Tafsir Surah Baqarah Ayat 103 – 104 (Berhati-hati dengan kalimah)

Baqarah Ayat 103: Penutup kisah sihir yang diamalkan oleh golongan Yahudi.

وَلَو أَنَّهُم ءَامَنُواْ وَاتَّقَوا لَمَثوبَةٌ مِّن عِندِ اللَّهِ خَيرٌ ۖ لَّو كانوا يَعلَمونَ

Sahih International

And if they had believed and feared Allah , then the reward from Allah would have been [far] better, if they only knew.

Malay

Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui.

وَلَوْ أَنَّهُمْ ءَامَنُواْ

Dan kalaulah mereka beriman sungguh-sungguh;

Iaitu beriman dengan sempurna, tidak ada syirik kepada Allah ‎ﷻ. Kena faham apakah maksud ‘beriman yang sempurna’ ini. Ini kerana ada manusia yang beriman, tetapi tidak beriman dengan sempurna. Maksudnya, mereka mungkin percaya kepada Allah ‎ﷻ, tetapi dalam masa yang sama, mereka percaya kepada selain Allah ‎ﷻ juga – ini adalah syirik. 

Kalau khusus berkenaan ayat sebelum ini, maka iman yang dimaksudkan adalah Allah yang menentukan segala yang terjadi. Tukang sihir tidak ada kuasa.

 

وَاتَّقَوْا

dan bertaqwa;

Taqwa itu dicapai dengan menjaga hukum dan tidak belajar sihir. Ini dengan menjaga segala perbuatan kita supaya tidak bertentangan dengan arahan Allah ‎ﷻ dalam segenap sudut kehidupan kita.

Yang jadi masalahnya apabila orang kita banyak memandai-mandai dalam hal ilmu keagamaan. Antaranya mereka kata boleh buat itu dan ini menggunakan ayat Al-Qur’an. Sedangkan itu adalah sihir! Orang kita sahaja yang jahil dan senang tertipu. Apabila jahil ilmu wahyu, maka syaitan akan senang masuk campurkan dan sesatkan manusia menggunakan Al-Qur’an.

Ini kerana syaitan telah berjaya menyesatkan manusia menyalah gunakan ayat-ayat Al-Qur’an bukan pada tempatnya dan sekaligus telah menghina ayat suci Al-Qur’an tanpa disedari. Begitulah apabila manusia telah meletakkan pergantungannya kepada syaitan, maka Allah benarkan perkara ini berlaku sebagai ‘istidraj’ kepada si pelaku -[bila buat, jadi… maka keyakinannya dengan amal salah tersebut bertambah kuat].

Ingatlah yang setiap amalan yang tidak ada contohnya dari Al-Qur’an dan Sunnah, maka Allah akan beri kepadanya syaitan yang semakin menyesatkannya dari jalan yang benar. Dalilnya adalah Zukhruf 36 – 37

(وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ * وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ)

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Biar betul, pakai ayat Al-Qur’an pun boleh jadi sihir? Apakah contoh-contohnya?

Apabila dibaca ayat Ali Imran: 31

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني يُحبِبكُمُ اللَّهُ وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Mereka yang mengamalkan ayat ini (dengan cara yang salah) bertujuan untuk menarik cinta seseorang terhadapnya. Maknanya ini adalah sihir pemikat. Kononnya supaya suami cinta dan tidak pandang wanita lain. Dan untuk orang supaya orang belas kasihan kepadanya.

Yang selalu kita dengar adalah amalan Yaasin:9

وَجَعَلنا مِن بَينِ أَيديهِم سَدًّا وَمِن خَلفِهِم سَدًّا فَأَغشَينٰهُم فَهُم لا يُبصِرونَ

Allah akan jadikan hijab di hadapan mereka dan hijab di belakang mereka. Dan akan ditutupkan pandangan mereka. Bagaimana lagi mereka boleh melihat?

Ayat ini diamalkan sebagai sihir pendinding atau menghilangkan diri. Ia dibaca dengan tujuan melindungi diri dari sekatan jalan raya, polis, JPJ atau trafik. Juga ada mendakwa ia boleh melindungi tanaman dari haiwan perosak seperti babi hutan atau monyet. Dan ada juga yang menggunakannya untuk melindungi rumah dari dimasuki pencuri. Kononnya pencuri tak jumpa rumah dia.

Selain dari itu ada yang mengamalkan bacaan surah-surah tertentu untuk mendapat kekebalan, seperti surat al-Fiil yang dibaca beberapa ribu kali berserta mentara-mentara tertentu agar dapat kekebalan.

Ada yang mengamalkan bacaan Yaasin 7 Mubin yang banyak dipopularkan oleh ustaz-ustaz jahil yang tidak amanah kepada agama dengan mereka-reka amalan bid’ah yang tidak ada petunjuk dari Allah dan Rasulullah. Sudahlah mereka reka amalan, mereka reka pula fadhilat petik sendiri. Kononnya ampuh untuk mencari barang hilang, memanggil pulang suami /isteri yang lari kerana ikut kekasih lain, juga untuk membalas sihir yang dihantar oleh bomoh atau dukun.

Begitulah antara contoh sihir dengan menggunakan ayat Al-Qur’an. Ada banyak lagi dan kekarutan ini akan bertambah kerana akan ada yang menambahnya.  Ayat-ayat Al-Qur’an tersebut dibaca dengan kaedah tertentu dan ritual tertentu malah ada kalanya dicampur aduk dengan mentara-mentara tertentu dengan tujuan tertentu. Yang kesemua tujuannya adalah menyelisihi tujuan utama untuk apa Al-Qur’an diturunkan kepada manusia. Al-Qur’an untuk beri petunjuk bukannya untuk fadhilat dan khasiat-khasiat yang mereka reka itu.

Ia semakin parah lagi apabila kaedah sihir ini dipopularkan oleh mereka yang memegang gelaran “ustaz”. Orang awam semakin keliru kerana yang mengajarnya adalah “ustaz”… Alasannya…”takkan lah ustaz buat benda salah…” Itulah akibat tidak belajar tentang Tauhid, tidak belajar faham Al-Qur’an dan hadis. Mereka ini sebenarnya mengikut hawa nafsu dan akal mereka sahaja tanpa memikirkan akibat buruk yang melanda aqidah Tauhid mereka.

 

لَمَثُوبَةٌ مِّنْ عِنْدِ اللَّهِ خَيْرٌ

Pasti pahala di sisi Allah itu lebih baik

Bagi mereka yang beriman sempurna dan taqwa, Allah ‎ﷻ janjikan pahala bagi mereka. Ini lebih baik dari mendapat apa-apa kelebihan dengan mengerjakan sihir yang diharamkan itu.

 

لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Kalaulah mereka itu mengetahui.

Kalaulah manusia tahu yang sesiapa yang belajar sihir, maka dia akan masuk neraka. Sesiapa yang suruh kenakan sihir kepada orang lain, yang beri upah dan sesiapa yang terlibat dengan sihir itu, juga akan masuk neraka. Kalau tolong beritahu sahaja di mana ada tok bomoh pun sudah boleh masuk neraka.

Katakanlah ada yang bertanya kepada kita: “Mana rumah bomoh sekian sekian di kampung ini?”, dan kalau kita tunjuk sahaja di manakah rumah bomoh itu, maka kita pun sudah dikira terlibat juga. Maka, janganlah kita terlibat sedikit pun dengan amalan sihir ini.

Harut dan Marut juga telah memberitahu kepada mereka yang datang belajar dengan mereka, bahawa akan datang nanti manusia yang bawa sesuatu yang kelihatan seperti sihir tetapi ia bukan sihir. Perbuatan itu adalah mukjizat yang dapat mengalahkan sihir.

Mukjizat pasti akan dapat mengalahkan sihir. Harut dan Marut memberitahu mereka bahawa sesiapa yang bawa perkara sebegitu, maka orang itu adalah seorang Nabi. Apabila bertemu dengan orang seperti itu, maka mereka kena ikut.

Kerana itulah, apabila ahli-ahli sihir Firaun berlawan dengan Nabi Musa عليه السلام dan apabila mereka melihat mukjizat Nabi Musa عليه السلام itu, mereka terus tunduk sujud dan mengaku bahawa Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi dan mereka beriman dengannya dan dengan Allah ‎ﷻ. Ini kerana mereka telah diberitahu dari dahulu lagi, bahawa apabila datang orang yang dapat mengalahkan sihir mereka, itu tentulah seorang Nabi.

Jadi, dari sini kita telah tahu bahawa sihir boleh dikalahkan dengan mukjizat. Tetapi, kerana zaman sekarang Nabi telah tiada, maka mukjizat yang boleh dilihat dengan mata pun sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah Al-Qur’an. Dan seperti yang kita patut tahu, Al-Qur’an itu adalah mukjizat yang paling agung. Maka, kita kena guna mukjizat Al-Qur’an untuk mengalahkan sihir.

Apakah itu mukjizat? Sebagai contoh, kita selalu dengar tentang kisah tongkat Nabi Musa عليه السلام. Tongkat Nabi Musa عليه السلام itu telah menjadi seekor ular dan memakan ular-ular jelmaan ahli sihir yang lain. Musa عليه السلام melempar tongkat itu setelah diarahkan oleh Allah ‎ﷻ. Apabila Musa عليه السلام sendiri melempar, ia tidak akan menjadi ular. Namun apabila diperintah oleh Allah‎ﷻ , barulah tongkat itu menjadi ular.

Begitu jugalah, apabila Musa عليه السلام memukul laut, laut terbelah dengan izin Allah ‎ﷻ, dan apabila Musa عليه السلام memukul batu, keluar air dari batu itu sebagai minuman untuk kaumnya. Semua kejadian itu dimulai dengan suruhan Allah ‎ﷻ. Kalau Nabi Musa عليه السلام suka-suka buat sendiri, tidak akan menjadi mukjizat itu.

Semasa Nabi Muhammad ﷺ bersama sahabat-sahabat dalam musafir, pernah mereka kehabisan air. Maka, pernah Nabi ﷺ memasukkan tangannya ke dalam bekas dan keluar air dari jari-jari baginda untuk diminum oleh sahabat-sahabat. Tetapi, kita tidak pula dengar dalam hadith yang lain bahawa sahabat-sahabat akan meminta kepada Nabi ﷺ untuk mengeluarkan air apabila mereka memerlukan air.

Para sahabat tidak meminta kerana mereka tahu bahawa kejadian itu bukan dari kehendak Nabi ﷺ tetapi dari kehendak Allah ‎ﷻ. Mereka tahu yang mereka tidak patut minta kepada Nabi ﷺ perkara sebegitu. Yang dalam sirah Nabi ﷺ yang menceritakan berbagai-bagai perkara manusia meminta Nabi ﷺ tunjuk, itu adalah dari mereka yang tidak percaya kepada Nabi ﷺ sahaja.

Maknanya, mukjizat adalah atas anugerah Allah ‎ﷻ. Bukan atas kehendak Nabi. Seorang Nabi tidak boleh membuat mukjizat dengan keinginannya sendiri. Mereka juga tidak boleh mengulang-ulang mukjizat itu. Mukjizat itu selalunya akan berlaku sekali sahaja.

Perkara yang hampir sama dengan mukjizat adalah ‘karamah’ yang diberikan kepada wali-wali. Maka, janganlah percaya jikalau ada cerita bagaimana seorang wali boleh melakukan karamah setiap kali mereka mahu. Karamah akan berlaku kepada para wali Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, pernah Saidina Umar رضي الله عنه nampak tentera beliau yang berada beribu batu dari tempatnya dan beliau telah memberi nasihat kepada mereka untuk naik ke bukit.

Itu adalah adalah contoh karamah yang kita sudah biasa dengar. Ini adalah anugerah dari Allah ‎ﷻ. Tetapi masyarakat kita memang keliru tentang wali ini. Mereka sangka, wali adalah seorang yang kerja mereka berzikir sahaja. Berzikir sampai tidak bercampur orang lain. Itu bukan wali.

Ingatlah yang kita tidak boleh kenal siapakah wali itu kerana ia adalah rahsia dari Allah ‎ﷻ. Kita juga boleh jadi wali jikalau kita mengamalkan apa yang Allah ‎ﷻ suruh dan meninggalkan apa yang Allah ‎ﷻ larang. Seperti juga dengan mukjizat, wali-wali tidak boleh mengeluarkan ‘karamah’ dengan kehendak mereka sendiri. Karamah juga tidak boleh berulang-ulang. Tidaklah Saidina Umar رضي الله عنه boleh melihat tenteranya setiap kali. Yang boleh berulang-ulang itu adalah sihir.

Sihir boleh dilakukan tiap-tiap hari kerana Allah ‎ﷻ izinkan sihir itu berlaku. Walaupun Allah ‎ﷻ tidak redha, tetapi Allah ‎ﷻ benarkan kerana ada orang yang hendak buat benda salah. Nanti Dia akan masukkan mereka yang mengamalkan sihir itu ke dalam neraka nanti.

Sihir itu adalah apa sahaja yang dibaca dengan menggunakan ‘tawasul’ – perantaraan, dengan niat untuk mengenakan orang lain. Ada juga yang menyihir dengan menggunakan ayat Kursi. Jadi walaupun seseorang itu pakai ayat Al-Qur’an, tetapi kalau niat mereka tidak baik, maka ia juga adalah sihir. Selalunya, orang yang menyihir itu akan menyeru orang yang hendak disihir itu dengan menggunakan nama orang itu ‘berbinkan’ emaknya.

Orang yang telah dikenakan sihir itu, boleh jadi sampai gila akhirnya. Ingatlah, hanya Nabi Isa عليه السلام sahaja dalam dunia ini yang berbinkan kepada emaknya. Orang lain, semua ada bapa, maka bin kita adalah bapa kita. Orang yang menggunakan sihir itu, mesti memerlukan nama emak kepada orang yang disihir itu. Mereka akan menyeru orang yang hendak dikenakan. Itu adalah salah satu cara untuk kita kenal sihir.

Contoh lain adalah mereka yang suka meminta doa-doa atau zikir keramat dari tok-tok guru untuk mereka amalkan supaya mereka mendapat sesuatu kelebihan. Sebenarnya, manusia tidak boleh belajar untuk jadi keramat. Tapi ramai yang hendakkan ilmu ghaib dan sebagainya. Termasuklah mereka yang menggunakan sepotong ayat dari Surah Yaasin untuk menutup mata polis di jalanraya. Ini banyak orang amal tanpa sedar bahawa ia adalah salah. Selain dari itu, ada banyak yang belajar ilmu kebal dari senjata. Ada juga yang belajar supaya mereka boleh menjatuhkan monyet dan binatang lain dari pokok hanya dengan menunjuk dengan jari ke arah binatang itu. Itu semua adalah sihir.

Selalunya sihir itu berkisar dalam persilatan dan puak yang mengamalkan tasawuf. Bukanlah semua, tetapi begitulah yang berlaku pada kebiasaannya. Apabila membuat karamah dengan kehendak sendiri, itu adalah sihir. Kalau kita lihat wirid mereka, sudah pasti akan ada amalan beri salam kepada wali, nabi dan malaikat dan seru kepada selain Allah ‎ﷻ.

Amalan-amalan itu tidak asing bagi mereka kerana amalan itu sudah ada dalam majlis tahlil dari dahulu lagi. Apabila mereka mengambil amalan sihir daripada mana-mana guru, mereka tidak berasa asing lagi kalau ada amalan tawassul di dalamnya kerana sudah biasa buat dalam majlis tahlil. Setiap kali dibaca seruan itu, seekor jin akan datang dan berdamping dengan diri mereka.

Nabi ﷺ pernah berkata, sesiapa yang pergi berjumpa bomoh dan percaya bahawa bomoh itu boleh menyembuhkan penyakit, orang itu sudah kufur dengan agama Nabi Muhammad ﷺ.

من أتى كاهنا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد
“Barangsiapa mendatangi dukun lalu mempercayai apa yang dikatakannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.”
(Riwayat. At-Tirmidzi 135 disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam “Irwa’ul Gholil” 6817)

Ini adalah perkara akidah dan akidah adalah perkara besar. Kalau meminta tolong lebih kurang, tidak mengapa. Tetapi masyarakat kita lain. Sikit-sikit akan minta kepada bomoh. Sikit-sikit akan minta kepada ‘ustaz’ padahal mereka tidak tahu bahawa itu adalah salah. Janganlah kita sangka semua ustaz itu benar. Ramai yang ‘uskun’ sahaja (ustaz dukun).

 

Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin yang Makro Kedua Surah Baqarah. Sila rujuk Ayat 5 pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Kedua ini berkenaan Teguran kepada Bani Israil (ayat 40 – 121). Dari keseluruhan Makro ini, ia boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama berakhir dengan ayat 103 ini.

Penerangan tentang kaitan:

[B1]/[B1’] – Ada khitab kepada Bani Israil dan ada khitab kepada Rasulullah ﷺ. Bahagian [B1] bermula dengan ajaran kepada golongan Bani Israil untuk beriman dan memenuhi janji mereka dengan ﷻ untuk berpegang dengan iman. Akhirnya di dalam [B1′] Allah ‎ﷻ memberitahu Rasulullah ﷺ yang kebanyakan Bani Israil itu tidak akan beriman. Mereka gagal memenuhi perjanjian mereka dan mereka menolak Nabi Muhammad ﷺ walaupun baginda datang membenarkan kitab wahyu mereka sendiri.

[B2]/[B2’] – Sekali lagi ada khitab kepada Bani Israil dan ada khitab kepada Rasulullah ﷺ. Di dalam Bahagian [B2] Allah ﷻ mengingatkan Bani Israil untuk bertaqwa dengan Hari Kebangkitan. Kalau mereka tidak bertaqwa, Allah ﷻ tidak akan menyelamatkan mereka sebagaimana Allah ﷻ telah menyelamatkan mereka daripada Firaun dulu. Di dalam [B2] Allah ﷻ memberitahu Rasulullah ﷺ yang mereka itu tidak bertaqwa dengan Hari Kebangkitan, maka kerana itu mereka takut kepada mati kerana mereka sedar kesalahan yang mereka telah lakukan. Mereka mahu umur yang panjang, akan tetapi umur yang panjang itu hanya melengahkan sahaja apa yang mereka akan dapat di akhirat kelak.

[B3]/[B3’] – Tentang patung anak lembu emas iaitu berhala mereka. Bahagian pertama [B3] Allah ﷻ menyebut pengampunan-Nya terhadap mereka walaupun mereka telah menyembah patung itu. Allah ﷻ sanggup mengampuni mereka asalkan mereka berhenti daripada melakukan syirik dan kembali kepada-Nya. Akan tetapi di dalam [B3′] isu patung itu disebut lagi dan kali ini kita diberitahu yang mereka sayang sangat kepada lembu itu sampaikan hati mereka tidak dapat meninggalkannya. Maknanya, mereka telah diberi peluang untuk bertaubat akan tetapi mereka tidak mengambilnya.

[B4]/[B4’] – Bahagian ini mengandungi kisah tentang Yahudi di zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Yahudi di zaman Nabi Muhammad ﷺ. Di dalam Bahagian [B4] disebut panjang lebar tentang berbagai-bagai pelanggaran syariat dan kedegilan mereka dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kemudian di dalam di dalam [B4′] disebut tentang Yahudi di zaman Nabi Muhammad ﷺ. Disebut yang perangai mereka sama sahaja dengan perangai tok nenek mereka dahulu.

[B5] – Sekarang disebut kenapa perangai manusia itu degil tidak mahu menerima kebenaran dari dahulu sampai sekarang. Iaitu kerana hati yang keras macam batu! Akan tetapi bukanlah semua orang begitu. Ada yang hati mereka boleh menerima kebenaran dan diberikan perumpamaan dengan batu yang mengeluarkan air.

Sekian Ruku’ 12 daripada 40 surah ini


 

NASIHAT KEPADA GOLONGAN BERIMAN

Baqarah Ayat 104: Sebelum ini kita telah banyak belajar tentang sifat buruk golongan Yahudi. Kita sudah tahu yang Yahudi tidak akan senang melihat orang Islam maju. Ini kerana pada mereka kalau Islam naik, mereka pula yang akan jatuh. Maka mereka akan cuba untuk menjatuhkan umat Islam. Mereka lakukan dengan dua cara. Pertama, mereka bercampur gaul dengan umat Islam dan cuba menjadi penasihat. Mereka lakukan begitu supaya Muslim meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi sampai susah untuk dilawan.

Kedua, bila ada peluang dijadikan sebagai penasihat, mereka akan beri nasihat untuk menjatuhkan umat Islam. Maka kena berjaga-jaga dengan mereka. Ini kerana, walaupun mereka beri nasihat, nasihat mereka itu adalah untuk menjatuhkan kita sebenarnya.

Yang ketiga, kita boleh lihat contoh kurang ajar dan tidak beradabnya dengan Nabi. Mereka ini memang jenis kurang dengan para Nabi mereka sendiri, sekarang mereka lakukan pula terhadap Nabi Muhammad, yang juga Nabi mereka. Mereka berlakon baik di hadapan baginda, akan tetapi di dalam hati mereka menghina baginda.

Yang keempat, ia melibatkan masalah akidah. Dalam ayat ini, disebut bagaimana Yahudi cuba menetapkan satu perkataan kepada umat Islam secara senyap yang boleh merosakkan akidah. Oleh itu, Allah ‎ﷻ suruh para sahabat menggunakan perkataan lain.

Latar belakang ayat ini: Golongan Yahudi ada juga masuk dalam majlis Nabi ﷺ, dengar syarahan dan ajaran dari Nabi Muhammad ﷺ, dan apabila mereka mahu Nabi ﷺ berikan perhatian kepada mereka, mereka berkata “ra’ina”. Mereka biasa menggunakan lafaz ini dalam majlis Nabi ﷺ. Sedangkan lafaz ini boleh membawa maksud baik dan juga maksud yang buruk dalam bahasa mereka.

Dari segi zahir, ia bermaksud “beri perhatian kepada kami” tetapi dalam bahasa mereka, ia juga bermaksud ‘bodoh dan tolol’. Yang lebih teruk lagi, ia juga membawa makna ketuhanan – “engkau awasilah kami”. Sepatutnya perkataan itu sesuai untuk Allah ‎ﷻ sahaja. Apabila mereka pakai perkataan itu, para sahabat رضي الله عنهم pun ikut menggunakannya juga. Ini kerana Nabi ﷺ pun tidak menegur lafaz mereka itu kerana pada Nabi ﷺ, mungkin itu adalah adat resam mereka. Jadi apabila Nabi ﷺ tidak tegur, maka para sahabat رضي الله عنهم pun ikut menggunakannya juga.

Allah ‎ﷻ melarang menggunakan perkataan ini kerana ia membawa makna yang boleh merosakkan akidah. Kalau kata Nabi ﷺ bodoh boleh rosak akidah dan kalau kata Nabi ﷺ ada sifat ketuhanan pun boleh rosak akidah. Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ menukarkannya kepada perkataan lain.

Oleh itu, ini adalah ayat tentang penggunaan bahasa. Ada perkataan yang sama tetapi lain maknanya dari satu tempat ke satu tempat. Ayat ini adalah satu perkataan yang digunakan yang bunyinya serupa, tetapi maknanya berbeza.

Ra’ina adalah perkataan yang menghinakan Nabi Muhammad ﷺ. Kepada orang Yahudi, ia bermakna kutukan kepada Nabi ﷺ. Tapi kepada sahabat, ianya bermakna: “Berilah tumpuan kepada kami”. Namun dalam masa yang sama, ia boleh menjadi makna yang terlalu menaikkan kedudukan Nabi ﷺ seolah-olah sama seperti kedudukan Allah ‎ﷻ pula.

Ayat 104 dan 105 ini adalah nasihat kepada umat Islam.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَقولوا رٰعِنَا وَقولُوا انظُرنا وَاسمَعوا ۗ وَلِلڪَـٰفِرِينَ عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

O you who have believed, say not [to Allah ‘s Messenger], “Ra’ina” but say, “Unthurna” and listen. And for the disbelievers is a painful punishment.

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: “raaina”, (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: “unzurna”, dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman;

Khitab (ditujukan) ayat ini kepada para sahabat Nabi ﷺ ‎yang beriman. Mereka yang duduk bersama-sama dengan baginda dalam majlis baginda. Mereka yang datang belajar dengan baginda dalam majlis ilmu.

 

لَا تَقُولُوا رٰعِنَا

Jangan kamu kata ‘ra’ina’;

Allah ‎ﷻ suruh para sahabat jangan menggunakan lagi perkataan itu apabila ingin mendapatkan perhatian dari Nabi ﷺ. Mereka cakap begitu sebab mereka hendak Nabi ﷺ lihat dan berikan perhatian kepada mereka. Kerana mungkin mereka ada soalan.

Perkataan ini tidak boleh digunakan lagi kerana Yahudi menggunakan perkataan ini untuk menghina Nabi ﷺ. Oleh kerana Allah ‎ﷻ hendak menjaga kemuliaan Nabi ﷺ,  maka, Allah ‎ﷻ telah melarang para sahabat daripada menggunakan perkataan itu lagi.

Walaupun para sahabat tidaklah berniat untuk menghina Nabi ﷺ dengan menggunakan perkataan itu (kerana dalam bahasa Arab, ia membawa makna y ang biasa sahaja). Allah ‎ﷻ hendak menutup jalan yang boleh digunakan oleh musuh-musuh Allah ‎ﷻ untuk menghina Nabi ﷺ.

Begitu juga, perkataan itu ada membawa maksud ketuhanan kerana ia boleh bermaksud: “Awasilah kami” yang hanya sesuai diberikan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jadi, Allah ‎ﷻ hendak menutup kemungkinan kedudukan Nabi ﷺ dinaikkan ke tahap ketuhanan pula. Kerana bahaya kalau kedudukan Nabi ﷺ terlalu ditinggikan seperti yang terjadi kepada Nabi Isa عليه السلام.

 

وَقُولُوا انْظُرْنَا

Tapi katakanlah: unzurna

Allah ﷻ berikan kalimah alternatif yang mereka boleh gunakan. Gunakanlah perkataan ini yang bermaksud: “Berilah perhatian kepada kami”.

 

وَاسْمَعُوا

dan dengarkanlah;

Maksud perkataan tolonglah انْظُرْنَا adalah: “Lihatlah kepada kami, dengarlah kami, kami hendak bertanya kepada kamu”. Selepas Nabi ﷺ telah berikan perhatian kepada mereka, dan berikan pengajaran atau menjawab pertanyaan mereka, yang lebih penting adalah, mereka hendaklah mendengar dengan baik dan amalkan apa yang telah Nabi ﷺ sampaikan kepada mereka.

Yang lebih penting dari minta Nabi ﷺ berikan perhatian kepada mereka, adalah mereka kenalah memberikan perhatian kepada Nabi ﷺ. Kena dengar betul-betul. Kena terus dengar lagi dan lagi. Ini kerana mungkin persoalan yang mereka tidak faham ini akan diberikan jawapannya pada masa akan datang. Jangan datang sekali sekala sahaja ke kelas pengajian.

Jangan jadi seperti puak Yahudi itu, mereka datang ikut suka mereka sahaja. Begitu juga kita dalam belajar agama, kena selalu datang ke kelas. Mungkin ada soalan kita tidak faham, tetapi kita akan dapat jawapannya kalau kita pergi ke kelas selalu. Ini kerana jawapannya ada di dalam kelas yang lain.

Dalam ayat ini juga, ada isyarat kepada para sahabat untuk dengar dan patuh kepada ajaran Nabi Muhammad ﷺ sahaja dan tidak perlu dengar ajaran lain. Terutamanya jangan lagi ambil dari ajaran Yahudi. Begitu juga kita yang sudah ada keinginan untuk mengambil jalan Sunnah dalam agama, tidak perlu hendak dengar lagi pengajian dari ustaz-ustaz yang menganjurkan perkara bidaah.

Maka jangan terpengaruh dengan orang Yahudi. Contohnya, mereka kata dalam media massa yang golongan Muslim adalah pengganas. Maka apabila kita sudah dilabel begitu, mungkin ada di kalangan kita pun berasa malu, sampaikan jihad pun sudah tidak diajar dalam Islam.

Padahal ia adalah salah satu ajaran penting dalam agama. Namun malangnya, masyarakat kita hendak sebut jihad pun takut oleh kerana propaganda Yahudi. Ramai dari kalangan kita takut dilabel sebagai pengganas kalau sebut tentang jihad. Maknanya kita sudah terpengaruh dengan propaganda Yahudi.

 

وَلِلڪَـٰفِرِينَ عَذابٌ أَليمٌ

Dan kepada orang-orang yang engkar (kepada mereka) azab yang pedih.

Iaitu mereka yang menggunakan perkataan ‘ra’ina’ itu lagi, atau setelah ditegur, masih lagi menggunakan perkataan itu.

Kalau masih lagi berkata yang buruk terhadap Nabi  ﷺ, mereka boleh menjadi kafir dan azab yang pedih menanti untuk orang kafir.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

6 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 103 – 104 (Berhati-hati dengan kalimah)”

  1. Tok guru maaf saya ingin bertanya Lazimnya selepas sembahyang dan membaca doa2 imam membaca selawat pada rasul SAW, adakah ini pun di anggap sbg tawasul dan salah pada syariat berdoa Dan juga dalam tahlil membaca Yasin?

    Like

    1. Salam Hasan, terima kasih atas pertanyaan anda.

      1. Selepas solat atau waktu-waktu lainnya, tidaklah salah baca selawat. Dalam ayat lain, memang Allah menganjurkan kita membaca selawat. Tapi kenalah selawat yang diajar oleh Nabi, bukan yang direka oleh manusia. Antara selawat yang mengandungi elemen syirik adalah selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyah. Kerana solat-solat itu adalah menggunakan berkat Nabi sebagai tawasul untuk menyembuhkan dan menyelesaikan masalah. Kita tawasul dengan Nabi pun tidak boleh. Itu samalah seperti tawasul Kristian dengan nabi Isa.

      2. Tidaklah perlu untuk berdoa bersama imam. Selepas solat berjemaah pun, kita doa sendiri sahaja. Dalam hadis, tidak disebut Nabi berdoa dengan sahabat selepas solat. Doa sendiri lebih baik. Kerana kita ada hajat kita sendiri. Tidak sama dengan hajat tok imam. Lagipun, tidak tahu apakah doa yang akan dibaca oleh imam itu. Kadang-kadang saya dengar mereka baca selawat syifa’ dan tafrijiyah juga.

      3. Majlis Tahlil yang dibuat oleh masyarakt kita sekarang adalah bidaah. tidak pernah dibuat Nabi dan sahabat. Sedangkan banyak yang mati zaman mereka, bukan? Kalau ianya baik, tentulah mereka dulu dah buat dah. Kerana iman mereka tentulah lagi tinggi dari kita. Mereka lagi kuat buat amal ibadat dari kita.

      4. Majlis tahlil dibuat adalah untuk sedekah pahala kepada simati? Adakah sampai pahala yang kita sedekahkan kepada simati? Imam Syafie sendiri kata tak sampai sedekah pahala. Beliau berdalilkan kepada ayat Quran Najm:39.

      5. Tentu saudara pernah menghadiri majlis Tahlil (saya dulu pun tekong Majlis Tahlil juga). Mula-mula akan dibacakan: “ila hadratin….” Itu bermakna ke hadrat nabi Muhamad, keluarga baginda…. dan seterusnya. Itulah lafaz tawasul kalau nak tahu. Memohon berkat daripada Nabi, para ahli keluarga baginda, sahabat dan lain-lain lagi.

      Itulah serba ringkat yang saya boleh jawap dalam ruangan ini. Saudara tinggal di mana? Ada baiknya untuk saudara menghadiri sendiri kelas tafsir ini dan boleh bertanya terus kepada guru yang mengajar supaya boleh lebih jelas lagi. Kalau berdepan lagi mudah.

      Like

    1. ya insya Allah. saya belum edit untuk kemaskan lagi surah baqarah ini. saya tulis bagi habis dulu.

      nanti saya akan kemaskan lagi. kalau panjang sangat susah nak baca. terima kasih.

      Like

  2. Assalamualaikum. Saudara perlu memperbetulkan Saidina Ali kepada Saidina Umar pada permulaan memberi contoh tentang karamah. Saya lihat Saudara betul selepas itu. Sekian

    Like

Leave a comment