Tafsir Surah Baqarah Ayat 69 – 72 (Akhirnya lembu disembelih)

Baqarah Ayat 69: Mereka masih tidak berpuas hati dengan penerangan yang telah diberikan. Sebenarnya, mereka hendak mempersendakan Nabi Musa عليه السلام‎ sahaja kerana baginda suruh mereka sembelih lembu. Maka mereka tanya lagi. Sekarang, mereka tanya tentang warna pula.

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنا ما لَونُها ۚ قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ صَفراءُ فاقِعٌ لَونُها تَسُرُّ النّٰظِرينَ

Sahih International

They said, “Call upon your Lord to show us what is her color.” He said, “He says, ‘It is a yellow cow, bright in color – pleasing to the observers.’ ”

Malay

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya”.

 

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ

Mereka berkata: “Tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”

Lihatlah, mereka masih lagi kata: “Tuhan kamu”. Sekarang kita akan baca soalan karut mereka lagi. Soalan ini akan lebih menyusahkan mereka lagi.

 

يُبَيِّنْ لَّنَا مَا لَوْنُهَا

“Supaya Dia menjelaskan untuk kami apakah warna lembu itu?”;

Sekarang mereka sudah bertanyakan warna pula. Maka, sekali lagi Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Tuhan untuk menjelaskan. Sekali lagi, Nabi Musa عليه السلام terpaksa mendaki Bukit Thur untuk bertanya Allah ‎ﷻ tentang soalan lagi.

 

قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ

Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya Dia (Allah) berkata bahawasanya lembu betina itu”

Nabi Musa عليه السلام masih menekankan yang Allah ‎ﷻ sendiri yang jawab, bukan dari baginda sendiri.

 

صَفْرَاءُ

“berwarna kuning emas”;

Warna kuning emas adalah warna lembu yang amat sukar dicari. Ia juga adalah warna yang lain dari biasa. Kerana itu ulama’ ada melarang untuk menggunakan warna kuning keemasan pada pakaian dan sebagainya. Kerana mengelakkan dari dikaitkan dengan warna kegemaran Yahudi ini. Malangnya, kalau kita lihat mereka yang ada urusan dengan perbomohan, tentu akan menggunakan warna kuning ini pada kain mereka.

 

فَاقِعٌ لَّوْنُهَا

terang warnanya

Maksudnya, warna itu memang cantik terang benderang. Memang jelas warna itu.

 

تَسُرُّ النّٰظِرِينَ

“yang menyenangkan sesiapa yang memandang”.

Maknanya ia adalah lembu yang cantik. Kerana warnanya yang pekat dan jelas. Orang akan suka tengok kerana tidak pernah tengok lembu yang berwarna seperti itu. Tetapi harus diingatkan, tidak ada kelebihan kepada lembu yang berwarna seperti itu. Allah ‎ﷻ cuma hendak menyusahkan mereka sahaja. Jangan pula kita selepas ini kita mencari lembu berwarna kuning emas pula. Sebenarnya, sehingga sekarang orang Yahudi mencari lembu berwarna kuning keemasan ini. Dan bila tidak ada, mereka telah membuatnya secara genetik.

Susah untuk mencari lembu seperti itu. Bukan senang untuk mencari yang berwarna kuning keemasan. Itulah keburukan mereka yang bertanya banyak. Ia telah menyusahkan mereka. Kalau mereka buat sahaja dari awal lagi, mereka hanya perlu mencari lembu betina sahaja.

Sekali lagi kita katakan, bukanlah kita hendak berkata bahawa tidak elok bertanya. Ada pertanyaan yang digalakkan untuk bertanya. Ada beza kalau kita hendak mendalami ilmu. Contohnya, kalau orang bertanya: “Bagaimanakah caranya hendak membayar zakat?” Itu adalah soalan untuk mendalami agama. Tetapi kalau ada orang bertanya begini: “Kenapa kena bayar zakat?” Itu bukan soalan, tetapi itu ada tanda kemungkinan orang itu yang tidak mahu membayar zakat.

