam sendiri amat jauh daripada dua sumber ini. Mereka langsung tidak ambil peduli tentang ilmu tafsir Al-Qur’an dan ilmu Hadith. Yang mereka belajar dan pegang dengan kuat adalah ajaran dari guru-guru mereka dan dari kitab-kitab karangan manusia.

 

فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ السَّبِيلِ

sesungguhnya telah sesat mereka itu dari jalan yang benar.

Ini kerana mereka tolak Nabi, mereka telah sesat jauh dari kebenaran. Allah ‎ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka yang berterusan menolak Nabi. Kalau tidak mahu memberi telinga mendengar dakwah dari Nabi dan penyeru Tauhid, maka akan ada masalah dengan iman nanti. Mereka yang tidak menjaga mulut mereka dari bertanya soalan yang tidak perlu, maka mereka itu berada dalam kedudukan yang bahaya. Di dalam sebuah hadith telah disebutkan:

“أَعْظَمَ الْمُسْلِمِينَ جُرْمًا مَنْ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يُحَرّم فَحُرِّمَ مِنْ أَجْلِ مَسْأَلَتِهِ”
Orang muslim yang paling besar dosanya ialah seseorang yang menanyakan sesuatu yang tidak diharamkan, lalu menjadi diharamkan kerana pertanyaannya itu.
(Sahih Bukhari No. 7289)

Maka jangan kita ikut jejak langkah golongan Yahudi yang banyak bertanya perkara yang tidak patut. Allah telah berfirman di dalam Maidah:102

قَد سَأَلَها قَومٌ مِّن قَبلِكُم ثُمَّ أَصبَحوا بِها كٰفِرينَ
Sesungguhnya telah ada segolongan manusia sebelum kamu menanyakan hal-hal yang serupa itu (kepada Nabi mereka), kemudian mereka kufur dengannya.

Para sahabat yang sudah memahami larangan bertanya itu telah mengambil pengajaran. Dan mereka menahan diri mereka dari bertanya kepada Nabi kalau tidak perlu. Mereka tunggu sahaja maklumat yang akan disampaikan oleh baginda. Tapi mereka suka kalau ada orang Badwi yang datang dari padang pasir bertanya kerana mereka dapat mendengar soalan dan jawapan dari Rasulullah,

عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ نُهِينَا فِي الْقُرْآنِ أَنْ نَسْأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ شَيْءٍ فَكَانَ يُعْجِبُنَا أَنْ يَجِيءَ الرَّجُلُ الْعَاقِلُ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ فَيَسْأَلَهُ
Dari Tsabit dari Anas dia berkata; “Dalam Al Qur’an kami dilarang bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sesuatu. Sangat menakjubkan kami jika ada seorang yang berakal dari penduduk kampung hendak datang lalu bertanya kepada baginda.
Sunan An-Nasa’i No. 2064

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment