Baqarah Ayat 88: Ini adalah jawapan mereka apabila mereka diajak untuk menerima Al-Qur’an. Ada berbagai dalihan dari mereka untuk tidak menerima kebenaran dan ini adalah salah satunya.
وَقَالُواْ قُلُوبُنَا غُلفُۢۚ بَل لَّعَنَہُمُ ٱللَّهُ بِكُفرِهِم فَقَلِيلاً مَّا يُؤمِنُونَ
And they said, “Our hearts are wrapped.” But, [in fact], Allah has cursed them for their disbelief, so little is it that they believe.
Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.
وَقَالُوا قُلُوبُنَا غُلْفٌ
Dan mereka berkata: Hati-hati kami sudah tertutup;
Ayat sebelum ini di dalam bentuk percakapan kepada pihak kedua tapi sekarang ada iltifat kepada pihak ketiga. Ini adalah kerana ada pengalihan dari perbuatan mereka terhadap Nabi-nabi mereka dan sekarang Allah memperkatakan sikap mereka terhadap Nabi Muhammad.
Kalimah غُلْفٌ dari kata dasar: غ ل ف yang bermaksud dicomotkan, tidak khatan, tutup, meliputi. Mereka beri alasan yang hati mereka tertutup daripada menerima ajaran dari Nabi Muhammad ﷺ. Mereka rasa hati mereka dipertahankan dari menerima ajaran Nabi Muhammad yang mereka anggap sesat. Mereka berbangga dengan kelebihan ini, kononnya mereka tetap di atas agama mereka. Mereka tidak sedar yang agama mereka telah dimansukhkan dengan kedatangan Nabi Muhammad.
Ini adalah alasan yang mereka berikan. Kononnya mereka ada uzur kenapa tidak beriman, tapi ini bukanlah jenis uzur yang boleh diterima. Mereka itu jenis yang keras kepala. Sebab itulah apabila dinasihatkan kepada mereka untuk beriman dengan Al-Qur’an, mereka kata hati mereka sudah penuh dengan ilmu sampai kononnya tidak boleh ilmu yang baru lagi.
Satu lagi tafsir, ia bermaksud mereka kata mereka sudah pandai sangat, jadi mereka suruh ajar orang yang jahil sahaja, kononnya. Alasan begini pun orang kita pun mungkin akan berkata begitu juga. Iaitu mereka kata mereka sudah belajar agama lama dan mereka sudah pandai. Mereka sudah ada guru, sudah ke universiti, sudah ke pondok dan sebagainya. Jadi, kalau hendak dakwah, maka dakwah sahaja kepada orang yang tidak belajar.
Atau satu lagi tafsir, ia bermaksud hati mereka amat kental, bukan mudah untuk masuk ajaran lain. Inilah salah satu punca susah untuk beriman, iaitu sombong dan degil. Sombong kerana rasa diri sudah benar dan hebat.
Dan tafsir yang terakhir, mereka kata mereka tidak memahami apa yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ. Sebab itu mereka kata hati mereka tertutup dari terima.
Adakah umat Islam berperangai begini? Ya ada. Contohnya apabila diajar belajar agama seperti belajar tafsir Al-Qur’an, mereka akan jawab otak mereka sudah tepu tak boleh masuk lagi ilmu baru. Padahal kalau benda lain, boleh sahaja mereka belajar, tapi kalau bab agama, senang sangat mereka buat kesimpulan mereka tidak boleh terima ilmu. Kalau dapat telefon baru, sanggup pula mereka belajar bagaimana menggunakannya.
Ada juga banyak kita dengar alasan ‘tidak sampai seru’ lagi. Ini pun alasan mengarut sahaja. Jadi sama sahaja kata-kata mereka ini dengan golongan Yahudi. Apa mereka sangka para sahabat belajar Islam dulu itu semuanya muda belia belaka kah? Ramai sahaja yang tua dan boleh menerima agama. Jadi jangan beri alasan tidak boleh masuk ilmu agama. Selagi ada nyawa, teruskan belajar. Kalau tolak belajar tafsir Al-Qur’an, seolah-olah kita menolak Al-Qur’an dan akan masalah kita nanti di akhirat.
بَل لَّعَنَہُمُ ٱللَّهُ
Bahkan Allah sebenarnya telah melaknat mereka;
Kalimah بَلْ menidakkan anggapan mereka itu yang salah. Itu alasan mereka sahaja, sebenarnya Allah ﷻ sudah laknat mereka. Kalimah بل bermakna menidakkan kata-kata mereka sebelum itu. Sebenarnya mereka tidak dapat memahami dakwah dari Rasulullah adalah kerana mereka telah dilaknat.
Makna ‘laknat’ adalah, Allah ﷻ jauhkan mereka dari rahmat-Nya. Maksudnya mereka tidak akan mendapat kesedaran kerana kekufuran mereka yang lama-lama terdahulu. Allah ﷻ kunci hati mereka dari menerima kebenaran. Allah ﷻ sudah tidak mahu beri hidayah kepada mereka lagi.
Ini kerana mereka banyak sangat menolak hidayah pada waktu dahulu, sampaikan Allah ﷻ sudah tidak mahukan mereka lagi. Syukurlah Allah ﷻ telah memberikan kita hidayah dengan menggerakkan hati kita untuk mula belajar tafsir Al-Qur’an ini.
بِكُفْرِهِمْ
dengan kesesatan mereka;
Allah ﷻ laknat mereka kerana kekufuran mereka yang dahulu. Bukanlah kerana memang sengaja Allah ﷻ hendak melaknat mereka. Tapi ia adalah kerana kesalahan mereka sendiri. Allah menegaskan di sini yang mereka memang telah jatuh kufur.
Ini adalah kufur peringkat Ke-Empat. Iaitu apabila hati sudah dikunci mati dari menerima kebenaran. Tidak kisahlah siapa yang sampaikan dakwah kepada mereka, mereka tidak akan terima.
Peringkat Pertama: ragu-ragu dengan dakwah
Peringkat Kedua: mula menolak
Peringkat Ketiga: menolak dengan berdepan, dengan kasar, dengan ganas.
Peringkat Keempat: telah menolak kebenaran dan sampai satu masa Allah buat keputusan untuk tutup terus pintu hati dari terima kebenaran.
فَقَلِيلًا مَّا يُؤْمِنُونَ
dan sedikit sangat di antara mereka itu yang beriman.
Sedikit sahaja yang beriman dari kalangan mereka. Memang tidak ramai yang beriman dari kalangan Yahudi itu. Antara yang terkenal adalah Abdullah bin Salam, bekas pendita Yahudi yang mengenal kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad, maka beliau terus beriman.
Atau ia bermaksud sedikit sahaja ajaran yang mereka boleh terima. Ini adalah kerana kedegilan mereka. Kerana kedegilan mereka, maka mereka tidak dapat menerima banyak ilmu. Iman mereka jadi cetek kerana itu.
Sebelum ini telah disebut yang mereka hanya beriman dengan sebahagian kitab sahaja. Maka inilah antara sebab mereka telah ditutup pintu hati mereka. Iman mereka menjadi amat lemah.
BANI ISRAIL MENOLAK AL-QUR’AN
Baqarah Ayat 89: Ini adalah tentang Yahudi jenis kelima. Ayat ini merujuk kepada Yahudi di zaman Nabi Muhammad ﷺ. Ayat ini ingin memberitahu kepada kita yang menolak kitab itu bukan sahaja Yahudi di zaman datuk nenek dahulu, tetapi Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ juga. Sedangkan ajaran nabi-nabi mereka pun mereka tolak, apatah lagi bila Nabi Muhammad ﷺ membawakan ajaran Islam, lagilah mereka tolak dengan sewenang-wenangnya. Tambahan pula Nabi Muhammad ﷺ bukan dari kalangan Bangsa Yahudi.
وَلَمّا جاءَهُم كِتَـٰبٌ مِّن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّما مَعَهُم وَكانوا مِن قَبلُ يَستَفتِحونَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا فَلَمّا جاءَهُم مّا عَرَفوا كَفَروا بِهِ ۚ فَلَعنَةُ اللَّهِ عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ
And when there came to them a Book from Allah confirming that which was with them – although before they used to pray for victory against those who disbelieved – but [then] when there came to them that which they recognized, they disbelieved in it; so the curse of Allah will be upon the disbelievers.
Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Qur’an), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Qur’an), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.
وَلَمّا جاءَهُم كِتَـٰبٌ مِّن عِندِ اللَّهِ
Dan apabila datang kepada mereka Kitab daripada sisi Allah
Yang dimaksudkan ‘kitab’ dalam ayat ini adalah Al-Qur’an kerana ada sifat Al-Qur’an ini yang akan disebut selepas ini: (yang membenarkan) مُصَدِّقٌ.
Di sini Allah ﷻ mengingatkan mereka bahawa Al-Qur’an itu dari sisi Allah ﷻ bukannya rekaan manusia. Kalau Taurat dari Allah ﷻ, begitu juga Al-Qur’an. Maka jangan disangsikan lagi. Jangan tolak begitu sahaja kerana amat buruk padahnya.
مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ
yang membenarkan apa yang ada di kalangan mereka;
Iaitu membenarkan pemberitahuan dalam Kitab Taurat. Pemberitahuan apa? Tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman itu. Jadi mereka sebenarnya sudah tahu dengan diberikan dengan segala sifat-sifat Nabi itu. Kalau mereka benar-benar beriman dengan Taurat, maka mereka tidak boleh menolaknya. Sepatutnya mereka suka kerana orang yang tunggu-tunggu selama hari ini sudah ada.
Di dalam masa yang sama, secara umumnya memang Al-Qur’an membenarkan ajaran di dalam Taurat. Iaitu membenarkan isi kitab mereka dari ‘segi tauhid’. Kena terjemah seperti ini kerana bukan membenarkan dari segi amalan dan fiqah kerana syariat tidak sama. Tetapi ajaran tauhid sahaja yang sama. Maka kalau sama, sepatutnya mereka boleh terima dengan mudah kerana bukan benda baru pun yang disampaikan. Malah dalam bentuk syariat, ia lebih memudahkan bagi mereka kalau dibandingkan dengan syariat mereka sebelum itu.
وَكَانُوا مِنْ قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا
Sedang mereka sebelum itu meminta kemenangan ke atas kaum Musyrik;
Sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi, orang-orang Yahudi Madinah memohon kepada Allah ﷻ supaya dilantik seorang Rasul untuk memerangi kuffar Musyrikin Madinah dari kalangan bangsa Arab. Mereka tahu yang Musyrikin Madinah itu salah kerana mengamalkan syirik dengan menyembah berhala. Padahal mereka tidak sedar yang mereka pun sesat juga.
Allah ﷻ hendak mengingatkan yang mereka dahulu pernah minta dibangkitkan Rasul akhir zaman. Yahudi Madinah semasa berbalah dengan puak Arab, mereka berkata: “Tunggulah nanti Nabi akhir zaman akan datang, kami akan hapuskan kamu semua!” Maka, setiap kali ada peperangan antara Yahudi dan puak Arab, puak Yahudi akan berkata, akan bangkit Nabi yang akan membaca kitab wahyu seperti mereka juga dan kedatangan Nabi itu akan memberi kemenangan kepada mereka. Namun apabila Nabi akhir zaman itu (Nabi Muhammad ﷺ) datang, mereka tolak pula.
فَلَمَّا جَاءَهُمْ مَّا عَرَفُوا
Maka tatkala datang kepada mereka seorang yang mereka kenal;
Iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang mereka katakan sebelum itu, benar-benar telah dibangkitkan. Mereka kenal sungguh Nabi Muhammad ﷺ itu kerana sifat Nabi sama dengan apa yang mereka baca dalam kitab mereka. Ini Allah telah bongkar di dalam Baqarah:146
الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُم ۖ وَإِنَّ فَريقًا مِّنهُم لَيَكتُمونَ الحَقَّ وَهُم يَعلَمونَ
Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).
Cuma yang mereka tidak sangka adalah baginda dari Bani Ismail, bukan dari Bani Israil tapi dari bangsa Arab. Mereka sangkakan yang Nabi itu akan meneruskan agama Yahudi tetapi sebaliknya pula. Mereka tidak sangka Nabi akhir zaman itu dari bangsa Arab.
Jadi di sini kita tahu setakat ada ilmu sahaja tapi degil, tidak berguna. Setakat tahu sahaja tapi tidak percaya dan tidak beramal dengannya, itu tidak cukup. Kalau setakat tahu sahaja sudah dikira beriman, maka tentulah iblis itu ada iman yang paling tinggi kerana ilmunya lagi tinggi.
كَفَرُوا بِهِ
mereka telah kufur kepadanya;
Apabila benar Nabi akhir zaman yang mereka katakan itu telah dibangkitkan, mereka tidak mahu terima kerana Nabi Muhammad ﷺ bukan datang dari bangsa mereka. Mereka tolak baginda walaupun mereka sedar yang memang baginda itu seorang Nabi dan memang Nabi akhir zaman yang mereka tunggu-tunggu selama ini.
Maknanya, kadang-kadang manusia apabila kebenaran tidak datang dari puak mereka, maka mereka tolak. Contohnya, kalau ada yang hendak datang mengajar tafsir Al-Qur’an, tetapi orang itu bukan dari guru yang mereka biasa belajar dengannya, maka mereka akan tolak. Ataupun, yang mengajar itu lain dari apa yang dia faham selama hari ini, maka dia tolak juga. Begitulah sifat manusia yang degil macam Yahudi.
فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ
Maka laknat Allah ke atas orang-orang kafir;
Oleh kerana mereka terus tolak Nabi Muhammad ﷺ dan kebenaran yang disampaikan oleh baginda, maka mereka telah dilaknat oleh Allah ﷻ. Maksud dilaknat itu bermakna mereka akan dibiarkan dalam kufur. Rahmat keimanan tidak akan diberikan kepada mereka.
Keduanya, Allah ﷻ tidak beri keampunan kepada mereka. Caranya adalah tidak ditimbulkan dalam hati mereka untuk meminta ampun. Pernah tidak kita berbuat dosa, tetapi kita tidak teringin untuk minta ampun? Rasa macam malas hendak meminta ampun. Atau tidak teringat pun untuk meminta ampun atas dosa kita itu. Walaupun kita tahu yang kita telah buat itu adalah salah. Itu maknanya, Allah telah ﷻ melaknat kita. Ini kerana, kalau kita minta ampun, in sha Allah Dia akan ampunkan dosa kita itu. Terpulang kepada Dia sama ada hendak ampunkan ataupun tidak. Tetapi kalau langsung tidak ada keinginan untuk meminta ampun, bagaimana?
Dorongan untuk meminta ampun itu pun sebenarnya datang dari Dia juga. Jadi, kalau kita teringat akan dosa yang telah kita telah lakukan, sama ada tengah masak atau tengah bawa kereta, teruslah meminta ampun waktu itu juga. Ini kerana semasa itu Allah ﷻ telah timbulkan dalam hati kita keinginan untuk meminta ampun kepada dosa itu. Dan ketika itu pintu pengampunan sedang terbuka. Allah ﷻ detikkan keinginan untuk meminta ampun dalam hati kita kerana Dia memang hendak mengampunkan kita. Maka jangan kita tidak endahkan bisikan hati kita untuk meminta ampun pada waktu itu. Ambil peluang itu untuk benar-benar memohon ampun kepada Allah ﷻ.
Selalunya orang yang berbuat dosa, mereka tidak teringat untuk meminta ampun. Apabila Allah ﷻ tidak ampunkan dosa kita, kita tidak akan masuk syurga. Ingatlah bahawa kita masuk syurga bukan dengan pahala. Kita masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ. Ini kerana berapa banyak pun ibadat yang kita buat, tidak mampu membalas segala kurnia Allah ﷻ ke atas kita.
Walaupun ayat ini tentang golongan Yahudi tapi Allah tidak sebut Dia melaknat Yahudi tapi melaknat orang kafir. Maka mana-mana orang kafir pun akan menerima nasib yang sama. Kalau Yahudi pun boleh kena laknat kerana kesalahan mereka, maka kita pun boleh kena laknat kalau perangai kita sama sahaja.
Baqarah Ayat 90: Ayat 90 – 123 menceritakan tentang sifat dengki luar biasa Yahudi terhadap keturunan lain. Mereka menolak wahyu hanya kerana Nabi terakhir dilantik daripada bangsa yang lain. Mereka menganggap syurga hanya untuk bangsa mereka sahaja. Mereka juga mendakwa merekalah bangsa yang benar dan bangsa lain adalah sesat.
بِئسَمَا اشتَرَوا بِهِ أَنفُسَهُم أَن يَكفُروا بِما أَنزَلَ اللَّهُ بَغيًا أَن يُنَزِّلَ اللَّهُ مِن فَضلِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ ۖ فَباءوا بِغَضَبٍ عَلىٰ غَضَبٍ ۚ وَلِلكَـٰفِرِينَ عَذابٌ مُّهينٌ
How wretched is that for which they sold themselves – that they would disbelieve in what Allah has revealed through [their] outrage that Allah would send down His favor upon whom He wills from among His servants. So they returned having [earned] wrath upon wrath. And for the disbelievers is a humiliating punishment.
Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Qur’an yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.
بِئسَمَا اشتَرَوا بِهِ أَنفُسَهُم
Buruk sungguh jual beli mereka dengan diri-diri mereka sendiri;
Mereka telah menyebabkan kerugian kepada diri mereka. Kerana mereka telah menolak kebenaran. Kalimah اشتَرَوا itu di dalam bentuk fi’il madhi (masa lampau) kerana penolakan mereka telah ada sebelum ayat ini diturunkan lagi. Dhomir بِهِ di sini merujuk kepada kitab itu. Mereka jual dan tolak kitab untuk beli kesenangan diri mereka.
Allah ﷻ beri perumpamaan perniagaan jual beli dalam ayat ini. Maka apakah jual beli yang dimaksudkan ini? Mereka tukar keampunan Allah ﷻ dengan neraka. Mereka ada peluang untuk membaiki keadaan diri mereka, tetapi mereka tidak ambil. Mereka beli dunia dengan menjual rahmat dari Allah ﷻ sebab mereka merasa kalau mereka masuk neraka pun sekejap sahaja.
Begitulah orang kafir. Tapi bagaimana pula dengan orang Mukmin? Mereka jual diri mereka untuk dapat syurga seperti disebut di dalam Tawbah:111
إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ ۚ يُقٰتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ ۖ وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرءآنِ ۚ وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.
أَن يَكفُروا بِما أَنزَلَ اللَّهُ
dengan mereka kufur dengan Al-Qur’an yang Allah turunkan;
Mereka ‘beli’ kufur, dan mereka nanti akan diazab dalam neraka. Berdoalah kita supaya berlindung dari mempunyai sifat sebegini. Kalimah أَن يَكفُروا di dalam bentuk fi’il mudhari’ kerana penolakan dan kekufuran mereka itu masih lagi terjadi.
Allah ingatkan bahawa yang menurunkan Al-Qur’an itu adalah Allah. Mereka lupa bahawa yang mereka kufurkan itu adalah Al-Qur’an iaitu wahyu Allah ﷻ. Mereka tidak mahu belajar Al-Qur’an. Mereka beli kufur dengan menolak Al-Qur’an.
Macam orang kita juga yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an tetapi sangka akan dapat masuk syurga. Mereka biarkan Al-Qur’an berlapuk di rumah dengan tidak dibaca dan dipelajari maknanya. Atau mereka cuma jadikan hiasan dinding. Hanya dibaca sekali sekala (selalunya bila Ramadhan menjelma).
Kenapa orang-orang Yahudi buat begitu?
بَغْيًا
Kerana mereka dengki;
Kenapa mereka kufur? Kita kena tahu apakah maksud lafaz بَغْيًا itu. Ia bermaksud dengki dan hasad. Ia adalah perasaan tidak boleh tengok orang lain lebih daripada mereka. Lebih-lebih lagi kalau orang bawahan mereka yang menjadi besar. Mereka hendakkan mereka sahaja di kedudukan yang tinggi. Yahudi itu rasa diri mereka tinggi benar dan malah digelar Ahli Kitab sedangkan bangsa Arab itu terkenal sebagai bangsa yang rendah, gasar dan tidak ada agama lagi kitab. Jadi tentulah mereka tidak puas hati apabila ada pula Nabi dari kalangan mereka dan dapat pula kitab wahyu.
Orang Melayu pun banyak ada sifat ini. Mereka tidak mahu jatuh “standard”. Oleh itu, kita dapat tahu bahawa orang Yahudi itu dengki kerana Nabi akhir zaman bukan orang Yahudi. Mereka tidak puas hati sebab Nabi akhir zaman itu datang dari kalangan bangsa Arab yang mereka selama ini pandang rendah dan menjadi kuli mereka sahaja. Padahal Allah tidak pernah janji pun yang para Nabi mesti dari kalangan Bani Israil.
Orang kita pula, dengki kerana ilmu tafsir ini tok guru mereka tidak ajar. Tok guru mereka hanya ajar kitab yang bukan diambil ajaran dari Al-Qur’an. Jadi bila ada yang datang membawa ajaran tafsir Al-Qur’an, yang mereka cerita adalah kitab-kitab yang mereka sudah belajar dari guru mereka. Macam-macam kitab karangan manusia mereka sudah belajar. Tetapi tafsir Al-Qur’an mereka belum belajar lagi.
Jadi mereka belajar kitab karangan manusia itu sampai tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka rasa sudah cukup dengan kitab-kitab itu. Dan ada guru yang tidak suka anak murid dia belajar tafsir Al-Qur’an. Seperti mereka menyekat sesiapa yang mahu belajar Al-Qur’an. Padahal kita hendak belajar tafsir Al-Qur’an kerana kita ingin tahu kehendak Allah ﷻ dan untuk tahu kehendak Allah ﷻ kita kena tahu tafsir.
Malangnya, ada guru-guru yang ajar ajaran salah akan kata kalau belajar tafsir Al-Qur’an, akan menjadi sesat. Sampai hasilnya, anak-anak murid mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Antara cara mereka sekat adalah mereka kata bagaimana hendak belajar Al-Qur’an sedangkan mereka tidak tahu membaca Al-Qur’an? Dan tidak tahu bahasa Arab?
Sampaikan mereka menangguh belajar tafsir Al-Qur’an sehingga mereka tahu baca Al-Qur’an dan tahu bahasa Arab. Kalau begitu, sampai bila baru mereka boleh belajar tafsir? Sedangkan apabila belajar tafsir, akan timbul dalam hati keinginan untuk belajar baca Al-Qur’an dan untuk tahu bahasa Arab. Lama-kelamaan kita akan tahu bahasa Arab sebab kita hendak tahu apakah makna setiap huruf-huruf itu. Yang penting, mulakan dengan mengetahui apakah kehendak Allah ﷻ dari Al-Qur’an itu.
Maka dengki adalah sifat buruk yang ada di dalam hati-hati manusia yang tidak menjaga hatinya. Dengki atau hasad itu adalah apabila tidak suka dengan apa yang ada pada orang lain. Kita mahu kita yang dapat dan bukan orang itu. Maka kena jauhkan sikap ini dari dalam hati kita. Ada dua sahaja hasad yang dibenarkan seperti disebut di dalam hadis,
Dua jenis dengki/hasad ini begini: Kita tengok orang banyak sedekah harta, kita dengki dan jadi seperti dia, maka kita usaha untuk dapatkan harta dan sedekah lagi banyak dari dia; kita lihat orang ada ilmu dan amalkan sambil mengajar kepada orang lain. Kita rasa tak boleh jadi begini, maka kita pun belajar dan berusaha mengajar kepada orang lain lagi banyak dari dia. Maka ini adalah dengki jenis yang baik dan menyebabkan kebaikan yang berganda.
Maka ayat ini mengajar kita supaya tidak memandang siapa yang sampaikan kebenaran. Asalkan yang disampaikan adalah perkara yang benar, terutama sekali dari wahyu, maka kena terima. Tidak kiralah sama ada yang sampaikan itu adalah bangsa lain, orang miskin atau lemah, orang muda malah anak murid kita pun. Ini semua kena terima. Jangan berlagak yang semua benda kita tahu dan jangan sombong dengan kedudukan kita yang tidaklah hebat mana. Kalau yang disampaikan dari wahyu Al-Qur’an dan hadis yang sahih, maka wajib kita terima. Dan kalau yang sampaikan itu orang yang berjubah dan berserban akan tetapi dalil yang disampaikan adalah palsu, maka wajib kita tinggalkan.
أَنْ يُنَزِّلَ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ
Kerana Allah menurunkan daripada kurniaNya
Mereka tidak suka Allah ﷻ turunkan wahyu kepada Nabi dari bangsa Arab. Mereka mahukan Nabi dari kalangan mereka juga. Sedangkan mereka sepatutnya tahu yang Nabi akhir zaman tidak semestinya akan datang dari bangsa mereka. Malah mereka telah berpindah ke Madinah kerana mereka tahu yang Nabi Akhir Zaman akan datang berpindah ke situ.
Namun oleh kerana dengki, mereka tidak mahu puak lain menjadi Nabi. Jiwa mereka tidak boleh terima. Mereka sanggup jadi kafir disebabkan hal ini dan mereka sendiri yang rugi! Tetapi sebenarnya, kalau datang dari bangsa mereka sendiri pun, mereka tidak ikut juga. Ini kerana sifat mereka yang amat degil.
Orang kita pun ada masalah untuk menerima kebenaran juga. Mereka tahu yang Al-Qur’an itu dari Allah dan mereka sayang; kerana itu mereka selalu baca dan mereka hafal. Akan tetapi itu sebelum mereka tahu maksud ayat-ayat yang mereka baca itu. Apabila disampaikan, mereka jadi ragu-ragu pula untuk terima. Mereka tidak percaya dengan orang yang sampaikan maksud dan tafsir ayat-ayat itu sedangkan yang disampaikan itu adalah wahyu. Jadi orang kita setakat boleh baca dan hafal sahajalah tanpa faham apa yang mereka baca. Dari muda sampailah mereka mati.
عَلَىٰ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ
ke atas sesiapa yang Dia kehendaki dari hamba-hambaNya;
Dari ramai-ramai makhluk yang dijadikan, Allah ﷻ telah pilih Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan wahyu Al-Qur’an dan dijadikan Nabi Akhir Zaman. Allah ﷻ tidak pilih orang Yahudi walaupun keturunan mereka banyak nabi-nabi dan rasul-rasul. Ini adalah pilihan dari Allah sendiri dan siapa manusia yang boleh mempersoalkan keputusan dari Allah?
Macam kita juga, kalau orang lain yang mengajar tafsir Al-Qur’an yang bukan dari puak kita, ada yang tidak mahu belajar tafsir. Dikatakan pula kepada yang mengajar tafsir itu bahawa ajaran mereka sesat sebab ajaran dari tafsir Al-Qur’an lain daripada apa yang mereka telah belajar dari kitab-kitab itu. Padahal Al-Qur’an dari Allah ﷻ dan kitab itu karangan manusia sahaja. Kalau karangan manusia, tentu ada salah dan silapnya. Maka untuk tahu mana yang salah dan silap, kenalah tahu tafsir Al-Qur’an.
فَبَاءُوا بِغَضَبٍ عَلَىٰ غَضَبٍ
Maka mereka kembali kepada Allah dengan kemurkaan atas kemurkaan;
Oleh kerana kedegilan mereka itu, maka mereka kembali bertemu Allah ﷻ dengan kemurkaan atas kemurkaan. Kemurkaan yang baru di atas kemurkaan yang sudah ada. Berganda kemurkaan ke atas mereka kerana kemungkaran yang mereka lakukan juga bertingkat-tingkat dan berlipat ganda. Kemurkaan pertama kerana tidak mengikut kitab mereka dan kemurkaan kedua kerana tidak mengikut Al-Qur’an. Dan dari situ berbagai-bagai kemungkaran yang mereka lakukan.
وَلِلكَـٰفِرِينَ عَذابٌ مُّهينٌ
Dan bagi orang kafir seperti ini akan dapat azab yang menghinakan di akhirat kelak.
Mereka akan mendapat azab yang menghinakan. Maknanya ia bukan azab biasa. Azab yang akan dikenakan kepada mereka amat teruk. Dan di sini tidak dikhususkan kepada Bani Israil sahaja melainkan disebut secara umum. Jadi tidak kira kafir yang mana pun, mereka akan menerima azab yang menghinakan.
Maka begitu jugalah bagi umat Islam yang tidak mahu menerima wahyu dan kufur kepada ajaran wahyu. Iaitu mereka yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi dengan memberi pelbagai alasan. Ini adalah kerana sama sahaja sifat mereka dengan sifat orang Yahudi itu.
Sebenarnya semua azab itu menghinakan, jadi kenapa Allah sebut sifat azab itu menghinakan? Allah akan menghukum orang yang berdosa dengan dosanya. Oleh kerana dosa mereka di sini adalah kerana sombong, maka Allah hina mereka. Maka kerana itu kita kena minta berlindung dari hina di akhirat seperti disebut di dalam Ali Imran:194
رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 20 September 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