Para sahabat yang sudah biasa dengan Rasulullah tidak banyak bertanya kerana mereka telah ditegur oleh Allah di dalam Maidah:101-102

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَسْـَٔلُوا۟ عَنْ أَشْيَآءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْـَٔلُوا۟ عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ ٱلْقُرْءَانُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا ٱللَّهُ عَنْهَا ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌۭ ١٠١ قَدْ سَأَلَهَا قَوْمٌۭ مِّن قَبْلِكُمْ ثُمَّ أَصْبَحُوا۟ بِهَا كَـٰفِرِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar (101). Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).”

Dan mereka telah ditegur oleh Rasulullah seperti disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada  Abu  Hurairah,  Abd al-Rahman  bin  Sakhr  R.A,  beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ واخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ
“Apa yang aku larang hendaklah kamu jauhinya dan apa yang  aku  perintahkan  maka  hendaklah  kamu  laksanakan  sedaya  upaya  kamu. Sesungguhnya kehancuran orang-orang sebelum  kamu adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka (yang tidak berfaedah) dan penentangan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.”
Riwayat al-Bukhari (6777) dan Muslim (1337)


 

Baqarah Ayat 70: Mereka masih tidak berpuas hati lagi. Mereka masih ingin bertanya lagi. Inilah masalah bertanya sampai menyusahkan diri.

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنا ما هِيَ إِنَّ البَقَرَ تَشٰبَهَ عَلَينا وَإِنّا إِن شاءَ اللَّهُ لَمُهتَدونَ

Sahih International

They said, “Call upon your Lord to make clear to us what it is. Indeed, [all] cows look alike to us. And indeed we, if Allah wills, will be guided.”

Malay

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)”.

 

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ

Mereka berkata: “Tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”

Sekali lagi mereka bertanyakan soalan yang menyusahkan diri mereka sendiri. Dan sekali lagi mereka mengatakan itu ‘Tuhan Musa’.

 

يُبَيِّنْ لَّنَا مَا هِيَ

“Supaya Dia menjelaskan untuk kami apakah hakikat sebenar lembu betina itu?”

Mereka sudah mula merasakan bahawa kalau mereka tidak cari lembu itu, kelak mereka akan dimurkai oleh Allah ‎ﷻ. Maka mereka telah berusaha untuk mencari lembu itu. Sekarang mereka ingin tahu ‘hakikat’ lembu itu pula. Ingin benar-benar tahu. Kerana mereka sudah rasa ini adalah lembu yang istimewa. Padahal asalnya ia adalah mana-mana lembu sahaja.

 

 إِنَّ الْبَقَرَ تَشٰبَهَ عَلَيْنَا

“Sesungguhnya lembu betina itu masih samar kepada kami”;

Mereka masih lagi merasa keliru. Kerana pada mereka, sama sahaja lembu yang dijelaskan oleh Allah ‎ﷻ itu dengan lembu-lembu yang lain. Daripada bahasa yang digunakan, kita boleh tahu bahawa mereka telah mencari tetapi mereka tidak jumpa. Mereka tidak jumpa kerana mereka telah menyusahkan diri mereka dengan banyak bertanya dan kerana itu kebarangkalian untuk menjumpai lembu betina yang memenuhi kriteria yang telah disebut itu amat payah. Padahal, kalau dari mula lagi mereka buat, mereka hanya perlu sembelih mana-mana lembu betina sahaja.

Bagaimana pula dengan sifat orang Mukmin? Orang Mukmin tidak banyak bertanya; kalau arahan telah diberikan, mereka akan terus melakukannya seperti disebut di dalam Nur:51

إِنَّما كانَ قَولَ المُؤمِنينَ إِذا دُعوا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم أَن يَقولوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. “Kami mendengar, dan kami patuh”. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

 

وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَمُهْتَدُونَ

“Dan kami mudah-mudahan dengan izin Allah lepas ini akan terpimpin.”;

Iaitu semoga mereka terpimpin untuk mencari lembu yang benar. Oleh kerana mereka ada tambah perkataan ‘in sha Allah’ inilah yang menyebabkan Allah ‎ﷻ t‎olong mereka akhirnya untuk menjumpai lembu betina itu kemudiannya. Kerana lafaz itu telah meredakan kemarahan Allah ‎ﷻ.

Oleh kerana itu, memang kita sentiasa kena gunakan lafaz ‘in sha Allah’ ini. Ini salah satu pengajaran penting di dalam ayat ini. Maknanya kita meletakkan segala qadha dan qadar kepada Allah ‎ﷻ. Kalau kita kata esok kita akan pergi ke mana-mana, tanpa sebut in sha Allah, itu tidak patut sekali kerana kita tidak pasti sama ada kita boleh pergi atau tidak.

Malangnya, dalam masyarakat kita sekarang, sudah jadi lain pula. Kalau ada orang yang kata ‘in sha Allah’, automatik kita akan sangka yang orang itu sebenarnya tidak mahu pergi. Bukankah begitu? Lihatlah bagaimana syaitan telah menukar satu makna yang baik kepada makna yang buruk pula.

Lihat bagaimana mereka sudah bertanyakan tentang ‘hakikat’ lembu betina itu. Macam orang tasauf sekarang, mereka hendak tahu ‘hakikat’ Tuhan pula. Macam-macam perkara mereka hendak tahu ‘hakikat’nya. Contohnya, bila dengan Al-Qur’an, mereka nak tahu ‘hakikat’ Al-Qur’an itu apa. ‘Alif’ makna apa, ‘Lam’ makna apa, ‘sabdu’ atas Allah ‎ﷻ makna apa dan sebagainya.

Mereka hendak mencari ‘hakikat’ belaka. Samalah dengan kaum Yahudi ini yang hendak mengetahui apakah hakikat lembu itu, puak tasauf kita hendak tahu hakikat macam-macam pula. Padahal benda itu tidak perlu tahu pun tidak mengapa. Kita tidak akan dapat untuk mencapai hakikat sebenar sesuatu perkara itu. Sama sahaja antara mereka itu. Tetapi orang tasauf itu menyangka yang mereka itu dapat ilmu yang lebih dari orang lain. Dan mereka rasa mereka terpimpin lebih dari orang lain. Ini adalah kerana syaitan guna helah yang sama semasa kempen kepada mereka dan yang kempen kepada orang Yahudi itu.


 

Baqarah Ayat 71: Kali ini jawapan dari Allah panjang lebar memberikan kriteria lembu itu. Kerana sudah banyak kali tanya, nah kali ini diberi sampai 4 kriteria terus! Sampaikan

قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ لّا ذَلولٌ تُثيرُ الأَرضَ وَلا تَسقِي الحَرثَ مُسَلَّمَةٌ لّا شِيَةَ فيها ۚ قالُوا ٱلـَٔـٰنَ جِئتَ بِالحَقِّ ۚ فَذَبَحوها وَما كادوا يَفعَلونَ

Sahih International

He said, “He says, ‘It is a cow neither trained to plow the earth nor to irrigate the field, one free from fault with no spot upon her.’ ” They said, “Now you have come with the truth.” So they slaughtered her, but they could hardly do it.

Malay

Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya”. Mereka berkata: “Sekarang barulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar”. Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.

 

قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَّا ذَلُولٌ تُثِيرُ الْأَرْضَ

Lalu Nabi Musa berkata bahawasanya Allah berkata bahawa lembu betina itu tidak pernah diajar untuk membajak tanah;

Lembu itu bukan sahaja tidak buat kerja membajak tanah, diajar pun tidak pernah untuk membajak tanah. Ini memang jenis lembu yang duduk makan sahaja. Tidak seperti lembu-lembu yang lain. Ini memang lembu yang kerjanya hanya makan dan tidur sahaja.

 

وَلَا تَسْقِي الْحَرْثَ

dan tidak diguna untuk siram tanaman;

Menyiram tanaman pun tidak pernah. Maknanya, lembu ini dibela sahaja. Sebab ia cantik sangat. Begitulah kalau ibubapa ada anak yang disayangi (anak emas), mereka tidak dikerah sangat untuk buat kerja di rumah.

Maka, bukan senang untuk mencari lembu yang jenis ini. Sudahlah lembu yang cantik, tidak diguna untuk membuat kerja pula.

 

مُسَلَّمَةٌ

Sihat tubuh badan dia;

Ini lembu yang sihat lagi cantik. Bukan yang jenis kurus, bukan gemuk. Ia juga tidak ada cacat seperti buta sebelah, kaki pincang dan sebagainya.

 

لَّا شِيَةَ فِيهَا

Tidak ada jalur;

Maknanya, badan dia tidak ada jalur, tidak ada tanda, tidak berbelang warnanya, tidak ada parut bekas luka. Warna kekuningan itu pada keseluruhan badannya. Kerana kalau ada jalur atau tompok-tompok, sudah dikira ada kekurangan.

 

قَالُوا الْآنَ جِئْتَ بِالْحَقِّ

Mereka berkata: Sekarang ini baru engkau menjelaskan sifat-sifat lembu itu dengan sebenarnya;

Apabila Nabi Musa عليه السلام menjelaskan sifat lembu itu, mereka sudah rasa takjub dengan lembu itu pula. Mereka pun tidak bertanya lagi kerana Allah telah banyak bagi kriteria-kriteria. Mereka pun segera merata-rata mencari lembu itu. Akan tetapi kerana sudah banyak kriteria, maka susahlah mereka hendak mencarinya. Padahal kalau dari awal, mana-mana lembu betina sahaja. Mengikut satu cerita Israiliyat, mereka mengambil masa 40 tahun untuk bertemu dengan lembu itu (tidak boleh dijadikan hujah kerana lama sangat masa itu).

Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka dengan Nabi mereka. Mereka kata baru sekarang Nabi Musa beritahu kebenaran. Seolah-olah sebelum ini Nabi Musa عليه السلام main-main sahaja bagi maklumat. Seolah-olah sebelum ini Nabi Musa عليه السلام tidak beri kebenaran lagi.

Allah ‎ﷻ telah membiarkan mereka mencari lembu itu dalam masa yang lama. Macam-macam jenis mereka cari, namun ada sahaja kecacatan pada lembu itu. Ini kerana salah mereka juga kerana banyak sangat bertanya. Akhirnya mereka telah berjaya menjumpai lembu itu. Tuan lembu itu pula hanya mahu menjual dengan harga yang mahal. Akhirnya mereka telah membeli lembu itu dengan emas seberat lembu itu. Atau, emas sepenuh kulit lembu itu. Mereka kena kongsi wang yang banyak untuk membeli lembu itu.

Sampai sekarang pun, kalau lembu yang warna kuning ini memang mahal harganya sebab ia cantik; tetapi cerita ini adalah Kisah Israiliyat dan tidak boleh dijadikan sebagai sumber tafsir. Jadi, walaupun kisah ini masyhur dan ada juga dalam kitab-kitab tafsir kita kena tinggalkan juga. Kerana kalau sampai 40 tahun kena cari lembu itu, sudah lama sangat.

 

فَذَبَحُوهَا

Maka mereka menyembelih lembu itu;

Akhirnya mereka dapat juga menjumpai lembu itu dan mereka menyembelihnya. Mereka cari sapi tersebut dan kebetulan ditemukan pada seorang anak muda yang berbakti kepada ibunya, lalu mereka beli dengan emas sepenuh bungkusan yang terbuat dari kulit sapi itu. Atau dikatakan dibeli dengan emas seberat lembu itu.

 

وَمَا كَادُوا يَفْعَلُونَ

dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan perintah itu;

Ada beberapa pendapat kenapa mereka hampir tidak dapat menjalankan perintah itu.

1. Mereka hampir tidak dapat menyembelihnya kerana timbul rasa sayang kepada lembu itu. Mereka rasa sayang untuk menyembelih lembu itu sebab lembu itu cantik sangat. Dan mereka pula memang jenis kaum yang suka memuja lembu. Mulanya mereka memang tidak mahu sembelih tetapi oleh kerana mereka telah dipaksa untuk menyembelih lembu itu, barulah mereka sembelih.

2. Atau, ia mungkin juga bermaksud sudah susah sangat untuk mereka cari lembu itu kerana kriteria lembu itu sudah jadi susah sangat untuk dijumpai. Merata mereka cari tapi tidak jumpa-jumpa sehinggalah akhirnya mereka jumpa setelah sekian lama. Ini kerana salah mereka yang suka sangat bertanya.

3. Ada pendapat yang mengatakan mereka tidak dapat nak beli lembu itu kerana tuan punya lembu itu meletakkan harga yang terlalu tinggi. Kerana lembu itu lembu kesayangan, yang ditatang selama hari ini, tiba-tiba ada pula datang hendak beli dan entah apa yang akan dilakukan terhadap lembu itu.

4. Ada juga pendapat yang mengatakan mereka berat untuk sembelih lembu itu kerana tujuan lembu itu adalah untuk menyelesaikan persoalan siapakah pembunuh lelaki yang telah pernah disebut sebelum ini. Jadi ada yang tidak mahu rahsia itu terbongkar. Jadi ada pihak yang menghalang rahsia itu dari terbongkar.

Pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat ini, bila sudah diperintah, ikut sahaja. Jangan soal dan tanya banyak. Bangsa Yahudi memang banyak soal. Kita pun ada yang jenis macam itu juga. Macam-macam soalan orang kita akan tanya bila disampaikan ilmu agama kepada mereka.

Soalan yang mereka tanya itu adalah soalan yang tidak perlu mereka tanya sebenarnya. Kalau tanya banyak tetapi hendak buat, tidak mengapalah juga, tetapi terdapat juga jenis yang sengaja suka bertanya hanya kerana ingin bertanya, tanpa ada keinginan untuk buat pun. Kadang-kadang susah kita hendak jawab soalan dari pelajar kerana soalan itu tidak pernah ditanya oleh orang dahulu dan ulama’ pun tidak jawab.

Ada yang bertanya perkara yang tidak berlaku pun. Contohnya bagaimana ambil wuduk bagi perempuan yang ada janggut, bagaimana kalau tiada orang untuk mandikan jenazah dan jenazah itu mandikan diri sendiri? Sebab itulah kalau ditanya kepada Saidina Umar, beliau akan bertanya adakah perkara itu sudah terjadi atau belum? Kerana buang masa hendak jawab kalau benda tidak berlaku pun.

Warna kuning ini memang ada masalah besar. Banyak yang menganggap keramat kalau warna kuning. Sebab itu ada ‘Pulut Kuning’, balut nisan dengan warna kuning dan sebagainya. Kita pun biasa lihat, ada kubur yang berbalut nisannya dengan warna kuning. Terdapat juga keris keramat yang dibalut kain kuning. Termasuklah dengan penggunaan pulut kuning dan sebagainya. Ia adalah tanda kepada pemujaan.

Ada yang rasa susah untuk meninggalkannya. Sebagai contoh, sudah biasa sangat makan pulut kuning, apabila ada majlis sahaja, kena ada pulut kuning. Ini kerana pulut itu dipanggil ‘pulut semangat’ oleh orang dulu-dulu kerana ada elemen pemujaan padanya. Pulut hijau mereka tidak pula mahu buat. Maka, selalu juga kita makan. Tetapi seeloknya kita tinggalkan kesan-kesan dari pemujaan ini. Namun begitulah, kalau kita tegur mereka ini, nanti kita pula yang akan kena balik.

Habis Ruku’ 8 dari 40 surah ini


 

Baqarah Ayat 72: Ayat ini hendak memberitahu satu lagi perangai buruk Yahudi: mereka yang buat kesalahan tetapi suka menuduh orang lain. Dalam ayat ini dikisahkan bagaimana seorang lelaki membunuh lelaki lain, tetapi dituduh orang lain pula yang membunuhnya. Dia membuat kesalahan itu kerana mahukan perkara keduniaan dan dia menuduh orang lain untuk menyorok kebenaran dan kerana itu dia telah memecahbelahkan manusia. Inilah satu sifat Yahudi. Kerana mereka tidak ada sifat takut kepada Tuhan namun sebaliknya mereka ada sifat tamak kepada dunia.

Mereka tamakkan dunia sampai sanggup membunuh orang. Dan untuk melepaskan diri, mereka sanggup menuduh orang lain. Kalau ia masih berlaku lagi, tidaklah menghairankan kerana ia memang sifat mereka. Dan kalau ada di kalangan kita yang membuat perkara sebegini juga, maka ini adalah sifat Yahudi dan kita tidak banyak bezanya dengan mereka sebenarnya.

Ayat ini banyak pentafsir yang mengaitkannya dengan lembu yang disembelih sebelum ini. Tetapi sebenarnya tidak kerana kisah itu adalah dari Israiliyat dan kisah Israiliyat tidak boleh dijadikan sebagai sumber rujukan. Jadi, walaupun ia adalah kisah yang masyhur, tetapi kita kena tinggalkannya.

وَإِذ قَتَلتُم نَفسًا فَٱدَّٲرَٲٔتُم فيها ۖ وَاللَّهُ مُخرِجٌ مّا كُنتُم تَكتُمونَ

Sahih International

And [recall] when you slew a man and disputed over it, but Allah was to bring out that which you were concealing.

Malay

Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.

 

وَإِذْ قَتَلْتُمْ نَفْسًا

Dan ketika kamu bunuh satu jiwa

Seorang anak saudara telah membunuh pakciknya kerana mahukan harta pakciknya itu. Dia memang akan mendapat harta itu bila pakciknya itu mati, tetapi oleh kerana dia tidak sanggup untuk menunggu lama, jadi dia terus bunuh sahaja pakciknya itu.

Kita boleh perhatikan ayat ini dimulai dengan kalimah وَإِذْ dan kita pun telah lihat banyak ayat sebelum ini dimulai dengan وَإِذْ. Semuanya menunjukkan bahawa ia adalah permulaan kepada kisah baru. Maka ini menguatkan pendapat yang mengatakan bahawa ini adalah kisah baru dan tidak kena mengena dengan lembu yang diarahkan untuk disembelih itu. Beginilah pendapat Thaher bin Ashur dan ulama’ dari belahan India. Ini adalah kerana mereka tidak ada masalah untuk menjelaskan kenapa Allah suruh sembelih lembu. Ini kerana mereka bergelumang dengan masyarakat Hindu yang mengagungkan lembu. Sampaikan orang Hindu itu amat benci kepada umat Islam kerana umat Islam makan lembu, malah salah satu ibadah di dalam Islam adalah qurban lembu! Maka kerana itu mereka sanggup bunuh umat Islam kerana pada mereka umat Islam ini bunuh dewa mereka. Maka ulama’ sebelah sana tahu yang arahan itu adalah supaya hilangnya rasa sayang Yahudi kepada lembu. Akan tetapi ulama’ lain tidak mengalami hal ini maka mereka terpanggil untuk mengaitkan lembu itu dengan kisah pembunuhan ini.

Lalu kenapa Allah letakkan kisah pembunuhan ini selepas kisah lembu? Sedangkan pembunuhan inilah yang menyebabkan mereka kena sembelih lembu. Kata mereka kerana kisah lembu itu adalah untuk menjelaskan sikap Yahudi yang menangguh arahan dan banyak bertanya. Kalau kisah pembunuhan ini disebut dahulu, maka kesan penjelasan tentang sikap Yahudi itu akan berkurangan, sedangkan itulah yang lebih utama. Jadi kerana itu Allah mula dengan sebut sifat mereka dalam kisah penyembelihan lembu itu.

 

فَٱدَّٲرَٲٔتُم فِيهَا

dan kamu saling tuduh-menuduh;

Lelaki yang  membunuh itu telah meletakkan jasad pakciknya di kampung lain dan menuduh orang lain yang membunuh pakciknya itu. Kerana kejadian pembunuhan itu, manusia telah berselisih dan tuduh menuduh. Dalam kisah ini hanya seorang sahaja yang membunuh. Dan yang dibunuh adalah seorang sahaja. Tetapi ayat ini menggunakan perkataan ‘kamu semua’. Ini adalah kerana ada saksi yang tidak menceritakan hal yang sebenar. Jadi mereka telah bersubahat dalam hal pembunuhan itu. Sebenarnya, sesiapa sahaja yang terlibat akan bertanggungjawab sekali. Oleh kerana itu Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘kamu semua’.

Seperti yang kita telah sebut, kerana kisah ini datang selepas kisah lembu warna kuning itu, maka banyak pentafsir mengaitkan dua cerita ini berasal dari kisah yang sama. Tetapi dalam pentafsiran kita, kita memberikan makna yang lain.

Begini kisahnya yang selalu diceritakan, termasuk dalam kitab-kitab tafsir pun: Seorang lelaki yang telah tua tidak ada waris. Orang yang jenis ini dinamakan kalalah. Dia pula adalah seorang yang kaya. Dia hanya ada seorang anak saudara lelaki. Anak saudara lelaki itulah sahaja warisnya. Bila dia mati, hartanya akan dapat kepada anak saudara itu. Dan memang dia hendak berikan kepada anak saudaranya pun. Tetapi anak saudara itu tidak sabar untuk menunggu lelaki itu mati untuk mendapatkan harta itu. Lalu dia membunuh bapa saudaranya kerana dia hendakkan harta itu dengan segera. Dalam Tafsir Jalalain, disebut ada dua orang anak saudara. Untuk mengelakkan dia ditangkap, maka dia telah meletakkan mayat itu di kampung orang yang bermusuhan dengan bapa saudaranya. Esoknya, apabila mayat bapa saudaranya dijumpai, dia telah menuduh orang di kampung itulah yang membunuh bapa saudaranya. Jadi telah berlaku tuduh menuduh di antara mereka. Hampir terjadi peperangan disebabkan oleh kes ini.

 

وَاللَّهُ مُخْرِجٌ مَّا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ

Dan Allah akan mengeluarkan apa yang kamu semua sembunyikan;

Allah ‎ﷻ akan menceritakan balik apa yang mereka sembunyikan. Allah ‎ﷻ akan mengeluarkan keputusan tentang perkara yang mereka sembunyikan itu. Allah ‎ﷻ akan beritahu perkara yang sebenar.

‘Kamu’ dalam ayat ini adalah anak saudara yang membunuh itu dan mereka yang tahu tentang perkara itu (tapi menyembunyikan kebenaran). Tetapi Allah ‎ﷻ tidak sebut pun siapakah lelaki yang membunuh itu. Maka, ayat ini boleh digunakan sebagai merujuk kepada sesiapa sahaja. Ayat ini hendak mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ akan membuka rahsia sesiapa sahaja yang menyorok maklumat yang disimpan. Kerana ayat yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam ‘present-future tense’ – maknanya, boleh digunakan untuk setiap masa.

Siapakah yang sedang membaca ayat ini semasa ia diturunkan?

1. Bangsa Yahudi – Allah ‎ﷻ akan mengeluarkan rahsia tentang kedatangan Nabi yang ada dalam kitab mereka tetapi mereka telah menyembunyikannya. Sebagaimana dalam kisah di atas, memang ada yang sudah tahu siapakah yang membunuh lelaki itu, tetapi mereka merahsiakannya.

2. Orang munafik yang menyorok kekafiran mereka.

3. Orang Islam yang mungkin ada niat jahat dalam hati mereka. Itu pun Allah ‎ﷻ akan dedahkan.

Ia juga merujuk kepada kita yang sedang membaca Al-Qur’an ini sekarang. Jangan sangka kita terlepas. Kalau kita ada sembunyi kebenaran, maka Allah ‎ﷻ akan keluarkan dan kita akan malu nanti. Maka kita kena jujur dengan diri kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment