KESALAHAN MENGAMALKAN SIHIR
Baqarah Ayat 102: Kesamaran pertama (kenapa Yahudi menolak Nabi Muhammad ﷺ) adalah tentang Jibril عليه السلام seperti yang telah disebut sebelum ini. Ayat ini pula adalah tentang kesamaran kedua.
Kesamaran kedua adalah tentang para Rasul. Dalam wahyu yang disampaikan, wahyu mengatakan tidak boleh berbuat syirik dan mengamalkan sihir. Sihir itu adalah syirik kerana ia adalah amalan menyeru selain Allah ﷻ. Ia masih juga syirik walau semasa mengamalkannya, seseorang itu membaca ayat Al-Qur’an. Tanpa syirik tidak akan menjadi sihir itu. Mungkin ramai yang tidak tahu, sihir juga boleh dilakukan dengan menggunakan ayat Al-Qur’an. Ini adalah kerana mereka yang membacanya, hendakkan sesuatu semasa membacanya.
Kefahaman golongan Yahudi menjadi samar dalam hal agama kerana pada mereka, Nabi Sulaiman عليه السلام ada mengamalkan syirik. Tersebut di dalam Perjanjian Lama, dalam “Kitab Raja-raja I”, Fasal 11 dari ayat 1 sampai 10, bahawa Nabi Sulaiman di hari tuanya telah menyembah berhala, untuk rnenuruti kehendak isteri-isteri baginda yang ramai. Jadi mereka jadi keliru kerana mereka telah mendapat maklumat salah tentang Nabi Sulaiman عليه السلام dan sebab itu mereka tidak boleh menerima Al-Qur’an dan Islam kerana berlawanan dengan fahaman mereka.
Kesamaran ini timbul kerana mereka telah mengambil maklumat daripada kitab tulisan manusia yang salah. Mereka sangka Nabi Sulaiman عليه السلام mengajar sihir dan baginda boleh memerintah kerajaan baginda kerana kononnya ada cincin keramat. Ini adalah cerita rekaan sahaja tetapi mereka telah mempercayainya. Oleh sebab itu, Allah ﷻ menurunkan ayat ini untuk menjelaskan kesamaran ini. Di dalam Al-Qur’an nanti kita akan bertemu banyak contoh-contoh perkara ajaib yang berlaku kepada baginda. Akan tetapi itu semua bukanlah sihir, akan tetapi mukjizat. Maka kena bezakan antara keduanya.
Oleh itu, ayat ini adalah tentang sihir. Ada kesalahan dalam sesetengah kitab yang dibaca oleh masyarakat kita sehinggakan akidah orang Islam ada yang percaya bahawa Nabi Sulaiman عليه السلام mendapat kuasa memerintah kerana baginda memiliki sebentuk cincin hikmat. Terdapat pula kisah yang mengatakan apabila cincin itu jatuh, baginda telah kehilangan kerajaannya. Itu adalah kisah dusta.
Orang Yahudi pula berkata Nabi Sulaiman عليه السلام boleh bercakap dengan binatang dan terbang ke sana sini kerana belajar daripada kitab sihir. Mereka kata kitab itu bernama: “The book of Secret” (Buku Rahsia). Mereka masih lagi mencari buku itu yang asli. Pada mereka, sesiapa yang berjaya mendapatkan buku ini boleh mendapat rahsia kehebatan Nabi Sulaiman عليه السلام bersama dengan harta karun baginda. Ini semua adalah kerana mereka sebenarnya berkehendakkan harta.
Pengenalan kepada ayat ini: Pada zaman pemerintahan Nabi Sulaiman عليه السلام, sihir banyak diamalkan oleh umat baginda yang berbangsa Bani Israil. Maka baginda diperintahkan untuk mengumpulkan semua tukang sihir. Mereka disuruh untuk meninggalkan amalan sihir mereka. Tukang sihir yang tidak mahu kembali kepada agama Islam akan dibunuh oleh baginda. Itu adalah syariat Islam tentang pengamal sihir sampailah sekarang – pengamal sihir perlu dibunuh. Selain daripada itu, buku-buku sihir mereka itu dibakar. Walaupun begitu, ada juga buku sihir itu yang Nabi Sulaiman عليه السلام simpan dan sorok di bawah singgahsana baginda.
Kesamaran ketiga adalah tentang Malaikat. Ini kerana ada malaikat yang dikatakan mengajar sihir yang bernama Harut dan Marut. Kesamaran ini juga akan disebut dalam ayat ini.
وَاتَّبَعوا ما تَتلُو ٱلشَّيَـٰطِينُ عَلىٰ مُلكِ سُلَيمَـٰنَ ۖ وَما كَفَرَ سُلَيمَـٰنُ وَلٰكِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ كَفَروا يُعَلِّمونَ النّاسَ السِّحرَ وَما أُنزِلَ عَلَى المَلَكَينِ بِبابِلَ هَـٰرُوتَ وَمَـٰرُوتَ ۚ وَما يُعَلِّمانِ مِن أَحَدٍ حَتّىٰ يَقولا إِنَّما نَحنُ فِتنَةٌ فَلا تَكفُر ۖ فَيَتَعَلَّمونَ مِنهُما ما يُفَرِّقونَ بِهِ بَينَ المَرءِ وَزَوجِهِ ۚ وَما هُم بِضارّينَ بِهِ مِن أَحَدٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۚ وَيَتَعَلَّمونَ ما يَضُرُّهُم وَلا يَنفَعُهُم ۚ وَلَقَد عَلِموا لَمَنِ ٱشتَرَٮٰهُ ما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن خَلَـٰقٍ ۚ وَلَبِئسَ ما شَرَوا بِهِ أَنفُسَهُم ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ
And they followed [instead] what the devils had recited during the reign of Solomon. It was not Solomon who disbelieved, but the devils disbelieved, teaching people magic and that which was revealed to the two angels at Babylon, Harut and Marut. But the two angels do not teach anyone unless they say, “We are a trial, so do not disbelieve [by practicing magic].” And [yet] they learn from them that by which they cause separation between a man and his wife. But they do not harm anyone through it except by permission of Allah . And the people learn what harms them and does not benefit them. But the Children of Israel certainly knew that whoever purchased the magic would not have in the Hereafter any share. And wretched is that for which they sold themselves, if they only knew.
Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telah pun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.
وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو ٱلشَّيَـٰطِينُ
Dan mereka mengikuti ajaran sihir yang diajar oleh syaitan-syaitan;
Kalimah تَتلُوا ‘dia membacakan‘. Kata dasar ت ل و yang bermaksud ikut, berjalan di belakang, meniru, mengejar, berturutan, baca, membacakan, mengulang baca, menyatakan, ikut menyanyi sekali. Maknanya syaitan membacakan dan mengajarkan kepada manusia. Kalimah berbeza dengan قرأ kerana kalimah قرأ berbentuk umum, kalau baca sendiri pun boleh gunakan kalimah قرأ. Tapi kalau تَتلُوا, ia mesti melibatkan orang lain yang mendengar.
Yang mengikuti ajaran itu adalah ahli-ahli sihir. Mereka belajar sihir daripada syaitan. Maka dari sini kita dapat tahu yang sihir itu sebenarnya diajar oleh syaitan kepada manusia.
عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيمَـٰنَۖ
di zaman kerajaan Sulaiman;
Kejadian dalam ayat ini terjadi semasa zaman pemerintahan Nabi Sulaiman عليه السلام. Lebih tepat lagi selepas kematian Nabi Sulaiman, cuma ia dikaitkan dengan kerajaan baginda sahaja. Syaitan menyandarkan amalan sihir dengan baginda, sedangkan tidaklah Nabi Sulaiman عليه السلام mengamalkan sihir. Tidak juga baginda ada peralatan yang mempunyai elemen-elemen sihir seperti cincin keramat dan sebagainya. Kerajaan baginda diberi oleh Allah dan bukanlah kerana amalan sihir atau ada barang yang sakti dipunyai oleh baginda. Itu cerita karut sahaja.
Nabi Sulaiman عليه السلام adalah salah seorang Rasul dalam kalangan Rasul-rasul Bani Israil. Pada zaman Nabi Sulaiman عليه السلام, banyak amalan sihir diajar oleh syaitan. Bukanlah pada zaman Nabi Sulaiman sihir diperkenalkan, kerana sihir sudah lama ada. Ketika zaman Nabi Musa عليه السلام iaitu zaman sebelum Nabi Sulaiman عليه السلام pun sudah ada kisah ahli sihir. Malah lebih awal dari itu lagi, iaitu ketika zaman Nabi Soleh عليه السلام sudah ada diamalkan sihir kerana ada disebut tentangnya di dalam Shu’ara:153.
قالوا إِنَّما أَنتَ مِنَ المُسَحَّرينَ
Mereka berkata: “Sesungguhnya kamu adalah salah seorang dari orang-orang yang kena sihir;
Namun begitu, sihir telah mula diamalkan dengan banyaknya pada zaman Nabi Sulaiman عليه السلام kembali. Pada zaman itu Bani Israil banyak yang memuja syaitan dan apabila lama sangat memuja syaitan, sehinggakan mereka boleh bercakap dan melihat jin. Maka daripada jin dan syaitan itulah mereka dapat mempelajari ilmu sihir. Maka Nabi Sulaiman عليه السلام menangkap pengamal-pengamal sihir dan merampas kitab-kitab sihir mereka. Baginda telah meletakkan kitab-kitab itu di bawah singgahsana baginda kerana itulah tempat paling selamat. Ini kerana kalau diletakkan di tempat lain mungkin ada orang jahat yang boleh mencarinya lagi dan mengamalkan sihir dalam kitab-kitab itu. Allah ﷻ memang telah memberikan kelebihan kepada baginda di mana makhluk jin tidak boleh mendekati baginda untuk mengkhianatinya. Maka selepas baginda melakukan tindakan itu, manusia kembali kepada ajaran tauhid dan amalan sihir telah berhenti. Cuma selepas kewafatan baginda, sihir telah diamalkan kembali.
Di dalam ayat ini, Allah ﷻ membersihkan nama Nabi Sulaiman عليه السلام. Ini adalah kerana nama baginda telah dirosakkan oleh golongan yang jahil. Ini termasuklah golongan Yahudi yang berdebat dengan Rasulullah ﷺ. Ini adalah kerana syaitan telah menipu dengan mengatakan yang Nabi Sulaiman عليه السلام telah mengamalkan sihir dan kerana itulah baginda dapat mengawal manusia, jin dan binatang, dapat mengenderai angin dan sebagainya. Maka Allah ﷻ membersihkan nama baginda di dalam ayat ini.
Syaitan menipu dengan memberitahu kepada manusia untuk mencari kitab-kitab sihir yang ada di istana Sulaiman عليه السلام (di bawah singgahsana). Kitab itu sebenarnya dirampas dan disorok oleh baginda. Akan tetapi syaitan mengetahui hal itu dan telah mengambil peluang selepas kewafatan baginda. Syaitan suruh manusia mencari kitab-kitab itu. Setelah dijumpai, maka syaitan menuduh yang itulah ilmu sihir yang digunakan oleh Nabi Sulaiman عليه السلام untuk berkuasa.
وَمَا كَفَرَ سُلَيمَـٰنُ
Dan tidaklah Nabi Sulaiman itu kufur;
Allah ﷻ menegaskan dalam ayat ini bahawa Nabi Sulaiman عليه السلام tidak pernah kufur dan baginda tidak pernah mengamalkan sihir. Allah gunakan kalimah ما untuk menidakkan fahaman salah sesetengah manusia yang mengatakan baginda telah kufur di hujung hayat baginda.
Lihatlah bagaimana ‘kufur’ dikaitkan dengan ‘sihir’. Allah tidak kata Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir, tapi Allah kata baginda tidak kufur. Ini kerana apabila Allah ﷻ menyebut ‘kufur’ untuk merujuk kepada ‘sihir’. Maka kita kenalah sedar yang mengamalkan sihir memang menjadikan pengamalnya kufur. Dalam Islam, sesiapa yang ditangkap mengamalkan sihir akan dihukum pancung, tidak dimandikan dan tidak dikuburkan di dalam tanah perkuburan Islam.
Kita kenalah faham yang kuasa yang ada pada Nabi Sulaiman عليه السلام itu adalah pemberian Allah ﷻ. Antaranya adalah kuasa angin yang diberikan kepada Nabi Sulaiman عليه السلام. Dengannya, Nabi Sulaiman عليه السلام dapat bergerak ke mana-mana. Itu semua adalah mukjizat-mukjizat yang diberikan kepada Nabi Sulaiman عليه السلام. Bukannya baginda dapat kelebihan itu kerana baginda tahu ilmu sihir pula.
وَلَٰكِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ كَفَرُوا
Akan tetapi syaitan-syaitanlah yang kufur;
Yang kufur sebenarnya adalah syaitan kerana mereka yang mengajar sihir itu. Setelah Nabi Sulaiman عليه السلام wafat, syaitan yang mengajar sihir kepada manusia itu masih hidup lagi kerana umur mereka memang panjang. Waktu itu, manusia pun sudah jauh daripada ilmu agama.
Jin telah mengambil kesempatan daripada kejahilan mereka dengan membuat cerita yang Nabi Sulaiman عليه السلام sebenarnya telah memerintah dengan menggunakan sihir.
Oleh kerana tidak mahukan manusia lain tahu, Nabi Sulaiman عليه السلام telah menyembunyikan kitab-kitab sihir itu bawah kerusi baginda. Syaitan telah membisikkan kepada manusia supaya menggali di bawah tempat kerusi Nabi Sulaiman عليه السلام dan memang mereka menjumpai kitab-kitab tersebut. Selepas mereka menjumpainya, mereka telah mengamalkan sihir. Maka, manusia telah mula kembali mengamalkan sihir.
يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ
Mereka (syaitan) telah mengajar sihir kepada manusia;
Apabila manusia sudah tidak beriman kepada kalam Allah ﷻ (ilmu wahyu) dan meninggalkan tauhid, syaitan akan memberi mereka alternatif – itulah amalan sesat seperti sihir. Apabila mereka sudah tidak percaya kepada Allah ﷻ, sudah buang kitab Kalam Allah ﷻ, maka syaitan telah menggoda mereka untuk percaya kepada benda-benda karut seperti tangkal, azimat dan sebagainya.
Inilah yang terjadi apabila mereka sudah meninggalkan Kitab Taurat – seperti kita telah belajar dalam ayat sebelum ini, mereka telah membuang Kitab Taurat ke belakang mereka, seperti mereka tidak kenal langsung kitab itu. Begitu juga dengan kita, apabila masyarakat kita tidak menghiraukan lagi Al-Qur’an, maka syaitan dapat memasukkan ajaran sihir ke dalam masyarakat kita. Begitu banyak yang mengamalkan sihir sebenarnya. Selalunya mereka tidak tahu amalan itu adalah amalan sihir. Ini kerana ada pengamal sihir yang membaca ayat Al-Qur’an di dalam bacaan sihir itu, maka mereka menyangka ia adalah sebahagian daripada ajaran Islam.
Ini semua adalah kerana mereka tidak mengendahkan ajaran Al-Qur’an lagi. Mereka tidak belajar isi kandungan Al-Qur’an dan kerana itu mereka jahil tentang agama. Maka mereka telah meninggalkan ajaran tauhid. Mereka jahil dalam hal agama, sampaikan mereka mudah ditipu oleh syaitan dan guru-guru karut dan sesat.
Oleh itu, yang mengajar sihir kepada manusia adalah jin-jin yang jahat. Itulah kerja jin-jin yang jahat. Jin-jin Islam yang baik, tidak akan rapat dengan manusia kerana manusia tidak ada perhubungan dengan jin. Nabi ﷺ sendiri pun tidak membenarkan sahabat berkawan dengan jin. Apabila Nabi ﷺ berdakwah dan mengajar kepada golongan jin, baginda jumpa bersendirian sahaja.
Apakah sihir?
Ia dari kata dasar س ح ر yang bermaksud menipu, waktu awal pagi, menarik perhatian, penipuan. Kalimah sahur pun diambil dari kata dasar ini kerana ia waktu makan sebelum subuh. Iaitu masa yang gelap dan penglihatan tidak jelas. Maka sihir adalah sesuatu yang penyebabnya tidak jelas. Orang yang kena sihir, tidak tahu siapa yang hantar, bagaimana ia dihantar, apa yang digunakan. Tahu-tahu, terus kena sahaja.
Dari segi istilah, Ibnu Qudamah berkata: “Sihir ialah ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung. (Lihat al-Mughni)
Penyebab dan cara sihir dijadikan pun banyak dan kita tidak tahu secara keseluruhannya. Ada yang terjadi kerana menggunakan jin, menggunakan barang dan bahan tertentu, kalimah-kalimah yang disebut (seperti jampi), kekuatan akal pelakunya, dan entah apa lagi cara lain.
Yang banyak digunakan adalah dengan pertolongan daripada jin dan syaitan iaitu bermula dengan berkawan dengan jin supaya mereka membantu dalam menjalankan sihir itu. Dan cara untuk berkawan dengan mereka melibatkan perkara kufur memuja-muja jin, menyebut lafaz-lafaz kufur dan syirik, menyembah bintang, pokok dan sebagainya, menggunakan darah orang dibunuh, hidup dengan cara kotor dan tidak membersihkan diri. Ini adalah antara perkara yang menarik kehadiran jin dalam hidup. Dan apabila jin sudah rapat, maka bolehlah digunakan untuk menjalankan sihir.
Ada beberapa jenis sihir yang disebut dan selalunya yang terjadi adalah apabila sihir menipu (menyilap) mata manusia. Seperti yang disebut di dalam A’raf:116 (سَحَروا أَعيُنَ النّاسِ mereka menyilap mata orang ramai) dan Taha:66 (يُخَيَّلُ إِلَيهِ مِن سِحرِهِم terbayang-bayang kepadanya (Nabi Musa) daripada sihir mereka). Daripada dua ayat ini kita dapat tahu yang sihir itu menipu mata manusia sehinggakan menampakkan benda yang sebenarnya tidak ada. Kerana itu magis juga disebut sebagai ‘silap mata’.
Bolehkah sihir mengubah bentuk fizikal? Contohnya menyihir orang sehingga menjadi binatang atau batu? Ulama’ khilaf tentang hal ini. Ada yang kata ini tidak mungkin. Ada pula yang kata ini masih boleh terjadi. Jika Al-Qur’an menyebut tentang sihir dalam bentuk silap mata, tidaklah bermakna itu sahaja yang ada dalam dunia sihir.
Ada hadith yang menjadi sandaran. Dalam Kitab Muwatta’ Imam Malik, disebut tentang Ka’b al Ahbaar yang berkata jikalaulah dia tidak mengamalkan doa tertentu, sudah tentu puak Yahudi akan menukarnya menjadi keldai.
Sihir adalah termasuk perkara Khawariqul Adah خوارك الأدة (perkara yang mencarik adat). Kejadian yang mengubah adat itu ada empat jenis:
1. Mukjizat, iaitu kejadian luar biasa daripada orang yang mengaku nabiyullah, tidak mampu ditentang/ditolak, muncul tanpa usaha atau belajar (semata-mata pertolongan Allah ﷻ kepadanya)
2. Keramat, iaitu kejadian luar biasa yang timbul daripada orang-orang yang benar-benar mengikuti perilaku nabinya tanpa dipelajari, dengan mengerjakan perbuatan tertentu (yang aneh). Selalu terjadi kepada para wali Allah ﷻ.
Keramat terbahagi kepada dua bahagian:
a. Irhash, iaitu kejadian yang timbul daripada calon Nabiyullah (sebelum diangkat menjadi nabi)
b. Maunah, iaitu kejadian luar biasa yang timbul daripada orang mukmin yang tidak fasik (yakni yang soleh) dan tidak menjadikan dia takabur serta tertipu oleh syaitan.
3 istidraj, iaitu kejadian luar biasa yang timbul daripada orang fasik (tukang maksiat/kafir) yang tertipu oleh syaitan sampai dia ujub dan sombong
4 Sihir, iaitu kejadian aneh yang dilakukan oleh orang fasik dan kafir yang diperolehi dengan cara belajar dan dilakukan dengan menggunakan sebab seperti sulap.
Pemahaman tentang perkara-perkara di atas amat penting. Kerana kalau tidak dapat hendak membezakan, ramai manusia akan tertipu. Perbincangan dalam ayat ini adalah perbezaan antara mukjizat dan sihir. Ia untuk membezakan mana Nabi dan mana yang ahli sihir.
Akan tetapi perkara yang lain pun kena diketahui. Masyarakat kena bezakan antara perkara-perkara khawariqul adah ini. Kerana kalau tidak, ada orang yang sangka orang tertentu ada karamah, malah lebih teruk lagi kalau sangka orang itu ada mukjizat! Dari sinilah ada terjadi ajaran-ajaran sesat kerana para pengikut tertipu dengan guru-guru sesat mereka. Mereka sangka guru mereka ada karamah, sedangkan itu mungkin sihir, mungkin istidraj.
Sebagai contoh, ramai juga pengikut Ayah Pin yang gila itu. Kerana mereka kata Ayah Pin ada kuasa tertentu, boleh buat itu dan ini. Dan begitu jugalah masyarakat dari dulu yang terkesan dengan kehebatan khawariqul adah yang ditunjukkan oleh golongan sihir sampai mereka dipandang tinggi dan dihormati dan dijadikan tempat rujuk.
Imam al Razi membahagikan sihir kepada 8 jenis. Saya ringkaskan penjelasan beliau:
1. Orang pendusta dan kaum Kasydani, iaitu mereka yang menyembah tujuh bintang yang beredar. Mereka ini adalah kaum yang telah dihantar Nabi Ibrahim kepada mereka untuk berhujah dengan mereka. Puak ini ada ritual tertentu dalam menyembah bintang-bintang.
2. Bahagian kedua sihir ialah sihir yang dilakukan oleh orang yang memiliki ilusi dan jiwa yang kuat. Memang jiwa manusia diciptakan tunduk kepada ilusinya. Ada perkara yang dia nampak menyebabkan kesan kepada dirinya. Ada yang menyebabkan sesuatu berlaku dengan pandangan matanya sahaja. Ini kerana pandangan matanya kuat sekali sampai memberi kesan kepada orang. Imam Al-Razi (1999: 3/621) menyatakan, “Apabila anda mengetahui hal ini, maka kami katakan bahawa jiwa yang dapat melakukan perbuatan tersebut adakalanya kuat sekali.”
Imam Ibn al-Kathir (1999: 1/368), apa yang diisyaratkan oleh Imam Razi ini termasuk ke dalam pengertian indera yang keenam atau al-Tasarruf bi al-hal (اتصرف بالحال). Jenis ini sama sekali bukan dinamakan sihir menurut penilaian syarak. Ia cuma sihir dari segi bahasa sahaja. Tapi bergantung ke arah mana dia menggunakan kelebihan yang Allah berikan ini. Kalau dia menggunakannya ke arah keburukan, maka celakalah dia.
3. Meminta pertolongan roh di bumi, iaitu jin. Ini dapat dilakukan dengan membaca mantera, membakar kemenyan, dan jampi.
4. Bahagian keempat sihir ialah sihir tipuan melalui ilusi, membalikkan pandangan mata, serta silap mata. Ini menggunakan kepandaian apabila mengalihkan pandangan pemerhati sementara dia dengan secepat kilat melakukan sesuatu. Apabila diberitahu kepada pemerhati, mereka amat terkejut kerana tidak perasan pun tangan pelakunya tadi.
5. Bahagian Kelima Sihir ialah sihir yang terhasil daripada reaksi ajaib yang timbul dari penyusunan berbagai alat yang disusun menurut bentuk kejuruteraan. Contohnya dibuat satu patung berbentuk seperti seorang yang menunggang kuda, sedangkan tangannya memegang sebuah gendang besar. Apabila telah melalui suatu tempoh pada siang hari seperti setiap satu jam, maka gendang besar itu dipukulnya tanpa ada seorang pun yang menyentuhnya. Menurut Imam Ibn al-Kathir (1999: 1/369), pada hakikatnya jenis ini tidak seharusnya dikategorikan sebagai sihir, ini disebabkan kejadiannya dapat diketahui melalui penyebab yang dimaklumi dan pasti.
6. Termasuk ke dalam perbuatan sihir ialah menggunakan alat bantuan berupa ubat-ubatan, iaitu dalam berbagai macam makanan dan minyak-minyakan. Ada orang yang pandai menggunakan bahan-bahan alami dan dengannya dapat menghasilkan sesuatu yang nampak seperti ajaib.
7. Termasuk ke dalam sihir ialah mempengaruhi hati orang lain. Ada orang yang pandai menilai lemah atau tidak minda orang lain dan dia boleh menggunakan teknik untuk mempengaruhi orang itu. Ini seperti yang digunakan di dalam hipnosis.
8. Termasuk ke dalam kategori sihir ialah melakukan namimah dan adu domba dengan menggunakan cara yang mudah lagi lembut, tidak kelihatan. Ini kerana orang yang melakukan hal ini pandai bercakap dan memanipulasi orang lain sampaikan dua pihak boleh bertelagah kerana pandainya dia berkata-kata dalam menabur adu domba.
Demikianlah pendapat Imam Razi. Tentunya ada lagi pendapat-pendapat yang lain. Salah satu adalah kata-kata manusia yang memukau. Ada yang pandai berkata-kata sampaikan Rasulullah pernah bersabda yang itu pun sihir juga:
عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما
أنه قدم رجلان من المشرق فخطبا فعجب الناس لبيانهما فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن من البيان لسحرا أو إن بعض البيان لسحر
Dari Abdullah bin Umar radhiallahu’anhuma bahwa dua orang dari penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu keduanya berkhutbah hingga orang-orang takjub dengan penjelasannya, lantas Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya dalam penjelasan (bayan) itu mengandung sihir, atau sesungguhnya sebahagian bayan (penjelasan) itu mengandung sihir.”
Sahih Bukhari no. 5325
Syarah: Maksudnya dengan mendengar kata-kata sahaja, ada orang terkesan dan berubah terus. Sebab itulah Musyrikin Mekah kata Al-Qur’an itu ‘sihir’ kerana mereka perhatikan, manusia yang mendengar Al-Qur’an dari Nabi Muhammad sahaja, akan berubah serta merta. Jadi mereka tuduh Al-Qur’an itu sihir.
Dari hadis di atas, ada sesetengah ulama’ mengatakan ini adalah pujian bagi orang yang pandai berkata-kata. Akan tetapi Imam Qurtubi mengatakan ia adalah celaan bagi ilmu balaghah. Ini kerana ada orang yang boleh memanipulasi fakta dengan kepandaian berkata-kata sampaikan yang salah jadi betul dan yang betul jadi salah. Ini seperti yang pernah disebut oleh baginda:
حدثنا محمد بن كثير عن سفيان عن هشام عن عروة عن زينب بنت أم سلمة عن أم سلمة
عن النبي صلى الله عليه وسلم قال إنما أنا بشر وإنكم تختصمون إلي ولعل بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض وأقضي له على نحو ما أسمع فمن قضيت له من حق أخيه شيئا فلا يأخذ فإنما أقطع له قطعة من النار
Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Katsir dari Sufyan dari Hisyam dari Urwah dari Zainab binti Ummi Salamah dari Ummu Salamah dari Nabi ﷺ bersabda, “Aku hanyalah manusia biasa, dan kalian mengadukan sengketa kepadaku, siapa tahu sebahagian diantara kalian lebih pandai bersilat lidah dengan alasannya dari sebahagian lain, sehingga aku memutuskan sebatas yang aku dengar, maka barangsiapa kuputuskan menang dengan menzalimi hak saudaranya, janganlah dia mengambilnya, sebab aku akan mengambil potongan api neraka baginya.”
Sahih Bukhari no 6452
Jadi sihir ini adalah benar. Mungkin ada sesetengah orang yang kononnya moden dan tidak menerima wujudnya sihir itu. Malah Allah pernah jadikan Rasulullah sebagai contoh bagaimana hendak menangani sihir ini. Dari Aisyah radhiyallahu ‘anha, dia berkata,
سَحَرَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ مِنْ بَنِي زُرَيْقٍ يُقَالُ لَهُ لَبِيدُ بْنُ الْأَعْصَمِ حَتَّى كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهُ كَانَ يَفْعَلُ الشَّيْءَ وَمَا فَعَلَهُ حَتَّى إِذَا كَانَ ذَاتَ يَوْمٍ أَوْ ذَاتَ لَيْلَةٍ وَهُوَ عِنْدِي لَكِنَّهُ دَعَا وَدَعَا ثُمَّ قَالَ يَا عَائِشَةُ أَشَعَرْتِ أَنَّ اللَّهَ أَفْتَانِي فِيمَا اسْتَفْتَيْتُهُ فِيهِ أَتَانِي رَجُلَانِ فَقَعَدَ أَحَدُهُمَا عِنْدَ رَأْسِي وَالْآخَرُ عِنْدَ رِجْلَيَّ فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ مَا وَجَعُ الرَّجُلِ فَقَالَ مَطْبُوبٌ قَالَ مَنْ طَبَّهُ قَالَ لَبِيدُ بْنُ الْأَعْصَمِ قَالَ فِي أَيِّ شَيْءٍ قَالَ فِي مُشْطٍ وَمُشَاطَةٍ وَجُفِّ طَلْعِ نَخْلَةٍ ذَكَرٍ قَالَ وَأَيْنَ هُوَ قَالَ فِي بِئْرِ ذَرْوَانَ فَأَتَاهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي نَاسٍ مِنْ أَصْحَابِهِ فَجَاءَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ كَأَنَّ مَاءَهَا نُقَاعَةُ الْحِنَّاءِ أَوْ كَأَنَّ رُءُوسَ نَخْلِهَا رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا اسْتَخْرَجْتَهُ قَالَ قَدْ عَافَانِي اللَّهُ فَكَرِهْتُ أَنْ أُثَوِّرَ عَلَى النَّاسِ فِيهِ شَرًّا فَأَمَرَ بِهَا فَدُفِنَتْ
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah disihir oleh seseorang dari bani Zuraiq yang bernama Labid bin Al-A’sham, sampai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa salllam dibuat membayangkan seolah-olah baginda melakukan sesuatu padahal baginda tidak berbuat apa-apa. Sampai pada suatu hari atau pada suatu malam ketika baginda berada di sisiku, tetapi baginda terus berdoa dan berdoa. Kemudian baginda bersabda, “Wahai Aisyah, apakah kamu tahu bahawa Allah telah memberikan jawapan kepadaku tentang apa yang aku tanyakan kepada-Nya tentang sihir? Ada dua orang yang mendatangiku, satu di antaranya duduk di dekat kepalaku dan yang satunya lagi berada di dekat kakiku.” Lalu salah seorang di antara keduanya berkata kepada temannya, “Sakit apa orang ini?” “Terkena sihir”, sahut temannya. “Siapa yang telah menyihirnya?”, tanya temannya lagi. Temannya menjawab, “Labid bin Al-A’sham.” Ditanya lagi, “Dalam bentuk apa sihir itu?” Dia menjawab, “Pada sisir dan gumpalan rambut ketika disisir, dan kulit mayang kurma jantan.” “Lalu, di mana semuanya itu berada?”, tanya temannya. Dia menjawab, “Di sumur Dzarwan.” Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam mendatangi sumur itu bersama beberapa orang sahabat baginda. Lalu, baginda datang dan berkata, “Wahai Aisyah, seakan-akan airnya berwarna merah seperti perasan daun pacar, dan seakan-akan kulit mayang kurmanya seperti kepala setan.” Lalu kutanyakan, “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau meminta dikeluarkan?” Baginda menjawab, “Allah telah menyembuhkanku, sehingga aku tidak ingin memberi pengaruh buruk kepada umat manusia dalam hal itu. Kemudian baginda memerintahkan untuk menimbunnya, maka semuanya pun ditimbun dengan segera.” (Sahih Bukhari, no. 5763 dan Muslim, no. 2189)
Bagaimanakah cara untuk berlindung dan menyembuhkan diri dari gangguan sihir? Ia diajar di dalam hadis. Dari Abu Sa’id Al Khudri ia berkata bahwa,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَعَوَّذُ مِنْ عَيْنِ الْجَانِّ وَعَيْنِ الإِنْسِ, فَلَمَّا نَزَلَتْ الْمُعَوِّذَتَانِ أَخَذَ بِهِمَا, وَتَرَكَ مَا سِوَى ذَلِكَ
“Rasulullah SAW tadinya selalu memohon perlindungan Allah dari gangguan syaitan dan pandangan manusia (hasud) dengan membaca doa-doa tertentu, tetapi sejak al Mu’awwidzatain (surah al-Falaq dan an-Nas) turun, baginda membaca keduanya dan meninggalkan bacaan yang lain (yang baginda baca sebelumnya),”
(Sahih Bukhari no 1984).
وَمَا أُنْزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَـٰرُوتَ وَمَـٰرُوتَۚ
Dan ajaran-ajaran yang diturunkan kepada dua orang malaikat Harut dan Marut di Babylon.
Ini adalah kesamaran ketiga: mereka sangkakan yang mengajar sihir itu adalah para malaikat maka bolehlah untuk diamalkan. Nama malaikat yang dimaksudkan itu adalah Harut dan Marut. Malaikat-malaikat itu memang benar, tetapi malangnya ada juga kisah karut berkenaan dengan mereka berdua. Mungkin dari nama mereka berdua inilah tercipta istilah ‘karut marut’ untuk merujuk kepada perkara karut yang dibuat oleh manusia. Mungkin.
Kononnya, ada yang berkata yang malaikat-malaikat tersebut telah turun ke dunia kerana mereka hendak menjadi manusia. Mereka sebelum itu hairan kenapa manusia boleh kufur kepada Allah ﷻ. Oleh itu Allah ﷻ telah memberi mereka nafsu dan diturunkan mereka ke dunia untuk hidup sebagai manusia biasa. Namun selepas mereka diturunkan, mereka telah diuji dengan maksiat dan mereka telah menjadi sesat. Itulah secara ringkas kisah mereka yang banyak diceritakan kepada masyarakat. Ini adalah kisah yang karut.
Padahal, sebenarnya mereka diperintahkan turun oleh Allah ﷻ untuk mengajar manusia tentang sihir. Iaitu mengajar manusia yang manakah amalan yang sihir dan mana yang tidak. Ini kerana pada waktu itu telah banyak manusia yang diajar sihir oleh syaitan. Maka tugas mereka adalah hendak memperbetulkan manusia.
Ulama Tabi’in, Qatadah dan Ibnu Syihab Az Zuhri rahimahumallah menyebutkan:
كانا ملكين من الملائكة، فأهبطا ليحكما بين الناس
“Mereka berdua adalah malaikat. Mereka turun ke dunia untuk menegakkan hukum di tengah manusia.” (Tafsir Ath Thabari, 2/420)
Dua malaikat itu mengajar dengan memberitahu manusia mana yang sihir dan mana yang tidak, supaya mereka tidak membuat lagi sihir itu. Ini kerana nanti akan datang Nabi yang membuat perkara yang nampak seperti sihir tetapi ia adalah bukan sihir tetapi mukjizat. Maka mereka kenalah tahu untuk membezakannya. Allah ﷻ menghantar Harut dan Marut untuk mengajar manusia supaya mereka tidak keliru di antara sihir dan mukjizat.
Babylon adalah nama kota yang paling masyhur dua ribu tahun sebelum masihi. Peninggalan kota itu masih ada lagi di kawasan timur Kota Baghdad, Iraq sekarang. Pada zaman itu, ramai yang mengamalkan sihir kerana mereka percaya kepada benda-benda seperti itulah yang boleh membantu mereka. Babylon adalah tempat di mana paling banyak amalan sihir dilakukan, maka Allah telah menghantar dua malaikat ini ke sana. Babylon adalah termasuk salah satu tempat yang dilaknat. Ini terdapat di dalam satu hadis:
عن أبي صالح الغفاري أن عليا رضي الله عنه مر ببابل وهو يسير فجاءه المؤذن يؤذن بصلاة العصر فلما برز منها أمر المؤذن فأقام الصلاة فلما فرغ قال إن حبيبي صلى الله عليه وسلم نهاني أن أصلي في المقبرة ونهاني أن أصلي في أرض بابل فإنها ملعونة
Dari Abu Shalih Al-Ghifari bahawasanya Ali radhiallahu’anhu melewati negeri Babilonia dalam sebuah perjalanannya, kemudian seorang muadzin mengumandangkan azan salat Asar, maka ketika dia telah keluar dari negeri tersebut, dia memerintahkan seseorang untuk mengumandangkan azan lalu dilaksanakanlah salat, ketika dia selesai melaksanakan salat, dia berkata; Sesungguhnya kekasihku ﷺ melarangku untuk melaksanakan salat di kuburan dan melarangku juga untuk melaksanakan salat di negeri Babilonia, kerana negeri ini terlaknat.
Sunan Abu Dawud no. 414. Akan tetapi status hadis ini adalah Dhaif
Mereka rasa dengan sihirlah yang dapat menyelesaikan masalah mereka. Mereka telah ditipu syaitan yang mengatakan bahawa Nabi Sulaiman عليه السلام boleh mendapat kerajaan yang besar serta pelbagai kelebihan lagi adalah kerana baginda mengamalkan sihir. Tetapi dalam ayat ini Allah ﷻ menegaskan yang baginda tidak pernah mengamalkan sihir.
Dalam ayat ini, tidak disebut bahawa yang diturunkan kepada dua malaikat itu adalah sihir. Jadi mungkin apa yang diajar kepada mereka bukan sihir. Perkataan ‘sihir’ hanya disandarkan kepada syaitan tetapi tidak kepada dua malaikat ini. Ini adalah satu pendapat.
Malah ada ulama’ yang mengatakan kalimah ما di dalam ayat ini adalah ma nafiah (menidakkan). Maka kalau diterima pendapat ini, maka ayat ini juga hendak menidakkan ajaran sihir dibawa oleh para malaikat. Jadi ada dua penafian di dalam ayat ini: menafikan Nabi Sulaiman mengamalkan sihir dan menafikan malaikat yang mengajar sihir. Mereka yang datang untuk belajar dengan mereka mungkin menyangkakan bahawa dua malaikat ini telah mengajar sihir, tetapi bukan.
Malah ada juga tafsir yang mengatakan dua malaikat yang dimaksudkan adalah Jibril dan Mikail. Dan nama Harut dan Marut itu adalah nama dua manusia yang diajar sihir kepada mereka oleh syaitan. Penafsiran ini adalah menggunakan kaedah terjemahan yang berlainan. Oleh kerana itu, terjemahan itu menjadi begini:
Dan mereka mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan pada masa kerajaan Sulaiman, iaitu berupa ilmu sihir, padahal Nabi Sulaiman AS tidak kafir (tidak mengamalkan sihir), tidak pula Allah SWT menurunkan ilmu sihir kepada dua malaikat, hanya syaitanlah yang kafir. Mereka mengajarkan ilmu sihir kepada manusia di Babylon, iaitu Harut dan Marut.”
Malah ada juga qira’at lain yang tidak membaca الْمَلَكَيْنِ (dua malaikat) akan tetapi الْمَلِكَيْنِ (dua raja). Ada juga yang mengatakan mereka itu manusia yang soleh macam malaikat, dan mereka tahu ilmu sihir dan mereka yang ajarkan kepada manusia lain (cuma sebelum diajar diberikan nasihat dahulu). Akan tetapi yang selalu kita dengar tafsir adalah memang Harut dan Marut adalah nama dua orang malaikat yang Allah turunkan untuk mengajar manusia. Yang rajih, wallahu a’lam, bahwasanya Harut dan Marut adalah malaikat. Syaikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah mengatakan:
اختلف العلماء في هذا، والأظهر: أنهما ملكان نزلا ابتلاء وامتحانًا
“Para ulama berbeza pendapat dalam hal ini. Yang rajih, Harut dan Marut adalah dua malaikat yang turun untuk menguji manusia.”
(Majmu’ Fatawa wal Maqalat Mutanawwi’ah, 8/115)
Oleh kerana masyarakat pada waktu itu tidak percaya dengan Allah ﷻ, maka Allah ﷻ telah menguji mereka dengan menurunkan Harut dan Marut. Bagaimana cara interaksi antara manusia dan dua malaikat itu kita tidak tahu. Sebagaimana para Nabi diberikan dengan mukjizat untuk membuktikan yang mereka itu Nabi, maka tentulah para malaikat juga ada pembuktian yang mereka malaikat.
Maka dua malaikat itu telah mengajar manusia pada waktu itu tentang beza antara mukjizat dan sihir. Memang keduanya berbeza sama ada dari segi sifatnya atau keadaan orang yang mengamalkannya.
Dari segi sifat, sihir memerlukan usaha dan langkah (asbab musabbab) untuk menjadikannya. Mungkin cara itu tidak jelas, hanya diketahui orang yang belajar sahaja, tapi ia tetap ada. Sedangkan mukjizat yang dilakukan oleh para Nabi itu terus dilakukan apabila ada arahan dari Allah ﷻ. Tidaklah Allah ﷻ kena buat apa-apa untuk menjadikan mukjizat itu berjaya. Contohnya, apabila Nabi Ibrahim dimasukkan ke dalam api, Allah ﷻ terus suruh api itu menjadi nyaman dan Nabi Ibrahim tidak perlu buat apa-apa pun. Akan tetapi, kalau ada orang yang masuk ke dalam api dan tidak terbakar, itu mungkin kerana dia sapu apa-apa bahan kimia yang menyebabkan kesan api tidak kena padanya.
Keduanya, sifat orang yang mengamalkannya juga tidak sama. Orang yang mengamalkan sihir itu hidup dalam kekotoran dan melakukan perkara yang jijik. Sedangkan mukjizat itu ditunjukkan oleh para Nabi yang hidup dengan cara yang mulia.
Tentang kisah dua malaikat ini pun tidak sunyi dari kisah-kisah yang mengarut tentang mereka. Banyak riwayat-riwayat yang tidak sahih tentang mereka berdua. Umumnya kisah itu berkisar tentang para malaikat dikatakan hairan kenapa Allah beri kelebihan kepada manusia. Maka Allah berikan nafsu kepada mereka berdua dan kemudian diturunkan ke dunia. Maka mereka turun ke dunia dan akhirnya mereka terpesona dan telah berzina dengan seorang wanita yang bernama Zuhrah. Adapun kisah yang beredar tentang Harut dan Marut bahwa mereka adalah malaikat yang dihukum oleh Allah kemudian mereka melakukan zina, mabuk dan membunuh, ini kisah dari Israiliyat yang tidak boleh diyakini. Ibnu Katsir mengatakan:
حاصلها راجع في تفصيلها إلى أخبار بني إسرائيل ، إذ ليس فيها حديث مرفوع صحيح متصل الإسناد إلى الصادق المصدوق المعصوم الذي لا ينطق عن الهوى
“Kesimpulannya, perincian kisah Harut dan Marut itu berasal dari Israiliyat. Kerana tidak ada hadis yang sahih marfu’ muttashil sanadnya kepada Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam yang tidak bicara dengan hawa nafsu.”
(Tafsir Ibnu Katsir, 1/360)
As Sa’di rahimahullah mengatakan:
وكل ما عدا ظاهر القرآن في حال هذين الملَكين : فهو من الإسرائيليات ، يردها ما ثبت من عصمة الملائكة ، على وجه العموم
“Semua kisah Harut dan Marut selain yang ada dalam zahir ayat ini, semua berasal dari Israiliyat. Semua kisah itu dibantah secara umum oleh dalil-dalil tentang ma’shum-nya malaikat.” (Tafsir As Sa’di, 61)
وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ
Dan tidaklah dua malaikat itu mengajar satu orang pun
Dua malaikat itu amat jujur dengan ilmu mereka. Mereka memang mengajar sihir tapi tidaklah seperti para syaitan mengajar sihir. Sebelum para malaikat itu mengajar, mereka telah memberi peringatan kepada manusia yang datang belajar dengan mereka. Ini kerana mereka bukannya hendak menyesatkan mereka dengan suruh mereka mengamalkan sihir pula.
Timbul satu persoalan: Kenapa bukan Rasul sendiri yang mengajar tentang hal ini? Kenapa sampai diturunkan malaikat pula untuk mengajar manusia? Bukankah mengajar manusia itu tugas Rasul?
Pertama, tujuan sekarang adalah untuk membezakan antara mukjizat yang ditunjukkan oleh Rasul dan bezanya dengan sihir yang dilakukan oleh manusia. Oleh kerana Rasul adalah pihak yang terlibat, maka tentulah memerlukan pihak ketiga (malaikat) untuk menunjukkan perbezaan itu.
Kedua, semasa mengajar perbezaan antara sihir dan mukjizat, perlulah juga diberitahu contoh-contoh amalan yang dikatakan sihir itu. Allah ﷻ tidak mahu Rasul yang mengajar contoh amalan itu kerana ia adalah sesuatu yang buruk. Allah ﷻ hendak para Nabi kekal bersih dari amalan yang salah. Sebagaimana mereka dipelihara dari mengamalkan amalan syirik dari kecil lagi. Mereka mengajar bahawa amalan sihir itu kufur, tapi mereka tidak diberikan dengan tugas memberi contohnya.
Tapi kenapa pula para malaikat boleh sebut contoh amalan sihir itu? Kerana para malaikat memang ditugaskan untuk melakukan berbagai-bagai perkara takwini (pengurusan perjalanan alam) yang termasuk baik dan juga buruk (contohnya memberi rezeki dan juga menjalankan azab).
حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ
tanpa terlebih dulu mereka mengatakan: “sesungguhnya ajaran yang kami bawa ini adalah satu cubaan dari Allah.”
Lihatlah bagaimana Harut dan Marut buat. Setiap kali ada orang yang datang belajar dengan mereka, mereka akan ingatkan bahawa mereka adalah ujian dari Allah ﷻ. Kalimah فِتنَةٌ bermaksud ‘ujian‘. Ia dari kata dasar: ف ت ن yang bermaksud menguji, mendakwa, membakar, ujian, memberi kesusahan, kesusahan dan tekanan, menyembelih, menjauhkan dari agama dalam berbagai cara, menyesatkan, menyebabkan pecah belah, kejahatan, mengelirukan, menggoda, perang, hukuman, jawapan. Kalimah ‘fitnah’ ini bukanlah seperti difahami oleh kebanyakan masyarakat kita (menuduh tanpa bukti). Kalau yang itu, kalimah yang lebih sesuai adalah ‘tohmah’, bukan ‘fitnah’. Kerana tidak faham bahasa Arab, menyebabkan banyak salah faham di kalangan orang kita.
Kalimah حَتَّىٰ di sini bermaksud إلّا (melainkan). Tidaklah mereka ajar melainkan mereka akan menasihati dahulu. Maka, kerana itu kenalah berhati-hati kalau hendak belajar. Bukan semua benda kita boleh belajar. Kerana ada perkara yang membahayakan kita jikalau kita mempelajarinya.
Kalau ia bahaya kenapa pula diajar? Mereka ajar tentang sihir itu sebagai pengecaman sahaja untuk mengenali manakah amalan yang sihir (supaya boleh dielakkan). Bukannya hendak suruh mereka amalkan apa yang mereka belajar itu. Untuk kenal sihir senang sahaja – kalau dalam amalan itu ada seru kepada selain Allah ﷻ, itu adalah sihir. Kerana itu manusia dilarang belajar sihir akan tetapi para hakim/qadhi boleh mempelajarinya untuk mengetahui jikalau sesuatu kes yang dibawa kepadanya ada melibatkan sihir atau tidak.
Ini semua adalah ujian dari Allah. Dan ujian sihir ini amat besar kerana ia menyebabkan kekafiran. Allah memang wujudkan di dunia ini perkara yang haram seperti babi. Allah tak beri kita makan babi tapi Dia cipta babi, bukan? Ini adalah ujian supaya kita dapat kawal nafsu kita. Kalau tidak ada babi, maka tidak adalah larangan makan babi yang kita kena ikut bukan? Jadi Allah wujudkan sihir sebagai ujian kepada manusia untuk mengelak dari mengamalkannya.
Pengajaran kepada kita dalam hal ini adalah bukan semua kita kena belajar. Bukan semua ustaz kita kena dengar. Kerana itu kita nasihatkan tak perlu dengar ustaz-ustaz yang mengamalkan bid’ah atau menganjurkan bid’ah, atau yang kata bid’ah itu tidak salah. Kerana kalau dengar mereka, maka kita termakan pula dengan diayah mereka. Juga mengajar kita supaya tidak dengar dan baca perkara-perkara yang mengarut dalam internet. Ada banyak benda mengarut di dalam media massa, sebaliknya kenalah belajar dengan betul, dengan guru yang betul.
فَلَا تَكْفُرْ
“Maka jangan kamu kufur”;
Mereka nasihat kepada manusia supaya jangan menjadi kufur dengan mengamalkan sihir itu. Mereka sebenarnya tidak suruh manusia mengamalkan sihir itu. Bukan mereka ajar untuk menyuruh manusia amalkan. Tetapi untuk bandingkan mana yang sihir dan mana yang tidak. Kalau syaitan yang mengajar, tidak akan cakap seperti itu.
Kekeliruan pada Yahudi adalah: mereka berkata malaikat ajar sihir. Mereka tahu perkara ini dari dalam kitab-kitab mereka. Pada mereka, kalau malaikat yang ajar sihir, tidak mungkin ia adalah salah? Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini untuk memperjelaskan bahawa bukannya dua malaikat itu mengajar sihir untuk suruh manusia amal, tetapi sebagai pengecaman mana yang sihir dan mana yang tidak.
Ini macam qadhi (hakim) yang diharuskan untuk belajar tentang sihir supaya kenal mana satu sihir supaya senang mereka menjatuhkan hukuman kepada mereka yang mengamalkan sihir. Orang biasa haram untuk belajar sihir. Maka jangan sekali-kali kita terlibat.
Rasulullah SAW menyebut sihir sebagai salah satu daripada perbuatan dosa besar. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
“Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”
Riwayat al-Bukhari (2766)
Ulama bersepakat bahawa mempelajari sihir, mengajar serta mempraktikkannya adalah haram.
Ibn Qudamah berkata: “Sesungguhnya mempelajari sihir dan mengajarkannya adalah haram. Tidak ada khilaf padanya dalam kalangan ahli ilmu.” (Lihat al-Mughni, 8/151)
Imam al-Nawawi berkata: “Adapun mempelajarinya (sihir) dan mengajarkannya, maka hukumnya adalah haram.” (Lihat Muslim bi Syarh al-Nawawi, 14/176)
Hukuman bagi pengamal sihir adalah hukum pancung. Ini seperti yang disebut dalam satu hadis sahih:
حدثنا مسدد بن مسرهد حدثنا سفيان عن عمرو بن دينار سمع بجالة يحدث عمرو بن أوس وأبا الشعثاء قال
كنت كاتبا لجزء بن معاوية عم الأحنف بن قيس إذ جاءنا كتاب عمر قبل موته بسنة اقتلوا كل ساحر وفرقوا بين كل ذي محرم من المجوس وانهوهم عن الزمزمة فقتلنا في يوم ثلاثة سواحر وفرقنا بين كل رجل من المجوس وحريمه في كتاب الله
Telah menceritakan kepada kami Musaddad bin Musarhad, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari ‘Amr bin Dinar, dia mendengar Bajalah, menceritakan kepada ‘Amr bin Aus, serta Abu Asy Sya’tsa`, dia berkata; dahulu aku adalah seorang jurutulis Jaz` bin Mu’awiyah paman Al Ahnaf bin Qais, tiba-tiba terdapat surat Umar datang kepada kami satu tahun sebelum dia meninggal, dia berkata; bunuhlah seluruh tukang sihir, dan pisahkan antara setiap orang yang memiliki mahram dari kalangan orang-orang Majusi, dan laranglah mereka dari bersuara rendah yang hampir tidak terdengar suaranya. Maka kami dalam sehari telah membunuh tiga orang tukang sihir, dan memisahkan antara setiap laki-laki Majusi dan mahramnya dalam kitab Allah.
Sunan Abu Dawud no. 2646, Status: sahih.
Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanadnya yang shahih bahawa Hafshah binti ‘Umar Radhiyallahu ‘Anha disihir hambanya. Hamba itu mengaku melakukannya lalu dikeluarkan dan dibunuh. Khabar itu sampai kepada ‘Utsman Radhiyallahu ‘Anhu dan marah lalu Ibnu ‘Umar menemuinya dan berkata, “Budaknya menyihirnya dan dia pun mengakuinya sehingga dikeluarkan.” ‘Utsman diam. Mungkin marahnya ‘Utsman kerana pembunuhan itu tanpa menunggu perintahnya (sebagai kepala negara). Imam Syafi’i berkomentar, “Yang jelas ’Umar memerintahkan agar para tukang sihir dibunuh.” Allahu a’lam, ini jika sihirnya mengandung kesyirikan dan begitulah masalah Hafsah Radhiyallahu ‘Anha. (As-Sunan Al-Kubrâ no. 16499)
Maka dua malaikat itu tidak bersalah kerana mengajar sihir kepada manusia. Sebagai contoh, katakanlah seorang hendak belajar ilmu kalam/falsafah yang tidak patut dipelajari. Dia berjumpa dengan seorang guru yang tahu perkara itu. Tapi sebelum mengajarnya, guru itu beri nasihat tentang bahayanya ilmu itu. Orang yang hendak belajar itu pun berjanji tidak akan salah guna. Jadi kalau dia salah guna juga, maka itu adalah kesalahan pelajar itu.
فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا
Maka mereka pun belajar sihir dari mereka berdua
Namun malangnya, ada juga yang belajar sihir itu dan mereka mengamalkannya walaupun telah dilarang.
Kenapa Allah ﷻ mengarahkan dua malaikat ini mengajar sihir kepada manusia yang ada kemungkinan disalahgunakan oleh manusia? Inilah konsep ujian dalam dunia ini. Allah ﷻ memang uji manusia dengan kekayaan, kesenangan dan kuasa yang boleh menyebabkan mereka yang diberi semua itu jatuh ke lembah kekufuran. Allah ﷻ beri sebagai ujian untuk mereka sama ada mereka boleh terus kekal dengan iman atau tidak.
Apa kisah dua malaikat ini selepas menjalankan tugas mereka? Kita tidak tahu tapi logiknya apabila sudah habis kerja, tentu Allah ﷻ panggil mereka kembali ke langit.
مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ
yang boleh memecah belahkan antara satu orang dengan pasangannya;
Memang dengan sihir dapat memisahkan perhubungan suami dan isteri – sama ada disihir kepada isteri, ataupun kepada suami. Kalau disihir kepada isteri, isteri itu akan meminta cerai dari suaminya kerana isterinya jadi benci kepada suaminya. Ini adalah salah satu contoh yang sihir boleh lakukan.
Ini adalah satu perkara yang amat disukai oleh Iblis. Kita biasa dengar bagaimana syaitan-syaitan akan membuat laporan kepada Iblis tentang apakah kejayaan mereka pada hari itu. Berbagai-bagai kejayaan yang mereka laporkan bagaimana mereka telah merosakkan kehidupan manusia. Tetapi iblis buat biasa sahaja. Namun apabila ada syaitan yang berkata yang dia telah memecahkan antara suami dan isterinya, iblis terlalu suka. Seperti tercatat di dalam hadith berikut. Dari Jabir رضي الله عنه dari Nabi ﷺ bersabda,
إِنَّ إِبْلِيْسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً يَجِيْءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُوْلُ فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا فَيَقُوْلُ مَا صَنَعْتَ شَيْئًا قَالَ ثُمَّ يَجِيْءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُوْلُ مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ قَالَ فَيُدْنِيْهِ مِنْهُ وَيَقُوْلُ نِعْمَ أَنْتَ
“Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut) kemudian ia mengutus bala tenteranya. Maka yang paling dekat dengannya adalah yang paling besar fitnahnya. Datanglah salah seorang dari bala tenteranya dan berkata, “Aku telah melakukan begini dan begitu”. Iblis berkata, “Engkau sama sekali tidak melakukan sesuatu pun”. Kemudian datang yang lain lagi dan berkata, “Aku tidak meninggalkannya (untuk digoda) hingga aku berhasil memisahkan antara dia dan isterinya. Maka iblis pun mendekatinya dan berkata, “Sungguh hebat (syaitan) seperti engkau”.
(Riwayat Muslim no 2813)
Kenapa iblis suka sangat kalau suami isteri berpisah? Kerana kalau suami isteri berpisah, maka akan porak perandalah keluarga; dan bila keluarga porak peranda, maka masyarakat juga akan porak peranda. Anak-anak kehilangan ibu bapa, berpeleseran. Bayangkan kalau ibu ayah tidak berpisah pun belum tentu mereka jadi orang baik, apatah lagi kalau ibubapa berpisah?
Ada manusia zaman sekarang yang tidak percaya ada sihir. Mereka kononnya telah moden, maka mereka tidak percaya ada perkara-perkara “supernatural” (ghaib) seperti sihir. Inilah juga pendapat Muktazilah (golongan sesat) dan mungkin mereka sampai mengkafirkan orang yang adanya sihir.
Tetapi ketahuilah yang sihir itu memang wujud. Perkara itu memang boleh terjadi dengan izin Allah ﷻ. Kerana itulah Nabi Muhammad sendiri pernah terkena sihir, dan ia menjadi dalil bagi kita bahawa sesiapa sahaja boleh terkesan dengan sihir itu.
Ya memang benar Nabi Muhammad sendiri pernah menjadi mangsa sihir. Baginda telah disihir oleh seorang Yahudi dan baginda diberitahu oleh Allah ﷻ tentangnya (melalui perantaraan Malaikat). Ramai yang terkejut dengan maklumat ini kerana sangka yang sihir tidak mampu memberi kesan kepada Nabi. Ada juga yang hairan seolah-olah Allah ﷻ tidak memberi perlindungan kepada Nabi pula. Maka kita katakan yang perkara ini tidak mustahil kerana para Nabi juga manusia dan mereka terkesan sepertimana juga manusia yang lain seperti lapar dan dahaga, penat dan letih. Begitu juga kesan sihir juga boleh terkena kepada mereka.
Sihir memang ada diamalkan sampai sekarang. Sememangnya ada cara untuk melawan sihir. Ini kerana sihir terjadi dengan menyeru selain daripada Allah ﷻ, maka lawannya adalah dengan hanya menyeru kepada Allah ﷻ. Oleh itu, tauhid sahajalah yang dapat melawan sihir.
Jadi kalau hendak mengubat orang yang terkena sihir, kenalah ajar tauhid kepadanya terlebih dahulu. Kalau tidak dilakukan begitu, tidak akan selesai masalah. Ini kerana kalau kita meruqyahnya dan dia selamat dari sihir, tetapi kalau dia tidak faham tauhid, dia akan ada masalah kembali.
Ada pula orang Islam yang mengamalkan sihir. Kalau orang bukan Islam membuat sihir, itu kita boleh terima, tetapi apabila orang Islam sendiri mengamalkannya atau suruh orang lain buat untuk mereka, itu adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Kita tahu ada banyak bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang hidup dengan mengamalkan sihir. Mereka inilah yang dicari oleh manusia-manusia jahil untuk menjalankan sihir untuk mereka.
Dengan menggunakan bomoh dan dukun itulah ada orang yang disantau, diganggu fikiran mereka sampai boleh menjadi gila, diganggu sampai mereka jatuh sakit dan macam-macam lagi. Buruk sekali perbuatan mereka itu. Bukan orang biasa sahaja, malah ahli-ahli politik dan para pemimpin pun ada yang memakai sihir dan menggunakan bomoh untuk mendapatkan kejayaan dalam pilihanraya dan sebagainya.
وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ
Dan tidaklah mereka itu boleh memberi mudharat dengan sihir itu satu orang pun
Kita jangan sangka ada kuasa pada sihir itu. Atau jangan kita sangka ada kuasa pada ilmu itu. Kalau Allah ﷻ tidak izinkan, sihir itu tidak ada terjadi. Macam juga racun, tidak akan membunuh manusia tanpa izin Allah ﷻ. Tetapi selalunya Allah ﷻ benarkan. Ini adalah kerana mengikut hukum adat. Sebagai contoh ‘hukum adat’: kalau kita makan, kita akan kenyang. Bukanlah makanan itu yang mengenyangkan kita, tetapi Allah ﷻ. Tetapi, Allah ﷻ telah meletakkan asbab-asbab untuk mengenyangkan manusia. Tanpa hukum adat, tentu susah manusia hendak hidup di dalam dunia ini.
Maka begitu juga dengan sihir. Ia terjadi kerana mereka telah melakukan langkah-langkah untuk menjadikannya. Maka Allah ﷻ benarkan terjadi. Maka jangan takut dengan sihir. Termasuk juga dalam hal ini, jangan takut dengan jin dan hantu. Yang Allah dan Rasul ajar adalah berlindung dengan Allah, serahkan kepada Allah, amalkan segala yang Allah suruh. Sebab itu dalam hadis tidak diajar halau hantu sebab senang sahaja sebenarnya hendak halau hantu. Iaitu berlindung dengan Allah. Tidak perlu buat cara-cara yang lain. Yang ajar segala mak nenek cara itu adalah tok bomoh, pawang, dukun dan uskun (dukun berlakon jadi ustaz) sahaja. Itu semua cara untuk buat duit sahaja bagi mereka. Yang tertipu adalah orang jahil.
إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ
melainkan dengan izin Allah;
Sihir itu hanya akan menjadi kalau Allah ﷻ izinkan. Semua yang terjadi hanya berlaku dengna izin Allah sahaja. Kalau Allah tidak takdirkan ia berlaku, ia takkan berlaku. Sihir itu terjadi hanya dengan izin Allah sahaja. Tapi ini tidaklah bermaksud Allah ﷻ suka dengan perbuatan mereka.
Izin Allah ada dua jenis, taqdiri dan syar’ie. Kalau syar’ie (yang Allah syariatkan), itu Allah suka. Tapi izin taqdiri itu tidak semestinya Allah suka ia dilakukan. Allah ﷻ tidak redha, tetapi Allah ﷻ benarkan ia terjadi kerana manusia yang hendakkan begitu. Allah ﷻ memang akan benarkan kalau manusia hendak sesat sangat. Kerana Allah tidak memaksa manusia beriman dan jadi baik. Kalau hendak jadi jahat, Allah izinkan tapi Allah tidak redha.
وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ
Dan mereka pun belajarlah sihir itu yang memberi mudharat kepada mereka;
Mereka sangka mereka yang memberikan mudharat kepada orang lain kerana sihir yang mereka lakukan. Ini kerana dengan sihir itu mereka boleh menyebabkan orang berpisah dengan pasangannya, menyebabkan mangsa jatuh sakit atau gila dan sebagainya.
Tetapi yang sebenarnya yang mendapat mudharat itu adalah mereka yang mengamalkan sihir itu. Apa yang mereka akan kena adalah lebih teruk dari itu. Mereka telah mengumpul dosa dengan mengamalkan sihir itu dan mereka akan dikenakan azab di akhirat kelak. Kalau ditangkap semasa di dunia, hukuman kepada mereka adalah hukuman mati.
Bukan sahaja azab itu diterima neraka sahaja nanti. Tetapi mereka di dunia juga telah mendapat mudharat. Contohnya, orang yang mengamalkan sihir tidak boleh dapat anak kerana anak mereka pun akan diambil oleh syaitan.
وَلَا يَنْفَعُهُمْ
Dan tidak boleh memberi manfaat kepada mereka apa-apa pun;
Sihir yang mereka amalkan itu tidak memberi manfaat langsung kepada mereka, melainkan memasukkan mereka ke dalam neraka sahaja. Mereka sahaja rasa mereka mendapat habuan seperti upah kalau amalkan sihir, tapi ia tidaklah bermanfaat bagi mereka. Jadi kelebihan material sebanyak mana pun tetapi menyebabkan kita ke neraka, ia tidak dikira manfaat langsung.
Ini penting untuk diketahui oleh orang kita kerana sihir boleh diberi dengan nama-nama yang mengelirukan orang. Tambahan pula di media massa ada filem-filem yang membayangkan orang yang mengamalkan magis itu orang baik seperti dalam filem Harry Porter. Dan untuk dibayangkan baik, diberi nama ‘White Magic’ pula. Sedangkan ia tetap buruk dan membahayakan akidah manusia. Kita kena faham ayat Taha:69 yang mengatakan,
وَلا يُفلِحُ السّاحِرُ حَيثُ أَتىٰ
sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja dia berada”.
وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ ٱشتَرَٮٰهُ
Sesungguhnya mereka itu tahu sesiapa yang membelinya;
Mereka tahu sebenarnya yang dengan mengamalkan sihir itu, mereka sebenarnya ‘membeli’ neraka. Allah gunakan perumpamaan ‘beli’ untuk menunjukkan yang mereka sendiri yang memilih untuk melakukannya (kerana tidak ada orang terpaksa beli, bukan?) Dan Allah kaitkan pembelian mereka itu jenis pembelian yang amat bodoh. Ini macam beli benda buruk dengan harga yang mahal. Tentu orang kata gila, bukan?
Mereka tahu bahawa perbuatan mereka itu adalah salah kerana ia disebut di dalam kitab mereka, akan tetapi mereka masih juga melakukannya. Ini adalah kerana nafsu mereka telah mengelabui akal dan fikiran mereka. Mereka sendiri tahu bahawa apabila hendak mengamalkan sihir, mereka kena menyembah syaitan dan membuang iman.
Tapi nanti di dalam ayat ini nanti ada disebut: “kalaulah mereka tahu….”. Maknanya mereka tahu ia salah, tapi mereka tidak ambil pengajaran. Atau mereka buat tak tahu. Atau mereka tak tahu lagi kesan perlanggaran syariat itu (sebab itu mereka buat). Jadi tahu hukum tapi tidak diikuti, sama macam tidak tahu.
Begitu juga kita. Ada perbuatan kita yang kita tahu adalah adalah salah tetapi kita buat juga. Ini adalah kerana kita telah dipandu oleh nafsu kita. Oleh kerana jahil agama, maka syaitan senang menipu kita.
مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَـٰقٍ
bagi mereka di akhirat kelak tidak ada lagi bahagian yang baik;
Mereka tahu yang mereka hanya mendapat neraka sahaja. Tetapi oleh kerana degil, ada juga manusia yang mengamalkan sihir. Mereka tidak pandang kesan di akhirat kelak. Mereka lebih pandang kepentingan yang mereka dapat di dunia ini lagi.
Antara kepentingan yang boleh didapati adalah kedudukan tinggi di dunia. Masyarakat ada yang memandang ahli sihir sebagai ‘orang pandai’ yang disanjung dan ditakuti dan nasihat mereka diterimapakai.
وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنْفُسَهُمْ
Buruk sungguh sihir yang mereka jual untuk diri mereka;
Mereka beli sihir itu dengan menjualkan diri mereka untuk masuk neraka. Perhatikan kalau kalimah ٱشتَرَى sebelum ini bermaksud ‘beli’ dan sekarang kita lihat kalimah شَرَوْا untuk jual pula. Tukar huruf ت sahaja membawa maksud yang berlawanan. Mereka beli kesesatan dengan jual diri mereka, akidah dan peluang mereka untuk masuk syurga. Ini kerana untuk menjadikan sihir itu, mereka kena melakukan perbuatan-perbuatan kotor seperti makan darah, pemujaan, syirik dan sebagainya. Ada juga juga yang kena pijak Al-Qur’an kerana syaitan hendak mereka benar-benar murtad dan meninggalkan Islam. Macam-macam kisah karut yang kita dengar tentang mereka yang hendak mendapatkan ilmu sihir itu. Dan ia bukan senang kerana ada yang kena bertapa dalam gua dalam hutan dan makan bertih sahaja.
لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Kalaulah mereka itu mengetahui;
Kalaulah mereka mengetahui yang jikalau mereka beriman dan bertaqwa, mereka akan mendapat kebaikan yang melimpah ruah, tentu mereka tidak berani untuk mengamalkan sihir. Ini akan diterangkan dalam ayat selepas ini.
Seperti telah disebut sebelum ini, mereka tahu hukum amalkan sihir tapi tidak ikut, jadi ini sama seperti tidak tahu sahaja. Begitulah dengan orang kita, bukannya tidak tahu hukum, tapi banyak dilanggar hukum-hukum Allah.
Masalah lain, memang ramai tidak tahu mana yang boleh dan mana yang tidak, yang mana tauhid, mana syirik, maka sunnah, maka bid’ah. Ini kerana masyarakat kita jauh dari bidang ilmu sampaikan segala benda mereka tidak tahu. Mereka pakai buat sahaja ikut-ikut orang lain. Ini menekankan kepentingan ilmu pengetahuan. Sekarang sudah banyak cara belajar, maka belajarlah dengan baik.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 4 Oktober 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Salam,
Boleh ke kalau sy copy and print untuk bacaan sy dah keluarga?
Terima Kasih, ilmu yang sangat bermanfaat.
LikeLike
ya silakan. cuma, saya selalu update.
LikeLike
alhamdulillah ilmu yang bermanfaat.
LikeLike