Tafsir Surah Baqarah Ayat 75 – 77 (Golongan Munafik Yahudi)

BANI ISRAIL YANG ENGKAR

Baqarah Ayat 75: Sekarang, Allah ﷻ hendak memberitahu kelemahan-kelemahan golongan Yahudi dalam hal agama. Antaranya, mereka itu belajar Kitab Taurat tetapi mereka tidak berapa faham. Maknanya, mereka lemah kefahaman dalam ilmu agama.

Selepas ini Allah ﷻ sebutkan lima perangai buruk mereka. Mereka itulah yang merosakkan agama. Kita sebutkan dahulu jenis-jenis kumpulan dari kalangan Yahudi itu kelemahan dan keburukan itu supaya senang kita ikuti perbincangan selepas ini:

1. Dalam ayat 75 ini, yang dimaksudkan adalah ulama’ dan ahli ibadat Yahudi.
2. Ayat 76 adalah berkenaan golongan munafik dari kalangan Yahudi.
3. Ayat 78 pula adalah berkenaan orang awam Yahudi.
4. Ayat 79 adalah tentang ulama’ Yahudi yang mempersendakan agama sendiri.
5. Ayat 80 adalah tentang anak-anak bangsawan dan anak-anak ulama’ Yahudi.

أَفَتَطمَعونَ أَن يُؤمِنوا لَكُم وَقَد كانَ فَريقٌ مِّنهُم يَسمَعونَ كَلٰمَ اللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفونَهُ مِن بَعدِ ما عَقَلوهُ وَهُم يَعلَمونَ

Sahih International

Do you covet [the hope, O believers], that they would believe for you while a party of them used to hear the words of Allah and then distort the Torah after they had understood it while they were knowing?

Malay

(Sesudah kamu – wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu – mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?

 

أَفَتَطمَعونَ أَن يُؤمِنوا لَكُم

Apakah kamu menaruh harapan besar mereka akan beriman kepada kamu semua?

Khitab (ditujukan) ayat ini adalah kepada para sahabat Nabi ﷺ. Allah ﷻ sedang bercakap kepada mereka dalam ayat ini. Allah ﷻ hendak kata: Kamu berharap mereka hendak jadi sahabat kamu dan memperjuangkan Islam seperti kamu? Jangan harap. Kalimah أَفَتَطْمَعُونَ dari طمع yang ada juga dalam bahasa kita: tamak. Iaitu hendak sangat kepada sesuatu. Selagi boleh dapat, kita hendak lagi.

Allah ﷻ menegur para sahabat pada waktu itu supaya jangan berharap sangat yang Yahudi itu akan ikut beriman. Boleh hendak dakwah kepada mereka dan memang kena dakwah pun, tetapi jangan harap sangat yang mereka akan masuk Islam berbondong-bondong. Agama mereka pun mereka tidak jaga, apatah lagi kalau agama baru. Yang pertamanya ayat ini untuk Rasulullah kerana baginda amat berharap manusia beriman. Sehinggakan ia menyusahkan baginda sendiri seperti disebut di dalam Syu’ara:3

لَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ أَلّا يَكونوا مُؤمِنينَ

Boleh jadi kamu (Muhammad) akan membinasakan dirimu, kerana mereka tidak beriman.

Dan disebut juga di dalam Kahf:6

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا

Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Allah ﷻ beritahu kepada para sahabat supaya mereka jangan anggap golongan Yahudi itu boleh senang-senang hendak beriman kepada Islam. Ini kerana para sahabat sangka, tentu golongan Yahudi itu senang terima Islam kerana mereka sudah ada kitab wahyu sebelum itu. Tambahan pula sudah sangat banyak maklumat yang dibawa oleh Nabi Muhammad hampir sama dengan apa yang mereka pernah dengar dari golongan Yahudi itu. Jadi para sahabat sudah sangka yang golongan Yahudi itu senang terima dan akan bersegera masuk Islam.

Tidak semudah itu. Allah ﷻ hendak bagi para sahabat sedar dan jangan berharap sangat sampai nanti kecewa teruk. Dan Allah ﷻ hendak beri mereka pujukan (kalau golongan Yahudi itu degil tidak mahu beriman). Kerana tidak, tentu mereka hairan kenapalah Yahudi tidak terima Islam? Sedangkan dahulu mereka itulah yang banyak ajar Arab Madinah tentang agama, tentang Nabi dan sebagainya. Tetapi apabila benar-benar Nabi yang mereka tunggu telah datang, mereka tidak beriman pula.

Akan tetapi ayat ini bukanlah memutuskan semangat para sahabat untuk berdakwah kepada golongan Yahudi. Memang banyak suruhan berdakwah kepada mereka, tambahan pula ia akan menjadi hujah nanti di akhirat kelak seperti disebut di dalam Maidah:19

يَٰٓأَهْلَ الْكِتٰبِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ عَلَىٰ فَتْرَةٍ مِّنَ الرُّسُلِ أَن تَقُولُوا مَا جَاءَنَا مِن بَشِيرٍ وَلَا نَذِيرٍ فَقَدْ جَاءَكُم بَشِيرٌ وَنَذِيرٌ وَاللهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami, menjelaskan (syari’at Kami) kepadamu ketika terputus (pengiriman) rasul-rasul agar kamu tidak mengatakan: “Tidak ada datang kepada kami baik seorang pembawa berita gembira mahupun seorang pemberi peringatan”. Sesungguhnya telah datang kepadamu pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

وَقَد كانَ فَريقٌ مِّنهُم يَسمَعونَ كَلٰمَ اللَّهِ

sedangkan sesungguhnya telah ada satu puak di kalangan mereka mendengar ayat-ayat Allah;

Mereka yang dimaksudkan adalah golongan ulama’, pembesar dan ahli agama dari kalangan orang Yahudi. Mereka mendengar Kitab Taurat dibacakan dan mereka boleh baca sendiri Kitab Taurat yang di tangan mereka. Mereka itu memang ada belajar Kitab Taurat. Akan tetapi bukanlah semua, kerana itu Allah tambah: فَريقٌ مِّنهُم. Akan tetapi kerana mereka ini golongan yang berpengaruh dan agamawan, maka kesan pengubahan yang mereka lakukan itu sangatlah besar.

Kena tahu bahawa Kitab Taurat itu hanya ada pada golongan agamawan mereka sahaja. Bukannya macam sekarang kita setiap rumah ada Al-Qur’an. Pada zaman mereka dulu, para agamawan Yahudi jaga kitab Taurat itu supaya tidak tersebar dengan meluas. Mereka telah pernah dengar Kitab Taurat dibacakan. Bahkan tok nenek mereka dahulu pernah lihat sendiri Taurat Allah ﷻ diturunkan apabila mereka dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام naik Bukit Thur. Jadi Allah ﷻ hendak ingatkan kepada orang Islam – kamu sangka mereka hendak dengar kata-kata kamu? Kata-kata Allah ﷻ sendiri mereka tidak dengar, apatah lagi kata-kata manusia?

 

ثُمَّ يُحَرِّفُونَهُ

kemudian mereka mengubah-ubahnya

Mereka berani ubahsuai Kitab Taurat dengan tangan mereka. Mana yang mereka tak suka dan anggap susah untuk diamalkan, mereka tukar sahaja teks kitab Taurat itu. Ini memang jenis orang yang amat teruk, sampai sanggup ubah Kitab Allah ﷻ. Seteruk-teruk orang Islam, memang tidak berani hendak ubah Al-Qur’an.

Ubah itu dalam ertikata: tukar, buang atau tambah apa yang telah ada di dalam Kitab Taurat itu. Sama ada dalam bentuk teks, atau bentuk pemahaman darinya. Maknanya mereka tafsir sendiri ikut kehendak mereka. Dengan cara itu, mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Dengan cara ini mereka dapat menipu pengikut mereka. Maka bagaimana hendak berharap dengan orang jenis begini?

Mereka juga mengubah fakta di dalam Taurat. Antaranya yang mereka mengubah mengenai karakter Rasulullah dalam kitab Taurat: Tajam pandangan matanya, perawakannya tinggi semampai, rambutnya keriting, dan tampan rupanya. Diganti menjadi: Tinggi perawakannya, dua matanya berwarna hijau, dan lurus rambutnya.

 

مِنْ بَعْدِ مَا عَقَلُوهُ

setelah mereka faham apa yang mereka baca itu;

Mereka ubahsuai Kitab Taurat itu setelah mereka faham apakah yang disampaikan dalam kitab itu. Jadi mereka telah faham apa yang disampaikan oleh Allah. Begitulah ada manusia yang sanggup ubahsuai agama sebelum mereka faham kerana mereka golongan jahil. Tetapi ulama-ulama Yahudi ini lagi teruk, kerana mereka ubahsuai Kalam Allah ﷻ itu setelah mereka faham yang disampaikan oleh Kitab Taurat.

Kenapa mereka ubahsuai? Kerana apa yang disampaikan dalam Kitab itu tidak sesuai dengan nafsu mereka. Mereka lebih pentingkan keduniaan dari akhirat. Mana arahan agama yang susah, mereka tidak suka buat, maka mereka ubah sendiri.

Ayat ini merujuk kepada tok guru ahli agama dari kalangan puak Yahudi. Mereka ubah Kalam Allah ﷻ dengan perkataan yang tidak datang daripada Allah ﷻ. Begitu jugalah yang terjadi zaman sekarang. Ada yang ubahsuai agama setelah mereka memahaminya. Kerana apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an tidak sama seperti apa yang mereka hendak.

Atau tidak sama dengan pemahaman mereka sebelum ini. Mungkin mereka sudah belajar di tempat lain (madrasah, pondok dan sebagainya) dan apabila lihat ayat-ayat Al-Qur’an dan maknanya, lain dengan apa yang mereka telah belajar. Jadi mereka tidak dapat terima. Mereka tetap hendak tafsir ikut pemahaman mereka sebelum itu. Sedangkan Nabi ﷺ telah menyuruh manusia supaya mengikut apa yang telah diajarnya dan dibawa oleh sahabat-sahabat. Tetapi ada pula golongan yang menyatakan bahawa sahabat-sahabat itu yang sesat. Itulah yang dikatakan oleh puak Syiah. Ini hanya sebagai satu contoh. Ada lagi yang lain.

Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an, telah jelas melarang bertawasul dengan para wali, para Nabi dan Malaikat. Tetapi ada juga golongan agamawan yang tafsir dengan maksud yang lain. Mereka tidak dapat ubah teks Al-Qur’an, tetapi mereka ubah tafsir Al-Qur’an itu. Mereka kata maksud ayat itu adalah maksud yang lain.

Ada pula golongan yang mengubah kerana mereka mendapat imbuhan dengan apa yang mereka ubah itu. Maknanya, mereka sanggup jual agama untuk mendapat upah yang sedikit. Contohnya mereka dapat upah bila buat upacara doa bertawasul kepada Nabi Muhammad, upah jadi tekong Tahlilan dan Selamatan, juga upah jadi imam solat hajat berjemaah.

 

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedangkan mereka tahu;

Inilah yang teruk, kerana mereka tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah salah. Tetapi kerana hendak cari makan, mereka akan ubah kepada maksud yang lain. Itulah yang dilakukan oleh agamawan Yahudi dan begitulah juga yang dilakukan oleh segelintir agamawan kita. Sebagai contoh, kalau anak murid itu jenis yang suka bertawasul dengan para wali, mereka tidak tegur pun. Kerana kalau mereka tegur dan kata ianya salah, tentu anak-anak murid itu tidak setuju dengan mereka dan sudah tidak jemput mereka mengajar lagi.

Kerana itulah ramai yang tutup mata dengan ajaran sesat dan zalim seperti GISB itu. Kerana amalan sesat kumpulan itu sama sahaja dengan akidah mereka (boleh yaqazah dengan Rasulullah, boleh tawasul dengan orang mati dan banyak lagi). Kerana itulah kita tak dengar pun golongan agamawan menegur atau mengutuk kumpulan itu melainkan kumpulan yang dituduh Wahabi sahaja.

Begitulah apabila ramai ustaz mengajar kerana upah, bukan kerana hendak mengajar. Apabila mereka tidak dapat mengajar, mereka tidak dapat upah mengajar lagi. Sudah tidak dapat ‘sampul putih’ (upah mengajar dalam sampul). Padahal mereka mungkin tahu bahawa bertawasul dengan para wali yang sudah mati itu adalah salah dan dilarang oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an. Tetapi mereka sanggup tidak tegur kerana takut dengan anak murid.

Jadi, walaupun ayat Al-Qur’an ini adalah berkenaan ulama’ Yahudi, tetapi ianya juga boleh merujuk kepada ahli agama Islam zaman sekarang. Allah ajar kisah Yahudi ini supaya kita bandingkan diri kita dengan mereka dan jangan jadi seperti mereka. Kerana Yahudi dulu pun asalnya Muslim juga dan mereka juga ada kitab wahyu. Maka kita kena berhati-hati dan ketatkan tentang perkara ini dan jangan main-main dengan agama. Ini termasuk ustaz-ustaz yang mengajar agama di masjid dan surau-surau. Kalau mereka pun buat perangai golongan agamawan Yahudi ini, maka mereka pun kena nasib yang sama juga.


 

Baqarah Ayat 76: Ayat ini merujuk kepada Yahudi yang munafik di zaman Nabi Muhammad ﷺ. Mereka pun ada juga di kalangan Yahudi.

وَإِذا لَقُوا الَّذينَ آمَنوا قالوا آمَنّا وَإِذا خَلا بَعضُهُم إِلىٰ بَعضٍ قالوا أَتُحَدِّثونَهُم بِما فَتَحَ اللَّهُ عَلَيكُم لِيُحاجّوكُم بِهِ عِندَ رَبِّكُم ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

Sahih International

And when they meet those who believe, they say, “We have believed”; but when they are alone with one another, they say, “Do you talk to them about what Allah has revealed to you so they can argue with you about it before your Lord?” Then will you not reason?

Malay

Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”; dan apabila mereka berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: “Patutkah kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya sebagai hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu berakal?”

 

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا

Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman

Mereka yang dimaksudkan adalah golongan Yahudi munafik. Mereka golongan bawahan yang ada berurusan dengan para sahabat (yang telah beriman) dalam perniagaan, contohnya. Mereka ada bertemu dan berkomunikasi dengan sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Kalau golongan ulama’ mereka tidak buat macam tu. Golongan ulama’ tidak bercampur dengan bangsa Arab.

 

قَالُوا آمَنَّا

mereka berkata: kami beriman;

Mereka kata mereka beriman apabila mereka berjumpa dengan sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Ini kerana apabila mereka berjumpa dengan orang beriman, dan mereka menceritakan tentang apakah yang telah disebut dalam Al-Qur’an, mereka kata semua itu pun sudah ada dalam Kitab Taurat mereka.

Ini juga merujuk kepada golongan Yahudi yang masuk Islam dan kemudian menjadi munafik (keluar dari Islam atau mengaku sahaja masuk Islam).

Jadi mereka mengiyakan apa yang diceritakan oleh sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Mereka kata, mereka pun beriman sama seperti apa yang disebutkan dalam Al-Qur’an itu. Kerana ajaran itu sama belaka dengan apa yang mereka telah dengar dari ahli agama mereka.

 

وَإِذا خَلا بَعضُهُم إِلىٰ بَعضٍ قالوا أَتُحَدِّثونَهُم بِما فَتَحَ اللَّهُ عَلَيكُم

Dan apabila setengah mereka pergi berjumpa dengan setengah yang lain, mereka (ketua-ketua mereka) berkata: Patutkah kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu;

Iaitu apabila mereka berjumpa dengan ketua-ketua agama mereka, atau berjumpa dengan golongan Yahudi yang lain. Apabila golongan munafik Yahudi itu bertemu dengan ulama’ mereka atau yang kuat berpegang dengan agama Yahudi, ulama’ mereka itu telah memarahi golongan munafik itu. Kerana kadang-kadang mereka buka cerita benda-benda yang benar dari Taurat. Terutama sekali tentang kedatangan Nabi Muhammad dan kebenaran baginda. Sahabat pun kata apa yang mereka sampaikan itu sama dengan apa yang ada dalam Al-Qur’an. Sampai mereka ada beritahu kepada para sahabat yang akan datang Nabi akhir zaman akan duduk di Yathtib. Dan mereka memberitahu tentang azab yang telah dikenakan kepada tok nenek Yahudi dahulu.

Marahlah ulama’ Yahudi bila mereka tahu yang golongan bawahan itu telah beritahu perkara-perkara itu. Ia seolah-olah rahsia mereka telah terbongkar dan ada pula golongan mereka yang buka rahsia itu kepada umat Islam. Ibn Abbas mengatakan golongan Yahudi itu mengakui kerasulan Nabi Muhammad. Tapi mereka tambah: “beliau hanya diutuskan untuk kalian sahaja.”

Iaitu dengan memberitahu tentang apa yang ada di dalam Kitab Taurat yang memang ada menceritakan tentang kedatangan Nabi ﷺ, kebenaran Nabi ﷺ, dan sebagainya. Pendita Yahudi memarahi pengikut mereka kerana memberitahu tentang kebenaran tentang Nabi Muhammad ﷺ yang memang disebut dalam Kitab Taurat.

 

لِيُحَاجُّوكُمْ بِهِ عِنْدَ رَبِّكُمْ

yang nanti mereka akan menggunakannya sebagai hujah mengalahkan kamu di sisi Tuhan kamu nanti?

Mereka takut nanti sahabat yang beriman akan guna balik hujah dari kitab Taurat untuk lawan berdebat dengan mereka. Mereka takut nanti orang-orang Islam akan kata: memang orang Yahudi sendiri telah kata semua benda itu telah ada dalam kitab mereka. Jadi, mereka takut orang Islam akan berhujah begitu untuk menyalahkan mereka. Ini akan memperkuatkan kedudukan Nabi Muhammad dan umat Islam. Dan mereka tidak mahu perkara itu akan menjadikan orang-orang beriman akan semakin kuat iman mereka kerana persamaan yang ada dalam kitab-kitab yang terdahulu. 

Golongan ulama’ itu juga takut yang hujah ini nanti akan digunakan di hadapan Allah ﷻ. Kerana nanti golongan Muslim akan berkata: “Ya Allah, memang golongan Yahudi ini telah tahu tentang Islam kerana dia sendiri beritahu saya tentang itu dan ini….”

Ini kerana mereka hendak guna hujah: “Kami tidak kenal Muhammad ini.. kalau kami kenal, tentu kami beriman…” Tetapi nanti para sahabat akan jadi saksi pula ke atas mereka: “Mereka bukan tidak kenal, akan tetapi mereka memang kenal. Kerana mereka sendiri cakap dengan kami.” Malah Al-Qur’an juga menjadi saksi yang mereka memang kenal baginda seperti disebut di dalam Baqarah:146

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُم ۖ وَإِنَّ فَريقًا مِّنهُم لَيَكتُمونَ الحَقَّ وَهُم يَعلَمونَ

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

 

 

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Apakah kamu tidak boleh berfikir?

Mereka marah pengikut mereka. “Kamu tidak fikirkah yang ini akan menyebabkan kita susah nanti?” Apakah kamu tidak mengerti bahawa kalau rahsia itu terbuka, akan membawa celaka bagi kita dan meruntuhkan kedaulatan agama kita? Pusaka turun-temurun nenek-moyang kita?

Mereka tidak mahu maklumat tentang kebenaran Rasulullah itu sampai kepada umat Islam. Tetapi mereka lupa bahawa Allah sendiri akan beritahu hal itu kepada umat Islam juga. Inilah yang menunjukkan kejahilan mereka tentang Allah.


 

Baqarah Ayat 77: Mereka memandang hal itu rahsia, tapi bagi Allah, tidak ada apa yang boleh mereka rahsiakan.

أَوَلا يَعلَمونَ أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ

Sahih International

But do they not know that Allah knows what they conceal and what they declare?

Malay

(Mereka berani berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?

 

أَوَلَا يَعْلَمُونَ

Tidakkah mereka mengetahui

Ayat ini menunjukkan kebodohan ulama Yahudi. Ada jumlah (ayat) yang kena taqdir (tambah) di sini: patutkah ulama-ulama Yahudi itu memberi arahan sedemikian kepada orang bawahan mereka? Apakah arahan yang dimaksudkan? Iaitu arahan melarang pengikut mereka membocorkan rahsia kebenaran Islam.

 

أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ

Sesungguhnya Allah tahu apa yang mereka rahsiakan 

Lihatlah betapa bodohnya mereka – mereka suruh orang bawahan mereka untuk sorokkan maklumat yang benar kepada sahabat yang beriman. Takkan mereka tak tahu yang Allah tahu apa yang mereka lakukan?

Sebenarnya mereka tahu, tapi lama-lama mereka mengharap Allah tak tahu apa yang mereka telah buat. Allah tegaskan dalam ayat ini yang Dia tahu walaupun apa yang mereka cakap dalam hati mereka.

 

وَمَا يُعْلِنُونَ

dan apa yang mereka nyatakan;

Patutkah mereka buat begitu sedangkan Allah Maha Mengetahui? Dalam ayat sebelum ini, mereka berkata-kata sesama mereka dalam perjumpaan rahsia mereka. Allah tahu sama ada apa yang mereka zahirkan dengan mulut mereka itu datang dari hati mereka atau tidak. Allah juga telah berfirman di dalam Taha:7

وَإِنْ تَجْهَرْ بِالْقَوْلِ فَإِنَّهُ يَعْلَمُ السِّرَّ وَأَخْفَى

Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.

Mereka tahu Allah tahu, tapi mereka buat juga. Mereka jadi begitu kerana sifat غَافِلٍ (lalai) mereka yang telah disebutkan sebelum ini. Mereka tahu dengan akal, tapi tidak dengan hati mereka. Mereka ini macam baghal yang bawa kitab yang banyak atas belakangnya, tapi tak faham sikit pun apa yang diceritakan dalam kitab itu.

Golongan agama zaman sekarang pun ada yang sebegitu juga. Iaitu ulama’ yang mendapat upah. Mereka rahsiakan apa yang ada dalam Al-Qur’an. Jangan sangka ayat-ayat dalam Surah Al-Baqarah ini tentang orang Yahudi sahaja. Allah kisahkan tentang perbuatan mereka supaya kita tak jadi macam mereka.

Ada orang Islam yang takut nak ceritakan tentang semua ayat-ayat dalam Al-Qur’an. Mereka simpan ayat-ayat yang mereka rasa ‘kontroversi’. Mereka takut orang ramai akan pandang serong kepada mereka. Padahal itu hanya perasaan mereka sahaja. Tidak ada ayat Al-Qur’an yang sepatutnya disembunyikan.

Seluruh ayat Al-Qur’an yang Allah turunkan adalah untuk kebaikan semua manusia di dunia – bukan hanya kepada orang Islam sahaja. Tugas kita adalah untuk menyampaikan kepada semua orang – tidak kira Muslim atau kafir. Jangan jadi takut dengan apa yang ada dalam ajaran Islam. Islam adalah agama yang benar dan boleh diterima oleh masyarakat dunia. Ia bukan agama yang pelik dan tidak dapat diterima oleh akal.

Yang jadi takut nak sampaikan itu adalah kerana tak belajar sahaja dan tidak yakin dengan agama Islam. Mereka tak belajar sampaikan mereka tak faham tentang keindahan Al-Qur’an dan Islam, dan akhirnya mereka sendiri sangsi dengan agama mereka sendiri sampaikan mereka tidak yakin untuk sampaikan kepada manusia.

Sebenarnya, banyak orang bukan Islam yang hendak tahu tentang Islam. Jadi kita kena pandai jawab. Kalau tak, mereka takkan faham dan mereka akan jadi salah faham tentang Islam. Memang ada orang yang ada perasaan jahat dalam hati mereka, dan mereka tanya bukan hendak tahu tapi hendak mencari salah.

Tapi walau pun begitu, kita masih juga kena jawab. Kerana kita tak boleh simpan kebenaran. Berusahalah belajar supaya kita faham dan kita dapat menyebarkan Islam dengan benar, dengan yakin dan tidak sangsi dengan agama sendiri.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment