Tafsir Surah Baqarah Ayat 60 (Nikmat air daripada batu)

Baqarah Ayat 60: Ini adalah jasa kelapan yang Allah ‎ﷻ ingatkan kepada mereka.

۞ وَإِذِ استَسقىٰ موسىٰ لِقَومِهِ فَقُلنَا اضرِب بِعَصاكَ الحَجَرَ ۖ فَانفَجَرَت مِنهُ اثنَتا عَشرَةَ عَينًا ۖ قَد عَلِمَ كُلُّ أُناسٍ مَّشرَبَهُم ۖ كُلوا وَاشرَبوا مِن رِّزقِ اللهِ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

Sahih International

And [recall] when Moses prayed for water for his people, so We said, “Strike with your staff the stone.” And there gushed forth from it twelve springs, and every people knew its watering place. “Eat and drink from the provision of Allah , and do not commit abuse on the earth, spreading corruption.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (dia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”.

 

وَإِذِ اسْتَسْقَىٰ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ

Dan ingatlah ketika Nabi Musa memohon air untuk kaumnya;

Ini adalah kisah di padang pasir semula. Sebelum ini kita telah diberitahu bahawa mereka telah diberikan dengan teduhan awan dan juga makanan Manna dan Salwa. Dengan adanya air, maka lengkaplah makanan mereka. Sekarang mereka hendakkan minuman pula, maka mereka minta Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ minta kepada Allah ﷻ. Kalimah اسْتَسْقَىٰ daripada kata dasar: س ق ي yang bermaksud menyirami, minta air minuman, mengairi, bekas minuman.

Dalam ayat ini, menunjukkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang memohon kepada Allah ‎ﷻ setelah diminta oleh kaumnya. Walaupun mereka itu umat yang degil dan menentang baginda, namun baginda sudi juga untuk berdoa bagi pihak mereka. Ini mengajar kita sikap guru dan pendakwah – walaupun umat itu teruk, tetapi di mana kita boleh bantu, kita bantu kerana kena ada sifat rahmah dalam diri.

Melalui ayat yang digunakan, nampak Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ minta air untuk ‘kaumnya’, bukan untuk dirinya. Jadi ada indikasi yang baginda sendiri tidak dahaga dan tidak perlukan air. Memang, seorang yang mencapai puncak ketaatan kepada Allah ‎ﷻ, akan memperoleh rezeki bukan sebagaimana kebiasaan yang dialami oleh kebanyakan orang. Begitulah yang terjadi kepada Rasulullah ﷺ tentang puasa Wishal,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاصَلَ فَوَاصَلَ النَّاسُ فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَنَهَاهُمْ قَالُوا إِنَّكَ تُوَاصِلُ قَالَ لَسْتُ كَهَيْئَتِكُمْ إِنِّي أَظَلُّ أُطْعَمُ وَأُسْقَى
Daripada ‘Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ melaksanakan puasa wishal (puasa terus tanpa berbuka) lalu orang-orang mengikutinya yang mengakibatkan mereka kepayahan. Maka baginda melarang mereka melakukannya. Namun mereka berkata: “Tetapi, bukankah baginda melakukan puasa wishal?”. Baginda bersabda: “Aku tidak sama dengan keadaan kalian kerana aku senantiasa diberi makan dan minum”.

(Sahih Bukhari No. 1788)

Di dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ juga ada diajar perbuatan meminta hujan jikalau telah lama kemarau. Ini kita boleh lihat daripada perbuatan Nabi ﷺ sendiri, Abdullah bin Zaid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengatakan:

أنَّ النّبيّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – خرج إِلى المصلّى فاستسقى، فاستقبل القبلة وقلب رداءه
Nabi ﷺ keluar menuju tanah lapang kemudian salat Istisqa’, baginda menghadap kiblat dan membalik kain pakaian atasan baginda.
(HR Bukhari No. 1012 dan Muslim No. 894)

Akan tetapi daripada ayat ini menunjukkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya berdoa sahaja, tidak disebut mereka mengerjakan solat pula. Sebenarnya Rasulullah ﷺ pun bukannya sentiasa solat apabila meminta hujan, pernah baginda hanya berdoa sahaja seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, seperti disebut di dalam satu hadith, daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

اللهُمَّ أَغِثْنَا، اللهُمَّ أَغِثْنَا، اللهُمَّ أَغِثْنَا
“Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami, Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami, Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami.”
(Riwayat al-Bukhari No. 1014)

Nabi ﷺ membaca doa ini ketika Baginda ﷺ sedang berkhutbah apabila seseorang datang mengadu berkaitan hujan tidak turun dalam tempoh yang begitu lama kepada Baginda ﷺ. Lalu Nabi ﷺ berdoa dengan doa ini yang mana ia bermaksud agar Allah ‎ﷻ utuskan hujan kepada mereka.

Maknanya ada cara untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ jikalau perlu air seperti di musim kemarau. Iaitu doa atau Solat Istisqa’. Inilah sunnah yang patut diamalkan. Namun kalau orang Melayu buat apa? Mereka akan solat hajat, bukan? Kesian orang Melayu, setakat itu sahaja ilmu mereka. Mereka hanya tahu solat hajat berjemaah sahaja, sedangkan itu adalah amalan bid’ah. Mereka tidak tahu pun bahawa memang ada solat khusus untuk minta hujan.

 

فَقُلْنَا اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ

Kami berkata: Maka pukullah batu itu dengan tongkat kamu;

Iaitu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disuruh memukul mana-mana batu. Huruf ف di dalam فَقُلْنَا memberi isyarat yang doa Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu terus dikabuli. Didahulukan kalimah tongkat kerana hendak menekankan tongkat itu memiliki keistimewaan. Ini kerana boleh sahaja ditulis اضْرِبْ الْحَجَرَ بِعَصَاكَ. Namun Allah ‎ﷻ dahulukan sebut بِعَصَاكَ kerana hendak menekankan tongkat itu. Pukul pun agaknya sekali sahaja, tidaklah kuat sampaikan memecahkan batu itu.

Allah ‎ﷻ boleh sahaja terus memberi air kepada mereka tetapi Allah ‎ﷻ suruh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengetuk batu. Padahal kalau kita ketuk batu mana-mana pun, takkan keluar air. Sebaliknya Allah ﷻ suruh kita ada usaha dan Dia akan bantu.

Namun kenapa suruh pukul batu? Kalau suruh pukul tanah lebih masuk akal kerana air memang ada keluar dari tanah. Ia menunjukkan di sini Allah ﷻ tunjukkan kuasa-Nya, daripada batu pun Dia boleh keluarkan air.

Ia juga adalah sebagai sindiran kepada mereka kerana hati mereka itu keras seperti batu. Allah ﷻ suruh lihat batu pun boleh keluarkan air, kalau kamu semua tidak dengar nasihat, hati kalian itu lebih keras daripada batu. Ini pun ada disebut di dalam Baqarah:74 nanti,

ثُمَّ قَسَت قُلوبُكُم مِّن بَعدِ ذٰلِكَ فَهِيَ كَالحِجارَةِ أَو أَشَدُّ قَسوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الحِجارَةِ لَما يَتَفَجَّرُ مِنهُ ٱلأَنهَـٰرُ‌ۚ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَشَّقَّقُ فَيَخرُجُ مِنهُ الماءُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَهبِطُ مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.

Batu pun tidak disebut batu apa. Kita tidak perlu cari batu jenis apa. Ada orang yang taksub sangat sampai hendak cari batu jenis apa untuk dibuat cincin. Tidak penting batu apakah yang telah dipukul oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Bukan itu yang hendak disampaikan dalam ayat ini. Ia boleh jadi batu apa-apa sahaja yang baginda jumpa di tempat itu. Akan tetapi di dalam Tafsir Jalalain, disebut yang batu itu adalah batu yang mengambil baju Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sehingga baginda berlari mengejarnya di dalam keadaan bogel. Kerana itulah ada ال yang memberi isyarat ia adalah batu tertentu, bukan mana-mana batu. Hadith ini disebut di dalam Sahih Bukhari,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مُوسَى كَانَ رَجُلًا حَيِيًّا سِتِّيرًا لَا يُرَى مِنْ جِلْدِهِ شَيْءٌ اسْتِحْيَاءً مِنْهُ فَآذَاهُ مَنْ آذَاهُ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ فَقَالُوا مَا يَسْتَتِرُ هَذَا التَّسَتُّرَ إِلَّا مِنْ عَيْبٍ بِجِلْدِهِ إِمَّا بَرَصٌ وَإِمَّا أُدْرَةٌ وَإِمَّا آفَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ أَرَادَ أَنْ يُبَرِّئَهُ مِمَّا قَالُوا لِمُوسَى فَخَلَا يَوْمًا وَحْدَهُ فَوَضَعَ ثِيَابَهُ عَلَى الْحَجَرِ ثُمَّ اغْتَسَلَ فَلَمَّا فَرَغَ أَقْبَلَ إِلَى ثِيَابِهِ لِيَأْخُذَهَا وَإِنَّ الْحَجَرَ عَدَا بِثَوْبِهِ فَأَخَذَ مُوسَى عَصَاهُ وَطَلَبَ الْحَجَرَ فَجَعَلَ يَقُولُ ثَوْبِي حَجَرُ ثَوْبِي حَجَرُ حَتَّى انْتَهَى إِلَى مَلَإٍ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ فَرَأَوْهُ عُرْيَانًا أَحْسَنَ مَا خَلَقَ اللَّهُ وَأَبْرَأَهُ مِمَّا يَقُولُونَ وَقَامَ الْحَجَرُ فَأَخَذَ ثَوْبَهُ فَلَبِسَهُ وَطَفِقَ بِالْحَجَرِ ضَرْبًا بِعَصَاهُ فَوَاللَّهِ إِنَّ بِالْحَجَرِ لَنَدَبًا مِنْ أَثَرِ ضَرْبِهِ ثَلَاثًا أَوْ أَرْبَعًا أَوْ خَمْسًا فَذَلِكَ قَوْلُهُ { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ آذَوْا مُوسَى فَبَرَّأَهُ اللَّهُ مِمَّا قَالُوا وَكَانَ عِنْدَ اللَّهِ وَجِيهًا }
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُadalah seorang pemuda yang sangat pemalu dan sentiasa badannya tertutup sehingga tidak ada satu pun daripada bahagian badannya yang terbuka kerana sangat pemalunya. Pada suatu hari ada orang-orang daripada Bani Isra’il yang mengolok-oloknya. Mereka berkata; “Sesungguhnya tidaklah dia ini menutupi tubuhnya melainkan kerana kulit tubuhnya sangat jelek, boleh jadi kerana menderita sakit kusta, bisul atau penyakit-penyakit lainnya”. Sungguh Allah ingin membebaskan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada apa yang mereka katakan terhadap Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sehingga pada suatu hari baginda mandi bersendirian dengan telanjang dan meletakkan pakaiannya di atas batu. Maka mandilah baginda dan ketika telah selesai baginda beranjak untuk mengambil pakaiannya namun batu itu telah melarikan pakaiannya. Maka Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengambil tongkatnya dan mengejar batu tersebut sambil memanggil-manggil; “Pakaianku, wahai batu! Pakaianku, wahai batu!”. Hingga akhirnya baginda  sampai ke tempat kumpulan para pembesar Bani Isra’il dan mereka melihat Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam keadaan telanjang yang merupakan sebaik-baiknya ciptaan Allah. Dengan kejadian itu Allah membebaskan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada  apa yang mereka katakan selama ini. Akhirnya batu itu berhenti lalu Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengambil pakaiannya dan memakainya. Kemudian Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memukul batu tersebut dengan tongkatnya. Sungguh demi Allah, batu tersebut masih nampak bekas pukulan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tiga, empat atau lima pukulan. Inilah di antara kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti difirmankan Allah Ta’ala: (“Wahai orang-orang beriman janganlah kalian menjadi seperti orang-orang yang mengolok-olok (menyakiti) Musa lalu Allah membersihkannya daripada tuduhan-tuduhan yang mereka katakan”) (Ahzab:69).
(Sahih Bukhari No. 3152)

Malah Tafsir Jalalain juga menyebut yang saiz batu itu lebih kurang sebesar kepala manusia dan bersegi empat. Jadi dari setiap satu sisi mengeluarkan 3 mata air (menjadikan semua 12 mata air).

Banyak kali kisah tongkat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini disebut dalam Al-Qur’an tetapi tidaklah perlu kita hendak mencari jenis apakah tongkat itu diperbuat. Sebab bukan tongkat itu yang ada kuasa. Setiap kali ia digunakan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ yang memerintahkan baginda menggunakannya. Contohnya, Allah ‎ﷻ memerintahkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketuk Laut Merah, Allah ‎ﷻ yang memerintahkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketuk pada batu dan Allah ‎ﷻ yang memerintahkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melempar tongkat itu yang kemudiannya bertukar menjadi ular. Kalau Allah ‎ﷻ yang suruh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketuk, barulah menjadi mukjizat itu. Kalau Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengetuknya sendiri tanpa arahan Allah ﷻ, tidak akan terjadi apa-apa. Itu bermakna, bukan tongkat itu yang mempunyai kuasa.

 

فَانْفَجَرَتْ مِنْهُ

Maka terpancarlah daripada batu itu;

Apabila Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang memohon kepada Allah ‎ﷻ dan mengetuk batu itu, air yang keluar itu memancar dengan banyak. Dalam ayat lain (A’raf:160), ada juga dikisahkan air yang memancar keluar daripada batu itu. Akan tetapi dalam ayat itu, perkataan yang digunakan menunjukkan air yang keluar tidak memancar dengan banyak.

وَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ إِذِ استَسقٰهُ قَومُهُ أَنِ اضرِب بِّعَصاكَ الحَجَرَ ۖ فَانبَجَسَت مِنهُ اثنَتا عَشرَةَ عَينًا ۖ قَد عَلِمَ كُلُّ أُناسٍ مَّشرَبَهُم

dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu.” Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan (di antara mereka) mengetahui tempat masing-masing.

Ini adalah kerana Bani Israil selepas itu telah banyak melakukan kesalahan, maka air itu semakin berkurang. Tambahan pula, dalam ayat daripada Surah Al-Baqarah ini, Allah ‎ﷻ sedang menceritakan nikmat yang dikurniakan oleh-Nya kepada Bani Israil, maka lebih sesuai digunakan perkataan yang menunjukkan nikmat yang diberikan kepada mereka itu dalam bentuk yang banyak.

 

اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا

12 mata air;

Selepas diketuk batu itu, terpancar 12 mata air untuk setiap kaum Bani Israil. Ini adalah kerana kaum Bani Israil terdiri daripada 12 puak. Ini seperti yang disebut dalam A’raf:160.

وَقَطَّعنٰهُمُ اثنَتَي عَشرَةَ أَسباطًا أُمَمًا

Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku, sebagai golongan-golongan besar,

Ini kerana anak-anak Nabi Ya’qub ada 12 orang semua sekali dan setiap satu akhirnya menjadi satu suku dengan ketua masing-masing dan urus tadbir yang berlainan daripada yang lain. Satu daripada anak cucu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, satu daripada anak cucu Bunyamin dan ada sepuluh lagi keturunan adik beradik anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang lain.

Puak-puak ini hanya mahu minum dengan puak mereka sahaja. Mereka tidak boleh bercampur. Mereka adalah jenis kaum yang berpecah belah. Memang semasa Firaun memerintah mereka, Firaun telah menggunakan konsep pemerintahan ‘Pecah dan Perintah’ supaya Bani Israil tidak dapat bersatu menentangnya.

Tambahan pula, air adalah satu sumber kehidupan yang penting. Manusia boleh berperang disebabkan sumber air. Allah ‎ﷻ tahu, kalau tidak dibahagikan begitu, mereka akan berkelahi. Maka Allah ‎ﷻ telah memberi satu pancutan air kepada setiap puak dalam Bani Israil itu. Dalam riwayat lain, dikatakan bahawa semasa Laut Merah dibelah, juga terdapat 12 jalan.

 

قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَّشْرَبَهُمْ

Maka tahulah setiap puak itu tempat minum masing-masing;

Mereka tidak perlu berebut-rebut. Sudah tahu mana satu saluran air untuk puak mereka. Dalam tafsir disebut yang batu itu ada empat sisi dan setiap sisi itu dikeluarkan tiga mata air. Ini juga adalah nikmat tersendiri. Kerana apabila ada pancutan untuk setiap suku, mereka tidak bergaduh dan kesatuan dapat dijaga.

 

كُلُوا وَاشْرَبُوا مِنْ رِّزْقِ اللهِ

Makanlah, minumlah daripada rezeki Allah;

Nikmatilah rezeki yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu. Makan itu nisbah kepada Manna dan Salwa yang telah disebut sebelum ini. Minum itu pula nisbah kepada air yang baru dikeluarkan. Terimalah nikmat yang telah Allah ‎ﷻ berikan. Ini nikmat yang sangat hebat kerana mereka tidak perlu berusaha pun untuk mendapatkannya, seolah-olah diberi dengan percuma sahaja kepada mereka.

 

وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Dan janganlah kamu berbuat kejahatan di muka bumi menjadi golongan yang berbuat kerosakan;

Kalimah تَعْثَوْا daripada kata dasar: ع ث و yang bermaksud buat jahat, melakukan jenayah. Kejahatan di sini adalah berbuat syirik kepada Allah  ‎ﷻ. Ia adalah jenis kerosakan yang amat besar. Contohnya, mengharamkan yang halal dan mengharamkan yang halal. Juga bermaksud jangan melanggar hukum syariat yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Juga bermaksud jangan sembah dan buat ibadat kepada ilah selain Allah ﷻ.

Perkataan تَعْثَوْا yang digunakan juga bermaksud kerosakan yang disebabkan oleh propaganda. Iaitu merosakkan fikiran manusia dengan idea-idea yang jahat. Ini kita boleh lihat banyak dilakukan oleh puak Yahudi pada zaman sekarang pun. Mereka sekarang menguasai media massa dan banyak ajaran jahat dimasukkan di dalam media massa itu. Ia melekakan manusia dan menyebabkan manusia lalai daripada Allah ‎ﷻ.

Kalimah مُفْسِدِينَ membawa erti orang yang menyebabkan orang lain juga berbuat kerosakan. Sudahlah mereka berbuat kerosakan, tetapi disebabkan mereka sudah buat, ada orang lain yang akan mengikut dan akan lebih banyak kerosakan lagi berlaku. Ini adalah kerana ramai yang mengikut perbuatan Yahudi ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 30 Ogos 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment